Khamis, 26 Januari 2012

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Angelina Jolie ajar anak tentang Islam

Posted: 26 Jan 2012 10:14 PM PST


Pasangan pelakon Hollywood Angelina Jolie (gambar) dan Brad Pitt mengaku memberikan pendidikan agama kepada anak-anak mereka.


Jolie tidak membataskan pendidikan itu pada satu atau dua agama sahaja, malahan enam anaknya mendapat pendedahan terhadap semua bentuk agama yang ada.

"Brad dan saya membesarkan anak-anak kami untuk menghargai sesama manusia," ujar ibu kepada Maddox, Pax, Zahara, Shiloh dan si kembar Vivienne dan Knox itu kepada majalah Parade.

Jolie dan Pitt memperkenalkan semua agama yang ada di dunia ini kepada enam anak mereka dengan menyediakan rak yang memuatkan pelbagai buku dan kitab agama di rumah mereka.

"Kami ada Injil, al-Quran dan semuanya. Kami juga mengajak anak kami ke gereja, kuil, menghadiri upacara ajaran Buddha, pergi masjid, mengajar mereka tentang semua kepercayaan," katanya pada Sabtu.

Menurut Jolie, walau apapun agama yang dipilih oleh anak-anaknya kelak, dia tidak akan membantah.

"Pilihannya (agama) terletak pada tangan mereka," ujarnya - Detik Islam

Syed Husin Ali Saman Utusan, Zulkifli Noordin RM10 juta

Posted: 26 Jan 2012 08:33 PM PST

KUALA LUMPUR: Senator Dr Syed Husin Ali pada Jumaat memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan dua lagi berhubung artikel yang didakwa memfitnah beliau.

Syed Husin, 76, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan Edwin Lim Suren and Soh.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menamakan Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Datuk Abdul Aziz Ishak dan Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin sebagai defendan.

Beliau menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain dan juga satu perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah yang sama terhadapnya.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Syed Husin mendakwa Utusan Melayu dan Abdul Aziz telah secara palsu dan dengan niat jahat mencetak dan menerbitkan perkataan fitnah terhadapnya dalam artikel di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 November tahun lepas, berjudul Zul Noordin nafi dakwaan Syed Husin.

Syed Husin berkata Zulkifli dalam laman web peribadinya telah menerbitkan semula artikel yang sama tetapi atas tajuk yang lain iaitu Anjing-anjing Pencen.

Beliau berkata perkataan-perkatan itu dalam maksud asal dan biasanya bermaksud beliau melakukan rasuah, telah melakukan kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara, seorang yang hipokrit atau tidak boleh dipercayai dan tidak layak dipanggil sebagai seorang ahli politik dan ketua kepada sebuah parti politik.

Syed Husin berkata disebabkan penerbitan perkataan-perkataan itu, karektor dan reputasinya telah tercemar. BERNAMA

SANTAI : Jiran saya nak jadi Perdana Menteri .. lalu bertanya "Gaji Perdana Menteri berapa ringgit?

Posted: 26 Jan 2012 05:01 PM PST

Gaji Perdana Menteri berapa ringgit? – Oleh Izmil Amri

26 January 2012

"Apa cita-cita kamu?" tanya guru kelas, pada setiap awal tahun. Niat dia barangkali untuk berkenal-kenal, atau paling kurang beri inspirasi supaya anak murid kejar cita-cita itu. Anak murid selalunya akan beri jawapan kerja profesional: doktor, peguam, arkitek, guru, akauntan. Jawapan-jawapan biasa.

Pastinya mereka juga tahu apa kerjanya seorang doktor, peguam dan akauntan itu semua. Takkanlah mahu jadi peguam sebab mahu kerja menoreh getah.

Saya ada seorang jiran di kampung. Dia ini dahulu katanya telah jatuh dari anjung rumahnya, yang berada di tingkat tiga kuarters Hospital Besar Pulau Pinang. Kemudian baru dia pindah ke kampung saya. Maka disebabkan insiden jatuh dari tingkat tiga itu, kepalanya sedikit gelong.

Saya tidak tahu sebenarnya berapa tingkat kuarters hospital besar, mahu pun hakikat sama ada dia jatuh dari ketinggian itu. Senang cerita, ......
dia sedikit tak betul..  Sedikit tak betul adalah jauh beza daripada gila. Bila kita sebut gila, orang yang disebut gila itu punya kemungkinan untuk melintas lebuhraya KL – Seremban di kala lalu lintas sesak, tanpa memakai sehelai pakaian pun. Itu gila.

Tetapi jiran saya ini cuma sedikit tak betul. Dia rajin bertandang ke rumah kalau di dapat tahu bapa saudara saya pulang dari Kuala Lumpur. Bapa saudara saya pula akan jenuh sembunyi tak mahu bersua muka. Hanya kerana jiran saya ini 'sedikit tidak betul'.

Dia mahu jadi Perdana Menteri

Arakian maka disebutlah orang akan kisah jiran saya ini yang dahulu kalau ditanya apa cita-citanya akan tuntas menjawab dia mahu jadi Perdana Menteri. Sebelum memberi jawapan itu, dia akan tanya dahulu, 'Gaji Perdana Menteri berapa ringgit?' Demikian keadaanya jiran saya ini yang seperti saya katakan, 'sedikit tak betul'.

Saya sebut tentang kisah jiran saya yang tak betul ini kerana bagi saya, hanya orang yang tertentu sahaja yang akan punya cita-cita untuk jadi Perdana Menteri. Jawatan Perdana Menteri bukan macam jawatan mat despatch atau juruwang pasar-mini dua puluh empat jam yang boleh diiklan di tiang-tiang lampu atau pondok telefon.

Jiran saya ini mungkin tidak arif soal itu. Barangkali dia selamba bertanya gaji Perdana Menteri berapa ringgit supaya mungkin satu hari nanti bila dia sudah besar, dia boleh isi borang mahu jadi Perdana Menteri.

Manusia normal macam saya dan anda mungkin mahu jadi loyar atau doktor atau ahli bomba apabila disoal tentang cita-cita. Yang tidak berapa normal mungkin punya cita-cita mau kerja FRU, tapi itu cerita lain.

Apa seronoknya jadi Perdana Menteri

Apa yang seronok sangat jadi Perdana Menteri ini? Adakah mungkin dapat wanita cantik untuk dibuat isteri? Kalau itu yang dikejar, cukup sekadar jadi Ketua Menteri Sarawak. Kalau Perdana Menteri sekarang, perempuan cantik pula yang tidak berani mendekat.

Adakah pula kerana mahu kumpul harta? Kalau mahukan itu, lebih baik buka kasino atas bukit. Harta dari aktiviti itu, tujuh generasi makan pun belum tentu habis. Bukan setakat beg tangan, kilang beg tangan pun boleh beli.

Ataukah pula kerana mahu popular dan ternama? Lebih baik jadi penyanyi hip hop. Kalau agak-agak usia sudah lanjut, menyanyilah lagu irama Malaysia. Kalau mahu dikenal orang, jadi artis. Politisi bukannya susah-susah perlu belajar berlakon. Lihat sahaja filem pendek lakonan Ketua Pemuda UMNO. Bakat yang begitu hebat akhirnya dikembangkan dan berlakon pula dia menjadi tentera.

Selain itu apa lagi yang boleh dikecap kalau jadi Perdana Menteri? Mau syurga? Pergi masjidlah. Mau berucap supaya semua orang dengar, buatlah video youtube. Mau bikin polisi negara? Cukuplah sekadar jadi menteri biasa. Apa nak dihairan sangat jawatan Perdana Menteri ini?

Tapi jiran saya itu bersungguh juga mahu jadi Perdana Menteri. Bagaimana? Apa dia tahu sebenarnya apa kerja Perdana Menteri, apa kerja politisi?

Malap harapan


Partai Keadilan Sejahtera menyatakan slogannya; Bekerja Untuk Indonesia. Ia jelas memberi definisi hala tuju partai itu, sebagai sebuah parti dakwah, dan parti yang terkedepan dalam soal kebajikan dan pantas membantu bila ada musibah melanda rakyat Indonesia.

Selain popular sebagai parti yang paling bebas korupsi, maka rakyat Indonesia senang dengan parti itu, dengan pembawakannya yang demikian lembut dan santun sebagai khadam kepada bangsa Indonesia.

Parti-parti politik di Malaysia masih menggapai definisi pekerjaannya. Kebanyakan darinya berahi betul dengan terma perjuangan, maka sekalian parti politik pembangkang senang dengan kerja memperjuangkan sesuatu. Keadilan sosial, keserataan di mata pemerintah, kebajikan dan kebebasan daripada opresi aparat pemerintah dan segala yang sewaktu dengannya.

Parti pemerintah, lebih teruk lagi. Entah apa kerjanya sehingga sangkut dalam perjuangan ketuanan etnosentrik serupa walau pun negara sudah lebih lima puluh tahun merdeka.

Kerja parti pemerintah yang paling mencuri tumpuan antara lain termasuklah aktiviti menternak lembu di dalam kondo dan memperkaya adik-beradik. Aktiviti mengumpul kekayaan ini tampak sebagai profesyen utama parti pemerintah, yang malangnya bukanlah profesyen yang sewajarnya sebagai pejuang bangsa dan pembela ketuanan apa saja.

Untuk menjadi parti pemerintah perlu menang pilihan raya. Sebelum itu kena sediakan pemimpin untuk teraju kerajaan.

UMNO memilih Perdana Menteri Malaysia apabila memilih presidennya melalui perhimpunan agungnya. Yang hadir ke perhimpunan agung ini pula adalah delegasi yang dipilih dari kalangan kroni ketua bahagian.

Semakin malap harapan jiran saya itu untuk menjadi Perdana Menteri. – Roketkini.com

Ana Raffali Nikah 25 Februari 2012

Posted: 26 Jan 2012 07:12 AM PST

Oleh WAHIDUZZAMAN

PETALING JAYA: Penyanyi Ana Raffali dilaporkan akan bernikah dengan pengurus peribadinya yang dijadualkan pada 25 Februari depan.

mStar Online difahamkan, majlis akad nikah Ana atau nama sebenarnya Nur Hidayah Mohd Raffali, 27, dengan pemuda yang dikenali sebagai Naim itu akan berlangsung di Masjid Al Hidayah, Taman Melawati, dekat sini, kira-kira pukul 10 pagi.

Ana yang dihubungi mStar Online bagaimanapun enggan mengesahkan tarikh tersebut sebaliknya memberitahu akan mengadakan sidang media bagi mengumumkan perkara berkenaan selepas Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang akan berlangsung Ahad ini.

"Ada beberapa urusan berkaitan majlis ini yang belum diselesaikan. Sebab itu, saya tidak mahu menghebohkannya terlebih dahulu. Bagi saya ......
biarlah semuanya selesai, barulah saya akan umumkan kepada semua.

"Apa–apa pun, saya mohon semua pihak bersabar dan tidak tersalah anggap dengan keputusan saya ini. Tunggu sehingga saya adakan sidang media perkahwinan dalam masa terdekat ini," katanya.

Kecil hati

Sementara itu Ana menyifatkan tuduhan kononnya dia mahu menyembunyikan majlis pernikahannya seperti yang dilaporkan adalah sesuatu yang tidak adil buat dirinya dan keluarga.

Dia mengakui berkecil hati dengan dakwaan tersebut, berkata pihaknya memang sudah merancang untuk mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan berita gembira itu.

Bagaimanapun, keadaan menjadi sebaliknya apabila berita perkahwinan itu sudah tersebar dalam ruangan gosip sehingga disalah ertikan oleh segelintir pihak.

"Dakwaan (sembunyi perkahwinan) ini adalah tidak adil buat saya dan keluarga. Sudah tentu saya sebagai artis akan berkongsi berita baik ini apabila tiba waktu yang sesuai untuk saya umumkan.

"Masalahnya, saya sedang sibuk membuat persiapan untuk AJL26 pada Ahad ini. Saya dan keluarga sudah rancang untuk buat pengumuman perkahwinan selepas AJL selesai.

"Tidak sangka pula, berita itu sudah tersebar tanpa mendapatkan sebarang penjelasan atau pengesahan daripada saya terlebih dahulu," katanya.

Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku ini, berkata kesan daripada dakwaan itu memberikan gambaran yang tidak manis kepada dia sekeluarga.

"Apabila timbul cerita saya tidak jemput media dan rahsiakan perkahwinan, ia memberikan impak yang tidak baik kepada kami sekeluarga.

"Sampai hati pihak yang menyebarkan dakwaan itu. Ia seolah-olah menggambarkan yang kami tiada adab dan teruk sangat sehingga menyembunyikan berita baik ini daripada masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Ana kini sibuk membuat persiapan terakhir bagi lagu Kalau Berpacaran nyanyiannya bersama Sohaimi Mior Hassan dan Altimet yang akan bertanding dalam AJL26, malam Ahad ini.

“Tatu yang ada di badan saya ini saya buat sebelum memeluk agama Islam. ... jelas Abdullah Omar @ Boy

Posted: 26 Jan 2012 12:49 AM PST

"Tatu yang ada di badan saya ini saya buat sebelum memeluk agama Islam. Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa saya tidak membuang tatu ini kerana ia dilarang oleh Islam. Tapi, ingin saya jelaskan bahawa tatu yang ada di badan saya ini bukannya sedikit tetapi boleh dikatakan hampir seluruh badan. Untuk membuang tatu ini, selain menelan kos yang tinggi, ia juga sangat menyakitkan.

Saya memilih untuk tidak membuangnya kerana difahamkan ia tidak wajib kerana bimbang boleh memudaratkan. Walau apa pun, saya percaya Allah memahami situasi saya dan sebagai hambaNya, saya cuba menjadi seorang muslim yang baik," ulas vokalis Projek Pistol, Boy Clifford berkenaan isu tatunya yang menjadi bualan ramai.

Dalam masa yang sama, Boy juga menafikan dia memeluk Islam semata-mata ingin berkahwin. Sebaliknya memberitahu dia sudah lama dekat dengan ajaran Islam kerana mempunyai keluarga angkat yang beragama Islam.

"Masa kecil dan zaman remaja, saya masih tidak tahu agama mana yang ingin dianuti, tetapi lama-kelamaan saya benar-benar terpikat dengan ajaran agama Islam dan akhirnya pada tahun 2009 saya nekad memeluk Islam. Sebagai saudara baru, memang banyak perlu saya pelajari.

Sebab itu saya cakap tadi, saya tidak rasa mempunyai tatu itu satu masalah besar untuk menjadi seorang Islam. Saya percaya dan yakin, Yang di atas sana tahu isi hati saya dan hanya Dia yang layak menjatuhkan hukum," ujar Boy berterus-terang.

Untuk pengetahuan anda, sebelum memeluk Islam jejaka ini menggunakan nama Clifford Hugh Joseph. Sebagai seorang muslim, Boy memilih nama Abdullah Omar. - GUA

Pemecatan Hasan Ali tidak beri kesan negatif pada parti

Posted: 26 Jan 2012 12:21 AM PST

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 26 Jan - Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menyatakan, pemecatan keanggotaaan Datuk Dr Hasan Ali daripada PAS tidak memberikan kesan negatif kepada parti dan pemecatan tersebut juga tidak memberikan kesan yang membimbangkan kepada parti Islam terbabit.

Pengarah Operasi PPP, Dr Ahmad Zuhdi Marzuku menjelaskan, pihaknya telah menjalankan tinjauan untuk menilai kesan pemecatan Datuk Dr Hasan Ali ke atas pengundi-pengundi Melayu.

Tinjauan tersebut telah menggunakan dua kaedah iaitu: pertama, dengan menilai komen-komen pembaca terhadap isu pemecatan ini sebagaimana yang dipaparkan oleh media-media baru seperti Malaysiakini, Malaysian Insider, Berita Semasa dan Youtube dan keduanya, dengan melakukan wawancara terhadap responden-responden terpilih yang mewakili 24 kawasan parlimen seluruh Negara.

"Berdasarkan tinjauan berkenaan, kami mendapati 85 peratus daripada komen-komen pembaca Malaysiakini dan 67 peratus daripada komen-komen pembaca Malaysian Insider adalah positif terhadap pemecatan. Manakala bagi pembaca Berita Semasa pula 44 peratus menyokong pemecatan, manakala 49 peratus tidak menyokong dan selebihnya tidak pasti.

"Tinjauan juga dibuat terhadap penonton klip Youtube berkaitan dengan pengumuman Presiden PAS mengenai pemecatan Dr Hasan Ali seperti yang diterbitkan oleh TVPAS. Daripada 67,796 penonton, 273 penonton memberi maklumbalas sama ada like atau dislike yang boleh menjadi petunjuk sama ada menyokong atau tidak. 80 peratus daripada 273 penonton yang memberi maklumbalas itu, menyatakan 'like' yang boleh digambarkan sebagai positif terhadap pemecatan.

"Melihat kepada penilaian terhadap respon pembaca-pembaca dan penonton-penonton media baru, kesan positif hasil daripada pemecatan Dr Hasan Ali adalah lebih dominan," katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider hari ini.

Zuhdi turut menjelaskan, pihaknya turut menjalankan tinjauan melalui kaedah wawancara terhadap 24 Yang Dipertua PAS kawasan, dengan anggapan pandangan mereka mewakili pandangan golongan pakar disebabkan keterlibatan mereka secara langsung dengan masyarakat akar umbi di samping pengalaman mereka yang luas dalam kegiatan politik.

Berdasarkan tiinjauan tersebut jelas Zuhdi, dapat disimpulkan bahawa bagi ahli-ahli PAS, pemecatan Dr Hasan Ali tidak langsung menimbulkan reaksi negatif.

Manakala bagi masyarakat awam pula khususnya pengundi-pengundi Melayu, Sembilan Yang Dipertua PAS kawasan menjangkakan pemecatan itu boleh memberi kesan negatif kepada kawasan mereka, manakala 15 yang lain melihatnya memberi kesan yang positif atau tidak memberi apa-apa kesan.

"Berdasarkan hasil wawancara tersebut, boleh disimpulkan penerimaan masyarakat Melayu di kalangan bukan penyokong parti terhadap pemecatan tersebut adalah terpecah dua iaitu 50 – 50," katanya lagi.

Berdasarkan kedua-dua tinjauan, penilaian terhadap komen-komen pembaca media baru dan wawancara yang dijalankan, kesan negatif dari pemecatan Dr Hasan Ali di kalangan masyarakat Melayu khususnya adalah sangat minima.

"Dengan mengambil kira julat sokongan pengundi-pengundi Melayu kepada PAS dalam Pilihanraya Umum 2008 yang lalu dan pilihanraya-pilihanraya kecil selepasnya, iaitu antara 45 peratus hingga 55 peratus, kesan negatif pemecatan Dr Hasan Ali dilihat masih dalam lingkungan julat tersebut.

"Malah sekiranya merujuk kepada maklumbalas pembaca-pembaca akhbar alternatif seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider, kesan positif pemecatan dilihat lebih ketara berbanding kesan negatif. Sehubungan dengan itu, boleh disimpulkan kesan negatif pemecatan Dr Hasan Ali tidaklah membimbangkan," tambahnya lagi. - TMI

Tiada ulasan: