Isnin, 23 Januari 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Ibrahim Katak Sudah Kecut

Posted: 23 Jan 2012 03:49 AM PST

'Kritik pertukaran portfolio, bukan kedudukan Sultan'

Presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata, kritikannya terhadap pertukaran portfolio agama negeri tiada kena mengena dengan kedudukan Sultan Selangor.

Lagi pun, katanya, PERKASA selama ini konsisten membela institusi raja-raja Melayu.

"Nak halang saya masuk Selangor. Wah, apa Faekah ingat Selangor ini negeri mak bapak dia ke?"kata Ibrahim yang juga anggota parlimen Pasir Mas.

Menteri besar Selangor pagi ini dilaporkan akan berbincang dengan penasihat undang-undang dan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan terhadap Ibrahim yang mengkritik keras perubahan portfolio agama negeri itu.

Setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin menyifatkan kenyataan itu sebagai penghinaan kepada Sultan yang memperkenan perkara itu dan mencadangkan Ibrahim dihalang menjejakkan kaki di Selangor.

Dalam kenyataan segeranya petang ini, Ibrahim berkata, beliau bersedia sekiranya kerajaan negeri memutuskan mahu mengambil tindakan undang-undang ekoran kenyataannya sebelum ini.

"Jika mereka nak saman saya, samalah. Saya tak boleh buat apa-apa. Biar mahkamah putuskan apa yang saya kata 'mungkin' berlaku itu dan ini, salah atau tidak. Kalau salah saya masuk jail, tak ada hal," katanya.

Menjelaskan kenyataannya semalam, Ibrahim berkata, bila ditanya pemberita pandangannya tentang perkara itu, beliau menjawab:

"Jika Khalid MB pegang hal ehwal Islam, mungkin itu dan ini akan berlaku hal-hal yang berkaitan dengan Islam".

"Itu cabaran padanya," katanya lagi.

Ibrahim semalam dilaporkan berkata, pengambil alihan portfolio hal ehwal Islam Selangor oleh Khalid bertujuan untuk memberi jalan kepada kegiatan "tidak bermoral" dan memelihara kepentingan kumpulan ahli perniagaan menjelang pilihan raya.

Ibrahim menjelaskan, pemecatan Hasan dan pengambil alihan portfolio berkenaan merupakan "tamparan hebat" kepada PAS, dan menggelarnya "kekalahan untuk Islam dan kemenangan untuk liwat", lapor sebuah portal berita.

Hukum Sambutan Tahun Baru Cina

Posted: 23 Jan 2012 01:45 AM PST

Terdapat sebahagian daripada masyarakat Muslim yang mengatakan bahawa menyambut Tahun Baru Cina itu hanyalah suatu adat tradisi semata-mata dan ia tidak termasuk sebahagian daripada mana-mana ajaran agama tertentu. Dengan hujah tersebut, umat Islam khususnya yang beretnik Tionghua dianggap boleh untuk meraikan Tahun Baru Cina. Persoalannya, benarkah Tahun Baru Cina hanya merupakan adat tradisi semata-mat dan adakah umat Islam dibolehkan untuk meraikannya? Penulisan ini bertujuan untuk merungkai persoalan ini agar kita mendapat gambaran yang jelas tentang latar belakang sambutan Tahun Baru Cina serta pandangan hukum syarak ke atas perkara tersebut.


Ajaran Agama Konfusianisme, Bukan Sekadar Adat Tradisi Tionghua

Kita sering mendengar daripada kalangan kaum Tionghua termasuk tokoh-tokoh yang telah memeluk Islam bahawa sambutan Tahun Baru Cina ini adalah sekadar adat tradisi semata-mata dan ia tidak mempunyai kaitan dengan ajaran sesuatu agama.
Oleh itu, umat Islam dianggap boleh untuk turut serta dalam merayakannya. Jika kita benar-benar mendalami ajaran agama Konfusianisme, khususnya tentang sambutan perayaan-perayaan mereka, maka akan terbukti bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar. Ini adalah kerana sambutan Tahun Baru Cina adalah merupakan sebahagian daripada ajaran agama Konfusianisme yang tidak dapat dipisahkan dan ia bukannya adat tradisi semata-mata.

Dalam sebuah buku karangan penganut Konfusianisme, Dr. Hendrik Agus Winarso yang berjudul 'Mengenal Hari Raya Konfusian' (Semarang : Effhar & Dahara Prize, 2003) hal. vi-vii, ia menyatakan bahawa kebanyakan masyarakat kurang memahami Hari Raya Konfusianisme. Beliau memberi contoh, "Misalnya Tahun Baru Cina yang dianggap sebagai tradisi orang Tionghua." Oleh yang demikian, pandangan yang mengatakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah sekadar adat tradisi dan tidak ada hubung kait dengan agama adalah suatu kesalahfahaman, menurut penulis berkenaan (Ibid., hal. v).

Dalam buku tersebut, Dr. Hendrik telah membuktikan dengan meyakinkan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah sebahagian daripada ajaran Konfusianisme. Dr. Hendrik menerangkan, Tahun Baru Cina atau dikenali juga sebagai Sin Cia, merupakan suatu momentum untuk memperbaharui diri. Momentum ini dinyatakan dalam salah sebuah kitab suci Konfusianisme iaitu kitab Lee Ki, bahagian Gwat Ling, yang berbunyi :

"Hari permulaan tahun (Liep Chun) jadikanlah sebagai Hari Agung untuk bersembahyang besar ke hadrat Thian, kerana Maha Besar Kebajikan Thian. Dilihat tiada nampak, didengar tiada dengar, namun tiap yang wujud tiada yang tanpa Dia… (Tiong Yong XV : 1-5).
(Lihat Hendrik Agus Winarso, Mengenal Hari Raya Konfusian, [Semarang : Effhar & Dahara Prize, 2003], hal. 60-61).

Penulis tersebut telah membuat membuat kesimpulan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah merupakan sebahagian daripada ajaran Konfusianisme. Beliau mengatakan bahawa:

"Dengan demikian, menyambut Tahun Baru bagi umat Konfusianisme Indonesia mempunyai erti ketakwaan dan keimanan." (ibid., hal. 61).

Maka oleh itu adalah tidak benar pendapat-pendapat yang menyatakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina adalah hanya sekadar adat tradisi orang Tionghua semata-mata dan ia bukan perayaan agama. Sedangkan hakikatnya, ia adalah sebahagian daripada ajaran agama Konfusianisme.

Selain itu, sebagai seorang Muslim, kayu ukur untuk melihat sama ada boleh atau pun tidak untuk melakukan sesuatu perkara bukanlah dilihat dari segi agama atau tradisi. Sebahagian umat beranggapan, jika ia berasal daripada adat tradisi, adalah tidak mengapa dan boleh untuk diamalkan. Tetapi jika ia berasal daripada agama lain, maka ia tidak boleh. Sesungguhnya kayu ukur sebegini adalah batil dan tidak boleh diguna pakai dalam Islam. Dalam Islam, satu-satunya kayu ukur yang benar adalah Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata. Firman Allah SWT:

"Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain daripadaNya." [TMQ Al-A'raaf (7) : 3]

Kalimat "maa unzila ilaikum min rabbikum" (apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu), adalah merujuk kepada Al-Qur`an dan As-Sunnah. (Tafsir Al-Baidhawi, [Beirut : Dar Shaadir], Juz III/2). Maka, kayu ukur sesuatu perbuatan sama ada boleh ataupun tidak boleh untuk dilakukan adalah Al-Qur`an dan As-Sunnah. Apa sahaja yang benar menurut Al-Quran dan As-Sunnah, bererti ia boleh dilakukan. Sebaliknya, apa sahaja yang batil menurut Al-Quran dan As-Sunnah, bererti ia tidak boleh untuk dilakukan.

Oleh yang demikian, jika kita hendak menilai perbuatan kaum Muslimin yang turut serta dalam merayakan Tahun Baru Cina menurut Islam, maka tolok ukurnya haruslah benar. Kita perlu melihat adakah perbuatan tersebut boleh atau pun tidak menurut Al-Quran dan As-Sunnah, dan bukannya melihat sama ada aadakah ia daripada tradisi ataupun daripada ajaran agama. Jika kita menggunakan kayu ukur tradisi atau agama dalam membuat penilaian, maka kita akan tersesat. Bukan semua tradisi adalah benar. Ada yang bertentangan dengan Islam dan ada bersesuaian dengan Islam.

Sebagai contoh, amalan seks bebas atau seks di luar nikah adalah tradisi masyarakat Kristian Barat, sedangkan perbuatan jijik tersebut bukan sebahagian daripada ajaran agama Kristian/Katholik. Malah agama Kristian pun turut mengharamkan zina. Jadi, adakah disebabkan seks bebas atau seks di luar nikah itu merupakan suatu tradisi dan bukan daripada ajaran agama, maka umat Islam pun boleh turut serta melakukannya? Tentu sekali tidak boleh.

Marilah kita kembali menggunakan kayu ukur yang benar untuk menilai sesuatu perbuatan. Kayu ukurnya bukan dilihat dari segi asal usulnya sama ada sesuatu perbuatan itu datangnya daripada tradisi ataupun agama. Sebaliknya melihat dari segi sama ada boleh ataupun tidak perbuatan tersebut menurut Al-Quran dan As-Sunnah. Inilah satu-satunya pandangan yang haq dan tidak ada lagi yang lain.

Haram Bagi Muslim Turut Serta Meraikan Tahun Baru Cina

Jika dikaji berdasarkan dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah, maka adalah haram hukumnya bagi seseorang Muslim untuk turut serta dalam merayakan hari raya agama lain, termasuklah Tahun Baru Cina, tidak kira sama ada dengan mengikuti ritual agamanya ataupun tidak, termasuk juga memberi ucapan Gong Xi Fatt Chai. Kesemuanya adalah haram.

Imam Suyuthi berkata, "Juga termasuk perbuatan mungkar, iaitu turut serta merayakan hari raya orang Yahudi, hari raya orang-orang kafir, hari raya selain orang Arab [yang tidak Islami], ataupun hari raya orang-orang Arab yang tersesat. Orang Muslim tidak boleh melakukan perbuatan tersebut kerana perkara itu akan membawa mereka ke jurang kemungkaran…" (Imam Suyuthi, Al-Amru bi Al-Ittiba' wa An-Nahyu 'An Al-Ibtida` (terj.), hal. 91).

Khusus tentang memberi ucapan "selamat" terhadap sambutan agama lain, Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah berkata, "Adapun memberi ucapan selamat yang berkaitan syiar-syiar kekufuran yang menjadi ciri khas kaum kafir, hukumnya adalah haram menurut kesepakatan ulama', misalnya memberi ucapan selamat atas hari raya atau puasa mereka..." (Ahkam Ahli Adz-Dzimmah, [Beirut : Darul Kutub Al-'Ilmiyah], 1995, Juz I/162).

Dalil Al-Quran yang mengharamkan perbuatan kaum Muslimin untuk merayakan hari raya agama kafir adalah melalui firman Allah SWT :

"Dan (hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu adalah) orang-orang yang tidak menghadiri kebohongan…" [TMQ Al-Furqan (25) : 72].

Menurut Imam Ibnu Taimiyah, makna yang tepat bagi kalimat "laa yashhaduuna az-zuur" dalam ayat tersebut adalah tidak menghadiri kebohongan (az-zuur), dan bukannya memberi kesaksian palsu. Dalam bahasa Arab, memberi kesaksian palsu diungkapkan dengan kalimat yashhaduuna bi az-zuur, yakni terdapat tambahan huruf jar yang dibaca bi. Maka ayat di atas yang berbunyi "laa yashhaduuna az-zuur" yang lebih tepat adalah bermaksud "tidak menghadiri kebohongan", dan bukannya "memberi kesaksian palsu." (M. Bin Ali Adh-Dhabi'i, Mukhtarat min Kitab Iqtidha` Shirathal Mustaqim Mukhalafati Ash-habil Jahim (terj.), hal. 59-60)

Manakala kata "az-zuur" (kebohongan) itu sendiri, menurut sebahagian tabi'in seperti Mujahid, adh-Dhahak, Rabi' bin Anas dan Ikrimah adalah hari-hari kebesaran kaum Musyrik atau kaum jahiliyah sebelum Islam (Imam Suyuthi, Al-Amru bi Al-Ittiba' wa An-Nahyu 'An Al-Ibtida` (terj.), hal. 91-95).

Maka ayat di atas adalah dalil kepada haramnya bagi seseorang Muslim untuk merayakan hari raya agama lain seperti hari Natal, Wesak, Deepavali, Tahun Baru Cina dan sebagainya.

Imam Suyuthi juga berdalil dengan dua ayat lain sebagai dasar pengharaman bagi Muslim untuk turut serta merayakan hari raya agama lain (Lihat Imam Suyuthi, ibid., hal. 92). Salah satu daripadanya adalah ayat :

"Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah datangnya ilmu (kebenaran) kepadamu, sesungguhnya jika demikian kamu termasuk golongan orang-orang yang zalim." [TMQ Al-Baqarah (2) : 145].

Menurut Imam Suyuthi, larangan pada ayat di atas bukan hanya khusus kepada Nabi SAW, tetapi juga merangkumi umat Islam secara umum. Larangan tersebut adalah larangan untuk melakukan perbuatan sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang bodoh atau orang kafir (seperti merayakan hari raya mereka). Walhal yang mereka lakukan itu bukanlah perbuatan yang diredhai oleh Allah dan RasulNya (Lihat Imam Suyuthi, ibid., hal. 92).

Adapun dalil daripada As-Sunnah, hadis daripada Rasulullah SAW, "Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dalam golongan mereka." (HR Abu Dawud).

Dalam hadis ini, Islam telah mengharamkan kaum Muslimin untuk menyerupakan atau menyamakan diri mereka dengan kaum kafir dalam perkara-perkara yang menjadi ciri khas bagi kekafiran mereka, seperti perayaan hari raya mereka. Oleh itu, adalah haram hukumnya seseorang Muslim untuk turut serta merayakan hari raya agama lain (Lihat Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Penjelasan Tuntas Hukum Seputar Perayaan, [Solo : Pustaka Al-Ummat], 2006, hal. 76).

Berdasarkan kajian fakta dan dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah yang telah dinyatakan di atas, adalah jelas bahawa haram hukumnya bagi seseorang Muslim untuk merayakan Tahun Baru Cina dalam segala bentuk dan juga manifestasinya. Haram bagi kaum Muslimin untuk terikut-ikut dalam mengucapkan Gong Xi Fatt Chai kepada kaum Tionghua, begitu juga haram bagi Muslim untuk menghiasi rumah atau biliknya dengan tanglung khas Cina atau hiasan naga dan pelbagai aksesori lain yang serba merah, kerana itu semua mempunyai kepercayaan tertentu dalam agama tersebut. Haram juga untuk mengadakan pelbagai jenis pertunjukan untuk meraikan Tahun Baru Cina seperti live band, karaoke mandarin dan lain-lain. Semua bentuk perbuatan tersebut haram dilakukan oleh Muslim kerana ia termasuk dalam perbuatan merayakan hari raya agama kafir yang telah diharamkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Seruan Kepada Muslim Etnik Tionghua

Akhir sekali, kami ingin menyeru saudara-saudara kami dari kalangan etnik Tionghua, hendaklah kalian masuk ke dalam agama Islam secara keseluruhannya (kaffah). Janganlah kalian (semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kalian semua) mengikuti jejak langkah syaitan, yakni masuk ke dalam agama Islam namun pada masa yang sama masih lagi mempertahankan sebahagian daripada ajaran lama yang dahulunya pernah kalian anuti dan amalkan, seperti perayaan Tahun Baru Cina. Renungilah firman Allah SWT :

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara kaffah (keseluruhannya), dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu." [TMQ Al-Baqarah (2) : 208]

Wallahua'lam bissawab.

http://www.mykhilafah.com/fikih/3192-hukum-sambutan-tahun-baru-cina

Kenyataan Ibrahim Ali Merupakan Penghinaan Kepada DYMM Sultan Selangor

Posted: 22 Jan 2012 09:49 PM PST

Tindakan Ibrahim Ali yang cuba menunjuk pandai dengan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Selangor dalam isu pelantikan Exco Kerajaan negeri yang baharu dan rombakan portfolio Hal Ehwal Islam jelas menunjukkan beliau seorang ahli politik yang kehabisan modal dan sedang mencuba sedaya upaya untuk menjadikan dirinya masih relevan di arena politik tanahair. Percubaan beliau melaga-lagakan PAS dan Kerajaan Selangor juga agak pelik apabila melihat sejarah beliau sendiri dengan PAS.

Siapa yang dapat melupakan bagaimana beliau mengkhianati PAS umpama parasit setelah parti itu memberi beliau tiket bertanding pada 2008. Hari ini beliau terhegeh-hegeh pula dengan UMNO sedangkan parti yang bakal tumbang ini pun melihatnya sebagai liabiliti dan tidak mempunyai sebarang kredibiliti.

Kita tidak mempersoal tindakan Ibrahim Ali yang kini begitu akrab dan bersekongkol dengan mantan Exco Agama Dato' Dr Hasan bin Ali. Namun keceluparan Ibrahim mempertikaikan kedudukan YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Exco Hal Ehwal Islam merupakan satu penghinaan kepada DYMM Sultan Selangor yang sesungguhnya adalah Ketua Agama Islam di Selangor. Keputusan Tan Sri Khalid memegang portfolio ini adalah setelah berbincang dan mendapat perkenan baginda Sultan kerana pentadbiran di Selangor mengamalkan amalan konsultasi berterusan dengan pihak istana dalam banyak hal apatah lagi dalam soal hal ehwal Islam.

Tuduhan Ibrahim Ali bahawa pelantikan Tan Sri Khalid sebagai Exco Hal Ehwal Islam hanya akan menyemarakkan rumah maksiat di Selangor amat keterlaluan. Kita ingatkan Ibrahim Ali bahawa keutuhan dan kesucian agama Islam di Selangor, pengawalan kegiatan tidak bermoral, termasuk perjudian dan rumah-rumah maksiat adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang kedua-duanya dalam pemerhatian rapat Baginda Tuanku.

Menuduh bahawa Tan Sri Khalid akan merelakan kegiatan tidak bermoral atas perkiraan politik seolah-olah mempersenda kedua-dua institusi agama tersebut termasuk baginda Sultan. Pada perkiraan Ibrahim semua ahli politik akan menggadai maruah demi undi sebagaimana dirinya yang sanggup mengkhianati PAS walaupun parti tersebut mengutipnya setelah dicampak oleh Umno.

Selaku umat Islam seharusnya Ibrahim Ali mendoakan setiap pemimpin berkhidmat dengan ikhlas, mentaati hukum dan menggalas jawatan sebagai amanah Allah agar negeri menjadi aman sejahtera dan diampuni Allah swt. Sebaliknya, beliau sanggup menuduh bahawa Selangor akan menjadi negeri peliwat. Ungkapan yang menggambarkan betapa kotornya pemikiran politikus tua ini. Bercakap tanpa iman; penuh dendam dan nafsu serakah. Ini merupakan penghinaan kepada seluruh rakyat Selangor yang seharusnya Ibrahim Ali dihalang dari menjejakkan kakinya di negeri berdaulat ini.

YAB Dato' Menteri Besar amat memandang serius tohmahan jahat ini dan akan membincangkan isu ini dengan semua agensi terbabit dan Kamar Penasihat Undang-undang Negeri termasuk juga pihak Istana. Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap Ibrahim Ali kerana keceluparan melampau beliau semata-mata mendapatkan publisiti murahan.

FAEKAH HUSIN

SETIAUSAHA POLITIK KEPADA DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Perutusan TG Nik Aziz Sempena Tahun Baru Cina 2012

Posted: 22 Jan 2012 06:03 PM PST

Dari Sudut Perspektif: Blog Rasmi Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat

Selamat Tahun Baru Cina: "Bersama Mengharmonikan Masyarakat Kelantan"


PERTAMA saya mengucapkan Gong Xi Fa Chai kepada semua masyarakat Tionghua. Pengharapan besar Tahun Baru Lunar ini yang jatuh pada Isnin, 28 Safar 1433 bersamaan 23 Januari 2012 akan meneruskan keharmonian hidup untuk semua masyarakat di Kelantan.

Perayaan Tahun Baru Cina kali ini adalah satu perayaan penting bagi masyarakat Tionghua kerana mengikut giliran kalendar Cina tahun ini adalah tahun Naga Air. Justeru masyarakat Tionghua percaya tahun ini bakal membawa banyak kebaikan dan rezeki.

Apa pun Naga adalah suatu simbolik dalam kepercayaan masyarakat Tionghua, sementara Air adalah nikmat Allah SWT kepada semua makhluk. Maka bagi Negeri Kelantan, sudah terbukti masyarakatnya hidup dengan penuh keharmonian, sejahtera dan berkebajikan dinikmati semua kaum. Ia ibarat air yang menjadi pendorong bagi masyarakat Tionghua untuk lebih maju menyumbang dalam apa jua bidang, terutama dalam sosioekonomi yang boleh memberi kebaikan untuk seluruh masyarakat Kelantan.

Demikian pula, simbolik hidangan jamuan raya 'Yee Sang' yang mempunyai nilai keagungan dan kehebatan institusi kekeluargaan, ia juga suatu simbolik dalam mengharmonikan persefahaman antara masyarakat selain Tionghua.

Semoga Allah SWT memberkati seluruh hidup masyarakat Kelantan yang telah terbukti sejarahnya begitu hormat-menghormati di antara satu sama lain. Ia sesuai dengan semangat kekeluargaan yang dipupuk sempena musim Tahun Baru Cina.

Oleh kerana itu, sukacita saya mengingati balik apa yang saya utuskan semasa sambutan Tahun Baru Cina sebelum ini (sempena tahun Arnab):

"Kita satu ummah yang bersama-sama memberi sumbangan ke arah lahirnya negara Malaysia yang lebih adil dan aman serta sejahtera berteraskan nilai agama.

Islam sebagai agama yang tidak mengamalkan diskriminasi kepada sesiapa sekalipun. Justeru Islam mendidik agar berlaku adil kepada semua bangsa.

Tidak ada kelebihan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain, melainkan dengan takwa kepada Allah."

Harapan amatlah besar, agar masyarakat Tionghua di Malaysia dan di Kelantan terus memberi kerjasama terbaik kepada pihak Kerajaan Negeri untuk meneruskan program pembangunan masyarakat Kelantan ini dengan sebaik-baiknya.

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan/al-Mursyidul Am PAS

Kota Darulnaim, Kota Bharu.


Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai

Posted: 22 Jan 2012 03:52 PM PST

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj5U1SlJxSv-EIaBkNccmmWCDj0R9_d4dI3hUB1Q010EantqUIOkwzHiSw6lO4WomACF2l05JWIUEiMU_pfbcvsAc7nw2rkvouOLhH8oreI1qTXW0QWtrIvOQcBGULqux0jXhL5AzhKdMEj/s400/hj-hadi.jpg

Selamat Pagi

Kami di meja Team Kerabu Bersuara mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2012 buat semua warga kaum Tionghua di mana jua anda berada. Semoga bergembira dengan keluarga tersayang.
Teruskan perjuangan anda semua bersama kami dalam membuat perubahan yang lebih baik.

Allahukhbar!

Tiada ulasan: