Rabu, 11 Januari 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Isu Penyelewengan Wang Zakat. Siri 1

Posted: 11 Jan 2012 06:44 AM PST

Yb. Datuk Jamil Khir Baharom
Mesti Meletakkan Jawatan

1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Yb. Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Che Mat Che Ali Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan tidak boleh lari dari tanggungjawab setelah berdepan dengan dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa. Paling ringan, tanggungjawab yang mesti diambil oleh mereka ialah meletakkan jawatan. Perletakan jawatan itu kelak akan memudahkan proses siasatan diambil apabila dakwaan rasmi telah dikemukakan ke atas salah laku mereka.

2. Menggunakan RM 63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman mereka mengadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suatu perbuatan tercela justeru ia melibatkan wang milik asnaf yang sewajibnya diagihkan.

[ Merujuk kepada laporan Ketua Audit :

a] 11 Januari 2010 MAIWP menerima bil berjumlah RM63,000 daripada peguam Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir kerana mewakili ketiga-tiga mereka di atas bagi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful Bukhari.

b] Datuk Che Mat Che Ali Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [MAIWP] telah meluluskan bayaran RM31,500 daripada peruntukan Am pada 28 Januari 2010. Geran kerajaan masih lagi belum diterima, bayaran dibuat menggunakan peruntukan zakat pada 9 Februari 2010.

c] MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman RM32,150 pada 29 April 2010 menggunakan peruntukan zakat.]

3. Timbul beberapa persoalan besar yang jelas bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab seorang pemegang amanah.

a] Mereka tiada hak dan kelayakan menggunakan wang zakat justeru mereka bukanlah asnaf yang berhak menerimanya . Persoalan dan kedudukan hukum ini akan saya jelaskan dalam kenyataan saya pada siri kedua nanti.

b] Berlaku Penyalahgunaan kuasa apabila yang meluluskan sejumlah wang zakat tersebut atas nama Setiausaha MAIWP kepada Pengarah JAWI untuk pembiayaan kos guamannya, sedang pemegang kedua - dua jawatan itu adalah orang yang sama iaitu Datuk Che Mat Che Ali.

4. Kelihatan Yb Datuk Jamil Khir cuba untuk melarikan diri dari isu ini apabila menuding kononnya ini adalah propaganda pembangkang. Sedang isu ini adalah jelas bagaimana beliau menggunakan wang zakat dan ternyata beliau tidak boleh menafikan kesohihan dakwaan tersebut.

5. Lebih kesal apabila mufti turut diseret oleh beliau untuk mengeluarkan kenyataan mempertahankan kebathilan yang dilakukan oleh beliau selaku Menteri Agama iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap amanah ummat Islam. Mufti selayaknya mengeluarkan kenyataan untuk memelihara dan memihak kepada kebenaran bukan mencari aqal untuk membebaskan salah laku mereka yang bertaraf menteri.

Tugas utama Mufti ialah jaga agama bukan jaga menteri.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Nurul: ‘Kami akan bersama papa, juang hingga ke akhir’

Posted: 11 Jan 2012 06:31 AM PST

(Dari Sinar Harian, terbitan 11 Januari 2012)

Oleh LAILATUN KHALILAH NASIR

SHAH ALAM – "Dan, saat mendengar satu persatu patah bicara yang keluar daripada mulut Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang jelas membebaskan papa dari tuduhan itu, saat itu air mata saya, mama dan adik-adik gugur satu persatu.

"Papa bebas! Syukur tidak terhingga saya panjatkan kepada Ilahi, wajah mama dan adik-adik melintas di mata."

Demikian luahan hati anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah dalam temu bual bersama Sinar Harian semalam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai penggal pertama ini menambah: "Saya cari mereka, saya gapai mereka. Kami bersatu dalam pelukan mama yang hangat dengan kasih…. tidak dapat digambarkan kedamaian dan kesyukuran yang menerjah diri ini."

Menceritakan detik-detik menjelang hari penentian kes liwat dihadapi Anwar, Nurul Izzah berkata, beliau membisik ayahnya bahawa "akan kupeluk papa, kami sayang papa, ALLAH akan lindungi papa."

"Allah bersama kita Izzah. Apapun, kita akan kembali ke rahmatullah; maka jangan ditangisi kezaliman manusia…" kata-kata Wan Azizah menyusup masuk ke telinga Izzah, mengalir dalam dada dan meresap jauh ke dalam hati. Ia kekal di situ hingga saat ini.

Izzah dan adik-adik bangun seawal 5.45 pagi. Alunan surah Yasin yang mendayu-dayu cukup menggambarkan hiba mereka sekeluarga. Selepas solat Subuh mereka kemudiannya menjamah sedikit sarapan sekadar mengalas perut. Seperti biasa papa (panggilan untuk Anwar) tetap dengan makanan kesihatannya. Mama (panggilan untuk Wan Azizah) menjadi pemerhati setia. Ketika itu Izzah saling bertatap pandang wajah-wajah di sekelilingnya. Papa, mama dan adik-adik. Semuanya berhimpun. Merenung dalam kesayuan, jauh di sudut hati mereka tidak mahu berharap, walaupun tidak putus mendoakan kebebasan untuk si ayah.

"Saya tadah tangan, syukur atas kasih sayang berpanjangan dan jitu antara kami sekeluarga. Kami jarang dapat kumpul bersama seperti yang terjadi malam itu. Suasana sungguh memilukan, namun ia juga damai dan membahagiakan. Indah seketika dapat bersama seluruh insan kesayangan di saat kami diuji sebegitu rupa," luah Izzah.

Malam sebelumnya detik yang paling meresahkan buat Izzah. Jika Izzah berasakan itu apatah lagi yang dirasakan oleh mama dan papanya.

Pastinya Izzah tidak dapat melupakan pada malam 8 Januari, ketika tengah malam anaknya Safiyah tiba-tiba bangun, menangis mahukan papaToknya (Anwar).

Safiyyah merengek kepada Izzah. "Kakak rindu papaTok, papaTok sihat ke mama…" pertanyaan Safiyah menyentap hati Izzah.

Anak kecil itu juga dapat berasakan kemungkinan papaToknya dirampas dari pangkuan keluarga.

Izzah hanya bermunajat, menyerahkan ketentuan kepada yang Esa.

Anak sulung yang bakal memikul segala tanggungjawab jika papa dan mama 'pergi' satu hari nanti itu pasrah.

"Kami sekeluarga berdoa, berharap meletakkan ketentuan masa depan papa kepada ALLAH SWT. Fikir saya, kita selaku manusia akan kembali kepada ALLAH. Teringat pesanan mama. Maka kita perlu bersedia melalui sebarang dugaan yang diputuskan olehNya. Dan di kala itu, kami perlu tetapkan iman, dan perkukuhkan tekad terus berjuang.

"Yang memberi kekuatan kami ialah keyakinan papa tidak bersalah dan kami ada perjuangan yang masih belum selesai. Kami perlu berjuang demi masa depan negara," kata Izzah menceritakan saat penting yang dilaluinya sekeluarga.

Membayangkan jika keputusan mahkamah tidak memihak kepada papanya, Izzah tenang menjawab, "akan saya peluk papa seerat mungkin, saya akan bisik ke telinganya, kami sayang papa, ALLAH akan melindungi papa dan kami akan bersama papa, berjuang sehingga ke akhirnya."

Seperti yang ditetapkan, mereka bersama-sama meninggalkan rumah dengan seribu andaian.

Memasuki kenderaan dan meredah pagi 9 Januari itu dengan pelbagai kemungkinan yang bakal terjadi.

"Pemergian kami sekeluarga ke Kompleks Mahkamah di Jalan Duta merupakan satu perjalanan yang sangat panjang. Keresahan di hati semua ahli keluarga tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Papa, mama walaupun tenang, tetapi mereka menanti dengan debar.

"Apabila kami semakin menghampiri mahkamah, Subhanallah…, hati saya dipenuhi rasa girang. Saya tersentuh dengan kehadiran begitu ramai penyokong. Di dalam hati, kudoakan mereka. Moga ALLAH membalas budi kalian.

"Ketika menuruni kenderaan, walaupun teringin sentiasa menggenggam tangan mama untuk mengalirkan semangat juang yang masih ada, namun saya akur apabila dia tidak dapat melakukan itu.

"Saya terpaksa berdiri mengenangkan ramai pimpinan Pakatan Rakyat sudi hadir.

"Detik yang ditunggu tiba jua, di saat hakim muncul untuk mengumumkan keputusan, saya lihat wajah mama tidak keruan. Sabarlah mama, tawakal pada yang Esa, walaupun tidak berbicara, namun hati kami saling berkongsi rasa.

"Dan, saat mendengar satu persatu patah bicara yang keluar daripada mulut Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang jelas membebaskan papa dari tuduhan itu, saat itu air mata saya, mama dan adik-adik gugur satu persatu. Papa bebas! Syukur tidak terhingga saya panjatkan kepada Ilahi, wajah mama dan adik-adik melintas di mata. Saya cari mereka, saya gapai mereka. Kami bersatu dalam pelukan mama yang hangat dengan kasih…. tidak dapat digambarkan kedamaian dan kesyukuran yang menerjah diri ini.

"Sekitar Kompleks Mahkamah dibasahi dengan air mata. Runtun hati saya melihat mama dan papa berpelukan erat.

"Detik itu amat menyentuh hati, tanpa sedar, saya hadiahkan doa buat mereka… "Ya ALLAH, janganlah pisahkan lagi kedua-dua insan ini – papa dan mamaku…"

"Seperti tersedar kami di khalayak dan laungan penyokong yang ramai, kami membalas sokongan mereka. Lambaian tangan papa dan senyuman kami hadiah buat mereka. Perlahan-lahan kami melangkah keluar mahkamah, manis sekali rasanya detik itu. Saya mendengar sokongan rakyat. Semangat reformasi menyala dalam diri.

"Destinasi kami selepas itu adalah Masjid Segambut. Kami ingin menyembah kepadaNya. Kata mama, ia rahmat buat kami sekeluarga.

"Tidak ada apa yang mampu saya balas budi mereka yang setia bersama papa dan mama dan juga bersama perjuangan Keadilan (PKR) yang mana kini saya menjadi Naib Presidennya.

"Saya mahu berjuang dengan ikhlas, Demi Rakyat. Semuanya tidak terhenti dengan pembebasan papa.

"Pengakhiran hidup, walau di mana pun kita bermula, pastinya kita mahukan yang terbaik. Kami semua berharap sentiasa diberkati ALLAH SWT dengan keikhlasan dan kasih kepada rakyat sebagai pengisian utamanya."

Malaysia di bawah UMNO-BN akan bankrap menjelang 2019?

Posted: 11 Jan 2012 03:21 AM PST

KUALA LUMPUR, 11 JAN – Hutang Malaysia dijangka melonjak dahsyat sehingga mencapai RM1,300 bilion jika UMNO-Barisan Nasional masih mengekalkan pengurusan perbelanjaan dan pinjaman yang tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, berdasarkan prestasi dan pengurusan kewangan negeri-negeri Pakatan Rakyat, adalah jelas keperluan menukar kerajaan dalam pilihan raya umum ke-13 dapat menyelamatkan Malaysia dari menjadi muflis.

Jelas beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, negeri-negeri Pakatan telah berjaya mengurus kewangan dengan cekap agar rakyat tidak dibebani dengan hutang.

"Di Pulau Pinang, hutang kerajaan negeri telah dikurangkan daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada RM30 juta pada akhir Oktober 2011," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, adalah jelas rakyat Malaysia yang inginkan kehidupan lebih baik untuk hari ini dan generasi depan perlu memilih sama ada sebuah kerajaan yang boros atau kerajaan yang berhemat dan telus yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian mengulas kenyataan felo Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Mohd Ariff Abdul Kareem yang menyatakan bahawa kadar pinjaman negara adalah jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ekonomi.

Mohd Ariff dipetik sebagai berkata: "Jika tindakan tidak diambil untuk menyongsangkan trend dalam perbelanjaan dan pendapatan kerajaan, jangkaan menunjukkan bahawa hutang negara Malaysia akan menjadi 100 peratus daripada KDNK menjelang 2019."

Justeru, Guan Eng menjelaskan bahawa apa yang dinyatakan Mohd Ariff itu menunjukkan situasi yang amat berbahaya buat rakyat Malaysia.

"Yang lebih merunsingkan, Mohd Ariff juga menyatakan bahawa kadar pinjaman negara adalah jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ekonomi," katanya.

Lebih teruk, ujarnya, jika ditambah dengan data dari Laporan Tahunan Bank Negara 2010, Malaysia di bawah UMNO-BN bakal menjadi negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan. – Roketkini.com

Saiful jalani kehidupan seperti biasa, kata bapa

Posted: 11 Jan 2012 03:14 AM PST

RUZY ADILA IDRIS


KUALA LUMPUR - Bapa Mohd Saiful, Azlan Mohd Lazim berkata, keadaan anaknya kini baik dan sedang menjalani kehidupan seperti biasa - tiga hari selepas Mahkamah Tinggi memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas daripada tuduhan meliwat.

"Saiful sihat dan kini sedang bekerja di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

"Keadaan beliau juga menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka tetapi sebagai ayah, hak anak saya untuk merayu habis-habisan akan diteruskan demi maruah anak saya," katanya pada sidang media di rumahnya di Bandar Utama, petang tadi.

Kata beliau, sokongan orang ramai dan kawan-kawan amat dihargai di mana mereka turut bersimpati di atas kejadian yang berlaku tetapi mereka sekeluarga tetap redha.

Bagaimanapun, menurut Azlan, beliau sekeluarga akan menunggu tempoh 14 hari yang ada bagi Peguam Negara untuk mengemukakan rayuan supaya Saiful mendapat pembelaan sewajarnya.

Ucapan Terima Kasih TG Nik Aziz Di Atas Ucapan Sempena Hari Lahir

Posted: 10 Jan 2012 10:32 PM PST

Terima kasih semua.

Semoga semua doa saudara saudari kepada Tok Guru dimakbul Allah.

Video: Perjuangan Rakyat. Tangisan Air Mata Kemenangan Dari Kami

Posted: 10 Jan 2012 09:00 PM PST

PAS nafi Haron Din, Taib, Ismail ada di rumah Hasan Ali

Posted: 10 Jan 2012 08:55 PM PST

PAS hari ini menafikan laporan yang menyebut beberapa pemimpin parti itu berada di rumah bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali selepas beliau dipecat Ahad lalu dan menyifatkannya sebagai "mempunyai niat tidak senonoh".

Ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia merupakan "berita bohong/fitnah/mengelirukan/niat jahat/provokasi" yang didakwanya dihebahkan oleh media perdana dengan agenda untuk mengelirukan ahli PAS di samping melaga-lagakan antara pimpinan parti itu.

"Terbaru media perdana dilaporkan sebagai membayangkan Datuk Harun Din, Ustaz Taib Azamuddin, Ustaz Ismail Kamus, antara yang hadir dalam penjelasan di rumah Datuk Dr Hasan Ali malam Ahad yang lalu.

"Laporan tersebut adalah tidak betul dan mempunyai niat tidak senonoh, kerana hakikatnya kesemua mereka tidak bersama pada malam tersebut," tegas Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika penjelasan itu diberikan, tegas Tuan Ibrahim, PAS mengesahkan bahawa Harun sedang bermesyuarat di Majlis Syura Ulamak di pejabat agung PAS, Taib pula berada di China dan Ismail sedang menerima rawatan.

"Manakala bagi Ustaz Nasharudin Mat Isa, beliau yang baru kembali dari luar negara ada memaklumkan kepada Majlis Syura akan kehadirannya ke rumah Datuk Hasan Ali," tambahnya.

Oleh itu, kata Tuan Ibrahim mendakwa, perkara tersebut merupaka usaha pihak tertentu yang bermotif untuk memberi imej buruk kepada pimpinan parti dan mengelirukanahli PAS sehingga bersangka buruk terhadap pimpinan parti demi mengganggu persiapan terakhir pilihanraya.

Dalam suasana hampir dengan pilihanraya, tambahnya, pelbagai isu luaran dan dalaman yang akan timbul untuk mengganggu kelancaran gerak-kerja parti.

"Lantaran itu, semua ahli dan pimpinan parti mesti merujuk kepada media rasmi parti iaitu Harakahdaily dan Harakah cetak untuk mendapatkan sumber sahih dan rasmi parti.

"Semua ahli dan pimpinan parti juga diseru menguatkan kesedaran politik agar tidak mudah dipengaruhi permainan jahat pihak lawan," kata Tuan Ibrahim.

Dalam suasana mencabar ini, tambahnya, semua ahli PAS diseru memperkukuhkan perpaduan dan ukuhwah dalaman parti agar "kita dapat menjauhi kerja yang tidak menguntungkan jamaah dan menumpukan seluruh masa, tenaga dan dana bagi menghadapi persiapan pilihanraya umum yang semakin hampir."

Video Lagu 1 Malaysia Versi Pakatan Rakyat. Jom Ubah!

Posted: 10 Jan 2012 07:48 PM PST

Isu Video Dewan Muslimat PAS. Kenyataan Media Siti Mariah Mahmud

Posted: 10 Jan 2012 07:10 PM PST

MUSLIMAT DI HIMPUN 901- KEGEMBIRAAN MUSLIMAT DISENSASIKAN UTUSAN MALAYSIA

Hari ini akhbar Utusan Malaysia telah menghebahkan gambar dari rakaman You Tube kegembiraan sebahagian Muslimat PAS, Wanita Keadilan dan penyokong Pakatan selepas pengumuman pembebasan DSAI dengan mempertikaikan akhlak Muslimat PAS. Kegembiraan yang dizahirkan secara nyayian beramai-ramai dan senikata yang zahir secara spontan telah menaikkan kemarahan penyokong UMNO dan BN dan membuka peluang mereka untuk membina persepsi negatif terhadap PAS. Satu kesinambungan usaha UMNO/BN untuk memburukkan PAS. Maka mereka cuba menggambarkan yang akhlak muslimat buruk dan mempersoalkan moral muslimat.

Rakaman ini sebenarnya hendak ditujukan kepada ahli-ahli PAS dan penyokong PAS yang tidak hadir di HIMPUN 901 dan akan melihat rakaman tersebut diluar konteks peristiwa. Kami menduga ianya akan memberi persepsi negatif terhadap muslimat PAS kepada mereka-mereka yang mungkin tidak pernah turun ke jalan raya untuk demonstrasi dan tidak mungkin memahami perasaan mereka yang sentiasa berhadapan dengan kezaliman pihak berkuasa, biasa disembur dengan gas pemedih mata dan air beracun. Anak-anak muda ini menghabiskan usia muda mereka bersama berjuang menuntut keadilan dan menyanggah kezaliman regim UMNO/BN. Rakaman ini diharapkan akan menimbulkan keresahan sebahagian penyokong PAS yang sekarang dipasak dengan idea yang PAS telah lari dari perjuangan asal.

Saya menghadiri dan bersama dengan sebahagian wanita dalam HIMPUN 901 dari awal hingga peserta HIMPUN 901 bersurai. Saya juga acapkali turun berdemo dan sentiasa memantau pergerakan muslimat. Sesiapa yang ada bersama pada HIMPUN 901 tahu yang sebahagian Muslimat PAS dan wanita yang hadir telah berhimpun di satu sudut tempat berhimpun untuk bermunajat kepada Allah SWT untuk membebaskan DSAI. Kami telah mengetuai bacaan Ma'thurat dan Yasin. Malah pengumuman pembebasan DSAI diumumkan sebaik sahaja muslimat habis membaca Yasin. Sebahagian muslimat telah mengadakan sujud syukur sebaik sahaja keputusan diketahui ditempat perhimpunan. Semasa bergerak keluar daripada tempat parkir menuju ke masjid berhampiran kami berselawat beramai-ramai. (Ini semua tidak pula dimasukkan ke you tube). Selepas berselawat barulah mereka menyanyikan lagu reformasi dengan sepontan.

Tidak ada apa salahnya bernyayi beramai-ramai dengan bersemangat. Nyanyian pun dalam sekitar 10 minit. Memang semua yang hadir dari sebelum subuh lagi terlalu gembira dengan pembebasan DSAI. Kalau kita singkap sirah Rasulullah saw, apabila nabi s.a.w sampai di Madinah baginda di sambut oleh muslimat dengan nanyian dan rebana untuk menzahirkan kegembiraan. Bukan saya nak menyamakan DSAI dengan Nabi s.a.w tetapi untuk mengatakan tidak haram disisi Islam untuk menyanyi dan bergembira yang tidak melampaui batas. Tidak ada percampuran dengan lelaki dan perempuan, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada lenggang lengguk yang mengiurkan, intonasi suara bukan intonasi yang jatuh kepada haram, dan perkataan yang digunakan tidaklah lucah. Kalau nak dipertikaikan melodi (yang sering dimainkan oleh pancaragam sekolah) yang digunakan ianya melodi nyanyian reformasi yang selama in digunakan oleh anak muda semasa berdemo. Mungkin yang kasar sikit ialah "MAMPOS UMNO". Kalau kita lihat budaya wanita timur tengah pun begitu. Mereka akan bertepuk-tepuk dan mengangkat-angkat tangan sambil bernyanyi. Saya pernah bersama dengan Gerakan Islam Wanita di peringkat antarabangsa (Sudan, Indonesia, Algeria , Mesir dan lain-lain negara Islam) yang lebih bersemangat dalam menyanyikan lagu-lagi jihad. Hanya orang yang tidak mendalami hukum sahaja yang membangkitkan isu suara wanita itu aurat pada ketika ini.

DMPP yakin yang apa yang berlaku bukan satu kesalahan dan dosa. Ianya bukan kayu ukur akhlak dan moral muslimat. Apalah "kesilapan" yang sedikit ini dibandingkan dengan dosa rasuah, penyelewengan, kezaliman, penolakan hukum Hudud yang dilakukan pimpinan UMNO/BN serta Fitnah I dan II terhadap DSAI?

Apa pun oleh kerana ia satu perkara baru dan bukan satu budaya muslimat , bagi mereka yang merasa tersinggung, Dewan Muslimat memohon maaf dan akan lebih berhati dengan perangkap UMNO/BN dimasa akan datang.

Siti Mariah Mahmud

Tiada ulasan: