Isnin, 23 Januari 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[Video] “Kita Akan Tetap Berjalan….Sampai Ke Putrajaya” - Pak Samad

Posted: 23 Jan 2012 12:34 AM PST

Kuala Terengganu – Datuk A. Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad adalah seorang tua yang tersohor kerana beliau menerima anugerah Sasterawan Negara. Manakala, Anne Ooi pula, wanita tua hanya dikenali ramai selepas BERSIH 2.0.

Beliau di gelar sebagai 'Untie BERSIH' kerana kisahnya berjalan seorang diri, tanpa menghiraukan halangan apa dan dari sesiapa, demi untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Mereka adalah 'dua warga emas' yang sudah melepasi umur 60-an, menjadi panelis Forum BERSIH yang diadakan di Kuala Terengganu pada Jumaat 20 Januari.

Kedua-dua 'orang tua' yang cekal ini tidak akan berhenti dan bertekad untuk berjalan terus ke Putrajaya, bagi memastikan pilihanaya dilaksanakan dengan adil dan bersih.

Pak Samad menegaskan, kerajaan 'bangsawan' Umno dan Barisan Nasional yang memerintah Negara sekarang sanggup melakukan apa saja penipuan demi untuk mengekalkan 'kuasa'.

"Tadi anda sendiri sempat melihat analisa-analisa dan bukti-bukti yang jitu, bagaimana penipuan dilakukan dengan pelbagai cara untuk memperkekal kuasa, dan kami tahu ini adalah sesuatu yang sukar tapi, sejauh ini memang itulah kami lakukan,"ujar Pak Samad.

Antara penipuan yang sedang dilakukan Umno/BN mencipta pengundi dengan cara memberikan kad pengenala kepada warga asing dan didaftarkan sebagai pengundi.

Oleh itu, Pak Samad yang baru dilantik sebagai Pengerusi Bersama BERSIH, berkata kempen 'Jom 100' adalah angat penting bagi mengimbangi 'pengundi hantu' itu. -buletinonline



Baucar Buku 1M (BB1M) Dilelong Di Internet - Salah Siapa?

Posted: 22 Jan 2012 09:41 PM PST

Lelong baucar buku di internet

PUTRAJAYA: Jika sebelum ini ada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menyalahguna pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dengan membeli bahan bacaan tidak berfaedah, kini ada yang menjualnya secara terbuka dengan potongan harga istimewa menerusi internet.

Tinjauan Berita Harian mendapati beberapa laman blog dan forum internet, termasuk Facebook dan mudah.com.my, digunakan pelajar untuk mengiklankan tawaran menjual BB1M yang sah laku selama tiga bulan sehingga 31 Mac ini.

Antara iklan ditemui adalah:

  • Saye tak menggunakan baucar ni... saye lebih memerlukan duit dari menggunakan baucar ini. so, kepada sesiapa yang berminat dengan Baucar Buku 1Malaysia yang berjumlah rm200, saye ingin menjual baucar ini dengan harga rm180 tunai. Harge boleh kurang lagi. Nego. Tarikh luput baucar adalah 31/3/2012... contact me 01X- XXX XXXX'.

  • Price: RM150. I don need the 1 Malaysia voucher, hereby I offer the 4 vouchers for only RM150. Voucher can be use at any bookstores include XXXXX bookstore. Price include postage delivery.

  • Want to sell book voucher worth RM200 for RM190.

Wartawan yang menghubungi tiga pelajar IPT tempatan semalam dengan alasan untuk membeli baucar yang diiklan, dimaklumkan sudah menjual baucar masing-masing, tetapi memberitahu ada ramai lagi rakan yang mahu menjual baucar jika ada yang masih berminat.

Ada juga pelajar yang sanggup menghantar baucar melalui pos selepas bayaran dibuat dengan mendeposit kadar yang dipersetujui ke dalam akaun bank mereka.

Dalam pada itu, dua pelajar yang dihubungi sanggup mengurangkan harga sehingga RM140 bagi empat baucar berbanding nilai keseluruhan RM200. Seorang daripadanya turut menawarkan potongan harga lebih menarik berdasarkan berapa banyak baucar yang mahu dibeli.

Ada antara mereka mendakwa pelajar tahun akhir pengajian dan tidak memerlukan sebarang buku lagi, manakala yang lain memberi alasan kerana sudah membeli semua buku diperlukan lebih awal.

Ditanya sama ada sebarang pengesahan diperlukan apabila menggunakan BB1M, pelajar terbabit berkata, seseorang hanya perlu mengisi butiran nama dan nombor kad pengenalan apabila mahu membeli buku di kedai terpilih.

Sebelum ini ada laporan pelajar menggunakan BB1M yang diberikan kerajaan yang sepatutnya untuk membeli buku ilmiah, membeli bahan bacaan lain selepas berkomplot dengan penjual buku.

Awal bulan ini, ketika BB1M mula diagihkan, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa, berkata kerajaan memperuntukkan RM260 juta bagi pemberian baucar buku dicetak RM50 setiap satu. -BH



Ulasan GB

Kita sudah menjangkakan hal ini berlaku semenjak pengumuman BAJET 2012 lagi. Pemberian one-off tanpa mekanisma yang betul menyebabkan akan mudah berlaku penyelewengan dan penyalah-gunaan.

Sementelah lagi, "nawaitu" sebenar pemberian one-off ini bukan untuk membantu pelajar tetapi lebih bermotifkan pilihanraya.

Maka demikianlah jadinya.

Sekumpulan "Samseng" Pecahkan Cermin Kereta

Posted: 22 Jan 2012 06:30 PM PST

Mengamuk pecah cermin 28 kereta

Seremban – Hanya kerana mahu mencari seorang penduduk Pangsapuri Lobak di Jalan Tan Sri Manickavasagam, dekat sini, sekumpulan lelaki bertindak memecahkan beberapa kereta yang diletakkan di kawasan rumah pangsa berkenaan.

Kejadian berlaku kira-kira 2 pagitadi apabila sekumpulan kira-kira 30 lelaki yang membawa senjata tajam seperti parang dan kayu mengamuk dan memecahkan 28 kereta diletakkan sepanjang jalan sejauh kira-kira satu kilometer.

Kumpulan terbabit dilihat menaiki motosikal dikatakan mencari seseorang yang tinggal di pangsapuri berkenaan, sebelum bertindak liar memecahkan cermin kereta dengan menggunakan senjata tajam dan topi keledar.

Bagaimanapun, penduduk mendakwa mereka tidak mengenali individu yang dicari kumpulan terbabit.

Seorang penduduk, R.Parthiban, 31, berkata, semasa kejadian dia terdengar bunyi bising di luar rumah lalu menjenguk keluar.

"Saya terkejut apabila melihat sekumpulan lelaki memecah cermin kenderaan milik penduduk satu-persatu," katanya.

Menurutnya, keseluruhan cermin kereta jenis Nissan Sunny miliknya juga dipecahkan.

"Ketika itu, keadaan begitu huru-hara sekali dan saya melihat beberapa cermin kenderaan lain yang diletak berdekatan turut dipecahkan satu-persatu.

"Apabila abang saya menegur salah seorang lelaki daripada kumpulan itu, mereka terus mengertak kami supaya diam sekiranya tidak mahu diapa-apakan," katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian, hari ini.

Seorang lagi penduduk, S.Mrugan, 43, berkata, dia tersedar dari tidur selepas terdengar bunyi bising dari arah luar rumah.

"Saya dan keluarga terus bangun daripada tidur dan melihat keadaan di luar rumah begitu kecoh sekali. Ramai penduduk terkejut dan marah dengan tindakan kumpulan lelaki berkenaan," katanya.

Difahamkan, selepas memecahkan cermin kereta terbabit, kumpulan berkenaan terus beredar meninggalkan kawasan berkenaan.

Berikutan kejadian itu, penduduk terus melaporkan kejadian berkenaan di balai polis berdekatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan dendam, bagaimanapun kes ini masih dalam siasatan.

"Kes akan siasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki objek berbahaya dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

'Mani kau keluar'

SEREMBAN: Sekumpulan lebih 30 lelaki dipercayai bersenjatakan parang mengamuk membabi buta dengan memecahkan cermin dan merosakkan 28 kereta di Rumah Pangsa Lobak, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, penduduk di rumah pangsa berkenaan dikejutkan dengan bunyi bising daripada kumpulan terbabit yang bertindak merusuh ketika penghuni sedang nyenyak tidur.

Harian Metro difahamkan, kumpulan lelaki terdiri daripada pelbagai bangsa bertindak 'biadab' dipercayai berdendam dengan salah seorang penduduk di situ, sebelum memecahkan cermin kenderaan sekitar rumah pangsa berkenaan.

Salah seorang mangsa, R Papthiban, 31, berkata, sebahagian anggota kumpulan itu bising dengan memecahkan cermin tingkap kereta Nissan Sunny miliknya menggunakan parang panjang.

"Saya dikejutkan oleh seorang jiran kira-kira jam 2 pagi memberitahu kereta saya 'dicincang' oleh kumpulan lelaki itu dan bergegas turun.

"Namun, kami semua tidak berani mendekati kereta masing-masing berikutan kumpulan itu menggunakan senjata dipercayai parang untuk merosakkan cermin kereta," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam. -hm





Ulasan GB

Siapa "samseng" itu yang "terlalu berani"?

'Serangan’ Program ABU: Umno Mesti Bertanggungjawab

Posted: 22 Jan 2012 04:27 PM PST

Kuala Lumpur: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak Umno bertanggungjawab terhadap insiden program Asal Bukan Umno (ABU) malam tadi di Jalan Kebun, Shah Alam.

NGO pimpinan Ketua PKR Rembau itu, Badrul Hisham Shaharim itu juga meminta polis bertindak secara profesional ke atas insiden tersebut.

Katanya, kejadian malam tadi membuktikan sikap sebenar Umno dan hipokrasi kempen 1Malaysia.

"Adakah orang India sudah tidak selamat berada di kawasan ramai penyokong Umno,?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian semalam 20 pemuda menjerit kepada kaum India yang berada di dalam dewan tersebut.

Kata Chegu Bard, malah ada yang membawa masuk motorsikal ke dalam dewan.

Cedera dan rosak

"Mereka bersenjatakan topi keledar dan kayu terus memukul beberapa tetamu yang hadir. Peralatan P.A dan projektor juga ada dirosakkan.

"Beberapa orang cedera, namun mereka tidak mahu ke hospital kecuali seorang pemuda berbangsa India terpaksa dikejarkan ke hospital kerana hampir pengsan dipukul.

"Di luar dewan pula sebahagian dari kumpulan ini dengan senjata telah mengugut dengan menjerit kepada peniaga yang datang berniaga kerana program tersebut agar menutup perniagaan.

"Ada gerai yang menjual makanan ringan mengalami kerugian apabila gerainya disepak dan barang makanan yang dijualnya berterabur di tanah," tambahnya.

Chegu Bard berkata, petugas dengan beberapa hadirin yang kebetulan yang baru datang berjaya menenangkan keadaan.

Katanya, kumpulan pemuda tersebut berundur ke seberang jalan mengadap dewan.

"Kira kira empat atau lima anggota polis datang, tetapi jumlah mereka bertambah ramai begitu juga penyokong dan hadirin yang ingin hadir bersama ceramah ABU. Keadaan mula tegang, polis dilihat tidak mampu berbuat apa-apa.

"Kira-kira jam 10.00 mlm penganjur memutuskan untuk menangguhkan program tersebut kerana bimbang soal keselamatan dan mengelakkan insiden tidak diingini berlaku," katanya lagi. -FMT



Laporan sebelum ini
klik untuk baca



[Video] Parti Islam Menang Besar Di Mesir, Kuasai 2/3 Kerusi Parlimen

Posted: 22 Jan 2012 09:28 AM PST

Parti diketuai Ikhwan Muslimin menang besar PRU Mesir

KAHERAH - Ikhwan Muslimin Mesir, pertubuhan politik paling tersusun di negara itu, memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum bebas pertama, sekali gus memberikannya peranan besar dan kedudukan kukuh untuk merangk perlembagaan baru.

Parti Salafist Nour berada di tempat kedua.

Ikhwan Muslimin yang diharamkan ketika kepimpinan bekas Presiden Hosni Mubarak muncul pemenang dalam pilihan raya umum Parlimen. Ia memperoleh dua pertiga kerusi sebagaimana diramalkan sebelum ini.

Parti Kebebasan dan Keadilan diterajui Ikhwan Muslimin memberi jaminan kepada kesemua rakyat Mesir bahawa setiap orang akan ada suara di Parlimen.

Di bawah sistem pilihan raya yang kompleks, dua pertiga atau 332 kerusi di dewan rendah ditentukan menerusi perwakilan berkadar, berdasarkan parti-parti bertanding. Baki satu pertiga ditandingi orang perseorangan.

Berdasarkan keputusan akhir diumumkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya semalam.

Rakyat Mesir telah membuang undi dalam tiga peringkat sepanjang enam minggu lalu untuk memilih 498 wakil rakyat.

Seramai 10 lagi akan dilantik oleh pihak tentera yang memerintah.

Parti Islam kuasai dua pertiga Parlimen Mesir

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Keputusan pilihanraya Parlimen Mesir menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.

Keputusan akhir pemilihan Parlimen pertama Mesir setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak turut menepati ramalan beberapa pihak apabila parti politik milik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir semalam mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat.

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.

Semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, Ikhwanul Muslimin merupakan organisasi yang dilarang bergiat dalam politik dan dengan keputusan tersebut, parti-parti Islam kini telah berjaya menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di Mesir.

Dengan keputusan itu juga, FJP kini sudah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat.

Wartawan BBC di Kairo, Jon Leyne dalam laporan terkininya berkata, Presiden Mesir yang akan dipilih nanti bagaimanapun bukan parti pemenang pilihanraya itu.

Sebaliknya, pemilihan presiden akan dilangsungkan pada bulan Jun nanti, setelah segala proses lain yang berkaitan dengannya diselesaikan.

Berdasarkan sistem pemilihan Mesir, warganegara itu akan memilih dua pertiga anggota Parlimen berdasarkan parti yang memiliki daftar calon masing-masing dan hanya sepertiga calon individu yang dipilih secara langsung.

Pemilihan Majlis Tertinggi Parlimen akan diadakan pada bulan Februari nanti dan selepas itu akan dipilih 100 anggota dari Majlis Tertinggi dan Majlis Rendah yang ditugaskan untuk menyusun perlembagaan baru Mesir.

Pilihanraya Parlimen Mesir itu diadakan setelah kebangkitan rakyat yang turun ke jalan-jalan raya di negara itu sehingga berhasil menjatuhkan Presiden Mubarak pada bulan Februari 2011 lalu.

Warga Mesir memberikan suara dalam tiga tahap pilihanraya yang berlangsung selama enam minggu untuk memilih 498 anggota Majlis Rakyat (Parlimen), sementara 10 anggotanya diperuntukkan untuk Dewan Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu untuk sementara waktu.

Sementara itu, Agensi pula melaporkan, keputusan rasmi pusingan pertama pilihan raya Mesir menunjukkan parti Islam mencapai kemenangan besar, termasuk kumpulan Salafi yang terkenal kerana bersifat radikal.

Kumpulan Ikhwanul Muslimin yang berfahaman sederhana memenangi 36.62 peratus diikuti oleh Parti An-nur yang mewakili kumpulan Salafi, 24.36 peratus sementara Al Wasat, sebuah lagi parti Islam berfahaman sederhana meraih 4.2 peratus undi, berdasarkan carta yang disediakan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pilihan Raya, Yusri Abdel Karim.

Menurut carta itu, Parti Kebebasan dan Keadilan (AJP) yang mewakili Ikhwan, memenangi 3.56 juta daripada 9.73 undi, An-Nur, 2.37 juta dan Al-Wasat, 415,590.

Keputusan itu adalah untuk kawasan yang mengundi pada Isnin dan Selasa lalu dan ia mengesahkan ramalan awal bahawa parti berhaluan Islam akan memenangi sekurang-kurangnya dua pertiga undi.

Satu-satunya parti sekular yang mencatatkan kemenangan besar ialah Blok Rakyat Mesir yang memperoleh 13.35 peratus undi.

Jurucakap Ikhwan seperti yang dilaporkan oleh Agensi berkata, "Rakyat memilih calon yang mewakili identiti Islam dan dipercayai pengundi."

Beliau menegaskan, FJP jauh berbeza dengan kumpulan Salafi yang menurutnya mencapai kemenangan memeranjatkan dalam pilihan raya itu.

"Kami berharap orang ramai akan dapat membezakan antara pergerakan yang berbeza dan tidak menganggap semua aktivis Islam berada dalam satu 'kapal'," katanya.
-HD



Perkasa & NGO Digunakan Untuk Cuci Najis Lembu NFC Yang Terpalit Pada UMNO?

Posted: 22 Jan 2012 07:26 AM PST

Pegawai dendam, jual maklumat NFC'

Kontroversi Perbadanan Fidlot Nasional didakwa berpunca daripada dendam seorang pegawai yang dibuang kerja kerana didakwa pecah amanah dan kemudiannya menjual maklumat berkaitan kepada pembangkang.

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali hari ini berkata, beliau dimaklumkan perkara itu oleh pengerusi Nasional Feedlot Corporation Datuk Mohamad Salleh Ismail dalam perbincangan selama lebih dua jam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Bila dia kena pecat, dah buat laporan polis, dah jadi kes CBT (pecah amanah), dia tak puas hati dia balas dendam. Balasannya, memang dia ada akses kepada pendrive, jadi dia jual maklumat," katanya.

Tanpa mendedahkan eksekutif pemasaran itu, Ibrahim berkata beliau difahamkan, laporan polis sudah dibuat terhadap pegawai yang didakwa terlibat pecah amanah RM2.7 juta, yang dikatakan diperoleh daripada jualan bekalan daging kepada pasar raya.

Jumlah itu, menurut Ibrahim lagi, berjaya diperoleh kerana kutipan jualannya sehari mencecah RM150,000 dalam bentuk tunai.

Kebocoran maklumat syarikat itu sebelum ini pernah dimaklumkan dalam taklimat Mohamad Salleh kepada beberapa media terpilih di Gemas, Negeri Sembilan,

PERKASA bagaimanapun berkata, maklumat dalam pendrive itu tidak terperinci dan hanya memberikan gambaran sehala tentang sesuatu itu.

"Mungkin nyatakan jumlah (bayaran) saja, bayar untuk apa sekian-sekian tetapi tidak cerita apa dan untuk apa," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas taklmat berkenaan, Ibrahim turut menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyegerakan siasatan terhadap isu itu supaya perkara sebenarnya dalam disingkap.

"Saya tegaskan kita serah pada SPRM dan pihak polis menyiasat. Hasil terakhir, itulah pendirian kita. Kita percaya kepada integriti badan ini," katanya lagi.

PERKASA dan 11 lagi NGO Melayu hari ini mengadakan sesi dialog dengan Mohamad Salleh, suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil. -mk

Pemberi maklumat NFC telah mencuri RM2.7 juta, dakwa Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR, 22 Jan — Bekas pekerja Fidlot Nasinal Corporation (NFCorp) yang dikatakan membocorkan rekod kewangan syarikat ternakan lembu tersebut telah dipecat, kata Datuk Ibrahim Ali, ekoran kesalahan mencuri sejumlah RM2.7 juta wang tunai dan akan didakwa bagi kesalahannya di mahkamah tidak lama lagi.

Presiden Perkasa itu berkata, eksekutif pemasaran "bukan Melayu" itu bertanggungjawab membuat kutipan pembayaran daripada pelanggan NFC dan telah melarikan wang berjumlah antara RM10,000 dan RM20,000 sehari sebelum ditangkap oleh akauntan syarikat terbabit.

Pengerusi NFCorp, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail kemudiannya membuat laporan polis dan memecat pekerjanya itu.

"Perkara itu berlaku sebelum ini apabila Datuk Salleh mempunyai dua pekerja bukan Melayu. Mereka menguruskan RM150,000 wang tunai setiap hari. Salah seorang daripada mereka kemudiannya melarikan wang berkenaan," jelas Ibrahim kepada pemberita di Hotel Putra di sini.

Tambahnya lagi, pekerja berkenaan kemudiannya mencuri buku tunai syarikat terbabit untuk tujuan membalas dendam dan menjualnya kepada PKR, yang menyaksikan skandal berterusan dalam NFCorp.

Eksekutif itu akan dikenakan tuduhan di mahkamah kerana mencuri wang syarikat, jelas Ibrahim.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa ini berkata demikian selepas perjumpaan bersama Salleh dan 11 NGO berhubung isu NFCorp.

Menurut Ibrahim, buku rekod tunai yang diberikan kepada PKR itu hanyalah sebahagian daripada "cerita sebenar" dan di dalamnya tidak dinyatakan dengan terperinci butiran perbelanjaan syarikat berkenaan.

Ibrahim bagaimanapun menegaskan, dirinya tidak menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya hanya menunggu keputusan laporan dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan anggota polis terhadap akaun NFCorp.

Menurutnya, Perkasa akan menunggu keputusan tersebut memandangkan kedua-dua badan berkenaan yang mempunyai kuasa untuk menyiasat terhadap dakwaan dan pertuduhan rasuah.

Skandal NFC telah menjadi topik hangat tahun lepas apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan terdapatnya kecelaruan terhadap projek ternakan lembu yang diuruskan keluarga Shahrizat itu.

Semenjak itu, beberapa siri pendedahan telah dibuat PKR, termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, ditambah satu lagi kondo mewah di Singapura dan pertuduhan menggunakan dana berkenaan untuk kegunaan peribadi keluarganya.

PKR turut mendakwa keluarga Shahrizat menggunakan hampir RM600,000 daripada dana NFC untuk membayar hutang kad kredit mereka pada 2009.

Namun demikian, pentadbiran NFC menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan perbelanjaan kad kredit tersebut digunakan hanya untuk tujuan perniagaan.

NFC turut menafikan dakwaan dan tuduhan dana RM250 juta itu dimasukkan ke dalam akaun mereka sebelum perjanjian pinjaman berkenaan ditandatangani.

Shahrizat telah memohon cuti selama tiga minggu kepada perdana menteri selepas pendedahan bukti terbaru rasuah dalam projek NFC.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas mengumumkan kerajaan akan melantik firma audit untuk menyemak dan mengaudit akaun NFC.
-TMI


Ulasan GB

Kini semacam ada usaha terrancang beberapa pihak untuk membersihkan nama UMNO yang sudah terpalit denagn najis lembu NFC.

Lebih dari itu, rakyat melihat wujud satu usaha rapi mengalihkan isu ini menjadi isu perkauman!

Dikatakan, kes ini sudah berada di dalam siasatan Polis & SPRM. Mengapa pula PERKASA & NGO terhegeh-hegeh turut serta dan mengapa pula pihak NFC dibenarkan membuat pertemuan dengan pelbagai pihak? Bukankah itu prejudis dan boleh menjejaskan siasatan Polis & SPRM? Mengapa Polis & SPRM membenarkan pihak NFC terus-terusan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berhubungkait dengan maklumat NFC?

Kemudian seperti >ada usaha untuk mengheret isu perkauman dengan melibatkan Perkasa dan dibuatkan kenyataan "eksekutif pemasaran "bukan Melayu" itu bertanggungjawab membuat kutipan pembayaran daripada pelanggan NFC dan telah melarikan wang berjumlah antara RM10,000 dan RM20,000 sehari sebelum ditangkap oleh akauntan syarikat terbabit."

Apa erti semua ini?

Untuk mendapatkan sokongan Melayu semula supaya menyokong NFC?

Penglibatan PERKASA yang sudah dikenali sangat identiti mereka sebagai pejuang Melayu totok, dengan kenyataan yang tak diperlukan seperti menyatakan keterlibatan seorang eksekutif pemasaran "bukan Melayu" kononnya telah menjual maklumat kepada PKR adalah sesuatu yang serius dan jika benar adanya hal tersebut berlaku sekalipun, Pengerusi NFC hanya perlu mendedahkan kepada pihak Polis dan SPRM, bukan Perkasa.

Hukum Kebenaran: Yang bersalah tetap bersalah dan perlu diheret ke muka pengadilan. Kita berdoa agar Allah menunjukkan kebenaran itu kebenaran dan kebatilan itu kebatilan serta menghalang apa juga konspirasi untuk menutup penyelewengan dan salahlaku lewat skandal NFC ini.

Najib Dan Rosmah Dicabar Saman Akhbar Australia Jika Ia Satu Fitnah

Posted: 22 Jan 2012 05:42 AM PST

Rakyat sedang menunggu apakah penjelasan Datin Seri Rosmah Mansor dan juga suaminya Datuk Seri Najib Razak terhadap laporan akhbar Australia semalam.

Semalam, akhbar Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan isteri Perdana Menteri itu berbelanja sehingga A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney dua minggu lalu.

Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, jika sekali lagi akhbar Australia membuat laporan tidak benar mengenai tabiat berbelanja mewah Datin Seri Rosmah Mansor, maka satu tindakan undang-undang perlu diambil terhadap akhbar dan sumber berita akhbar tersebut.

"Jika Rosmah dan Najib enggan berbuat demikian, ia memberikan gambaran kepada rakyat bahawa apa yang dilaporkan itu betul seperti yang berlaku apabila Najib enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap begitu banyak akhbar di serata dunia yang pernah mendakwa tentang kaitan beliau dengan kes Altantuya Shaariibuu.

"Kalau banyak kali sangat dilihat takut mengambil apa-apa tindakan undang-undang, rakyat akan percaya apa yang dilaporkan mengenai Najib dan keluarganya itu benar," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sebelum ini, akhbar Australia yang lain membuat laporan yang didakwa tidak benar mengenai tabiat berbelanja Rosmah tetapi Najib dan keluarganya tidak pula mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap akhbar itu.

"Rakyat yang berfikiran waras sudah tidak tahan lagi melihat wujudnya watak seperti itu di negara ini yang mengingatkan mereka kepada Laila Trabelsi, wanita yang mengambil kesempatan atas kedudukannya sebagai isteri Presiden Tunisia," kata Mahfuz lagi merujuk kepada isteri Zine El Abidine Ben Ali yang dihambat dari kekuasaannya oleh kebangkitan rakyat tahun lalu.

Perlu disiasat

Bagaimanapun, kata Mahfuz, jika laporan akhbar Australia itu memang benar berlaku dan bukan rekaan semata-mata, satu siasatan terperinci tentang kehidupan mewah isteri Perdana Menteri itu mesti dijalankan segera.

"Mesti disiasat dari mana sumber kewangannya sehingga Rosmah dilaporkan begitu bermewah-mewah dalam kehidupannya sehingga dilihat melebihi dari kemampuan isteri seorang Perdana Menteri," kata beliau sambil membangkitkan Bernama sebelum ini pernah melaporkan Rosmah menderma RM1.5 juta kepada Tabung Gaza.

Apa yang berlaku itu, kata Mahfuz, memperlihatkan Rosmah mempunyai kekayaan yang sangat luar biasa yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Beliau juga menggesa supaya Najib dan Rosmah serta anggota kerajaan dan keluarga masing-masing segera mengisytiharkan harta mereka.

"Jangan lagi membuat pelbagai alasan yang menipu rakyat untuk mengelakkan harta mereka diisytiharkan," katanya. -HD

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Dengan Rahmat Allah, Kembar Terpisah 67 Tahun Akhirnya Bertemu

Posted: 22 Jan 2012 04:23 AM PST

Batu pahat – Siapa sangka, dalam keadaan berputus asa setelah usaha mencari kembarnya di negara asing selama berpuluh tahun, bukan setakat gagal malah langsung tiada petunjuk, ketika itulah doa Walitah Sawiyan, 70, dimakbulkan.

"Saya sudah bertekad, jika tak jumpa juga dengan kembar saya, Walitih, inilah kali terakhir saya mencarinya. Saya akan pulang ke Indonesia dan terus tinggal di sana. Kiranya saya sudah putus asa," kata Walitah.

Namun takdir menentukan pada 4 Januari lalu ketika menunggu feri di Jeti Kukup, Pontian untuk pulang ke Tembilahan, Sumatera dalam perjalanan yang disangkanya adalah yang terakhir untuk mencari kembarnya itu, dia tiba-tiba ditegur oleh seorang wanita yang tidak dikenali.

"Orang itu tegur saya kerana menyangka saya jirannya di Batu Pahat," katanya.

Lalu Walitah mengajak wanita yang menegurnya itu untuk membawa dia bertemu dengan jirannya yang dikatakan wajah saling tak tumpah itu.


"Hati saya melonjak-lonjak mahu dibawa bertemu dengan jirannya. Tiba di sana, memang benarlah. Dialah Walitih yang saya cari-cari selama ini, malah saya pun sudah hampir berputus asa untuk mencarinya lagi," kata Walitah sambil mengesat air mata.

Terharu sungguh dia dengan pertemuan yang tidak disangka-sangkanya itu.

Walitih yang turut serta dalam pertemuan dengan Sinar Harian, bagaimanapun memilih untuk tidak berkata apa-apa.

Dia lebih selesa melayan perasaan dengan caranya yang tersendiri setelah dipertemukan dengan kembar yang dirinduinya selama 67 tahun itu.

Apa pun, setelah bertemu Walitih, pencarian Walitah sebenarnya masih juga belum berakhir. Mereka kini sedang mencari seorang lagi adik, Tiwan yang berusia 10 tahun ketika hilang sebaik Perang Dunia Kedua meletus.

Menceritakan detik perpisahan mereka, Walitah berkata, dia diserahkan kepada keluarga angkat yang kemudian membawanya ke Sumatera untuk menyelamatkan diri daripada serangan tentera Jepun ke atas Malaya.

"Walitih pula diserahkan kepada keluarga angkat yang lain. Dia terus tinggal di kampung halaman kami, Kampung Parit Jorak Senawi, Batu Pahat," katanya.

Meskipun berjauhan, kata Walitah, sejak itu dia tidak pernah melupakan adik beradiknya, yang kesemuanya lima orang.

"Dua daripada saudara saya, lelaki. Kedua-duanya hilang pada zaman perang. Seorang lagi perempuan, sudah meninggal," katanya.

Bermula awal 2010, Walitah berkali-kali datang mencari kembarnya di sekitar Bukit Naning dan Batu Pahat.

"Saya bukan saja gagal temui dia, malah langsung tidak ada petunjuk,"katanya.

Rupa-rupanya, usaha Walitah itu disukarkan oleh satu sebab, Walitih kini bukan lagi dikenali sebagai Walitih.

"Dia sudah punya nama baru, Patimah Ijap. Sebab itu saya tak jumpa dia," kata Walitah dengan sedikit senyuman terukir di bibirnya.

Kerana itulah juga, kata Walitah, jika Walitih tidak juga ditemui, dia akan hentikan terus pencarian itu.

Kini, setelah bertemu dengan kembar yang dicari-carinya, Walitah sebaliknya sudah tidak mahu kembali ke Indonesia lagi.

"Di sini kampung halaman saya, tanah tumpah darah saya. Saya mahu tinggal terus di sini bersama kembar saya sampai akhir hayat," katanya.

Sehubungan itu, kata Walitah, dia berharap ada pihak dapat membantu memakbulkan satu lagi hajatnya iaitu menjadi warga Malaysia.

"Kami tidak sanggup untuk berpisah lagi. Biarlah sisa usia yang ada kami isi bersama setelah 67 tahun kami terpisah," katanya dengan nada dan wajah yang sangat terharu.

Bersuara bagi pihak ibunya, anak Walitih, Saniyah Sahidan, 43, berkata, dia dapat merasai kegembiraan dan kelegaan hati ibunya setelah dipertemukan semula dengan kembar yang dirinduinya sejak sekian lama.

"Saya tak sanggup melihat dia sedih semula. Kerana itu, saya harap ada pihak sudi membantu ibu saudara saya ini kembali semula menetap di tanah air yang telah ditinggalkannya sekian lama. Ini negaranya, dia lahir di sini dan ibu bapa mereka juga orang sini. Cuma kepayahan hidup pada zaman perang yang membawa dia ke sana sedangkan itu bukan negaranya," katanya. -SH

Tiada ulasan: