Kelab Greenboc |
- Afdlin Shauki Sertai UMNO Selepas Lakon Jadi Datin Maimon
- Dibelasah Sampai Mati Kerana Bermesra Dengan Isteri Orang
- Ibu Nur Amalina Sangkal Pendedahan Blog Mengenai Anaknya. - Ulasan GB
- Ibu Mertua Safwan Bangga Ada Menantu Yang Berani Perjuangkan Hak
- [Video] Apa Erti Dakwat Kekal Jika Daftar Pemilih Tidak Dibersihkan?
- Wanita UMNO Dapat Ceramah Khas Dari Auntie BERS✔H [kemaskini dgn video]
- Dua Beranak Parah Diragut Di Dungun
Afdlin Shauki Sertai UMNO Selepas Lakon Jadi Datin Maimon Posted: 04 Jan 2012 12:30 AM PST Selepas Datin Maimon, Afdlin Shauki sertai Umno KUALA LUMPUR, Jan 4: Selepas menghiburkan rakyat Malaysia dengan watak Datin Maimon, yang seolah-olah terselit dengan pelbagai mesej tersirat, pelawak terkenal Afdlin Shauki, bersama rakannya Harun Salim Bachik tiba-tiba mengumumkan menyertai Umno. Gambar: Afdlin Shauki sebagai Datin Maimun dalam Maharaja Lawak Mega Dua anggota kumpulan Boboi, yang menjadi naib juara dalam program Maharaja Lawak Mega (MLM) dikatakan telah menyerahkan borang keahlian Umno semalam. Keputusan sekadar mendapat tempat kedua dalam pertandingan dikira amat mengejutkan para peminat Boboi kerana persembahan Afdlin dan Harun dalam peringkat final MLM sebagai Datin Maimon dan hantu minyak cukup menghiburkan. Sebagai Datin Maimon, Shauki cukup mencuit hati penonton dengan gaya rambut besar dan lenggok menawan sambil menyelitkan lawak-lawak seperti cincin berlian dan beg tangan jenama mewah termasuk poco-poco dan senam aerobik. Bukan itu sahaja, Shauki turut menghiburkan penonton dengan lawak air zamzam dan peluru yang baru dibawa pulang dari Mekah beserta lagu 'Ghost Buster' yang ditukar liriknya untuk membasmi orang minyak yang dilakonkan oleh Harun. Kepada para peminat politik, sudah tentu perkataan-perkataan dan aksi-aksi yang digunakan Shauki lebih melucukan kerana minda mereka akan terbayangkan seseorang meskipun Shauki tidak berniat atau menyedari lakonannya akan mempunyai kesan sedemikian. Dengan penyertaannya ke dalam Umno, diharap Afdlin akan terus menyumbang ke dunia hiburan tanah air tanpa sebarang sekatan dan halangan terhadap usaha murninya untuk memajukan industri seni negara. Selamat maju jaya buat Afdlin dan Harun! -HD Lucu! Bik Mama jadi bahan lawak Afdlin Shauki! Ulasan GB Rakyat berpersepsi ini kes "cari makan" dan kena tekan sampai kena sain borang sertai UMNO, tak begitukah Afdlin Shauki & Harun Salim Bachik? |
Dibelasah Sampai Mati Kerana Bermesra Dengan Isteri Orang Posted: 03 Jan 2012 08:46 PM PST Padah keluar dengan isteri rakan baik JOHOR BAHRU: Padah keluar dengan isteri kenalan baik, seorang lelaki maut dibelasah dan ditikam suami kepada wanita terbabit menggunakan objek tajam di sebuah pasar raya di Plentong di sini, malam kelmarin. Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa, Sarmin Arsad, 40, dikatakan baru selesai membeli-belah bersama wanita berusia lingkungan 30-an terbabit. Difahamkan, suspek yang terserempak dengan isterinya bersama Sarmin di perkarangan tempat letak kenderaan pasar raya berkenaan terkejut melihat gelagat dan aksi mereka ketika berjalan bersama. Suspek yang berang menyaksikan perkara itu terus menyerang mangsa dan menghamburkan kata-kata kesat sebelum nekad menyerang serta menikam Sarmin. Akibat panik dengan tindakannya sendiri, suspek melarikan diri manakala Sarmin dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan. Sarmin bagaimanapun disahkan mati sejurus tiba di HSI. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, mangsa mati ketika dalam perjalanan ke HSI akibat pendarahan teruk selepas dibelasah dan ditikam di dada sebelah kiri menggunakan objek tajam. "Suspek yang berusia 41 tahun melarikan diri sejurus kejadian namun kami berjaya menahannya beberapa jam selepas itu. Dia kini direman untuk siasatan lanjut. "Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSI untuk bedah siasat dan kejadian terbabit mencetuskan suasana panik di kalangan pelanggan pasar raya berkenaan," katanya. Menurut Roslan, pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian dan orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kes diminta tampil membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -hm Kekasih gelap mati dibelasah Ulasan GB Yang anehnya, si perempuan, tahu sudah menjadi isteri orang kenapa masih tergamak bermain kayu tiga sama suami? |
Ibu Nur Amalina Sangkal Pendedahan Blog Mengenai Anaknya. - Ulasan GB Posted: 03 Jan 2012 07:12 PM PST Johor Bahru: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005, Nur Amalina Che Bakri terus cemerlang dalam pengajian perubatan di Universiti Edinburgh apabila meraih banyak pengiktirafan universitinya selain beberapa kajiannya diterbitkan dalam jurnal institusi pengajian tinggi di United Kingdom (UK). SABARIAH menunjukkan laman blog yang dipercayai menyiarkan laporan fitnah terhadap anaknya di SMK Taman Johor Jaya 2, semalam. Nur Amalina didakwa masih jadi pelajar cemerlang di universiti. Malah pelajar yang mendapat 17A SPM itu, kini menjalani latihan amali di sebuah pusat perubatan terkemuka di UK, dan dijangka menamatkan pengajian pada Mei ini. Ibunya, Sabariah Hassan berkata, setiap hasil kerja anaknya dipuji pensyarah dan rakan sekelasnya malah Nur Amalina kini sedang bertungkus-lumus menyiapkan sebuah buku perubatan. "Oleh itu, isu kegagalan dalam pengajian tidak timbul seperti dakwaan pihak tertentu," katanya kepada pemberita di sini semalam. Beliau memanggil sidang media bagi memberi penjelasan berhubung laporan beberapa blog mendakwa Nur Amalina kini menjalani gaya hidup bebas dan liar selain gagal dalam pengajian dan sudah kembali ke tanah air secara senyap. Sabariah berkata, beliau kesal dengan laporan blog itu yang melemparkan pelbagai tohmahan termasuk menyiarkan gambar peribadi anak tunggalnya berusia 23 tahun itu yang kini sedang menamatkan pengajian tahun akhir. Beliau yang juga Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Johor Jaya 2, berkata gambar yang disiarkan blog terbabit dipercayai dicuri dari laman sosial Facebook Nur Amalina. "Pakaian yang dipakai Amalina dibeli saya sendiri, manakala gambar terbabit dirakam ketika kami bersama melancong ke Paris untuk bercuti pada Ogos 2009. "Sebenarnya, gambar yang disiarkan itu gambar lama yang bersifat peribadi. Saya mengenali setiap rakannya yang turut berada dalam gambar itu," katanya. Sabariah berkata, Amalina ada menghubunginya melalui panggilan video 'Skype' kelmarin berhubung penyebaran gambarnya yang dituduh seksi itu dalam laman blog. "Dia ketawa ketika menceritakan perkara itu kerana sudah lali dengan tohmahan sebegini. Ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku. Mungkin ada orang cemburu dengan kejayaan anak saya selama ini," katanya. -BH Ulasan GB Pertama, GB mengucapkan terima kasih kepada ibu Nur Amalina yang telah memberikan respons sekalipun menafikan berita yang tersiar di dalam blog ini semalam mengenai kisah anaknya yang sebelum ini telah tersiar dan tersebar di ruang maya ini tentang "perubahan" yang berlaku kepada anaknya. Apa yang tersiar di blog GB semalam, seperti yang GB tuliskan semalam dihujung catatan dalam bentuk kredit, ia adalah petikan dari blog wikimalay. Apa yang tertulis di situ iaitu Nur Amalina mungkin benar atau tidak, maka sebab itu tajuk yang GB gunakan adalah dalam bentuk soal "Benarkah Nur Amalina Che Bakri Pelajar 17A1 Jadi Begini?" Amalina dikatakan telah gagal di UK dan telah pulang ke Malaysia secara senyap..namun, berita ini masih belum sahih..namun, berita kegagalannya banyak berpuca daripada kejutan budaya dan hidupnya di UK yang SOSIAL... Tetapi gambar/foto/imej yang tersiar itu tetap benar dan sahih. Tiada penafian malah dibenarkan oleh pengakuan ibunya sendiri bahawa ibunya sendiri yang membelikan pakaian itu . Kedua, lawatan ke facebook Nur Amalina mendapat facebooknya telah ditutup/deactivated. Ketiga, Gambar-gambar yang tersiar dan tersebar di internet sememangnya dipetik dari laman facebook Nur Amelina sendiri. GB ingin menyangkal dakwaan menyatakan ia dicuri. Kerana di internet, apabila seseorang itu menyiarkan gambar/foto/imej, maka ia adalah untuk tatapan dan perkongsian kepada umum hatta sebarang gambar peribadi sekalipun. Pengajarannya di sini ialah jika anda tidak mahu gambar/foto/imej diambil orang, maka tidak sewajarnya ianya dipaparkan difacebook. Di internet tiada siapa yang boleh mendakwa "itu hak aku" kerana jika ia hak anda semata-mata, mengapa ianya didedahkan kepada orangramai? Di era teknologi internet yang semakin berkembang, apa-apa maklumat yang terdapat di internet adalah DISIFATKAN DAN DIANDAIKAN "PERCUMA" KECUALI ada klausa yang menyatakan maklumat itu dilindungi oleh undang-undang (pattern rights). Itu pun "cap dagangan" itu perlu didaftarkan, bukan sekadar tulis "©hakcipta terpelihara". Itu tak membawa apa-apa makna. Seperti yang GB telah nyatakan sebelum ini: Pertama saya ingin menyatakan bahawa pendedahan berkenaan tidak ada unsur "malafide" atau berniat jahat. Bukan saja GB, ramai yang terkilan dengan pendedahan gambar/foto/imej yang dilakukan sendiri oleh Nur Amelina lewat facebooknya. Mengapa Nur Amelina berbuat demikian? Apatah lagi gambar profilnya untuk memperkenalkan diri adalah sekeping foto beliau berpakaian tanpa bertudung berposing berpelukan dengan seorang lelaki Mat Salleh? Apakah penjelasan terhadap hal tersebut? Malah jawapan terakhir Nur Amelina sendiri, beliau lansung tidak menafikan sebaliknya menyatakan: "I don't care what people say about me as I wear my pain everyday." Didapati bahawa gambar/foto/imej tersebut dan kesemua imej yang tersiar di facebooknya adalah asli, tidak menggunakan photoshop. Dan ibu Nur Amelina membuat pengakuan: "Pakaian yang dipakai Amalina dibeli saya sendiri, manakala gambar terbabit dirakam ketika kami bersama melancong ke Paris untuk bercuti pada Ogos 2009. Jika betul demikian, maka adalah tidak wajar ianya dipertontonkan di khalayak ramai di facebook. Jadi tidak perlu menuduh ia sebagai "fitnah" kerana fitnah merujuk kepada mengadakan sesuatu yang tidak ada atau tidak berlaku sedangkan apa yang berlaku ialah gambar/foto/imej itu adalah BENAR. Perbuatan salah tetap salah walau cuba dibela dengan apa cara sekalipun. Itu hukum kebenaran. Kepada semua, anggaplah apa yang berlaku sebagai satu pengajaran. klik untuk baca |
Ibu Mertua Safwan Bangga Ada Menantu Yang Berani Perjuangkan Hak Posted: 03 Jan 2012 02:30 PM PST Saya bangga ada anak menantu yang begitu KUALA LUMPUR, 3 Jan: "Saya bangga ada anak dan menantu yang sebegini dan saya harap ramai lagi mahasiswa yang akan bangkit untuk memperjuangkan yang hak." Gambar: Puan Mariam ketika bercakap kepada para pemberita Demikian kata Puan Mariam Abdul Rashid, ibu mertua kepada Muhammad Safwan Anang, mahasiswa yang mendakwa dibelasah teruk oleh anggota polis ketika insiden demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini. Puan Mariam berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas melawat menantunya Safwan yang baru keluar dari hospital. Ketika bercakap kepada media, Safwan berkata, dia ditumbuk sekali di bahagian muka dan ditendang dengan lutut oleh anggota polis. Kejadian itu berlaku apabila beliau cuba membebaskan rakannya yang sedang diheret oleh polis di malam tahun baru 2012 di Univerisiti Perguruan Sultan Idris. "Bangga..." kata Puan Mariam sambil tersenyum kepada wartawan yang bertanya kepada beliau tentang Safwan yang terpaksa diusung ke hospital selepas dipukul. "Dia menantulah dan anak saya juga seorang aktivis pelajar," kata Puan Mariam. "Bangga..sebab mereka sangat berani untuk memperjuangkan yang hak dan juga untuk membela nasib yang lain. "Walaupun kita rasa agak sedih dengan kejadian yang berlaku....menyebabkan kecederaan dan sebagainya. "Kita sangat kesal dengan tindakan polis terhadap mahasiswa yang sepatutnya diberikan kebebasan untuk menyuarakan pandangan mereka tetapi sebaliknya berlaku begitu...itu sahaja," kata Puan Mariam. Namun Puan Mariam sekali lagi menyambung dengan berkata, "Saya bangga ada anak dan menantu yang begitu....." -HD |
[Video] Apa Erti Dakwat Kekal Jika Daftar Pemilih Tidak Dibersihkan? Posted: 03 Jan 2012 09:40 AM PST Perlu perubahan menyeluruh, bukan hanya dakwat kekal PETALING JAYA, 3 Jan: Biarpun kerajaan mengumumkan dakwat kekal akan digunakan pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti, namun Pakatan Rakyat berpendapat ianya masih tidak boleh menjamin proses pilihan raya bersih dan telus. Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pilihan raya yang adil memerlukan prubahan secara menyeluruh bukan sahaja kepada penggunaan dakwat kekal. Ianya termasuk pembersihan daftar pemilih, kebebasan media, undi pos serta pengurusan pilihan raya secara keseluruhannya. "...perlu kepada pembersihan pilihan raya secara menyeluruh bukan hanya kepada penggunaan dakwat kekal sahaja. "Ia meliputi pembersihan daftar pemilih, kebebasan media, pengurusan pilihan yang cekap dan juga termasuk undi pos. Jika ini tidak dilakukan perubahan maka sistem pilihanraya di negara ini tidak akan bersih," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR di Tropicana di sini. Turut bersama pada sidang media itu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta Presiden PKR Datin Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Masih curiga Sementara itu Anwar mendakwa, Pakatan Rakyat masih curiga dengan janji pembaharuan pilihan raya oleh kerajaan khususnya dalam perkara berkaitan daftar pemilih. Ini kerana terdapat perubahan pada saat akhir terhadap senarai pengundi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). "Kita menggesa senarai pengundi dibersihkan. Kita masih curiga dengan proses sekarang kerana berlaku perubahan pada daftar pemilih di saat akhir," katanya. Dalam pada itu juga Anwar turut memaklumkan Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 akan berlangsung di Alor Setar, Kedah pada 13 dan 14 Januari ini. Konvensyen kali ini katanya memilih tema 'Bersihkan Malaysia'. Ulasan GB Bagi GB, penggunaan dakwat kekal tidak bermakna apa-apa JIKA daftar pemilih yang ada belum dibersihkan terlebih dahulu. Terdapat banyak aduan mengenai penambahan luarbiasa bilangan pengundi yang dkesani terutama di kawasan-kawasan pilihanraya di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Justeru itu, prioriti sepatutnya diberikan kepada pembersihan daftar pemilih sepertimana yang dituntut oleh rakyat lewat BERSIH 2.0. |
Wanita UMNO Dapat Ceramah Khas Dari Auntie BERS✔H [kemaskini dgn video] Posted: 03 Jan 2012 06:57 AM PST Sekumpulan Wanita Umno mendapat 'ceramah khas' dari Annie Ooi Siew Lan atau nama popularnya, 'Untie Bersih' di depan Balai Polis Dang Wangi hari ini. Annie bertindak demikian secara spontan semasa kumpulan Wanita Umno itu tiba di balai tersebut untuk membuat laporan polis berhubung himpunan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Januari ini. "Untuk apa kamu ada di sini? Kamu perjuangkan siapa? Kamu sepatutnya memperjuangkan mahasiswa yang di pukul (di UPSI) itu dan jangan bersubahat dengan mereka yang membuat ganas terhadap mahasiswa yang hanya berhimpun secara aman," kata Annie. Nasihat beliau itu bagaimanapun disambut Wanita Umno terbabit dengan menyatakan 'mana ada mahasiswa di pukul, tidak ada, tidak ada'. Manakala seseorang menyampuk dengan berkata 'tengok videolah, video ada, ada bukti. Jangan jadi lembu'. Ceramah ringkas Annie beberapa minit itu bagaimanapun tamat selepas wartawan mengerumuni beliau bersama kumpulan Wanita Umno terbabit. Ketika ditemui wartawan, Annie bagaimanapun terkejut apabila diberitahu wanita Umno itu datang kerana mahu membuat laporan polis terhadap himpunan menyokong Anwar pada 9 Januari ini. "Kes anak muda dipukul jauh lebih penting dari buat report itu. Sebagai wanita, mereka (Wanita Umno itu) sepatutnya memperjuangkan anak muda dan bukannya bersubahat dengan kerajaan sekarang yang berterusan menyekat kebebasan rakyat yang hanya berhimpun secara aman bagi menyuarakan pendapat," tegasnya yang juga bekas guru. Annie mula dikenali selepas beliau terlibat dalam himpunan Bersih di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu. Beliau hadir di balai itu bagi memberi sokongan moral terhadap mahasiswa yang membuat laporan polis akibat dikasari dalam insiden yang berlaku di UPSI, baru-baru ini. -kd |
Dua Beranak Parah Diragut Di Dungun Posted: 03 Jan 2012 04:25 AM PST Rajawali – Seorang guru taska terpaksa bertarung nyawa ketika cuba mematahkan cubaan seorang penjenayah yang cuba menyentap beg tangan miliknya yang diletakkan di dalam bakul motosikal. Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu dipercayai berlaku ketika guru taska terbabit, Norita Omar, 37, bersama anaknya, Najmi Aiman, 5 dalam perjalanan pulang ke rumahnya dekat Pelandang selepas pulang dari sebuah klinik di bandar Dungun. Sebaik melepasi sebuah jambatan di kawasan yang agak jauh dari penempatan penduduk itu, Norita yang menunggang motosikal dikatakan secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali bermotosikal dari arah belakang, lalu bertindak menyentap beg tangan miliknya yang diletakkan di dalam bakul motosikal bersama anak lelakinya. Motosikal yang ditunggang guru Taska Afzan Pulau Serai itu hilang kawalan menyebabkan ia berpusing beberapa kali sebelum terbabas. Tragedi itu difahamkan sempat disaksikan seorang pemandu sebuah kereta Perodua Kembara lalu bertindak mengejar suspek berkenaan. Sebaik menyedari tindakannya disaksikan orang ramai, suspek dikatakan telah meninggalkan motosikalnya dan berjaya melarikan diri ke kawasan perumahan berdekatan. Dia dihantar ke Hospital Dungun oleh orang awam untuk rawatan lanjut. Menurut mangsa yang sempat ditemui Sinar Harian ketika ingin menaiki ambulans berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Klinik Rakyat ke Pelandang Pulau Serai kerana menghantar anaknya yang demam. Katanya, kejadian itu berlaku begitu pantas, namun dia bersyukur kerana kedua-duanya selamat. Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian muka, lengan dan paha manakala anaknya cedera parah di kepala kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. -SH |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan