Rabu, 25 Januari 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


AirAsia disaman di Australia

Posted: 25 Jan 2012 05:26 AM PST


MALAYSIA KINI

AirAsia disaman sebuah suruhanjaya pengguna di Australia kerana syarikat penerbangan tambang murah itu didakwa gagal menyatakan tampang penuh perkhidmatannya dalam laman web.

Syarikat yang menjalankan penerbangan keluar daripada Gold Coast, Melbourne dan Perth itu dinamakan dalam dokumen yang diserahkan kepada Mahkamah Persekutuan Melbourne pada Selasa, lapor AFP.

Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australia, badan pemantau urusan kepenggunaan negara itu, mendakwa terdapat tambang di laman web AirAsia tidak menyatakan harga semua cukai, duti dan caj-caj lain.

"Pernigaan yang memilih mengiklankan sebahagian harga setuatu produk atau perkhidmatan harus juga memaparkan harga tunggal keseluruhannya," katanya dalam kenyataan media.

AirAsia tidak dapat dihubungi dalam tempoh segera bagi mendapatkan ulasannya.

Mahkamah sebut semula kes Kugan 13 Feb

Posted: 25 Jan 2012 05:19 AM PST

MALAYSIA KINI

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan 13 Februari depan untuk menyebut semula kes Konstabel V Navindran yang diperintah membela diri atas dua pertuduhan pilihan mencederakan tahanan, A Kugan.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail memohon tarikh sebutan baru.

Kes itu akan disebut semula di depan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Aslam Zainuddin, yang mendengarnya sebelum ini di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Navindran, 30, didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di bilik soal siasat D9, Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya dekat sini pada jam 7 pagi dan 4 petang 16 Januari 2009 mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Januari 2009, Aslam melepas dan membebaskan Navindran daripada pertuduhan utama iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Kugan, suspek kes curi kereta mewah yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis. Bernama

Pereka fesyen Sydney: Rosmah memang buat pembelian

Posted: 25 Jan 2012 05:16 AM PST

Pereka fesyen Sydney, Carl Kapp mengesahkan bahawa isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor telah membuat pembelian di kedainya, tetapi menafikan pernah berkata bahawa Rosmah telah membelanjakan A$100,000.

NONEMenjawab dalam satu kenyataan hari ini atas pemintaan Malaysiakini untuk mendapatkan komennya, Kapp (kanan) berkata, Rosmah dan "kumpulan yang agak besar" semasa lawatan tersebut "membuat pelbagai pembelian".

Kapp berkata, beliau tidak didedahkan jumlah yang dibelanjakan, seperti yang telah dinyatakan dalam blog fesyen Frockwriter dan kolum 'Private Sydney' dalam akhbar Sydney Morning Herald.

"Saya ingin menjelaskan bahawa dalam kenyataan saya mengenai kunjungan pelanggan kehormat tersebut, saya tidak pernah membuat apa-apa rujukan khusus kepada jumlah yang dibelanjakan di kedai Paddington saya," kata Kapp dalam satu kenyataan jelas dibuat dengan berhati-hati.

"... Semasa lawatan mereka, anggota rombongan (Rosmah), termasuk rakan-rakan serta pengerusi dan penganjur Festival Fesyen Islam telah membuat pelbagai pembelian secara berasingan. Saya percaya Datin Sri Rosmah adalah penaung Festival Fesyen Islam. "

Frockwriter melaporkan pada 17 Januari lalu, berdasarkan temubual dengan Kapp, bahawa "Rosmah telah menempah 61 helai sutera".

"Berdasarkan harga purata dalam koleksi beliau - yang bermula pada harga A$400 dan hingga ribuan dolar, Frockwriter menganggarkan ia boleh mencecah A$100,000," tulis blogger Patty Huntington.

Penulis kolum Andrew Hornery pula melaporkan bahawa isteri Perdana Menteri membuat "tempahan pakaian kira-kira A$100,000 di butik (Kapp) semasa bercuti di Sydney.

Menurut Kapp, artikel tersebut juga "tidak tepat" apabila mengatakan bahawa beliau "diterbangkan ke Malaysia bulan depan" semata-mata untuk faedah Rosmah.

Sebaliknya, kata beliau, lawatan ke pelbagai tempat di rantau Asia, termasuk Malaysia, bagi tujuan saluran pemasaran barangannya dan untuk mendapatkan bahan bagi produk masa depan, adalah perkara biasa dalam urusan kerjanya dan perniagaan.

Ketua Audit Negara akan perjelas tentang NFC

Posted: 25 Jan 2012 05:10 AM PST

MALAYSIA KINI


Jabatan Audit akan membuat penjelasan terperinci mengenai laporan audit 2010 tentang Pusat Fidlot Kebangsaan dalam masa terdekat, kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang semalam.

NONEDalam temubual dengan akhbar Sinar Harian, Ambrin (kanan)
berharap penjelasan itu akan menyelesaikan kemelut berlarutan tentang projek ternakan lembu itu sejak laporan audit 2010 diterbitkan Oktober lalu.

"Saya akan menjelaskan maklumkan berhubung perkara ini sedikit masa lagi," katanya dipetik akhbar tersebut.

Ambrin menegaskan demikian selepas pengerusi Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFCorp), Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail sebelum ini, menegaskan bahawa entiti perniagaan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara itu, tiada kaitan dengan NFCorp.

Sebaliknya, tegas Mohamed Salleh, ia adalah Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikendalikan oleh Kementerian kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA).

Mohamed Salleh dilaporkan berkata, berlaku kekeliruan antara NFCorp iaitu sarikat persendirian, dengan NFC, syarikat kepunyaan MoA.

NFC menjadi sasaran kritikan dan dituduh oleh pembangkang menggunakan dana awam untuk membeli kondominium mewah; membayar perjalanan ahli keluarga pengendali projek tersebut ke luar; dan RM600,000 perbelanjaan kad kredit. NFC telah menafikan dakwaan tersebut.

Penoreh mati akibat bom ikan buatan sendiri

Posted: 25 Jan 2012 05:04 AM PST

MALAYSIA KINI

Seorang penoreh getah ditemui mati dipercayai akibat terkena bom ikan buatan sendiri di Sungai Keladi, dekat Chetok, Pasir Mas petang semalam.

Mayat Yunus Yusoff, 46, ditemui pasukan penyelamat tidak jauh dari tempat kejadian pada jam 9.55 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliluddin Rahim berkata dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Yunus dikatakan sedang menangkap ikan seorang diri dengan menggunakan bahan letupan itu.

"Mangsa mati dipercayai akibat terkena bom ikan buatan sendiri dan lemas di sungai. Mayat lelaki itu juga mempunyai kesan cedera di tangan akibat terkena bom itu.

"Ini adalah kejadian kedua kematian melibatkan bom ikan buatan sendiri dan saya nasihatkan nelayan sungai agar menggunakan kaedah lama supaya kejadian yang tidak diingini ini tidak berlaku lagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Pasir Mas Azuhan Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10 malam tadi.

"Seramai 10 anggota daripada unit skuba dikerahkan ke tempat kejadian bersama tiga pegawai untuk mencari mangsa yang dipercayai lemas.

"Kami menghentikan operasi kira-kira jam 2 pagi dan menyambungnya kembali jam 9 pagi ini," katanya.

Isteri mangsa, Azizah Abdul Samad, 42, berkata ketika kejadian itu dia berada di rumah untuk memasak bagi makan malam.

"Saya tak tahu pun suami ke sungai untuk mencari ikan kerana arwah tidak memberitahu dia hendak ke mana.

"Kali terakhir saya menemuinya kira-kira jam 2.30 petang semalam selepas pulang dari menoreh getah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Kemang, Sungai Keladi, Pasir Mas hari ini. Bernama

Wartawan akhbar Cina disamun lelaki bersenjata

Posted: 25 Jan 2012 04:59 AM PST

MALAYSIA KINI

Seorang wartawan akhbar berbahasa Cina kerugian kira-kira RM48,000, apabila disamun lelaki bersenjatakan sebilah pisau yang melarikan kereta Perodua Myvinya dan barangan lain, di Kuantan semalam.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, wartawan akhbar China Press, Chow Siew Chin, 26, juga mengalami cedera ringan selepas ditumbuk oleh penyamun terbabit.

Mengulas kejadian kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya hari ini, Chow berkata insiden berlaku di hadapan pejabatnya di Jalan Dato' Lim Hoe Lek ketika beliau mahu pulang ke rumah selepas tamat waktu bertugas.

"Sampai di kereta, seperti biasa saya membuka pintu dan tiba-tiba seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an memakai topi melompat masuk di tempat duduk penumpang hadapan," katanya.

Lelaki itu yang mengacukan pisau ke lehernya kemudian menyuruh beliau menghidupkan enjin kereta dan memandu meninggalkan kawasan tersebut.

"Saya yang panik terus menjerit sekuat hati sambil menekan hon kereta. Suspek tiba-tiba berang lalu menumbuk muka dan kepala saya beberapa kali," katanya.

Bagaimanapun kata Chow, beliau berjaya membuka pintu kereta dan melarikan diri.

"Penyamun itu kemudian melarikan kereta saya," katanya yang turut kerugian wang tunai RM1,000, sebuah telefon bimbit, sebuah kamera serta pelbagai dokumen peribadi dan kunci rumah.

Rakan sekerja Chow yang mendengar jeritannya bergegas turun dari pejabat dan menyelamatkannya sebelum menghantar beliau membuat laporan polis serta mendapatkan rawatan di klinik.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, DSP Kamaruzzaman Jaafar mengesahkan menerima laporan terbabit dan sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. Bernama

Blogger: 'Wartawan gay' dedah isu beli belah Rosmah

Posted: 25 Jan 2012 04:58 AM PST

MALAYSIA KINI

Penulis blog pro-Umno hari ini mula tampil mempertahankan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa berbelanja mewah semasa lawatannya ke Australia pada awal tahun ini.

Salah satunya disuarakan blog pisau.net yang turut menyerang penulis pojok akhbar Sydney Morning Herald, Andrew Hornery – antara lainnya dengan didakwa penulis tersebut sebagai "wartawan gay."

"Apa saja yang ada kaitan dengan Pakatan mesti gay. Isu terbaru yang memfitnah Datin Seri Rosmah, berkokok sakan seantero dunia Pakatan membawa berita.

"...Rupa-rupanya sumber berita seluruh haprak Pakatan dari seorang wartawan gay dan paling teruk di Australia," tulisan di blog itu dipetik.

Tulisan itu juga menyatakan bahawa Hornery merupakan penulis kolum gosip dan bukannya wartawan berita.

Menurut blog berkenaan lagi, Hornery disenaraikan di dalam satu laman web yang mengumpulkan "wartawan paling teruk" Australia – www.australiasworstjournalist.com.au.

Laman tersebut antara lainnya mendakwa Hornery tidak menulis semula fakta dengan tepat dalam tulisannya.

Kandungan blog berkenaan turut disebarkan oleh bekas ahli parlimen PKR, Datuk Zulkifli Noordin dan juga unit perang siber Umno, Unit Media Baru di laman Twitter.

Tulisan berkenaan timbul selepas Hornery mempertahankan dakwaannya hari ini bahawa Rosmah telah berbelanja mewah semasa lawatannya ke negara itu.

Rosmah semalam menyangkal dakwaan Hornery yang dibuat dalam seksyen 'Private Sydney' harian itu dengan menyifatkannya sebagai "karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar".

Sha'ani tegur polis berhubung kenyataan 'bodoh'

Posted: 25 Jan 2012 04:49 AM PST

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Mohd Sha'ani Abdullah naik angin hari ini berhubung apa yang disifatkan sebagai "kebodohan" dan ketidakmatangan pegawai kanan polis dan kenyataan mereka mengenai gangguan di ceramah anti-BN, di Klang baru-baru ini.

Sebagai pegawai kanan, katanya, standard mereka adalah jauh lebih tinggi dan mereka mesti tahu fakta dan tahu tanggungjawab mereka.

Bercakap kepada pemberita di ibupejabat Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia Malaysia (Suhakam) di ibunegara hari ini, Mohd Sha'ani berkata beliau tidak boleh menerima kenyataan mereka.

NONESebaliknya, kata beliau, mereka perlu berusaha supaya dihormati dan tidak hanya menunjukkan bahawa mereka adalah 'bos'.

Mohd Sha'ani (kanan) bagaimanapun menjelaskan bahawa ini adalah pandangan peribadi beliau, walaupun beliau akan membentangkannya kepada Suhakam.

Beliau berkata, pihak polis adalah mewakili semua anggota masyarakat, dan bukan hanya majoriti.

Beliau membidas polis kerana didakwanya seolah-olah membuat alasan menyebelahi pihak orang yang bertindak ganas, untuk mereka berbuat sesuka hati, sehingga menjejaskan hak asasi manusia mereka yang menjadi mangsa serangan.

Katanya, institusi unggul di Malaysia itu tidak memahami prinsip-prinsip hak asasi manusia, sambil menyifatkan sebarang kompromi terhadap hak asasi manusia untuk "tujuan keselamatan sebagai satu penyalahgunaan kuasa".

NONEBeliau menegaskan bahawa polis sepatutnya menjaga keamanan dan mencegah kejadian yang tidak diingini, dan bukannya berkompromi dan mengurangkan hak-hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Daerah Shah Alam dan polis berhubung kejadian itu Sabtu lalu apabila kira-kira 20 remaja, yang mungkin termasuk ahli Umno dan BN, didakwa mengganggu ceramah yang diadakan oleh gerakan anti-BN - Asalkan Bukan Umno (ABU).

Pihak polis telah dilaporkan mengulas bahawa ceramah yang menurut mereka bermula semasa solat dan mengandungi ucapan yang menimbulkan kemarahan lebih 1,000 penduduk kampung, terpaksa dibatalkan ekoran bantahan penduduk.

Polis juga menegaskan bahawa tidak berlaku sebarang kerosakan di tempat ceramah dan gerai-gerai sekitarnya dan tidak ada yang cedera.

Bagaimanapun, penganjur ABU yang datang untuk membuat laporan kepada Suhakam hari ini mempertikaikan satu persatu kenyataan tersebut.

6 remaja ditahan bantu siasat kes ganggu ceramah ABU

Posted: 25 Jan 2012 04:45 AM PST

Polis menahan enam orang remaja untuk membantu siasatan berhubung kejadian gangguan terhadap majlis ceramah pergerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) di Jalan Kebun, Shah Alam, Sabtu lalu.

abu ceramah disturbed 220112 05Mereka termasuk seorang pelajar tingkatan empat, seorang pelajar tingkatan lima dan pelajar orang yang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Manakala yang lainnya menganggur.

Tiga daripada mereka ditahan pada 24 Januari lalu, manakala tiga lagi ditahan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob memberitahu satu sidang akhbar bahawa mereka berusia antara 16 hingga 19 tahun.

NONEMenurut ACP Zahedi (kiri), mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 148,
Kanun Keseksaan. Seksyen berkenaan berkaitan kesalahan rusuhan.

Katanya, kesemua mereka - semuanya penduduk tempatan di situ - telah dibebaskan dengan ikat jamin polis pagi ini.

"Kita tidak reman mereka, tetapi kita mengambil keterangan mereka," katanya.

Polis juga, katanya, sedang mengesan beberapa orang lagi individu untuk membantu siasatan kes tersebut.

"Masih lagi (dalam siasatan). Belum sudah lagi (siasatan). Kita mencari individu yang dikenalpasti, mengenai rakaman termasuk video yang disumbangkan oleh Encik Kumaran dalam Youtube Malaysiakini.

abu ceramah disturbed 220112 04"Jadi kita mencari pesonaliti kedua-dua pihak," tegasnya dalam sidang yang turut dihadiri dua lagi pegawai atasan polis daerah tersebut.

Dalam kejadian pada 21 Januari lalu, ceramah ABU di Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Shah Alam di Jalan Kebun itu, terpaksa ditunda selepas diganggu sekumpulan lelaki yang dilapor bersenjatakan kayu dan topi keledar.

Akibat serangan tersebut, seorang lelaki berusia 33 tahun mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital. Mangsa kini dilaporkan stabil dan masih trauma dengan kejadian tersebut.

Dalam sidang media itu juga, Zahedi berkata seramai 30 lelaki bermotosikal yang mengetahui ceramah tersebut melalui kain rentang yang dipasang, telah menghala ke dewan itu untuk menghalang perjumpaan atau ceramah berkenaan.

NONEKemudian, katanya, berlakunya perbalahan, termasuk kata-kata
kesat dan menyinggung kedua-dua pihak, sehingga berlakunya kekecohan sehingga menyebabkan ada yang mengalami kecederaan.

"Polis dimaklumkan mengenai perkara itu selepas kekecohan berlaku dan dapat mententeram (keadaan) sesudah tiba dilokasi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahedi berkata, setakat ini pihaknya menerima enam laporan polis berhubung insiden berkenaan dan tindakan telah diambil terhadap laporan tersebut.

"Kita akan mengambil tindakan jika berlakunya kesalahan. Negara kita demokratik dan berpelembagaan, maka dalam konteks ini setiap orang sama mengikut undang-undang.

"Kita laksanakan tugas kita dengan adil dan saksama dan berpegang teguh dengan undang-undang di negara ini," katanya.

Ambrin: NFC tak 'kucar-kacir' tapi wujud kelemahan

Posted: 25 Jan 2012 04:00 AM PST

MALAYSIA KINI

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang hari ini menjelaskan bahawa badan itu tidak pernah menyatakan mengenai "penyelewengan" ataupun "kucar-kacir" dalam laporannya ke atas projek National Feedlot Centre (NFC).

Katanya, Jabatan Audit Negara tidak sepatutnya bertanggungjawab ke atas istilah berkenaan, yang digunakan dalam laporan media berhubung kontroversi kes berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek tersebut memandangkan kerajaan telah menangguhkan pelaksanaan projek berkenaan pada Mei 2009, sebelum audit dijalankan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ambrin berkata badan itu juga menyerahkan kepada polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya terdapat unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek tersebut.

Ambrin juga berkata, audit yang dijalankan itu juga memfokuskan ke atas projek NFC dan bukannya National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).

Berikut ialah kenyataan penuh daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang:

Ekoran laporan media mengenai beberapa isu yang menghubungkaitkan Jabatan Audit Negara (JAN) dengan projek fidlot di Gemas, Jabatan Audit Negara ingin memberi penjelasan seperti berikut:

Perkara yang menjadi fokus utama pengauditan prestasi yang dijalankan oleh JAN ialah pencapaian projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) sejak penubuhannya pada tahun 2006 dan bukannya National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) sebagai sebuah syarikat.

NFCorp adalah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia di mana Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang satu golden share bernilai RM1, manakala modal berbayar berjumlah RM1.11 juta telah disumbangkan oleh Agroscience Industries Sdn Bhd.

Projek ini diaudit memandangkan ia penting dari segi pengeluaran makanan negara yang mana Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar berupa:

i) Peruntukan di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (KPIAT) berjumlah RM73.64 juta di bawah RMKe-9 bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasian. Daripada peruntukan ini, sejumlah RM48.71 juta telah dibelanjakan setakat akhir tahun 2010 oleh KPIAT untuk menyediakan tapak seluas 5,000 ekar bagi projek ini. Kawasan ini kemudiannya dikurangkan kepada 2,000 ekar sahaja.

ii) Geran pelancaran untuk penyediaan infrastruktur berjumlah RM13 juta diluluskan kepada NFCorp pada bulan September 2007 dan setakat akhir tahun 2010 sejumlah RM6.52 juta telah dibayar kepada NFCorp untuk syarikat ini menyediakan infrastruktur seperti kandang dan jalan ladang.

iii) Pinjaman mudah (soft loan) juga telah diluluskan kepada NFCorp. yang berjumlah RM250 juta menerusi satu perjanjian pinjaman yang telah ditandatangani pada Disember 2007. Setakat Mac 2010, sejumlah RM134.7 juta telah dikeluarkan kepada NFCorp berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat kepada Kementerian Kewangan.

Tujuan pengauditan dilaksanakan adalah untuk menilai sama ada projek PFN telah dirancang dan dilaksanakan dengan teratur dan berhemat serta mencapai objektif yang ditetapkan. Pengauditan ini melibatkan semakan terhadap maklumat yang diperolehi daripada beberapa agensi Kerajaan seperti KPIAT, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan juga daripada pegawaipegawai NFCorp semasa lawatan tapak dilakukan pada bulan Mac 2011.

Berdasarkan analisis audit yang bersandarkan kepada maklumat tersebut, pemerhatian-pemerhatian audit telah dibuat secara bertulis untuk mendapatkan pengesahan dan maklum balas daripada pihak-pihak ini. Selain itu, perbincangan menerusi Exit Conference telah dibuat dengan wakil-wakil KPIAT sebagai Kementerian yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan projek ini sebelum laporan audit dimuktamadkan untuk dimuatkan ke dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010.

Analisis audit mendapati objektif projek PFN masih belum dicapai sepenuhnya. Ini disebabkan berbagai faktor yang dihuraikan dalam LKAN 2010. Antaranya, mengikut perjanjian pelaksanaan yang ditandatangani pada bulan Mac 2010, sasaran pengeluaran PFN iaitu 38,600 ekor lembu untuk tahun 2010 belum dicapai kerana Entreprenuer Development Program (EDP) yang melibatkan 130 pengusaha ladang satelit belum dilaksanakan lagi.

Jika dibaca keseluruhan LKAN 2010 itu, tidak ada pun disebut perkataan-perkataan seperti kucar kacir, 'in a mess' atau pun penyelewengan. Perkataan-perkataan ini telah digunakan oleh pihak-pihak lain dan JAN tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan.

Pada pendapat JAN, sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek ini terpulanglah kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pada perspektif audit, sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek ini. Jikalau tidak, mengapa pada bulan Mei 2009 (sebelum pengauditan dijalankan), kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan PFN sehingga satu kajian viability and business model (model perniagaan) dijalankan bagi projek ini?.

Perkara ini ada dinyatakan dalam LKAN 2010. Ianya membayangkan Kerajaan Malaysia sememangnya sedar akan kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek ini dan telah pun mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju projek ini.

JAN ingin menjelaskan bahawa pengauditan terhadap projek PFN ini telah dibuat secara bebas dan profesional tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak. Sebarang kenyataan yang mempertikaikan kewibawaan dan integriti juruaudit JAN adalah dikesali.

Penjara pemandu nahas maut dikaji

Posted: 24 Jan 2012 03:51 PM PST

Oleh Khairulmizan Yahya

Polis harap hukuman mandatori tingkat kesedaran


KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia mempertimbangkan cadangan untuk mengenakan hukuman penjara mandatori ke atas pemandu yang menyebabkan kemalangan maut.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rasid, berkata saranan itu harus diperhalusi bagi memastikan keberkesanannya.

"Jika hukuman penjara mandatori ke atas pesalah boleh menyedarkan orang lain daripada melakukan perkara sama, kenapa tidak kita lakukan," katanya ketika mengulas cadangan Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye yang mahu kerajaan mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan maut.

Lam Thye berkata, kerajaan juga perlu menimbang untuk memperkenalkan skim 'pandu selamat, kurang bayaran' yang bermaksud, pemandu mengikuti kursus pemanduan berhemah layak dikenakan bayaran premium insurans lebih rendah untuk kenderaan masing-masing.

Salleh yang ditemui selepas tinjauan Ops Sikap ke-25 di Kilometer 20 Jalan Kuantan-Gambang, dekat Batu 12, semalam berkata, hukuman penjara mandatori hanya dikenakan kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut.

Sementara itu, beliau berkata, Ops Sikap pada hari kelapan menunjukkan perkembangan positif dari segi perangkaan kemalangan maut dan jumlah kematian berbanding tempoh sama pada Ops Sikap ke-23 Tahun Baru Cina tahun lalu.

"Setakat semalam (kelmarin), sebanyak 82 kes kemalangan maut membabitkan 93 kematian berbanding tempoh sama pada Ops Sikap ke-23 yang mencatatkan sebanyak 94 kemalangan maut dengan 103 kematian iaitu penurunan sebanyak 9.7 peratus jumlah kematian.

"Penunggang motosikal menjadi penyumbang tertinggi kemalangan maut pada Ops Sikap kali ini apabila mencatatkan 48 kemalangan maut iaitu 60 peratus berbanding kenderaan lain," katanya.

Beliau berkata, jumlah saman yang dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan setakat kelmarin sebanyak 152,356 saman iaitu meningkat sebanyak 63 peratus berbanding tempoh sama pada Ops Sikap ke-23 yang mencatatkan 93,291 saman.

"Saman yang dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan namun kesalahan paling banyak dilakukan adalah melanggar had laju iaitu satu daripada enam kesalahan yang diberi tumpuan pada Ops Sikap ke-25 ini," katanya.

KDN Sasar 100,000 Penguasa Sertai Rondaan Cegah Jenayah

Posted: 24 Jan 2012 03:49 PM PST

MSTAR ONLINE

SEPANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mensasarkan untuk mendapat penyertaan 100,000 anggota penguatkuasa daripada agensi-agensi di bawahnya dan sukarelawan untuk terlibat dalam rondaan bersama di seluruh negara bagi mengurangkan kadar peratusan jenayah, menjelang Mac depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Tan Sri Mahmood Adam berkata sehingga kini seramai 20,000 sukarelawan terdiri daripada anggota Jabatan Pertahanan Awam dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) terlibat dalam rondaan bersama itu.

"KDN yakin dapat mencapai sasaran 100,000 anggota dalam tempoh tiga bulan untuk bertugas di dalam rondaan bersama seperti yang telah disarankan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan," katanya kepada pemberita.

Mahmood berkata rondaan bersama itu adalah strategi kali keempat bagi "pendekatan strategi lautan biru" yang mana melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi-agensi di dalam KDN dan pasukan sukarelawan.

Beliau berkata seramai 40,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam rondaan bersama untuk strategi keempat " pendekatan strategi lautan biru" ini.

Mahmood berkata KDN juga sedang menimbangkan permohonan Kastam Diraja Malaysia, yang dibuat dua minggu lepas, bagi menyertai rondaan bersama itu. BERNAMA

PKR: NFC Perlu Beri Penjelasan bukan Upah NGO

Posted: 24 Jan 2012 03:39 PM PST

Oleh Afeeqa Afeera


SHAH ALAM : Tindakan Perbadanan Fitlot Kebangsaan (NFC) yang cuba menutup pelbagai penyelewengan berhubung salah guna dana rakyat secara politik disifatkan sebagai tindakan menutup isu asal berhubung pemberian projek kepada kroni yang menjadi amalan Umno selama ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, pihak NFC seharusnya menumpukan sedikit masa untuk mengemukakan bukti bagi menafikan dakwaan yang dibuat berhubung penyelewengan dana rakyat oleh syarikat berkenaan yang gagal dilakukan sehingga hari ini.

Namun sebaliknya menurut Rafizi, NFC sejak kebelakangan ini dilihat menggunakan agenda politik dengan membawa masuk 'kaki-kaki pukul' seperti Perkasa untuk membela mereka.

Sementara itu menurut Ketua Penerangan PKR, Dr Mohamad Nur Manuty, pihaknya tidak menolak kemungkinan NGO yang digunakan untuk memberi kenyataan kepada media dibayar untuk berbuat demikian.

Umno 'perasan' BR1M dari kocek mereka

Posted: 24 Jan 2012 03:38 PM PST

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan Umno BN agar tidak mendabik dada mendakwa wang RM500 Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedang disalurkan ketika ini adalah wang dari kocek parti itu.

Sebaliknya kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad, wang tersebut adalah wang rakyat hasil dari pelbagai sumber yang dibayar kepada kerajaan.

"Umno jangan "perasan" Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 wang kocek Umno. Kain-kain rentang digantung merata kampung seolah-olah ini adalah pemberian Umno BN.

"Pada hal ini ialah wang rakyat diambil daripada berbagai sumber negara," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kain-kain rentang yang sedang dipasang Umno BN di serata kampung sempena pengagihan wang tersebut kepada rakyat.

Kain-kain rentang itu ujar Idris seolah-olah mendakwa duit RM500 yang sedang diagihkan kepada rakyat yang berpendapatan kurang RM3000 itu adalah duit Umno dan bukan duit hasil cukai yang dibayar rakyat.

"Semua rakyat yang layak wajib ambil, kerana ini adalah wang rakyat bukan wang Umno," tegasnya sambil menyifatkan ianya hanya modal kempen untuk memikat hati rakyat di musim pilihanraya.

Katanya, rakyat perlu sedar bahawa pemberian terbaru itu hanya diberi setelah 55 tahun Umno BN berkuasa dan setelah nyawa mereka di hujung tanduk.

"Selama ini pemberian ini tidak pernah terfikir oleh pemimpin Umno BN untuk memberinya.

"Keadaan yang sama juga berlaku di Terengganu, walaupun minyak ditemui sejak tahun 70an, tetapi rakyat baru dapat wang ehsan RM300 setahun apabila PAS memerintah Terengganu 1999," jelasnya lagi.

Menurutnya lagi, rakyat harus sedar bahawa Umno semakin tertekan dengan berbagai tawaran yang telah ditunjukkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat, walaupun mengalami kekangan kewangan.

Dengan prinsip penjimatan dan bebas rasuah, rakyat kini selesa di bawah Pakatan Rakyat berbanding di bawah BN sebelum ini.

"Umno terpaksa ikut (tawaran PR), jika tidak rakyat akan bangkit menolak BN.

"Sebelum jatuh biarlah tunjuk bakti terakhir untuk rakyat, sekurang-kurangnya generasi akan datang dapat melihat bahawa kerajaan Umno BN pernah memberi wang RM500 setelah 55 tahun merdeka," sindirnya.

PAS tinjau kolam udang prihatin aduan rakyat

Posted: 24 Jan 2012 03:36 PM PST

Khairul Azlam Mohamad,


SETIU: Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu dipersoalkan kerana sanggup mengenepikan kepentingan rakyat demi menjayakan Projek Taman Akaukultur Udang Bersepadu (i-SHARP).

Projek i-SHARP tersebut melibatkan kawasan seluas 1,000 hektar atau 2,400 ekar tanah yang merangkumi beberapa buah kampung penduduk seperti Kampung Nyatoh, RTB Kampung Kubang Labi dan Kampung Banggol, Permaisuri, Setiu.

Difahamkan, projek kolam udang tersebut di bawah Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan dimajukan oleh Syarikat Blue Archipelogo Berhad dari anak syarikat milik Khazanah Nasional Berhad.

Sehubungan itu, PAS dan penduduk setempat bukannya membantah sebarang bentuk projek pembangunan tetapi tidak mahu menggadai masa depan rakyat.

Kehadiran anggota Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat yang diketuai oleh pengerusinya, Zulkefly Mohamad Omar bersama beberapa orang jawatankuasa, baru-baru ini mengundang rasa kurang senang pihak pemaju projek tersebut.

Malah, ketika pimpinan PAS tersebut memasuki kawasan tapak projek telah disergah serta dihalang dari meneruskan tinjauannya bagi menyelami permasalahan sebenar rakyat.

Tinjauan Harakahdaily ke tapak projek i-SHARP bersama delegasi PAS itu hampir mencetuskan perkara yang tidak diingini serta layanan kurang baik pihak pengurusannya.

Zulkefly menjelaskan bahawa rombongannya adalah dari Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat bagi membuat tinjauan serta melihat tapak projek i-SHARP.

Kata beliau, pihaknya menerima banyak aduan tentang kesan buruk yang dihadapi oleh penduduk akibat dari kewujudan projek kolam udang tersebut.

Menurutnya, pihak PAS dan rakyat secara umum tidak menentang sebarang bentuk pembangunan tetapi tidak mahu projek yang bakal mengundang 1,001 masalah.

"Kami dari rombongan Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, masuk ke sini (tapak projek) untuk melihat sendiri keadaan kolam udang dan persekitarannya.

"Kami (delegasi) masuk pun tidak ada 'sekatan' atau 'halangan' dari mana-mana pengawal sekuriti di pintu masuk dan apa salahnya.

"Penduduk mengadu dan mereka hadapi masalah sejak projek (i-SHARP) ini dimulakan dengan kesan banjir, pencemaran alam sekitar dan sebagainya. Itu yang kami hendak tengok (tinjau) di sini," jelasnya kepada pegawai terbabit.

Menurut beliau, penduduk mendakwa projek i-SHARP telah menyebabkan berlaku banjir luar biasa, tanaman petani rosak, kehadiran kera hutan masuk kampung dan sebagainya.

Selepas kurang 10 minit, rombongan PAS itu beredar bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Turut serta mengiringi delegasi tersebut Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Terengganu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak i-Bantah, Dr Azman Ibrahim.

Harakahdaily difahamkan, delegasi lajnah tersebut juga akan membuat tinjauan alam sekitar di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu serta hakisan ombak di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu.

Pemuda PAS Selangor kecam pasang kain rentang

Posted: 24 Jan 2012 03:35 PM PST

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak yang cuba untuk melaga-lagakan Pemuda PAS negeri dengan kepimpinan Pakatan Rakyat negeri Selangor apabila didapati beberapa kain rentang telah dipasang di Selangor yang menunjukkan sikap tidak puas hati Pemuda PAS Selangor.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan menegaskan pihaknya menafikan segala kenyataan yang tertera di kain rentang tersebut dan menganggap tindakan itu hanyalah tindakan pihak yang 'nakal' yang cuba untuk mengeruhkan hubungan baik Pemuda PAS negeri dengan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor telah mengarahkan pemuda-pemuda di setiap kawasan untuk menurunkan kain-kain rentang ini dan membuat laporan polis di tempat masing-masing," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tiada ulasan: