Jika Najib jadi mangsa, wajib tentang kezaliman Posted: 07 Jan 2012 01:29 AM PST Harakahdaily
| KUALA LUMPUR: "Jika mangsa itu adalah Datuk Seri Najib Abd Razak sekalipun, kita wajib menentang kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan at-Tantawi. Katanya, kebetulan hari ini insan yang menjadi mangsa hukuman sebelum hukuman mahkamah ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Justeru, katanya jika beliau turun pada perhimpunan 901 kelak, bukan turun untuk Anwar dan kerana Anwar. "Tetapi kerana saya mahu membawa mesej kepada kerajaan Umno dan BN bahawa rakyat menolak cara pemerintahan dan pentadbiran yang merosakan maruah orang sebelum ia dibuktikan bersalah, menghukumnya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya," tulis beliau di dalam blognya. Ini, katanya adalah satu kezaliman dan penganiayaan. Menurutnya lagi, adalah tidak baik membiarkan pemerintahan sebegitu mengurus negara dan rakyatnya. Sementara itu, Polis Kuala Lumpur membenarkan penganjuran perhimpunan Bebas Anwar 901 di tempat letak kereta luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta Isnin ini dengan syarat ia berlangsung dalam keadaan aman dan teratur. Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. pagi tadi. |
|
901: Kejayaan awal Pakatan Rakyat Posted: 07 Jan 2012 01:26 AM PST Muhammad Faizal
| PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menjelaskan apa yang berlaku hari ini menunjukkan kejayaan awal Pakatan (PR) Rakyat dan seluruh rakyat terhadap tuntutan selama ini.
Jelasnya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR petang ini, iai adalah satu usaha terbaik PR yang telah menuntut sistem yang adil dalam negara ini.
"PKR, DAP dan PAS khususnya Pakatan Rakyat hari ini menjelaskan apa yang berlaku hari ini adalah satu kejayaan awal untuk kita.
"Rakyat mahukan satu perubahan berlaku dalam sistem yang menjadi amalan Umno selama ini dan keputusan yang diberikan oleh pihak polis adalah gambaran positif Pakatan Rakyat" jelasnya.
Dalam pada itu beliau memberitahu pertemuan beliau dengan beberapa pimpinan PKR hari ini di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur dengan Ketua Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh telah mendatangkan hasil yang baik.
"Kita telah mengemukakan beberapa usul yang mana ia diadakan secara aman di kawasan tempat letak kereta di hadapan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
"Dalam usaha memastikan segalanya teratur, pihak penganjur (PKR) telah menyediakan 500 orang marshal pada hari tersebut yang lengkap beruniform dan dilatih untuk mengawal perhimpunan demi menjamin kelicinan perjalanan perhimpunan," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Gombak.
Azmin juga menyatakan perhimpunan itu akan bermula seawal jam 7 pagi dan orang ramai boleh meletakkan kenderaan mereka di tempat-tempat letak kereta di kawasan lapang berhampiran Bangunan Matrade.
"Oleh kerana ini perhimpunan aman yang dibantu oleh pihak polis, tidak akan ada sebarang sekatan jalan raya yang akan menghuru-harakan keadaan dan tujuan menyekat orang ramai dari hadir, malah polis bersetuju menjaga traffik bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalulintas," tambahnya lagi.
Jelasnya lagi, PKR mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang istiqamah memperjuangkan hak mereka berhimpun secara aman bertepatan dengan Artikel 10 Perlembagaan selama ini.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang ditemui sebelum sidang media tersebut memberitahu seluruh ahli PAS boleh hadir pada hari tersebut dalam memberi sokongan menentang terhadap sistem keadilan yang pincang selama ini.
"Himpunan telah diberi kebenaran, maka ahli-ahli PAS boleh hadir kerana ia bukannya merupakan kesalahan, tidak perlu ada kenyataan dari PAS kerana ia telah dibenarkan.
"PAS sentiasa menyokong terhadap kempen tersebut prinsip kita selari dengan apa jua dasar yang telah dipersetujui bersama," katanya.
Ketua Pemuda DAP, Loke Siew Fook menyatakan DAP menyokong himpun kempen 901 dan juga akan turut serta bersama pada hari tersebut. |
|
Bersih 3.0 jika gagal tunai tuntutan PSC Posted: 07 Jan 2012 01:25 AM PST Muhammad Faizal
| PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan jika Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) tidak melaksanakan tuntutan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC), maka Bersih 3.0 akan dilancarkan.
Beliau bertindak mengeluarkan kenyataan tersebut apabila melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh SPR Negeri Wilayah Persekutuan yang bercanggah dengan apa yang telah dibincangkan di peringkat pusat sebelum ini.
"Saya kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah SPR, Shafie Taib seperti mana yang dijelaskan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
"Kita dari Pakatan Rakyat telah memberi kerjasama sepenuhnya dalam PSC bagi memastikan pilihan raya negara ini berlaku secara bersih dan adil.
"Saya tegaskan jika SPR gagal untuk menunaikan tuntutan PSC itu, maka mereka akan berdepan dengan Bersih 3.0 nanti," jelas beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR.
Beliau mempersoalkan kenapa tidak ada keselarasan antara SPR peringkat pusat dan negeri sedangkan ia telah dipersetujui sewaktu perbincangan PSC dan juga SPR.
"Saya tidak pasti apa sebenarnya berlaku di dalam SPR dan saya harap ada penjelasan dari mereka.
"Perkara ini akan dibawa ke peringkat tertinggi Pakatan Rakyat untuk dibincangkan bagi mendapat tindakan selanjutnya," sambung beliau.
Sebelum itu, Nurul Izzah memberitahu pertemuan Majlis Pimpinan Negeri PKR Wilayah Persekutuan bersama SPR Negeri telah mengejutkan pihaknya terhadap isu penggunaan dakwat kekal, isu pengundi awal dan pos serta isu syarikat MIMOS Sdn Bhd yang sepatutnya mengesahkan integriti senarai pengundi induk SPR.
"SPR Wilayah Persekutuan mengatakan dakwat kekal tidak akan digunapakai untuk pengundi awal atai pengundi pos.
"Sistem pengundian awal yang jelas belum ditetapkan terutamanya berkaitan waktu pengundian dan bagaimana undi-undi yang telah dibuang awal akan dikawalselia hingga hari mengundi," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Dalam pada itu, isu pengundi pos secara otomatik dijadikan pengundi awal dan sistem bagaimana pengundi awal boleh memilih untuk menjadi undi pos semula.
Nurul Izzah juga menyatakan isu pasangan anggota tentera atau polis yang turut menjadi pengundi awal atau pengundi pos, walhal tiada keperluan bagi mereka memiliki status tersebut.
"Malah yang paling mengejutkan makluman Ketua Pengarah SPR itu bahawa syarikat MIMOS tidak akan digunapakai untuk melakukan audit dan mengesahkan intergriti pangkalan data senarai pengundi induk SPR.
"PKR dan Pakatan Rakyat seluruhnya berasa terkejut dan kecewa dengan perkara-perkara ini terutamanya isu MIMOS dan integriti pangkalan data senarai pengundi induk SPR lebih-lebih lagi kerana ianya merupakan satu cadangan khusus dari PSC yang diluluskan di Parlimen," tambah Naib Presiden PKR itu lagi.
Pakatan Rakyat menyeru agar SPR terutamanya Pengerusi SpR dapat memberikan penjelasan sepenuhnya di atas isu-isu yang menimbulkan tandatanya itu.
Turut hadir sidang media itu adalah Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook dan juga Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang. |
|
Amanah paling besar daulat syariat Allah Posted: 07 Jan 2012 01:24 AM PST Khairul Azlam Mohamad
| HULU TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam bahawa amanah yang paling besar adalah menunaikan perintah Allah SWT dengan mendaulatkan syariat-Nya.
Katanya, perintah tersebut pernah dilaksanakan di zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin (III) melalui undang-undang Itqan al-Muluk Bi Ta'dil as-Suluk. (Gambar: Tuan Guru Abdul Hadi melancarkan buku Itqan al-Muluk Bi Ta'dil as-Suluk karangan Ustaz Abu Bakar Abdullah.)
"Kita sedang menyambut 100 tahun Itqan al-Muluk Bi Ta'dil as-Suluk yang bermaksud ketekunan dan ketelitian Raja-raja bagi mengadilkan perangai dan akhlak, adalah Undang-undang Diri bagi negeri Terengganu yang digubal dan diluluskan pada tahun 1911.
"Itqan al-Muluk Bi Ta'dil as-Suluk dan Batu Bersurat adalah menunaikan amanah dan yang terbesar dalam menunaikan amanah itu ialah menunaikan perintah Allah Ta'ala. Bagi mendirikan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah SWT, yang ditunaikan oleh nabi-nabi dan rasul," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Perasmian Sambutan 100 Tahun Itqan al-Muluk Bi Ta'dil as-Suluk di Kampung Gaung, Kuala Berang, Hulu Terengganu, malam tadi. Turut berucap adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.
"Ini (Islam) bukan main-main. Para pendakwah Islam yang datang ke alam Melayu bukan Islam sekadar mengucap dua kalimah syahadah, bukan Islam yang didaftarkan di Pejabat Agama, bukan sekadar Islam baka dan keturunan. Islam yang dibawa ke alam Melayu adalah Islam orang, Islam negara dan kerajaan.
"Maka, hukum Islam diamalkan. Di atas 'Batu Bersurat' dicatit undang-undang jenayah, undang-undang hudud, undang-undang muamalat yang disebut dalam al-Quran dan Hadis SAW. Diamalkan di Melaka dan di negeri-negeri Islam di alam Melayu ini," jelasnya di hadapan hampir 10,000 hadirin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, 'hilangnya' amanah tersebut setelah kedatangan penjajah menakluk negeri-negeri orang Islam.
Waktu itu, katanya penjajah barat datang dan menakluk negeri dengan kelemahan orang Islam sendiri di seluruh dunia.
"Mereka lagakan orang Islam dan pecahkan orang Islam, pecahkan bangsa-bangsa orang Islam dan mereka berjaya menakluk dan menjajah negara orang Islam. Sejak itulah Islam tidak berdaulat dan berkuasa lagi," ujarnya.
Sempena majlis tersebut, Presiden PAS turut melancarkan buku Itqan al-Muluk Bi Ta'dil as-Suluk karangan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah. |
|
BN anggap saya bahaya dibiar ‘di luar’ - Anwar Posted: 07 Jan 2012 01:22 AM PST Mohd Sabri Said
| PERMATANG PAUH: Ribuan orang ramai mendirikan solat hajat bersama Ketua Umum Parti PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dataran Kompleks An-Nahdhoh, Penanti, Bukit Mertajam pagi tadi menjelang keputusan hukuman liwat 2 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 9 Januari ini. Solat hajat yang diimamkan oleh pengerusi kompleks tersebut, Ustaz Mutalib Maarof bermula jam 8.30 pagi turut dihadiri kepimpinan PKR negeri dan keluarganya. Selesai solat hajat beliau diserbu oleh orang ramai untuk bertanya khabar, berpeluk, bersalaman dan tidak kurang ada yang menitiskan air mata apabila bertentangan muka sambil menasihatinya agar bersabar dengan dugaan yang bakal ditempuh. Semasa berucap beliau menyifatkan apa yang terjadi mempunyai hasrat yang tersembunyi bukan kerana dirinya 'Anwar' tetapi kerana pembongkaran yang membolehkan rakyat lebih celik dan tahu siapa kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebenarnya. "BN anggap saya terlalu bahaya jika dibiarkan di luar, maka mereka mencari kaedah yang membolehkan saya dipenjarakan terus buat kali ke dua. Mereka dah kena pada pilihanraya kecil Permatang Pauh di mana majoriti jauh lebih baik dari dulu sedangkan waktu itu saya baru dibebaskan," ujarnya ringkas. Apa pun tambahnya, keluarga dan sanak saudara telah bersedia dengan segala kemungkinan. Katanya, jika dipenjarakan perasaanya tidak lemah sebaliknya 'lawan tetap lawan' sementara perjuangan tetap akan diteruskan oleh rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat. Tegsnya, perjuangan untuk menjatuhkan BN merupakan satu kewajipan kerana kemimpinan yang ada semuanya rosak dan tenggelam. "Sebenarnya penjara atau bebas semua tidak boleh menghalang kebangkitan rakyat yang terlalu resah dengan penekanan yang tidak disangka-sangka, lagi lama berada di bawa pemerintahan yang tidak adil selagi itulah rakyat terus menderita," jelasnya. |
|
901: Ikram beri kebebasan kepada ahli Posted: 07 Jan 2012 01:14 AM PST Harakahdaily
| KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) bebas untuk melibatkan diri dalam perhimpunan 901, Isnin ini berdasarkan penglibatan politik mereka. Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, pihaknya amat prihatin terhadap perkembangan terkini yang berkaitan dengan Himpunan 901. "Dalam membuat pendirian ini, Ikram dipandu oleh prinsip-prinsip syariat yang yang menuntut agar keadilan diberikan kepada semua pihak. Katanya, Ikram menghormati keluhuran Perlembagaan, mendokong prinsip-prinsip keadilan, memperjuangkan kesaksamaan dalam proses perbicaraan serta hak rakyat berhimpun mengikut peruntukan Perlembagaan. Menruutnya, Ikram berpendapat bahawa kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebuah kes berprofil tinggi kerana melibatkan individu penting dalam percaturan politik tanahair. "Maka, sebarang kemungkinan tentang wujudnya tekanan dan gangguan berunsur politik tidak dapat dinafikan dan apatah lagi ditambah dengan isu integriti terhadap badan kehakiman Malaysia yang sering dipersoalkan," ujarnya kepada Harakahdaily. Justeru itu, kata beliau tidak hairanlah sekiranya rakyat mempunyai persepsi negatif dalam kes ini. Lantaran itu, ujarnya Ikram menyeru pihak berkewajipan supaya memastikan agar semua pihak yang terlibat dalam kes ini diberi hak untuk mendapat keadilan sepenuhnya dalam proses perbicaraan dan penghakiman. I samping itu, katanya tahap pembuktian beyond reasonable doubt "melampaui keraguan yang munasabah" mestilah dilaksanakan dan konsep pengasingan kuasa antara badan kehakiman, badan legaslatif dan badan eksekutif wajib berlaku dengan jelas. "Ikram juga menyeru para penganjur dan polis untuk berkerjasama dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan semasa perhimpunan terjamin," katanya lagi. |
|
‘Saya akan hapuskan diskriminasi kaum jika jadi PM’ kata Anwar Posted: 07 Jan 2012 01:12 AM PST MALAYSIA CHRONICLE
PETALING JAYA — Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menghapuskan diskriminasi "kaum" sekiranya dilantik menjadi perdana menteri selain mengesahkan Pakatan Rakyat akan mengangkat hak semua bangsa. Ketua Umum PKR itu berkata pentadbiran Pakatan Rakyat akan menghapuskan sistem pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tidak akan membebankan rakyat yang mekanisme sedemikian. "Kami akan menolong dan membantu semua bangsa, itu adalah perbezaan kami dengan Umno," katanya di hadapan kira-kira 2,000 orang dalam satu ceramah di Subang Jaya malam tadi. Anwar (gambar) mengatakan menurut ajaran Islam, umatnya tidak dibenarkan untuk menghina atau membuli penganut agama lain dan ia bertentangan dengan norma budaya Melayu. Beliau menceritakan pengalaman lalu ketika seorang pelajar Cina (yang dinamakan Anwar sebagai Sui Lin) datang menemuinya untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi melanjutkan pengajian berikutan keluarganya tidak mampu membiayai yuran pengajian. "Ini adalah pendiran saya. Insya-Allah apabila saya ke Putrajaya saya akan pastikan Sui Lin dijaga seperti anak saya sendiri. "Ini adalah suara hati, kami memerlukan suara hati ini," tambah Anwar. Pemimpin berumur 64 tahun ini mendakwa Barisan Nasional (BN) gagal mentadbir negara dengan baik sehingga menyebabkan gejala rasuah berleluasa. "Masalahnya sistem kita telah rosak," kata Anwar, merujuk kepada skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan keluarganya. Beberapa pemimpin Umno secara terbuka meminta Shahrizat meletakkan jawatan ekoran skandal yang melibatkan keluarganya selepas Laporan Ketua Audit Negara mengesahkan terdapat penyelewengan yang berlaku selepas mendapat dana awam berjumlah RM250 juta. Shahrizat, Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan bekas ahli Parlimen Lembah Pantai berkata dirinya tidak mempunyai kaitan dengan NFC. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah menafikan Shahrizat menyerahkan surat peletakan jawatan. "Campak pencuri lembu ini ke dalam laut. Ini adalah negara kita. "Kita tidak akan benarkan penyelewengan berlaku lagi," tambah Anwar.-Themalaysianinsider |
Anwar bersedia terima keputusan Isnin ini Posted: 07 Jan 2012 01:03 AM PST
SUBANG JAYA-Tidak sampai 60 jam menjelang keputusan kes liwatnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu di sini bahawa beliau sudah bersedia di segi mental dan fizikal untuk menerima apa saja keputusan mahkamah tersebut. Memberitahu lebih 10,000 orang yang hadir di majlis ceramah anjuran PKR/Pakatan Rakyat di stadium mini di sini, Anwar berkata, beliau bersedia menerima sebarang kemungkinan. Tetapi, katanya, dengan nada tegas: "kes lewat saya ini dan keputusannya tidaklah penting, yang lebih penting ialah persiapan Pakatan Rakyat menghadapi PRU Ke-13 supaya Pakatan dapat berkuasa di Putrajaya. "Ertinya kita mesti meneruskan perjuangan menegakkan keadilan, kebebasan, menentang rasuah, diskriminasi, penipuan dan segala kezaliman BN. Perjuangan ini jauh lebih penting dari memikirkan nasib saya atau apapun keputusan mahkamah," kata beliau yang disambut dengan tepukan gemuruh dari orang ramai yang terdiri dari pelbagai kaum. Dengan suara bergetar, Anwar memberitahu bahawa beliau akan terus berjuang sama ada di dalam penjara atau di luar penjara. Oleh itu, katanya, rakyat yang mahukan kebebasan dan pemerintahan yang adil mestilah meneruskan perjuangan ini. Beliau memberitahu bahawa beberapa pemimpin negara di Asia Barat, termasuk dari kerajaan baru Tunisia dan Perdana Turki, Resep Rayeeb Erdogan menawarkan beliau dan keluarganya supaya tinggal di salah sebuah negara tersebut, tetapi beliau menolak. "Insya-Allah, saya tidak akan lari ke luar negara walau apapun kemungkinan yang berlaku. Wan Azizah, anak-anak dan menantu sudah saya beritahu," katanya. Bagaimanapun minggu depan, kata Anwar, beliau akan berada di luar negara beberapa hari untuk berucap di beberapa seminar, termasuk di Turki yang akan membincangkan persoalan gerakan Islam dan demokrasi. Dengan nada tegas, Anwar berulang kali menyeru rakyat supaya meneruskan perjuangan sama ada beliau berada dalam penjara atau di luar penjara untuk membebaskan negara ini dari kancah rasuah, menegakkan demokrasi dan keadilan serta menolong rakyat yang kurang berada. Katanya, beliau pernah mengalami pelbagai penyiksaan, dihina, dipukul, dipenjara dan pelbagai lagi. Tetapi, semuanya, katanya tidak sedikitpun mengurangkan semangat perjuangannya menegakkan untuk keadilan dan membela rakyat. "Ini perjuangan agama dan tuntutan universal," katanya. Jika diukur dari kehadiran di majlis ceramah Anwar malam semalam, ada isyarat jelas bahawa majoriti penduduk Subang Jaya yang terdiri dari pelbagai kaum menyokong Pakatan Rakyat. Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dari DAP yang turut berucap malam itu adalah antara Adun Pakatan di Selangor yang mendapat majoriti besar dalam PRU Ke-12, 2008 yang lalu. Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Rani Othman yang turut berucap menyeru ahli PAS Selangor supaya datang beramai-ramai ke kawasan letak kereta di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur dengan aman pagi Isnin ini, untuk memberi sokongan moral kepada Anwar Ibrahim. "Kita menyokong perjuangan Datuk Seri Anwar menentang kezaliman dan menegakkan keadilan. Ini bukan persoalan peribadi beliau, tetapi perjuangan Anwar," kata Dr. Rani. Turut berucap di majlis tersebut, pemimpin PKR Selangor, Syed Shahir, bekas Speaker Perak, V. Sivakumar.Harakahdaily |
Himpunan 901: Kelantan paling ramai 10, 000 orang Posted: 07 Jan 2012 12:57 AM PST Sebahagian besar mereka sudah berada di Kuala Lumpur kerana menyaksikan final bola sepak piala Sumbangsih antara Kelantan melawan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
PETALING JAYA: Sebahagian penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berada di Kuala Lumpur bagi menjayakan kempen bebaskan Anwar 901 Isnin ini. Mereka akan berada di tempat letak kereta mahkamah Jalan Duta bagi memberikan sokongan kepada Anwar di mana hakim akan membuat keputusan kes liwat yang dihadapinya. Kelantan dijangka menghantar penyokong paling ramai dengan anggaran 10, 000 orang, kata seorang ahli PKR hari ini. "Sebahagian besar mereka sudah berada di Kuala Lumpur kerana menyaksikan final bola sepak piala Sumbangsih Kelatan melawan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Melaka akan menghantar sekurang-kurangnya 500 orang, kata pengarah pilihan raya PKR negeri, Mohd Yusof Abdullah. "Mungkin ramai lagi kerana saya mendapat tahu ada yang pergi secara senyap-senyap dengan kawan-kawan mereka," katanya. Terengganu 3, 000, Pahang 300 Pahang pula menjangkakan 300 orang akan ke Kuala Lumpur, kata ketua Temerloh, Ahmad Nizam Hamid. Katanya, semua ketua cabang termasuk pengerusi PKR negeri Datuk Fauzi Abdul Rahman mengesahkan akan hadir. "Mereka akan bertolak awal pagi esok selepas solat Subuh," katanya. PKR Terengganu pula akan menghantar 3, 000 orang, kata ketua Kuala Terengganu, Fariz Musa, "Ini jaminan kita kepada pimpinan," kata beliau. |
Umno bantah benarkan perhimpunan penyokong Anwar Posted: 07 Jan 2012 12:52 AM PST FREE MALAYSIA TODAY Keputusan itu memalukan kerana berpuluh laporan polis dibuat membantah perhimpunan tersebut.
PETALING JAYA: Tidak sampai 24 jam, polis membenarkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di tempat parkir kereta mahkamah tinggi Kuala lumpur, Umno Cheras mahu ia dikaji semula. Ketua bahagian Datuk Syed Ali Alhabshee menyifatkan keputusan itu memalukan kerana berpuluh laporan polis dibuat membantah perhimpunan tersebut. "…tiba-tiba polis Kuala Lumpur berikan kebenaran. Kita nak minta KDN dan Bukit Aman mengkaji semula keputusan tersebut demi ketenteraman awam," katanya. Beliau mendakwa keputusan Polis Kuala Lumpur itu juga dikhuatiri akan menimbulkan persepsi negatif di kalangan umum kononnya kerajaan begitu takut kepada tekanan penyokong Anwar. Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohammad Salleh dilaporkan sebagai berkata kebenaran diberikan setelah beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. Dalam nada kecewa, Syed Ali khuatir keputusan itu akan memberi ruang kepada pembangkang mencanangkan seluruh negeri menerusi ceramah politik kononnya pihak polis berada dalam cengkaman mereka. Hakim akan membuat keputusan terhadap kes liwat Anwar dengan pembantunya, Mohd Saiful Azlan Bukhari Isnin ini. |
Sudah tiba masanya kuasa autonomi universiti dikembalikan Posted: 07 Jan 2012 12:51 AM PST Muhamad Fazli Bin Abdul Halim
Secara umum,universiti merupakan sebuah institusi pengajian tinggi untuk menimba ilmu. Universiti wujud sejak berkurun masa yang lampau, Universiti Al-Azhar (970 SM) dikenalpasti antara universiti terawal yang diwujudkan. Kemudiannya diikuti oleh penubuhan universiti-universiti yang ternama seperti Bologna, Oxford dan Cambridge. Universiti Malaya merupakan universiti tertua yang wujud di Malaysia diikuti dengan kewujudan pelbagai IPTA mahupun IPTS yang berkembang pesat dari semasa ke semasa. Namun dalam keghairahan kewujudan universiti tersebut sudah tiba masanya untuk kita melihat kembali apakah fungsi, peranan dan tanggungjawab sebenar kewujudan sesebuah universiti.
Impian semua adalah untuk menjadikan universiti kita ulung (Saifuddin Abdullah). Adakah universiti semata-mata menjadi ulung kerana memenangi banyak pingat emas pertandingan antarabangsa? Ataupun sudah cukup memadai dengan hanya berlumba-lumba mendapatkan ranking yang baik saban tahun. Hakikat yang perlu disedari bahawa universiti juga mempunyai tanggungjawab sosial yang besar dalam bersama-sama membina negara Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.
Tetapi hasrat murni tersebut tidak mungkin mampu direalisasikan selagi universiti tempatan terus dicengkam oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Universiti sewajarnya menjadi sebuah institusi yang bebas daripada segala keterikatan dan campur tangan politik. Universiti mesti diberikan kuasa autonomi dan ditadbir urus dengan penuh ketelusan mengikut acuan sendiri. Institusi ini mesti tampil sebagai penyelesai kepada permasalahan masyarakat, pencetus idea baru dan menjadi rujukan utama dalam segala keperihalan berkaitan masyarakat bersesuaian dengan pengiktirafan masyarakat umum yang memandang universiti sebagai sebuah institusi sosial yang terulung.
Universiti perlu memikirkan apakah sumbangan mereka kepada seluruh masyarakat dan negara dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh. Tembok di antara universiti dan masyarakat perlu dipecahkan di mana mahasiswa dan tenaga akademik berperanan menguasai keilmuan di universiti dan kemudiannya mengekstrak keilmuan tersebut dalam bahasa yang difahami oleh masyarakat umum, supaya masyarakat menjadi lebih celik dan tidak ketinggalan mendepani cabaran semasa. Sudah tiba masanya peranan dan tanggungjawab universiti tempatan dilihat kembali agar institusi ini terus relevan sebagai institusi perkembangan keilmuan ke arah pembinaan peradaban manusia pada masa hadapan.
*Kenyataan media oleh Muhamad Fazli Bin Abdul Halim selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang. |
Demo 901: Peluang polis pulihkan imej, kata Azmin Posted: 07 Jan 2012 12:50 AM PST Azmin Ali
Hak untuk berhimpun secara aman merupakan hak rakyat yang sejajar dengan semangat keperlembagaan. Ianya merupakan antara teras kepada amalan sesebuah negara demokratik. Justeru sebarang usaha atau tindakan yang menggasir hak untuk berhimpun secara aman dan hak menyatakan pendirian politik (political expression) rakyat Malaysia adalah bertentangan dengan asas pembentukan negara Malaysia yang demokratik, bebas dan merdeka. Pencabulan ke atas hak ini dianggap sebagai mengkhianati asas penubuhan negara Malaysia yang merdeka.
Oleh itu saya menyambut baik kenyataan Hishammuddin Hussein (gambar kanan), Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara yang memperlihatkan kesediaan pihak polis untuk berbincang dengan KEADILAN dan Pakatan Rakyat bagi menjamin kelancaran perhimpunan aman 901 untuk membantah rekayasa politik ke atas Anwar Ibrahim. KEADILAN menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan pihak polis demi memastikan perhimpunan aman ini berjaya diteruskan dengan aman dan teratur.
KEADILAN tegas menyeru semua anggota parti dan penyokong Pakatan Rakyat serta rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran untuk berhimpun secara aman dan menyatakan sokongan terhadap reformasi demi rakyat dan negara Malaysia yang tercinta.
KEADILAN turut menggesa pihak polis untuk memelihara keselamatan awam termasuk para demonstran dan rakyat keseluruhannya yang berhimpun di Kuala Lumpur. Kita berharap insiden keganasan seumpama tragedi UPSI dan BERSIH tidak akan berulang. Ini adalah peluang terbaik Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara untuk memulihkan imej polis yang sekian lama tercalar dan mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi polis selaras dengan janji Perdana Menteri untuk melaksanakan transformasi politik di dalam pentadbirannya.
*Kenyataan media oleh Mohamed Azmin Ali (gambar kiri) selaku Timbalan Presiden KEADILAN. |
Akhirnya Gaji Minima!Tapi macam mana nak hidup dengan RM900? Posted: 07 Jan 2012 12:47 AM PST Sivaranjani Manickam
Setelah lama menunggu akhirnya Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) mengumumkan penetapan RM900 sebagai gaji minimum di Malaysia (rujuk kenyataan di Berita Harian pada 4 Januari 2012).
JERIT secara prinsipnya menerima baik penetapan gaji minima di Malaysia selepas sekian lama isu ini diperjuangkan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan jumlah gaji yang ditetapkan adalah RM900 dan ia juga akan meliputi pekerja asing di pelbagai sektor termasuk sektor perladangan dan pembinaan.
Adakah RM900 mencukupi?
Namun, JERIT masih kecewa RM900 ditetapkan sebagai gaji minimum. RM900 adalah satu angka yang jauh ketinggalan zaman. Ini adalah kerana, pada 1 Mei 1996, JERIT telah menuntut agar RM750 dilaksanakan sebagai gaji minima untuk pekerja ladang. Pada tahun 2002, JERIT melancarkan kempen serta menuntut kerajaan menggubal Akta Gaji Minima RM900. Manakala, pada tahun 2008, JERIT menuntut pengimplementasian Akta Gaji Minima RM1500. Jumlah-jumlah ini ditetapkan berpandukan kepada kajian JERIT serta mengambil kira faktor kadar inflasi semasa dan kos hidup yang semakin meningkat.
Malah, mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad (gambar kiri) juga bersetuju gaji minima RM1200 diberikan kepada isi rumah ketika Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada tahun 1998. Malah, pihak MTUC juga telah menggesa kerajaan melaksanakan gaji minima RM900 dan COLA RM300 untuk para pekerja.
Walaupun pelbagai kajian serta saranan diberikan kepada pihak Kerajaan oleh JERIT dan kesatuan sekerja, penetapan RM900 sebagai gaji minimum pastinya satu angka tidak memadai untuk masa kini. Lebih-lebih lagi, pengumunan kerajaan untuk meneruskan pengimplementasian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan penarikan balik subsidi serta kenaikan harga telah menambahkan lagi tekanan hidup.
Adakah sebarang syarat akan dikenakan?
JERIT juga amat bimbang serta was-was terhadap perlaksanaan gaji minimum RM900; sama ada sebarang syarat akan dikenakan terhadap para pekerja untuk mendapat gaji bulan RM900. Ini adalah kerana, pada tahun 2001, apabila gaji minimum RM325 dilaksanakan untuk pekerja ladang, pelbagai syarat telah dikenakan di mana, para pekerja perlu hadir kerja setiap hari, tidak boleh ambil cuti dan sebagainya. Adakah jumlah ini juga akan berbeza mengikut sektor dan kawasan di mana gaji lebih dari RM900 akan ditetapkan?
Jadi, JERIT berharap gaji minimum RM900 tidak akan dimanipulasi seperti yang berlaku kepada pekerja ladang.
Jangan lengahkan perlaksanaan
Adalah dimaklumkan bahawa gaji minimum RM900 dijangka akan dilaksanakan enam bulan selepas persetujuan kabinet. Walaupun JERIT faham satu jangkamasa diperlukan untuk membuat persediaan, tetapi jangkamasa enam bulan adalah terlalu lama. JERIT bimbang pengumuman ini dibuat untuk memancing undi semasa pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi. Selepas itu, pelaksanaan gaji minimum ini akan akan dilengahkan. Ini telah berlaku kepada pengawal keselamatan, di mana, gaji pengawal keselamatan yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Januari 2011 ditangguhkan dan selepas pelaksanaan, masih terdapat majikan yang enggan mempraktiskannya.
Kesimpulannya, walaupun penetapan gaji minimum RM900 satu langkah yang positif namun, JERIT berpendirian bahawa pihak kerajaan harus menggubal Akta Gaji Minima RM1500 di Malaysia bagi memastikan hak dan kebajikan para pekerja terjamin. Gaji yang baik akan menjamin kualiti yang baik kepada warga pekerja di Negara ini.
Hidup Pekerja dan Salam Perjuangan!
*Kenyataan media oleh Sivaranjani Manickam selaku Penyelaras Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan (GPKK), JERIT. |
Anwar vs Najib: Siapa lebih bijak dalam tadbir urus hutang kerajaan? Posted: 06 Jan 2012 11:52 PM PST William Leong Jee Keen dan KPRU
Defisit fiskal yang berlarutan serta hutang kerajaan yang tinggi telah mencorakkan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak beberapa dekad yang lalu. Akaun fiskal Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran UMNO-BN telah mencatatkan defisit selama ini kecuali bagi suatu tempoh singkat dari tahun 1993 hingga 1997 apabila lebihan fiskal direkodkan di bawah pemantauan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan.
Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan lagi pemborosan perbelanjaan oleh jabatan-jabatan kerajaan serta kelemahan tadbir urus yang menjadi punca kepada masalah defisit dan hutang yang termaktub dalam pentadbiran Kerajaan UMNO-BN. Penemuan kajian yang disampaikan dalam laporan ini mengenai peningkatan hutang awam yang membimbangkan turut menggambarkan kepentingan isu tersebut. Perhatian yang sewajarnya hendaklah diberikan ke atas pengurusan hutang oleh Kerajaan UMNO-BN yang meragukan.
Defisit fiskal tidak semestinya buruk. Walau bagaimanapun, kewujudan defisit fiskal yang berterusan semasa ekonomi berkembang menggambarkan kelemahan serius dari segi disiplin fiskal. Perkembangan seumpama melemahkan kedudukan kerajaan untuk memenuhi obligasi hutangnya pada masa akan datang, terutamanya dalam suasana kemelesetan ekonomi. Dengan kata lain, generasi masa depan kita terpaksa menanggung beban hutang awam yang semakin berat.
Perangkaan sebuah Belanjawan Negara amat bergantung kepada unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun yang akan datang, iaitu nilai nominal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Pertumbuhan kukuh akan disertai KDNK dan hasil yang lebih tinggi. Pertumbuhan kukuh juga akan menghasilkan nilai anggaran defisit belanjawan dan hutang awam yang lebih rendah.
Apabila pertumbuhan ekonomi merosot, nilai cukai serta hasil lain yang dikutip adalah lebih kecil daripada jangkaan. Dengan itu, nilai nominal KDNK adalah lebih rendah. Ini akan membawa kepada defisit belanjawan serta hutang awam yang lebih tinggi.
Ekonomi dunia semakin merudum pada masa kini. Sebagai salah satu daripada ekonomi yang paling terbuka di rantau ini yang amat bergantung kepada perdagangan antarabangsa, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menurun berdasarkan pelbagai unjuran yang telah dibuat. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Najib Razak (gambar kanan) meramalkan pertumbuhan 5.0 hingga 6.0% dan defisit sebanyak 4.7% bagi tahun 2012 dalam Belanjawan Negara bernilai RM232.833 bilion yang dibentangkan pada 7 Oktober 2011.
Kebanyakan firma penyelidikan telah menurunkan unjuran pertumbuhan bagi Malaysia walaupun cadangan-cadangan dalam Belanjawan Negara 2012 lebih bersifat optimis. Dengan itu, cadangan-cadangan tersebut disifatkan oleh pengkritik sebagai program pilihan raya yang direka khas untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) yang bakal dijalankan dalam masa yang terdekat.
Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) telah menurunkan kadar pertumbuhan tahunan KDNK bagi tahun 2011 kepada 4.6%. Bagi tahun 2012, MIER telah menyemak semula ramalan pertumbuhan KDNK kepada 5.0% Menurut RHB Research Institute, pertumbuhan ekonomi Malaysia bakal merudum kepada 3.6% pada tahun depan daripada 4.3% yang diunjur bagi tahun ini disebabkan risiko kemelesetan global double-dip yang semakin tinggi.
Memandangkan unjuran yang dibuat dan cabaran yang bakal dihadapi, kadar defisit akan menjadi lebih tinggi. Jika kita tergelincir ke dalam kemelesetan, kita akan berhadapan dengan kadar defisit dan hutang awam yang tidak pernah dilihat. Ketika ia berlaku, Kerajaan akan hilang keupayaan untuk menyelesaikan obligasi hutang, dan kita terpaksa menerima realiti bahawa kita adalah jauh lebih miskin daripada dahulu.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan pada 24 Oktober 2011, hutang awam Malaysia meningkat sebanyak 12.3% atau RM44.72 bilion kepada RM407.11 bilion tahun lepas berbanding RM362.39 bilion pada tahun 2009. Ketua Audit Negara berkata dalam laporan bahawa hutang kerajaan adalah 53.1% daripada KDNK, iaitu sedikit lebih rendah daripada 53.3% yang dicatatkan tahun lepas. 2010 merupakan tahun kedua berturut-turut yang mana nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK melepasi paras 50%.
Dengan merujuk kepada carta yang dipaparkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010, hutang awam daripada sumber domestik meningkat sebanyak RM41.76 bilion kepada RM390.36 bilion manakala hutang luar negara meningkat sebanyak RM2.96 bilion kepada RM16.75 bilion.
Dalam konteks ini, kami ingin menekankan bahawa disiplin fiskal serta pengurusan hutang yang berhemat oleh kerajaan perlu diambil serius sebagai elemen-elemen tadbir urus baik yang paling asas.
Carta defisit Kerajaan Persekutuan berikut yang disusun oleh Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU), sebuah institut penyelidikan dan badan pemikir, menunjukkan kecacatan disiplin fiskal yang serius dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah pemantauan Mahathir Mohamad (1998-1999, 2001-2003) Daim Zainuddin (1999-2001), Abdullah Badawi (2003-2008) dan Najib (2008-kini) sebagai Menteri Kewangan.
Perlu diambil perhatian bahawa negara ini telah mengalami defisit selama 14 tahun berturut-turut, dan ia akan diteruskan pada tahun 2012. Trend ini bermula pada tahun 1998 selepas krisis kewangan Asia, serentak dengan pemecatan Anwar yang merupakan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu.
Malah, sejak Anwar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993, Belanjawan Negara telah mencatatkan lebihan setiap tahun berturut-turut sehingga pemecatan beliau. Selepas dilantik Menteri Kewangan pada tahun 1991, Anwar telah memulihkan defisit belanjawan kepada lebihan dalam tempoh dua tahun, walaupun kedudukan kewangan negara telah mencatatkan defisit berterusan selama lebih daripada 20 tahun sebelum pelantikan beliau.
Lebihan berjaya direkodkan dalam tempoh yang singkat dari tahun 1993 sehingga 1997, yang mana kadar lebihan adalah 0.2% pada tahun 1993, 2.3% pada tahun 1994, 0.8% pada tahun 1995, 0.7% pada tahun 1996 dan 2.4% pada tahun 1997. Sebaliknya, Kerajaan di bawah pimpinan Najib telah ditadbir dengan defisit belanjawan disertakan hutang Kerajaan Persekutuan yang kian meningkat.
Jika angka-angka tersebut dilihat secara mendalam, jelas bahawa prestasi Anwar sebagai Menteri Kewangan adalah mengagumkan. Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan sebenarnya berjaya dikurangkan dari tahun 1992 sehingga tahun 1996 selepas peningkatan berterusan selama lebih daripada 20 tahun. Paras hutang Kerajaan Persekutuan juga dapat dikekalkan di antara RM89 bilion dan RM100 bilion dari 1991 hingga 1997.
Dalam era Anwar (gambar kiri), selain peningkatan hutang Kerajaan Persekutuan sebanyak 4.6% pada dalam tahun pertama beliau sebagai Menteri Kewangan, serta lonjakan sebanyak 0.3% dan 14.7% pada tahun 1997 dan 1998 masing-masing apabila negara dilanda krisis ekonomi, paras hutang telah menurun dengan kadar yang stabil sebanyak 1 hingga 3% setiap tahun. Sebaliknya, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat secara pesat pada kadar lebih daripada 10% setiap tahun sejak Najib mengambil alih jawatan Menteri Kewangan pada tahun 2008.
Untuk memburukkan lagi keadaan, Kerajaan Najib mempunyai kecenderungan untuk seringkali meluluskan belanjawan tambahan yang berunsur boros tanpa alasan yang sah. Prinsip asas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan adalah apabila perbelanjaan yang tidak dijangka terpaksa dibuat terutamanya ketika sesebuah negara dilanda krisis seperti bencana alam atau krisis nuklear.
Selepas dilontar kritikan atas perbelanjaan berlebihan dan defisit belanjawan yang berterusan, Kerajaan UMNO-BN telah memanipulasikan belanjawan tambahan sebagai alat politik bagi menyembunyikan angka-angka defisit dan hutang yang semakin meningkat semasa pengumuman belanjawan Negara dan bukan menggunakannya untuk mengatasi masalah perbelanjaan di luar jangkaan.
Sebagai contoh, dalam RUU Perbekalan Tambahan (2011) 2011 yang dibentangkan pada Jun 2011, pentadbiran Najib didapati memanipulasikan peruntukan RM1 bilion untuk emolumen Kementerian Kewangan sedangkan emolument tidak sepatutnya diklasifikasikan sebagai perbelanjaan di luar jangkaan. Ini merupakan salah satu punca utama ramalan awal angka defisit yang diumumkan semasa sesi pembentangan belanjawan tahunan adalah lebih rendah daripada angka defisit sebenar.
Jadual yang disusun oleh KPRU menunjuk bahawa Kerajaan BN telah membentangkan dua RUU perbekalan tambahan selain Belanjawan Negara 2009, dua lagi RUU Perbekalan Tambahan selain Belanjawan Negara 2010 dan setakat ini, satu RUU Perbekalan Tambahan selain Belanjawan Negara 2011. Walaupun Belanjawan Negara 2012 baru sahaja dibentangkan, rekod yang lepas membuktikan Kerajaan BN boleh membentangkan satu lagi RUU Perbekalan Tambahan dalam sesi parlimen akan datang atau pada tahun 2012.
Pada 7 Oktober 2011, dalam acara politik yang paling penting demi kelangsungan hidup Najib dan UMNO-BN, beliau memberikan prognosis positif terhadap ekonomi Malaysia dengan mendakwa secara bangganya kadar pertumbuhan 5.0 hingga 5.5% bagi tahun 2011 dan mengunjurkan kadar pertumbuhan 5.0 hingga 6.0% bagi tahun 2012 yang sebenarnya tidak realistik. Selain itu, beliau juga meramalkan pengurangan defisit Kerajaan Persekutuan (ms6) kepada 4.7% daripada KDNK bagi tahun 2012, berbanding 5.4% pada tahun 2011.
Sebaliknya, beliau tidak berani mengumumkan angka hutang negara, hutang luar, atau jumlah hutang Kerajaan Persekutuan dalam ucapan belanjawannya. Malah, kali terakhir isu tersebut disentuh semasa ucapan belanjawan adalah pada dua tahun yang lalu (2009) apabila Najib (ms 36) mengakui bahawa paras hutang negara adalah semakin tinggi. Tahun 2009 juga merupakan tahun di mana jumlah hutang Kerajaan Persekutuan mencatat peningkatan ketara kepada 53.3% KDNK daripada 41.3% pada tahun sebelumnya. Sejak itu, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan (ms145) kepada KDNK masih kekal pada paras sekitar 53% hingga 54%, dengan angka 2011 diunjurkan pada 53.8%.
Menurut laporan terkini Bank Negara Malaysia, setakat 30 Jun 2011, hutang Kerajaan Persekutuan adalah RM437 bilion, yang mana RM421 bilion merupakan hutang dalam negeri dan RM16 bilion merupakan hutang luar negara.
Menurut Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2010 yang disediakan oleh Akauntan Negara Malaysia, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak 12 peratus kepada RM407.101 bilion berbanding RM362.386 bilion pada tahun 2009. Pinjaman telah meningkat sebanyak RM45.062 bilion atau 13% kepada RM399.711 bilion daripada RM354.649 bilion pada tahun 2009.
Mengulas mengenai angka-angka hutang tersebut, Anwar yang kini merupakan Ketua Pembangkang memberi amaran bahawa Malaysia bakal melebihi had hutang awam disebabkan kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk memulihkan semula ekonomi negara yang lemah. Berdasarkan Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 (Pindaan 2004) dan Akta Pelaburan Kerajaan 1983, gabungan pinjaman tempatan tidak boleh melewati kadar 55% dari KDNK Negara. Di samping itu, pinjaman luar negeri dihadkan pada RM35,000 juta pada sesuatu masa berdasarkan Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 (Pindaan).
Melihat keadaan ini dari perspektif yang lain, kita beralih kepada karya Carmen Reinhart dan Ken Rogoff bertajuk "This Time Is Different: Eight Centuries of Financial Folly". Mereka telah mengkaji faktor-faktor di sebalik 29 kes kegagalan membayar yang lalu dan mendapati bahawa kegagalan membayar dan penstrukturan semula berlaku secara puratanya apabila hutang luar negeri telah mencecah 73% daripada Keluaran Negara Kasar (KNK).
Berdasarkan carta yang disusun oleh KPRU, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan adalah RM99.073 bilion pada tahun 1991, semasa Anwar baru dilantik Menteri Kewangan. Ia susut sehingga RM97.005 bilion pada tahun 1992, RM95.898 bilion pada tahun 1993, RM93.078 bilion pada tahun 1994, RM91.369 bilion pada tahun 1995, dan RM89.681 bilion pada tahun 1996, sebelum ia meningkat secara minimal sehingga RM89.920 bilion pada tahun 1997, dan secara lebih ketara sehingga RM103.121 bilion pada tahun 1998.
Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan adalah RM306.437 bilion pada tahun 2008 apabila Najib mengambil alih sebagai Menteri Kewangan. Ia meningkat sehingga RM362.387 bilion pada tahun 2009 dan RM407.101 bilion pada tahun 2010. Ia dijangka mencecah RM455.745 bilion pada tahun 2011. Menurut laporan terkini oleh Bank Negara Malaysia, sehingga 30 Jun 2011, hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah RM437 bilion.
Berdasarkan maklumat yang dikumpul oleh KPRU, pengurusan paras hutang yang mantap oleh Anwar dikaitkan dengan pengurusan hutang dalam negeri yang cekap. Anwar mampu mengekalkan paras hutang dalam negeri di bawah RM80 bilion sehingga tahun 1997 sebelum ia mencecah RM88.197 bilion pada tahun 1998.
Dengan membandingkan angka tahun 1998 dengan angka tahun 1991, hutang dalam negeri didapati meningkat sebanyak RM14.542 bilion atau 19.7% secara keseluruhan dalam tempoh tujuh tahun tersebut, yang mana peningkatan yang paling besar dicatatkan pada tahun 1998. Dalam tempoh singkat selama tiga tahun dari 2008 hingga 2011, hutang dalam negeri telah meningkat sebanyak RM152.346 bilion atau 53.2%. Ini menunjukkan paras hutang dalam negeri telah meningkat secara mendadak sejak Najib memegang jawatan Menteri Kewangan.
Malah, pengurusan hutang Najib boleh dikatakan lebih buruk daripada pendahulunya, Abdullah Badawi. Berdasarkan carta di atas yang disusun oleh KPRU, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak 5.6% pada tahun 2005 dan 5.9% pada tahun 2006. Peningkatan tersebut adalah yang paling kecil sejak peningkatan 8.7% dicatatkan pada tahun 1999.
Berdasarkan carta di atas yang disusun oleh KPRU, tempoh yang mana Anwar menerajui perbendaharaan negara juga menyaksikan penurunan nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK yang luar biasa, iaitu daripada 73.3% pada tahun 1991 kepada 31.9% pada tahun 1997. Sebaliknya, pemegangan pejabat perbendaharaan oleh Najib ditandai peningkatan nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK sebanyak lebih daripada 10% dari 2008 hingga 2009.
Statistik menunjukkan bahawa Anwar merupakan seorang pengurus ekonomi yang lebih cekap dan berhemah berbanding Najib. Najib boleh berulang kali menyalahkan kelemahan ekonomi dunia, tetapi perbelanjaan boros bagi tujuan yang bukan-bukan serta tadbir urus yang berpandukan rasuah adalah punca-punca paras hutang negara kita yang tinggi lagi berterusan.
Berapa banyak wang rakyat telah hilang kerana rasuah? Berapa banyak wang rakyat telah dijadikan subsidi kepada syarikat gergasi? Berapa yang telah disalahgunakan untuk membayar "komisen" bagi urus niaga kerajaan yang bernilai berjuta-juta atau berbilion-bilion ringgit? Kita tidak tahu angka sebenar. Yang kita tahu, ia adalah satu angka yang amat mengejutkan.
"Hak" sebuah kerajaan korup untuk memaksa generasi akan datang membayar balik pemiutang asing, sama ada dari segi moral atau undang-undang, wajar dipersoalkan. Ini adalah permulaan, bukan penghujung, rentetan krisis yang bakal menjejaskan kehidupan dan meretakkan masyarakat kita. Sudah tiba masanya kerajaan mengamalkan tadbir urus yang baik dengan melaksanakan pengurusan hutang yang berkesan agar masa depan negara terjamin.
*Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada warga Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.
KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang. **William Leong Jee Keen ialah ahli parlimen Selayang, merangkap Bendahari Agung PKR. |
Polis kenakan 10 syarat bagi perhimpunan 9 Januari Posted: 06 Jan 2012 11:50 PM PST Polis kini mengenakan 10 syarat kepada penganjur perhimpunan 9 Januari bagi menyokong ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antaranya tidak membenarkan ucapan awam dan membawa sepanduk bertulis 'Bebaskan Anwar 901' atau 'Bebaskan Anwar'.
Syarat-syarat yang dikenakan oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Zakaria Pagan itu, disiarkan di laman Facebook polis.
Syarat-syarat tersebut bercanggah dengan apa yang diberitahu oleh timbalan presiden PKR, Azmin Ali dalam satu sidang akhbar sebelum ini.
Syarat-syarat tersebut ialah:
1. Penggunaan risalah/ banner dengan tagline 'Bebaskan Anwar 901' atau 'Bebaskan Anwar' adalah tidak dibenarkan sama sekali semasa perhimpunan berlangsung.
2. Penggunaan pembesar suara selain daripada 'loud hailer' tidak dibenarkan. Penggunaan (2) dua buah loud hailer dibenarkan bagi tujuan mengawal selia peserta perhimpunan.
3. Pengucapan awam tidak dibenarkan sama sekali.
4. Penganjur perlu memastikan peserta perhimpunan tidak boleh membuat apa-apa perbuatan, membuat bising, memberi apa-apa isyarat yang boleh mengganggu prosiding mahkamah.
5. Tempat perhimpunan yang dibenarkan adalah di pakir awam sebelah kiri jalan utama ke mahkamah. Kawasan ini akan diletakkan pita polis untuk menentukan batasan dan sempadannya. Peserta tidak dibenarkan berada di luar kawasan tersebut.
6. Sekiranya kawasan tersebut sudah dipenuhi dengan peserta perhimpunan maka peserta lain hendaklah bersurai dan beredar dari kawasan pakir mahkamah.
7. Penganjur hendaklah memastikan peserta perhimpunan tidak membawa sebarang senjata dan para peserta hendaklah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan sekira perlu.
8. Penganjur hendaklah memastikan semua peserta perhimpunan bersurai tidak lewat daripada tempoh satu jam selepas keputusan Mahkamah diumumkan.
9. Penganjur dan peserta perhimpunan hendaklah mematuhi semua arahan yang diberikan oleh pihak polis dari masa ke semasa demi untuk menentukan keamanan perhimpunan tersebut.
10. Peserta perhimpunan tidak dibenarkan melakukan khianat atau bencana kepada harta awam atau mana-mana harta di kawasan tersebut. |
Ringgit dijangka naik berbanding dolar Amerika Posted: 06 Jan 2012 11:48 PM PST MALAYSIA KINI
Ringgit berkemungkinan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan kerana data-data ekonomi yang lebih teguh dari AS boleh merangsang keyakinan terhadap pasaran-pasaran ekuiti dan menambah selera bagi pelaburan yang lebih berisiko serta mata wang Asia, kata peniaga.
Menurut perangkaan terbaru, sektor swasta di AS meningkatkan pengambilan pekerja pada Disember ke paras tertinggi bagi tahun lalu manakala tuntutan-tuntutan baharu bagi faedah pengangguran susut dalam bulan yang sama.
Satu kaji selidik oleh Reuters mendapati pelabur-pelabur menjadi yakin terhadap dolar Singapura dan ringgit Malaysia.
"Mata wang Asia akan mengatasi prestasi (mata wang lain) sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi Asia dengan disokong oleh penggunaan domestik dan peningkatan dana asing yang mengalir masuk ke rantau ini," kata seorang peniaga.
Dalam minggu ini, ringgit dan dolar Singapura meningkat ke paras tertinggi dalam sejarah masing-masing berbanding dolar AS ekoran kemasukan semakin banyak dana global ke rantau ini, meskipun kenaikan masing-masing agak terhad disebabkan oleh krisis hutang zon euro yang masih belum selesai.
Ringgit juga mengukuh dengan ketara berbanding euro sejajar dengan kedudukan mata wang euro yang semakin lemah berbanding mata wang utama lain, akibat krisis hutang rantau ini yang belum juga selesai.
Euro jatuh ke paras terendah dalam tempoh 16 bulan berbanding dolar AS Jumaat minggu ini. Sementara itu, ringgit susut pada Jumaat, apabila pelabur mengambil untung setelah sentimen menjadi berhati-hati berikutan krisis hutang zon euro itu.
Secara perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit naik mendadak berbanding dolar AS kepada 3.1490/1520 daripada 3.1670/1700 Jumaat lepas dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.4335/4368 daripada 2.4350/4373.
Bagaimanapun, unit tempatan itu turun berbanding yen kepada 4.0817/0871 daripada 4.0796/0845 minggu lepas.
Ia juga susut berbanding pound sterling kepada 4.8838/8897 daripada 4.8807/8862 Jumaat lalu tetapi mengukuh berbanding euro kepada 4.0326/0377 daripada 4.0911/0960. Bernama |
MB: Tiada permohonan projek rumah di Felda Gedangsa Posted: 06 Jan 2012 11:45 PM PST MALAYSIA KINI
Tiada sebarang permohonan kebenaran merancang projek perumahan di Felda Gedangsa di Hulu Selangor dari Kerajaan Persekutuan atau Felda, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah menerima cadangan untuk bangunkan projek perumahan kepada generasi kedua di Felda tersebut seperti yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. "Jika ada pun permohonan yang diterima, ia hanya melibatkan permohonan dari Felda untuk melupuskan pemilikan tanah seluas 14.65 hektar di Felda Soeharto bagi tujuan kediaman. "Kerajaan negeri bagaimanapun mendapati tanah itu masih terletak di bawah Seksyen 44 Akta Penempatan Berkelompok 1960 yang bermaksud tanah itu masih di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan. Adalah salah untuk perdana menteri mendakwa Kerajaan Negeri enggan membantu," kata Khalid dalam satu kenyataan. Beliau mengulas kenyataan perdana menteri yang menyalahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu kerana didakwa enggan meluluskan projek-projek perumahan di kawasan Felda di Hulu Selangor. Khalid juga berkata, semakan dengan Jabatan Tanah dan Galian Negeri Selangor juga mendapati terdapat satu cadangan pada awal tahun 1990-an itu dari Felda untuk projek pembangunan di Felda Gedangsa. Bagaimanapun, tambahnya, ia ditolak oleh kerajaan negeri BN ketika itu kerana kegagalan projek pembangunan semula di Felda Sungai Buaya. Menteri besar kecewa kerana perdana menteri menyalahkan pihak lain ekoran kegagalan Umno-BN menunaikan janji-janji yang dibuat dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. "Kerajaan negeri sentiasa komited untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk kebaikan rakyat. Kami telah buktikan dengan Projek The Greater Klang Valley dan projek River of Life. Tiada alasan untuk kerajaan negeri mendiskriminasikan peneroka Felda. "Malah, lebih 2,000 ekar tanah milik kerajaan negeri di Hulu Bernam telah dibangunkan oleh Felda tanpa pengetahuan kerajaan negeri dan kerajaan negeri tidak menerima bayaran satu sen pun," katanya. Oleh itu, tegas Khalid, perdana menteri perlu mengkaji fakta sebelum membuat tuduhan tidak berasas kerana kerajaan negeri melakukan reformasi pengurusan dan pentadbiran tanah secara berterusan bagi mengalakkan rakyat Selangor memiliki kediaman sendiri. |
Zunar akan abadikan perkelahan 'Kill Bill' di KLCC Posted: 06 Jan 2012 11:41 PM PST Kartunis politik, Zulkiflee Anwar Ulhaq, yang lebih baik dikenali sebagai Zunar, dan karikatur Johnny Ong sudah bersedia untuk menyertai 'perkelahan' kumpulan "KillTheBill" pada hujung minggu ini di KLCC untuk menyambut Tahun Baru.
Dalam satu kenyataan, KillTheBill.org berkata Zunar akan hadir untuk melakar kartun yang menggambarkan kebebasan akademik, yang merupakan tema perhimpunan petang ini. Mereka yang menyertai 'perkelahan' itu juga boleh mendapatkan kartun peribadi mereka dilakar pada objek seperti kertas A4 kuning dan payung kuning. Menulis dalam Facebook, penganjurnya berkata, jika lembu bolehkah tinggal di kondominium, tentunya orang boleh lukis kartun di taman! Tema minggu ini akan memberi tumpuan kepada nasib pelajar dan ahli akademik dalam perjuangan mereka untuk kebebasan akademik, kata KillTheBill.org, sambil menambah Akta Universiti dan Kolej Universiti Akta dan Biro Tata Negara telah menyemai benih-benih budaya kejahilan di kalangan pelajar. Kumpulan itu juga mengumumkan misinya bagi tahun 2021, yang termasuk pergerakan rakyat Malaysia, yang memberi persepsi bahawa protes itu menyeronokkan dan menggalakkan budaya rakyat Malaysia yang bermaklumat, berkuasa dan bersemangat. |
Polis tangkap suspek sembur 'grafiti 901 ' Posted: 06 Jan 2012 11:37 PM PST Polis menahan beberapa individu di Kuala Lumpur kerana didakwa melakukan vandalisme yang dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan 'Bebaskan Anwar 901'.
"Saya boleh mengesahkan tangkapan dibuat," kata Ketua Polis Daerah Brickfields, Wan Abdul Bari Wan Khalid.
Bagaimanapun, Wan Abdul Bari tidak dapat mengesahkan jumlah individu yang ditahan atau lokasi tempat kejadian.
"Saya masih mengumpul maklumat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dipercayai individu berkenaan ditahan kerana menyembur cat 'TTR901'.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada grafiti itu ada kaitan dengan perhimpunan menyokong ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana keputusan perbicaraan kes liwat terhadapnya akan diumumkan pada 9 Januari ini. |
Persidangan Kebangsaan DAP 2012: Mahu ke mana DAP? Posted: 06 Jan 2012 03:36 PM PST Oleh Mazir Ibrahim Pada Ahad ini 8 Januari 2012 bersamaan dengan 14 Safar 1433H akan menyaksikan sebuah parti pelbagai kaum – Parti Tindakan Demokratik (DAP) – yang bakal bersidang di Shah Alam, Selangor. Perhimpunan kali ini dilihat amat penting dalam waktu yang cukup genting. Ini adalah kerana para ahli dan pemimpin DAP akan menetapkan agenda parti dalam meneruskan legasi ketuanan rakyat yang bebas dari perkauman dan keagamaan yang sempit. Apa sahaja keputusan, rancangan dan matlamat yang bakal diungkapkan, pasti untuk memastikan parti ini terus dilandasan idealisme dan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dalam gelora politik yang mendatang. Kerana itu juga, ia dilihat sebagai perhimpunan dalam waktu yang genting atau kritikal. Dalam mengerah intelek dan kudrat tenaga untuk bekerja, tekanan dari parti memerintah cukup menggila sekali. Maka pada kongres kali ini DAP mengajukan tema 'Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia'. Tema ini jelas dan tepat, tiada konotasi negative, malah ia mengandungi satu pernyataan 'harapan' yang besar dalam maksud tema tersebut. Harapan ahli Para perwakilan DAP yang akan hadir dari segenap pelusuk negara, sudah tentunya datang untuk memastikan harapan ahli-ahli dan juga rakyat umumnya, agar parti moderat ini akan terus setia memperjuangkan nasib bangsa (nation). Bukan dengan kata-kata, tetapi dengan satu ketetapan yang jelas dengan usaha kerja. Ahli-ahli dan rakyat hidup dalam persekitaran masing-masing, ada yang miskin, ada yang berada, ada yang berpendidikan tinggi dan ada yang kurang berpendidikan. Inilah latarbelakang ahli dan rakyat yang mendukung DAP. Justeru, mereka ini semua mahukan nilai kepemimpinan yang bersih, kerajaan dan pentadbiran yang kekal telus demi menjamin kestabilan hidup rakyat. Prestasi cemerlang urus tadbir di negeri-negeri Pakatan Rakyat, khususnya di Pulau Pinang, harus terus dikekalkan dan diperluas ke negeri-negeri yang bakal diterajui kelak (dengan izin Tuhan dan mandat rakyat). Kehidupan rakyat bergelumang dengan rutin harian, mereka mahu persekitaran yang bersih dari kekotoran sampah-sarap, bersih dari urusan perniagaan kronisme dan rasuah, bersih dari sebarang provokasi melaga-lagakan sifat berpuak-puak dan perkauman. Semua ini adalah perkara yang dihadapi oleh ahli dan rakyat sehari-harian baik dari tekanan parti UMNO BN, mahu pun kadangkalanya dari segelintir pemimpin Pakatan. Ia adalah suatu hal yang hakikat, inilah yang mereka mahu dijauhkan. Ahli dan rakyat tidak meminta lebih dari itu. Harapan pemerhati Tidak dapat dinafikan sama sekali, pasca pilihan raya umum 2008 benar-benar telah mengubah perwatakan atau imej DAP di mata, hati dan minda rakyat Malaysia. Selama ini DAP digambarkan sebagai cauvinis dengan segala konotasi negatif, malah mereka tidak berpeluang langsung untuk mempertahankan diri dan menunjukkan bukti kemampuannya mengurus dan mentadbir sesebuah kerajaan kerana media massa yang kesemuanya dikawal oleh UMNO-BN. Kini persepsi buruk itu kian melebur. DAP muncul dengan imej baru tanpa menggadaikan prinsip perjuangannya yang ditegakkan dengan ideologi demokrasi sosial serta menyokong penuh sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Asakan demi asakan untuk menconteng arang pada imej baru DAP ini kelihatan menemui titik kegagalan. Inilah hasilnya apabila rakyat memberi peluang kepada parti-parti Pakatan Rakyat khususnya DAP untuk menunjukkan kebolehan mereka. Jika tidak pasti DAP masih bergelut dengan stigma lama UMNO itu. Di sebalik rangkaian perubahan ini, sebagai pemerhati yang cenderung untuk meletakkan sekian harapan dan sasaran, pastinya mahu melihat sejauh mana kesediaan DAP untuk menyulam dimensi baru politik mereka demi menjadi sebuah parti yang berideologikan jalan tengah, moderat dan penuh dengan kepelbagaian budaya dan ras kaum. Cabaran ini bukan mudah, dasar parti yang berbilang kaum sememangnya menjadi dasar dan pratiknya. Namun kini, dasar yang sama itu juga tidak semestinya akan memberi impak yang sama seperti sebelumnya. Keghairahan DAP dengan menjemput bakat-bakat baru dari kalangan Melayu khususnya, pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran, bukan sahaja dari serangan UMNO-BN tetapi juga sentimen, semangat dan setiakawan dari dalam Pakatan Rakyat sendiri. Dan jangan kita lupa, sejauh mana iltizam politik di kalangan ahli dan pimpinan pusat DAP dalam isu ini. Apakah mereka benar-benar bersedia untuk menerima perubahan yang bakal memberi kesan dengan kehadiran bakat-bakat baru khususnya di kalangan orang-orang Melayu ini? Perubahan ini kelak akan berasiosasi antara budaya lama dengan budaya baru yang merangkumi dimensi kerja, fikir dan pendekatan politik. Sungguh pun dasar DAP itu sudah jelas dan kukuh, pelaku-pelaku didalam organisasi yang semakin membesar ini pasti akan berdepan dengan pelbagai ragam. Pesanan kepada pengkritik DAP Dalam prospek pilihan raya, DAP berdepan tugas sukar bukan sahaja untuk mempertahankan kemenangan kerusi tetapi mereka juga perlu memastikan kemenangan moral. Ini sudah tentu akan memberi impak besar kepada imej dan kredibiliti DAP. DAP tidak perlu bimbang dengan segala kritikan melampau dan tidak munasabah, sebaliknya gunakanlah itu sebagai bukti perlaksanaan prinsip mereka sendiri, iaitu 'Jalan Tengah'. Pengkritik juga boleh melihat bahawa ini adalah pengorbanan besar yang telah dibuat dan dibuktikan oleh DAP – parti yang setia dengan janji dan semangat setia kawan Pakatan Rakyat. Memang diakui DAP masih tandus dengan kehadiran ahli-ahli dari kalangan Melayu yang benar-benar berkualiti dan memenuhi pakej sebagai seorang pemimpin. Kini cabarannya lebih besar, bukan sekadar menarik orang Melayu menyertai parti untuk menjadi sukarelawan, pekerja, pemimpin dan calon, tetapi mendapatkan mereka dari kalangan yang bersifat dan bersikap sederhana dan tawadhuk dengan dasar parti serta berjiwa Malaysia. Kerja ini ibarat mencari seinci jarum dalam rimbunan jerami. Namun ia bukanlah suatu hal yang fantasi atau mustahil. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kerja, kerja dan teruskan kerja Untuk membersihkan sekeping lantai sekali pun kita memerlukan kayu mop yang baik, air yang bersih, sabun yang bermutu, berus yang baik dan pekerja yang sihat dan rajin. Hanya dengan pakej ini sahaja yang mampu membersihkan lantai dengan sempurna sebelum berupaya membersihkan sebuah rumah atau sebuah bangunan yang besar. Keinginan atau azam mesti diterjemahkan dengan usaha kerja. Siapa bilang kerja yang berulang-ulang itu suatu kerja yang bodoh? Kerja berulang bukan bererti di takok lama, ia perlu disertakan dengan inovasi dan cara baru dari semasa ke semasa. Namun ia tetap kerja. Hanya si pemalas sahaja yang mahu melakukan sekali kerja dan bermimpi untuk melihat perubahan besar. Dan seterusnya DAP akan menyambung segala usaha-usaha ini dengan satu kerja yang cukup besar iaitu " Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia". Jika ditanya mahu ke mana DAP, maka inilah jawapannya. Selamat bersidang. – Roketkini.com |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan