Pahang dan Johor Diramal Hujan Mulai Ahad Ini Posted: 06 Jan 2012 03:31 PM PST
KUALA LUMPUR : Hujan sekejap-sekejap kadang kala sederhana yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pahang dan Johor bermula Ahad ini akan berlanjutan sehingga Isnin depan.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, kawasan yang terlibat di Pahang ialah daerah Kuantan, Pekan, Rompin dan Maran manakala bagi Johor ialah daerah Mersing dan Kota Tinggi. Jabatan Meteorologi juga mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 60 kmsj dan ombak melebihi 5.5 meter di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North, dan Layang-Layang yang dijangka berterusan sehingga 10 Jan. Sementara itu keadaan yang sama juga diramalkan berlaku di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang terdedah dengan kejadian kenaikan paras air sehingga Selasa depan. Jabatan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak melebihi 4.5 meter yang dijangka berterusan sehingga 10 Jan di kawasan perairan Sarawak, Reef South, Palawan, Sulu, Wilayah Persekutuan Labuan dan beberapa kawasan di Sabah seperti Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan. Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menangkap ikan dan perkhidmatan feri. - Bernama |
Empat Wakil Rakyat SPDP Keluar Parti Posted: 06 Jan 2012 03:29 PM PST
KUALA LUMPUR : Konflik dalaman Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) bertambah buruk apabila empat wakil rakyatnya keluar parti susulan pertelingkahan dengan presiden SPDP Tan Sri William Mawan.
Mereka ialah Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Palu Paulus Gumbang (Batu Danau) dan Rosey Yunus (Bekenu) and Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe.
Mereka diberikan surat tunjuk sebab November lalu kerana tidak menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi parti untuk lebih setahun.
Pemerhati politik berkata tindakan wakil rakyat berkenaan memulau kepimpinan William dilihat sebagai sebahagian daripada rancangan menubuhkan sebuah parti baru atau menyertai parti lain.
Bagaimanapun keempat-empat wakil rakyat berkenaan mengaku tidak dapat bekerjasama dengan William namun enggan mengesahkan sama ada mereka berura-ura menubuhkan sebuah parti baru. |
Apabila Anwar tiada di gelanggang politik... Posted: 06 Jan 2012 04:21 AM PST Anwar Ibrahim yakin. Sekiranya beliau terkeluar dari arena politik aktif sekalipun, Pakatan Rakyat akan tetap mampu mengemudi jalan ke Putrajaya. Bukan itu sahaja. Malah, katanya, Pakatan Rakyat mungkin akan lebih menyengat dalam sayembara politik dengan BN. Ini kerana, menurut Anwar, Pakatan Rakyat sudah ada formula dan kata sepakat tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya keputusan mahkamah dalam kes liwat yang dihadapinya tidak memihak kepada beliau pada Isnin depan. Beliau memberitahu umum bahawa pucuk pimpinan Pakatan Rakyat telahpun bersetuju untuk menampilkan tokoh yang sesuai untuk menggantikan tempatnya sebagai peneraju Pakatan itu. Siapa tokoh berkenaan akan bergantung kepada butir keputusan mahkamah 9 Januari nanti. Jika benar demikian persiapan Pakatan Rakyat, ini bermakna siapa sahaja yang akan dipilih kelak pasti akan mendapat sokongan tuntas dan mutlak daripada ketiga-tiga kerabat – DAP, PAS dan PKR. Ini juga bermakna: - Pakatan telah mencapai tahap bukan sahaja kerjasama tetapi asimilasi atau penghayatan politik yang total – satu matlamat, satu hati satu cara. Ini adalah sesuatu yang mengkagumkan mengambil kira Pakatan bukan sebuah pertubuhan politik berdaftar seperti BN.
- Memang sudah ada tokoh yang setanding atau sekurang-kurangnya menghampiri kaliber Anwar dalam Pakatan yang pasti boleh diterima oleh semua ahli kerabat pakatan politik itu.
- Ini juga bermakna soal siapa dan dari parti mana yang akan menjadi perdana menteri jika Pakatan menakluki Putrajaya bukan lagi isu. Malah, Anwar yakin sesiapa sahaja yang menggantinya memimpin Pakatan adalah untuk tempoh sementara. Apabila Pakatan menang, katanya, perdana menteri sementara itu akan menggunakan kuasa politik untuk memulihkan kedudukannya dan mengembalikan kerusi perdana menteri itu kepadanya. Nas yang digunakan oleh Anwar ialah, ini pernah berlaku di Turki apabila Ecep Erdogan yang disekat daripada memegang kuasa politik terbukti dapat menjadi pemimpin Negara itu apabila partinya menang dalam pilihanraya dan "memulihkan" haknya. Dan,
- Anwar mengukuh dan meramalkan betapa benarnya kempen Raja Petra Kamaruddin bahawa beliau sudah tidak releven lagi dalam konteks politik Malaysia hari ini. Jika memang sudah ada pengganti, mengapa perlu pada Anwar lagi?
Soalnya, benarkah Pakatan kini sudah ada pengganti Anwar? Atau, kenyataan Anwar itu hanya untuk menyedapkan hati penyokong Pakatan bahawa tidak akan berlaku pergeseran dan pertikaian dalam Pakatan apabila beliau tidak ada dalam gelanggang politik? Ia menimbulkan lebih banyak persoalan lagi. Antaranya; 1. Benarkah pelbagai golongan dan fahaman politik dalam DAP, PAS dan PKR dapat dileburkan menjadi satu suara, satu hati dan satu cara perjuangan dalam setiap kerabat Pakatan berhubung isu pengganti Anwar ini?
2. Sudah langsaikah pertikaian fahaman politik – Islam dan Malaysian Malaysia – PAS dan DAP kini? Atau, adakah ia akan menjalar lebih ganas selepas ketiadaan Anwar?
3. Benarkah tidak kira tokoh dari parti mana sekalipun yang dipilih menjadi pengganti Anwar akan diterima baik oleh pelbagai regu politik dalam parti-parti kerabat Pakatan sendiri?
Andaikata dipilih dari kalangan tokoh PAS, apakah jaminannya ia akan jadi keputusan sebulat suara? Episod Hasan Ali dengan intepretasinya PAS telah tergelincir dari landasan politiknya baru-baru ini pasti berulang kerana kali ini, natijah persaingan ialah kerusi perdana menteri Malaysia!
Begitu juga jika calon yang dipilih dari PKR. Jika benar desas-desus mengatakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah puteri sulung Anwar dipilih sebagai pengganti beliau, bagaimana dengan Azmin Ali yang memegang jawatan timbalan presiden?
Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail pasti tidak boleh menjadi wakil rakyat pada tempoh terdekat menjelang pilihanraya ke 13 kerana telah bertindak mengosongkan kerusi Permatang Pauh yang dimenanginya dalam pilihanraya ke-12 bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.
Tidakkah keadaan ini akan mengusik kembali kenangan dan episod persaingan menjelang pemilihan pucuk pimpinan PKR pada penghujung 2010?
4. DAP mungkin menjarakkan diri daripada persaingan memilih pengganti Anwar ini kerana jatidirinya bukan sebuah parti Melayu-Islam. Hambatan perlembagaan dan protokol politik lazim negara dengan sendirinya menolak calon DAP daripada diangkat jadi ketua Pakatan Rakyat.
Namun bagaimana jika DAP sendiri memiliki kerusi terbanyak di kalangan anggota Pakatan pada pilihanraya umum ke 13? Apakah ada kemungkinan DAP pula melaksanakan program "ala-16 September 2008 Anwar Ibrahim" dengan "memujuk, memancing dan menggertak" parti-parti bukan berasas Islam dan Melayu menyertainya menubuhkan kerajaan baru? Ini semua mungkin. Selain banyak bergantung kepada butir keputusan perbicaraan kes Liwat II Anwar Ibrahim, ia juga banyak bergantung kepada faktor-faktor luar Pakatan yang lain. Umpamanya, apakah jaminannya bahawa walaupun kurang bilangan ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan ke-13 negara, BN sendiri tidak akan berusaha untuk melaksanakan kempen "ala 16 September Anwar Ibrahim"? Kali ini kedudukan Umno tentu kelihatan lebih jelas dan ikhlas untuk memperkukuh perpaduan Melayu dan Islam. Ini kerana dengan kekuatan yang jauh lebih merosot daripada sebelumnya, naluri untuk hidup "survive" Umno akan lebih tinggi. Maka jika keikhlasan yang dituntut, Umno akan terpaksa berpegang kepada prinsip itu. Umno bersama komponen BN lain mungkin ketika itu kalah di segi bilangan kerusi. Namun jika ia dapat mengekalkan sekurang-kurangnya 60 hingga 70 kerusinya sekarang, ia masih boleh meyakinkan PAS dan ahli parlimen Melayu-Islam PKR untuk menyertainya menubuhkan kerajaan Melayu-Islam. Anwar Ibrahim sudah tiada ketika itu untuk mempertahankan pembinaan sebuah kerajaaan Satu/Pan Malaysia yang diidamkan. Apapun, percayalah, keyakinan Anwar bahawa ketiadaannya dalam arena politik Malaysia akan tidak menggerhanakan Pakatan, tidak semestinya tepat. Ia pasti goyah dan mungkin bergoncang dilanda real-politik pelbagai dimensi, persepsi, etnik dan agama.
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.Abdul Rahman Malik adalah bekas kakitangan awam dan kini cenderung memperjuangkan nasib politik orang-orang Melayu. |
Bangunan Umno di Kedah disembur kata burukkan PM Posted: 06 Jan 2012 04:12 AM PST NALAYSIA KINI
Beberapa bangunan milik Umno Kedah disembur cat dan kata-kata nista terhadap parti itu menjelang keputusan mahkamah Isnin ini berhubung kes liwat melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut menjadi sasaran ialah kenderaan orang awam serta bas yang disembur cat warna hitam dengan perkataan "Bebaskan Anwar" dan "Gerakan 901". Bangunan Tunku di Alor Setar yang menempatkan pejabat Badan Perhubungan Umno Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah dan Bank CIMB, disembur perkataan memburukkan Umno, Barisan Nasional dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Bangunan Umno Padang Terap di Kuala Nerang dan bangunan Umno Kubang Pasu di Jitra turut menjadi sasaran kumpulan tidak bertanggungjawab yang menyembur perkataan serupa. Umno Kedah membuat laporan polis di Balai Alor Setar, Kuala Nerang dan Jitra, pagi ini. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Umno Kedah sangat kesal dengan perbuatan vandalisme berunsur provokatif itu. "Orang penakut sahaja yang sanggup melakukan perbuatan menconteng ini," katanya yang mencabar golongan ini bersemuka dengan Umno secara berdepan dan bukan dengan cara menconteng bangunan pada waktu malam. Pengurus Harta Umno Kedah, Salleh Saad, berkata beliau menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan pada 6.15 pagi ini berhubung perbuatan itu yang dipercayai dilakukan antara 3.30 pagi dan 5 pagi tadi. Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menganggap perbuatan itu dilakukan orang biadab yang sakit hati. Beliau bersama Ketua Polis Padang Terap, DSP Ku Yaacob Ku Hamad meninjau bangunan yang menjadi sasaran kumpulan tersebut. Di Jitra, laporan polis berkaitan perbuatan itu dibuat oleh pemandu van Umno bahagian Kubang Pasu, Shahrizal Saidin di Balai Polis Jitra. Naib Ketua Umno bahagian, Zulfitri Yaacob berkata Shahrizal tiba di pejabat pada jam 8 pagi dan mendapati van Umno serta bangunan dan beberapa kenderaan yang diletakkan berdekatan bangunan Umno Kubang Pasu disembur dengan perkataan-perkataan serupa di bangunan Umno lain. Bernama |
Hasan dakwa wujud pasukan khas murtadkan Melayu Posted: 06 Jan 2012 04:10 AM PST Sebuah pasukan khas yang mungkin beroperasi di dalam dan sekitar Petaling Jaya dan Kelana Jaya, ditubuhkan oleh pihak Kristian dengan tujuan untuk memurtadkan orang Melayu di Selangor, dakwa Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali. Katanya, pihak Kristian mendapati penganut agama Buddha, Taois dan Confucian mudah menukar agama, tetapi mendapati umat Islam, khususnya orang Melayu, sangat sukar untuk dimurtadkan. Oleh itu, dakwanya, mereka membentuk unit khas itu untuk menarik orang Melayu di Selangor kepada agama Kristian. Bercakap dalam from anti-murtad anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Al-Hassanah di Bangi malam tadi, Dr Hasan mendakwa unit khas itu dianggotai sukarelawan Kristian yang sangat berdedikasi dan komited dari seluruh dunia. Menurutnya, sukarelawan dari Korea, Australia, Switzerland, dan dari seluruh dunia itu, dengan sukarela tinggal di sini selama sekurang-kurangnya satu tahun. Sukarelawan tersebut, dakwanya lagi, berkelayakan tinggi, termasuk lulusan PhD dan sarjana dalam mata pelajaran teologi dan disiplin keilmuan seperti kejuruteraan atau perubatan, dibantu oleh satu rangkaian rakan-rakan mubaligh di seluruh negara, serta mempunyai sumber pembiayaan tanpa had serta kepakaran dalam alatan psikologi untuk memurtadkan orang Islam.
|
Demo PERKASA bantah 901 tak dapat sambutan Posted: 06 Jan 2012 04:01 AM PST Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Melaka, meluahkan rasa kesal berikutan ramai masyarakat Melayu terutama pelajar terpengaruh dengan cubaan pihak tertentu untuk menganjurkan perhimpunan "Bebaskan Anwar 901" yang dirancang Isnin ini.
Yang Dipertuanya, Abdul Rahim Osman (berketayap) berkata, mereka yang terlibat tidak seharusnya begitu taksub dengan kepentingan individu tertentu sehingga gagal menunjukkan kewarasan di dalam berfikir.
Menurutnya, perhimpunan "Bebaskan Anwar 901" tidak patut berlaku di dalam negara yang mempunyai proses undang-undang dan peraturan.
"Apa yang cuba dilakukan masih di dalam proses mahkmah lagi, mahkamah sedang mendengar hujah, bukti-bukti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak jadi biar mahkamah buat keputusan.
"Sekiraya tidak puas hati masih ada peluang membuat rayuan di Mahkamah Rayuan, kalau tidak puas hati lagi masih boleh buat rayuan di Mahkamah Persekutuan. Ada dua lagi tangga untuk sesiapa tidak puas hati dengan mahkmah," katanya. Kurang sambutan
Beliau berkata demikian selepas menyertai Solat Hajat bagi memohon supaya keamanan terus kekal dinikmati masyarakat di negara ini dan bebas dari sebarang bentuk kekacauan.
Kira-kira 3,000 jemaah menyertai majlis solat yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Datuk Mohammad Hashim sebaik selesai mengerjakan Solat Jumaat.
Bagaimanapun, program dirancang sepatutnya disusuli dengan satu demonstrasi aman di pintu masuk utama masjid berkenaan gagal diadakan berikutan kurang mendapat sambutan.
Abdul Rahim berkata, selain PERKASA majlis turut disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya, Persatuan Sidang-Sidang Negeri Melaka, Perguruan Gerak Insan Seni Melaka dan Pertubuhan Kebajikan Sejati Melaka.
"Tidak perlu kita nak buat demonstrasi jalanan kerana akan menyusahkan pihak berkuasa, membuang masa dan tenaga mereka malah kerajaan terpaksa membayar kerja lebih masa.
"Perhimpunan yang dirancang Isnin ini tidak patut dilakukan apatah ketika itu adalah hari orang bekerja dan kebanyakannya sibuk hendak menghantar anak ke sekolah serta tidak kurang juga yang hendak pergi bekerja," katanya.
Beliau turut kesal berikutan pihak terbabit cuba menggertak mahkamah supaya membuat keputusan yang berkemungkinan memihak kepada mereka terlibat.
"Hari ini PERKASA bersama NGO lain menyatakan pendirian bahawa usaha yang dilakukan ini untuk mengadakan perhimpunan "Bebaskan Anwar 901" adalah sesuatu perkara sia-sia.
"Saya ingin menyeru kepada masyarakat terutama orang-orang Melayu supaya jangan turut serta dalam perhimpunan yang akan diadakan itu kerana ia tidak baik untuk negara kita kerana akan menggambarkan negara kita seolah-olah berkeadaan huru-hara. |
Insiden UPSI: Mahasiswa bekalkan bukti kepada polis Posted: 06 Jan 2012 03:23 AM PST Sekumpulan mahasiswa hari ini menyerahkan memorandum dan bukti bergambar berhubung dakwaan kekasaran polis ke atas diri mereka pada ambang Tahun Baru 2012 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak. Memorandum berkenaan memuatkan testimoni dan keterangan beberapa orang saksi dan gambar berhubung kejadian berkenaan yang menyaksikan seramai 17 mahasiswa ditahan manakala dua lagi didakwa cedera. "Polis telah menafikan melakukan keganasan. Hari ini kita beri bukti kita bahawa ada sentuhan terhadap mahasiswa," kata jurucakap Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Haziq Abdullah Abdul Aziz. Memorandum itu diserahkan kepada Bahagian Penerbitan Cawangan Perhubungan Awam, DSP Venugopal Navaretnam di ibu pejabat Polis di Bukit Aman Kuala Lumpur kira-kira jam 2.40 petang ini. Haziq Abdullah berharap dengan penyerahan bukti berkenaan, polis dapat menjalankan siasatan secara terperinci. Beliau diiringi kira-kira empat lagi mahasiswa sewaktu menyerahkan memorandum tersebut. Kira-kira 20 mahasiswa daripada kumpulan SMM dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) hadir memberi sokongan kepada lima pelajar tersebut. Perhimpunan pro-kebebasan akademik di UPSI itu, dianggotai kia-kira 100 aktivis mahasiswa. Selain menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, hampir seratus mahasiswa itu mendesak agar penuntut UPSI, Adam Adli Abdul Halim, yang menurunkan bendera yang tertera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat Umno sewaktu demonstrasi 17 Dis lalu, tidak dikenakan tindakan tata tertib oleh pentadbiran universiti berkenaan. |
Polis benarkan perhimpunan 901 di luar mahkamah Posted: 06 Jan 2012 03:20 AM PST Polis telah membenarkan Pakatan Rakyat meneruskan perhimpunan 'Bebaskan Anwar' di tempat letak kereta perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Isnin ini.
Keputusan itu dicapai selepas kedua-dua pihak bermesyuarat selama sejam dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Walaupun timbalan presiden PKR Azmin Ali yang mengetuai rombongan parti itu, namun beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga sidang akhbar jam 3 petang nanti.
Sebaliknya, perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dalam laman twitternya yang berbunyi:
"Persetujuan dicapai dgn @PDRMsia utk perhimpunan solidariti utk @anwaribrahim 901 di kawasn letak kereta Kompleks Mahkamah KL. Jom turun". Azmin pada sidang akhbarnya sekadar berkata keputusan perbincangan dengan polis hari ini "positif". Bagaimanapun katanya, beliau akan mengumumkan hasil perbincangan secara terperinci pada sidang medianya pada jam 3 petang ini.
Walaupun diasak bertubi-tubi, beliau enggan mendedahkan butiran terperinci hasil perbincangan berkenaan.
"Keputusannya positif, saya gembira dengan (hasil) perbincangan pagi ini, kerana polis menunjukkan kesediaan untuk berbincang dengan parti-parti politik.
"Mereka mengambil sikap terbuka demi untuk menjamin keamanan rakyat," katanya sambil mengharapkan perhimpunan tersebut berjalan dengan aman dan teratur.
Azmin juga menegaskan bahawa pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjaga keamanan dan mampu mengatasi sebarang provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. PERKASA berhimpun di masjid
"Saya percaya polis mengambil langkah-langkah sewajarnya... Kita juga berbincang tentang program kita secara teliti dengan polis. Kita amat berpuas hati," katanya.
Menurutnya lagi, perhimpunan tersebut adalah untuk mrnunjukkan solidariti bagi membebaskan Anwar daripada fitnah.
"Ia bukan protes, tapi solidariti kepada Datuk Seri Anwar," katanya. Sementara itu, Datuk Mohmad Salleh yang ditemui wartawan selepas mengadakan pertemuan itu mengesahkan pihak polis Kuala Lumpur membenarkan perhimpunan itu dengan dengan syarat ia berlangsung dalam keadaan aman dan teratur. "Penganjur mesti memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam," katanya. Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi kelonggaran kepada penyokong Anwar untuk mengadakan perhimpunan di lokasi lain tetapi bukan di kawasan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta. Sehingga semalam sebanyak 535 laporan polis dibuat di seluruh negara membantah perhimpunan anjuran PKR itu pada Isnin depan oleh pelbagai pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sementara itu, kumpulan pendesak Melayu, PERKASA juga melaporkan polis telah memberi kebenaran kepada mereka untuk berhimpun di perkarangan masjid Kuala Lumpur pada Isnin depan. Menurut timbalan presiden PERKASA Datuk Abdul Rahman Bakar yang juga mengadakan pertemuan dengan pihak polis, tidak ada permit yang diperlukan bagi tujuan berkenaan. |
Anwar amat yakin Pakatan akan rampas Putrajaya Posted: 06 Jan 2012 03:18 AM PST Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat jarang bercerita mengenai anak lelaki beliau, Ehsan yang kini menuntut di peringkat sarjana di sebuah universiti di Amerika Syarikat.
Ketika diwawancara Malaysiakini semalam, Anwar bagaimanapun terus membuka bicara dengan menceritakan telatah anak lelaki tunggalnya itu yang kini berada di dalam negara untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang lagi anaknya.
Dengan berjenaka, Anwar mengambil peluang itu untuk menceritakan mengenai Ehsan yang telah dijadikan sebagai modal untuk menyerang beliau berhubung perbicaraan kes Liwat II yang bakal diputuskan minggu depan. Awal-awal pagi lagi anaknya itu sudah mengajaknya untuk bersenam, kata Anwar yang mengharungi jadual sibuk saban hari sehingga beliau terpaksa pulang ke rumah pada jam dua pagi.
Mengulas mengenai keputusan mahkamah pada Selasa, Anwar turut melihat perkembangan itu memihak kepada Pakatan Rakyat.
Malah ada di kalangan penyokong dan pemimpin Pakatan yang berpendapat mereka akan meraih sokongan lebih besar sekiranya mahkamah memutuskan untuk memenjarakan Anwar, kata ahli parlimen Permatang Pauh itu lagi.
Walau apa jua keputusan 9 Januari, Anwar dengan penuh optimis berkata Pakatan akan berjaya mara dengan lebih jauh dalam pilihan raya umum akan datang, malah "cukup untuk mengambil alih Putrajaya."
Negeri Perak, Negeri Sembilan akan tumbang ke tangan Pakatan, kata Anwar yang menambah beliau menghadapi saingan sengit BN untuk menembusi negeri Johor dan Melaka.
Namun, Pakatan akan tetap berjaya meraih lebih banyak kerusi di negeri tersebut, serta laba yang lebih besar di Sarawak dan Sabah, kata Anwar lagi.
Dalam sedutan wawancara eksklusif Malaysiakini berikut, Anwar turut mengulas mengenai kedudukan menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mungkin menjadi masalah kepada PAS Kelantan berikutan faktor umur dan kesihatan.
Malaysiakini (MK): Negeri manakah yang menjadi satu masalah kepada Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang?
Anwar: Ianya negeri-negeri di Selatan – Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Lebih-lebih lagi Melaka dan Johor kerana kita menghadapi banyak masalah untuk menyampaikan (mesej kepada rakyat).
Bukannya orang tidak datang. Di Muar, 4,000 orang hadir, itu satu jumlah yang besar bagi Muar. Tapi ada pengecualian. Kita tidak boleh mendapat tempat berhampiran bandar, di mana orang boleh berhimpun. Seperti di Ledang, ada jumlah yang selesa tapi susah untuk masuk. Kita perlu bekerja lebih keras.
Adakah kita lebih baik berbanding 2008? Sudah tentu. Bukan sahaja PKR, tetapi rangkaian DAP di kawasan bandar di Johor juga lebih baik sekarang. PAS telah memasuki kawasan baru. Jentera PKR selepas (ketua PKR Johor, Datuk Dr Chua) Jui Meng ambil alih benar-benar meningkat, dari segi sumber dan juga jentera, jauh lebih baik berbanding 2008.
Kemudian kita ada Sabah dan Sarawak. Di Sarawak ada kawasan majoriti Cina dan juga tiga atau empat kawasan kumpulan Dayak. Boleh kita dapat majoriti kerusi? Tidak. Tidak. Secara realistik, kita boleh dapatkan 30 atau 40 peratus daripada kerusi. Sabah itu cerita lain.
MK: Adakah Datuk Seri yakin dapat tawan Melaka dan Johor?
Anwar: Tidak, saya tidak kata begitu. Johor perlukan lebih banyak usaha. Di Melaka, kita akan dapat lebih banyak dan Negeri Semabilan lebih senang. Moodnya baik.
MK: Datuk Seri akan dapat tawan Negeri Sembilan?
Ya.
MK: Adakah Pulau Pinang seteguhnya akan kekal bawah Pakatan?
Ya, kukuh. Bermakna (peluang) kita bertambah di Pulau Pinang. Itu maksud saya.
Fokus utama orang jenis PERKASA-Umno ialah untuk maki dan tuduh (ketua menteri, Lim) Guan Eng. Ia tidak menjadi. Saya sering ke Pulau Pinang. Tidak seperti tempat lain yang saya kunjungi sebagai pemimpin nasional, bila saya ke Pulau Pinang, saya duduk, saya pergi ke masjid. Tiada impak. Guan Eng telah berjaya dari segi itu.
Orang Melayu... tahu dia seorang Cina, dia seorang DAP. Saya tak anjurkan supaya mereka setuju dengan apa saja yang dia kata dan juga dasar DAP, tapi mereka lihat dia sebagai pemimpin yang berkredibiliti.
MK: Bagaimana dengan Kedah, Kelantan?
Anwar: Saya akan ke Kelantan hari ini (semalam, Khamis). Ada beberapa isu dan kerajaan negeri perlu menanganinya sekarang. Ia perlu dijalankan sekarang, Isu air. Isu tanah di beberapa kawasan. Saya akan bercakap dengan Tok Guru Nik Aziz (Menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) untuk nasihat supaya ini dapat diselesaikan segera.
MK: PAS juga telah memerintah terlalu lama di Kelantan. Mungkin rakyat rasa perlu bertukar?
Anwar: Tok Guru Nik Aziz ada cara dia sendiri. Orang kata dia tua, dia dah lama. Tapi dia bersih, tidak tipu kita dalam masyarakat dan sistem politik yang ada ramai sangat penipu yang merompak kekayaan...
Tapi orang kata dia semakin uzur dan dia patut merancang (untuk bersara), dan pasukan yang mewakilinya itu penting.
Saya akan berkongsi dengan dia beberapa pandangan secara tertutup hari ini kerana orang mahu lihat pasukan yang menyokong beliau dipersembahkan dalam pilihan raya umum ini. Ia mesti dilihat sebagai pasukan yang berkredibiliti.
[Baca laporan penuh] Wawancara dijalankan oleh Aidila Razak, Steven Gan dan Salhan K Ahmad. |
PKR desak PAS bertindak atas keceluparan Hasan Ali Posted: 06 Jan 2012 03:15 AM PST PKR hari ini mendesak rakan kongsinya, PAS supaya bertindak keras ke atas bekas pesuruhjaya Selangor parti itu Datuk Hasan Ali yang mengeluarkan pelbagai kenyataan yang dianggap mencerca dan menghina ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas tulisannya di Twiteer, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hari ini membidas kenyataan Hasan yang juga ahli exco kerajaan negeri Selangor kerana menganggap tuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar sebagai perkara peribadi.
"Biar saya ulangi pendirian PKR dan Pakatan yang bersatu dalam menyokong Anwar dan bahawa dakwaan itu adalah satu rekayasa dan politik murahan yang digunakan oleh Umno dan Barisan Nasional. Adakah Hasan merestui politik murahan yang digunakan oleh Umno dan BN.
"Oleh itu, ia tidak wajar baginya untuk mengatakan ini adalah perjuangan peribadi Anwar dan salah baginya untuk melibatkan orang ramai kerana kenyataannya itu bukan merupakan pendirian Pakatan.
"Saya berharap dan medesak PAS supaya bertindak terhadap kenyataan Hasan yang celupar ini yang tidak sepatut diluahkan untuk agenda peribadinya," katanya.
Menurut Azmin, ketika Hasan mencerca ketua pembangkang itu, Anwar sedang mengunjungi Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu yang telah menyatakan sokongan beliau.
"Nik Aziz kata beliau akan datang pada 9 Januari ini jika kesihatannya membenarkan. Siapa Hasan yang berkata sebaliknya (meminta ahli-ahli PAS tidak datang)?" soalnya.
"Saya harap PAS mengkaji mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Hasan. Jika dia tidak mahu hadir, dia tak perlu hadir tetapi demo HIMPUN dia hadir," kata Azmin. Azmin mengulas kenyataan bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali yang semalam mengeluarkan kenyataan bahawa adalah tidak sesuai mengheret rakyat menyertai perhimpunan haram itu semata-mata bagi mempertahankan isu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hasan yang juga exco kerajaan negeri Selangor juga mengumumkan bahawa beliau tidak akan hadir pada Isnin ini.
Ditanya sama ada beliau akan mengesyorkan kerajaan Selangor yang diterajui PKR oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya menggugurkan Hasan dari barisan exco negeri, Azmin berkata bahawa beliau akan membiarkan PAS mengambil tindakan pertama. |
SMM dan Bebas serah memo, bukti keganasan polis insiden di UPSI Posted: 06 Jan 2012 02:45 AM PST Oleh Mohd Farhan Darwis
Safwan (dalam kerusi roda) mendakwa beliau ditumbuk and ditendang sehingga pengsan. — Gambar oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR — Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini menyerahkan memorandum dan bukti-bukti keganasan terhadap mahasiswa oleh anggota polis ketika insiden 1 Januari lalu kepada pihak polis. Penyerahan tersebut dilakukan oleh Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Haziq Abdullah Abd Aziz di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini. Dalam memorandum itu, jurucakap Bebas ini juga mendesak pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan selanjutnya terhadap pegawai polis yang menggunakan kekerasan dan keganasan terhadap mahasiswa dalam insiden di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada malam tahun baru lalu. "Mahasiswa menuntut pihak polis segera menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan terhadap keganasan yang berlaku di UPSI tempoh hari. "Memorandum tersebut mengandungi bukti keganasan pihak polis dan juga testimonial mangsa dan saksi keganasan mereka," katanya lagi. Menurut Haziq, salinan memorandum tersebut akan turut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dan juga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). "Sekiranya polis tidak mengambil sebarang tindakan, mahasiswa akan mengambil tindakan yang lebih tegas," katanya. Memorandum tersebut diterima oleh DSP Venugopal Navaratnam, Pegawai Penerbitan Cawangan Perhubungan Awam PDRM Bukit Aman. Turut serta dalam penyerahan memorandum tersebut adalah Presiden Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) Adam Adli, Pengerusi SMM, Ahmad Shukry Abd Razab, Timbalan Presiden Kami, Khalid Mohd Ismath, dan Dr Mohd Suhaimi Mat Aris, wakil Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) serta 20 penyokong kumpulan mahasiswa tersebut. Sementara itu, Adam turut menyatakan dia bersiap sedia untuk perbicaraan kesnya di mahkamah UPSI pada 9 Januari depan. "Saya sedang bersiap sedia untuk hadir ke mahkamah UPSI untuk perbicaraan kesalahan menurunkan bendera Datuk Seri Najib. "Di situ nanti kita akan melihat sejauh mana pihak universiti akan menggunakan sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan sejauh mana ia berfungsi," katanya lagi. Adam turut menjelaskan, perbicaraan tatatertib di mahkamah institusi pengajian tinggi adalah lebih kejam kerana tiada ruang untuk membela diri. "Mahkamah luar kita lihat ada hukuman tetap untuk setiap kesalahan yang dilakukan, tetapi perkara itu tidak berlaku di mahkamah institusi pengajian tinggi," tambahnya. Insiden di UPSI malam 1 Januari awal minggu lalu telah mengakibatkan seorang pemimpin mahasiswa, Muhammad Safwan Anang mengalami kecederaan dan dimasukkan ke Hospital Slim River. Dalam kejadian itu, Safwan telah mengalami kecederaan pecah di bahagian kiri bibir apabila mendakwa pihak polis menumbuk bahagian kiri mukanya dan ditendang menggunakan lutut yang mengakibatkan dia tidak sedarkan diri selama lebih kurang sejam. Safwan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam dalam keadaan masih lagi berkerusi roda. Dia yang diwakili peguam Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi menegaskan pihak polis tidak mengeluarkan bukti penuh rakaman video insiden tersebut, sebaliknya mendakwa, rakaman video tersebut adalah rakaman sebelum kejadian keganasan dilakukan pihak polis. |
Perhimpunan 901 VS Perkasa. Perkasa Sudah Bunyikan Semboyannya Untuk Bertembung!! Posted: 06 Jan 2012 02:39 AM PST
Untuk berita mengenai perhimpunan 901 Bebas Anwar Ibrahim 2 hari lepas, terus terang kami sememangnya tidak bersetuju keranaa itu bukan jalan penyelesaian yang terbaik walaupun berhimpun memang dijamin dalam perlembagaan. Tetapi, dalam kita tidak bersetuju dengan perhimpunan 901, datang pula "semboyan" yang digerakkan oleh satu lagi NGO yag dinamakan sebagai Perkasa untuk turut serta dalam perhimpunan 901 ini. Tetapi, bukan sebagai penyokong tetapi sebagai penentang kepada perhimpunan 901 Perkasa Mahu tempur Dengan Kumpulan "Perhimpunan 901″ Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA dan 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikrar akan menyekat perhimpunan gerakan 'Bebaskan Anwar 901′, Isnin depan demi mempertahankan keamanan negara. Menurut lapor akhbar harian Melayu, Sinar Harian, presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dipetik berkata ahlinya akan menunaikan solat subuh di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum berarak sehingga ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. "Kami tunai solat sunat berjemaah dan berdoa Alalh SWT memberi kekuatan kepada pejuang ini. "Selepas itu, kami berarak dan sekiranya bertembung dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan penyokong mereka yang sanggup mempertahankan pemimpin yang menghadapi masalah moraliti, kita sama-sama melakukan provokasi," katanya dipetik akhbar itu. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadualkan membuat penghakimannya berkenaan perbicaraan liwat II yang membabitkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi Isnin nanti. Sebelum ini, Pakatan Rakyat mengumumkan bahawa mereka akan mengumpulkan 100,000 penyokong di Kuala Lumpur pada hari yang sama bagi menunjukkan sokongan padu mereka kepada ketua pembangkang itu. Mengenai tindakan bakal diambil pihak berkuasa, Ibrahim berkata, terpulang kepada polis untuk menghalang PERKASA atau Pakatan Rakyat kerana kedua-duanya melakukan perhimpunan haram. "Kami menegakkan keamanan, itulah kekuatannya dan mereka pula hendak meruntuhkannya, sebaliknya menaikkan pemimpin yang mempunyai masalah moral. "Tidak perlu saya perjelaskan siapa (Ketua Pembangkang, Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang merupakan bekas sahabat di universiti dan berjuang bersama-sama," katanya kepada Sinar. Sebelum ini, menjelang himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu, Ibrahim juga mengancam untuk mengadakan tunjuk perasaan untuk menggagalkan pergerakan yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini. Tetapi pada saat terakhir, beliau membatalkan hasrat PERKASA itu atas alasan tidak mahu pertembungan ataupun pertumpahan darah di kalangan orang-orang Melayu. Respon Pembaca Berita Semasa Mengenai Perhimpunan 901? Setakat berita ini dikeluarkan, satu ruangan undian telah disediakan di laporan berita di sini, Kempen Bebas Anwar Ibrahim 901. PDRM Sudah Keluarkan Amaran!! Seramai 716 telah turut serta dalam ruang undian tersebut. Sekitar 51% menyokong, manakala 49 peratus lagi tidak menyokong. Kami tidak pasti dan masih lagi dengan samar-samar tujuan sebenar Perkasa turun pada 9 Januari 2012 sebagai pasukan penentang. Kenapa mesti mereka berarak juga? Biar pihak polis sahaja menyelesaikan dengan cara yang adil & mengikut lunas undang-undang yang betul. Tidak pasal-pasal dengan pertembungan 2 kumpulan ini nanti, keadaan akan jadi lebih buruk. Sebab apa?? Provokasi & perasaan ego dalam setiap orang yang menyertainya berdasarkan idealisme masing-masing. Dua-dua ada kepentingan sendiri. Akhirnya siapa yang bakal sengsara nanti? |
Cuti Umum Malaysia Terlalu Banyak? Majikan Memberi Cadangan Untuk Mengurangkannya!! Posted: 06 Jan 2012 02:32 AM PST
Kalau tanya bos atau majikan, akan mengadu cuti umum Malaysia terlalu banyak sehingga memberikan masalah kepada mereka seeprti mengurang produktiviti. Kalau tanya pekerja pula, cuti umum Malaysia yang "cukup" penting untuk mereka mendapatkan rehat yang cukup supaya produktiviti semasa bekerja meningkat. Akhirnya…..seperti… "it's an egg and chick story" Pusing-pusing pun, masing-masing akan menegakkan pendapat masing-masing. Kalau semak negara-negara luar cuti umum, seperti : - Orang Perancis banyak cuti
- Australia pula yang kami lihat hidup mereka santai sahaja. Selepas pukul 5 petang dah ada di rumah minum teh, riadah dan lain-lain lagi. Malam awal-awal dah tidur. Kecuali…..
- Kecuali sejak imigran China yang gila kerja & duit buka kedai sehingga larut malam
- Di US juga begitu, mereka akan tidak mengerah tenaga lebih utnuk bekerja selepas pukul 5
Banyak negara maju begitu sebenarnya. Itu sebab, negara mereka sekarang ini dah stabil. Kecuali Jepun, yang memang budaya negara mereka kerja sehingga larut malam. Balik kerja lewat perkara biasa. Kalau balik awal akan dicop sebagai "pemalas". Begitulah suasana bekerja negara matahari terbit itu. Boleh dikatakan budaya gila kerja ini melibatkan negara-negara di Asia sahaja. Cuti Umum Yang Banyak Membebankan Majikan? PETALING JAYA: Musim cuti akhir tahun mungkin telah berakhir di seluruh dunia tetapi tidak di Malaysia kerana diikuti musim cuti perayaan yang menjadi gelombang kedua cuti umum tahun ini. Majikan mungkin berdepan masalah produktiviti memandangkan sebahagian besar pekerja dijangka mengambil cuti panjang pada bulan Januari dan Februari. Rakyat Malaysia menikmati lebih 50 hari cuti, cuti sekolah dan cuti umum negeri, dan tersenarai dalam 10 negara teratas yang mempunyai cuti umum paling banyak. Ini tidak termasuk sekurang-kurangnya 14 hari cuti tahunan yang dimiliki setiap pekerja. Lebih buruk untuk majikan pada tahun ini, banyak lagi cuti umum selepas cuti Tahun Baru Cina yang jatuh pada 23 Januari. Ini termasuklah Hari Wilayah Persekutuan (1 Februari), Maulidur Rasul (5 Februari) dan Thaipusam (7 Februari). Adalah menjadi perkara biasa bagi pekerja-pekerja di Malaysia menggunakan cuti tahunan mereka, sebelum atau selepas cuti sesuatu perayaan untuk meluangkan masa yang lebih panjang. Pengerusi Jawatankuasa Industri Kecil dan Sederhana Persekutuan Pekilang-Pekilang (FMM) Malaysia, Tan Sri Soong Siew Hoong berkata cuti umum yang banyak memberi kesan terhadap daya saing dalam perniagaan dan "membuat majikan menangis". "Saya fikir terlalu banyak cuti umum berbayar bagi sektor swasta. Beberapa sektor masih lagi mahu meminta cuti lebih," katanya. Soong juga melahirkan rasa tidak puas hati beliau apabila cuti yang jatuh pada hujung minggu dibawa ke hadapan kerana merasakan ianya tidak perlu. Beliau mencadangkan agar cuti agama diisytiharkan sebagai pilihan peribadi supaya pekerja terlibat dapat merayakannya dan rakan-rakan bergama lain bekerja seperti biasa. Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan berkata produktiviti akan terjejas jika terdapat hari bekerja di antara tempoh percutian. Beliau berkata syarikat-syarikat tidak akan dapat beroperasi pada tahap yang optimum kerana kebanyakan pekerja akan mengambil cuti. "Satu alternatif ialah mengisytiharkan penutupan sepanjang tempoh, jika tidak kos overhed akan menjadi tinggi, "katanya. Shamsuddin berkata Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan telah menyarankan kepada MEF dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia formula bagi majikan untuk "membeli balik" hari cuti tahunan. Pengerusi Jawatankuasa Persekutuan Persatuan Cina Malaysia Kerk Loong Sing berkata cuti umum yang banyak akan menyebabkan kos pengeluaran yang tinggi secara semula jadi. "Sudah tentu, cuti terlalu banyak adalah tidak baik. Ia akan menjejaskan produktiviti terutama untuk industri yang tidak mampu untuk menghentikan pengeluaran. Majikan juga perlu membayar gaji yang lebih tinggi untuk cuti umum," katanya. Walau bagaimanapun, Naib Presiden MTUC, Mohd Roszali Majid tidak bersetuju bilangan hari cuti umum dipotong sebagai kerana "pekerja layak bercuti". "Ia tidak menjejaskan produktiviti kerana mereka boleh bekerja pada hari cuti umum, jika mereka mahu. Majikan juga boleh menukar cuti tahunan yang tidak digunakan kepada tunai sekali gus meningkatkan pendapatan pekerja. Ranking negara paling lama waktu bekerja melibatkan 29 negara-negara industri : (Sumber : http://www.oecd.org) Bagi kami daripada kita asyik bilangan cuti umum Malaysia atas nama produktiviti, kenapa tidak mencari idea untuk buat semua pekerja "suka bekerja" di tempat anda. - majikan boleh ubahsuai suasana tempat kerja
- majikan baik dengan pekerja
- pekerja semua jadi ikhlas untuk bekerja, tambah motivasi kerja dan lain-lain lagi
- konsep jangan terlalu memaksa dan tertekan di ofis
- jangan terlalu banyak protokol itu & ini
Kenapa kita tengok hanya kepada faktor 'jam bekerja' sebagai pengukur supaya yang pekerja akan lebih puas hati? "Kalau lagi kurang 'jam kerja', pekerja akan lagi puas hati" Sebenarnya banyak lagi faktor lain yang menyumbang selain daripada kami senaraikan tadi dan ianya berbeza untuk setiap individu dan sektor yang terlibat. Pekerja-pekerja diberikan ruang untuk membuat pilihan & memilih, asalkan kerja yang diamanahkan siap mengikut jadual yang ditetapkan. Tidak perlu untuk mereka bekerja siang malam. Walaubagaimanapun, kalau nak kerja lebih terpulang. Kami pasti setiap individu ada perancangan & kehendak masing-masing asalkan ruang yang diberikan agak fleksibel. Yang penting : - Janji kerja siapa pada masa yang ditetapkan
- Kalau kerja 24 jam, kerja tidak siap, tidak produktif juga
- Dan tidak bebankan tugas & kerja orang lain
Penstrukturan Cuti Umum Malaysia Cuma penstrukturan cuti umum Malaysia itu bagi kami mungkin perlu ditambahbaik. Kami kurang bersetuju contohnya : - cuti hujung minggu, cukuplah bagi kami 5 1/2 hari seminggu (ikut sistem dahulu)
- cuti umum kalau jatuh pada hujung minggu tidak perlulah untuk dibawa kepada hari berikutnya
- lagi satu, selaraskan semua cuti hujung minggu di seluruh negara. Kenapa perlu berbeza-beza?
Akhirnya, pekerja itu sendiri perlu mencari kerja berdasarkan minat. Insyaallah, memang banyak bezanya jika anda bekerja berdasarkan minat. Jika kerja berdasarkan minat akan membuat anda tidak berkira soal masa bekerja malahan kualiti kerja anda akan menjadi lebih baik. Kebanyakan rakyat Malaysia sekarang ini bekerja secara paksa tidak "menikmatinya". "Cukup bulan ambil gaji, hujung minggu = cuti". Begitulah resam setiap bulan. Jadi kapasiti anda sebagai majikan mahupun bekerja sekarang, apakah cara yang boleh menghasilkan produktiviti yang lebih berbanding sekarang ini? Perlu dikurangkan cuti umum? |
JPN BERI MYKAD KEPADA ORANG LAIN? Posted: 06 Jan 2012 01:56 AM PST SAH....Surat pengesahan JPN memaklumkan data di dalam sistem adalah miliknya tetapi Rosilawati hairan bagaimana MyKadnya diserahkan kepada orang lain.
Oleh : MUTALIB M.D
SEORANG peniaga, Rosilawati Binti Senan, 48, terkejut setelah diberitahu oleh kaitangan Jabatan Pendaftaran Negara Kota Kinabalu bahawa Mykad miliknya bernombor 640704125342 telah dimiliki orang lain yang kini menetap di Kepong, Selangor. Rosilawati yang menghubungi Sabahkini.net memaklumkan bahawa beliau telah mengadu masalah ini kepada Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya, namun kesnya belum diselesaikan sejak tahun lalu. Menurut Rosilawati, beliau hairan kerana Salinan Pendua Kad Pengenalan Biru di Jabatan Pendaftaran Kota Kinabalu dan Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) adalah miliknya, namun MyKadnya diserahkan kepada orang lain. "Semua data saya dalam Mykad ditukar tetapi masih menggunakan nama yang sama," kata Rosilawati yang terpaksa membuat laporan polis setelah menunggu terlalu lama sehingga perniagaannya terjejas. Tegas Rosilawati, beliau terkesima dan bingung dengan kejadian tersebut dan tidak menyangka sama sekali bagaimana data peribadi termasuk cap jari, gambar boleh ditukar sewenang-wenangnya oleh sindiket tertentu di Jabatan Pendaftaran Negara. Sehubungan itu, Rosilawati telah membuat laporan polis RPT/LDU/0070/12 di Balai Polis Lahad Datu pagi kelmarin yang mendesak agar PDRM dan JPN menjalankan siasatan dan mengheret mereka yang melakukan jenayah berkenaan ke muka pengadilan. Sebagai pemilih berdaftar dan penyokong kuat Barisan Nasional di parlimen Silam, Rosilawati terkilan kerana tidak dapat menunaikan tanggung jawabnya pada pilihanraya umum akan datang kerana tidak mempunyai MyKad. "Saya pun tidak tahu mau buat apa dan takut untuk ke mana-mana kerana data dalam Sistem JPN telah ditukar kepada orang lain," kata Rosilawati yang memohon penjelasan daripada Ketua Pengarah JPN berhubung sistem keselamatan di JPN yang mudah diceroboh tanpa dikesan. Rosilawati turut merayu agar penama yang menggunakan MyKadnya segera mengembalikan secara sukarela kerana beliau amat memerlukan Mykad tersebut untuk meneruskan kehidupannya sebagai peniaga bagi menyara anak yang ramai. "Tiada MyKad, maka tiada kehidupan. Harap JPN tidak membunuh saya sebelum kematian sebenar," ujar Rosilawati yang kesal dengan kejadian yang menimpanya. Dalam pada itu, Sabahkini.net masih menanti jawapan daripada JPN Putrajaya berhubung isu ini. |
|
Lucu! Laporan bodoh dari Berita Harian... pada-pada lah bro nak auta pon... Posted: 06 Jan 2012 01:40 AM PST KEDAH LA
SEPERTI biasa adik beradik kembar Utusan Malaysia, Berita Harian memang gemar menyebarkan laporan putar belit dan propaganda murahan bila melibatkan cerita dan berita politik. Kali ini Berita Harian melaporkan berita lawak yang begitu jelas mahu memperbodohkan pembacanya terutama orang-orang kampung yang hanya bergantung harap kepada media-media arus perdana sebagai sumber berita. Ibarat kentutkan orang di depan batang hidung kemudian menafikannya, Berita Harian melaporkan kononnya lebih 100,000 penduduk Taman Sentosa, Klang melakukan demonstrasi kerana kecewa terhadap ADUN Pakatan Rakyat Sri Andalas, Dr Xavier Kumar. Berbekalkan gambar tak sampai 100 orang memegang sepanduk, Berita Harian mahu pembacanya percaya kononnya 100,000 rakyat telah turun melakukan demonstrasi [ Berita Harian]. Betul ke 100,000 rakyat berdemo di situ? Mana FRU? Untuk mempercayai bahawa penduduk Taman Sentosa Klang mencecah angka 100,000 pun begitu sukar, apatah lagi mempercayai lebih 100,000 penduduk turun berdemo?
Kalau nak tengok bagaimana ramainya 100,000 orang berhimpun, jom turun perhimpunan di Mahkamah Jalan Duta, 9 Jan 2012 ini. Di situ anda akan lihat betapa ramainya manusia berhimpun. Media-media pengampu seperti biasa akan melaporkan jumlah tipu, barangkali mereka akan hanya laporkan 10,000 orang yang berhimpun, atau mungkin kurang dari itu. Kita lihat nanti! |
Pekida beri amaran perhimpunan 901 jangan ganggu program di Masjid Wilayah Posted: 05 Jan 2012 08:58 PM PST Oleh Mohd Farhan Darwis
Ahli-ahli Pekida menghadiri majlis "Melayu Bangkit" di Stadium Kuala Terengganu, 14 Jun 2010. — Gambar fail
KUALA LUMPUR — Pertubuhan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) hari ini memberi amaran kepada penganjur perhimpunan 901 supaya tidak membuat kekecohan di kawasan Masjid Wilayah Kuala Lumpur di Jalan Duta ketika perhimpunan pada 9 Januari ini. Menurut Ahli Majlis Tertingginya, Mohd Syahril Abdul Aziz, Pekida akan menganjurkan program dakwah dan Qiamullail pada hari yang sama perhimpunan tersebut dijalankan. "Sekiranya kumpulan Anwar buat onar, Pekida Malaysia akan ambil tindakan, jangan melampaui apa yang telah dirancang. "Pekida ada program dakwah, dan qiamullail di Masjid Wilayah, jadi jangan buat kacau, masjid tempat untuk orang berdakwah dan beribadah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Menurut Syahril, berikutan cadangan perhimpunan yang dianjurkan untuk ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihaknya turut dipanggil oleh pihak polis untuk memberi penjelasan berhubung program tersebut. "Kami telah merancang program ini terlebih dahulu. Program ini bermula pada petang 8 Januari, dan tamat pada 9 Januari keesokan harinya. "Kepada penyokong Anwar Ibrahim, jangan cuba ambil kesempatan kepada kami," tegasnya. Sementara itu, Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Abu Bakar yang turut hadir memberi penjelasan di ibu pejabat polis tersebut turut yakin polis akan bertindak bijak menangani perkara itu. Abdul Rahman menjelaskan, dijangka seramai 2000 peserta daripada kalangan NGO tersebut akan menghadiri program itu. "Saya yakin polis akan bertindak tegas, dan perhimpunan akan dapat dikawal sebaik mungkin,. "Saya memberi jaminan ahli Perkasa tidak akan melakukan sebarang provokasi, kami akan hanya berada di kawasan masjid untuk program tersebut sahaja," katanya lagi. |
PRU-13: PAS Pahang turut calonkan muslimat Posted: 05 Jan 2012 08:57 PM PST Khairil Abdul Rahim
| TEMERLOH: PAS Pahang turut menyenaraikan calon di kalangan muslimat bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, senarai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen sudah dikemukakan kepada PAS Pusat.
Menurutnya, bagi setiap Dun dan Parlimen, tiga nama calon disenaraikan PAS Pahang, bagi tujuan PAS Pusat membuat pertimbangan dan pemilihan muktamad.
"Dalam senarai itu, ada beberapa nama calon muslimat yang turut dikemukakan dan segalanya terserah kepada Pusat untuk mempertimbangkannya.
"Setakat ini, jentera dan bilik gerakan Unit Pusat Mengundi (UPU) sudah diarahkan untuk bersiap sedia lebih awal memandangkan tarikh PRU sudah hampir," katanya kepada media semalam.
Difahamkan, PAS bertanding 25 daripada 43 kerusi Dun Pahang dan selebihnya akan ditandingi oleh PKR dan DAP secara satu lawan satu menentang BN atas semangat Pakatan Rakyat.
Pada PRU 2008, PAS Pahang meletakkan calon tunggal muslimat di Dun Luit, iaitu Ketua Muslimatnya Azizah Khatib Mat.
Mengenai peluang, Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, berkata PAS Pahang meletakkan harapan agar berlaku perubahan politik di Pahang berdasarkan isu-isu semasa, gelombang kebangkitan rakyat dan kerja keras jentera penerangan.
"Insya Allah dan kita harapkan perubahan angin politik dapat dicapai dalam PRU nanti," katanya.
Tambahnya, dalam situasi sekarang PAS dan Pakatan Rakyat mempunyai peluang besar untuk mara berdasarkan beberapa faktor antaranya sokongan golongan muda, pencapaian maklumat dan kelemahan ketara kerajaan negeri.
"Jadi Pakatan yang sudah ada empat kerusi Dun dan dua parlimen memang berpotensi besar asalkan jentera pilihan raya segenap peringkat terus bekerja keras terutama memberi penerangan kepada golongan luar bandar yang selama ini termakan umpan media BN," katanya.
Tuan Ibrahim berkata, manifesto peringkat negeri juga akan dikeluar dan diedarkan tidak lama bagi menjelaskan tawaran-tawaran PAS Pahang kepada rakyat negeri ini. |
|
Fenomena Adam Adli, Safwan Anang Posted: 05 Jan 2012 08:56 PM PST Ahmad Lutfi Othman
| Petang 31 Disember 2011, sewaktu menerima SMS daripada Kassim Muhamad, aktivis Paksi (Seniman Paksi Rakyat), yang memaklumkan beliau bersama dua penyair muda, Benz Ali dan Ali Bukhari Amir berhajat ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada malam tahun baru, saya melintasi Sabak Bernam, dalam perjalanan balik dari Lumut ke Ampang.
Mesej Pak Kassim, ada program bacaan puisi di depan UPSI. Tanpa mengetahui lebih lanjut acara itu, nama UPSI sudah cukup untuk segera saya teringat si pemberani, Adam Adli Abd Halim yang mencipta kejutan baru-baru ini. Pastinya ada kaitan dengan kes anak muda itu, yang bakal menghadapi perbicaraan jawatankuasa tatatertib universiti, 9 Januari nanti, ekoran tindakannya menurunkan bendera Najib Razak di Ibu Pejabat Umno, PWTC, 17 Disember lalu.
Sebelum ini, UPSI -- dahulunya Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), satu nama besar dalam proses kebangkitan bangsa Melayu menentang kolonial -- agak tercicir dalam senarai perjuangan gerakan mahasiswa, berbanding kampus di Lembah Klang. Tiba-tiba Adam Adli mengocakkan ketenangan UPSI dan memaling perhatian umum ke Tanjong Malim.
"Rupanya tidak semua calon guru dapat dijinakkan semasa latihan," kata seorang teman wartawan sejurus membaca interbiu Sinar Harian dengan Adam Adli. "Apabila guru bangkit menuntut hak kebebasan akademik dan mendesak autonomi kampus dikembalikan, BN pasti tidak senang duduk. Adam Adli bukan keseorangan," tambahnya.
Semasa melepasi Sungai Besar, saya agak terlelap, dan terlupa seketika isu Adam Adli dan SMS Pak Kassim. Sehinggalah apabila terpandang kediaman bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, di kiri jalan, Simpang Lima, saya terasa lebih segar. Hampir sepuluh tahun lalu, saya bergelut dengan siri pendedahan amalan salahguna kuasa dan korupsi Khir, doktor gigi yang sekonyong-konyong dilantik mengetuai kerajaan di sebuah negeri paling maju.
Terhimpun segala memori pahit manis, bukan sahaja keletihan naik turun pejabat Biro Pencegah Rasuah (kini SPRIM) di Putrajaya dan Shah Alam, tetapi juga keceriaan turun padang menjejak bukti di Tanjung Karang, sehingga ke pusat penternakan ayam, jauh terperosok ke dalam, yang didakwa membekalkan bekalan daging untuk diagihkan Khir menjelang Aidilfitri, di depan rumahnya, di Simpang Lima itu.
Episod itu sudah lama berlalu. Saya pun sudah banyak berubah, terutama dari segi kecergasan fizikal. Khir akhirnya -- selepas terlucut dari takhta kuasa -- menjadi kerdil dan terpencil, seterusnya dihukum setahun penjara dan kediaman mewahnya dirampas, akibat pertuduhan rasuah, satu penghakiman yang mungkin dilihatnya bermotif politik.
Dalam blognya, 27 Disember lalu, Khir merakamkan: "Saya percaya sekiranya saya tidak mendapat keadilan di dunia ini pun, akan ada keadilan di hadapan yang Maha Berkuasa nanti."
Empat bulan sebelum itu, pada akhir Ramadan lalu, dalam ucapan selamat hari raya, Khir menulis: "Dalam bulan mulia ini saya ingin mengingatkan tiga sahabat yang menjadi menteri dalam kabinet agar jangan keterlaluan untuk mengenakan saya. .... Seorang menteri dilaporkan berkata kepada dua orang menteri lain bahawa jika mahu mendapat kembali Selangor maka Khir Toyo perlu didakwa. Sekarang menteri yang sama berkata jika mahu menang Selangor Khir Toyo perlu dipenjarakan."
Apa pun, kita fokuskan dahulu fenomena Adam Adli dan kebangkitan anak muda yang bingkas bangun menuntut hak. Suara kebenaran dan idealisme luhur perjuangan mahasiswa kembali lantang bergema, melantun dan saya percaya bingit di telinga elit penguasa. Mereka mungkin dilihat "kurang beradab" kerana berani tegas mengungguli keyakinan yang terpahat di dada.
Saya langsung tidak menyedari peristiwa bersejarah malam tahun baru yang panjang itu. Dan rakyat Malaysia yang menyambut kedatangan tahun 2012 pastinya tidak menjangka pada waktu sama berlaku insiden berdarah yang menyayat hati.
Pada pagi Ahad, saya menerima SMS tentang keganasan polis menyuraikan himpunan pelajar di UPSI, yang disifatkan melampau, tidak bertamadun dan pelbagai mesej lagi bersalut kemarahan. Namun saya masih belum mengetahui butiran terperincinya. Agakan saya, kalaupun demonstrasi digempur FRU, ia tidaklah sedramatik yang berlaku.
Saya cuba menghubungi Ali, tapi tidak berjawab. SMS Pak Kassim sedikit mencerahkan. Rupanya acara baca puisi tidak menjadi. Mahasiswa bertindak lebih nekad, membaringkan diri di atas jalan berdepan pintu masuk UPSI dan aksi mereka itu tentunya mengejutkan polis Tanjong Malim, terutama anggota Cawangan Khas (SB), yang rasanya agak asing dengan situasi seumpama itu.
Jarak kampus UPSI hanya lebih kurang 90km ke utara Kuala Lumpur, namun saya tidak pasti apakah wilayah sekitarnya pernah digegarkan dengan teriakan reformasi dan dibadai tsunami politik.
Memang Perak diterajui Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum 2008, namun kerusi Parlimen Tanjong Malim dan dua Dun di bawahnya, Sungkai dan Slim, masih dikuasai BN. Hanya Dun Behrang dimenangi calon KeADILan, Jamaluddin Mohd Radzi, yang kemudiannya keluar parti dan menyebabkan rampasan kuasa.
Jam 1.30 tengahari Ahad, seorang sahabat Zulaimi Kazin mengajak saya ke Tanjong Malim, melihat lebih dekat realiti yang mengukir sejarah itu. Mulanya kami berhajat makan ikan singgang di Setapak terlebih dahulu, tetapi terpaksa dibatalkan, bimbang semua 17 pelajar yang ditahan telah diikat jamin dan terlepas detik-detik penting itu.
Ruang di depan pintu pagar Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Tanjong Malim di Slim River sesak. Cuaca panas terik. Sebahagian besarnya anak-anak muda, lelaki dan wanita hampir sama ramai. Wajah mereka menzahirkan ketulusan dan iltizam tinggi berdepan sekatan dan hambatan. Kain pemidang mempamerkan tuntutan mahasiswa merentang jalan. Mereka menunggu rakan-rakan dibebaskan.
Slogan 'student power' saling bersahutan. Juga jeritan "Bebas bebas, kami semua Adam Adli". Keras dan senada, petanda tekad mereka tidak mudah goyah. Mereka langsung tidak hiraukan puluhan anggota polis di dalam kawasan IPD yang liar memandang.
"Hebat pelajar sekarang. Baru malam tadi kena belasah, kena pukul, tapi semangat tetap berkobar," bisik seorang teman yang baru saya kenali di situ.
"Saya tidak pernah saksikan keberanian anak-anak muda seperti ini. Bayangkan, di depan balai polis mereka kembali berhimpun, meluahkan apa yang terbuku tanpa sedikit pun rasa takut. Tabik saya kepada mereka," katanya sambil menunjukkan saya seorang pelajar yang menutup kepalanya. Baju pelajar berkenaan dilumuri darah kering. Rupanya malam tadi dia turut cedera dan mendapat beberapa jahitan di kepalanya.
Gelagat beberapa pimpinan pelajar yang saling berbicara lantang, termasuk Adam Adli dan seorang mahasiswi, menarik perhatian saya. Ungkapan kata mereka teratur kemas, menyuntik obor semangat. Ya, mahasiswa telah membuka lembaran baru tahun 2012 dengan hari pertama yang cukup meyakinkan.
"Apa pun yang terjadi kepada saya selepas ini, kita mahasiswa tidak lagi boleh berundur. Saya telah melakukannya dan saya pasti anda semua juga mampu melakukannya," tegas Adam, merujuk kes perbicaraannya yang mungkin mengundang risiko buruk.
Teriakan menuntut kebebasan akademik, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) disulami pidato ringkas politik yang tegas. Saya kira kepercayaan mahasiswa terhadap jaminan Najib Razak untuk melonggar sekatan di kampus berada pada tahap paling tipis, apatah lagi selepas menyaksikan sendiri insiden keganasan polis.
Ketara sekali, luahan kemarahan sukar untuk diredakan biarpun semua rakan-rakan mereka telah dibebaskan.
Saya sempat mengunjungi Muhammad Safwan Anang Talib, pelajar Universiti Malaya, yang terlantar di Hospital Slim River, tidak jauh dari IPD. Beliau merupakan isteri kepada Masturah Abu Bakar, juga seorang aktivis mahasiswa UM, anak Mariam Abd Rashid, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor.
Raut wajah Safwan tenang meskipun masih menahan kesakitan terutama pada bahagian tulang rusuknya. Saya kira giginya turut patah. Bibirnya pecah. Sahabat-sahabat mengerumuni katilnya, saling bersalaman, erat tautannya. Ada yang memeluknya.
Saya cuba membayangkan perasaan masing-masing; terharu, sedih tapi bersyukur dan berbangga dengan cabaran perit itu. Mereka sebenarnya mengucapkan tahniah sesama sendiri.
"Kejam ... Safwan yang bertubuh kecil dipukul, dipijak, diterajang semahunya," cerita seorang pelajar kepada saya dan Kak Yam.
Malamnya di TV, Ketua Polis Perak mendakwa Safwan cedera angkara tindakan sendiri. Ia sekadar satu lagi bukti bahawa pihak polis tidak layak menjalankan siasatan ke atas kes ini. Sewajarnya ditubuhkan satu badan bebas untuk menyiasat.
(Ketua Penerangan KeADILan Johor, Syed Hamid Ali menegaskan: "Kami menuntut kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khasnya, segera mengadakan pendengaran awam dan siasatan terbuka (open inquest) berhubung kejadian di mana Safwan Anang telah cedera dan 17 yang lain ditangkap. Jawatankuasa siasatan awam itu hendaklah terdiri daripada pakar-pakar perundangan dan NGO yang bebas; selepas siasatan dilakukan. Laporannya hendaklah diumumkan.")
Semasa menuju masjid berdekatan untuk solat Asar, saya mengirim SMS kepada Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Ternyata beliau cukup prihatin dengan perkembangan Safwan.
Bagaimanapun saya lebih risau kedudukannya dalam kerajaan sekarang. Komitmen beliau untuk menjadikan kampus lebih kondusif untuk aktiviti intelektual seperti bakal menjerat dan menjerut dirinya.
Persatuan Alumni Aspirasi (kumpulan mahasiswa pro-Umno, yang diberikan segenap kemudahan oleh Hal Ehwal Pelajar untuk menang mudah dalam setiap kali pilihan raya kamopus) sudah memberi kata dua kepada Saifuddin, agar beliau beliau meletakkan jawatan berdasarkan memorandum 21 Disember lalu ekoran tindakan Adam Adli menurunkan bendera Najib. Saifuddin dilihat terlalu "memberi muka" kepada mahasiswa.
"Kami tidak lupa notis yang diberikan kepada Dato' Saifuddin," tegas Presiden Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah pada 30 Disember lalu. Khabarnya, ramai Naib Canselor dan TNC Hal Ehwal Pelajar mencari peluang untuk "menyukarkan" Saifuddin dalam kerjaya politiknya. Shahar hanya jurucakap kepada sebilangan "kawan-kawan" Saifuddin dalam BN yang mahu melihat Ahli Majlis Tertinggi Umno itu "terkulai di pertengahan jalan". |
|
Semua akan diadili semula di akhirat Posted: 05 Jan 2012 08:54 PM PST Tuan Ibrahim Tuan Man
| 901 menjadi hari yang dinanti oleh sebahagian besar rakyat Malaysia khusus bagi yang mengikuti isu politik negara dan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Secara sedar dan tidak sedar, sebahagian pemerhati telah membuat pelbagai telahan berhubung keputusan mahkamah pada hari tersebut. Ramai penganalisa politik kini telah bertukar menjadi pak nujum semata-mata untuk lebih mensensasikan keputusan yang akan diumumkan nanti. Dari pelbagai andaian, lebih ramai menjangkakan DSAI akan dihumban semula ke Sg Buluh kerana kalau bukan untuk itu, kenapa diteruskan perbicaraan walaupun disedari awal, terdapat banyak kelemahan yang boleh menyebabkan kes ini dibuang awal-awal lagi. Ini andaian pertama. Kumpulan kedua yang sangat minoriti pula berpendapat bahawa DSAI akan dibebaskan kerana beberapa kelemahan dalam penghujahan sepanjang perbicaraan. Andaian ketiga lebih kepada untuk mengaibkan beliau, iaitu dengan andaian kes sodomi berlaku tetapi beliau dibebaskan kerana tiadanya unsur paksaan sebagaimana yang dituduh oleh pengadu. Dalam duniawi, apapun, yang berharap akan terus menanti, yang tidak percaya akan terus tidak yakin, yang menang hari ini tidak semestinya akan terus menang, yang tewas hari ini tidak semestinya akan kalah selalu dan yang akan dihukum akan terus menjalani hukuman. Namun, yang pasti kesemua kita akan dihukum semula dengan hukuman yang pasti adil di hadapan Allah di akhirat. Beringatlah pada Allah selalu. |
|
Perhimpunan 901 aman jika tiada provokasi Posted: 05 Jan 2012 08:50 PM PST Abdul Aziz Mustafa
| KUALA LUMPUR: Perhimpunan aman 901 pasti aman dan teratur jika orang-orang jahat tidak melakukan kekacauan dan provokasi, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar. Malah, beliau mengingatkan, jika berlaku sebarang kekacauan dan kekecohan dalam perhimpunan untuk membantah rekayasa politik ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, pihak yang bertanggungjawab ialah pihak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri serta parti yang turut dipimpinnya, Umno.
"Seperti semua perhimpunan yang kita adakan sebelum ini, keadaan kucar-kacir dan huru-hara hanya terjadi apabila orang-orang tertentu yang berhati jahat melakukan kekacauan dan provokasi.
"Jika tidak diganggu oleh orang-orang jahat, buktikan walau satu pun perhimpunan atau ceramah Pakatan Rakyat (PR) yang mengakibat keadaan kucar-kacir dan huru-hara," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika diminta mengulas kenyataan Hishammuddin yang mahu perhimpunan tersebut berjalan dengan teratur dan aman.
Menurut beliau, dengan lagak kononnya untuk menjaga keamanan, alat perkakas parti tertentu juga sering melakukan kekacauan dan kekerasan ke atas perhimpunan atau ceramah PR.
"Malah kebelakangan ini, gerombolan dari parti itu sendiri yang melakukan provokasi dan kekacauan sehingga mengakibatkan kejadian berdarah," kata Mahfuz.
Beliau yakin, penganjur perhimpunan itu telah melakukan persediaan yang secukupnya untuk memberitahu rakyat yang berhimpun dalam perhimpunan itu bahawa sebarang provokasi dan kekacauan hanya dilakukan oleh gerombolan parti berkenaan.
"Saya juga ingin berpesan kepada semua yang menyemarakkan perhimpunan aman 901 bahawa apa sahaja kekacauan dan provokasi, perkara itu tidak mungkin dilakukan oleh rakan-rakan mereka yang juga mahu behimpun dengan aman.
"Jika anda melihat sebarang kekacauan dan provokasi, ia pasti dilakukan gerombolan parti yang gilakan kekacauan itu atau agen-agen serta alat perkakas mereka," kata Mahfuz.
Beliau meminta semua pihak mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku dalam Revolusi Islam Iran dahulu.
Menurut beliau, pada waktu waktu itu sebuah panggung wayang dibakar oleh polis rahsia Shah Iran dan mereka yang menonton wayang dalam panggung itu mati.
"Selepas itu, kerana yakin orang lain juga bodoh seperti mereka, jentera propaganda Shah Iran menuduh rakyat yang berjuang dalam revolusi tersebut yang membakar panggung itu," katanya.
Dalam protes rakyat terhadap rejim Hosni Mubarak di Mesir baru-baru ini pula, kata Mahfuz lagi, pihak polis yang berkerja di bawah regim Mubarak telah memecah dan mencuri di sana-sini terutama di kedai-kedai dan kemudiannya menuduh rakyat yang menentang kekejaman diktator itu yang melakukan perkara tersebut.
"Di Malaysia juga bekali-kali kita melihat orang-orang yang mengajak rakyat yang berdemonstrasi melakukan tindakan yang lebih agresif tetapi apabila berlaku kekecohan, merekalah yang menangkap dengan ganas rakyat yang berdemonstrasi itu.
"Sudah berkali-kali kita melihat perkara seperti itu berlaku," katanya.
Beliau mengulangi pesanan kepada seluruh rakyat bahawa Umnolah yang mesti dipersalah dan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kekecohan dan kekacauan dalam perhimpunan 901 itu. |
|
Status Isa: Anak pohon perisytiharan mahkamah Posted: 05 Jan 2012 08:49 PM PST Hazayani Zakaria
| KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan memfailkan permohonan mahkamah agar mengisytiharkan status Tan Sri Isa Samad sebagai ahli dan pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, pihaknya sedang berbincang dengan peguam berhubung tindakan mehkamah yang akan diambil itu.
Beliau berkata, keputusan untuk mengambil tindakan mahkamah dibuat kerana terdapat kekeliruan berkaitan status Isa sebagai ahli dan pengerusi KPF yang dianggap bercanggah dengan Undang-Undang Kecil KPF Seksyen 43 Akta Koperasi 1993.
Undang-undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi ahli KPF ialah peneroka Felda, isteri dan anak-anak atau kakitangan Felda yang berstatus tetap, sedangkan Isa hanya berjawatan kontrak.
"Kalau mahkamah isytihar Isa Samad sah sebagai pengerusi KPF, kita akan bantah kerana seperti yang kita maklumkan beberapa kali sebelum ini, ianya bercanggah dengan Undang-undang Kecil KPF kerana Isa Samad belum dua tahun pun menjadi ahli KPF," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Selain itu, Anak juga akan mengatur pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menuntut pendengaran awam dilakukan melibatkan peneroka, pengurusan Felda dan menteri yang bertanggungjawab berhubung isu penindasan ke atas peneroka.
"Memang sebelum ini Anak sudah beberapa kali membuat aduan kepada Suhakam tapi Suhakam hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja dan memberi jawapan melalui surat.
"Kali ini Anak akan mengumpul peneroka secara besar-besaran dan akan menuntut Suhakam mengadakan pendengaran awam. Kami akan senaraikan semua salahguna kuasa dan pencabulan hak peneroka yang merupakan majoriti oleh pihak minoriti," katanya sambil berkata golongan minoriti iaitu Isa Samad dan "orang-orangnya" mendapat pembelaan daripada kerajaan.
Mengulas mengenai mesyuarat agung KPF yang dibatalkan harakah, Mazlan (gambar) yakin ianya kesan daripada desakan Anak dan ahli-ahli koperasi yang mempertikaikan kedudukan Isa.
Dalam pada itu, Mazlan turut menyatakan rasa kesal dengan keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar aduan dan pandangan peneroka berhubung penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).
"Kita sudah hantar surat kepada perdana menteri dan berharap perdana menteri sendiri yang akan bertemu dengan peneroka. Beliau tidak boleh hanya menyerahkan kepada pegawai isu besar begini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Anak sedang mengukuhkan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) yang dianggotai badan-badan bukan kerajaan (NGO).
11 Januari ini, GSF akan mengadakan pertemuan dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) bagi membincangkan tentang penyenaraian FGVH. |
|
Syed Azman buat laporan SPRM terhadap MB Posted: 05 Jan 2012 08:48 PM PST Khairul Azlam Mohamad
| KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. Laporan itu dibuat berhubung Program Bantuan Pakaian dan Alatan Sekolah di pejabat SPRM, di sini hari ini.
Menurutnya, Laporan Ketua Audit Negara 2010 telah mendedahkan banyak kelemahan program bantuan pakaian dan alatan sekolah yang dikendalikan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu.
"Laporan ini dibuat supaya suatu siasatan segera dapat dilaksanakan oleh pihak SPRM dan saya juga memohon tindakan saya ini dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
"Asas kepada laporan ini dibuat berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2010, yang secara tidak langsung turut melibatkan penyelewengan di bawah bidang kuasa Menteri Besar Terengganu," ujarnya kepada media selepas membuat laporan tersebut.
Beliau yang menyerahkan laporan tersebut kepada Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Yusuff Mohd Zin ditemani oleh peguamnya dari Tetuan Fariz Halim & Co pada jam 11.00 pagi.
Dr Syed Azman telah diambil keterangan oleh pegawai penyiasat SPRM selama dua jam.
Hadir sama mengiringi beliau adalah Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran, Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing serta 20 penyokongnya. |
|
P'raya selepas kerja JK Parlimen selesai - Kadir Posted: 05 Jan 2012 08:45 PM PST Nazri Abdullah
| KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (gambar) menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar 'tidak kalut' untuk mengadakan pilihan raya seawal Mac tahun ini.
Sebaliknya kata beliau, Najib sewajarnya menunggu Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya selesai melaksanakan tugas mereka terlebih dahulu dan segala syor mereka dilaksanakan sepenuhnya.
Jika Perdana Menteri membuat pilihan raya awal tanpa menunggu jawatankuasa yang dibentuknya selesai menjalankan tugas, orang ramai akan mempertikaikan langkah beliau itu dan menganggap beliau menipu. Oleh itu, katanya, Perdana Menteri perlu memastikan jawatankuasa itu selesai menjalankan tugas mereka selepas beliau sendiri melantik mereka sebelum ini.
Bekas menteri penerangan dan pelancongan itu berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan Harakahdaily semalam.
"Setakat ini baru cap jari (dakwat kekal), benda kecik sahaja, benda-benda pokok belum buat lagi.
"Kita ada masa, parlimen ini sampai April 2013, apa duk kalut sangat. Tabur duit merata-rata nak buat pilihanraya bulan Mac," katanya.
Sambil mengingatkan Najib bahawa sekarang sudah tahun 2012, rakyat zaman ini sudah pandai menilai dan tidak boleh lagi diperbodohkan, kata beliau yang juga Timbalan Presiden NGO Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).
Antara lain katanya, keperluan rakyat kepada media yang adil dan bebas, bukan melaporkan sebelah pihak seperti sekarang ini.
"Harakah misalnya, mewakili setengah daripada orang Melayu di Semenanjung.
"Dia mintak permit nak buat akhbar (harian) ni dah 50 tahun dah, tak bagi juga. Kalau saya ada kuasa saya bagi," katanya lagi.
Selain itu, beliau juga mengingatkan kerajaan BN pada hari ini agar matang dan tidak lagi menggunakan taktik kotor untuk menang pilihan raya termasuk amalan membeli undi.
"Saya sendiri pernah diberi satu longgok cash suruh saya edar. Pembelian undi secara-terang terangan dua tiga hari sebelum pilihan raya. Berjuta-juta duit diedar cara besar-besaran.
"Ramai orang kelabu mata bab duit ni, tapi tak usah buat dah la, hodoh sangat dah," katanya sambil menyeru BN bertanding secara 'gentleman'. |
|
Felda digesa selesai isu bonus insentif Posted: 05 Jan 2012 08:42 PM PST Khairil Abdul Rahim
| KUALA LIPISmemandang serius isu 39 peneroka Felda Sungai Koyan 3 yang tidak menerima bonus insentif produktiviti seperti yang dijanjikan Perdana Menteri sedangkan mereka mendakwa layak menerima wang berkenaan. Timbalan Yang Dipertua PAS Lipis, Roslan Zainal, berkata pihak pentadbiran Felda sepatutnya lebih prihatin dan mengetahui peneroka yang sepatutnya layak menerima bonus. Tambahnya, kecuaian memberikan kepada yang berhak tambahan dijanjikan oleh Perdana Menteri pula hanya akan menyebabkan mereka makin tertekan tambahan menjelang tahun baru dan awal sesi persekolahan. "Bayangkan sudah sebanyak mana hasil tuaian ladang mereka yang diusahakan Felda Technoplant dan dihantar pula ke kilang sawit Felda. Itupun belum diambil kira gred kadar perahan yang dibayar rendah. "Jadi sebagai sebuah agensi pembangunan tanah dan industri kerajaan, kita mahu Felda sesesaikan segera isu bonus insentif yang hanya dinikmati setahun sekali itu," katanya. Roslan yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Pahang berkata, pihak kerajaan dan Felda mesti sedar bahawa pada awal tahun ini semua pihak termasuk peneroka memerlukan wang yang banyak untuk persekolahan anak masing-masing. Tambahnya, jika bonus yang layak mereka dapat pun dinafikan sudah tentu akan menjejaskan kewangan mereka yang rata-rata terdiri daripada orang Melayu, yang sebelum ini sudahpun menghadapi tekanan akibat harga barang keperluan semakin melambung. "Kita tidak mahu Felda berkokok dalam soal penyenaraian saham, bisnes di luar negara dan sebagainya sedangkan hakikatnya kebajikan peneroka yang telah berjasa membangunkan ladang terbesar di dunia itu diabaikan," ujarnya. Roslan berkata demikian ketika diminta mengulas isu 39 peneroka Felda Sungai Koyan 3 yang mendakwa tidak menerima bonus insentif seperti disiarkan sebuah akhbar baru-baru ini. Agihan bonus kepada peneroka telah diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Disember lepas. Berdasarkan kenyataan peneroka yang terkilan dan kecewa itu, pihak pengurusan Felda di rancangan berkenaan tidak mengendahkan tuntutan bonus tersebut meskipun mereka layak menerimanya kerana ladang diuruskan Technoplant. |
|
901: Saya akan hadir, ahli terserah - Presiden PAS Posted: 05 Jan 2012 08:39 PM PST Hazayani Zakaria
| KUALA LUMPUR: "Saya akan hadir," dan untuk ahli PAS pula, "terserah masing-masing," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) ketika ditanya apakah beliau akan hadir dalam perhimpunan aman 9 Januari ini. Perkara ini disampaikan Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Harakahdaily. Manakala itu Dewan Muslimat PAS, Dewan Pemuda dan PAS Selangor membuat keputusan akan menyertai perhimpunan aman di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 9 Januari ini.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi meminta mana-mana pihak tidak salah faham dengan perhimpunan tersebut dengan menganggap ianya merupakan sokongan peribadi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Muslimat PAS akan memberi sokongan kepada perhimpunan pada 9 Januari bukan semata-mata atas isu Anwar.
"Isu Anwar adalah sebahagian yang menampakkan kepincangan sistem kehakiman negara, tetapi lebih daripada itu ianya adalah manifestasi kebencian rakyat terhadap kezaliman Umno BN yang mencampur adukkan sistem pengasingan kuasa iaitu Eksekutif, Perundangan, Legislatif dan Kehakiman," katanya kepada Harakahdaily, hari ini.
Pimpinan PAS Selangor juga memutuskan untuk turun 9 Januari ini, kata Pesuruhjayanya, Dr Rani Othman.
"Kita akan bersama presiden di sana. Dalam perbincangan di peringkat negeri juga, kita sudah putuskan akan turun," katanya kepada Harakahdaily.
Pemuda PAS pula sedang memobilisasi ahlinya untuk turun pada perhimpunan tersebut.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pemuda memberi komitmen untuk mencapai sasaran 100,000 orang yang ditetapkan oleh penganjur. "Jika Datuk Seri Najib kena zalim pun kita akan turun," kata Nasrudin.
Bersama Presiden
Aiman turut berkata, muslimat tidak perlu takut untuk bersama-sama 9 Januari ini atas kapasiti parti kerana Presidennya sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang lain sudah menyatakan komitmen untuk menyertai perhimpunan tersebut.
"Muslimat tidak perlu ragu-ragu kerana PAS sendiri termasuk Presiden kita akan turun bersama-sama. Jadi tidak ada masalah di peringkat parti," katanya.
Zalim kepada mahasiswa
Sementara itu, beliau menambah sudah tiba masanya rakyat berani menyatakan kebencian terhadap kerajaan Umno BN yang bertindak zalim ke atas mahasiswa sendiri.
Sambil mengucapkan tahniah kepada kebangkitan mahasiswa yang menuntut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan, Aiman berkata mahasiswa sekarang sudah bijak berfikir dan bertindak tanpa mengabaikan pelajaran.
"Muslimat juga mengucapkan syabas dan tahniah di atas kebangkitan gerakan mahasiswa yang bermula daripada Adam Adli dan tragedi berdarah di UPSI.
"Muslimat berpendapat mahasiswa pada abad ke-21 ini mesti lebih cekap dan cerdik iaitu meletakkan pelajaran nombor satu tetapi gerakan kebangkitan rakyat bukan di tempat kedua.
"Yang paling penting dalam kehidupan seorang manusia apabila dia dapat melawan kelemahan dalam dirinya dan juga melawan kezaliman di sekelilingnya," tegasnya. |
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan