BRIGED MP SEGAMBUT |
- Projek lembu: TPM, Noh juga perlu disiasat, kata DAP
- PAS, DAP, PKR adalah 'kuda perjuangan'
- Karpal gesa AG tak rayu terhadap pembebasan Anwar
- Anwar cabar Najib berdebat
Projek lembu: TPM, Noh juga perlu disiasat, kata DAP Posted: 15 Jan 2012 07:14 AM PST Memandangkan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sedang bercuti rehat selama tiga minggu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata, rakyat Malaysia tidak boleh mengharapkan bahawa beliau kembali. Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata walaupun Shahrizat sepatutnya berbuat demikian secara sukarela memandangkan siasatan polis ke atas kemelut projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), beliau percaya bahawa beliau ditekan untuk berbuat demikian. "Tiada siapa yang percaya Shahrizat akan kembali ke kabinet atau Parlimen selepas tamat cuti tiga minggunya yang berakhir pada 3 Februari ini," katanya. Menurut Lim, ini disebalik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa keputusan bercuti Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu adalah sesuatu yang tepat. "Ya, saya dah berbincang dengan Shahrizat. Keputusan untuk ambil cuti itu adalah keputusan yang tepat untuk membolehkan pihak berkuasa jalankan siasatan yang rapi," kata Najib dipetik berkata di akhbar-akhbar hari ini. Ini, kata Lim, bermakna bahawa Shahrizat berjaya menghalang siasatan dijalankan ke atas peranannya yang didakwa dalam skandal tersebut yang tercetus berikutan pendedahannnya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 tahun lalu. Sementara itu, Lim juga menggesa kerajaan menubuhkan siasatan awam berhubung skandal NFC yang juga perlu merangkumi peranan yang dimainkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pertanian semasa kejadian itu dan Datuk Seri Noh Omar selaku menteri pertanian dan asas tani sekarang. Lim berkata bahawa pembekuan aset NFC sementara menunggu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis adalah tidak mencukupi tanpa siasatan penuh dijalankan. [Baca berita penuh] |
PAS, DAP, PKR adalah 'kuda perjuangan' Posted: 14 Jan 2012 04:44 PM PST ALOR SETAR, 14 Jan: PAS, DAP dan PKR tidak pernah diperalat, diperkuda dan diperbodohkan antara satu sama lain, sebaliknya ketiga-tiga parti itu adalah 'kuda-kuda perjuangan' untuk merubah landskap politik tanah air. Hanya dengan kuda-kuda perjuangan itu yang yang akan membolehkan politik kotor yang diamalkan oleh Umno BN di negara ini dibersihkan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya melangkah ke Putrajaya pada PRU Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, oleh itu dakwaan Umno yang mengatakan PAS diperalatkan atau diperkudakan oleh DAP ternyata tidak berasas. "Kita adalah kuda-kuda perjuangan dan kita tidak sekali-kali boleh diperbodohkan oleh sesiapa, insya Allah," katanya ketika berucap pada sesi Penggulungan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu"adzam Shah, di sini, hari ini. Berucap pada sesi yang dipengerusikan oleh Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah itu, beliau berkata, kerjasama erat antara PAS, DAP dan PKR ternyata amat mencemaskan Umno sehingga menyebabkan mereka sanggup membuat dakwaan seperti itu. Bagaiamanapun, katanya, rakyat tahu realiti yang sebenarnya dan tidak lagi boleh diperbodohkan oleh Umno BN, sebaliknya ingin bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menukar kerajaan pada PRU Ke-13 nanti. "Sejak berada di bawah pemerintahan BN, rakyat juga sudah tahu betapa tidak bertanggungjawabnya Umno BN dalam pelbagai perkara termasuk Bahasa Melayu sendiri sebagai bahasa rasmi negara yang dikerdilkan," katanya. Mereka juga, tambahnya, turut memainkan isu perkauman, pada hal kedudukan Malaysia sebagai negara yang didiami pelbagai kaum dan mempunyai pelbagai budaya boleh mendatangkan kekuatan kepada negara jika ditangani dengan betul. "Begitu juga dengan permuafakatan yang diadakan oleh PAS dan DAP sebenarnya adalah atas perkara-perkara yang tidak berbeza yang boleh dimuafakati. "Manakala dalam perkara-perkara yang berbeza pula, kita akan bertasamud," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu. Politik, tegas beliau lagi, adalah amanah Allah yang mesti dijaga dengan baik kerana ia adalah perkara yang baik dan bersih. "Inilah yang dipraktikkan oleh PAS sejak dulu seperti yang dikehendaki oleh Islam, tetapi Umno BN tidak pernah mempedulikan perkara itu sehingga menyebabkan politik menjadi amat kotor di tangan mereka," ujar beliau |
Karpal gesa AG tak rayu terhadap pembebasan Anwar Posted: 14 Jan 2012 04:30 PM PST Peguam utama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh menggesa Peguam Negara (AG) tidak memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membebas dan melepaskan ketua pembangkang itu dari tuduhan liwat. Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata sebagai peguambela beliau juga berhak, berdasarkan keterangan, menggesa AG agar tidak membuat rayuan. "Perbicaraan ini dipanggil ibu segala perbicaraan di Malaysia dan saya kira tiga tahun (perbicaraan) adalah cukup lama dan ia perlu dihentikan demi kebaikan semua," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya semasa pesta Pongal di George Town hari ini. Pada 9 Januari, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar dari tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari. Sekalipun rayuan dibuat bapa Mohd Saiful, Azlan Mohd Lazim supaya AG mengemukakan rayuan, Karpal Singh berkata sebagai peguambela beliau juga mempunyai hak menggesa AG supaya tidak berbuat demikian. "Cukup malang perkara berkenaan telah berlarutan hingga ke peringkat ini buat Saiful, tetapi sebaiknya negara dan semua terlibat menghentikan penghinaan terhadap Anwar dan keluarganya dan terus bergerak menangani isu-isu politik yang lebih penting yang menyentuh setiap orang," katanya |
Posted: 14 Jan 2012 11:02 AM PST Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya berdebat secara terbuka dengannya tentang dasar negara. Perdebatan tersebut boleh diadakan pada bila-bila masa jika dipersetujui oleh Najib bagi memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai dasar negara ini. Menurut Anwar, negara ini kini ternyata sedang berhadapan dengan sistem nilai dengan satunya dibawa oleh BN dan satu llagi yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat. Katanya, sistem nilai yang dibawa oleh BN ternyata terarah kepada penindasan terhadap rakyat, manakala Pakatan Rakyat pula untuk membawa negara ini keluar dari dasar-dasar seperti itu. "Disebabkan pertembungan sistem nilai itu, bidang kehakiman di negara ini tetap tidak bebas dari campur tangan pihak pemerintah," katanya ketika berucap pada sesi Ucapan Penggulungan Pimpinan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini, hari ini. Walaupun beliau telah dibebaskan dan dilepaskan dari pertuduhan liwat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari lalu, ia tidak boleh dijadikan lambang kebebasan bidang kehakiman di negara ini. "Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan saya itu hanyalah satu keputusan kecil. Ia bukan lambang bagi seluruh sistem kehakiman di negara ini," tegasnya. Begitu juga, tambah beliau, dengan cengkaman dan penindasan Umno BN terhadap rakyat dalam aspek-aspek lain selama ini. Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Umum PKR mendesak Najib membuktikan kebenaran di atas kenyataannya bahawa Malaysia mengamalkan demokrasi terbuka dengan memastikan pilihanraya akan datang bersih dan adil. Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menggesa Najib memberikan kebebasan kepada media agar tidak menjadikan media di negara ini tidak seperti media di Mesir ketika berada di bawah pemerintahan Mubarak. "Najib juga mesti memastikan institusi pemerintahan di negara ini termasuk bahagian pencegahan rasuah, polis, jentera kerajaan berwibawa dan profesional," tegasnya. |
You are subscribed to email updates from BRIGED MP SEGAMBUT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan