Selasa, 17 Januari 2012

.

.


Susupan Petang

Posted: 17 Jan 2012 02:03 AM PST

Majlis Temu Mata
Kenapa Pas R Panjang, Pasir Mas Tidak Buat?


Akhir-akhir wakil rakyat kerap turun padang untuk berjumpa dengan rakyat dan pengundi. Berbagai aktiviti dianjurkan untuk mendekati rakyat. Kegiatan bukan saja terbatas dalam kawasan masing-masing tetapi turut juga dibuat jauh dari kawasan termasuk di sekitar Kuala Lumpur dan bandar besar lain.

Misalnya pertemuan dengan anak-anak Kelantan diluar negeri anjuran Persatuan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan (Perakan) dengan kerjasama Pas kawasan sesuatu usaha yang baik dan patut dipuji. Majlis dinamakan Bertemu Mata dapat merapatkan hubungan antara anak-anak Kelantan dengan kerajaan negeri.

Cara ini molek kerana ada sesetengah wakil rakyat yang tidak memegang jawatan penting tidak dikenali rakyat. Saya sendiri masih belum kenal rupa wajah dua orang wakil rakyat walaupun sudah tiga tahun mereka bergelar YB.

Sepatutnya majlis ini bukan saja kerap diadakan menjelang pilihan raya, tetapi sepanjang masa. Wakil Rakyat atau pimpinan negeri seharusnya melawat mereka dari masa ke semasa untuk mengenali masalah mereka di rantau orang.

Kebanyakan anak-anak Kelantan di rantauan tidak memerlukan bantuan kebendaan tetapi cukup untuk menjalani hubungan silaturahim dan bertemu mata saja untuk mengelakkan akan tersepak wakil rakyat di tengah jalan.

Dalam hal ini saya memuji langkah para pemimpin dan juga wakil rakyat yang mengambil berat dan tidak pernah jemu mengadakan hubungan dengan rakyat Kelantan di luar. Beberapa pertemuan mengikut kawasan parlimen telah pun diadakan di sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini. Terbaru ialah majlsi Temu Mata Anak-Anak Jeli yang berlangsung di Taman Desa Minang Gombak.

Majlis itu yang dihostkan sendiri oleh Yang Dipertua Pas Jeli Apandi Mohamad bersama isterinya Kak As. Semua pemimpin Jeli juga turut sama hadir di majlis itu, dari tinbalannya Abdullah Yaacob, penyelia Dun Bukit Bunga Rafly dan lain-lain. Seramai 200 orang hadir yang terdiri daripada anak-anak Jeli.

Di majlis itu turut sama hadir ialah Exco Abdul Fatah Mahmod dan juga Pengarah Pengundi Luar Wan Hasan Wan Ibrahim dan Pengarah Latihan dan Strategi PKR Kelantan Dr Wan Suhaimi Wan Daud.

Sementara pada sebelah malamnya pula giliran Pas kawasan Machang mengadakan majlis yang sama bertempat di Dewan Millenium Gombak. Semua pemimpin Pas Machang turun termasuk YDP Zulkifli Mamat, timbalannya Dr Mohd Fadzil Hassan dan lain-lain.

Majlis anjuran Pas Machang itu saya kira amat berjaya berpandukan kepada kehadiran. Lebih 400 orang hadir di mana 60 peratus terdiri anak-anak muda. Apa yang menariknya Pas Machang adalah paling aktif dalam mengadakan hubungan dengan pengundi luar. Mungkin juga disebabkan kedudukan salah seorang Adunnya memegang jawatan Exco dan manakala Zulkifli sendiri yang mesra rakyat.

Kalau semua YDP rajin dan aktif seperti Pas Machang rasnaya Pas tidak ada masalah untuk menawan pengundi luar dalam pilihan raya kelak.

Sebelum ini Pas Tanah Merah juga mengadakan majlis yang sama. Pas Pasir Puteh walaupun tidak mengadakan majlis seumpama itu tetapi peranan dimainkan Adun Semarak Wan Hassan Wan Ismail yang kerap mengadakan pertemuan dengan anak-anak Pasir Petah dan gerakan secara solo dilakukan Adun Limbongan Drs Zainuddin Awag Hamat merapatkan rakyat dengan Pas kawasan itu.

Pas Kota Bharu juga kerap mengadakan pertemuan dengan anak Kelantan di Kuala Lumpur. Sempena hari raya Aidi fitri tidak lama dulu Pas Kota Bharu dibawah pimpinan Cikgu Rahim Abdulah bersama Takiyuddin Hassan telah mengadakan pertemuan di Lembah Pantai.

Bila bercakap mengenai pertemuan atau majlis Temu Mata ini sedikit agak terkilan dengan beberapa Pas kawasan lain yang belum mengadakan majlis seumpama itu. Apakah Pas kawasan ini tidak melihat akan keperluan dan kepentingan majlis serupa itu? Atau mereka ada cara lain atau menanti arahan daripada Tok Guru?

Sepatutnya semua Pas kawasan mengikut jejak langkah Pas kawasan yang telah mengadakan majlis dan pertemuan itu. Misalnya Pas kawasan Pasir Mas dan Rantau Panjang tidak pun terdengar riak risik untuk mengadakan majlis yang sama. Apakah Pas kawasan ini selesa dengan kedudukan hari ini?

Apa yang Hanifa Ahmad dan Abdul Fatah Haroh buat, atau mereka tidak ada kemudahan dan rangkaian untuk menganjurkan pertemuan seumpama itu. Kalau itulah masalahnya mereka yang lain boleh mengambil inisiatif untuk membantu Pas Rantau Panjang dan Pasir Mas. Mialnya orang yang rajin dan ikhals berkerja seperti Abdul Hamid Aziz perlu diberi peluang untuk merapatkan hubungan pengundi luar dengan Pas kawasan.

Pas Pasir Mas perlu melantik Hamid sebagai kooradinator pengundi luar di kawasan ini. Begitu juga Pas Rantau Panjang kalau Abdul Fatah ketiadaan masa dia boleh lepaskan kepada bekas Ketua Penerangannya yang kini tidak memegang apa-apa jawatan Rushdan Mustapa untuk menguruskan hal ini.

Biar mereka atur majlis kemudian panggil kedua-dua YDP itu untuk bersamanya. Cara itu juga akan merapatkan hubungan dan ukhwah di antara mereka dengan pimpinan kawasan dan pengundi luar.

Mungkin untuk Pas kawasan lain seperti Kuala Krai, Gua Musang, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian ataupun Tumpat dan Ketereh tidak perlu kerana kedudukan Pas di kawasan itu sudah kuat dan ampuh. Tetapi Pas Rantau Panjang dan Pasir Mas tidak boleh memandang mudah, mereka perlu berbuat sesuatu bagi memastikan pengundi luar pulang dan mengundi bulan. [wm.kl.6:46 pm 16/01/12]

Ulasan Tengahari

Posted: 16 Jan 2012 05:02 PM PST

Hasan Akidah Berkokok Lagi
Antara Parasit Dengan Pelesit Mana Yang Bahaya?

Semalam
Hasan Ali (Ahsan Akidah) cuba mencari modal dan idea baru untuk menghalalkan tindakan dia menyerang istananya (Pas) selepas dia dihalau dari istana indahnya itu. Sudah nampak semakin jelas Ahsan mulai gelabah dan merasa sepi dengan kehidupan baru - tidak menjadi ahli Pas dan bakal kehilangan jawatan Exco. Pendampingannya dengan tokoh-tokoh Umno mungkin tidak membawa sinar begitu cerah. Beliau terus berbelit dalam pukat basah yang dipsang Umno.

Kalau sebelum ini dia beriya-iya dan mendabik dada mengatakan dia bertindak untuk mempertahankan akidah, untuk membela akidah, untuk mengharmoniskan akidah, untuk mengembalikan akidah kepada akidah sebenarnya, kini nadanya sudah berubah dan bergetar-getar. Semacam ada selumbar tajam dalam halkumnya.

Bekas pesuruhjaya Pas Selangor itu mula menjadikan soal peribadi dengan individu-individu tertentu sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya. Kenapa?

Idea dan modal baru digunakan Hasan ialah menyalahkan Anwar Ibrahim. Beliau meletakkan Anwar sebagai penyebab kegelunsuran dirinya dari wadah Pas. Menghanyutkan dan menjauhkannya dari kerusi MB. Boleh jadi peluangnya untuk jadi MB Selangor masih terbuka kalau dia tetap bersama Pas.

Dalam modal baru itu, katanya dia tidak suka Pas kerana Pas menyokong Anwar, alasannya kerana bakal PM itu memperjuang dan membenarkan gay? Dari mana sumber dan perawi yang beliau dapat untuk mengecapkan Anwar begitu, tidak pasti. Apakah dari Ismail Mina? Tetapi kawan baik Anwar berjubah lusuh itu bukan mempersoalkan soal gay tetapi soal Islam pluralisme agama.

Menghairankan kenapa Anwar yang menjadi sasaran? Apakah Anwar yang memperalatkan Pas dan bertindak membuangnya dari Pas. Naif sekali politik dan bacaan siasah Hasan Akidah ini. Masakan Abdul Hadi Awang dan Naib-Naib presiden Pas termasuk juga Mursyidul Am Pas dan timbalannya Dr Haron Din bersubahat sama dengan Anwar? Begitu sekali rangupnya teras pejuangan mereka dan seolah-olah Hasan seorang yang sangat berprinsip?

Mungkin orang boleh menerima akan keterbukaan dan keikhlasan Hasan dalam memperjuangkan akidah dan juga mengkritik mana-mana pemimpin yang tidak betul ataupun yang tidak obses kepada Islam.

Tetapi bila Hasan diam membisu terhadap penyelewengan dan salah akidah dilakukan para pemimpin Umno orang boleh membuat tafsiran lain. Orang jadi konfius tentang kejujurannya. Apakah Hasan sebenarnya yang menjadi talibarut kepada Umno yang bertindak hendak mensucikan Pas?

Saya masih ingat kata Nik Aziz Nik Mat mengikut hukum syarak, air kencing tidak boleh digunakan untuk membersih najis. Umno bukan wadah yang boleh mensucikan Pas sebaliknya Pas boleh menyamakkan Umno. Sepatutnya sebagai seorang anak yang dididik dengan Islam sejak kecil yang dilahirkan dari kedua ibu bapa yang tahu membaca Quran , Hasan tahu menilai ini.

Saya persoalkan ini kerana tidak ada kritikan dan teguran Hasan terhadap akidah projek lembu gemuk (NFC). Tidak ada teguran dan kritikan Hasan terhadap akidah 1 Malaysia dan ucap selamat 1 Malaysia. Tidak ada kritikan Hasan terhadap akidah rasuah berjuta ringgit dalam pembelian kelengkapan perang negara. Tidak kritikan Hasan terhadap rancangan hendak menyenaraikan Felda Global?

Begitu juga tidak kedengaran saranan lunak Hasan kepada kerajaan UBN supaya menggubal undang-undang murtad bagi menyelamatkan akidah umat Islam yang didakwa kini berada dalam situasi parah kerana kegiatan Kristinisasi. Kenapa?

Kalau Hasan ikhlas untuk membela akidah umat Islam, itu dulu yang Hasan kena lakukan. Hasan sendiri kena mengambil inisiatif menganjurkan seminar, konvensyen dan sebagainya ke arah mencari sokongan untuk penggubalan undang-undang murtad atau sebagainya. Dengan kedudukannya sebagai Exco agama Hasan boleh cuba membawanya dalam Dun Selangor. Sama ada ia diterima atau tidak, Hasan perlu mencubanya sebagai menandakan komitmennya.

Tetapi selama memegang jawatan Exco yang bertanggungjawab terhadap agama selama tiga tahun apakah Hasan berusaha ke arah itu? Mungkin saya terlepas pandang dan terlepas tenguk akan usaha Hasan ke atas itu.

Tidak cukup San kalau sekadar menjenguk gereja dari jauh ataupun ikut Tv3 buat serbuan ke sarang-sarang pelacur dan rumah-rumah urut saja. Tidak padan. Dan kerja menjenguk rumah urut itu bukan kerja Umur Ibnu Aziz yang boleh diteladani. Bukan cara itu. Tidak salah kalau saya katakan dengan mengikut Tv3 buat serbuan itu untuk membolehkan kita melepas gian untuk melihat pelacur berkemban saja? Maaf.

Modal kedua digunakan Hasan ialah kononnya dalam Pas ada parasit. Ada lintah darat. Sebenarnya soal parasit ini sudah lama diketahui Pas. Hasan tidak payah dedah siapa mereka. Pucuk pimpinan Pas sudah menyedarinya. Pas menyedari fenomena atau peranan parasit ini sejak tahun 80-an lagi sebelum Hasan menyertai Pas tahun 1997. Gerakan ini sudah lama berjalan dengan menamakan diri mereka dengan pelbagai nama dan mampu menyuburkan organisasi Pas?

Ramai yang dianggap parasit ini berada dalam Pas dan berjaya membina kedudukan. Tetapi satu perkara perlu disedari parasit ini adalah parasit Islam, yang hendakkan kepada Islam. Parasit ini parasit pejuang menegakkan hukum Allah bukan pelesit mengkhianti jemaah mendokong cita-cita Allah.

Pelesit jauh bezanya dengan parasit. Parasit menumpang dan bekerjasama dengan induknya. Parasit sejenis tumbuh-tumbuhan. Manakala pelesit pula sejenis belalang berwarna hijau sebesar kelingking dan dipercayai membawa hantu. Kerjanya ialah merasut dan menganggu orang, menyusahkan kawan dan ada kalanya mengelecahkan akidah orang agar mengikut akidahnya. Ia ternyata lebih jahat dari parasit.

Bagi saya tindakan dan peranan parasit ini jauh lebih baik dengan cara pelesit itu. Kalau hendak dikira cara Hasan itu lebih kejam dan sadis dan mirip kepada gerak kerja pelesit. Hasan kelihatan tidak amanah kerana bertindak seolah-olah hendak membakar kelambu kerana kegagalan membunuh seekor nyamuk. Hasan mulai bersikap seperti musang menuduh anggur yang dimakannya selama ini sebagai masam selepas gagal untuk memiliki anggur yang duduk dijulai tinggi. Apakah itu bukan hipokrit?

Orang boleh menilai kerja Hasan sejauh mana Islamik atau tidak berbanding dengan nyamuk parasit yang masih bertahan untuk bersama Pas. Di sinilah saya tampak Hasan tidak fatanah dan bersikap 'tasamuh' di dalam politik.

Pada saya parasit ini ada beberapa jenis yang bukan semuanya membawa keburukan dan kecelakaan. Kalau parasit itu boleh memberi oksigen atau nitrat kepada pokok ia tidak salah malah dialu-alukan. Dalam banyak-banyak jenis parasit ini ada yang berfahaman sosialis, komunis, kapitalis atau egois. Ada juga parasit yang berfahaman Islam tetapi fiil macam syaitan.

Adapun parasit yang ada dalam Pas yang hendak didedahkan dan dicemburi Hasan itu adalah parasit Islam yang mengakui Allah dan Muhammad sebagai Rasul. Yang menyertai atau menumpang Pas untuk berganding bahu dengan Pas menginfakkan profesional yang mereka ada. Ini adalah satu kebaikan kerana Pas perlukan perubahan tanpa meninggalkan asas perjuangan. Hasan sendiri boleh dianggap sebagai parasit yang memberi untung kepada Pas kerana ilmunya boleh dimanfaatkan Pas. Tidak dinafikan sedikit sebanyak ilmu Hasan turut membantu mentuburkan Pas.

Saya suka mengambil pandangan Dr Haron Din yang menegaskan Pas ada prinsip dan dasarnya sendiri yang dimaktubkan dalam perlembagaan. Pas ada Majlis Syura Ulamak yang menjadi pemantau perjalanan Pas. Ertinya selagi Majlis Syura Ulamak tidak memberi apa-apa pandangan dengan kaedah dan uslub yang diambil Pas kini anggaplah ia betul dan benar. Terimalah ianya syariat yang dihalalkan.

Apakah kita sudah tidak mempercayai kepada Majlis Syura Ulamak? Bukankah badan ini tertinggi dalam Pas. Majlis Syura Ulamak juga bukan badan yang memiliki kuasa mutlak. Ahli-ahli Pas seluruhnya yang berkuasa menentukan hala tuju perjalanan dan perjuangan Pas. Ahli pula akan berpegang kepada kitab, hadith, ijmak ulamak dan qias. Apakah pandangan Hasan mengenai hal ini mengatasi pandangan atau pendapat pihak-pihak itu semua? Tidak mungkin Hasan berada dalam makam yang betul sedang makam-makam atau pendapat dan badan rasmi lain tidak bersamanya.

Tuduhan yang Hasan lakukan itu jelas dangkal dan ia modal murahan untuk mempertahankan dirinya yang kini sudah mulai hendak rapat ke dinding.

Dalam pada itu saya ingin berpesan kepada pemimpin Pas terutamanya Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Mohd Rani Osman (insyaAllah akan mengganti tempat Ashan) supaya tidak menjawab apa-apa juga kenyataan dari Hasan. Usahlah minta dia mendedah siapa yang dianggap parasit itu. Hasan atau orang politik yang menjadi penasihatnya boleh mencipta apa saja modal untuk berbuat demikian. Seorang motivator akan bercakap selagi lidahnya tidak kejang atau dipotong.

Ingatlah suara Hasan tidak pun sebesar mana. Ia hanya pelakar di siang hari sahaja yang tidak akan menampak secalar cahaya pun. Bunyi mungkin kuat mengeger seantero alam tetapi cahaya tidak sedikit pun mampu mencerahkan kandati sekerat jalan. Apa yang lebih baik, diam jangan peduli dan biarkan Hasan bercakap bersendirian. Lama kelamaan Tv3 atau Utusan akan jemu juga menyiarkan kenyataan Hasan yang dari hari ke hari sudah tidak ada nilai berita. Bila lengguh mulut akan berhentilah dia tanpa sesiapa menyuruhnya.

Ahsan... Ahsan. [wm.kl.1:52 t/hari 17/01/12]

Catatan Konvensyen 2

Posted: 16 Jan 2012 03:50 PM PST

Gelombang Rampas Putrajaya Sudah Meledak!

Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim Jalan Suka Menanti, Alor Star dua hari lalu sewajarnya kalau ditakuti dan dibimbangi oleh UBN.

Bukan mengenai beberapa resolusi yang diputuskan ataupun janji-janji dan ikrar pimpinan Pakatan Rakyat untuk dilaksanakan seperti penghapusan tol, pelupusan pinjaman wang PTPTN, bantuan untuk warganegara emas, pembatalan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ataupun seribu macam janji lagi, tetapi kebanjiran manusia pada malam ceramah itu yang luar biasa adalah satu permulaan baru untuk PR mengorak langkah terus ke Putrajaya.

Fenomena ini berlaku apabila pendakwaan ke atas Anwar Ibrahim berhubung kes liwat selesai. Pembebasan Anwar itu disambut oleh rakyat sebagai satu kejayaan di mana doa dan harapan mereka selama ini yang menganggap Anwar dianiaya dan fitnah direstui Allah.

Sebab itu pemimpin UBN akan cuba memperlekehkan konvensyen itu untuk tidak dilihat sebagai ledakan atau pun cetusan kebangkitan rakyat untuk menumbangkan UBN. Ketua Umno Kedah Ahmad Bashah terpaksa membuat kenyataan memperlekehkan konvensyen berkenaan kononya ia tidak ada pengisian dan hanya menjadi tempat memaki hamun kerajaan. Awal dari itu sebuah stesen tv berbayar (dengan bayaran dan upah tertentu) melaporkan konvensyen itu hambar.

Sebelum konvensyen itu serangan atau road show ceramah PR yang diadakan di seluruh kawasan parlimen malam sehari konvensyen itu benar-benar berjaya mengejutkan hati dan perasaan rakyat Kedah. Kesemua kawasan yang diadakan ceramah sambutannya luar biasa antara 3,000 hingga 5,000.

Kalau sebelum ini sukar untuk mengumpul orang seramai itu tetapi ia berubah sebaik saja mahkamah memutuskan Anwar tidak bersalah. Pasti dan tentunya ledakan semangat dan kobaran azam kini berlaku di Kedah dengan satu nawaitu untuk mengkekalkan Kedah dalam genggaman dan menumbangkan kerajaan UBN di Pusat. Ledakan ini juga dipercayai turut terhimbau ke negeri-negeri lain.

Hanya pemimpin yang tidak waras sahaja yang tidak terkejut dan menjadi lemah semangat dengan kebanjiran rakyat Kedah pada malam itu. Saya sendiri rasa terkaget dan hilang kata-kata menyaksikan rakyat Kedah berduyun-duyun keluar dari jerumu masing-masing menuju ke stadium untuk menyatakan perasaan mereka. Entah terasa di dalam hati seolah kunjungan orang ramai malam itu seperti merayakan sebuah kejayaan besar.

Mereka datang dari dekat dan jauh. Wajah-wajah yang berjalan berderaian dengan anak-anak dan keluarga itu menunjukkan mereka sengaja datang untuk memberi sokongan. Seolah-olah jujutan manusia di sepanjang jalan itu datang tanpa mempedulikan kepada halangan dan sekatan lagi.

Tawaran wang RM500 yang digula-gulakan kepada mereka sedikitpun tidak membekas sedikitpun buat mereka. Mungkin juga rakyat yang menerima baucer RM500 boleh ditukar untuk dijadikan tambang bas atau membeli petrol untuk mendatangi ceramah dan majlis Pakatan Rakyat.

Betapa ramainya yang hadir, sehinggakan Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan ianya sebagai Arafah. Padang stadium dipenuhi dengan manusia yang mengenakan kopiah putih. Sukar untuk digambarkan berapakah angka sebenarnya tetapi apa yang boleh dinyatakan, kesesakan jalan raya menuju ke stadium sepanjang 3 km di segenap jalan menuju stadium boleh dihisab sendiri. Jumlah kenderaan pula tidak terhitung, motosikal, kereta memenuhi setiap bahu jalan dan jalan-jalan kecil padat sehingga sukar untuk bergerak.

Sejak dari selepas Maghrib lagi orang ramai sudah menuju ke stadium. Keadaan itu menujukkan rakyat Kedah tidak sabar untuk berhimpun dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Stadium Darul Aman yang ketiga itu akan berlangsung pertandingan bola sepak lenggang dan kosong, ini boleh dijadikan indikator bahawa rakyat Kedah meninggalkan bola dan sedia ke majlis ceramah yang lebih bererti buat mereka.

Selalunya anak-anak muda tidak akan melepaskan peluang untuk bersorak di padang bola tetapi malam itu, berlainan kalangan remaja mengubah angin ramai-ramai berhimpun mendengar pidato pemimpin Pakatan Rakyat. Mungkin mereka juga sudah terhasut dengan semangat untuk membina Malaysia Baru.

Saya secara peribadi puas dengan jumlah kehadiran dan sambutan hangat. Mulanya saya menyangka kehadiran tidak melebihi 20,000 paling tinggi dan kalau angka itu dicapai ia sudah pun memadai. Tidak mungkin saya fikir jumlah itu akan mengatasi himpunan membela Anwar di Machang ataupun di Kuala Berang yang masing-masing menjangkau angka lebih 30,000.

Ternyata sangkaan saya meleset. Yang ingin perubahan dan mahu terciptanya Malaysia Baru bukan saja rakyat Kelantan, Terengganu tetapi Kedah juga. Dan dengan sambutan hangat itu seolah-olah rakyat telah memberi isyarat awal supaya UBN bersiap sedialah untuk berpindah dan mana-mana pemimpin yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan harus mula membakar fail.

Saya percaya selepas ini kalau diadakan himpunan dan ceramah di Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor hatta Pahang sekalipun ia mendapat sambutan dan jumlah kehadiran akan menggila dan menyebabkan pemimpin UBN tidak akan tidur malam.

Ledakan yang berlaku di Kedah itu sudah tentu akan berterusan. Saya percaya apa-apa majlis yang diadakan selepas ini ia akan mendapat sambutan hangat. Apa lagi kalau pihak polis tidak menghalang dan menyulitkan laluan ia akan menambahkan lagi keinginan orang ramai untuk hadir. Selalunya polis memberi kerjasama ketat untuk mencegah orang ramai mendatangi ceramah Pakatan Rakyat.

Di Alor Star malam itu sedikit menghairankan kerana polis tidak bertindak seperti biasa. Tidak ada sekatan jalan raya dibuat bagi melengah atau menganggu perjalanan. Hendaknya apa yang ditunjukkan oleh Polis Di Raja (PDRM) Kedah yang yakin dan percaya himpunan melibat Pakatan Rakyat tidak mendatangkan masalah turut sama dipercayai oleh polis di negeri-negeri lain khasnya di Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Apa yang boleh disimpulkan dengan kehadiran lebih 35,000 di stadium malam itu ia sudah mula menampakkan rakyat sudah bangun dan bersedia untuk melakukan perubahan. Rakyat sudah tidak sabar untuk menanti saat peti undi PRU ke-13 dibuka untuk mereka menyaksikan PR akan membentuk kerajaan dan UBN akan tumbang. [wm.kl. 7: 51 am 14/01/12]

Ps: Maaflah gambar kurang memuaskan al maklumlah saya tidak lincah bergerak pada malam itu kerana masalah di bahagian tumit.

Tiada ulasan: