Rabu, 11 Januari 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Apa Lagi Helah SPR Nanti??

Posted: 10 Jan 2012 11:22 PM PST

Majlis Fatwa:Guna dakwat kekal harus, dibenar

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) adalah harus dan dibenarkan.

Pengerusinya Prof Tan Sri Abdul Shukor Husin berkata, perkara itu diputuskan berdasarkan tiga kriteria iaitu dakwat tersebut tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh menyerap air.

"Dakwat itu jika digunakan oleh umat Islam ia boleh diserap air jadi tidak akan menimbulkan sebarang masalah untuk menunaikan sembahyang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai perkara itu di Putrajaya.


Mesyuarat yang berlangsung di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu turut dihadiri wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Kimia, Kementerian Kesihatan dan para mufti.

Pada Disember lalu, SPR mengumumkan dakwat kekal jenis "silver nitrate" akan digunakan pada PRU13.

Dakwat itu adalah berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada pilihan raya umum 2008, namun tidak digunakan selepas keberkesanan kaedah tersebut dipersoalkan pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Abdul Shukor berkata, ujian yang dijalankan Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan juga mendapati penggunaannya tidak memudaratkan atau pun memberikan kesan sampingan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu adalah tertakluk kepada penggunaan dakwat berdasarkan sampel sama yang telah diberikan kepada Jawatankuasa Fatwa dan yang telah diuji sahaja.

"Jika SPR berhasrat menggunakan dakwat jenis lain, maka keputusan lain perlu dibuat. Tetapi difahamkan SPR hanya akan menggunakan dakwat yang sama," katanya.


Hasan Ali Dan Umno Malu-Malu Kucing Pulak..

Posted: 10 Jan 2012 11:02 PM PST

PUTRAJAYA: "Umno sentiasa terbuka kepada sesiapa saja kalau mereka minat dan yakin dengan perjuangan kita, maka terserahlah kepada individu berkenaan untuk menilai," kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengulas sama ada Umno akan membuka pintu parti itu sekiranya bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berminat menyertai Umno.

Menurutnya, sekiranya Dr Hasan berpendapat Umno landasan terbaik untuk memperjuangkan Islam, beliau boleh membuat keputusan sewajarnya.


Namun, katanya, parti tidak pernah membuat sebarang tawaran kepada Exco Selangor itu untuk menyertai Umno.

"Agak terlalu awal, nanti orang kata Umno terburu-buru, esok adalah keluar dalam blog nanti kata Umno terburu-buru, seolah-olah tak ada pemimpin lain...Saya perlu berhati-hati bila nak cakap begitu. "Seperti diketahui, Umno sentiasa terbuka pintunya kepada sesiapa saja. Kalau Datuk Hasan Ali kata mungkin sekarang ini jiwanya sebati dan faham perjuangan Umno, maka kita mungkin sehaluan dalam soal itu, jadi terserahlah kepadanya," katanya.

"Tetapi ini tidak bermakna kenyataan saya ini kata ghairah sangat... nanti ada orang salah anggap, media pun nanti lapor begitu, tapi (yang penting) kita sikap terbuka," katanya pada sidang media selepas Majlis Perutusan Khas Amanat Tahun Baru Kementerian Pelajaran 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Hadir sama, kedua-dua timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud. -hm


Utusan cuba sensasikan ‘kesalahan’ muslimat PAS

Posted: 10 Jan 2012 07:46 PM PST

"Apalah 'kesilapan' yang sedikit ini dibandingkan dengan dosa rasuah, penyelewengan, kezaliman, penolakan hukum hudud yang dilakukan pimpinan Umno BN serta Fitnah I dan II terhadap Anwar?" kata Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siri Mariah Mahmud (gambar).

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang telah menghebahkan gambar dari rakaman YouTube kegembiraan sebahagian Muslimat PAS, Wanita Keadilan dan penyokong Pakatan selepas pengumuman pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mempertikaikan akhlak Muslimat PAS.


Katanya, kegembiraan yang dizahirkan secara nyanyian beramai-ramai dan senikata yang zahir secara spontan telah menaikkan kemarahan penyokong Umno dan BN dan membuka peluang mereka untuk membina persepsi negatif terhadap PAS.

Tambahnya, ia satu kesinambungan usaha Umno BN untuk memburukkan PAS yang cuba menggambarkan yang akhlak muslimat buruk dan mempersoalkan moral muslimat.

Baginya, rakaman itu sebenarnya hendak ditujukan kepada ahli-ahli PAS dan penyokong PAS yang tidak hadir di Himpun 901 dan akan melihat rakaman tersebut di luar konteks peristiwa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, rakaman itu juga diharapkan akan menimbulkan keresahan sebahagian penyokong PAS yang sekarang dipasak dengan idea yang PAS telah lari dari perjuangan asal.

"Kami menduga ianya akan memberi persepsi negatif terhadap muslimat PAS kepada mereka yang mungkin tidak pernah turun ke jalan raya untuk demonstrasi dan tidak mungkin memahami perasaan mereka yang sentiasa berhadapan dengan kezaliman pihak berkuasa, biasa disembur dengan gas pemedih mata dan air beracun," ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, anak-anak muda itu menghabiskan usia muda mereka bersama berjuang menuntut keadilan dan menyanggah kezaliman regim Umno BN.

"Saya menghadiri dan bersama dengan sebahagian wanita dalam Himpun 901 dari awal hingga peserta Himpun 901 bersurai. Saya juga acap kali turun berdemo dan sentiasa memantau pergerakan muslimat," katanya.

Jelasnya lagi, sesiapa yang ada bersama pada Himpun 901 tahu yang sebahagian Muslimat PAS dan wanita yang hadir telah berhimpun di satu sudut tempat berhimpun untuk bermunajat kepada Allah SWT untuk membebaskan Anwar.

"Kami telah mengetuai bacaan Ma'thurat dan Yasin. Malah pengumuman pembebasan Anwar diumumkan sebaik sahaja muslimat habis membaca Yaasin," ujarnya.

Katanya lagi, sebahagian muslimat telah mengadakan sujud syukur sebaik sahaja keputusan diketahui di tempat perhimpunan.

"Semasa bergerak keluar daripada tempat parkir menuju ke masjid berhampiran kami berselawat beramai-ramai. Ini semua tidak pula dimasukkan ke YouTube," katanya.

Tambah beliau lagi, selepas berselawat barulah mereka menyanyikan lagu reformasi dengan spontan.

Baginya, tidak ada apa salahnya bernyayi beramai-ramai dengan bersemangat dalam sekitar 10 minit.

Kata beliau, sememangnya semua yang hadir dari sebelum Subuh lagi terlalu gembira dengan pembebasan Anwar.

Jelasnya lagi, tidak ada percampuran dengan lelaki dan perempuan, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada lenggang lengguk yang menggiurkan, intonasi suara bukan intonasi yang jatuh kepada haram, dan perkataan yang digunakan tidaklah lucah.

"Kalau kita singkap sirah Rasulullah saw, apabila Nabi s.a.w. sampai di Madinah baginda di sambut oleh muslimat dengan nanyian dan rebana untuk menzahirkan kegembiraan," katanya.

Katanya, kalau nak dipertikaikan melodi yang sering dimainkan oleh pancaragam sekolah yang digunakan ianya melodi nyanyian reformasi yang selama ini digunakan oleh anak muda semasa berdemo.

"Mungkin yang kasar sikit ialah 'Mampus Umno'.Kalau kita lihat budaya wanita timur tengah pun begitu. Mereka akan bertepuk-tepuk dan mengangkat-angkat tangan sambil bernyanyi.

"Saya pernah bersama dengan Gerakan Islam Wanita di peringkat antarabangsa, Sudan, Indonesia, Algeria , Mesir dan lain-lain negara Islam yang lebih bersemangat dalam menyanyikan lagu-lagi jihad.

"Hanya orang yang tidak mendalami hukum sahaja yang membangkitkan isu suara wanita itu aurat pada ketika ini," ujarnya.

DMPP juga, katanya yakin yang apa yang berlaku bukan satu kesalahan dan dosa, ianya bukan kayu ukur akhlak dan moral muslimat.

"Apa pun oleh kerana ia satu perkara baru dan bukan satu budaya muslimat, bagi mereka yang merasa tersinggung, Dewan Muslimat memohon maaf dan akan lebih berhati-hati dengan perangkap Umno BN di masa akan datang," ujarnya.


Umno bimbang trauma 1999 berulang kembali

Posted: 10 Jan 2012 07:09 PM PST

KOTA BHARU- Trauma kerana kehilangan sokongan majoriti orang Melayu pada pilihan raya umum 1999 mungkin menjadi tanda aras kes liwat II tidak menyebelahi pihak pendakwa.

Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Hafiz Musa berkata, Umno/Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan sebahagian besar orang Melayu ketika itu.

"Jika situasi itu berlaku sekali lagi, rejim Umno/BN diyakini akan kehilangan undi majoriti dalam pilihanraya umum akan datang.


"Seterusnya pemerintahan BN di Malaysia pasti akan berakhir," katanya di sini.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadap tuduhan kes liwat II setelah pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti menyakinkan.

Oleh itu kata Hafiz Pemuda PAS Kelantan melihat keputusan di luar jangka tersebut sebagai satu perkembangan amat baik terhadap institusi kehakiman negara kerana dibebaskan daripada kongkongan rejim Umno/BN.

Bahkan katanya pembebasan tersebut sewajarnya dilihat sebagai petanda di mana pengamal perundangan berjaya mengikis rasa takut terhadap rejim yang mentadbir negara sekarang.

Sedangkan menurutnya senario itu amat berbeza dengan apa yang berlaku dalam kes liwat 1, di mana institusi kehakiman berada di bawah kongkongan rejim pemerintah.

"Kes tersebut membawa gelombang kebangkitan apabila Dato' Seri Anwar dipenjara mengikut telunjuk pemerintah ketika itu, walaupun pendakwa juga gagal membawa bukti mensabitkan beliau," katanya.

Oleh itu Pemuda PAS Kelantan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dilepas daripada tuduhan liwat II.

Menurutnya ia dianggap sebagai tamat episod siri fitnah dan permainan politik kotor yang memalukan negara di mata dunia.

"Pembebasan Anwar membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan ke atasnya selama ini hanyalah merupakan fitnah yang direka," katanya.

Hafiz juga berkata, sudah tiba masanya semua pihak dalam Pakatan Rakyat memfokus gerak kerja menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

-Harakahdaily


Pilihanraya Awal Untuk Elak Pergeseran Dalaman Umno

Posted: 10 Jan 2012 05:45 PM PST

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin mengadakan pilihan raya umum ke-13 seawal Mac ini kerana sedang berdepan dengan ekonomi yang semakin lesu dan pergeseran dalaman Umno sendiri yang semakin ketara berikutan pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin lalu.

Pilihan raya kali ini akan menyaksikan Umno yang telah memerintah sejak kemerdekaan pada tahun 1957 berdepan dengan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar yang menjanjikan pembaharuan besar-besaran.


"Fokus tidak sebegitu banyak ke atas Anwar sekarang tetapi kepada Najib. Beliau mesti terus bergerak dan memastikan Umno tetap setia kepadanya," kata seorang pegawai kanan Umno yang terlibat dalam perbincangan kepimpinan parti dan tidak mahu identitinya didedahkan kerana beliau tidak dibenarkan bercakap kepada media.

"Saya melihat pilihan raya pada Mac, April, sebelum pemilihan Umno. Kegusaran terbesar Najib bukan pilihan raya umum tetapi pemilihan parti Umno kerana ada desakan di kalangan akar umbi Umno bahawa Najib terlalu berlembut ," kata pegawai itu.

Sebuah akhbar bahasa Melayu yang berkait dengan Umno juga melahirkan kebimbangan itu, apabila sehari sebelum mahkamah memutuskan Anwar tidak bersalah, mempertikaikan kewajaran polis membenarkan penyokong pembangkang berhimpun di luar mahkamah.

"Lebih baik untuk jadi jahat, budak nakal sering dapat perhatian dan layanan yang baik," katanya.

Pilihan raya umum tidak perlu diadakan sehingga tahun 2013 tetapi Najib membubarkan Dewan Rakyat tahun ini.

- Reuters


Cina Johor Sedia Sokong Pakatan Pada PRU-13

Posted: 10 Jan 2012 03:43 PM PST

JOHOR BARU, 11 Johor — Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman telah mula turun padang sejak Oktober lalu, menghabiskan sekurang-kurangnya empat hari seminggu dilihat sebagai persiapan awal Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang berdepan prospek kehilangan lebih banyak undi kaum Cina.

Lebih mengagumkan beliau memulakan jelajah dengan berkunjung ke Gelang Patah, Tebrau, Kulai, Pulai dan Muar (dua kali), semua kawasan itu mempunyai sekurang-kurangnya 40 peratus pengundi Cina, dilihat persediaan awal agar tidak menerima nasib sama seperti di Pulau Pinang dan Perak pada pilihan raya umum 2008.

Selain menemui pengundin dan penyokong parti, Abdul Ghani menghabiskan masa beberapa jam setiap hari mendengar taklimat daripada jentera BN tentang sentimen pengundi, tahap sokongan di setiap kawasan pinggir bandar.


"Beliau telah turun padang di semua kerusi yang pembangkang fikir boleh menang," kata pegawai tertinggi pentadbiran Abdul Ghani kepada The Malaysian Insider.

Menurut kajian yang dibuat oleh Zentrum Future Studies, Abdul Ghani mempunyai alasan untuk berasa bimbang.

Gelombang kebangkitan telah menawan sebahagian Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum 2008, yang mana Pakatan Rakyat gagal memecahkan benteng kuat Umno dengan memenangi satu kerusi Parlimen (dari 26 kerusi) dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 56 kerusi yang ditawarkan.

Tetapi Profesor Abu Hassan Hasbullah, yang menjalankan pusat kajian Universiti Malaya memberitahu kaji selidik pada hujung tahun lalu menunjukkan pengundi Cina-Johor kemungkinan akan memecahkan tradisi dengan menyokong Pakatan Rakyat.

Pemimpin pembangkang menganggarkan mereka memenangi 55 peratus pengundi Cina pada pilihan raya umum lalu tetapi Abu Hassan berkata sokongan daripada kaum itu telah meningkat hampir 90 peratus.

"Kami lihat tentang apa yang boleh digelar revolusi senyap Tionghua," katanya kepada The Malaysian Insider menambah sokongan pengundi Cina di Johor meningkat kepada 68 peratus selepas pilihan raya umum 2008 dan terus meningkat kepada 79 peratus pada 2010.

Menurut Abu Hassan, sokongan orang Melayu terhadap pembangkang tidak berubah sejak pilihan raya umum 2008 dan ia kekal di antara 25 hingga 30 peratus, Pakatan Rakyat meletakkan sasaran 15 kerusi Parlimen dan 30 kerusi negeri.

PKR telah mengadakan kongres nasional di Johor pada akhir November, mendakwa bersedia mengambil alih pentadbiran negeri.

Penganalisis berkata perubahan aliran sokongan di kubu kuat BN secara praktikal bermaksud Pakatan Rakyat hanya memerlukan 30 Ahli Parlimen untuk menawan Putrajaya.

Bagaimanapun rakan gabungan telah memberi amaran bahawa peluang di Johor akan mengakibatkan serangan-serangan Umno yang menuduh "kerajaan Cina".

"Ia jelas bahawa jikamkita menang ia datangnya dari sokongan pengundi Cina. Selepas tuduhan-tuduhan di Pulau Pinang dan Perak, mudah bagi Umno menyerang kita dengan bertanyakan siapa akan menjadi MB," kata Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Sungai Abong dari PAS, Dr Sheikh Ibrahim Salleh.

Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau juga bersetuju dengan ahli jawatankuasa PAS negeri bahawa yang lebih penting adalah menumpukan perhatian untuk menambah sokongan pengundi.

"Kita perlu pastikan tidak terjatuh ke dalam perangkap dan mengelak soalan tentang MB dan pembentukan kerajaan negeri. Strategi kita adalah untuk tidak mengejutkan pengundi tetapi memberitahu mereka kita perlu menafikan dua pertiga BN," kata Adun Skudai menambah Pakatan Rakyat berada di kedudukan terbaik untuk menambah tujuh ahli Parlimen dari negeri itu.

"Kemudian jika kita membentuk kerajaan, kita akan pastikan orang Melayu MB dan rakyat akan terima keputusan pilihan raya."

PKR pula menolak untuk menjawab soalamn tentang calon MB tetapi ketua cabang memberitahu The Malaysian Insider "kita tiada sesiapa sejak Abdul Razak Ahmad", merujuk kepada bekas pengerusi negeri itu yang meninggal dunia pada 2007.

The Malaysian Insider difahamkan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang merupakan anak kelahiran Pontian terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Kubang Kerian dan kembali bertanding di Johor.

Sembrong, kerusi Parlimen mempunyai kira-kira 40 peratus pengundi Cina berdekatan Kluang, dikatakan menjadi pilihan terbaik meletakkan Salahuddin bertanding.

Khabar angin yang tersebar mengatakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan bertanding di Kota Tinggi, kerusi yang dilihat selamat yang mungkin akan dikosongkan Tan Sri Syed Hamid Albar yang telah digugurkan dari Kabinet oleh Datuk Seri Najib Razak apabila mengambil alih kuasa pentadbiran pada 2009.


Penghargaan Dari Anak-Anak Anwar Ibrahim Untuk Seluruh Rakyat

Posted: 10 Jan 2012 07:11 AM PST


Video Terbaik Free Anwar 901 Rally

Posted: 10 Jan 2012 05:56 AM PST


Wan Azizah: Terima Kasih rakyat Malaysia

Posted: 10 Jan 2012 04:57 AM PST

Semalam , tanggal 9 Januari 2012 adalah suatu detik sejarah baru untuk Malaysia. Suatu peristiwa yang pastinya menggamit jutaan memori perjuangan rakyat yang berlanjutan hampir 14 tahun lamanya.

Seawal pagi lagi, ribuan pendokong dan penyokong keadilan sudah berada di perkarangan letak kereta di Mahkamah Tinggi Jalan Duta menanti kehadiraan Anwar dan saya serta keluarga.

Ini sungguh memberikan semangat dan kekuatan kepada kami sekeluarga untuk mendepani dengan apa jua keputusan hakim mengenai kes fitnah 2 ini yang berlarutan.


Alhamdulillah, dengan berkat doa, usaha dan tawakkal selama ini, mahkamah telah memutuskan bahawa Anwar dibebaskan dari segala pertuduhan yang difitnah kepada beliau.

Tatkala ini, adalah satu saat dan memori yang paling indah bagi keluarga kami. Segala syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T.

Justeru, saya dan keluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga selama ini dengan sokongan dan kesabaran yang menambahkan semangan perjuangan kami untuk membela kebenaran Anwar.

Segala pengorbanan rakyat selama ini, didoakan agar menjadi saksi perjuangan menentang kezaliman, kerana Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Jihad yang paling utama adalah kalimat yang benar di hadapan penguasa yang zalim." (HR Ahmad)

Maka, jelaslah sekarang kebenaran itu adalah hak bagi kita semua yang dizalimi. Insya Allah, kebangkitan rakyat khususnya golongan muda akan menggerakkan zaman demi kesuburan demokrasi.


Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)


Surat Terbuka Kepada Ahli Perkasa

Posted: 10 Jan 2012 04:52 AM PST

PERKASA merupakan satu badan bukan kerajaan yang mempunyai semangat perjuangan membela Melayu yang tersangat ekstrem. Satu pertubuhan yang sangat menimbulkan keresahan kepada rakyat Malaysia yang sekarang ini sudah bergerak untuk membuang semangat perkauman.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali sering kali menimbulkan kenyataan yang menimbulkan perasaan benci dan meluat dengan telatah dan kata – katanya. Namun sedarkah ahli Perkasa bahawa anda sekarang sedang dipermainkan oleh Ibrahim Ali?

Tidak percaya?

Lihat pada perhimpunan raksasa rakyat BERSIH 2.0. Ketika puluhan ribu rakyat sudah bersiap – sedia mahu berhimpun, lihat sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau. Ugut – mengugut dengan mengatakan beliau akan turut bertempur dengan rakyat jika rancangan BERSIH 2.0 mahu berhimpun diteruskan. Mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan memimpin 50,000 ahli Perkasa untuk berperang dengan rakyat.


Tapi pada hari tersebut dimanakan beliau? Senyap dan duduk diam di rumah. Beliau menggesa anda semua keluar ke Tasik Titiwangsa, tapi di manakah beliau? Duduk diam di rumah.

Ketika perhimpunan 901 dirancang untuk diadakan, sekali Ibrahim Ali mengeluarkan kenyataan yang berbaur ugutan. Mahu mengerahkan puluhan ribu ahli Perkasa untuk berhadapan dengan rakyat yang mahu melihat Anwar Ibrahim dibebaskan. Mana dia ketika perhimpunan itu berlangsung? Diam menikus takut di rumah.
Tidak malukah anda semua mempunyai ketua yang penakut lagi bacul itu. Lihat sahaja pimpinan NGO yang memperjuangkan nasib rakyat. Mereka turun untuk turut serta berhimpun dan sanggup menghadapi risiko dibelasah oleh pihak berkuasa. Lihat sahaja pimpinan Pakatan Rakyat, mereka sanggup bersama – sama dengan rakyat dan mengambil risiko jika dikasari oleh pihak berkuasa.

Ibrahim Ali telah memalukan anda semua. Anda semua telah dikeji, dikutuk dan dihina hanya kerana keceluparan Ibrahim Ali yang berlagak berani tetapi sebenarnya penakut dan bacul.

Buat ahli Perkasa, sudahlah, berubahlah. Buangkan semangat perkauman dan gunakan keberanian anda untuk membela rakyat. Mari menyertai rakyat Malaysia yang mencintai keadilan dan menentang kezaliman.

HIDUP RAKYAT!

dragsuperstar.blogspot.com


Letupan di mahkamah: Polis teliti rakaman video

Posted: 10 Jan 2012 03:45 AM PST

KUALA LUMPUR: Polis sedang meneliti rakaman video bagi mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab berhubung tiga letupan semasa penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di Kompleks Mahkamah di Jalan Duta di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata polis juga akan mengumpul segala maklumat yang diperoleh bagi memutuskan sama ada penganjur perhimpunan didapati melanggar peraturan atau tidak.

"Kita akan tengok video yang kita rakam dan akan melihat secara keseluruhan keadaan semasa perhimpunan dan juga dalang yang meletakkan bahan letupan buatan sendiri itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Mohmad berkata polis juga akan menyiasat di tapak letupan itu berlaku dan juga tentang perjalanan perhimpunan.

Semalam, Anwar dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008. Seramai 4,500 penyokongnya berhimpun di luar mahkamah untuk mengetahui keputusan itu.

Bagaimanapun, perhimpunan itu dicemari tiga letupan yang dipercayai daripada bom buatan sendiri mengakibatkan lima orang cedera.

- Bernama


Saya tidak didesak gugurkan Hasan Ali

Posted: 10 Jan 2012 01:30 AM PST


KLANG: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak didesak oleh sesiapa untuk menggugurkan Datuk Dr Hasan Ali sebagai anggota exco negeri.


Abdul Khalid berkata Hasan sewajarnya mengosongkan secara sukarela jawatan pengerusi tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri oleh kerana beliau tidak lagi mewakili PAS dalam kerajaan negeri akibat beliau dipecat dari parti itu.

"Saya masih menunggu senarai pengganti bagi Hasan dari pucuk pimpinan PAS dan menjangka akan menerimanya tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai alam sekitar anjuran Majlis Perbandaran Klang di sini hari ini.

Hasan, bekas pesuruhjaya PAS Selangor, dipecat oleh PAS Ahad lalu kerana tindakan-tindakannya yang dianggap menyalahi dan merugikan kepentingan parti.

Abdul Khalid berkata walaupun pucuk pimpinan PAS mempunyai kuasa untuk menentukan wakilnya dalam barisan exco negeri, ini tidaklah secara "mutlak".

Beliau berkata beliau akan mengadap Sultan Selangor pada Jumaat untuk memberi taklimat kepada baginda tentang perkembangan terbaru dan membincangkan calon sesuai bagi jawatan itu, lapor Bernama.


Tiada ulasan: