Khamis, 5 Januari 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Demo 901: Hasan Ali tak hadir, nasihati pelajar elaknya

Posted: 05 Jan 2012 01:14 AM PST

Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Hasan Ali tidak menyokong perhimpunan 'Bebaskan Anwar' pada 9 Januari ini dan tidak akan menghadiri demonstrasi itu.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh PKR dan akan dihadiri oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat sebagai menunjukkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika keputusan perbicaraan liwat II yang membabitkan ketua pembangkang itu diumumkan.

Sehubungan itu, Hasan yang juga bekas pesuruhjaya Selangor menasihatkan mahasiswa dan pelajar khususnya yang sedang menghadapi peperiksaan dalam tempoh ini supaya tidak menghadiri perhimpunan itu.


"Walaupun terdapat arahan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman bagi ahli-ahli (PAS) suapaya hadir, saya merasakan bahawa ini adalah tidak sesuai.

"Saya telah semak sebelum ke sidang media ini, tidak terdapat arahan oleh mana-mana pesuruhjaya PAS negeri lain yang mengeluarkan arahan seumpama itu. Tiada juga arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin atasan supaya hadir. Oleh itu, saya tidak akan hadir," katanya.

Hasan, bekas ahli akademik dan bekas ketua Biro Tatanegara, berkata sebagai pelajar mereka perlu menumpukan perhatian pada pelajaran dan tidak terpengaruh apa-apa yang mungkin berlaku kepada Anwar.

"Tumpukan perhatian pada pelajaran dan masa depan anda. Saya difahamkan kebanyakan universiti seperti Universiti Malaya, Universiti Industri Selangor, Universiti Teknologi Mara, Universiti Pertanian Malaysia sedang mengadakan peperiksaan dalam tempoh ini.

"Tumpukan pada peperiksaan dan lakukan yang terbaik.

"Saya kasihan terhadap Anwar tetapi beliau tidak seharusnya menjadikan masalah peribadinya sebagai isu negara dan mengheret orang lain bersama. Pelajar sekolah menengah juga harus kekal di sekolah-sekolah dan tidak menjejaskan pelajaran mereka," katanya.

Hasan berkata demikian sebagai mengulas perhimpunan yang dicadangkan untuk menyokong Anwar selepas keputusan perbicaraan liwat diumumkan.

http://www.malaysiakini.com/news/185780

Tujuh 'Kalau' Yang Memeningkan Umno Dalam Hadapi Kes Anwar

Posted: 05 Jan 2012 12:39 AM PST

901: Tujuh 'kalau' Kadir Jasin

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Bekas Ketua Pengarang kumpulan NSTP, Datuk Kadir Jasin memberikan tujuh kalau menjelang 9 Januari ini dan yang menarik semuanya menyukarkan kedudukan Umno.

"Kalau Anwar masuk penjara, kesan undi simpati yang menyebabkan BN hilang banyak kerusi dan kalah DUN Terengganu dalam PRU 1999 mungkin berulang; dan

(Gambar logo 'About me' (mengenai saya) Kadir Jasin dalam blognya)

"Kalau hal ini berlaku, BN akan mendapati lebih sukar mempertahankan kedudukannya kerana ia kini jauh lebih lemah daripada tahun 1999," tulis Kadir dalam blognya, The Scribe A Kadir Jasin: Banyak Kalau Dalam Keputusan 9.


Kadir yang terkenal dengan sikap 'loyal'nya kepada Umno khasnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menulis, Pakatan Rakyat telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan liwat yang akan diputuskan 9 Jan ini.

Yang memberikan jaminan itu tidak lain dan tidak bukan Anwar sendiri. Malaysian Insider memetik beliau sebagai berkata:

"Kepimpinan Pakatan Rakyat bukan sahaja saya dan (Datuk Seri Dr Wan) Azizah Wan Ismail) tetapi Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang telah membincangkan perkara ini... Jika saya dipenjarakan, terlibat dalam kemalangan atau ditembak, kami bersedia, membincangkan pelbagai kemungkinan, satu, dua atau tiga senario." tulis Kadir.

Hari ini, 5 Jan, The Star pula melaporkan yang PR telah mengenal pasti calon bakal Perdana Menteri dan pengganti Anwar. Yang membuat kenyataan itu pun Anwar juga, tulisnya lagi.

Sebenarnya banyak "kalau" yang boleh diperkatakan antara sekarang hingga 9 Jan dan selepas itu.

Berikut adalah kalau-kalau yang terlintas di fikiran Kadir.

1. Kalau Parti Keadilan Rakyat dan sekutu politiknya berjaya dengan rancangan mereka, 100,000 orang akan berdemonstrasi di Kuala Lumpur pada 9 Jan ini;

2. Kalau Anwar dibebaskan, mereka akan berdemonstrasi kerana kehakiman memihak kepada mereka. Boleh jadi juga mereka akan memuji Kehakiman Malaysia kerana bebas dan berani;

3. Kalau Anwar disabitkan kesalahan, mereka akan berdemonstrasi kerana kehakiman tidak memihak kepada mereka dan, mungkin juga, menuduh Kehakiman Malaysia dikongkong pemerintah;

4. Kalau Anwar memang, Perdana Menteri MohdNajib Abdul Razak dan Barisan Nasional akan hadapi masalah besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti. Anwar akan menjadi hero dan kredibiliti Mohd Najib merudum;

5. Kalau Anwar kalah, dia akan sekali lagi dianggap mangsa penganiayaan politik dan "mati syahid" oleh penyokong tegarnya dan oleh generasi muda yang kurang faham mengenai sodomi satu dan salah guna kuasa 1999/2000;

6. Kalau Anwar masuk penjara, kesan undi simpati yang menyebabkan BN hilang banyak kerusi dan kalah DUN Terengganu dalam PRU 1999 mungkin berulang; dan

7. Kalau hal ini berlaku, BN akan mendapati lebih sukar mempertahankan kedudukannya kerana ia kini jauh lebih lemah daripada tahun 1999.

Itu adalah antara "kalau" yang terlintas di fikiran saya. Para pembahas dipersilakan untuk menyumbang "kalau-kalau" lain kalau ada. Wallahualam.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7411--901-tujuh-kalau-kadir-jasin
http://kadirjasin.blogspot.com/2012/01/banyak-kalau-dalam-keputusan-9-januari.html


Bukti SPR Memang Menipu Senarai Daftar Pemilih

Posted: 04 Jan 2012 11:47 PM PST

PKR: SPR tolak syor PSC lantik Mimos bersih senarai pemilih

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendakwa Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) menolak cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Penambahbaikan Pilihan raya (PSC) supaya melantik Mimos Berhad bagi membersihkan dan mengesahkan senarai daftar pemilih.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu sewaktu pertemuannya bersama beberapa pemimpin PKR dengan Pengerusi SPR Wilayah Persekutuan, Shafie Taib pagi ini.

Ahli parlimen Lembah Pantai itu mendakwa perkara itu berdasarkan minit mesyuarat yang dihadiri Shafie dengan SPR pusat, tanpa dijelaskan alasan penolakan cadangan PSC itu atau syarikat yang menggantikan Mimos.


Nurul Izzah (kanan sekali) menyuarakan kebimbangannya berhubung pangkalan data pusat SPR dan sistem yang menghubungkan antara sistem Jabatan Pendaftaran Negara dan SPR yang didakwanya "tidak terkini dan terdapat beberapa kelemahan yang perlu dirungkaikan".

"Kami dimaklumkan dalam pertemuan SPR yang terbaru, (mereka) memutuskan Mimos tidak akan digunapakai sebagai syarikat yang akan mengesahkan daftar pemilih.

"Ini amat membimbangkan. Cadangan PSC ditolak setakat ini oleh SPR, supaya Mimos sebagai badan pengesahan (senarai nama pemilih)," katanya dalam sidang media selepas pertemuan tersebut di pejabat SPR Wilayah Persekutuan pagi ini.

Dalam cadangan PSC, jawatankuasa itu mengesyorkan supaya SPR melantik Mimor Berhad untuk membuat verifikasi terhadap isu-isu yang berkaitan daftar pemilih dan melaporkan balik penemuan kepada jawatankuasa berkenaan

Ia membabitkan isu dua orang pemilih dengan satu kad pengenalan yang sama, pengundi yang meninggal dunia masih ada dalam daftar pemilih, pengundi yang berumur 90 tahun ke atas, pemilih bukan warga tempatan, ramai pemilih dalam satu alamat, dan pengundi hilang kelayakan.

Turut menghadiri pertemuan tersebut ialah naib presiden PKR Tian Chua, pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Dr Idris Ahmad dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Dr Tan Kee Kwong.

http://www.malaysiakini.com/news/185755

Perkasa Mahu Bertempur Atau Bersembunyi Di Tasik Titiwangsa??

Posted: 04 Jan 2012 10:15 PM PST

PERKASA mahu tempur dengan 'Bebaskan Anwar'

Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA dan 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikrar akan menyekat perhimpunan gerakan 'Bebaskan Anwar 901', Isnin depan demi mempertahankan keamanan negara.

Menurut lapor akhbar harian Melayu, Sinar Harian, presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dipetik berkata ahlinya akan menunaikan solat subuh di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum berarak sehingga ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Kami tunai solat sunat berjemaah dan berdoa Alalh SWT memberi kekuatan kepada pejuang ini.


"Selepas itu, kami berarak dan sekiranya bertembung dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan penyokong mereka yang sanggup mempertahankan pemimpin yang menghadapi masalah moraliti, kita sama-sama melakukan provokasi," katanya dipetik akhbar itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadualkan membuat penghakimannya berkenaan perbicaraan liwat II yang membabitkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi Isnin nanti.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat mengumumkan bahawa mereka akan mengumpulkan 100,000 penyokong di Kuala Lumpur pada hari yang sama bagi menunjukkan sokongan padu mereka kepada ketua pembangkang itu.

Mengenai tindakan bakal diambil pihak berkuasa, Ibrahim berkata, terpulang kepada polis untuk menghalang PERKASA atau Pakatan Rakyat kerana kedua-duanya melakukan perhimpunan haram.


"Kami menegakkan keamanan, itulah kekuatannya dan mereka pula hendak meruntuhkannya, sebaliknya menaikkan pemimpin yang mempunyai masalah moral.

"Tidak perlu saya perjelaskan siapa (Ketua Pembangkang, Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang merupakan bekas sahabat di universiti dan berjuang bersama-sama," katanya kepada Sinar.

Sebelum ini, menjelang himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu, Ibrahim juga mengancam untuk mengadakan tunjuk perasaan untuk menggagalkan pergerakan yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini.

Tetapi pada saat terakhir, beliau membatalkan hasrat PERKASA itu atas alasan tidak mahu pertembungan ataupun pertumpahan darah di kalangan orang-orang Melayu.

http://www.malaysiakini.com/news/185753


Umno Pening Bila Veteran Umno Mahu Sertai DAP

Posted: 04 Jan 2012 07:46 PM PST

Bersama-sama dengan bekas ADUN Umno Mohd Ariff Sabri, ahli Umno veteran dan penulis blog Aspan Alias mungkin menyertai DAP, dengan tujuan melunturkan 'imej cauvinis' parti Cina itu.

Aspan (kanan) ketika dihubungi Malaysiakini semalam berkata kedua-dua mereka sedang "giat berunding" dengan kepimpinan DAP sebelum membuat keputusan muktamad.

"Kita belum putuskan, tetapi hampir menyertai ... rasanya tidak lama lagi," kata anggota Umno berusia 59 tahun itu.


Sementara itu, setiausaha politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng - Zairil Khir Johari - ketika ditanya sama ada kedua-dua mereka telah menyertai parti itu, menjawab: "Saya serahkan kepada kepimpinan parti untuk umumkannya."

Aspan juga menafikan bahawa penangguhan penyertaan mereka ada kaitan dengan rundingan untuk mendapatkan kerusi bagi bertanding pada pilihan raya umum yang akan datang.

"Saya faham ada orang mengatakan saya mungkin bertanding dpada pilihan raya akan datang atas tiket DAP, tetapi tiada apa-apa mengenai perkara itu telah dibincangkan di antara DAP dan saya."

Ditanya mengapa DAP menjadi pilihan dan bukannya PKR atau PAS, Aspan menjelaskan bahawa parti itu telah dimomokkan sebagai parti pelampau Cina, oleh itu, penyertaan mereka boleh membantu mengikis persepsi itu.

"Saya mesti bantu parti yang tidak mempunyai imej berbilang kaum yang jelas."

Aspan menyertai Umno pada tahun 1971 pada usia 19 tahun dan aktif dalam bahagian Kuala Pilah sejak akhir 1980-an sehingga 2000.

Mohd Ariff (kiri) pula adalah bekas ADUN Pulau Manis dan ketua penerangan Umno bahagian Pekan sehingga tahun 2004 yang merupakan bahagian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selepas bersara dari politik, kedua-dua mereka menjadi penulis blog yang aktif dan sering menulis artikel yang kritikal.

Ariff menulis di bawah nama samaran Sakmongkol AK47 manakala blog Aspan pula boleh dilayari di aspanaliasnet.blogspot.com.

Anwar: Sama ada saya dipenjarakan tak penting

Posted: 04 Jan 2012 06:55 PM PST

Menjelang demonstrasi kempen "Bebaskan Anwar 901" yang dirancang pada Isnin ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kekacauan selagi tiada pihak yang tampil membuat provokasi.

Katanya, keputusan sama ada beliau dipenjarakan atau tidak, tidak penting, namun apa yang dinantikan adalah keputusan rakyat menilai dan membuat pilihan pada pilihan raya akan datang untuk merubah kerajaan.

"Saya meletakan tiga keputusan yang mungkin akan berlaku, ia termasuk saya diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak bersalah, bersalah dan diikat jamin atau berkemungkinan besar dipenjarakan.


"Keputusan itu tidak penting sebaliknya perubahan yang bakal dilakukan oleh rakyat untuk menumbangkan kerajaan sedia dalam proses pilihan raya akan datang," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah di Taman Sin Hoe, Bukit Baru, Melaka malam tadi.

Hukum Umno

Hampir, 3,000 orang hadir termasuk, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari.

Jelasnya, kekacauan ketika kempen "Bebaskan Anwar 901" tidak akan timbul sekiranya tiada pihak yang cuba mengganggu gugat perhimpunan secara aman itu.

"Kita minta seperti biasa, perhimpunan kita bersih daripada semua perhimpunan yang dibuat sebelum ini, aman dan selesai dengan baik dan bersurai pun dengan baik.

"Yang penting jangan benarkan sesiapa menganggu termasuk tindakan polis supaya mengawal keadaan dan jangan ada provokasi," katanya.

Serentak itu, menurut bekas timbalan perdana menteri itu, solat hajat akan diadakan di seluruh negara bagi mengelakkan fitnah dan kezaliman serta keputusan mahkamah yang adil.

"Solat hajat akan dibuat secara berterusan di berpuluh tempat termasuk di Permatang Pauh supaya diselamatkan daripada fitnah dan kezaliman.

"Saya yakin kemenangan akan berlaku, kalau tidak esok, dalam beberapa bulan lagi akan berlaku perubahan besar dalam negara kita.

"Biar dia hukum saya dan kita doa rakyat akan hukum Umno dalam pilihan raya.

"Pada 9 Januari ini kita boleh dengar keputusan mahkamah tetapi fokus kita adalah pilihan raya.

"Meskipun, Anwar dipenjarakan namun pilihan raya masih penting, dihukum dengan ikat jamin, pilihan raya masih penting, rakyat putuskan kerajaan ini tumbang akhirnya," katanya.

http://www.malaysiakini.com/news/185722

Noh Omar Dan Umno Selangor Digesa Hentikan Kerja Bodoh

Posted: 04 Jan 2012 06:46 PM PST

PAS meminta agar Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menghentikan segala sabotaj jika beliau ada rancangan untuk mengganggu kutipan sampah di Selangor.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dalam satu sidang medianya di sini. Turut serta dalam sidang media itu adalah Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dan Jenice Lee, Setiausaha Publisiti DAP Negeri Selangor.

"Kita tahu isu sampah adalah rancangan sabotaj di mana Noh dan Umno Selangor didakwa terlibat, isu tersebut adalah sengaja ditimbulkan apabila kontrak Alam Flora telah ditamatkan oleh kerajaan negeri," sambung beliau lagi.


Isu kutipan sampah menjadi hangat dalam media Umno sejak kebelakangan ini.

Ia bermula apabila kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk menamatkan kontrak pengutipan sampah dari Alam Flora selepas tidak berpuashati dengan kerjanya.

Buat sementara ini, anak syarikat kerajaan negeri Selangor di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Hebat Abadi Sdn Bhd telah diberikan amanah untuk menjalankan kerja-kerja ini di Shah Alam sehingga kontraktor yang kekal diperolehi.

Kerajaan Selangor memutuskan, kontraktor ini perlu diberikan kepada penender terbaik melalui tender terbuka untuk mempastikan kerja terbaik yang dibuat nanti bukannya orang kedua tetapi penerima kontrak berkenaan.

Pada hari pertama dan kedua kerja ini berjalan, iaitu pada 1 dan 2 Januari, Pengurus Besar Hebat Abadi, Ramli Mohd Tahir telah membuat tiga laporan polis ekoran kerja-kerja pemungutan sampah mereka diganggu.


Pada 1 Januari, Ramli membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11 bahawa kompaktor (lori pengangkut sampah) mereka telah ditahan dari memasuki jalan Seksyen 17/23 dekat sini.

Pada 2 Januari, Ramli membuat dua laporan polis lagi berkaitan perkara yang sama.

Dalam laporan itu, Ramli melaporkan, pada jam 11 pagi, kompaktor milik Cemerlang Endas Sdn Bhd ditahan dari memungut sampah di Seksyen 9.

Dalam satu lagi laporan polis, beliau berkata, pemilik syarikat Aminora Enterprise (kontraktor kepada Hebat Abadi) menerima panggilan telefon yang mengugut supaya mereka tidak memasuki Seksyen 7 untuk memungut sampah di situ.

"Saya bimbang akan ancaman ini kepada Kumpulan Darul Ehsan dan kontraktor kami memandangkan kami hanya syarikat yang diamanahkan bagi menyelesaikan masalah kutipan di kawasan ini," kata Ramli dalam laporan polisnya.

Salinan semua laporan polis ini diserahkan kepada Harakahdaily oleh KDEB.

http://sedakasejahtera.blogspot.com/2012/01/pas-mohon-ds-noh-omar-hentikan-sabotaj.html

PDRM Lakukan Risikan Demonstrasi 'Kempen Bebaskan Anwar 901' Isnin Ini

Posted: 04 Jan 2012 05:40 PM PST

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan risikan terperinci berhubung demonstrasi 'Kempen Bebaskan Anwar 901' yang dirancang diadakan di ibu kota Isnin ini, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rasid.

Beliau berkata ketika ini, PDRM berusaha mengesan pengedar poster, kain rentang, mesej serta blog yang menyeru orang ramai menghadiri perhimpunan haram itu.

"Ini menampakkan bahawa ada orang yang mendalagi perhimpunan ini, bukan sahaja dengan matlamat yang sebenar, tapi ada lagi agenda tersembunyi yang menggugat keselamatan. Ini yang menjadi kerisauan pada polis untuk tangani bagi menjaga keselamatan orang ramai," katanya dalam program Soal Jawab di TV3 malam Rabu.


Demonstrasi itu dikatakan bertujuan menuntut keadilan bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual memberi penghakiman berhubung kes liwat membabitkan beliau pada hari tersebut.

Salleh berkata terdapat juga maklumat bahawa ada kumpulan tertentu bakal digunakan untuk mendatangkan ancaman terhadap keselamatan mereka yang akan hadir pada perhimpunan itu.

"Kumpulan-Kumpulan ini dikerah supaya (perhimpunan) ini berlarutan. Jika ini terjadi, kehidupan rakyat terjejas," katanya yang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung rancangan itu tampil membantu polis.

Salleh berkata risikan juga mendapati perhimpunan itu akan diadakan di kawasan lain.

"Maklumat risikan kita mendapati bukan sahaja di mahkamah sahaja... ada lagi di tempat-tempat di sekitar ibu kota untuk diadakan perhimpunan ini.

"Ia bermatlamat untuk membuatkan negara ini hilang kawalan dari segi keselamatan," katanya. - BERNAMA

Gereja gesa Najib: Hormati undang-undang, gugur polisi anti-Kristian

Posted: 04 Jan 2012 04:54 PM PST

KUALA LUMPUR, 5 Jan — Datuk Seri Najib Razak seharusnya menghormati undang-undang dengan menggugurkan perundangan dan polisi yang menjadikan Kristian sebagai mangsa birokrasi, menurut satu kumpulan yang mewakili 90 peratus gereja semalam.

Dalam kenyataan tegas mereka, kumpulan yang dikenali sebagai, Christian Federation of Malaysia (CFM) itu menggesa Perdana Menteri untuk mengkaji semula perkembangan sistematik keagamaan yang menentang Kristian sejak setahun lalu.

Mereka turut menuntut Najib (gambar) mengambil tindakan dan menghentikan cubaan tersebut untuk mengelakkan komitmen dan legasi kesederhanaan keagamaan beliau "hancur" dan "musnah".


Bishop Anglican Ng Moon Hing, ketua CFM, menggesa Perdana Menteri untuk menubuhkan sebuah kementerian agama bukan Islam untuk menjamin keselamatan dan memelihara hak dan keinginan bukan sahaja untuk Kristian, malah Buddha, Siks, Taoisme, dan Hindu.

"Kami berharap agar akan ada perundingan untuk menghormati struktur dan operasi kementerian tersebut," katanya. Tambahnya lagi, ini adalah langkah pertama sebagai pemimpin Kristian yang tidak naif untuk meletakkan isu agama akan dapat diselesaikan tanpa komitmen dan penyertaan daripada seluruh kementerian dan organisasi kerajaan.

Ng, yang juga merupakan ketua Anglican Barat Malaysia, menggesa Najib untuk menarik balik larangan penggunaan perkataan "Allah" yang turut merujuk kepada tuhan mereka.

Katanya, Kristian keseluruhannya telah dijadikan mangsa oleh golongan dengan "pembacaan terpilih Perlembagaan Persekutuan yang berniat menggunakannya untuk mendikriminasikan undang-undang yang memihak kepada satu komuniti sahaja,".

Tambahnya lagi, Kristian sekarang tidak mempunyai pilihan melainkan dengan mengetengahkan isu ini memandangkan ianya merupakan jalan terbaik supaya kerajaan mengambil tindakan.

Beliau juga menambah, ketua gereja sudah letih bermesyuarat dengan "pihak kementerian tertinggi" Putrajaya dan melihat tiada tindakan yang diambil untuk menyelesaikan semua isu yang dibangkitkan secara tersusun, cepat dan efisien.

"Perkara ini dilihat berleluasa dan sangat berbeza dengan apa yang diharapkan terjadi dengan realiti sebenar."

"Polisi kesederhanaan yang diamalkan dilihat tidak ditapis mengikut setiap peringkat kerajaan," katanya, selepas satu jam bersama perdana menteri keenam negara semalam.

Kerajaan turut membangkitkan isu berkenaan pernyataan untuk menjanjikan komitmen penuh dan perundingan berkenaan isu Kristian bermula dengan misi sekolah, pendidikan Bible dan pengecualian cukai untuk menubuhkan organisasi yang berkaitan dengan pemulihan hubungan dengan gereja.

Mereka menyatakan hak organisasi ini telah musnah setelah hak mereka menggunakan perkataan "Allah" telah dinafikan meskipun mahkamah telah memutuskan mereka menang di dalam kes tersebut.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/gereja-gesa-najib-hormati-undang-undang-gugur-polisi-anti-kristian/

Hisham: Demo tak akan ubah keputusan mahkamah

Posted: 04 Jan 2012 04:21 PM PST

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sebarang demonstrasi jalanan tidak akan mengubah mana-mana keputusan mahkamah.

Beliau yang merujuk kepada demonstrasi Kempen "Bebaskan Anwar 901" yang dirancang pada Isnin ini berkata, orang ramai tidak perlu terlalu emosi dan mudah terpengaruh jika ada pihak tertentu cuba menghasut mereka bagi menyertai demonstrasi berkenaan.

"Saya nak ingatkan orang ramai kes yang ada di mahkamah yang akan dijatuhkan hukumannya tak lama lagi sudah lama berjalan, kenapa baru sekarang ada perancangan tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pasca kabinet kementerian itu di Putrajaya, petang semalam.


Demonstrasi itu dikatakan bertujuan menuntut keadilan bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual memberi penghakiman berhubung kes liwat membabitkan beliau pada hari tersebut.

Hishammuddin berkata polis tidak akan berkompromi dengan cubaan penganjur untuk mengadakan perhimpunan itu sehingga boleh mengganggu-gugat keselamatan orang awam.

"Yang menjadi sandaran Polis Diraja Malaysia ialah keselamatan, ketenteraman dan kepentingan orang awam termasuk peniaga dan penjaja. Jika tidak menjejaskan keadaan, saya tengok tidak mendatangkan masalah.

"Tetapi kalau sekiranya jelas apa yang nak dilakukan ini disengajakan atau akan menimbulkan huru-hara ini akan menjadi pertimbangan pihak polis," katanya.

Pada sidang akhbar sama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh untuk mengadakan pertemuan dengan penganjur demonstrasi itu.

Dalam perkembangan lain, Ismail sekali lagi menegaskan bahawa anggota polis tidak menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan haram anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) selepas sambutan ambang Tahun Baru di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak Ahad lalu.

"Jadi tuan-tuan tengok sendiri. Kita dah tunjuk video itu. Sudah ada dalam You Tube sekarang ini. Nilai sendirilah siapa yang bercakap benar siapa yang tak benar," katanya sambil menegaskan polis cukup profesional dalam menghadapi kejadian itu.

- Bernama

Jom Baca Apa Kata Orang Bodoh Dari Kedah Nie..

Posted: 04 Jan 2012 04:42 AM PST

Zamil: Peguam PKR gila publisiti

PETALING JAYA: Pengerusi Kita Kedah, Zamil Ibrahim, mendakwa peguam PKR gila publiti kerana hanya berminat dengan kes tertentu yang menguntungkan parti itu.

Sebaliknya, kes kecederaan membabitkan pegawai polis tidak diendahkan, dakwa Zamil.

Beliau merujuk kes seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Yan, Kedah ditetak ketika menjalankan tugas baru-baru ini.

Isu mahasiswa

"Mana dia pemimpin atau peguam PKR? Sehingga hari tidak ada seorang peguam parti itu melawat mangsa tersebut.


"Peguam PKR ini gila publisiti, mereka sangat gemar dengan isu mahasiswa dan isu tindakan polis.

"Jika pihak polis bertindak sesuatu, mereka bertindak cepat. Padahal umum mengetahui mereka ini kerap ingkar arahan atau tetap berhimpun tapi akan perlihatkan pihak polis kejam jika pihak polis buat halangan.

"Ada saja sidang media dibuat untuk hal ini tapi langsung sepi apabila pihak polis ditimpa musibah tertentu," katanya.

Zamil berkata, kalau PKR hendak membela, jangan memilih bulu tetapi hendaklah membela semua kerana polis juga anggota masyarakat.

Bagaimanapun, kata jika isu itu tidak menguntungkan mereka, tiada tindakan yang dibuat.

http://dialograkyat.blogspot.com/2012/01/zamil-peguam-pkr-gila-publisiti.html


Perkasa gesa polis tahan Azmin, halang perhimpunan haram di mahkamah

Posted: 04 Jan 2012 04:12 AM PST

KUALA LUMPUR, 4 Jan — Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mahu polis menahan segera Timbalan Presiden PKR Azmin Ali kerana cuba "menghasut" rakyat untuk menyertai perhimpunan haram pada 9 Januari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata kenyataan yang dikeluarkan Azmin semalam boleh menimbulkan huru-hara dalam negara sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan segera terhadap pemimpin pembangkang itu.

"Kalau perlu tahan (Azmin) lebih awal kerana menyusahkan rakyat dan polis perlu tunjukkan ketegasan dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Azmin di IPD Dang Wangi di sini.


Beliau menyifatkan tindakan Azmin (gambar), Ahli Parlimen Gombak itu seolah-olah "tidak masuk akal" dan sengaja mengajak rakyat demi memenuhi kepentingan politik pembangkang.

Syed Hassan menambah kenyataan Azmin itu boleh mengganggu keamanan dan kesejahteraan negara sekiranya tindakan awal tidak diambil.

"Saya harap orang ramai tidak mudah terpedaya, jangan terikut-ikut. Azmin kalau kita lihat seperti tidak mempercayai mahkamah dan beliau sepatutnya membela rakyat Malaysia yang didapati bersalah.

"Nampak sangat tujuan mereka nak menimbulkan huru-hara dalam negara tak masuk akal," katanya apabila ditanya mengenai perhimpunan secara berterusan akan diadakan sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah atas kesalahan liwat.

Azmin berkata Pakatan Rakyat akan mengumpulkan seramai 100,00 orang pada Isnin depan untuk memberikan sokongan kepada Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang akan mengumumkan keputusan salah laku liwat.

Beliau berkata pakatan pembangkang bersetuju untuk menggerakkan dan berkumpul di Kompleks Mahkaham Jalan Duta walaupun polis telah mengeluarkan arahan keras untuk tidak mengadakan perhimpunan semasa keputusan diumumkan yang telah mengambil masa dua tahun.

Anwar dituduh melibat bekas pembantunya, dakwaan yang mana beliau telah menafikan sekeras-kerasnya, selain mengatakan ia adalah agenda untuk memusnahkan karier politiknya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mendengar hujah penutup dari 8 Disember hingga 15 Disember dan akan mengumumkan keputusan pada Isnin ini.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/perkasa-gesa-polis-tahan-azmin-halang-perhimpunan-haram-di-mahkamah/

Tiada ulasan: