Isnin, 12 Disember 2011

Tempayan Retak

Tempayan Retak


PR gesa mansuh Tol Batu Tiga

Posted: 11 Dec 2011 03:04 PM PST

Oleh : RISWANDI RAZAK

SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) mendesak Kerajaan Pusat agar tidak melanjutkan perjanjian konsesi tol yang melibatkan Plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan yang bakal berakhir tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menggesa dua plaza tol di kawasan terbabit dimansuhkan kerana telah memberi beban kewangan dan masalah kesesakan lalu lintas kepada penduduk sekitar.

Menurutnya, Pakatan Rakyat (PR) pastinya akan menamatkan kontrak konsesi yang kini masih di bawah seliaan Plus Expressway Berhad, sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
"Semua orang sudah tahu bahawa konsesi sudah hampir tamat, kita desak kerajaan menamatkannya kerana amat jelas ianya memberi kesan negatif kepada penduduk di kawasan ini.

"Kita dapati orang ramai terpaksa merempuh kesesakan lalu lintas hanya untuk membayar tol ini dan bukannya mendapat kebaikan ketika lalui lebuh raya ini," katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, kesesakan yang berlaku di lebuhraya ini adalah tidak munasabah kerana jumlah kenderaan yang melalui plaza tol adalah tinggi.

"Pada mulanya plaza tol ini dibina untuk memberi kelancaran kepada pengguna lebuhraya, namun kini keadaan sebaliknya yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Rodziah Ismail menggesa, Kerajaan Pusat mempertimbangkan beban yang terpaksa dipikul oleh warga Shah Alam.

Menurutnya, langkah ini wajar kerana Lebuhraya Persekutuan telah mendapat keuntungan yang berlipat ganda sejak mula beroperasi pada 1974 lagi.

"Penduduk di sekitar Shah Alam dan Klang terpaksa membayar sebanyak RM4.20 untuk berulang alik dari kediaman mereka sekiranya bekerja di ibu kota," katanya.

Berhubung isu pemberhentian kakitangan yang bakal ditimbulkan kelak, Khalid menegaskan sepatutnya pihak konsesi sudah menyediakan pelan perancangan untuk kakitangan.

"Perkara itu sepatutnya difikirkan lebih awal kerana memandangkan benda ini perjanjian konsesi tidak akan berterusan.

"Mesti ada pakej perancangan untuk kakitangan dan syarikat konsesi mesti melatih kakitangan sebagai persediaan mereka untuk berhenti.

Beliau menambah, satu jawatankuasa akan dibentuk bagi menggerakkan kempen untuk menuntut tol ini ditamatkan secepat mungkin.

Lebuhraya Persekutuan adalah sebuah lebuh raya dalam negara yang menghubungkan bandar raya Kuala Lumpur Petaling Jaya, Shah Alam dan bandar Klang.

Lebuhraya ini pada asalnya adalah lebuh raya 4 lorong kecuali di bahagian Petaling Jaya di mana lebuh raya ini menjadi 6 lorong.

Pada tahun 1992, Plus Expressway Berhad, yang juga pemegang konsesi Lebuhraya Utara Selatan telah menaiktaraf keseluruhan lebuh raya ini kepada enam lorong.

- Sinar Harian

Undi muda: BN dahului Pakatan Rakyat

Posted: 11 Dec 2011 03:02 PM PST

Oleh : MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

KOTA BHARU - Menjelang Pilihan Raya Umum 13 (PRU13), Barisan Nasional (BN) dikatakan mendahului Pakatan Rakyat (PR) sekurang-kurangnya tiga peratus untuk mendapatkan soko­ngan golongan muda.
Pengasas Zentrum Future Studies, Prof Madya Dr Abu Hassan berkata, angka itu boleh berubah menjelang pilihan raya kerana golongan muda peka kepada perubahan dan isu semasa.
"Jumlah kaum muda dalam demografi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sehingga 68 peratus, bermakna kaum muda Cina secara total daripada 88 hingga 92 peratus menyokong Pakatan," katanya dalam wacana perdana PRU13 di Kota Bharu, malam kelmarin.
Antara panel wacana tersebut, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat dan Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution.
Abu Hassan berkata, sebahagian besar sokongan golongan muda PR diraih dari kalangan anak muda golongan Cina manakala mengikut gender dan umur dianggarkan kaum itu menyokong gabu­ngan berkenaan pada kadar 82 hingga 88 peratus.
Bagi pengundi Melayu pula, beliau berkata ia kekal pada kadar 22 hingga 28 peratus, untuk memberi kelebihan soko­ngan tiga hingga lima peratus kepada BN.
Moderator program berkenaan, Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut memberikan panda­ngannya bahawa 60 peratus daripada kira-kira tujuh juta pengundi muda hanya akan membentuk sikap terhadap kepada isu tersebut dalam undian mereka pada saat terakhir.
Sementara itu, Saifuddin yang juga ahli Parlimen Machang berkata, PKR terbuka dalam menerima kajian yang dibuat walaupun tidak berpihak kepada parti tersebut.
"Kita tidak amalkan sindrom pena­fian, saya membaca semua kajian lain yang disifatkan baik dan positif untuk membuat persiapan dalam menghadapi pilihan raya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mo­hammad Agus tidak berhasrat untuk bertanding pada PRU13, biarpun ditawarkan untuk menjadi calon oleh sebuah parti.

Tiada ulasan: