Nuffnang

Pengikut

SIASAH

sumber :-

SIASAH


Bahasa, sekolah kebangsaan teras nasionalisme

Posted: 19 Dec 2011 08:12 PM PST

Oleh ARIF ATAN

Ada pihak menganggap semangat kebangsaan atau nasionalisme adalah 'asabiyyah sehinggga dilabelkan bercanggah dengan Islam kerana dikaitkan dengan asal-usul dari dunia Barat.

Namun, salah faham ini sudah dijelaskan oleh Dr Burhanuddin Helmy yang pernah memegang jawatan presiden PAS pada 25 Disember 1956.

Dalam bukunya, Falsafah Kebangsaan Melayu (1954) beliau menegaskan bahawa fahaman kebangsaan Melayu yang dianjurkannya bukan bersifat perkauman, fanatik atau 'asabiyyah jahiliyyah yang sempit tetapi bertujuan untuk "memelihara dan menghidupkan hak kebangsaan Melayu bertaraf duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa atau kebangsaan yang lain di dunia ini."

Justeru, dalam realiti sosial Malaysia pada dekad pertama kurun ke-21 ini, kedudukan nasionalisme perlu jelas difahami baik di pihak parti politik Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR).

Bezanya, hari ini lebih tepat lagi bermula sejak orang bukan Melayu memperoleh taraf kerakyatan warganegara ini menjelang kemerdekaan lalu bukan lagi nasionalisme Melayu seperti yang pernah diperkatakan oleh Burhanuddin sebaliknya nasionalisme Malaysia.

Ini selari dengan kenyataan Rustam A Sani dalam bukunya, Ke Mana Nasionalisme Melayu? bahawa realiti politik pasca-kolonial telah menyebabkan nasionalisme Melayu berubah namun diteruskan dalam kerangka negara-bangsa Malaysia.

Persoalannya, adakah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak di bawah "mantera" 1 Malaysia (sepatutnya disebut "satu" bukan "one" seperti yang lazim disebut orang) telah berusaha mencapai nasionalisme Malaysia yang tetap tidak menafikan asas-asas kenegaraan dan nasionalisme yang berteraskan Melayu?

Dari segi keutamaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang bermaruah di negara ini, kita dapat saksikan taraf bahasa milik semua rakyat Malaysia ini bagai disepak tidak dipeduli. Padahal, sentimen bernegara satu seperti yang diteriakkan dalam 1 Malaysia itu mestilah bersandarkan Satu Bahasa (boleh ditulis 1 Bahasa?) kerana bahasalah alat utama pengukuhan semangat nasionalisme mana-mana negara bangsa di dunia ini.

Najib sendiri dan sebahagian pemimpin dalam BN termasuklah sebahagian pemimpin PR terutama dari DAP seperti berasa hina diri (inferiority complex) untuk berucap dalam bahasa Melayu di majlis rasmi atau memberi maklum balas terhadap temuramah bersama pihak media.

Selanjutnya gejala bapak borek anak rintik pun berlanjutan dalam segenap bidang hidup bernegara. Bahasa kebangsaan bukan bahasa ilmu di peringkat pengajian tinggi dan bahasa utama dalam majlis atau acara rasmi jabatan/agensi kerajaan.

Pihak berkuasa tempatan pun kini sudah tidak kisah meluluskan sahaja penamaan kawasan pembangunan atau taman perumahan dengan nama asing hinggalah kepada tindakan zalim terhadap bahasa kebangsaan dalam penerbitan iklan termasuk dari Petronas sendiri; fi'il bercakap yang celaru di kalangan artis tempatan; lambakan program tv dalam pelbagai bahasa asing yang tidak dialihsuarakan seperti amalan lazim negara luar; tulisan bahasa Melayu yang kecil saiznya dan kabur pada papan-papan iklan serta pengumuman nombor giliran atau pilihan bahasa pada mesin ATM di sebahagian bank dan banyak lagi.

Justeru, penekanan terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa perhubungan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan perlu benar diberi tumpuan jika kita tidak mahu nasionalisme rakyat Malaysia terus rebah menyembah bumi.

Dalam masa sama, unsur-unsur simbolis nasionalisme sebagai ciri asasi negara Malaysia perlu diuar-uarkan. Persekitaran harus dijana membangkitkan rasa kebersamaan antara rakyat tanpa mengira warna kulit melalui ikatan bahasa kebangsaan tadi.

Sistem pendidikan Malaysia terutamanya tidaklah boleh dibanggakan selagi tidak wujud sekolah satu aliran. Ironi sekali dalam kita bersungguh-sungguh melaung 1 Malaysia tetapi di sini jugalah ada "jenis-jenis" sekolah kebangsaan mengikut kaum!

Apa semua ini!? Iltizam politik sama ada dari BN mahupun PR mesti tegas dalam hal ini kerana kewujudan pelbagai aliran sekolah hanya akan mudah dieksploitasi untuk kepentingan politik yang berkiblatkan republik China dan negara India.

Tidak mustahil PR jika diizinkan Tuhan memerintah Malaysia kelak akan berdepan dilema sama seperti BN hari ini yang terpaksa mengikut sahaja kehendak sekolah vernakular atas kepentingan politik kepartian.

Jelas, aspek bahasa kebangsaan dan sekolah kebangsaan adalah dua alat utama mengukuhkan rasa nasionalisme yang patut dimulakan sekarang sebelum sembilan tahun lagi tibanya sasaran taraf Malaysia maju menjelang tahun 2020.

Arif Atan ialah pemerhati politik yang memberi tumpuan khusus pada isu Melayu. Artikel ini pertama kali disiar pada Julai 2010.

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT