sesemut emas ™ |
Amalan-amalan Sunat Yang Dianjurkan Semasa Gerhana Matahari Dan Bulan Posted: 10 Dec 2011 01:35 AM PST Menerusi sekian banyak hadith berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah: 1. Solat dan berdoa: Rasulullah S.A.W bersabda: "Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi." 2. Berzikir dan beristighfar: Daripada Abu Musa R.A, beliau berkata: "Tatkala terjadi gerhana matahari di masa Rasulullah S.A.W, Baginda bangkit terkejut, takut terjadi kiamat sampai Baginda menuju ke masjid. Baginda melakukan solat dengan rukuk dan sujud yang lama sekali. Tidak pernah aku melihatnya melakukan solat seperti itu. Kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya ini adalah tanda-tanda kebesaran yang dikirimkan Allah, gerhana ini terjadi bukan kerana kematian atau kelahiran seseorang, tetapi Allah yang mengirimkannya untuk menakut-nakutkan hamba-hambaNya. Oleh sebab itu, apabila kamu melihatnya, maka bersegeralah ingat kepadaNya, berdoa dan mohon keampunanNya." - Hadith Riwayat Muslim. 3. Berlindung daripada azab kubur: Daripada Aisyah R.A, beliau berkata: "Setelah Nabi S.A.W selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda S.A.W memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur." 4. Bersedekah: Sabda Rasulullah S.A.W: "Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah." 5. Memerdekakan hamba: Daripada Asma' R.A, beliau berkata: "Sesungguhnya Nabi S.A.W menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. Dalam satu riwayat: 'Gerhana bulan'." Inilah sunnah Baginda S.A.W ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari. Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita S.A.W kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat. Hadith-hadith lain yang berkaitan dengan gerhana bulan dan matahari: Daripada Abu Masud Al-Anshari R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya, matahari dan bulan itu, kedua-duanya adalah sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Allah. Tidaklah terjadi gerhana kerana matinya seseorang dan tidak pula kerana lahirnya. Apabila kamu telah menyaksikannya, maka berdoalah kepada Allah dan solatlah kamu hingga cuaca terang kembali." - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim. Daripada Abdullah bin Amru R.A, beliau berkata: "Tatkala gerhana matahari terjadi di masa Rasulullah S.A.W, (manusia) diseru dengan seruan: "As-solatu jami'atan" (marilah solat berjamaah). Rasulullah S.A.W melakukan dua kali rukuk dalam satu rakaat. Kemudian berdiri dan melakukan dua kali rukuk dalam satu rakaat (yang terakhir). Kemudian matahari nampak kembali." - Hadith Riwayat Muslim. Daripada Abdullah bin Umar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan tidak terjadi gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang, tetapi keduanya termasuk tanda kebesaran Allah. Maka jika kamu melihat gerhana, kerjakanlah solat." - Hadith Riwayat Muslim. Daripada Mughirah bin Syu'bah R.A, beliau berkata: Pada masa Rasulullah S.A.W pernah terjadi gerhana matahari pada hari kematian Ibrahim. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidak gerhana disebabkan kematian atau kelahiran seseorang. Oleh sebab itu, apabila kamu melihatnya, maka berdoalah kepada Allah dan tunaikan solat hingga matahari nampak kembali." - Hadith Riwayat Muslim. -ibnumustafa- |
You are subscribed to email updates from sesemut emas ™ To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan