Pahang Daily Online |
- Panas: ADUN PAS Menyokong Dasar Kerajaan BN Serta Ucapkan Terima Kasih Kepada MB Dan PM !
- Zaid Ibrahim Saman Fitnah RM30 Juta Terhadap Penulis, Pengarang Dan Penerbit 'Buletin Rakyat'
- NGO "Asalkan Bukan UMNO" (ABU) Di Tubuhkan Ekoran "Kegagalan Parti Itu Memimpin" Malaysia
- Edisi Pahang: 'Cadangan Pembinaan' Projek Jalan Sungai Lembing Ke Jerantut Akan Jadi Kenyataan
Panas: ADUN PAS Menyokong Dasar Kerajaan BN Serta Ucapkan Terima Kasih Kepada MB Dan PM ! Posted: 09 Dec 2011 05:17 AM PST KUANTAN, 9 Dis - Perbahasan mengenai pembentangan Bajet 2012 bagi Dewan Undangan Negeri Pahang diteruskan lagi semalam dimana wakil ADUN PAS Kuala Semantan turut diberi peluang untuk membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan bagi sesi kali ini. YB Syed Hamid Syed Muhamad (foto) didalam perbahasannya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri khususnya kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana telah membentangkan bajet berimbang pada tahun ini. Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai pembangunan sukan dan menyeru agar pihak Kerajaan menumpukan usaha bagi membantu menaikkan mutu sukan diperingkat Negeri. Kata beliau, sukan juga mampu membantu menaikkan nama baik Negeri selain memberi manfaat kepada atlet Negeri secara tidak langsung. Beliau juga turut menyentuh mengenai prestasi pasukan Bolasepak Negeri yang dilihat semakin hari semakin merudum sejak kebelakangan ini. Dalam aspek ekonomi, YB Syed Hamid turut mencadangkan agar Negeri Pahang gigih mengusahakan sektor penternakan Lembu dan menjadi contoh kepada negeri - negeri lain. "Pahang mampu menjadi contoh dan menjadi pembekal daging lembu yang baik kepada seluruh Negara. Sektor ini juga boleh membantu rakyat dalam meningkatkan ekonomi mereka dan pihak veterina boleh turut serta membantu," katanya. Dalam sesi perbahasan itu juga, ADUN terbabit turut merakamkan ucapan terima kasih bagi pihak PAS Temerloh kepada Perdana Menteri atas keprihatinan yang telah diberikan. Panas, ADUN Semantan sering dilihat muncul dalam program anjuran UMNO dan dikatakan terlibat dengan projek kontroveri kilang Lynas [Sebenarnya sudah agak lama ramai yang terkejut dengan beberapa kenyataan oleh ADUN PAS Kuala Semantan ini sebenarnya. Beliau sepatutnya berusaha untuk menyakinkan rakyat supaya menyokong perjuangan pembangkang, namun banyak kenyataan beliau dilihat lebih menyokong apa yang dilakukan oleh UMNO BN. Malah, ketika di Dewan Undangan Negeri juga beliau dilihat lebih selesa bersama ADUN BN dalam menyokong banyak dasar kerajaan itu sendiri. Sebagai pembangkang, beliau sepatutnya lebih peka dengan hal sebegini. Jika, tidak tidak perlu beliau menjadi pembangkang. Maka itulah kita tidak hairan bila MB Pahang mengaitkan nama beliau dengan projek kontroversi yang dibantah rakyat iaitu kilang memproses rare earth milik Lynas Corporation di Gebeng Kuantan. Malah, ramai pemimpin dan ahli PAS sendiri yang kecewa dengan sikap beliau selama ini. Lihat di SINI, bagaimana orang PAS sendiri sudah tidak yakin dengan beliau sejak akhir-akhir ini. Malah, ramai yang mahu PAS Pahang memberi laluan kepada orang baru untuk bertanding di DUN itu pada Pilihanraya Umum Ke-13 ini nanti. Jika tidak, kemungkinan besar DUN terbabit akan dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN) kali ini]. |
Zaid Ibrahim Saman Fitnah RM30 Juta Terhadap Penulis, Pengarang Dan Penerbit 'Buletin Rakyat' Posted: 09 Dec 2011 04:55 AM PST KUALA LUMPUR, 9 Dis - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim (foto) memfailkan saman fitnah berjumlah RM30 juta terhadap seorang penulis, pengarang dan penerbit akhbar Buletin Rakyat berhubung penerbitan satu artikel. Zaid, yang kini Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), memfailkan saman itu menerusi Tetuan Bashir & Co pada 21 Nov lalu di Mahkamah Tinggi di sini. Beliau menamakan penulis artikel Mohd. Sayuti Omar, Pengarang Akhbar Norzah Kepol dan penerbit yang juga pemilik akhbar itu, Kantung Network Sdn. Bhd., sebagai defendan pertama hingga ketiga. Dalam pernyataan tuntutannya, Zaid mendakwa penerbitan artikel bertajuk "Zaid Terus Hanyut Dalam Keegoannya" telah memfitnah dan membawa maksud bahawa beliau memiliki moral politik yang rendah, seorang yang ego, bersikap autokratik, menggunakan kekayaan untuk memaksa orang tunduk kepadanya dan tidak memiliki ketinggian budi pekerti. Zaid menuntut satu perintah menghalang kesemua defendan daripada menerbitkan kata-kata fitnah berkenaan di dalam akhbar dan internet, satu perintah supaya defendan mengambil langkah tarik balik atau memadam kata-kata fitnah itu dan defendan perlu terbitkan atau menyiarkan permohonan maaf diakhbar itu secara berterusan selama dua bulan atau tempoh yang dianggap wajar oleh pihak mahkamah. [Gara-gara tindakan Datuk Zaid Ibrahim keluar dari PKR selepas meninggalkan UMNO, maka beliau akhirnya diserang bertalu-talu dari berbagai arah oleh pemimpin parti itu. Semuanya gara-gara mahu menunjukkan kononnya Zaid itu pengkhianat. Sedangkan umum mengetahui, bahawa tindakan Zaid tinggalkan PKR kerana prinsip perjuangannya apabila melihat sistem pemilihan yang dilakukan oleh parti itu jelas bercelaru dan menyelewengan. Malah, hingga kini isu itu masih belum diselesaikan secara profesional oleh kepimpinan parti sebenarnya. Jika dilihat dari segi sejarah, tidak ada mana-mana menteri kabinet di Malaysia yang sanggup letak jawatan ketika berkuasa. Anwar kembali kepada rakyat selepas ditendang oleh Mahathir, Chua Jui Meng kembali kepada rakyat selepas dipinggirkan dari MCA, Dato' Fauzi Abd Rahman kembali kepada rakyat selepas dipancas oleh UMNO. Malah ramai lagi yang keluar UMNO ketika mereka sudah terbuang, teraniaya dan terpinggir. Jika tidak, mungkin mereka masih berada dalam parti itu. Namun, Zaid dilihat lebih berprinsip kerana beliau sanggup tinggalkan UMNo dan jawatannya ketika masih berkuasa, gara-gara membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Justeru itu, tidak wajar ada pihak yang terus menyerang beliau hanya kerana persepsi semata-mata. Lantaran itu, tindakan saman adalah jalan terbaik yang wajar dia lakukan demi maruah dan harga diri]. |
NGO "Asalkan Bukan UMNO" (ABU) Di Tubuhkan Ekoran "Kegagalan Parti Itu Memimpin" Malaysia Posted: 09 Dec 2011 04:20 AM PST KUALA LUMPUR, 9 Dis - Ekoran kegagalan UMNO memimpin Malaysia selama lebih 50 tahun, satu pergerakan dikenali sebagai Asalkan Bukan UMNO (ABU) telah ditubuhkan untuk mengkuburkan UMNO dari terus mencengkam Malaysia. Menurut Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (foto) kempen Gerakan Rakyat Membebaskan Malaysia Dari Cengkaman UMNO BN diadakan serentak diseluruh Semenanjung tepat jam 3.30 petang tadi kecuali di Pulau Pinang dan Terengganu yang diadakan pada waktu yang berbeza. "ABU akan melancarkan kempen ke seluruh Negara untuk menyeru rakyat supaya berani menyatakan pendirian jijik dan perasaan meluat mereka terhadap penyelewengan dan rasuah yang UMNO BN amalkan, lantas dengan tidak teragak-agak menolak UMNO BN. "Kesan yang kini dirasai rakyat ialah kenaikan harga barang yang melampau. 80 peratus rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung beban kos sara hidup yang semakin tinggi. Sedangkan pemimpin-pemimpin UMNO BN dan kroninya hidup mewah sekali," katanya. Selain itu katanya pelbagai penyelewengan dan salah laku pemimpin umno seperti amalan rasuah, kronisme, pemborosan serta dasar perkauman tegar parti tersebut perlu dilenyapkan dari terus bertapak di negara ini. Gerakan ini dipelopori gabungan beberapa NGO yang terdiri dari organisasi massa termasuk Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta kumpulan mahasiswa KAMI. Presiden MCLM, Haris Ibrahim dalam kenyataannya menyebut usaha menyedarkan masyarakat telah giat dijalankan dalam setahun ini bagi menyampaikan berita sebenar kepada rakyat. "Usaha ABU adalah untuk membawa kebenaran supaya rakyat sedar tentang apa yang telah dilakukan UMNO BN untuk rakyat dan juga kroni-kroni mereka sehingga negara ini hampir bankrap," ujar Haris. [Sementara itu, satu forum besar-besaran akan diadakan di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, Gombak pada 15 Disember ini. Satu pengumuman penting yang akan merubah situasi politik di negara Malaysia bakal dibuat pada hari tersebut. Di Kuantan, majlis pelancaran telah diadakan di Pejabat Pusat Khidmat PKR DUN Semambu, Jalan Haji Ahmad. Dengan pelancaran kempen besar-besaran ini nampaknya ia menjadi satu lagi masalah buat UMNO BN sebenarnya. Tambahan pula mutakhir ini sokongan golongan muda terhadap parti itu semakin hari semakin merudum. Malah dijangkakan, pada pilihanraya umum akan datang BN bakal berhadapan dengan laluan yang cukup sukar jika mereka mahu mendapat sokongan pengundi muda kali ini. BN hanya dapat pertahankan undi "saluran 1" yang mana, pengundi dalam saluran ini semakin hari semakin berkurangan akibat dek faktor usia dan sebagainya]. |
Edisi Pahang: 'Cadangan Pembinaan' Projek Jalan Sungai Lembing Ke Jerantut Akan Jadi Kenyataan Posted: 08 Dec 2011 08:08 PM PST KUANTAN, 9 Dis - Cadangan pembinaan Jalan Sungai Lembing-Jerantut dijangka dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di kedua-dua kawasan tersebut yang kini telah DILULUSKAN oleh Kementerian Luar Bandar. Ini kerana kedua-dua kawasan itu mempunyai tarikan tersendiri iaitu Sungai Lembing terkenal dengan bekas lombong bijih timah terbesar dunia manakala Jerantut popular dengan Taman Negara di Kuala Tahan. Cadangan pembinaan jalan yang dikemukakan sejak tahun 1985 itu bukan sahaja dapat menjimat masa dan kos tetapi meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke negeri ini. Dengan pembinaan jalan itu, pelancong hanya mengambil masa kira-kira 40 minit berbanding tiga jam pada masa ini. Sepanjang jalan antara Jalan Sungai Lembing-Jerantut, pelancong akan melalui kawasan peranginan yang terdapat lebih 20 air terjun dan sungai yang menarik dan ada antaranya masih belum diteroka. Kerajaan telah memasukkan projek Jalan Sungai Lembing-Jerantut dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) Selain merancakkan sektor pelancongan, projek tersebut dijangka mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang pesat di sepanjang jalan tersebut iaitu di Sungai Lembing, Lepar Utara dan Jerantut Feri. Projek yang dijangka menelan kos sebanyak RM300 juta ini mendatangkan banyak manfaat kepada penduduk di sekitarnya dan negeri. Dalam pembinaan projek jalan tersebut, kerajaan negeri perlu memberi perhatian kepada kawasan bukit dan gunung terutama kawasan tadahan air bagi mengelak sebarang bentuk penerokaan kerana akan memberi kesan ke atas alam sekitar. Dengan terbinanya projek jalan Sungai Lembing-Jerantut itu nanti ini bermakna orang Ipoh boleh terus ke Kuantan nanti tanpa lalu Karak highway. Ipoh-Cameron Highlands-Sungai Koyan-Lipis-Jerantut-Sungai Lembing-Kuantan dan kalaulah jalan Ulu Tembeling-Terengganu boleh dilaksanakan,orang Terengganu boleh ke Kuala Lumpur tanpa lalu Kuantan dan jika ada jalan Ulu Cheka-Bentong, lagilah mudah hubungkan Dungun-Jerantut-Ulu Cheka-Bentong-Kuala Lumpur. [Dengan terwujudnya jalan baru dari Sungai Lembing ke Jerantut, ia dijangka akan meningkatkan pembangunan di kawasan terbabit. Amatlah diharapkan agar projek tersebut dapat dipercepatkan demi kemudahan rakyat. Jika ia terlaksana kelak, turut akan mendapat impak yang besar ialah industri pelancongan eco-tourism di kawasan terbabit terutamanya di Taman Negara dan sebagainya. Sepatutnya, sudah lama projek ini dilaksanakan jika kerajaan mahukannya. Namun, mungkin akibat dana yang tidak mencukupi maka ia senantiasa gagal untuk direalisasikan. Kini, rakyat di kawasan berkenaan tertunggu-tunggu, bilakah projek ini akan dimulakan. Mereka amat mengharapkan pembangunan tersebut untuk memacu ekonomi masing-masing terutamanya bagi mereka yang menjalankan urusan perniagaan. Pembangunan sebegini memang sudah lama ditagih oleh rakyat, namun ia sukar untuk menjadi kenyataan. Diharapkan semua projek ini akan dapat terlaksana jua akhirnya]. Sumber |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online (PDO) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan