Rabu, 21 Disember 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Ulasan Teekini SU Akhbar TG Nik Aziz Berhubung Laporan Akhbar The Star

Posted: 21 Dec 2011 03:25 AM PST

Merujuk kepada laporan muka hadapan The Star hari ini yang memetik bahawa pendirian Dato Dr Hassan Ali disokong oleh YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am, sukalah dinyatakan bahawa YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am PAS tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan samada menyokong atau tidak pendirian Dato Dr Hassan Ali. Kenyataan terakhir YAB Tuan Guru dalam isu Dato Dr Hassan Ali ialah menyerahkan isu ini untuk dikendalikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor dan seterusnya pimpinan PAS peringkat pusat. Justeru, tidak timbul isu YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am PAS menyokong pendirian terkini Dato Dr Hassan Ali.

Sukacita dimaklumkan bahawa YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am PAS masih berehat di dalam wad selepas dimasukkan ke sana pada hari Isnin, 19 Disember 2011. Keadaan beliau stabil dan insya-allah akan dibenarkan keluar sedikit masa lagi.

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT BERHUBUNG PENDIRIAN DATO DR MOHD. HASSAN ALI MEMPERTIKAIKAN PERJUANGAN PAS DAN MISI NEGARA BERKEBAJIKAN PAS

Posted: 20 Dec 2011 10:56 PM PST

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENERANGAN DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

BERHUBUNG PENDIRIAN DATO DR MOHD. HASSAN ALI MEMPERTIKAIKAN
PERJUANGAN PAS DAN MISI NEGARA BERKEBAJIKAN PAS

Sepertimana pendirian Dewan Muslimat ketika membahas Ucapan Dasar Presiden PAS di Muktamar Tahunan PAS pada bulan Jun 2011 yang lepas yang bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan", Dewan Muslimat untuk sekian kalinya konsistan mengucapkan terima kasih, syabas dan tahniah kepada YB. Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Hj. Awang, Presiden PAS kerana telah mengangkat suatu tema yang kami sifatkan sebagai telah pun memenuhi ciri-ciri kesyumulan Islam hatta upaya menggambarkan betapa Islam itu Rahmat kepada sekalian alam.

Ucapan terima kasih, tahniah dan syabas ini juga kami panjangkan kepada seluruh Kepimpinan PAS Pusat dan para Perwakilan Muktamar Tahunan PAS yang telah sebulat suara menerima Ucapan Dasar Presiden PAS ketika itu iaitu "Membangun Negara Berkebajikan". Ini adalah suatu keputusan paling sah, legitimate dan digarap melalui semangat syura kaum Muslimin (orang-orang Islam) yang menjadi anggota Gerakan Islam, PAS.
Sehubungan dengan itu, Dewan Muslimat menyelar tindakan Dato' Dr Mohd Hassan Ali, mantan Naib Presiden PAS yang kini juga merupakan AJK PAS Pusat atas tindakan mempersoalkan "Negara Berkebajikan" PAS seterusnya beliau juga menuduh bahawa PAS telah terkeluar daripada landasan perjuangannya. Pendirian sebegini sesungguhnya adalah pendirian UMNO yang senantiasa mahu memburukkan dan melemahkan PAS khususnya di mata orang-orang Melayu.

Persoalan kami, apakah nawaitu Dato' Dr Hassan Ali ketika bercakap mengikut rentak musuh-musuh politik PAS? Begitu juga bila beliau "memainkan" isu 3R – Religion, Race and Royal (Agama, Bangsa Dan Raja) yang umum juga tahu ini adalah strategi dan senjata UMNO untuk terus mendapatkan "sokongan hayat" daripada para simpatisan dan chauvanis Melayu?!

Dewan Muslimat berpendirian "Mempertikaikan Negara Berkebajikan bermaksud juga mempertikaikan dan tidak menghormati Presiden dan Perwakilan Muktamar Tahunan PAS yang sebulat suara menerima Ucapan Dasar Presiden."

Muslimat PAS menyifatkan tindakan terbaru Dato Hassan Ali melalui pendirian kenyataan medianya kelmarin (20 Disember 2011), "completely" mempertikaikan PAS, Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Perwakilan Muktamar Tahunan PAS 2011.

Satu Malaysia telah menyaksikan tindakan ini kerana telahpun disiarkan oleh TV3 melalui slot Buletin Utama.

Justeru, Dewan Muslimat menyarankan agar Tindakan Tatatertib yang tegas mesti diambil oleh PAS ke atas beliau agar tindakan seumpama ini tidak menjadi budaya dan ikutan. PAS wajar memperkasakan keperluan Disiplin di dalam parti kerana PAS bukan sahaja dilihat sebagai parti politik biasa sifatnya tetapi juga sebagai sebuah Gerakan Islam yang diterima di peringkat dunia; hatta dihormati kawan dan lawan. Ini juga yang kami fahami sejak muda remaja dalam asuhan dan tarbiyyah PAS. Ini kekuatan yang telah menghimpunkan generasi muda yang cintakan Islam untuk hadir berjuang dan memperjuangkan Islam bersama PAS.

Sehubungan dengan itu juga, Dewan Muslimat menyeru kepada semua anggota Gerakan Islam – PAS di semua peringkat baik "Qiadah" (Pimpinan) mahupun "Jundiyyah" (Pengikut/Pelaksana) agar memahami dan menjiwai peruntukan dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2011), Fasal 82 (1) (g).

Dewan Muslimat juga menyelar percubaan dangkal dan nakal pihak-pihak tertentu yang berterusan memfitnah PAS dan kepimpinan PAS bahawa kononnya telah menjadi kuda tunggangan DAP dan seumpamanya.

Sebenarnya, jika diteliti ini lah nada dan ungkapan versi UMNO kini. Malangnya kedapatan juga "dilagukan" oleh segelintir pimpinan dan ahli PAS yang kami sifatkan berada dalam dua situasi : 1. Bijak tapi bermasalah, 2. Dungu dan gelap hati.

PAS adalah parti paling "senior" dalam lanskap politik Malaysia kini. Keanggotaan PAS pula adalah daripada pelbagai peringkat latar belakang pendidikan, sosial dan usia. Pemimpin dan ahli boleh datang dan pergi tetapi Islam yang mendasari perjuangan PAS dan kekuatan "infrastruktur organisasi" di dalam PAS itu insyaAllah semakin teguh dan utuh. Gagal memahami sejarah dan "nilai-nilai" perjuangan PAS akan menatijahkan tindakan dan suara yang sumbang sekalipun individu itu galak melaungkan mereka mahu kembalikan PAS ke landasan asal kerana kononnya telah tersasar!

Perangai seumpama ini telah kita lihat berulang kali dalam sejarah perjuangan PAS tetapi insyaAllah PAS semakin kuat kerana yang memelihara Gerakan Islam PAS ini sesungguhnya adalah Allah Azza Wajalla.

Hakikat yang mesti kita semua sedari ialah Allah sedang merancang suatu yang lebih baik untuk PAS agar upaya merealisasikan Islam Rahmat Kepada Sekalian Alam. Dewan Muslimat berharap Pimpinan tertinggi akan mengambil langkah wajar seperti yang dicadangkan. Manakala Muslimat PAS menyeru semua anggota Gerakan Islam PAS agar Fokus menghadapi PRU13, Perkemaskan Gerakan Dan lets MOVE FORWARD TO PUTRAJAYA. InsyaAllah, tanda-tanda Kemenangan semakin terserlah.

Buat anak-anak muda yang kami kasihi, contohi dan susuri strategi kemenangan Sultan Muhammad Al Fateh ketika menawan Kota Constantinople, bukannya keliru dan dikelirukan oleh pemikiran dan pendirian Dato' Dr Mohd. Hassan Ali !



Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
t.t
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan

21 Disember 2011, Kuala Lumpur .

WADAH: Pendirian Terhadap Isu Qazaf dan Tuduhan Qazaf dan Zina DSAI

Posted: 20 Dec 2011 09:44 PM PST


Kenyataan Media

WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH)

20 Disember 2011

PENDIRIAN
WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH)
TERHADAP ISU QAZAF DAN TUDUHAN LIWAT DAN ZINA TERHADAP DS ANWAR IBRAHIM

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah mengeluarkan Pernyataan Bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengenai isu yang sama dengan tajuk Pernyataan Sikap Terhadap Isu Jenayah Qazaf, pada 27 Mac 2011 (sila rujuk Kenyataan Media di www.wadah.org.my/).

Sebagai reaksi kepada beberapa persoalan yang berbangkit serta kekeliruan-kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat ekoran kenyataan-kenyataan beberapa orang mantan pimpinan ABIM mengenai isu tuduhan tuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim, maka WADAH ingin menegaskan kembali sikap dan pendirian yang telah diambil dengan merujuk kepada Pernyataan yang telah dibuat 27 Mac tersebut.

Pertama: Sikap dan pendirian mestilah berasaskan syari`at

"Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at? Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً…) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر)."

Kedua: Hukum qazaf (menuduh liwat dan zina) adalah berat hingga kerana itu hal-hal berkaitan dengannya diperincikan oleh syari`at.

"Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan."

Ketiga: Menyebarkan tuntutan yang benar berasaskan syari`at adalah amanah dan tanggungjawab agama.

"Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah.

Keempat: Menolak gejala fasik dan pertuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim.

"Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf. Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara` seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan.

Kelima: Menegaskan tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat berakhlak berdasarkan syari`at.

"Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(…هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah).

Keenam: Menasihati mereka yang terlibat dalam membuat jenayah qadhaf supaya kembali menginsafi ketelanjuran mereka dan merujuk kembali kepada amaran Allah.

"Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya: "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula) – Al-Nur:11" "Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. – Al-Nur:19".

Sehubungan dengan ini juga, WADAH ingin menegaskan bahawa sebarang kenyataan, pandangan atau pendapat yang dikeluarkan oleh Prof Dato' Dr Sidek Baba dan Dr Yusri Muhammad, termasuk yang berkaitan dengan isu ini, adalah tidak mewakili pandangan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Prof Dato' Dr Sidek Baba ialah seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah memegang beberapa jawatan dalam ABIM termasuk sebagai Naib Presiden. Dr Yusri Muhammad pernah memimpin ABIM sebagai Presiden. Beliau baru melepaskan jawatannya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini selaku Yang Di Pertua Yayasan Sofa, Negeri Sembilan.

Abdul Halim Ismail
Setiausaha Agung WADAH
23 Muharram 1433
19 Disember 2011

Apabila Agong dan Timbalannya adalah dari negeri PAS

Posted: 20 Dec 2011 06:46 PM PST

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

RIBUAN rakyat jelata berbaris di sepanjang jalan dari Istana Anak Bukit hinggalah ke Lapangan Terbang Kepala Batas. Rakyat Kedah sangat bangga untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Tuanku Sultan Kedah yang akan menaiki singgahsana takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong kali yang ke-14 pada usia 84 tahun.

Kebanggaan rakyat berganda kerana baginda akan ditabalkan buat kali kedua dalam sejarah kehidupannya. Kali pertama baginda memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ialah pada tahun 1970 hingga 1975.

Sebaik kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengambil alih Kedah pada 2008, negeri Jelapang Padi ini meraikan sambutan Jubli Emas pemerintahan baginda.

Semua upacara istiadat sambutan dikepalai oleh Menteri Besar daripada PAS. Kini, sewaktu baginda Sultan berangkat ke Istana Negara sebagai Yang di-Pertuan Agong pun Menteri Besarnya masih daripada PAS. Allah yang mengatur bahawa segala catatan gemilang baginda berlaku pada masa Pakatan Rakyat.

Tunku Abdul Halim adalah Sultan yang istimewa di mata rakyat, bukan hanya di Kedah tetapi di Malaysia. Baginda benarbenar seorang raja yang dilihat tidak mencampuri urusan politik rakyat.

Kerajaan negeri Perak yang dipilih secara sah oleh majoriti rakyat tetapi krisis politik yang berlaku sehingga tercetus ungkapan 'sembah derhaka' apabila keputusan Istana tidak disenangi oleh pihak yang digulingkan secara tidak demokratik. Ada peristiwa kontroversi di mana rakyat berbaring di atas jalan menghalang perjalanan Sultan ke istana.

Di Selangor satu demi kenyataan pihak istana 'berjaya' dimanipulasi oleh BN bagi menggambarkan bahawa dalam keadaan tertentu pihak istana dan kerajaan negeri macam tidak sebulu. Isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan beberapa tindakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor, menyerlahkan perbezaan tersebut.

Kelantan, suatu masa dahulu sewaktu Sultan yang ada kini belum menaiki takhta terdapat juga isu-isu tertentu yang boleh dimanipulasi oleh BN bagi menggambarkan kononnya pentadbiran kerajaan dan istana tidak sehaluan.

Di Kedah, kebijaksanaan sikap Tuanku Sultan menyebabkan tiada isu yang boleh digunakan oleh pihak pembangkang (BN) bagi mengeruhkan hubungan antara kerajaan dan istana. Kali pertama Ustaz Azizan diserang adalah isu yang berkaitan kononnya Menteri Besar itu menderhaka kerana menggunakan payung kuning istana, walhal payung kuning tersebut adalah milik sebuah syarikat minyak. Dikhabarkan apabila baginda dimaklumkan mengenai isu payung kuning tersebut, baginda hanya tersenyum.

Kali kedua, Pemuda Umno Kedah menghantar memorandum kepada Sultan Kedah kerana kononnya seorang Exco kerajaan negeri telah menderhaka kepada baginda dengan mengeluarkan kata-kata tidak sopan. Sumber maklumatnya hanyalah berdasarkan sehelai surat layang yang tidak diketahui siapa menulisnya. Ironinya, sejurus selepas Exco berkenaan diserang, beliau telah dianugerahkan gelaran Dato' oleh Tuanku Sultan.

Tidak pernah pemimpin PAS sewaktu jadi pembangkang menerima anugerah yang membawa gelaran Dato' melainkan berlaku pada Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang menerimanya sewaktu menjadi ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri. Hanya Sultan Kedah yang berjiwa besar yang bersedia memberi anugerah seumpama itu kepada individu pembangkang.

Bagi baginda semua rakyat Kedah adalah rakyat baginda juga yang tidak harus dibezakan kerana perbezaan politik parti yang memerintah.

Sewaktu sebahagian besar rakyat Malaysia terpengaruh dengan media BN yang mendakwa Ibrahim Libya dan rakan-rakannya adalah penjenayah, Tuanku Abdul Halim mencemar duli merenjis air mawar di makam 14 syuhada Memali. Jika tidak kerana krisis pindaan perlembagaan 1992 (di mana Umno telah membuang kuasa raja-raja) Sultan Kedah telah berangkat ke majlis ihtifal Madrasah Islahiah Diniah yang diasaskan oleh Ustaz Ibrahim Libya. Keberangkatannya ke madrasah tersebut seperti dijadualkan dibatalkan pada saat akhir.

Apabila Sultan Kedah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, timbalan baginda ialah Tengku Faris Petra iaitu Sultan bagi negeri Kelantan. Tengku Faris juga seorang yang sangat hebat di mata rakyat. Baginda boleh mengimamkan solat jemaah dan melakukan sembelihan korban dengan tangannya sendiri. Hampir tidak pernah dilihat seorang raja yang berketayap dan berjubah, melainkan Sultan Kelantan.

Kehadiran Tengku Faris di atas takhta turut dapat menamatkan cubaan BN untuk memanipulasi apa-apa isu berkaitan hubungan kerajaan negeri dan istana.

Apa yang lebih istimewa mengenai perencanaan Allah SWT di sebalik pelantikan Yang di- Pertuan Agong dan Timbalannya itu ialah baginda berdua adalah dari dua buah negeri yang ditadbir oleh PAS atau Pakatan Rakyat. Inilah kali pertama ia berlaku dalam sejarah Malaysia.

Sekarang satu Malaysia sedang bergelut dalam pertarungan terbesar politik yang bakal berlaku tahun hadapan, iaitu pilihan raya umum ke-13. Apakah kebetulan di sebalik pelantikan dua orang Sultan dari dua buah negeri di bawah pentadbiran PAS atau Pakatan itu memberi petunjuk bahawa calon daripada Pakatan Rakyat yang akan mengisi jawatan Perdana Menteri selepas PRU13 nanti? Hanya Allah yang Maha Mengetahui kerana Dialah yang merencanakan segalanya.

Tiada ulasan: