Rabu, 14 Disember 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kenapa Shahidan Begitu Gelabah? Muka Tak Malu!

Posted: 14 Dec 2011 07:25 AM PST

Akulah "winnable candidate" - Shahidan Kassim

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau adalah seorang "winnable candidate" iaitu calon boleh menang untuk Umno dan BN pada pilihan raya umum akan datang.


Bekas Menteri Besar Perlis itu yang juga ADUN Perlis kawasan Tambun Tulang berkata keyakinannya itu berdasarkan pandangan rakyat terutama di kawasan yang diwakilinya.

"Semua rakyat tahu. Kalau tidak ada hal saya tak akan keluar dari Perlis. Saya akan duduk dari pagi sampai ke malam di kawasan saya sahaja... jumpa rakyat dan sebagainya. Kalau macam itu bukan 'winnable candidate', apa makna sebenarnya?" katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk bertanding semula pada pilihan raya umum datang, Shahidan yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Arau, itu terserah kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.

Masalah rakyat

Dalam laman Facebook beliau, Shahidan turut mengulas mengenai calon boleh menang bagi semua kawasan di Perlis, dengan memberi penilaian iaitu baik, sederhana baik, buruk, terburuk kepada mereka.

"Ada sesetengah pihak mempersoalkan kenapa saya buat macam itu.

"Masalahnya rakyat dah bercakap (menilai) macam itu. Bukan kita yang buat penilaian tetapi rakyat yang membuat penilaian. Jadi saya bagi pandangan rakyat apa yang berlaku. Kita bercakap (mengenai winnable candidate) tapi tak ada ciri yang jelas," katanya.

Shahidan berkata bahawa dalam menyelesaikan masalah rakyat, seorang calon boleh menang tidak akan memberi alasan tidak ada peruntukan dan sebagainya, sebaliknya perlu berikhtiar dan berusaha termasuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

"Rakyat tak faham (soal peruntukan) itu. Kalau calon boleh menang, dia perlu berkorban. Tetapi pada masa yang sama hakikatnya ialah bukan semua masalah boleh diselesaikan serta merta oleh kerajaan," katanya.

Mengenai senario politik semasa, beliau berkata negara tidak akan kekal aman sekiranya kemenangan berpihak kepada minoriti yang mahu menguasai majoriti.

Mewakili nisbah

Katanya penduduk Malaysia merangkumi 67 peratus kaum Melayu dan bumiputera, 22 peratus Cina dan lapan peratus India, jadi kemenangan wakil rakyat mesti mewakili nisbah mengikut kaum untuk keharmonian negara.

"PAS tak akan jadi pemerintah sebab dia minoriti. Kalau nak jadi pemerintah pun DAP. Tapi kalau dia jadi pemerintah pun, bolehkah dia mewakili rakyat secara keseluruhan?" kata Shahidan.

Menyentuh politik di Perlis, beliau berkata Umno dan BN boleh mengekalkan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang dengan syarat parti dapat memperkukuhkan perpaduan anggota dan mempunyai jentera pilihan raya yang berkesan.

"Kita boleh menang dengan cemerlang dan boleh kalah dengan teruk. Isu dalaman kena diperbetulkan. Begitu juga dengan orang yang menyokong MCA. Tapi di peringkat akar umbi, jentera sudah bergerak di seluruh negeri," katanya.

Shahidan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri telah menunjukkan jalan terbaik dan memberi contoh kepada kepimpinan peringkat bawahan supaya bermula sekarang bagi memenangi hati rakyat.

"Siapa yang tak mahu ikut perubahan dia mesti diubah," katanya.

- Bernama

Harimau Muda tewas 0-1 kepada Central Coast Mariners

Posted: 14 Dec 2011 05:55 AM PST

KUALA LUMPUR, 14 Dis. – Skuad Harimau Muda bimbingan Ong Kim Swee tewas tipis 0-1 dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Australia, Central Coast Mariners di New South Wales hari ini.

Ia merupakan perlawanan persahabatan kedua dalam selepas mereka berjaya mencatatkan kemenangan 3-0 menentang Sydney FC semalam.

40 minit bersama MB Kelantan

Posted: 14 Dec 2011 03:56 AM PST

Mohd. Rizal bin Jaafar

Mencuri peluang untuk berjabat tangan atau bertemu muka dengan YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat bukanlah sesuatu yang mudah. Kepada mereka yang tinggal di Kota Bharu dan sering ke masjid, peluang itu mungkin besar sedikit; namun buat orang seperti saya yang tinggal di Kuala Lumpur dan hanya 'kadang-kadang' melawat masjid...barangkali sudah hampir mustahil.

Bukannya tidak pernah mencuba. Setiap kali datang ke Kelantan, saya akan ikhtiarkan usaha untuk ke Kampung Pulau Melaka di Kota Bharu dengan harapan dapat terserempak dengan Tok Guru selepas solat. Namun nasib belum menyebelahi saya.

Dengan takdir Allah SWT, saat yang ditunggu hadir jua dengan cara yang sungguh tidak disangka-sangka. Bukan sekadar terserempak, bahkan saya dan rakan-rakan perniagaan mendapat jemputan rasmi untuk 'bertemu dan berbincang' dipejabatnya di Kota Darulnaim. Entah apa tarikannya yang menyebabkan Tuan Guru sudi menerima kunjungan kami, masih menjadi misteri buat saya.

Setelah membuat segala persiapan, kami berenam memulakan langkah Bismillah, dengan harapan menggunung tinggi agar cadangan kami diterima baik. Tetapi lebih penting lagi adalah impak pertemuan yang bakal menjadi peristiwa yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hayat kami. Bahkan kami turut berangan-angan mendapat jemputan makan tengahari bersama Tuan Guru selepas mesyuarat. Bagi kami itulah hasil mesyuarat yang paling berjaya.

Kamera SLR telah berjaya dipinjam, kot 'patelung', tali leher 'Zegna' semuanya telah siap berbungkus, isikandung persembahan juga sudah berpuluh kali ditapis dan diulang-ulang sehinggalah ke malam terakhir sebelum perjalanan musafir ini bermula.

Dalam diam rupanya ramai juga yang cuba melobi agar turut terpilih mengikuti rombongan perdagangan ini dan bertemu dengan idola mereka. Ingatkan saya seorang yang kemaruk, rupanya ramai.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baru yang kebiasaannya menyeronokkan kali ini banyak juga ranjaunya. Hendak dijadikan cerita, kami berenam bersepakat menaiki bas ekspres dengan alasan tidak mahu memandu dan mahu bersantai sahaja (ada sebab lain juga sebenarnya tetapi biarlah rahsia).

Tepat jam 10.30 pagi bas bertuah ini akhirnya mula bergerak melakar sejarah membawa harapan dan misi yang maha penting.

Bas yang sebenarnya sudah usang dan suka berkeriut ini akhirnya tiba juga di Bandaraya Kota Bharu sekitar jam tujuh malam. Kami sebenarnya sedikit kecewa dan marah kerana pemandu bas yang sudah dipesan untuk menurunkan kami di KB Mall terlupa untuk berhenti dan langsung terus ke perhentian bas terakhir (kami sebenarnya tidak tahu menahu di mana letaknya KB Mall tetapi telah dimaklumkan oleh rakan yang ia paling hampir dengan Kota Darul Naim).

Sejurus mendarat di hentian bas lama, kami disambut beberapa pemandu teksi sapu yang pekat dengan loghat Kelantannya. Pada masa yang sama, laungan azan Maghrib yang berkemungkinan datang dari Masjid Muhammadi sudah mula kedengaran.

Penat, tenggelam punca, lapar dan kotor; kami sebenarnya sudah tidak kuasa bertegang-urat dengan pakcik-pakcik pemandu teksi, lantas menerima sahaja tawaran dari pemandu yang paling lantang suaranya. Yang penting kami harus sampai di KB Mall dan berjalan kaki menuju ke Homestay yang telah ditempah sebelum senja bertukar malam.

Episod malam itu selesai setelah kami check-in di Homestay (dan terimakasih juga kepada 'abe-abe' pemandu teksi sapu yang baik hati). Setelah memaklumkan kedatangan kami kepada wakil Pejabat Menteri Besar Kelantan (PMBK), makan malam ala-kadar (warung nasi lemak sebelah kubur Kristian, tepi jalan bersebelahan KB Mall), mempersiapkan pakaian serta membeli sedikit keperluan di KB Mall, barulah kami dapat berehat.

Saya yang sudah terlalu kepenatan akhirnya tumbang sekitar jam dua pagi bersama benak yang sudah senak dengan pelbagai kemungkinan dan drama yang bakal terurai keesokan harinya.

10 pagi, 11 Muharram.

Kesemua enam peniaga kecil dari Kuala Lumpur ini dengan segak dan bergaya (lengkap ber-kot dan ber-talileher, harum semerbak, wajah bercukur licin tetapi meninggalkan sedikit 'janggut' dan ada juga yang memberanikan diri memakai kopiah putih) melangkah keluar dari bilik penginapan menuju ke pejabat Menteri Besar.
Temujanjinya jam 10.30, mentari pagi sudah terik dan kami sudah tidak sempat bersarapan. Maka dengan tergesa-gesa kami mula berjalan kaki dari simpang Wakaf Siku menuju ke Kota Darul Naim. Destinasi yang hendak dituju agak dekat, tetapi bagi kami terasa begitu jauh sekali. Mungkin kesan daripada pandangan pelik pekedai dan kenderaan yang lalu lalang terhadap gaya, rupa dan pakaian kami.

"Siapalah agaknya lelaki-lelaki mabuk yang sanggup berjalan dalam panas terik siap dengan tali leher, 'blazer' dan 'briefcase' ni?" Kami segan juga sebenarnya dan menyesal sedikit kerana tidak menyewa kereta. Tetapi perasaan itu segera dipendamkan. "Sebentar sahaja lagi, sejarah akan tercipta…."

Apabila tiba di balai keselamatan Kota Darul Naim, kami dijemput dan terus dibawa oleh pengawai khas Menteri Besar masuk ke blok utama. Luas juga kawasannya, dan apabila sudah berada di dalam, barulah terasa selesa melihat spesies 'saudara' yang sama 'sejaket', 'setali leher', 'sekopiah' dan 'sejanggut'.

Kami dijemput ke bilik Menunggu VIP. Disana, perasaan kami bercampur-baur di antara rimaskan baju yang sudah bermandi peluh, cemas dengan kelewatan kami, lapar dek perut yang masih belum menerima juadah pagi; dan bangga kerana dilayan sebegitu penting. Paling mustahak disebalik segala ketidakselesaan ialah 'skrip persembahan' yang masih kukuh tersimpan didalam ingatan saya.
Kami cuba juga menunjukkan wajah yang ceria; dan bersalaman dengan sesiapa sahaja yang memandang dan menyapa. Ruang pejabat MB Kelantan tidaklah se-gah ruang pejabat mana-mana menteri di Putrajaya, tetapi masih kelihatan bersih dan tersusun.

Sepuluh minit kemudian, kami dibawa masuk ke bilik mesyuarat yang memang bersambung dengan bilik YAB Tuan Guru. Degupan jantung saya sudah semakin kencang, muka sudah semakin pucat, peluh masih tidak mahu berhenti mengalir dan tapak tangan saya yang lembap sudah hampir basah. Beberapa kakitangan PMBK mula sibuk keluar-masuk bilik mesyuarat bagi memastikan segala keperluan terisi. Komputer kami disambung ke televisyen LCD, manakal kerusi disusun mengikut protocol. Lampu dilaras agar cukup terangnya dan suhu penghawa-dingin ditokok agar cukup sejuknya. Turut disediakan untuk setiap tempat duduk ialah sekotak air mineral dan piring kecil berisi kuih lapis dan kuih akok yang dibungkus plastik. Memang serba sederhana. Ada juga beberapa 'pemerhati bebas' yang ingin melihat sendiri wajah-wajah yang mahu berjumpa dengan 'bos' mereka…agaknyalah.

Apabila telah selesai, seorang demi seorang kakitangan bertugas keluar dari bilik mesyuarat; dan orang kuat kerajaan negeri yang pertama segera masuk dan mengambil tempat duduk. Tidak perlulah disebut siapa, tetapi cukup untuk menambah suspense kepada drama yang bakal tersingkap. Pegawai kedua juga sudah masuk dan duduk. Tetapi kelibat Tuan Guru masih belum kelihatan. Saya sudah mula risau. Jika tadi saya cemas menanti kedatangan Tuan Guru, sekarang saya lebih risau jika Tuan Guru tidak dapat hadir.
"Takkan Tok Guru tak sudi bertemu dengan kami?" Wajah rakan-rakan juga sudah tidak keruan walaupun para pegawai yang hadir masih kelihatan seperti biasa. Pada waktu dan ketika itu, saya hampir pasti kesemua rakan saya sudah tidak fikirkan lagi hasil temujanji kami, kerana agenda pertemuan yang paling utama bakal berkubur sekiranya Tuan Guru tidak muncul.

Tiba-tiba pintu khas yang menyambungkan bilik mesyuarat dengan pejabat Menteri Besar berkuak dan dengan pantas kesemua pegawai kerajaan negeri yang hadir bingkas berdiri dan hampir berlari menuju ke pintu. Kami yang cemas ini terpinga-pinga dan masih melekat dibangku. Apabila pintu terbuka maka muncullah kelibat dan wajah berserban yang sudah kerap dilihat, tetapi cuma dari jauh, dari kaca televisyen, pada paparan skrin komputer dan diatas kertas. Sekarang Tuan Guru Menteri Besar Kelantan sudah ada didepan mata.

Subhanallah.

Tuan Guru orangnya kecil molek sahaja, sedikit bongkok dan langkahnya seperti tertahan-tahan. Pergerakannya perlahan dan senyap, seolah-olah mahu menyelinap masuk ke bilik mesyuarat tanpa disedari. Apabila pintu dibuka, tangannya tidak dilepaskan dari tombol pintu dan dengan perlahan beliau menutupnya kembali (tidak seperti sesetengah pegawai besar yang suka 'menghempas' pintu untuk menunjuk kuasa). Pada pagi tersebut beliau memakai baju Melayu berwarna jingga lengkap bersampin dan berjubah hitam diluar.

Seorang demi seorang mengambil giliran bersalaman dengan Tuan Guru. Saya sememangnya tidak mahu melepaskan peluang yang sudah begitu lama dinanti. Tetapi tatkala hampir sampai giliran saya, mulalah datang pelbagai persoalan. Salam yang bagaimana paling sesuai? Salam hujung jari? salam genggam sebelah tangan? Dua belah tangan? Salam sambil menundukkan kepala? Salam cium tangan? Salam dan peluk? Sebelum sempat saya membuat keputusan, tangan Tok Guru sudah menyapa saya, dan tanpa berfikir saya terus menyambutnya dengan salam sebelah tangan. Aduh, sepatutnya digunakan salam cium tangan sebagai tanda hormat anak murid kepada gurunya. Memang teruk saya ni.

Selepas bersalaman, kami kembali ke kerusi masing-masing, dan Tuan Guru mengambil tempat duduknya dihujung meja yang selalunya memang dikhaskan untuk pengerusi mesyuarat. Sejurus duduk, beliau memandang kami semua (dua orang pegawai masih belum tiba); memberikan salam, membaca ummul kitab dan mengetuai bacaan doa. Sebaik selesai berdoa dengan lembut beliau berkata, "Sekarang saya persilakan tuan-tuan mulakan!"

Segalanya berlaku begitu pantas dan sekarang semua mata tertumpu kepada saya yang sedang memegang 'laser pointer'. Pada saat dan ketika itu, semua skrip dan dialog yang telah saya hafal; kata-kata pendahuluan dan terimakasih; kata panggilan dan susun atur persembahan hilang serta-merta dari ingatan.

Saya yang sudah dianggap berpengalaman membuat persembahan tiba-tiba kelu dan panik. Tuan Guru dan pegawainya masih tidak berkelip memandang saya. Pada waktu itu segelas air setidak-tidaknya boleh juga membantu mengurangkan keketaran; tetapi air mineral diatas meja tiada sesiapa pun yang berani menyentuh, apatah lagi mahu membuka atau meminumnya. Jadi saya terpaksa juga teruskan majlis menggunakan skrip spontan dan alhamdulillah sedikit demi sedikit keyakinan diri datang kembali walaupun nafas masih sedikit mencungap dan nada suara ini sedikit sumbang.

Sambil berucap, sekali-sekala saya cuba juga menjeling ke arah Tuan Guru dan ada ketikanya saya lihat beliau memandang kearah saya begitu lama. Ada masanya Tuan Guru seperti memejamkan mata sambil menongkat dagu. Saya harap pembentangan saya tidaklah terlalu membosankan sampai Menteri Besar pun boleh terlelap.

Tiga puluh minit berlalu dan tugas saya membentangkan cadangan akhirnya tamat. Kini tibalah sesi yang paling mendebarkan iaitu sesi soal-jawab. Tuan Guru masih belum bersuara walaupun sesi soal jawab berlangsung rancak dengan soalan-soalan yang agak rumit juga. Mujur rakan-rakan dapat memberikan jawapan yang pada saya sudah cukup baik. Walaupun masih diam, riak wajah dan pandangan mata Tuan Guru menunjukkan minat yang agak positif.

Apabila sudah selesai berbincang, saya akhiri majlis dengan ucapan penutup sambil cuba menangguhkan sesi dengan harapan dapat bertemu lagi dilain temujanji. Pada ketika ini barulah Tuan Guru bersuara. Nadanya perlahan sekali, sehingga kami terpaksa mendekatkan telinga untuk mendengar amanatnya.

Isi ucapan beliau sekali dengar seperti tidak relevan dengan tema perbincangan. Tetapi oleh kerana amanat itu datang dari orang nombor satu Kelantan, tidak ada yang berani menokok tambah.

Tuan Guru mengakhiri majlis dengan membaca doa penutup beserta laungan takbir (pertama kali dalam hidup saya mesyuarat ditamatkan dengan takbir). Beliau yang nampak keletihan perlahan-lahan bangun dan seperti mahu terus menuju ke pejabatnya. Saya dan rakan-rakan saling memandang…ada tiga urusan belum selesai iaitu bersalaman, menyerahkan cenderahati dan bergambar (ini yang paling penting); tetapi Tuan Guru sudah berpusing ke pintu dan mula melangkah. Salah seorang rakan kongsi saya tiba-tiba menjerit…"Tuan Guru! Tuan Guru!..." entah berapa kali dilaungnya barulah Tuan Guru tersentak dan berpatah semula ke meja. Cenderahati diberi, dan kami akhirnya dapat bergambar bersama.

Alhamdulillah.

Kami bersalaman buat kali terakhir (sekali lagi saya terlupa untuk salam cium tangan); dan dengan sekelip mata Tuan Guru ghaib ke pejabatnya. Mesyuarat tamat sebelum tengahari dan kami berjalan pulang ke bilik penginapan berpasang-pasang; seronok dan gembira dengan apa yang telah berlaku pada pagi itu. Cuaca tengahari sememangnya panas tetapi peluh yang mencurah-curah sudah tidak dipedulikan lagi. Misi utama telah terlaksana.

Sebelum pulang ke ibukota, kami sempat singgah di Masjid Muhammadi untuk solat Maghrib (kami berjalan kaki dari Homestay dan tiba di masjid serentak dengan azan Maghrib, sama seperti malam sebelumnya). Rupa-rupanya KDYMM Al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-5 turut solat bersama dan yang paling menarik, baginda turut mengikuti Kuliah Maghrib yang disampaikan yang bertajuk "Pemimpin Yang Zalim". Hai, saya tak fikir ia berani dilakukan ditempat lain. Orang Kelantan memang hebat!

Bas ekpress jam 9 malam tiba di Kuala Lumpur jam 5.30 pagi keesokannya. Dengan itu tamatlah pengembaraan enam sahabat yang kepenatan.

Pertemuan bersejarah dengan Menteri Besar Kelantan berlangsung lebih baik dari jangkaan saya. Walaupun tidak berpeluang menjamah kuih akok dan kuih lapis, atau makan tengahari bersama; Tuan Guru seolah-olah mahu mendidik dan menunjukkan tauladan yang akan kekal dalam ingatan kami. Jauh disudut hati saya faham Tuan Guru melaksanakan segala-galanya mengikut ajaran dan sunnah Rasulullah SAW.

Tidak perlu banyak bercakap tetapi lebih suka mendengar, tidak ada janji manis dan omong kosong, tidak bermewah-mewah dan berlebih-lebih, tidak membazir masa dan berucap panjang lebar dan akhir sekali; memberikan sepenuh kepercayaan kepada pembantu-pembantunya yang telah diamanahkan.

Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana walaupun jahil, saya masih berpeluang bertemu sendiri dengan seorang negarawan, ilmuan dan ulama yang dihormati rakan dan musuh. Sangat jelas pada pandangan kami betapa berat tanggungan dan beban yang seolah-olah sudah tidak terpikul oleh tubuh Tuan Guru.

Utusan Malaysia Diarah Bayar Kepada Lim Guan Eng

Posted: 14 Dec 2011 01:56 AM PST

Harakahdaily

PULAU PINANG, 14 Dis: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati Utusan memfitnah Lim Guan Eng dan diarahkan membayar RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu serta mendapati
dia tidak anti Melayu atau anti Islam tetapi itu adalah niat buruk Utusan.

Sebelum ini, Guan Eng berkata, "Jika menang, apa-apa wang yang diterima akan kami dermakan kepaada program membasmi kemiskinan."

Lim Guan Eng pada 6 Januri lalu mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia atas dakwaan sebuah artikelnya memfitnah DAP.

Lim memutuskan untuk menyaman Utusan setelah akhbar harian itu menyiarkan sebuah artikel pada Disember lalu yang mendakwa DAP adalah alat kerajaan asing dan mahu parti berkenaan diharamkan.

Sebelum itu, Lim mengutuskan sepucuk surat tuntutan meminta Utusan menarik balik beberapa perkataan yang didakwa memfitnahnya dalam berita yang bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng'.

Utusan telah menuduh Lim sebagai seorang 'rasis' dan 'anti-Melayu' dalam artikel yang disiarkan sehari selepas konvensyen Pakatan Rakyat bulan lalu.

Lim dalam notis tuntutanya menafikan dakwaan berkenaan dan memohon akhbar itu menyiarkan permohonan maaf dan pampasan daripada Utusan kerana memfitnahnya.

Kehadiran Lim hari itu diiringi peguam yang juga ADUN Dato Keramat, Jagdeep Singh Deo dan juga beberapa ahli exco dan ADUN yang lain.

Mengenai jumlah pampasan yang dituntut, Lim berkata beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada mahkamah untuk menentukkannya.


Najib digesa jelas status ‘cuti’ Pengarah Felda- Dr Syed Husin

Posted: 14 Dec 2011 01:41 AM PST

(Oleh: Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR 14 Dis: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa memberikan penjelasan status 'cuti' selama lapan bulan Pengarah Besar Felda, Datuk Zulkifli Wahab sehingga menimbulkan kecurigaan.

Demikian Senator Negara, Dr Syed Husin Ali mengecam tindakan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad mengarahkan Zulkifli bercuti sejak 25 November lalu hingga Ogos 2012.

Arahan itu dibuat melalui surat yang ditandatangani Isa dan dihantar kepada Najib bertarikh 21 November lalu.

"Najib perlu telus memberikan penjelasan yang lengkap kenapa Datuk Zulkifli Wahab diarahkan untuk mengambil cuti belajar selama lapan bulan.

"Tujuan perubahan ini untuk memungkinkan Tan Sri Isa Samad mengambil tindakan meluluskan pelepasan pegangan ekuiti Koperasi Permodalan Felda dalam Felda Holdings dan merombak pengurusan, ahli lembaga pengarah serta merubah polisi sedia ada bagi menjaga kepentingan ahli koperasi," kata Syed Husin ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Difahamkan, Zulkifli 'direhatkan' selepas beliau berbeza pendapat dengan Isa mengenai penyenaraian Felda Global Ventures Sdn Bhd ke bursa saham seperti diumum Najib pada pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober lalu.

Zulkifli dilaporkan bimbang penyenaraian itu mengakibatkan kerugian peneroka selain pendapatan Felda yang kini RM 2 bilion bakal menjunam kepada RM 508 juta sahaja.

Tambah Syed Husin, langkah untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Berhad di bursa saham hanya taktik kerajaan mengaburi mata rakyat.

"Ia juga untuk menutup mata kakitangan Felda yang menjadi ahli Koperasi Permodalan Felda dari mengetahui bahawa mereka bakal kehilangan majoriti 55 peratus dalam saham Felda Holdings Bhd.

"Struktur selepas penyenaraian akan menyaksikan penguasaan saham Koperasi Permodalan Felda dalam anak-anak syarikat Felda susut kepada 30 peratus sahaja dan baki 70 peratus lagi ditawarkan kepada pelabur luar," katanya yang juga mantan Timbalan Presiden KEADILAN.

Wang rakyat digunakan untuk politik BN, nasib guru-guru sementra terbiar

Posted: 13 Dec 2011 11:45 PM PST


KUALA LUMPUR, 14 DIS – Kerana mahu saingi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri-negeri Pakatan Rakyat, guru-guru sementara telah menjadi mangsa kerajaan Barisan Nasional.

Pembantu Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Teo Nie berkata, kerajaan BN yang iri hati dengan JKKK negeri-negeri Pakatan telah menggunakan wang rakyat untuk mewujudkan "klon" JKKK, iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Katanya, dengan penubuhan JKKKP yang sama tugas dengan JKKK, ia menambah peruntukan kewangan kerajaan sehingga menyebabkan tiada peruntukan kepada guru-guru sementara.

"Jika peruntukan itu dialihkan kepada guru-guru sementara, ia dapat menampung kos sara hidup dan faedah dan imbuhan asas lain.

"Ini sudah tentu akan memperbaiki lagi kehidupan guru-guru sementara yang mana kebanyakan mereka bekerja seperti guru-guru terlatih," katanya dalam satu kenyataan.

Teo yang juga Ahli Parlimen Serdang berkata, kerajaan BN sebaliknya membazirkan wang rakyat dengan menubuhkan JKKKP tanpa mahu mempedulikan nasib guru-guru sementara serta para pelajar yang memerlukan khidmat mereka.

Menurutnya, langkah Kementerian Pendidikan menukar status guru-guru sementara daripada 'kontrak perkhidmatan' kepada 'kontrak untuk perkhidmatan' tidak memberi banyak makna kerana dengan membayar RM200 sebulan tidak akan meringankan beban tugas dan kehidupan guru-guru sementara.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kerajaan BN telah membazirkan wang rakyat sejak tsunami politik 2008 dengan mewujudkan 3,231 JKKKP selepas BN kalah di lima negeri.

"Terbaru, terdapat 1,899 JKKKP di Kedah, 142 di Pulau Pinang, 381 di Selangor dan 765 di Kelantan.

"Setiap pengerusi dan setiausaha masing-masing dibayar RM800 dan RM200 dengan tambahan elaun RM100 untuk mesyuarat bulanan. Ahli jawatankuasa biasa yang menghadiri mesyuarat pula menerima RM50," katanya.

Teo berkata, ini bererti kerajaan persekutuan BN telah menghabiskan wang rakyat sebanyak RM137.8 juta untuk jawatankuasa 'klon' ini demi kepenetingan politik BN.

Menurutnya, JKKKP di negeri-negeri Pakatan Rakyat menunjukkan BN terus melakukan apa sahaja dengan menggunakan saluran 'rasmi' bagi menggerakkan politik wang dan gerak kerja politik di kawasan luar bandar. – Roketkini.com

Rosmah sebagai penentu PRU ke-13?

Posted: 13 Dec 2011 10:21 PM PST


SHAH ALAM, 14 DIS – Adakah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, akan menjadi faktor penentu keputusan pilihan raya umum akan datang?

Sama ada berseloroh atau serius, soalan itu telah dibangkitkan oleh seorang hadirin wacana 'PRU13: Undi Siapa Jadi Penentu' anjuran Sinar Harian di sini semalam yang panas dengan idea dan cadangan para pembicara.

Mereka yang menyertai wacana itu adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Presiden KITA Datuk Mohd Zaid Ibrahim, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Prof Madya Dr Abu Hassan Abdullah dari Universiti Malaya. Moderator wacana ialah Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa.

Menjawab persoalan itu, tokoh politik Datuk Zaid Ibrahim yang juga Presiden KITA berkata, demi kebaikan Malaysia, rakyat yang tidak berada dalam lingkungan politik tidak sepatutnya terpengaruh dengan gosip-gosip sebegitu.

"Sama ada Rosmah jadi penentu PRU13, saya sebenarnya merasakan dia ada memainkan peranan penting.

"Tetapi saya rasa eloklah buat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), bukan sahaja Rosmah malah Tun Mahathir Mohamad pun janganlah masuk campur. Kalau dah berhenti, berhentilah.

"Inilah masalah parti pemerintah yang memerintah terlalu lama yang merasakan seolah-olah perlu dinasihati, perlu menjaga hati, perlu menjaga itu, ini… Sampai bila?" katanya.

Jelas Zaid yang sebelum ini seorang menteri kerajaan persekutuan dan kemudian menyertai PKR sebelum meninggalkannya untuk menubuhkan KITA, jika Najib serius dengan reformasi, perkara yang lama sepatutnya ditinggalkan sahaja.

Namun, katanya, apa yang rakyat lihat adalah wujudnya kuasa-kuasa di belakang tabir yang memainkan peranan dalam politik tanah air yang semakin dibenci oleh orang ramai.

Dr Abu Hassan pula berkata, jika seseorang itu terbukti telah menyalahgunakan duit rakyat, maka rakyatlah yang berhak untuk menumbangkan mereka dalam PRU13.

"Tidak kira dia isteri Perdana Menteri, anak Perdana Menteri dan sebagainya, seandainya benarlah mereka telah menggunakan duit negara yang sepatutnya digunakan untuk rakyat, termasuk untuk membaiki sistem pengangkutan awam kita yang teruk ini, maka mereka harus ditentang, harus dijatuhkan," katanya.

Beliau menjelaskan, rakyat boleh melakukan perubahan untuk mengubah indeks kebebasan, demokrasi dan rasuah negara.

"Mengapa kita harus sayang pada parti yang tidak mampu melakukan janji yang mereka katakan. Jika mereka tak dapat lakukan janji itu, kita harus tukar dan beri pada yang lain.

"Kita tidak perlu bimbang jika mana-mana parti akan jatuh untuk digantikan dengan yang lain kerana ia adalah proses membina sebuah tamadun," tambah beliau.

Nurul Izzah pula mahu Najib menjamin pilihan raya yang bersih, malah menjelaskan PKR sanggup menerima apa sahaja keputusan jika proses pilihan raya yang benar-benar adil dan bersih dilaksanakan.

Malah, beliau mencabar Perdana Menteri menterjemahkan slogan 1Malaysianya dengan bertanding di kerusi Parlimen yang majmuk seperti Parlimen Lembah Pantai yang diwakilinya dalam PRU 2008.

"Kerusi (yang diwakli Najib sekarang) di Parlimen Pekan adalah 93 peratus pengundi Melayu. Jika benar Najib adalah pemimpin untuk semua kaum, sila bertanding di Lembah Pantai," ujarnya.

Saifuddin pula yang mewakili UMNO dan Barisan Nasional dilihat tertekan dalam wacanan itu kerana bersikap defensif dalam usaha mempertahankan parti dan kerajaan yang diwakilinya.

Walau pun bersetuju dengan beberapa pandangan pemimpin Pakatan dalam wacana tersebut, beliau tetap mempertahankan kepimpinan Najib dan menonjolkan keyakinannya bahawa BN akan menang besar dalam PRU13.

"Bagi saya, pengundi yang mengundi pembangkang dalam PRU yang lalu akan kembali menyokong BN manakala yang telah memilih BN akan kekal dengan BN dan pengundi-pengundi baru pula akan mengundi BN," jelasnya.

Menurutnya, mereka menyokong usaha transformasi Najib yang kononnya sedang membuat perubahan baik untuk rakyat. – Roketkini.com

Fitnah II: Saya wajar dan wajib dibebaskan- Anwar

Posted: 13 Dec 2011 07:25 PM PST

(Oleh: Ahmad Fadli)

KUALA LUMPUR 14 Dis: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau wajib dibebaskan dari tuduhan Fitnah II yang dihadapinya.

Menurut Anwar, kegagalan pendakwa raya mengemukakan bukti kukuh meskipun perbicaraan sudah memasuki peringkat penggulungan hujah, mewajarkan pembebasan beliau tanpa sebarang syarat.

"Bagi saya tidak ada fakta dan keterangan kukuh untuk mereka menghukum saya.

"Saya wajar dan wajib dibebaskan," kata Anwar selepas mahkamah ditangguhkan petang semalam.

Anwar dalam pada itu mempertahankan tindakannya memberi keterangan membela diri dari kandang tertuduh sewaktu diperintahkan membela diri.

"Saya memilih untuk bercakap dari kandang tertuduh kerana itulah satu-satunya peluang saya untuk mengkritik sistem," kata Anwar merujuk kepada sistem keadilan negara yang dilihat berat sebelah sepanjang perbicaraan Fitnah II berlangsung.

Bercakap lanjut, Anwar membidas pendakwa raya yang keupayaan saksi pakar pembelaan.

"Bagi saya kalau nak meremehkan keupayaan mereka (saksi pembelaan) tidak sukar.

"Itu sahaja yang mereka (pendakwa raya) lakukan," kata Anwar.
Petang semalam pendakwa raya selesai membentangkan hujah penggulungan mereka selepas peguam bela Anwar selesai berbuat demikian.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan Khamis, 15 Disember jam 930 pagi sebagai tarikh untuk peguam bela membentangkan bidasan kepada hujah penggulungan pendakwa raya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24319

Isu Ustaz Budak. Umno dan Perkasa Separa Jantan

Posted: 13 Dec 2011 06:53 PM PST

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin memberikan respon terhadap isu rakaman video berkaitan ceramah Ustaz Shamsul Zaman Sukri atau lebih dikenali dengan 'Ustaz Budak' yang didakwa kononnya menyamakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dengan Nabi. Isu ini telah dilaporkan secara besar-besaran oleh media massa milik UMNO sepanjang minggu lepas. Beberapa pemimpin UMNO Kelantan dan Pusat dilaporkan telah mengecam PAS dan YAB Menteri Besar Kelantan di atas rakaman video ini.

2. Selain itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Kelantan (PERKASA) juga dilaporkan telah menghantar memorandum menggesa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyiasat Tindakan PERKASA ini dilaporkan di muka hadapan Sinar Harian Edisi Kelantan pada 13 Disember 2011.

3. DPPNK menyifatkan bahawa UMNO dan juga PERKASA yang jelas merupakan pertubuhan pro UMNO kehabisan isu sehingga sanggup memainkan semula video yang dirakam bertahun lamanya untuk menyerang keperibadian YAB Menteri Besar Kelantan. Demikian juga dengan media massa pro kerajaan yang memainkan isu ini secara besar-besaran jelas sekali menyedari bahawa mereka tidak mempunyai sebarang isu yang lebih besar untuk menghakis kepercayaan rakyat khususnya di Kelantan terhadap PAS.

4. DPPNK mencabar UMNO dan PERKASA agar mendengar sendiri rakaman tersebut dari awal sampai ke akhir tanpa pengubahsuaian untuk mendapatkan gambaran sebenar apa yang dimaksudkan oleh Shamsul Zaman. Hakikatnya, jika didengar dengan teliti tanpa sebarang bias, jelas sekali bahawa beliau tidak bermaksud untuk menyamakan Menteri Besar Kelantan dengan Nabi.

5. Apa yang menghairankan, di mana UMNO dan PERKASA dalam isu klip video Sembang Rakyat yang berjudul Lagi Hudud PAS yang mencetuskan kontroversi sekarang ini? Kenapa akhbar media massa milik UMNO tidak menyiarkan di muka hadapan kecaman terhadap video ini yang lebih jelas menuturkan skrip yang menghina perundangan Islam dan menghina kaum wanita Kelantan yang didakwa terlibat dengan pusat hiburan dan pelacuran di Kuala Lumpur? Di mana kejantanan PERKASA dalam isu video ini atau PERKASA hanya jantan dalam isu tertentu sahaja dan tidak jantan dalam isu yang lain?

6. Sewajarnya UMNO dan PERKASA bersama-sama menggesa agar diambil tindakan tegas terhadap pelakon, penerbit dan penaja klip video berkenaan jika benar mereka sayangkan agama. Hakikatnya, diyakini bahawa UMNO semakin gelabah apabila YAB Tuan Guru Menteri Besar mengumumkan kesediaan untuk bertanding lagi di dalam pilihanraya, justeru mereka mencari-cari isu untuk terus menyerang kredibiliti beliau sehingga tergamak memutarbelitkan video yang telah dirakam bertahun yang lepas.

7. Dalam masa yang sama, DPPNK mencadangkan agar saudara Shamsul Zaman Sukri mengambil tindakan saman terhadap semua pihak yang memutarbelitkan ucapan beliau sehingga mencetuskan kontroversi. Ini kerana tidak ada cara untuk memastikan pihak ini mendapat pengajaran yang setimpal kecuali dengan dibawa ke muka pengadilan.

Sekian, wassalam.

YB ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN,

Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 14 Disember 2011

Pesta Hina Hukum Hudud

Posted: 13 Dec 2011 04:36 PM PST

Oleh: Rossem

Isu hudud memakin panas setelah reda beberapa minggu. Lebih membahang bila wujud klip video berjudul Sembang Rakyat yang sedang tersebar di dalam internet lewat Youtube yang jelas menghina perundangan Islam khususnya hukum hudud. Klip video 10 minit itu mempertikaikan keberkesanan hukum yang telah disyariatkan Allah SWT sebagai undang-undang.

Sembang Rakyat dibikin seperti sperti sebuah drama, lokasinya dalam kedai kopi, beberapa orang dari pelbagai kaum termasuk pelakon wanita mengambil bahagian. Dibikin menggunakan kepakaran teknologi pembuatan klip vedio yang terancang. Ia cepat tersebar lewat facebook.

Siapa dibelakang pelecehan terhadap hukum Allah itu? Kita tak mahu menuduh sesiapa, hanya menunggu tindakan pemerintah Malaysia, lebih tepatnya UMNO mengambil tindakan terhadap pembikinan dan penyebaran klip vedio tersebut. Kalau pemimpin UMNO berani memprotes kartunis Denmark kerana melukis kartun menghina Rasulullah saw dalam akhbar Jyllands Posten suatu masa dulu, kenapa mereka berdiam diri bila pelecehan yang sama terhadap Islam di negara ini dibiarkan tanpa tindakan.

Jika dalam isu penghinaan Lagu Negaraku, UMNO dan NGO-NGO mereka akan cepat melatah, berteriak marah-marah kepada yang mengeluarkan kenyataan yang kononnya bersifat menghina negara. Tapi hukum Allah di hina mereka membisu seribu kata.

Semua pihak dari penerbit, pelakon, penulis skrip dan juga penaja akan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT di atas penghinaan yang mereka lakukan yang amat terang sekali menuturkan dialog yang boleh menjejaskan akidah.

Tapi seringnya pemimpin UMNO tak akan mengambil tindakan, sebaliknya mengunci mulut mereka daripada mengulas isu yang menghina Islam seperti itu. Dan sekiranya ini realitinya, maka jangan marahkan umat Islam yang beriman, bila umat yang sering dihina ini nantinya menuduh UMNO dibelakang tabir pembikinan klip vedio itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek juga semakin galak menghina hukum hudud. Sejak isu hudud dibangkit semula November 2011, sudah dua kali mengeluarkan kenyataan menghina hukum Allah. Dalam satu kenyataannya yang terbaru, dia menyifatkan pelaksanaan hukum hudud akan membawa kepada kemusnahan ekonomi Malaysia serta merupakan hukum undang-undang yang zalim.

Dia mencabar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Sing berdebat tercara terbuka dengannya seputar hukum tersebut dan kewajaranya dipraktikan di Malaysia.

MCA berani mempersenda hukum hudud kerana mereka tahu pemimpin tertinggi UMNO juga menolak undang-undang tersebut. Seperti kata Exco Penerangan Kerajaan Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Dato' Hassan; Agama bukan persoalan utama UMNO, sebab itulah mereka berdolak dalik dengan pelaksanaan hukum hudud dan dilihat bersubhat dengan MCA menolak dan menghina hukum agama mereka sendiri.

Banyak NGO Islam yang melahirkan rasa tak senang dengan sikap Chua Soi Lek, kerana terus membangkitkan isu hudud yang tampak sudah reda. Chua memanaskan kembali isu sensitif mungkin untuk dianggap sebagai satu-satunya juara penentangan hukum Allah di bumi Malaysia sesudah DAP reda lantaran faham dengan undang-undang hudud. . Tindakannya juga lebih kepada bertujuan untuk meraih populariti politik terutama dari masyarakat non-Muslim menjelang Pilihan Raya Umum ke 13.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mendahului NGO Islam mendesak Presiden MCA supaya membatalkan hasratnya untuk berdebat dengan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

Seterusnya memohon maaf tercara terbuka kepada umat Islam yang beriman di atas ketelanjuran lidahnya menghina Islam. Kerana kenyataannya hanya bersifat tohmahan, prejudis dan tidak langsung disandarkan kepada sebarang fakta atau perangkaan emprikal yang boleh menjustifikasi dakwaaannya.

MCA sebuah parti komponen Barisan Nasional. UMNO adalah induknya, atau dengan bahasa mudahnya, UMNO merupakan abang kepada adek-adeknya. Tapi seringnya adek-adek tak pedulikan abangnya. Mungkin kerana mereka menilai abangnya lemah, giginya sudah tanggal, tak boleh mengigit lagi.

Malah ada dari di kalangan umat Islam yang beriman berpendapat, UMNO sengaja membiarkan MCA memperlekehkan hukum Islam dengan tujuan tertentu, natijahnya mereka juga tak sukakan hukum itu dilaksanakan di Malaysia.
Dicatat oleh Penulis di 3:42 AM
Reaksi:

Tiada ulasan: