Rabu, 21 Disember 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


31 Dis: Aziz Bari Ucapkan Sayonara Kepada UIA

Posted: 21 Dec 2011 12:30 AM PST

Aziz Bari ucap UIA 'selamat tinggal' 31 Dis

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Prof Dr Abdul Aziz Bari, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menjadi sasaran siasatan tiga pihak dua bulan lalu, akan melangkah keluar dari pusat pengajian tinggi itu, 31 Disember ini.

Ketika dihubungi malam tadi, pakar perlembagaan itu mengesahkan perkembangan terbaru ini.

"Ia hari terakhir saya berkhidmat di UIA," kata beliau.

Bagaimanapun beliau tidak memberitahu rancangan masa depannya.

"Saya tidak dipecat oleh UIA dan saya yakin mereka tidak ada alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

"Apa pun senario yang ada tidak mengizinkan saya berfungsi sebagai ahli akademik yang komited kepada ideal kebebasan akademik,"
kata beliau dengan merujuk kepada perkembangan sejak beberapa bulan lalu.

"Kemungkinan, saya merupakan tenaga akademik pertama menjadi mangsa disebabkan persekitaran seperti ini, berhadapan dengan tekanan kerana memberi komen hanya berdasarkan kepakaran saya.

"Memang ada tenaga akademik yang pernah berhenti kerana bercakap atas platform menggunakan pertubuhan bukan kerajaan, tetapi saya memberi pandangan mengenai isu-isu semasa menggunakan kepakaran saya," kata beliau lagi.

Awal bulan ini, beliau tidak menafikan beliau akan meninggalkan UIA ekoran siri tekanan termasuk siasatan berkenaan kenyataan beliau menyentuh titah Sultan Selangor dalam kes Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)-gereja.

"Saya sedang mempertimbangkan perkara ini, ada beberapa opsyen," kata beliau ketika itu.

Aziz berkata, walaupun ada beberapa pilihan tetapi jika boleh mahu terus kekal berkhidmat dalam bidang akademik.

Bulan lalu, Sultan Selangor secara langsung dan terbuka telah menyebut nama Aziz berhubung isu audit Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pada Oktober itu, Aziz menerima surat tunjuk sebab berhubung isu titah Sultan Selangor - yang ketiga sepanjang berkhidmat dengan UIA.

Menurut surat tunjuk sebab UIA itu, Aziz didakwa telah memudaratkan imej universiti.

Setakat ini, kata Aziz, hasil siasatan UIA belum diketahui.

Beliau juga disiasat oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Aziz, 52, telah berkhidmat lebih dua dekad di Kuliah Undang-undang UIA dan sering dilantik sebagai pemeriksa luar bagi ijazah lanjutan baik di dalam maupun di luar negara.

The Malaysian Insider difahamkan Aziz juga telah disenaraikan untuk kenaikan pangkat sebagai profesor gred 'A'.

Ditanya perasaannya, Aziz berkata, beliau rasa berat dan sedih meninggalkan universiti, khususnya para pelajar yang berebut-rebut mahu mendaftar mengikuti kursusnya.

Beliau juga tidak dapat berbuat apa-apa dan meninggalkan beberapa orang pelajar pengajian doktor falsafah.

Mengulas mengenai rancangan masa depan, Aziz berkata, "saya masih ada kertas peperiksaan yang perlu ditanda selain memastikan para pelajar PhD saya selamat dan tidak ditolak ke sana ke mari. Buku-buku saya juga banyak dan ini semua perlu diangkut balik dan ini semua memakan masa paling tidak sebulan."

Mengenai spekulasi yang beliau akan memasuki politik, Aziz memberitahu, "politik sebagaimana akademik adalah medan yang perlu untuk perubahan dalam masyarakat."

"Tetapi politik bukan bidang yang akan jadi profesyen saya sebagaimana akademik. Saya tetap akan berfungsi sebagaimana sebelumnya, khususnya memberi pandangan, menulis dan seumpamanya. Saya harap saya akan kembali ke dunia akademik meskipun tidak semestinya di UIA," katanya lagi.

Difahamkan Aziz sedang menyiapkan buku ke-10 beliau, yang menyentuh mengenai kedudukan dan peranan raja berperlembagaan di Malaysia. -TMI

Lain Yang Dituntut Lain Yang Dilaksanakan Oleh SPR

Posted: 20 Dec 2011 11:50 PM PST

SPR: Tempoh bantah status calon dibatal

PUTRAJAYA, 19 Dis — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk memansuhkan tempoh bantahan berhubung kelayakan seseorang calon yang bertanding pada hari penamaan calon, dikuatkuasakan mulai pilihan raya umum ke-13.

"SPR akan menentukan (sama ada seseorang calon itu layak atau tidak)," kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusof (gambar) kepada pemberita di sini hari ini.

Kata beliau, pihak yang hendak membantah kelayakan seseorang calon, yang telah diterima oleh SPR, boleh membawa kes mereka ke mahkamah.

"Pada pagi (hari penamaan calon), maaflah," katanya lagi.

Selain itu kata beliau, calon juga tidak dibenar menarik diri daripada bertanding sebaik pencalonan mereka diterima.

Langkah itu bagi membolehkan urusan mencetak kertas undi dilakukan dengan segera.

"Meskipun anda menarik nama anda, nama anda tetap akan ada pada kertas undi," katanya.

Kata beliau, perubahan-perubahan dibuat berdasarkan syor-syor dikemukakan oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pilihan raya dan SPR sedang bekerja keras untuk melaksanakan perkara berkenaan.

Langkah itu termasuklah membersihkan daftar pemilih.

Selain itu kata beliau, daftar pemilih akan dipamerkan selama 14 hari mulai suku pertama tahun depan berbanding tujuh hari sekarang.

Ulasan GB

Bingai!

Lain yang dituntut oleh rakyat lain yang diberikan oleh SPR.

Kedua-dua langkah baru SPR hanya untuk mempastikan calon-calon BN yang menyerahkan borang tak kira siapa tidak dibantah, di dalam ertikata lain SPR berhak untuk menetapkan calon BN diterima sekalipun calon bermasalah.

Di dalam beberpa siri pilihanraya yang lalu, beberapa calon BN dibantah malah PAS pernah memenangi pilihanraya tanpa bertanding yang menyebabkan BN malu besar sehingga SPR dikecam oleh BN kerana mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding untuk calon selain BN.

BN seringkali juga meletakkan calon bermasalah seperti si bangkrap, si penjenayah, si bebal isi borang dan sebagainya sehingga bantahan dibuat dan SPR terkedu untuk membatalkan pencalonanan mereka.

Misalnya di dalam PRU yang lalu, calon PAS Wan Ubaidah Omar diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kijang di Kelantan selepas calon Barisan Nasional (BN) Mustopha Ahmed didapati tidak layak untuk bertanding.

Kini tempoh bantahan dibatalkan, dan SPR mendakwa keputusannya muktamad. Kalau nak bantah bawa ke mahkamah - yang mana masing-masing faham prosesnya boleh melangkaui bertahun-tahun lamanya dan kos guaman dan mahkamah bukan murah.

Kedua, calon juga tidak dibenar menarik diri daripada bertanding sebaik pencalonan mereka diterima.

Di dalam beberapa pilihanraya yang lalu kita melihat wujudnya kes dimana beberapa kerusi menjadi pertarungan beberapa penjuru - yang sepatutnya cuma dua penjuru di antara BN dan PR. Tetapi muncul calon bebas yang ditaja untuk memecahkan undi pihak lawan. Dan pada saat akhir ada calon Bebas tarik diri dan menyebabkan rancangan mereka untuk memecahkan undi menemui kegagalan lantas kalah di dalam pilihanraya.

Justeru itu, keputusan SPR terhadap kedua-dua langkah tersebut sepatutnya ditentang oleh Pakatan rakyat.

Sementelah lagi ia tidak terkandung di dalam 8 tuntutan BERSIH. Sepatutnya SPR tidak lari dari cadangan asal.

Agenda tersembunyi SPR yang memihak kepada BN itu sepatutnya diberikan perhatian serius oleh PR dan BERSIH 3.0.

Umno Tidak Boleh Dipakai Lagi - Bekas Pengarah Pendidikan

Posted: 20 Dec 2011 10:01 PM PST

Bekas Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Adnan Ibrahim yang juga pelakun bersiri 'Cucu Opah nak kahwin lagi' rasa terpanggil untuk bersama turun padang memberikan penjelasan kenapa perlu rakyat tolak Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Jelas sekali ujarnya, Umno dan BN mempunyai kepimpinan yang sudah korup dan tidak releven lagi untuk memegang tampuk pemerintahan ekoran terlalu banyak skandal sehingga boleh membawa negara ke arah kehancuran.

"Saya walaupun tidak sihat, rasa bersalah sekiranya tidak bersuara mengatakan yang hak sebab itu saya datang untuk menyampaikan apa yang terpendam dalam lubuk hati selama ini.

"Umno dan BN tidak boleh pakai lagi apatah untuk kita bergantung harap membela nasib orang Melayu, " ujarnya ketika ditemui selepas program ceramah perdana di Pekan Darat, Butterworth semalam.

Apa guna dirinya yang diberikan kesihatan sihat tinggal diam di rumah padahal penyelewengan terus berlaku dengan memperdayakan rakyat miskin sebagai 'kambing hitam' bagi mengaut undi, katanya.

"Kerajaan BN memang begitu, mereka akan membahagikan harta kekayaan sesama kroni dengan membiarkan rakyat berputih mata terutamanya bagi mereka yang sememangnya mempolopori bidang tertentu.

"Kes lembu membabitkan Menteri Wanita, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil sungguh memalukan kerana ia bukan pendedahan golongan yang mencari kesempatan sebaliknya didedahkan Audit Negara yang telus dan profesional," terangnya.

Tambah beliau, akibat terlalu banyak penipuan dan penyelewengan membuatkan rakyat mempertikaikan keikhlasan BN yang sanggup memberikan wang RM500 kepada setiap keluarga sedangkan negara terus dicengkam bebanan hutang yang tinggi.

Jika kerajaan terlalu prihatin terhadap rakyat bukan sekarang mereka mulakan pemberian RM500 itu tetapi sejak dulu lagi sebab kemiskinan rakyat sudah lama, katanya.

"Jika BN benar-benar mahu bantu rakyat kenapa hari ini baru nak bagi RM500. Mereka buat secara mendadak semata-mata dengan tujuan yang tersembunyi," tambahnya.

Pemberian itu pun, bagi beliau, disebabkan timbul perasaan irihati setelah rasa tergugat dengan pemberian beberapa skim oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

"Adalah tidak lojik lagi, rakyat yang sudah matang masih tidak berani buat perubahan demi kebaikan semua pihak serta negara," kata Datuk Adnan.

Menceritakan kesungguhan dirinya untuk turun berkempen di mana sahaja sekiranya dijemput beliau yang ada pertalian dengan pejuang kemerdekaan Leftenan Adnan menambah, semua itu dibuat untuk membuang perasaan bersalah dalam dirinya yang bekerja untuk kerajaan sedangkan kerajaan yang disanjung melakukan penindasan, penipuan dan penyelewengan yang ketara memalukan.

Peliknya, ujar beliau, kenapa mereka yang ada jawatan tinggi dalam kabinet tidak langsung timbul perasaan bersalah atau meletakan jawatan bila gagal sebagai menteri sebaliknya terus bangga dengan kesalahan yang dibuat.

Beliau bertanya apakah kapasiti mereka yang asyik melakukan penyelewengan mengaku sebagai Umat Islam sedangkan mereka memakan daging saudara sendiri.

"Pesanan saya kepada rakyat gunalah otak, guna akal, guna jari, guna perasan dan gunakanlah kesempatan yang ada untuk menegakan yang hak memerangi yang batil. Jangan takut buat perubahan yang menguntungkan semua pihak," tegasnya lantang.

Program anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor itu turut menyaksikan penyerahan 15 keping borang permohonan menjadi ahli PAS di sekitar kubu kuat Umno di Permatang Binjai.

Kemasukan itu diketuai bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Permatang Binjai, Saudara Hasni.

Borang diserahkan kepada Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang dijemput khas memberikan ucaptama bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man dan Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man. -HD

Banjir Di Johor Semakin Buruk, 3,310 Dipindahkan

Posted: 20 Dec 2011 07:10 PM PST

Johor Bahru: Mangsa banjir di seluruh Johor meningkat kepada 3,310 orang hingga jam 9.45 malam tadi, dengan Kluang menjadi daerah paling teruk terjejas membabitkan pemindahan 2,703 mangsa daripada 695 keluarga.

Setakat ini, 42 pusat pemindahan sudah beroperasi meliputi tiga daerah, membabitkan 23 pusat di Kluang, lima di Segamat dan empat di Batu Pahat.

Cuaca mendung di sekitar Johor Bahru sepanjang hari semalam, membolehkan penduduk Kampung Laut yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Batu 10, Skudai, pulang ke rumah masing-masing.

Di Kluang, kawasan teruk terjejas di Mengkibol dan Kahang dengan enam pusat pemindahan dibuka, selain lima di Machap, tiga di Paloh, manakala masing-masing dua di Layang dan Mahkota.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, berkata beliau agak kecewa dengan sikap penduduk di kawasan tertentu yang terjejas banjir menunggu hingga saat akhir untuk berpindah.

Katanya, sikap seumpama itu bukan saja menyusahkan diri malah menyukarkan pasukan penyelamat menjalankan operasi pemindahan apabila banjir melanda terutama pada waktu malam.
"Semua penduduk yang berada di kawasan terdedah banjir, wajar mengambil langkah awal memastikan dokumen dan barang berharga dipindahkan ke tempat selamat sebelum bencana melanda.

"Kita juga minta pasukan keselamatan khususnya polis untuk menjalankan rondaan di kawasan kampung dan perumahan yang terpaksa ditinggalkan oleh mangsa banjir bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika meninjau mangsa banjir di Kluang, petang semalam.

Di Batu Pahat, sebuah pusat pemindahan baru dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru dan sehingga jam 2 petang semalam, 24 orang mangsa daripada tujuh keluarga telah ditempatkan di sana.

Kini terdapat empat pusat pemindahan di Balai Raya Haji Kamisan, SK Kota Dalam dan SK Taman Sri Kota dan jumlah keseluruhan 88 mangsa.

Di Segamat, lima pusat pemindahan dibuka sehingga jam 3 petang, semalam, membabitkan Balai Raya Kampung Pogoh 2, Kampung Usahajaya, Spangloi, Balai Islam Kampung Paya Dalam dan Batu Badak membabitkan 223 mangsa daripada 46 keluarga.

Di Muar, jurucakap bilik gerakan banjir daerah itu memaklumkan keadaan masih terkawal, bagaimanapun mereka diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca yang mendung sepanjang hari. -BH



Enam Pelancong Brunei Maut Bas Rempuh Pokok

Posted: 20 Dec 2011 05:29 PM PST

Tamparuli: "Saya terhidu bau hangit seperti getah terbakar ketika bas menuruni bukit beberapa detik sebelum kemalangan," kata Mohd Nazirul Mubin, 21, penumpang bas yang terselamat dalam nahas ngeri mengorbankan enam pelancong warga Brunei, di sini, semalam.

Gambar: NGERI...keadaan bas pelancong dari Brunei yang hilang kawalan dan terbalik sebelum merempuh pokok, semalam. Gambar kecil, Abd Manan.

Kejadian pada jam 3 petang di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli itu mengakibatkan bas terbabit yang dinaiki 33 penumpang menggelongsor di atas jalan sebelum merempuh dan 'melekat' di sebatang pokok hingga sebahagian besar bumbung kenderaan terkopak.

Wartawan Harian Metro yang tiba di tempat kejadian mendapati keadaan amat menyayat hati apabila mangsa yang terbunuh dan parah bergelimpangan, selain suara mengerang kesakitan jelas kedengaran.

Mohd Nazirul berkata, sebelum kemalangan bas yang membawa 22 penumpang perempuan dan 11 lelaki itu cuba memintas tiga kenderaan termasuk dua lori.

"Bagaimanapun, bas secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbalik lalu menggelongsor dan merempuh pokok," katanya sambil memaklumkan penumpang bas adalah anggota rombongan kumpulan Muslimah Kampung Mulaut, Brunei. -hm

3 pelancong Brunei maut nahas bas dikenal pasti

TIGA daripada enam pelancong Brunei yang maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres di Tuaran telah dikenal pasti.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata mereka ialah Haji Abdul Manan Haji Ishak, 50, Pangiran Hajah Zahama Pangiran Haji Zainal, 61, dan Hajah Dayang Norhayati Haji Abdul Hadi, 61.

Dua yang lain hanya dikenali sebagai Hajah Faridah, 60, dan Haji Sapawi, 60, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.

"Kami meminta rakan penumpang bas berkenaan mengenal pasti identiti mereka dan belum sempat menyemaknya dengan Jabatan Imigresen kerana apa yang lebih penting adalah menyelamatkan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa nahas di Hospital Queen Elizabeth selepas ke Hospital Tuaran malam tadi.

Beliau berkata enam penumpang bas ekspres itu cedera parah, 12 lagi separa parah manakala enam cedera ringan.

Tan juga berkata tidak banyak maklumat yang diperoleh daripada mangsa nahas yang lain kerana mereka masih trauma dengan kejadian itu.

Beliau berkata ketika kejadian, bas itu membawa 32 orang iaitu 11 lelaki dan 21 wanita, termasuk pemandu serta pembantunya.

Dipercayai terdapat kanak-kanak dalam bas itu ketika nahas berlaku, namun jumlah serta umur mereka yang terlibat belum dapat dipastikan.

Dalam insiden 3.05 petang itu, bas yang membawa pelancong Brunei dipercayai hilang kawalan dan terbalik di selekoh tajam sebelum melanggar sebatang pokok besar di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli dekat Kampung Koporingan di Tuaran.

Bas yang didaftarkan di Brunei itu sedang dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu dari Tawau. — BERNAMA


Enam pelancong Brunei maut bas terbalik

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat serta orang ramai membantu mangsa yang cedera apabila sebuah bas pelancong dari Brunei hilang kawalan lalu terbalik sebelum merempuh pokok di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli, berhampiran Kampung Kaporingan, Tamparuli, semalam.

TUARAN: Enam terbunuh manakala 20 penumpang parah apabila bas sewa khas dari Brunei yang dinaiki terbalik sebelum merempuh pokok di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli, berhampiran Kampung Kaporingan dekat sini, petang semalam.

Bas yang membawa rombongan 31 pelancong kumpulan muslimah Kampong Mulaut itu dalam perjalanan dari Semporna ke Kota Kinabalu sebelum dijadual pulang ke Brunei, Jumaat ini.

Dalam kejadian jam 3.05 petang itu, mangsa yang meninggal dikenal pasti sebagai Abd Manan Ishak, 50; Pengiran Zahamah Pengiran Zainal, 61; Dayang Norhayati Abd Hadi, 61; Faridah, 60; dan Sapawi, 60.
Identiti seorang lagi mangsa wanita yang maut belum dapat dipastikan setakat jam 9 malam tadi.

Dua mangsa meninggal di tempat kejadian, seorang dalam perjalanan ke Hospital Tuaran manakala tiga lagi di hospital.

Mereka yang cedera parah termasuk pemandu bas dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) dan Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada masalah brek yang menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan.
"Setakat jam 9 malam ini (tadi), kita mengesahkan enam penumpang terbunuh, 18 cedera parah dan sembilan yang lain cedera ringan berikutan kemalangan itu.

"Rombongan 31 pelancong yang turut disertai beberapa kanak-kanak itu merangkumi sembilan lelaki dan 22 wanita serta dua pemandu, semuanya warga Brunei," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di QEH di sini, malam tadi.

Hadir sama Konsul Jeneral Brunei di Sabah, Daud Tahir.

Tan berkata, Polis Sabah akan membantu urusan penghantaran pulang jenazah ke Brunei selepas selesai bedah siasat.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Zaharudin Rasip, ketika mengesahkan kejadian berkata, pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika menuruni bukit, menyebabkan ia jatuh mengiring lalu terseret sejauh kira-kira 30 meter sebelum merempuh pokok.

"Rempuhan kuat menyebabkan sebahagian bumbung bas itu tercabut," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Tinjauan Berita Harian di lokasi antara lain menyaksikan penumpang bergelimpangan terbaring sambil meraung kesakitan di atas jalan dan dibantu orang ramai yang melalui jalan berkenaan.

Selain anggota polis, seramai 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Lintas serta Kota Kinabalu menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit, di samping memberi bantuan kecemasan. -BH



Isu Turun Bendera Najib: Najib Perlu Terima Mesej Yang Disampaikan Mahasiswa

Posted: 20 Dec 2011 03:24 PM PST

Aziz Bari: Nak guna akta apa dakwa pelajar turun 'banting' Najib

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Abdul Aziz Bari menegaskan kumpulan mahasiswa SMM dan Bebas tidak perlu dan tidak boleh dikenakan tindakan berhubung insiden menurunkan 'bendera' berbentuk banting berwajahkan Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu.

Menurut Aziz, beliau tidak melihat apa-apa kesalahan dilakukan oleh pelajar-pelajar berkenaan.

"Saya tidak nampak mereka melakukan apa-apa kesalahan, mereka tidak merosakkan harta benda... tidak. Mereka menurunkan dan kemudian menaikkan semula bendera (banting).

"Mereka hendak siasat di bawah undang-undang apa? Nak ambil tindakan di bawah peruntukan apa?" kata beliau mengulas perkembangan di pekarangan ibu pejabat Umno di sini, Sabtu lalu.

Sebaliknya kata pakar perlembagaan ini, Najib selaku perdana menteri perlu menerima mesej yang disampaikan oleh kumpulan mahasiswa berkenaan, yang mengadakan demonstrasi memprotes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Insiden itu dilaporkan berlaku ketika kumpulan mahasiswa dari SMM dan Bebas hendak menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.

Bagaimanapun kumpulan mahasiswa itu menegaskan, mereka tidak akan memohon maaf kepada perdana menteri.

Pemimpin SMM dan Bebas berkata, pihaknya tidak nampak perlunya mereka harus memohon maaf.

"Kami tidak akan meminta maaf. Kita tak perlu meminta maaf. Tindakan menurunkan bendera Datuk Seri Najib selama lima minit dan kemudian dinaikkan semula seharusnya dilihat sebagai satu mesej jelas mahasiswa bahawa perdana menteri perlu serius mendengar suara kami, suara rakyat" kata Pengerusi SMM Ahmad Syukri Abdul Razab.

Saifuddin menuntut mereka memohon maaf dan menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan.

Aziz yang menjadi sasaran siasatan polis, pengurusan UIA dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dua bulan lalu menegaskan, selagi kerajaan tidak memansuhkan AUKU, pelajar-pelajar universiti akan terus memperjuangkan perkara berkenaan.

"Universiti-universiti sudah wujud sebelum AUKU diperkenalkan pada 1971, jadi mengapa perlunya AUKU.

"Kerajaan perlu mendengar suara mahasiswa... jadi mereka tidak perlu meminta, saya tidak perlu memohon maaf, jangan sombong, dengar suara mereka," katanya.

SMM dan Bebas mengadakan demonstrasi tempoh hari menuntut AUKU dimansuhkan untuk mengembalikan kebebasan akademik.

Menjawab soalan sama ada tindakan itu sesuatu yang tidak beradab, Aziz berkata, "kalau nak kata beradap tidak beradap, kita pun saksikan banyak perbuatan dan tindakan pemimpin-pemimpin Umno yang tidak beradap, tidak sopan sebelum ini."

"Saya tidak melihat menurunkan bendera Najib ini sesuatu yang tidak beradap, seteruk tindakan mereka sebelum ini," katanya lagi. -TMI

Maaf bersyarat- SMM

SHAH ALAM- Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sedia meminta maaf atas tindakan mereka menurunkan bendera berwajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi bersyarat.

Presidennya, Ahmad Syukri Abdul Razab berkata, tindakan mahasiswa menurunkan bendera selama lima minit itu juga membawa mesej jelas bahawa perdana menteri perlu serius terhadap suara mereka.

"Pendirian kami, tidak akan meminta maaf tetapi kami akan meminta maaf jika kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan memberi autonomi kepada univerisiti.

"Bukan sahaja kami, bahkan seluruh mahasiswa akan berterima kasih jika ia dapat dimansuhkan,"
katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Selain itu, Syukri turut mempersoalkan tindakan 'bisu' Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dalam isu Auku dan meminta agar beliau bersuara.

Katanya, Khaled seolah-olah berselindung disebalik timbalannya, Datuk Saifuddin Abdullah dalam isu yang melanda mahasiswa ini.

"Kami tiada masalah dengan Datuk Saifuddin malah beliau merupakan ikon yang perlu dihormati oleh semua pihak.

"Bagaimanapun, saya bersimpati dengan beliau yang seolah-olah menjadi mangsa kepada orang yang tidak membuat kerja," katanya.

Beliau turut mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Khaled untuk mengeluarkan kenyataan berhubung isu Auku. -SH


Geng UG Terpijak Tahi Lembu UMNO, Habis Melantung Bau Seluruh Parti [updated]

Posted: 20 Dec 2011 07:31 AM PST

PAS: Hasan Ali, Nasharudin Tolak Usaha Untuk Perbincangan

SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman memberitahu, dua pemimpin parti tersebut, Nasharudin Mat Isa dan Datuk Hasan Ali telah menolak usaha yang dibuat parti untuk berbincang mengenai isu membabitkan mereka.

"Mereka tidak bertindak balas kepada beberapa percubaan. Kami tahu mereka kecewa selepas tewas pada pilihan raya parti," katanya pada sidang media yang turut disertai Timbalannya, Khalid Samad di sini pada Selasa.

"Isu tidak dicalonkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum tidak seharusnya menjadi satu isu. Mereka telah bersama kami selama ini dan tahu prosedur yang digunakan, namum masih mahu mempersoalkannya.

"Nasharudin menggempur hala tuju dan prinsip parti dan semua yang mereka katakan tidak mempunyai bukti kukuh," katanya.

Nasharudin, bekas Timbalan Presiden PAS sebelum ini mendakwa pimpinan parti terlalu obses dengan matlamat politik dan telah meninggalkan perjuangan Islam.

"Kedua-dua Nasharudin dan Hasan perlu menyedari bahawa tindakan mereka akan memakan diri. Parti sudah kukuh dengan ahlinya," katanya.

Dr Rani juga berkata, beliau menganggap Hasan sebagai 'idolanya' dan mendesak agar bekas Pesuruhjaya PAS itu untuk 'berdamai' semula dengan parti.

Khalid pula berkata, parti tersebut tidak akan mengambil tindakan terhadap Nasharudin atau Hasan kerana percaya kedua-dua mereka masih boleh 'diselamatkan'.

Beliau menambah, pemimpin tersebut seharusnya mematuhi disiplin parti dan menerima keputusannya, termasuklah dalam menolak perbincangan mengenai perpaduan antara PAS dan Umno.

"Pucuk pimpinan tertinggi telah memutuskan bahawa ia mahu mengukuhkan perpaduan dalam Pakatan dan ia seharusnya diterima oleh semua," katanya. -mstar

Kenyataan Nasharudin Dikecam Hebat

KUALA LUMPUR: Dakwaan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa bahawa parti semakin lemah dan mengetepikan prinsip Islam demi kepentingan politik menerima kecaman hebat daripada rakan sekutunya.

Beliau turut menyindir kenyataan segelintir pemimpin tertinggi PAS yang mengkritik ucapannya yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu.

Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali mempersoalkan apa yang mendorong kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin kedua parti itu.

"Beliau tidak pernah menyebut apa-apa mengenai kelemahan parti semasa (beliau) menjadi timbalas presiden. Sekarang baru hendak membuat dakwaan itu. Apakah maksud sebenarnya?" soal Mustafa.

Naib Presiden Salahuddin Ayub berkata, beliau tidak boleh menerima dakwaan Nasharudin itu.

Sebagai bekas timbalan presiden, beliau berkata, Nasharudin perlu tahu bagaimana parti itu berfungsi dan tidak ada asas untuk mendakwa PAS semakin terpesong dari prinsip-prinsip berlandaskan hukum syarak (undang-undang Islam).

"Saya tidak menerima pendapat itu. (Perbezaan) hanya menunjukkan pendekatan kami tentang bagaimana untuk berpegang pada dasar kita hari ini.

"Masa sudah berubah dan kita perlu bersikap progresif," kata Salahuddin.

Beliau turut menafikan dakwaan Nasharudin bahawa terdapat unsur-unsur dalaman parti terutama melibatkan kepimpinan tertinggi yang menyebabkan masalah-masalah yang kini dihadapi oleh PAS.

Salahuddin menyifatkan ia sebagai "sesuatu yang tidak benar."

Seorang lagi pemimpin terting yang tidak mahu mendedahkan namanya menuduh Nasharudin tidak mengamalkan seperti yang dipegangnya.

Beliau mendakwa ia merupakan sesuatu yang ironik bagi Nasharudin, yang bercakap tentang mematuhi nilai-nilai Islam.

"Dia (Nasharudin) kini menggunakan kelas perniagaan, jika tidak pun kelas pertama. Dia tidak mengikut prinsip Islam yang mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan dan memerlukan pengorbanan.

"Bagi beliau mengatakan PAS lemah, dan kita mesti mempersoalkan kenapa dia kalah (dalam pemilihan parti lepas). Ia kerana dia benar-benar tersasar daripada sokongan akar umbi dan perjuangan parti," kata pemimpin berkenaan.

Timbalan presiden parti Mohamad Sabu, yang mengalahkan Nasharudin bagi jawatan itu pada Jun berkata, kenyataan Nasharudin itu akan diperbincangkan dalam mesyuarat biro politik pada Rabu.




Ulasan GB

Semakin panas apabila hampir pilihanraya.

Yang nyata sekarang ini kumpulan UG nampaknya beriya-iya mempertahankan "kecurangan" Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa sekalipun Setiausaha Agung parti telah mendedahkan kedua-dua orang tersbeut tidak hadir mesyuarat - bererti tidak menjalankan amanah yang telah diberikan.

Isu ini timbul apabila Ketua Penerangan PAS, Shaari Sungip menyatakan "kemungkinan" Hassan Ali tidak dicalonkan lagi berdasarkan kekurangan pencalonan di peringkat cawangan.

Tiba-tiba masing-masing melenting tak tentu pasal sedangkan apa yang dinyatakan oleh Shaari Sungip adalah fakta prosidur yang memang telah lama diketahui. Kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul rani Osman:

"Isu tidak dicalonkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum tidak seharusnya menjadi satu isu. Mereka telah bersama kami selama ini dan tahu prosedur yang digunakan, namun masih mahu mempersoalkannya.

Anehnya, Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa menggunakan media massa pro-UMNO menghentam PAS. Sesuatu yang pernah satu ketika digunakan oleh bekas pemimpin PKR bernama Datuk Zaid Ibrahim yang lantarannya beliau dihentam oleh ahli PKR (termasuk PAS juga).

Tapi berbeza dengan kes Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa. Mereka mengkritik parti menggunakan akhbara pencacai - dan sebahagian pemimpin PAS mempertahankan terutama mereka yang dikaitkan dengan UG.

Dahulu hanya GB bersendirian mengkritik Mustafa Ali kerana beliau dilihat merupakan master-mind UG di dalam PAS. Ramai juga yang menghentam GB selepas itu terutama dari kalangan UG yang "lubuknya" terdapat di Terengganu dan Selangor.

Tetapi apabila Mustafa sudah meninggalkan gagasan tersebut, maka GB tidak lagi mengkritiknya, malah bersyukur kepada Allah telah mengembalikan Mustafa Ali ke dalam saf perjuangan PAS yang sebenar.

Anehnya, yang mengkritik Mustafa Ali kini ialah pemimpin dan ahli yang masih setia dengan gagasan gila itu - kononnya Mustafa mendedahkan kelemahan pemimpin mereka secara umum tetapi mereka membisu apabila sebelumnya Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa mengkritik parti terang-terangan melalui media UMNO.

Diantara yang lantang mempertahankan kedua-dua itu tak lain dari pemuka-pemuka UG juga, termasuklah Tuan Ibrahim, Harun Taib, Nik Abduh dan beberapa blogger ala-pencacai.

Kebetulan timbul isu ini selepas "isu lembu NFC hangat diperkatakan dan "suweh" menimpa akhbar Utusan apabila ia diperintakan oleh mahkamah membayar RM200,000 kepada Lim Guan Eng kerana telah memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

GB sudah lama melihat hal ini akan berlaku. Sebelum ini di dalam entri bertajuk Siapa Yang Bakal Terkena Suweh Penyapu?, GB telah ulas. Petikan:

Jangan lupa Khir Toyo yang dahulu menghadiahkan penyapu kepada PBT, tiba-tiba beliau yang ditimpa suweh sehingga sekarang tak habis-habis lagi.

Kerana apa? Mentaliti orang Melayu dah anggap penyapu itu pembawa suweh. "Kamu ialah apa yang kamu fikirkan"!

Maka yang akan ditimpa suweh nanti nampaknya bukan Khalid Ibrahim tetapi kepada penghadiah penyapu itu iaitu UMNO Selangor yang berselindung di sebalik nama NGO yang dikenali sebagai GEMPAK dan WARISAN.

Kalau geng kepala lembu sudah menerima habuannya, tak lama lagi geng penyapu dan mangkuk tandas ini bakal menerima apa yang mereka lakukan bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali namanya.

Allah itu Maha Melihat dan Allah itu Maha Berkuasa. Sebenarnya Allah yang akan mengurniakan habuan pembalasan itu, bukan kerana suwehnya penyapu.

Dia juga yang akan menunjukkan siapa sebenarnya yang bertanduk. MB Selangor & Khalid Samadkah atau geng songkok tinggi bersama-sama "UG". Di dalam Islam, yang jahat akan terkena balik kejahatan yang mereka lakukan. Di dalam konteks demonstrasi semalam nampaknya UMNO Selangor yang diwakil oleh geng bersongkok tinggi bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali & kumpulan UG bakal terkena "suweh penyapu" itu disertai dengan wartawan-wartawan & akhbar-akhbar yang menjulang tinggi tindakan mereka itu.

InsyaAllah, pemerhatian GB ini tidak silap.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca








Dana Lembu NFC Diguna Beli Kondo RM10 juta Di Singapura

Posted: 20 Dec 2011 05:35 AM PST

PKR hari ini mendedahkan satu lagi isu berkaitan dengan projek kontroversi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) — kali ini mendakwa sebuah unit kondominium mewah bernilai RM10 juta pula dibeli di Singapura tahun lalu.

Ia pendedahan ketiga membeli hartanah menggunakan dana NFC, projek yang dikatakan bermasalah menurut Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Bulan lalu, PKR mendedahkan unit-unit kondominium dibeli di Bangsar dan sebidang tanah di Putrajaya.

"Memandangkan Umno dan Datuk Seri Shahrizat Jalil belum memberi tanda-tanda akan ada pertanggungjawaban kepada penyelewengan dana rakyat melalui NFC seperti yang dituntut rakyat, PKR akan terus membongkar penyalahgunaan dana awam bagi kepentingan peribadi keluarga menteri berkenaan," kata kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Strategi Rafizi Ismail dan Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin, PKR berkata pihaknya boleh mengesahkan ada bukti-bukti pembelian sebuah kondominium mewah di 7 Anthony Road, Orchard Scotts, Singapore oleh keluarga Shahrizat Jalil pada 27 Januari 2010.
http://www.blogger.com/img/blank.gif
Kata mereka, kondominium itu dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki persegi iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.

"Pembelian harta mewah oleh keluarga menteri ini lebih memualkan bila mana ia didaftarkan terus di atas nama mereka berbanding dengan pembelian dua kondominium mewah di One Menerung yang didaftarkan di atas nama syarikat National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd," katanya lagi. -TMI

Ulasan GB

Tepat seperti yang GB suarakan sebelum ini bahawa:
Shahrizat Kena Pilih Salah Satu: Letak Jawatan Atau Terus 'Dibogelkan'

Dakwat Kekal: Belum Ada Hitam Putih, SPR Didakwa Cuba Alih Perhatian

Posted: 20 Dec 2011 02:45 AM PST

SPR cuba alih perhatian

KOTA BHARU – Penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) seperti yang dinyatakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof belum ada hitam putih.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Wan Nik Wan Yusof berkata, walaupun SPR menyatakan persetujuan untuk menggunakan kaedah tersebut, ia belum ada kata putus daripada pihak kerajaan.

Menurutnya, pengumuman itu mungkin hanya untuk mengalih perhatian orang ramai kepada isu lain yang lebih serius seperti pertindihan daftar pemilih yang masih belum diselesaikan sepenuhnya.

"Setakat ini, kita lihat SPR akan bersandarkan kepada kabinet, menteri atau Parlimen, kita hanya boleh mempercayainya selepas ia diumumkan secara rasmi oleh kerajaan. Mungkin juga ia hanya untuk memberitahu kepada rakyat bahawa SPR melakukan sesuatu untuk menjadikan pilihan raya lebih adil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Aziz yang bersetuju memenuhi salah satu tuntutan Bersih 2.0 itu semalam.

Contoh dakwat kekal yang akan digunakan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan kandungan sebelum dikemukakan kepada kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan untuk tindakan susulan.

Dakwat kekal 'silver nitrate' yang akan digunakan digunakan di beberapa negara bagi memastikan pilihan raya berjalan secara adil dan ianya berbeza dengan dakwat kekal yang disyorkan pada PRU 12.

Sementara itu, Timbalan Exco Negeri Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, rakyat mahukan PRU 13 berjalan adil dan bebas daripada sebarang bentuk keraguan.

"Buatlah apa saja asalkan rakyat berpuas hati dan penggunaan dakwat kekal hanya salah satu daripadanya sedangkan SPR sewajarnya terlebih dahulu menyelesaikan isu lain yang lebih besar," katanya.

Katanya, aduan mengenai wujudnya pengundi hantu dalam daftar pemilih sehingga ke hari ini belum ada jawapan meyakinkan sehingga rakyat menilai sendiri kredibiliti SPR itu sendiri. -SH

Dakwat kekal: Jangan ada halangan seperti 2008

KUALA LUMPUR, 19 Dis: PAS mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan bahawa tidak akan ada lagi sebarang halangan untuk menggunakan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 seperti yang berlaku pada 2008.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, biarpun menyambut baik pengesahan SPR untuk menggunakan dakwat kekal itu, namun apa yang dibimbangi sejarah PRU ke-12 pada Mac 2008 lalu akan berulang.

"Kita alu-alukan ianya dilaksanakan. Cuma kita harap tidak ada lagi halangan seperti dakwat lewat sampai dan sebagainya.

"Kita juga nak kepastian berhubung dengan kualiti dakwat tersebut," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Krai ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengesahan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa dakwat kekal akan digunakan pada PRU akan datang.

Aziz berkata, SPR juga bersetuju untuk melaksanakan undi awal kepada semua anggota polis dan tentera, termasuk isteri mereka kecuali jika berada dalam tugas dan memohon membuat undian pos.

Kedua-dua pembaharuan yang akan diperkenalkan itu adalah sebahagian kecil dari cadangan jawatankuasa pilihan khas (PSC) parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya yang syornya dibentang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Cadangan penggunaan dakwat kekal hampir-hampir digunakan pada PRU ke-12 pada tahun 2008, namun ianya ditarik balik beberapa hari sebelum pengundian.

"Kita juga minta agar SPR memberi penerangan awal kaedah penggunaan (dakwat kekal) supaya mudah untuk kita memberitahu kepada petugas parti yang akan terlibat," kata Hatta yang juga salah seorang anggota PSC itu.

Hatta juga menyifatkan keputusan terbaru SPR itu sebagai kejayaan rakyat yang menuntut penggunaan dakwat kekal sejak sekian lama termasuk melalui himpunan Bersih 10 November 2007 dan terbaru Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

"Saya berani katakan, desakan rakyat inilah yang memaksa kerajaan untuk akur menggunakan dakwat kekal.

"Harapan kita supaya penggunaan ini akan mengelakkan mana-mana pihak mengundi lebih sekali," katanya. -HD



Tiada ulasan: