Rabu, 21 Disember 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Cakap Apa Pun Orang Dah Tak Percaya Lagi..

Posted: 21 Dec 2011 12:25 AM PST

'Tiada niat sebesar zarah untuk sertai Umno'

KUALA LUMPUR, 21 Dis: "Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah adalah ahli PAS, dan perjuangan saya kekal bersama PAS untuk menjunjung risalah Islam menyumbang kepada ummah dalam apa juga keadaan," tegas AJK PAS Pusat, Nasharudin Mat Isa.

"Berikutan beberapa dakwaan, tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan secara langsung oleh beberapa pihak terhadap saya sejak kebelakangan ini menerusi media massa, blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter, saya berasa perlu untuk mengeluarkan kenyataan media ringkas sebagai penjelasan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, sebagai seorang yang terdidik dalam dua dunia dan latar belakang berbeza iaitu bukan agama dan kemudiannya berpindah kepada pengajian Syari'ah dan Perbandingan Undang-Undang, beliau menyedari sepenuhnya bahawa pembabitan langsung di pentas politik nasional pasti mengundang seribu satu macam cabaran dan dugaan.


Katanya, dalam dunia dakwah, kita dididik dengan hakikat bahawa laluan dakwah ini tidak dibentang dengan hamparan permaidani merah, jauh sekali untuk sentiasa direnjis dengan wangian bunga.

"Saya akur sepenuhnya dengan Tariqud-Dakwah (Jalan Dakwah) yang saya lalui ketika ini telah lebih awal disusuri oleh para anbiya', sahabat dan ulamak terdahulu daripada kami yang memilih PAS sebagai pentas perjuangan politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia," ujarnya yang juga ahli Parlimen Bachok.

Justeru, jelas Nasharudin lagi, dakwaan kononnya beliau 'terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno' adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas.

Menurutnya, sepanjang pembabitannya dalam PAS yang saya terima sebagai wadah menyampaikan suara Islam kepada umat di Malaysia, belum pernah beliau ungkapkan bahawa akan menyertai Umno.

Justeru, ujarnya buat kesekian kalinya beliau menegaskan bahawa tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai Umno.

"Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar.

"Saya harap penjelasan ringkas ini memadai dalam mengukur kesetiaan saya terhadap perjuangan PAS," jelasnya lagi.

Mahfuz anggap Hasan isytihar perang terhadap PAS

Posted: 20 Dec 2011 11:53 PM PST

Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menganggap tindakan bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mempersoalkan konsep negara kebajikan anjuran parti itu seperti mengisytiharkan perang terhadap parti Islam itu.

Mahfuz berkata, konsep negara kebajikan telah dipersetujui dalam muktamar tahunan parti itu dan oleh itu, ia tidak harus dipersoalkan sekarang.

katanya, jika Hasan mempersoalkan konsep itu sekarang, ia nampak seperti exco kerajaan Selangor itu mengisytiharkan perang terhadap PAS kerana adalah tidak wajar untuk mempersoalkan keputusan yang dibuat dalam muktamar.


Mahfuz bertanya sama ada apa yang PAS lakukan salah kerana Islam juga menganjurkan konsep negara kebajikan.

Mahfuz, bagaimanapun, tidak menggesa Hasan meninggalkan parti itu, tetapi berkata beliau (Hasan) boleh menentukan sendiri masa depannya dalam PAS.

Maka, katanya, adalah tidak perlu untuk beliau memberi apa-apa nasihat kerana Hasan yang merupakan seorang penceramah motivasi terkenal.

Tetapi, tambahnya, jika beliau dalam kedudukan Hasan, "saya akan angkat kaki".

Menyanggah Fitnah PAS Ketepi Perjuangan Kerana DAP

Posted: 20 Dec 2011 09:50 PM PST

Meskipun Umno menjadikan DAP sebagai sasaran utamanya dalam perhimpunan agung Umno 2011, target sebenarnya adalah untuk melemahkan PAS atau sekurang-kurangnya terus meletakkan parti Islam itu dilihat sebagai komponen terkecil dalam Pakatan Rakyat.

Ia bagi memudahkan Umno memainkan emosi dan sentimen pengundi Melayu, serta menyuntik keraguan tentang keupayaan PAS untuk "menggantikan Umno" sebagai teras dalam kerajaan baru nanti

Melalui kolum ini, agak kerap juga saya mengingatkan bahawa seteru politik Umno yang utama, daripada dahulu hingga sekarang, tetap sama, iaitu PAS. Justeru, walaupun ada suara pemimpin tertinggi Umno untuk mengajak PAS mengadakan persefahaman politik, seperti pada 1999 dan 2008 -- setiap kali sebaik saja keputusan pilihan raya yang menjejaskan Umno -- ia lebih kepada usaha terdesak parti itu bagi mengekalkan kuasa.


(Menjelang pilihan raya 1990, yang menyaksikan persefahaman politik pembangkang yang menggusarkan Dr Mahathir Mohamad, PAS juga didekati dengan motif menggagalkan barisan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat, yang diketuai tengku Razaleigh Hamzah).

Demi survival kuasa, Umno bersedia melakukan apa jua, termasuk menyembah dan mengemis individu atau parti yang dimusuhinya sejak lama. Pada 1999, Dr Mahathir beberapa kali beria-ia memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor, untuk membincangkan isu-isu "perpaduan ummah".

Ya, kita tidak boleh bayangkan bagaimana wajah Umno tanpa singgahsana kuasa. Benar, Umno tewas beberapa kali, di beberapa negeri, tetapi ia tetap dapat berpaut erat dengan kuasa kerajaan persekutuan, yang masih menjanjikan pelbagai "keasyikan". Kekayaan, prestij dan pengaruh terus terpelihara.

Apabila kedudukan Umno yang tergugat teruk dalam pilihan raya 1999, sehingga mencalarkan imejnya sebagai parti terbesar orang Melayu, telah dapat dipulihkan dalam pilihan raya 2004, maka tawaran atas nama "perpaduan ummah" itu tidak timbul lagi. PAS kembali digasak dan diasak. Pelbagai istilah dan label negatif yang dilemparkan sebelum itu timbul kembali. Aktivisnya seolah-olah menjadi warganegara kelas kedua, ditekan dan ditindas jika ada peluang berbuat demikian.

Sebaik saja kuasa Umno kembali terancam, seperti berlaku pada 2008, maka kedengaran kembali suara-suara merintih dan merayu untuk menjalin kerjasama dan muafakat, atas nama kepentingan bangsa dan memartabatkan agama. Seolah-olah selama ini Umno begitu prihatin dengan degup jantung penderitaan umat ... Didengungkan bahawa Melayu akan kehilangan kuasa politik sedangkan yang panik menanti saat-saat kejatuhan adalah Umno.

Namun, selepas ajakan atau pelawaan ditolak, secara tiba-tiba PAS akan dituduh sudah terpesong jauh, serta menyeleweng daripada prinsip dan perjuangannya yang asal, walhal selama ini Umno tidak pernah pula menghormati dasar Islam yang diasaskan sejak penubuhan PAS 60 tahun lalu itu.

Oleh kerana imej buruk DAP di kalangan masyarakat Melayu-Islam dikira masih belum dapat dibersihkan, maka wajah PAS akan dihodohkan dengan bermacam-macam dakwaan dan tohmahan seperti "PAS alat DAP", "PAS menjadi biro agama DAP", "PAS diperkudakan DAP". Segala perubahan pendekatan yang diambil oleh PAS -- sesuatu yang lazim bagi mana-mana parti politik yang dinamik -- akan dikaitkan dengan "ketamakan untuk berkuasa" dan "keghairahan untuk mendakap Putrajaya".

Kebetulan pula dalam PRU12, DAP menunjukkan prestasi paling cemerlang berbanding PAS dan KeADILan. Dalam masa sama, politik sering dikaitkan dengan bilangan atau nombor. Meskipun diakui bahawa dalam Pakatan Rakyat, tiada mana-mana parti, walaupun mempunyai kerusi lebih banyak, boleh memaksa kehendaknya kepada pihak lain, sepertimana Umno sering bertindak kepada komponen BN, namun real politik harus diambil kira.

Apa pun, tohmahan Umno tidak akan berhenti di situ. Misalnya, apabila PAS melancarkan Dokumen Negara Berkebajikan baru-baru ini, susulan daripada tema muktamar tahunan Jun lalu, strategis Umno terus menuduh bahawa DAP menjadi faktor utama PAS beralih daripada memperjuangkan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan.

Dalam berita Bernama TV, malam Jumaat lalu, Naib Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi melemparkan tuduhan sama. Katanya, perubahan dasar dalam PAS ditentukan oleh taukeh politiknya, DAP. Sedangkan tema Negara Berkebajikan ini bukan perkara baru. Model negara yang diiktibarkan daripada al-Quran dan Sunnah ini terakam sejak penubuhan PAS lagi, dengan ungkapan "Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur", bermaksud "Negara yang sejahtera dan (mendapat keampunan) Tuhan Yang Maha Pengampun".

Malah, tema manifesto PAS dalam pilihan raya 2008, yang dilancarkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di Pejabat Agung, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, pada 21 Februari 2008 adalah "Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih: Menuju Negara Berkebajikan". Harus diingat bahawa ketika itu belum lagi ditubuhkan Pakatan Rakyat, dan PAS juga tidak mengadakan kerjasama politik secara langsung dengan DAP, selepas parti itu keluar daripada Barisan Alternatif sebelum pilihan raya 2004.

Dalam ucapan pelancaran manifesto itu, Ustaz Hadio berkata, tanggungjawab menunaikan Negara Berkebajikan ini adalah lebih luas daripada istilah yang difahami di politik Barat 'welfare state'. "Walaupun sebahagiannya dilaksana oleh negara-negara Barat, objektif yang dimaksudkan oleh PAS dalam negara ini adalah lebih luas. Bagi merealisasikan tema ini PAS menonjolkan tiga ciri yang penting bagi pemerintahan dan pentadbiran negara iaitu beramanah, adil dan bersih," katanya.

Ternyata Umno bertungkus-lumus berusaha menyambung talian hayatnya di atas siri pembohongan dan penipuan ....

Ahmad Lutfi Othman

Muslimat PAS turut selar Hasan Ali

Posted: 20 Dec 2011 09:24 PM PST

Dewan Muslimat menyelar tindakan bekas naib presiden PAS, Datuk Dr Hasan Ali ekoran tindakannya mempersoalkan "Negara Berkebajikan" PAS serta menuduh parti itu terkeluar daripada landasan perjuangannya.

"Pendirian sebegini sesungguhnya adalah pendirian Umno yang senantiasa mahu memburukkan dan melemahkan PAS khususnya di mata orang Melayu," kata ketua penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi.

"Persoalan kami, apakah nawaitu Datuk Dr Hasan Ali ketika bercakap mengikut rentak musuh-musuh politik PAS?


"Begitu juga bila beliau "memainkan" isu 3R – Religion, Race and Royal (Agama, Bangsa Dan Raja) yang umum juga tahu ini adalah strategi dan senjata Umno untuk terus mendapatkan "sokongan hayat" dari para simpatisan dan chauvanis Melayu?" katanya dalam satu kenyataan.

Aiman menegaskan bahawa Dewan Muslimat berpendirian bahawa "mempertikaikan Negara Berkebajikan bermaksud juga mempertikaikan dan tidak menghormati presiden dan perwakilan Muktamar Tahunan PAS yang sebulat suara menerima ucapan dasar presiden."

Katanya, Muslimat PAS menyifatkan tindakan terbaru Hassan melalui pendirian kenyataan medianya kelmarin, telah mempertikaikan sepenuhnya PAS, presiden, naib presiden, setiausaha agung dan perwakilan Muktamar Tahunan PAS 2011.

"Satu Malaysia telah menyaksikan tindakan ini kerana telahpun disiarkan oleh TV3 melalui slot Buletin Utama.

"Justeru, Dewan Muslimat menyarankan agar tindakan tatatertib yang tegas mesti diambil oleh PAS ke atas beliau agar tindakan seumpama ini tidak menjadi budaya dan ikutan," tambahnya.

Menurutnya, PAS wajar memperkasakan keperluan disiplin di dalam parti kerana PAS bukan sahaja dilihat sebagai parti politik biasa sifatnya tetapi juga sebagai sebuah gerakan Islam yang diterima di peringkat dunia - hatta dihormati kawan dan lawan.

"Ini juga yang kami fahami sejak muda remaja dalam asuhan dan tarbiyyah PAS. Ini kekuatan yang telah menghimpunkan generasi muda yang cintakan Islam untuk hadir berjuang dan memperjuangkan Islam bersama PAS," tambahnya.

Sehubungan itu, tegasnya, Dewan Muslimat menyeru kepada semua anggota gerakan Islam – PAS di semua peringkat baik "Qiadah" (pimpinan) mahupun "Jundiyyah" (pengikut/pelaksana) agar memahami dan menjiwai peruntukan dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2011), Fasal 82 (1) (g).

"Dewan Muslimat juga menyelar percubaan dangkal dan nakal pihak-pihak tertentu yang berterusan memfitnah PAS dan kepimpinan PAS bahawa kononnya telah menjadi kuda tunggangan DAP dan seumpamanya.

"Sebenarnya, jika diteliti inilah nada dan ungkapan versi Umno kini. Malangnya kedapatan juga "dilagukan" oleh segelintir pimpinan dan ahli PAS yang kami sifatkan berada dalam dua situasi - 1: Bijak tapi bermasalah; 2: Dungu dan gelap hati," tambahnya.

Sambil menegaskan bahawa PAS adalah parti paling "senior" dalam lanskap politik Malaysia kini, Aman berkata: "Keanggotaan PAS pula adalah daripada pelbagai peringkat latarbelakang pendidikan, sosial dan usia.

"Pemimpin dan ahli boleh datang dan pergi tetapi Islam yang mendasari perjuangan PAS dan kekuatan "infrastruktur organisasi" di dalam PAS itu insya-Allah semakin teguh dan utuh.

"Gagal memahami sejarah dan "nilai-nilai" perjuangan PAS akan menatijahkan tindakan dan suara yang sumbang sekalipun individu itu galak melaungkan mereka mahu kembalikan PAS ke landasan asal kerana kononnya telah tersasar!

"Perangai seumpama ini telah kita lihat berulang kali dalam sejarah perjuangan PAS tetapi insya-Allah PAS semakin kuat kerana yang memelihara Gerakan Islam PAS ini sesungguhnya adalah Allah Azza Wajalla.

"Hakikat yang mesti kita semua sedari ialah Allah sedang merancang suatu yang lebih baik untuk PAS agar upaya merealisasikan Islam Rahmat Kepada Sekalian Alam. Dewan Muslimat berharap Pimpinan tertinggi akan mengambil langkah wajar seperti yang dicadangkan," katanya.

Muslimat PAS juga, tambahnya, menyeru semua anggota gerakan Islam PAS agar Fokus menghadapi PRU13, perkemaskan gerakan dan bersama-sama menuju ke Putrajaya.

"Insya-Allah, tanda-tanda Kemenangan semakin terserlah.

"Buat anak-anak muda yang kami kasihi, contohi dan susuri strategi kemenangan Sultan Muhammad Al Fateh ketika menawan Kota Constantinople, bukannya keliru dan dikelirukan oleh pemikiran dan pendirian Datuk Dr Mohd Hassan Ali!" tegasnya.

Awang Adek akui terima deposit

Posted: 20 Dec 2011 08:45 PM PST

Timbalan menteri kewangan Datuk Dr Awang Adek hari ini menjelaskan bahawa deposit wang ke dalam akaun peribadinya, seperti didakwa satu blog, merupakan sumbangan untuk program sosial.

Ketua bahagian Umno Bachok itu mengakui telah menerima sumbangan yang dipertikaikan itu melalui salah satu daripada tiga akaun peribadinya.

Akaun peribadi itu dibuka pada 2004 untuk membiayai program di kawasan Bachok, katanya.

Bercakap dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini, Awang berkata beliau mempunyai semua rekod transaksi daripada sumbangan berkenaan yang dikendalikan oleh seorang pegawai khas.


"Banyak syarikat dan individu derma untuk jalankan kegiatan dan program untuk rakyat Bachok, bahagian saya. Semua diuruskan melalui akaun saya.

"Rekod ada. Siapa bagi, ada. Perbelanjaan pun ada," katanya lagi yang menambah, rekod berkenaan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Awang berkata, sumbangan dalam bentuk cek dan tunai itu digunakan untuk program seperti bantuan Hari Raya sebanyak RM100 untuk 4,000 keluarga dan juga kelas tuisyen kepada pelajar di 33 sekolah rendah.

Katanya beliau menerima semua sumbangan melainkan ia diberikan dengan niat tertentu seperti untuk mendapatkan projek.

Tegasnya, beliau tidak ada kena mengena dengan penganugerahan kontrak kerana ianya dibuat pada peringkat jawatankuasa dan beliau hanyalah seorang timbalan menteri.

Timbalan menteri nafi dakwaan rasuah

Timbalan menteri kewangan Datuk Dr Awang Adek menafikan dakwaan rasuah ke atas beliau yang dibuat satu blog tanpa nama, bahawa beliau telah menerima rasuah untuk meluluskan kontrak membina bangunan kerajaan.

"Saya bersedia untuk menjelaskan pada masa sesuai kerana saya pasti saya tidak membuat apa-apa kesalahan," katanya kepada Malaysiakini, semalam.

Tambahnya, beliau akan membuat penjelasan setelah beliau menerangkan beberapa isu berkaitan dengan dakwaan itu.

Dakwaan memeranjatkan itu dibuat oleh blog bernama 'Thewhistleblower711' yang mula aktif sejak 24 November lalu.

Empat orang individu dinamakan dalam blog berkenaan termasuk Awang Adek berhubung satu kontrak Jabatan Kerja Raya yang didakwa diberikan kepada satu syarikat milik seorang pemimpin bahagian Umno Johor.

Kontrak berkenaan didakwa untuk menyediakan perkhidmatan kepada Bangunan Sultan Iskandar, yang sebelum ini dikenali sebagai Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Tulisan bertarikh 27 November itu mendakwa, "sumbangan" sebanyak RM100,000 telah dibayar kepada akaun peribadi Awang secara berperingkat-peringkat untuk kontrak yang diluluskan pada November 2010 itu.

Blog berkenaan juga menyiarkan gambar-gambar didakwa salinan kepada cek dan resit deposit wang yang terlibat dalam transaksi tersebut.

Selamat Tinggal UIA..

Posted: 20 Dec 2011 04:52 PM PST

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Prof Dr Abdul Aziz Bari, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menjadi sasaran siasatan tiga pihak dua bulan lalu, akan melangkah keluar dari pusat pengajian tinggi itu, 31 Disember ini.

Ketika dihubungi malam tadi, pakar perlembagaan itu mengesahkan perkembangan terbaru ini.

"Ia hari terakhir saya berkhidmat di UIA," kata beliau (gambar).

Bagaimanapun beliau tidak memberitahu rancangan masa depannya.


"Saya tidak dipecat oleh UIA dan saya yakin mereka tidak ada alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

"Apa pun senario yang ada tidak mengizinkan saya berfungsi sebagai ahli akademik yang komited kepada ideal kebebasan akademik," kata beliau dengan merujuk kepada perkembangan sejak beberapa bulan lalu.

"Kemungkinan, saya merupakan tenaga akademik pertama menjadi mangsa disebabkan persekitaran seperti ini, berhadapan dengan tekanan kerana memberi komen hanya berdasarkan kepakaran saya.

"Memang ada tenaga akademik yang pernah berhenti kerana bercakap atas platform menggunakan pertubuhan bukan kerajaan, tetapi saya memberi pandangan mengenai isu-isu semasa menggunakan kepakaran saya," kata beliau lagi.

Awal bulan ini, beliau tidak menafikan beliau akan meninggalkan UIA ekoran siri tekanan termasuk siasatan berkenaan kenyataan beliau menyentuh titah Sultan Selangor dalam kes Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)-gereja.

"Saya sedang mempertimbangkan perkara ini, ada beberapa opsyen," kata beliau ketika itu.

Aziz berkata, walaupun ada beberapa pilihan tetapi jika boleh mahu terus kekal berkhidmat dalam bidang akademik.

Bulan lalu, Sultan Selangor secara langsung dan terbuka telah menyebut nama Aziz berhubung isu audit Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pada Oktober itu, Aziz menerima surat tunjuk sebab berhubung isu titah Sultan Selangor - yang ketiga sepanjang berkhidmat dengan UIA.

Menurut surat tunjuk sebab UIA itu, Aziz didakwa telah memudaratkan imej universiti.

Setakat ini, kata Aziz, hasil siasatan UIA belum diketahui.

Beliau juga disiasat oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Aziz, 52, telah berkhidmat lebih dua dekad di Kuliah Undang-undang UIA dan sering dilantik sebagai pemeriksa luar bagi ijazah lanjutan baik di dalam maupun di luar negara.

The Malaysian Insider difahamkan Aziz juga telah disenaraikan untuk kenaikan pangkat sebagai profesor gred 'A'.

Ditanya perasaannya, Aziz berkata, beliau rasa berat dan sedih meninggalkan universiti, khususnya para pelajar yang berebut-rebut mahu mendaftar mengikuti kursusnya.

Beliau juga tidak dapat berbuat apa-apa dan meninggalkan beberapa orang pelajar pengajian doktor falsafah.

Mengulas mengenai rancangan masa depan, Aziz berkata, "saya masih ada kertas peperiksaan yang perlu ditanda selain memastikan para pelajar PhD saya selamat dan tidak ditolak ke sana ke mari. Buku-buku saya juga banyak dan ini semua perlu diangkut balik dan ini semua memakan masa paling tidak sebulan."

Mengenai spekulasi yang beliau akan memasuki politik, Aziz memberitahu, "politik sebagaimana akademik adalah medan yang perlu untuk perubahan dalam masyarakat."

"Tetapi politik bukan bidang yang akan jadi profesyen saya sebagaimana akademik. Saya tetap akan berfungsi sebagaimana sebelumnya, khususnya memberi pandangan, menulis dan seumpamanya. Saya harap saya akan kembali ke dunia akademik meskipun tidak semestinya di UIA," katanya lagi.

Difahamkan Aziz sedang menyiapkan buku ke-10 beliau, yang menyentuh mengenai kedudukan dan peranan raja berperlembagaan di Malaysia.

Sidang Akhbar Syok Sendiri Hasan Ali

Posted: 20 Dec 2011 05:29 AM PST







Tiada ulasan: