Kelab Greenboc |
- Jururawat Pelatih Maut Selepas Kena Ragut
- Umno Jangan Mimpi Perpaduan Umno-PAS
- Pemuda PAS Buat Laporan Polis Isu Video Klip Hina Hudud
- 2 Kanak-kanak Parah Digigit Siamang Di Zoo
- [Bergambar] Pudu Pula Dilanda Banjir Kilat
- Tiga Menteri Pertanian Didakwa Sangkut Projek NFC
- [Video] Bekas Ketua Puteri Umno Ikrar ‘Gantikan Umno Dengan PAS’
- Winnable Candidate: Shahidan Kasim Dah Lompat Masuk Bakul Dulu
- Najib Sudah Bersedia Untuk Bubar Parlimen, Tunggu Hakim Putuskan Kes Liwat
- Perompak Ditembak Mati Oleh Pengawal Keselamatan Dalam Bank
- Utusan Diperintah Bayar RM200,000 Kepada Lim Guan Eng
- Isy, Pasangan Remaja Dicekup Berasmara Dalam Hume
Jururawat Pelatih Maut Selepas Kena Ragut Posted: 15 Dec 2011 12:30 AM PST Georgetown - Kejam perkataan paling sesuai diberikan kepada individu yang bertanggungjawab menyebabkan kematian seorang jururawat pelatih sebuah hospital swasta dekat sini, malam kelmarin. Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, G Malathi, 24, maut dipercayai diragut sebelum terbabas berikutan gagal mengawal motosikalnya di Jalan Residensi, dekat sini. "Mangsa dipercayai bergelut dengan peragut yang menyebabkan dia tidak dapat mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda berseorangan. "Mangsa anak kedua daripada tiga beradik meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius," katanya. Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terbabas, namun punca kemalangan masih disiasat. Menurutnya, dompet dan telefon bimbitnya juga gagal ditemui. Difahamkan, mangsa yang baru setahun bekerja di sebuah hospital swasta di Jalan Macalister dekat sini mempunyai kelulusan Diploma Kejururawatan dari sebuah institut pengajian tinggi swasta di negeri ini dan berasal dari Gelugor. Ketika ditemui, mangsa berpakaian kemeja T dan dalam keadaan terbaring, manakala motosikalnya berada berhampiran pada jarak kurang lima meter dari lokasi kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian itu dan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1989. "Mayat mangsa dihantar ke HPP untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya," katanya. -SH |
Umno Jangan Mimpi Perpaduan Umno-PAS Posted: 14 Dec 2011 11:33 PM PST Tiga kali Muktamar PAS memutuskan dan mengulangi ketegasannya bahawa tidak akan wujud gabungan atau persefahaman atau dalam istilah apapun antara PAS dan Umno. Bahkan Keputusan Muktamar itu disusuli kenyataan demi kenyataan dari pemimpin PAS bahawa parti itu akan terus setia dengan Pakatan Rakyat, gabungan yang telah mencapai kemenangan besar dalam PRU Ke-12 2008 yang lalu. Oleh itu segala kenyataan dari pemimpin Umno dan mereka yang sehaluan dengannya mengenai perlunya persefahaman atau gabungan PAS-Umno kononnya demin untuk perpadian ummah, hanyalah 'cakap-cakap tepi jalan' yang tidak mempunyai makna dan andaran apa-apa. Cakap-cakap manis dibibir pemimpin Umno ini hanya untuk menimbulkan suatu tanggapan palsu bahawa kononnya Umno memang mahukan pepaduan Melayu/Islam demi untuk kepentingan politik umat Islam. Apabila jelas PAS menolaknya berulang kali, lalu mereka membuat andaian dan tuduhan jahat bahawa PAS takut dengan kemarahan DAP, atau tunduk kepada pengaruh DAP yang tidak mahu Umno bergabung dengan PAS. Dakwaan karut ini terus diulangi oleh pemimpin Umno di mana saja ada kesempatan, terutama menjelang PRU Ke-13 ini. Iaitu dengan maksud untuk menanamkan kebencian orang Melayu terhadap PAS dan seterusnya DAP bahawa PAS lebih bersedia menerima DAP dari Umno. Mereka menjaja premis ini terumata di luar bandar, kerana mereka yakin dakwaan ini mudah diterima oleh orang Melayu kerana untuk puluhan tahun digambarkan oleh Umno/BN ini bahawa DAP adalah parti perkauman Cina dan berbahaya kepada orang Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa. Secara tidak benar mereka menggambarkan bahawa DAP adalah dominan dalam Pakatan Rakyat sementara PAS hanya mengikut kehendak PAS. Analogi palsu ini bertahun dijaja oleh Umno/BN dan ditiupkan kembali dengan hangatnya menjelang PRU Ke-13. Ini semata-mata untuk mengekalkan kuasa Umn/BN yang bergelomang dengan rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi. Oleh itu penegasan berulang kali oleh pemimpin PAS bahawa parti itu tidak akan bergabung dengan Umno adalah penegasan yang sepatutnya diterima oleh orang Melayu yang sesetengahnya mungkin terpengaruh dengan propaganda Umno ini. Oleh itu adalah wajar saya perturunkan kembali sebahagian Surat Terbuka Kepada Orang Melayu dari Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang: "Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan di atas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno. Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk. Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah di tanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu lebih dulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada di tanah air ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah Barat. Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir di kawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan di antara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka. Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar. Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh di belakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai Barat dan Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam. Umno sebenarnya yang bermasalah. Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam di samping atau di belakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis. Akhirnya orang Melayu bukan saja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi di bumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan Bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesedaran berpolitik. Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad. Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemungkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat. Demikianlah pandangan Dato Seri Presiden yang sangat wajar menjadi renungan mengapa PAS menolak gabungan dengan PAS dan inilah juga sebahagian hujah yang dikemukakan oleh pemimpin dan perwakilan dalam tiga Muktamar Tahunan PAS di Ipoh, Shah Alam dan Kota Bharu. Oleh itu suara-suara yang kedengaran kembali mengenai perpaduan Umno-PAS, terutama menjelang PRU ke-13 akan datang, adalah suara yang tidak memahami hakikat sebenar jalur perjuangan PAS, atau mereka yang keliru, atau untuk kepentingan politik golongan sekular/perkauman. Pandangan ini sudah tentu bertentangan dengan Islam. - Abd Shukur Harun (HD) |
Pemuda PAS Buat Laporan Polis Isu Video Klip Hina Hudud Posted: 14 Dec 2011 09:23 PM PST Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, semalam membuat laporan polis berhubung klip video bertajuk 'lagi hudud PAS' yang disiarkan di halaman Youtube. Laporan itu dibuat memandangkan klip video berkenaan melanggar aturan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Syekyen 120 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu 1994, seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan. Laporan berkenaan dibuat oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohamed Nuri Mat Yaacob di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa, di sini tengahari semalam. Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman, ketika ditemui memberitahu kerana ingin menentang PAS, pihak tertentu sanggup mempersendakan hukum Allah. "Langsung mereka tidak sedar tindakan itu bukan sahaja memperlekehkan PAS untuk menegakkan hukum Allah, sebaliknya menghina hukum Allah sendiri,"ujarnya. Latif turut mempertikaikan kenapa Umno tidak mempertikaikan isu video itu sedangkan masaalah lain parti itu menjadi juara seperti isu air, 'samakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan nabi dan berbagai lagi. Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Pusat mengambil tindakan segera berhubung penghinaan hukum Hudud itu kerana ianya boleh mengelirukan orang ramai. Sementara itu, seorang blogger melaporkan dalam analisanya, penerbit video berkenaan mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Selangor. Ini kerana, email penerbit berkenaan juga email kepada webmaster laman web Pena Noh Omar, Puteri Umno Selangor dan Umno Tanjung Karang. -HD
klik untuk baca dan tonton videonya |
2 Kanak-kanak Parah Digigit Siamang Di Zoo Posted: 14 Dec 2011 08:00 PM PST Melaka - Keseronokan dua kanak-kanak untuk menyaksikan gelagat haiwan liar di Zoo Melaka berakhir dengan dua mangsa itu melalui pengalaman ngeri digigit seekor siamang jantan yang ganas kelmarin. Gambar: ANITA menemani Afiq yang cedera dan dirawat di Hospital Melaka semalam akibat digigit siamang. Dua mangsa yang cedera dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu ialah Muhammad Afiq Haziq Kamarul, 3, berasal dari Klang, Selangor dan Zukrina Abdul Hadi, 5, dari Pekan, Pahang. Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa itu berjalan bersama keluarga masing-masing berhampiran beberapa buah pulau buatan yang menjadi habitat siamang dan beberapa haiwan dalam kumpulan beruk lain. Mengimbau detik cemas tersebut, ibu kepada Afiq, Anita Sulaiman, 36, berkata, dia dan suami, Kamarul Baharin, 38, serta tujuh anak termasuk Afiq, anak keenam, tiba di zoo itu pada pukul 1.30 petang. Sejam selepas berjalan, mereka sekeluarga tiba di kawasan pulau buatan. "Sedang kami leka meninjau spesies beruk di beberapa pulau, tiba-tiba saya nampak kira-kira 40 pengunjung bertempiaran lari kerana dikejar seekor siamang. "Siamang sebesar Afiq itu datang menggigit betis kanannya yang ketika itu didukung oleh suami saya," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka semalam. Menurut Anita, suaminya bertindak menarik bulu dan menggoncang kepala siamang itu bagi melepaskan gigitan pada kaki Afiq. Namun siamang itu enggan melepaskan gigitan itu sehinggalah seorang pengunjung menendang perut haiwan itu. -kosmo Parah digigit siamang zoo |
[Bergambar] Pudu Pula Dilanda Banjir Kilat Posted: 14 Dec 2011 06:30 PM PST Kuala Lumpur: Hujan lebat di ibu negara selama dua jam bermula jam 5 petang, semalam menyebabkan beberapa kawasan terutama di Jalan Chan Sow Lin, Jalan Brunei dan Jalan Brunei Utara, dekat Pudu dilanda banjir kilat separas 0.5 meter. Banjir kilat dan cuaca buruk itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas di ibu negara lebih dua jam. Tinjauan Harian Metro di jalan itu mendapati peniaga bertungkus-lumus mengalihkan barangan ke tempat lebih tinggi selepas air memasuki kedai. Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) ketika dihubungi berkata, banjir kilat berkenaan memberi kesan kepada aliran trafik di jalan terbabit yang bermula jam 5.15 petang. Katanya, jalan lain turut terjejas termasuk Jalan Sultan Ismail menghala Jalan Tuanku Abdul Rahman, bulatan Segambut menghala Jalan Ipoh, Jalan Genting Klang dan Jalan Kuching menghala Selayang. "Turut terjejas aliran trafik di Jalan Kinabalu menghala Jalan Loke Yew dan bulatan Cheras, Jalan Maharajalela menghala Jalan Sultan Ismail, Jalan Kuching dan Jalan Tun Razak menghala bulatan Pahang," katanya. -hm BANJIR...hujan lebat menyebabkan banjir kilat di Jalan Brunei dan Jalan Brunei Utara, semalam. Banjir kilat di ibu negara mengakibatkan banyak kawasan dinaiki air termasuk tempat letak kereta kompleks membeli-belah di Bukit Bintang. – Foto Jack Ooi |
Tiga Menteri Pertanian Didakwa Sangkut Projek NFC Posted: 14 Dec 2011 04:30 PM PST Projek bermasalah National Feedlot Corporation terus dihantui kontroversi. Terbaru, Gerakan Jingga 13 telah mengesa Suruhan Jaya Pencegah Rasuah agar menyiasat bagaimana wang rakyat disalurkan kepada projek tersebut sebelum perjanjian dibuat antara syarikat itu dan kerajaan pusat. Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa sejumlah wang didebitkan ke satu akaun khas sejak 2008 hingga 2009 iaitu sebelum perjanjian antara Kementerian Pertanian dan Asas Tani dan NFC ditandatangani pada 2010. Menurut Fariz, pendedahan ini dinyatakan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid yang turut memberitahu bahawa kerajaan pusat gagal menjawab persoalan bagaimana wang dikeluarkan sebelum perjanjian dilakukan. Sehubungan itu, pagi ini, Jingga 13 bertindak membuat laporan ke Pejabat SPRM di sini berkenaan salah guna kuasa bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin (2004-2008), Datuk Mustafa Mohamed (2008-2009) dan menteri yang bertanggungjawab sekarang, Datuk Seri Noh Omar. "Jesteru kami memohon kehadiran kami pada hari ini adalah untuk membuat laporan kepada SPRM agar melakukan satu siasatan terperinci terhadap mereka yang terlibat termasuk bagaimana penyaluran wang rakyat yang besar tersebut dilakukan. "Bagi kami ini adalah penyelewengan yang nyata dan jelas oleh pihak kementerian kerana sebarang kelulusan pengaliran wang sememangnya perlu mendapat kelulusan kementerian berkaitan," ujar Fariz. Menurut Fariz lagi, siasatan yang dibuat oleh PAC adalah bukti nyata terhadap salah guna kuasa oleh menteri berkaitan. Oleh itu ujarnya, keadilan perlu ditegakkan dan hukuman setimpal harus dikenakan ke atas salah laku ini kerana melibatkan wang rakyat. Selain itu, Fariz juga turut membangkitkan persoalan istimewanya skandal NFC ini apabila dengan mudah dapat peruntukan wang yang besar sebelum perjanjian dimeterai. Ia lebih istimewa sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap mereka yang berkaitan. "Kami melihat ini sebagai satu tindakan yang luar biasa dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional serta kami yakin dan percaya banyak persoalan yang timbul dengan penglibatan yang jelas oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil selaku menteri kabinet dan juga Ketua Wanita Umno," tegas Fariz. -tvsnews |
[Video] Bekas Ketua Puteri Umno Ikrar ‘Gantikan Umno Dengan PAS’ Posted: 14 Dec 2011 02:06 PM PST Kuala Nerus - Bekas Ketua Puteri Umno Kampung Banggol Donas berkata 'penghijrahan' beliau bersama 40 rakan Puteri yang lain, adalah atas kerelaan mereka sendiri tanpa paksaaan mana-mana pihak. Puan Rusni Hassan, 37, mewakili rakan-rakannya berikrar akan bersama-sama dengan PAS untuk menjatuhkan dan menggantikan Umno dengan PAS dalam pilihanraya akan datang. "penghijrahan kami secra sukarela, tiada paksaan dari mana-mana pihak, ini adalah kerelaan kami semua dan tidak ada paksaan dari mana-mana pihak. "Ini dikira satu penghijrahan pada bulan muharram, bulan yang mulia. Insyaalah! Kami akan mula kekal dan kami akan terus bersama PAS untuk menjatuhkan pemerintahan umno pada PRU yang ke 13 nanti insyaalah! Insyalaah!,"tegasnya Beliau berkata demikian ketika dtemui selepas menyerahkan borang keahliannya kepada Naib Presiden PAS, Salehuddin Ayob pada Jumaat malam, 9 Disember. [Gambar] Menurutnya, beliau dan rakan-rakannya tidak lagi merasa 'selesa' duduk di bawah Umno dan hilang keyakinan kepada kerajaan Umno. "kami rasa tak begitu selesa dan tak yakin lagi dengan kerajaan Umno yang memerintah Terengganu pada sekarang ni kerana masalah yang berlaku di (Kampung) Banggol Donas ni dah masuk 5 tahun, tak juga selesai, " jadi, kami dengan keadaan Umno yang sedang lemah jadi kami ambil keputusan untuk keluar dari parti, menyertai parti PAS dan juga parti Pakatan Rakyat,"jelasnya. Beliau yakin bahawa PAS dan Pakatan Rakyat adalah satu parti yang dapat menolong orang-orang Melayu, terutamanya masyarakat kampung. -buletinonline |
Winnable Candidate: Shahidan Kasim Dah Lompat Masuk Bakul Dulu Posted: 14 Dec 2011 07:14 AM PST Shahidan Kassim: 'Saya calon boleh menang' KUALA LUMPUR, 14 Dis — Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau adalah seorang "winnable candidate" iaitu calon boleh menang untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. Bekas Menteri Besar Perlis itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis kawasan Tambun Tulang berkata keyakinannya itu berdasarkan pandangan rakyat terutama di kawasan yang diwakilinya. "Semua rakyat tahu. Kalau tidak ada hal saya tak akan keluar dari Perlis. "Saya akan duduk dari pagi sampai ke malam di kawasan saya sahaja... jumpa rakyat dan sebagainya. Kalau macam itu bukan 'winnable candidate', apa makna sebenarnya?" katanya dipetik Bernama Online. Ditanya sama ada beliau bersedia untuk bertanding semula pada pilihan raya umum datang, Shahidan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Arau, itu terserah kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya. Dalam laman Facebook beliau, Shahidan turut mengulas mengenai calon boleh menang bagi semua kawasan di Perlis, dengan memberi penilaian iaitu baik, sederhana baik, buruk, terburuk kepada mereka. "Ada sesetengah pihak mempersoalkan kenapa saya buat macam itu. "Masalahnya rakyat dah bercakap (menilai) macam itu. Bukan kita yang buat penilaian tetapi rakyat yang membuat penilaian. Jadi saya bagi pandangan rakyat apa yang berlaku. Kita bercakap (mengenai winnable candidate) tapi tak ada ciri yang jelas," katanya. Shahidan berkata bahawa dalam menyelesaikan masalah rakyat, seorang calon boleh menang tidak akan memberi alasan tidak ada peruntukan dan sebagainya, sebaliknya perlu berikhtiar dan berusaha termasuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri. "Rakyat tak faham (soal peruntukan) itu. Kalau calon boleh menang, dia perlu berkorban. Tetapi pada masa yang sama hakikatnya ialah bukan semua masalah boleh diselesaikan serta merta oleh kerajaan," katanya. Mengenai senario politik semasa, beliau berkata negara tidak akan kekal aman sekiranya kemenangan berpihak kepada minoriti yang mahu menguasai majoriti. Katanya penduduk Malaysia merangkumi 67 peratus kaum Melayu dan Bumiputera, 22 peratus Cina dan lapan peratus India, jadi kemenangan wakil rakyat mesti mewakili nisbah mengikut kaum untuk keharmonian negara. "PAS tak akan jadi pemerintah sebab dia minoriti. Kalau nak jadi pemerintah pun DAP. Tapi kalau dia jadi pemerintah pun, bolehkah dia mewakili rakyat secara keseluruhan?" kata Shahidan. Menyentuh politik di Perlis, beliau berkata, Umno dan BN boleh mengekalkan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang dengan syarat parti dapat memperkukuhkan perpaduan anggota dan mempunyai jentera pilihan raya yang berkesan. "Kita boleh menang dengan cemerlang dan boleh kalah dengan teruk. Isu dalaman kena diperbetulkan. Begitu juga dengan orang yang menyokong MCA. Tapi di peringkat akar umbi, jentera sudah bergerak di seluruh negeri," katanya. Shahidan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri telah menunjukkan jalan terbaik dan memberi contoh kepada kepimpinan peringkat bawahan supaya bermula sekarang bagi memenangi hati rakyat. "Siapa yang tak mahu ikut perubahan dia mesti diubah," katanya. -TMI |
Najib Sudah Bersedia Untuk Bubar Parlimen, Tunggu Hakim Putuskan Kes Liwat Posted: 14 Dec 2011 05:38 AM PST Anwar ramal PRU-13 sejurus selepas kes liwatnya selesai KUALA LUMPUR, 13 Dis — Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil sebaik sahaja kes liwat dihadapinya sekarang berakhir, sambil menegaskan ia sebahagian daripada usaha menamatkan kerjaya politik beliau. Ketua Pembangkang itu memberitahu pemberita bahawa beliau bersedia untuk yang terbaik tetapi pada masa yang sama menduga keadaan paling buruk. "Ini bukan secara kebetulan, akhir kes ini akan secara kebetulan (selari) dengan pilihan raya (umum)," katanya di pekarangan mahkamah. Hujah penggulungan masuk hari kedua hari ini. Ini kes liwat kedua membabitkan beliau. Semalam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan pilihan raya umum akan berlangsung awal tahun depan. Mandat semasa hanya berakhir April 2013. Menjawab hujah penggulungan pihak pendakwa yang menyerang keputusannya memberi keterangan dari kandang tertuduh, Anwar berkata beliau menggunakan perbicaraan untuk mengetengahkan keadaan sistem perundangan yang cacat. "Saya mengambil kedudukan menerusi saksi-saksi yang kompeten. Satu-satunya usaha mereka ialah memusnahkan doktor-doktor yang ternama di dunia," kata beliau lagi. Perbicaraan akan disambung Khamis ini dengan pasukan pembela akan menjawab hujah pihak pendakwa. Kemudian Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah akan memutuskan tarikh mengumumkan keputusannya. -TMI Ulasan GB Ramai yang berpandangan begitu. Tun Mahathir menyatakan awal 2012 - di mana seiring dengan telahan Anwar - pilihanraya dipanggil sebaik saja hakim menjatuhkan hukuman kepada Anwar. Ramai juga yang meramalkan Anwar akan dijatuhi hukuman penjara - setidak-tidaknya itulah kehendak petualangnya, sekurang-kurangnya integriti Anwar lebur sebelum pilihanraya umum dipanggil. Namun ramai juga berpandangan jika Anwar dipenjara, maka Pakatan Rakyat akan menang besar di dalam PRU nanti. Hal ini dibuktikan di dalam pilihanraya 1999 dimana menurut Mahathir sendiri, isu mata lebam Anwar telah menyebabkan 300,000 pengundi telah lari dari menyokong BN kepada pembangkang ketika itu. Justeru, samada Anwar didapati bersalah atau tidak, suka atau tidak suka - masa depan kerajaan Malaysia adalah untuk Pakatan Rakyat. |
Perompak Ditembak Mati Oleh Pengawal Keselamatan Dalam Bank Posted: 14 Dec 2011 04:35 AM PST Maut dalam bank AMPANG: Mungkinkah Geng Styer yang aktif sejak 1999 dan ditumpaskan polis beberapa tahun kemudian muncul semula apabila seorang lelaki bersenjatakan raifal sama merompak sebuah bank di Jalan Bunga Taman Muda, Pandan Indah, di sini, sebelum ditembak mati seorang pengawal keselamatan bank berkenaan, petang semalam. Gambar: ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat suspek. Dalam kejadian jam 3.18 petang itu, seorang lelaki berusia 30-an yang bersenjatakan raifal styer meluru masuk ke dalam bank berkenaan sebelum cuba melarikan wang tunai RM253,000. Difahamkan, lelaki itu masuk seorang diri di dalam bank manakala rakannya menunggu di luar bank dengan menunggang sebuah motosikal. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, suspek yang memakai pakaian hitam dan topi keledar masuk ke dalam bank berkenaan sebelum mengugut 20 pelanggan dengan mengacukan raifal styer supaya mendiamkan diri. "Suspek melompat ke dalam kaunter dan mengugut 12 kakitangan supaya memasukkan wang tunai ke dalam beg galas dibawanya sambil mengacukan senjata. "Selepas memperoleh wang, suspek cuba melarikan diri, namun ditembak pengawal keselamatan bank berkenaan yang bersembunyi di belakang kaunter dari jarak kira-kira 50 meter," katanya dalam sidang media di sini, semalam. Beliau berkata, pengawal keselamatan berkenaan ketika itu bersembunyi dan tidak dapat dikesan suspek. "Kami akan membuat siasatan terperinci dengan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan dan menyiasat situasi kejadian," katanya. |
Utusan Diperintah Bayar RM200,000 Kepada Lim Guan Eng Posted: 14 Dec 2011 02:41 AM PST Pulau Pinang, 14 Dis: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati Utusan memfitnah Lim Guan Eng dan diarahkan membayar RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu serta mendapati dia tidak anti Melayu atau anti Islam tetapi itu adalah niat buruk Utusan. Sebelum ini, Guan Eng berkata, "Jika menang, apa-apa wang yang diterima akan kami dermakan kepaada program membasmi kemiskinan." Lim Guan Eng pada 6 Januari lalu mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia atas dakwaan sebuah artikelnya memfitnah DAP. Lim memutuskan untuk menyaman Utusan setelah akhbar harian itu menyiarkan sebuah artikel pada Disember lalu yang mendakwa DAP adalah alat kerajaan asing dan mahu parti berkenaan diharamkan. Sebelum itu, Lim mengutuskan sepucuk surat tuntutan meminta Utusan menarik balik beberapa perkataan yang didakwa memfitnahnya dalam berita yang bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng'. Utusan telah menuduh Lim sebagai seorang 'rasis' dan 'anti-Melayu' dalam artikel yang disiarkan sehari selepas konvensyen Pakatan Rakyat bulan lalu. Lim dalam notis tuntutanya menafikan dakwaan berkenaan dan memohon akhbar itu menyiarkan permohonan maaf dan pampasan daripada Utusan kerana memfitnahnya. Kehadiran Lim hari itu diiringi peguam yang juga ADUN Dato Keramat, Jagdeep Singh Deo dan juga beberapa ahli exco dan ADUN yang lain. Mengenai jumlah pampasan yang dituntut, Lim berkata beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada mahkamah untuk menentukkannya. -HD Guan Eng menang saman fitnah ke atas Utusan |
Isy, Pasangan Remaja Dicekup Berasmara Dalam Hume Posted: 14 Dec 2011 01:33 AM PST Lunas - Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) menahan sepasang kekasih berusia 14 dan 16 tahun dalam lubang relung air yang ditinggalkan di belakang premis memproses getah beku di Paya Besar kira-kira jam 2 petang semalam. Pengurus kilang yang enggan identitinya didedahkan berkata, dia ternampak beberapa pekerjanya memanjat tebing kilang dan mengintai ke luar premis, manakala salah seorang daripadanya memaklumkan kepadanya berhubung perbuatan pasangan terbabit yang sedang berasmara. "Ini bukan kali pertama pasangan ini melakukan perbuatan sumbang di sini. Sehingga kini pekerja di kilang saya telah menemui mereka sebanyak tiga kali. "Saya terkejut apabila pekerja saya memaklumkan pasangan itu sedang berbaring sambil berasmara. Saya kemudian memaklumkan kepada unit MPV untuk mengambil tindakan lanjut terhadap pasangan itu," katanya. Dalam pada itu, pengurus terbabit berharap pihak terlibat melihat permasalahan perlakuan seks kalangan remaja bawah umur terutama pelajar sekolah dengan lebih serius, bagi mengelakkan berlakunya kes buang anak, rogol dan lain-lain melibatkan mereka. Difahamkan pihak PPKM menyerahkan kes kepada anggota unit MPV untuk tindakan lanjut sejurus penahanan itu. Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ghuzlan Saleh berkata, sehingga kini tidak ada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak terlibat. Menurutnya polis akan menjalankan siasatan jika ada laporan dibuat terhadap mangsa terlibat. "Perlakuan seks remaja bawah umur sama ada pasangan perempuan rela ataupun tidak, ia akan diklasifikasikan sebagai rogol dan ini merupakan kesalahan jenayah serius. "Bagaimanapun waris harus membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan dijalankan. Sehingga kini kebanyakan kes rogol melibatkan pasangan kekasih bawah umur berlaku kerana suka sama suka," katanya. Katanya, gejala ini mula menular ke pelajar sekolah rendah dan ibu bapa perlu memberikan didikan agama yang sempurna supaya mereka tidak mudah terlibat dalam sebarang perlakuan berunsurkan maksiat dalam usia muda. -SH |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan