Jumaat, 9 Disember 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Akhirnya Aziz Bari Buat Keputusan Tinggalkan UIAM

Posted: 09 Dec 2011 12:20 AM PST

Dungun – Konflik membabitkan pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari dengan majikannya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berakhir apabila beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan universiti berkenaan.

Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau kini berasa tidak lagi sesuai untuk terus berkhidmat di universiti itu.

Menurutnya, beliau telah cuba untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli akademik yang prihatin de­ngan masalah masyarakat, apabila melontarkan beberapa pandangan terhadap isu yang kritikal, namun pesekitaran di universiti berkenaan menyebabkan niatnya itu dianggap sesuatu yang ganjil, sekali gus gagal untuk menjadi seorang ahli akademik ideal.

"Saya terpaksa tinggalkan UIAM kerana dalam keadaan sekarang, saya tak nampak ada ruang sesuai untuk saya terus berkhidmat di universiti itu mahupun di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lain," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis minum petang bersama pertubuhan bukan kerajaan, Waris Badan Bertindak Pewaris Bumi Malaysia di Mayang Sari Resort di sini, petang semalam.

Ketika ditanya apakah beliau akan menyertai politik selepas meninggalkan UIAM, Abdul Aziz yang juga seorang kolumnis Sinar Harian berkata, beliau lebih suka memilih bidang akademik sebagai kerjaya dan buat masa ini, tidak berhasrat untuk menyertai parti politik sama ada kerajaan ataupun pembangkang. -SH

Tengku Fakhry Saman IGP, Polis RM150j

Posted: 08 Dec 2011 11:30 PM PST

Tengku Muhammad Fakhry Petra Tengku Ismail memfailkan saman RM150 juta terhadap Ketua Polis Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan tiga yang lain kerana mendakwa telah ditahan secara salah.

Tengku Fakhry menamakan Ismail, ASP Norazman Ismail, bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai defendan.

Beliau memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melalui firma undang-undang AS Dhaliwal and Co.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Tengku Fakhry berkata beliau mengambil tindakan itu bukan bermotifkan wang tetapi demi keadilan.

"Saya rasa ini adalah kali pertama seorang anggota keluarga diraja telah menamakan ketua polis negerinya sendiri sebagai defendan," katanya.

Peguam AS Dhaliwal dan Harpal Singh turut hadir semasa saman difailkan.

Pada 4 Mei tahun lalu, Sultan Kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra, raja perempuan serta Tengku Fakhry telah dihalang oleh Unit Tindakan Khas, kira-kira 50 meter dari pintu pagar istana semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang Kota Baru pada jam 7.30 malam.

Mereka mahu menghantar Tuanku Ismail kembali ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk rawatan susulan tetapi telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian.

Tengku Fakhry juga ditahan selama kira-kira empat jam manakala Tengku Anis mendakwa terpaksa tidur di atas lantai di HUSM untuk mengelak ditangkap polis. -mk

Ulasan GB

Kejadian penahanan secara salah memang berlaku dan lazimnya rakyat terbanyak tidak melakukan apa-apa tindakan kerana tidak berkemampuan mengupah peguam untuk mendakwa pihak terbabit.

Kini, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan samannya terhadap pihak polis kerana telah ditahan oleh polis secara salah selama empat jam dan beliau mendakwa tindakan beliau menyaman polis adalah demi keadilan.

Kita berharap polis tidak dengan sewenang-wenangnya menahan rakyat selepas ini.

Lulus Akta Perhimpunan Aman, BN Bakal Hilang Undi Mahasiswa

Posted: 08 Dec 2011 08:23 PM PST

Umno-BN bakal kehilangan undi mahasiswa pada pilihan raya umum akan datang apabila meluluskan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang bertentangan dengan perlembagaan dan demokrasi.

Demikian 'manifesto' yang dinyatakan wakil-wakil kesatuan mahasiswa dalam himpunan aman membantah penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman di depan Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.

"Apakah Malaysia sudah menjadi negara polis hingga rakyat tak dibenarkan bersuara? Mana agenda tranformasi yang dilaungkan Perdana Menteri Najib Razak?

"Fokus RUU PA ini jelas untuk menyekat suara mahasiswa, sedangkan kami adalah golongan semak dan imbang.

"Kami tahu di mana akan pangkah," kata Akram Ikrami, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis).

Kira-kira 50 aktivis mahasiswa berarak dari Masjid Putra, Putrajaya menuju Seri Perdana selepas solat Zohor untuk menyerahkan memorandum bantahan RUU PA yang dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Antara yang hadir termasuk dari Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

Mereka melaungkan slogan 'tuntut himpunan aman', 'tolak akta zalim', 'hidup mahasiswa, 'tolak AUKU' dan 'hidup rakyat' sambil membawa sepanduk tertera perkataan 'demokrasi mati' dan 'mahasiswa bukan lembu fidlot'

Kumpulan mahasiswa berkenaan turut berjalan sejauh kira-kira 500 meter sambil diperhatikan beberapa anggota polis beruniform dan preman yang diiringi sebuah kereta peronda.

Selepas perbincangan dengan pihak berkuasa lima wakil dibenarkan memasuki bangunan Seri Perdana dan menyerahkan memorandum kepada wakil Pegawai Sulit Perdana Menteri, Saiful Azhar.

Menyentuh isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkata, surat jemputan debat telah dihantar kepada Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.

"Ini tawaran mahasiswa kepada kerajaan dan pembangkang. Mana pihak yang akan membebaskan mahasiswa dan ahli akademik," katanya memaklumkan tarikh debat AUKU akan dimaklumkan selepas menerima jawapan rasmi Perdana Menteri. -KD

Mahasiswa Hantar Memorandum Bantah Undang Perhimpunan Awam kepada PM

PUTRAJAYA, 7 DIS: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak kerajaan supaya membatalkan Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang disifatkan menyalahi prinsip hak asasi manusia dan bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

Mereka menuntut agar kerajaan memberikan kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun secara aman tanpa sebarang kekangan undang-undang dan meminta polis memainkan peranan sebagai pengawal kepada proses demokrasi dan tidak membataskan hak rakyat.

Tuntutan tersebut dinyatakan di dalam sebuah memorandum bantahan yang dikemukan kumpulan mahasiswa itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini.

Hampir 50 mahasiswa hadir bagi penyerahan memorandum tersebut dan mereka terdiri daripada Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) Kumpulan Anti Mahasisiwa Indipendent (KAMI) Gerakan Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI) dan Pro Mahasiswa Nasional (PRO-MN).

Pengerusi PRO-MN Mohd Syahid Zaini menyatakan terlalu banyak akta dalam negara ini yang menyekat mahasiswa dan akan mematikan suara mereka.

Katanya, mahasiswa yang sedia ada merupakan mereka yang celik intelek dan bukannya hanya menurut segala kehendak kerajaan semata-mata.

"Saya sangat yakin anak muda mampu memimpin negara satu masa kelak dalam keadaan yang lebih baik dan rasional berbanding pimpinan yang ada sekarang," katanya.

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Mohd Safwan Anang menegaskan, mahasiswa akan terus berjuang supaya Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dihapuskan.

"Kita kecewa diperingkat PM yang mengakatakan ingin memansuhkan AUKU akan tetapi dalam masa yang sama kerajaan merayu dalam kes UKM 4," katanya.

Beliau menambah, tindakan ini hanya akan meningkatkan kemarahan mahasiswa terhadap kerajaan.

Ujarnya lagi, amat memalukan sekiranya negara terus menghalang mahasiswa daripada berhimpun dan keadaan ini hanya mengakibatkan Malaysia tertinggal jauh dari sudut demokrasi. -tvsnews



UiTM Shah Alam Dilanda Banjir Kilat

Posted: 08 Dec 2011 05:26 PM PST

Shah alam: Beberapa kenderaan milik pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, yang diletakkan berhampiran pintu masuk belakang kampus itu mengalami kerosakan akibat dimasuki air selepas dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat, semalam.

Gambar: KEADAAN banjir kilat yang berlaku di sekitar di UiTM Shah Alam. Foto: Mohamad Naufal Mohamad Idris

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, hanya kawasan sekitar pintu masuk ke di UiTM International Centre (UIC) yang dinaiki air sedalam 0.5 meter sebelum air surut dua jam kemudian.

Beberapa pelajar semester lima dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik yang meletakkan kenderaan mereka di pintu masuk belakang di UIC mengalami kerosakan.

"Saya letak kereta saya dekat UIC sebab saya ke Port Dickson untuk lawatan sambil belajar dengan menaiki bas tetapi apabila saya pulang ke sini, enjin kereta sudah tidak boleh dihidupkan," kata seorang pelajar yang enggan dikenali.

Seorang lagi pelajar berkata, dia juga seperti rakannya meletakkan motosikal di UIC kerana mengikuti program lawatan sambil belajar di Port Dickson.

"Apabila saya pulang ke UIC, saya cuba hidupkan enjin motosikal saya tetapi gagal. Ekoran itu, saya terpaksa menghubungi mekanik untuk membaiki motosikal saya," katanya.

Pelajar lain, Asraf Thaqib, 22, berkata air mulai membanjiri kawasan itu sekitar jam 12.30 tengah hari.

"Saya selalu menggunakan laluan pintu belakang UiTM untuk ke kelas dan agak terkejut kerana tiba-tiba hari ini (semalam) banjir yang mana air naik hingga ke paras lutut," katanya. -hm

ND Lala Disamun Mat Rempit

Posted: 08 Dec 2011 04:26 PM PST

Penyanyi ND Lala yang popular dengan lagu PM Kita kerugian RM2,500 apabila telefon bimbit dan kunci kereta miliknya dirampas sekumpulan lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Genting Klang di sini semalam.

Gambar: Bulatan menunjukkan lokasi ND Lala disamun di sebuah stesen minyak di Jalan Genting Klang semalam.

Kejadian mencemaskan pada pukul 3.40 pagi itu berlaku ketika ND Lala atau nama sebenarnya, Amir Hamzah Salleh berhenti di stesen minyak itu untuk ke tandas.

Selepas keluar dari tandas, artis yang berusia 50 tahun itu masuk semula ke dalam kereta BMW miliknya.

Ketika sedang menyemak khidmat pesanan ringkas (SMS) pada telefon bimbit, bapa kepada naib juara program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua, Sheila Amzah tiba-tiba dikerumuni sekumpulan sepuluh hingga 15 lelaki yang menunggang 10 buah motosikal.

Sumber berkata, salah seorang daripada suspek itu bertindak memecah cermin sebelah pemandu menggunakan topi keledar.

"Selepas itu, suspek-suspek terbabit dipercayai kumpulan pelesit rempit merampas telefon bimbit jenis iPhone 4 dan kunci kereta mangsa," kata sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam. -kosmo

PAS Desak Rampas Kondo NFC, Kereta Dan Tanah

Posted: 08 Dec 2011 01:52 PM PST

Kerajaan Persekutuan digesa merampas aset termasuk kondominium, kereta mewah dan tanah di Putrajaya yang "tiada kaitan" dengan perniagaan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata, tindakan tersebut sekurang-kurangnya boleh membantu kerajaan "mendapat semula sebahagian wang yang telah diluluskan tetapi telah digunakan untuk tujuan yang tidak bersangkutan".

"Dalam keadaan seperti ini, kerajaan seharusnya bertindak cepat untuk menyelamatkan semaksimum mungkin jumlah wang yang telah diluluskan itu.

"RM250 juta wang rakyat ternyata sebahagiannya telah digunakan di luar skop pemberian/pinjaman ini diluluskan... Ia dengan itu, juga adalah satu pecah amanah," katanya dalam satu kenyataan.

Husam yang juga exco kerajaan negeri Kelantan, turut menggesa aset yang diletakkan atas nama persendirian atau syarikat persendirian oleh NFC juga harus segera diarahkan untuk diserahkan kepada kerajaan.

Husam turut menempelak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwanya berdiam diri "seakan menunjukkan skandal sebesar ini tidak menjadi keutamaan kepada beliau".

Bahkan tegasnya laporan ketua audit negara dan pendedahan ekoran dari itu sepatutnya sudah cukup untuk Najib bertindak terhadap semua pihak terlibat. -mk

Akhirnya Najib Terperangkap Sebagai Ultra-Malay....

Posted: 08 Dec 2011 07:27 AM PST

Umno sengaja takutkan orang Melayu

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa Umno-Barisan Nasional (BN) sengaja menimbulkan ketegangan dan ketakutan di kalangan orang-orang Melayu khususnya, tentang apa yang akan terjadi nanti apabila Umno hilang kuasa.

"Umno akan menggunakan apa saja cara yang untuk merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat," ujar beliau ketika bertemu pemberita di pejabat khidmatnya di sini hari ini.

Berikutan itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu mengingatkan pemimpin-pemimpin Pakatan supaya tidak merasa kedudukan mereka sudah selesa pada masa ini memandangkan pilihan raya umum ke 13 (PRU13) akan diadakan tidak lama lagi.

"Ini memandangkan terdapat kajian dan laporan yang memberi gambaran yang negatif, seperti ada kemungkinan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat Selangor akan tumbang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini berhubung laporan dalaman yang menyatakan Umno-BN mampu merampas kembali Selangor.

"Oleh itu, kita jangan merasa selesa dan Pakatan mempunyai saluran yang luas untuk bertemu dengan rakyat, terutama orang-orang Melayu.

"Banyak saluran yang boleh kita gunakan…….seperti saluran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, ahli-ahli majlis, nazir masjid yang bebas dan bukan dimonopoli Umno. Sekarang ini saluran itu terbuka dan bebas," katanya.

Beliau berkata Umno sebenarnya sudah menyimpang jauh dari perjuangan asal parti itu apabila menonjolkan sikap ultra Melayu dengan menyertai Himpunan Perdana Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) di Shah Alam Isnin lalu.

Khalid berkata ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis Pekida itu menunjukkan bahawa Umno tidak lagi layak untuk mentadbir negara ini memandangkan mereka kini sudah menjadi ultra Melayu.

"Selama ini Umno cukup takut untuk mendekati Pekida secara terbuka tetapi kini keadaan sudah berubah dan Najib sendiri meminta supaya Pekida membantu mempertahankan kerajaan BN di Putrajaya. -FMT

'Kaitan dengan Pekida bukti Najib ultra-Melayu'

PAS Selangor mengecam sokongan terbuka Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) sebagai bukti bahawa beliau adalah seorang ultra-Melayu dan mengetepikan prinsip wasathiyah (kesederhanaan) dan retorik 1Malaysia anjurannya.

Timbalan pesuruhjayanya, Khalid Samad medakwa, Pekida adalah sebuah organisasi yang meragukan sehinggakan pernah Umno sendiri pun tidak berani menjalin hubungan rasmi dengannya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Shah Alam hari ini, Khalid turut mengecam apa yang didakwanya sebagai pendirian keras yang diperlihatkan dalam perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Katanya, mereka cuba memberitahu orang Melayu bahawa jika Umno dicabar, ia bermakna orang Melayu dicabar dan bahawa Melayu adalah Umno dan Umno adalah Melayu.

Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam berkata cabaran kepada Umno bukan sebenarnya cabaran kepada orang Melayu, tetapi satu usaha untuk meningkatkan kedudukan kaum tersebut.

Sebaliknya, tambah beliau, pihaknya bukan cuba untuk menjatuhkan struktur politik Melayu, tetapi hanya berharap untuk menurunkan kepimpinan korup Umno dan menggantikannya dengan pemimpin Melayu yang bersih dan berkemampuan.

Isnin lalu, Najib merasmikan sesi bertemu perdana menteri anjuran Pekida dan dihadiri oleh kira-kira 12,000 ahlinya.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Najib menyambut baik sokongan Pekida kepadanya dan BN dalam pilihanraya umum akan datang, dan sebagai balasan, beliau berjanji untuk 'membantu' pertubuhan tersebut. -mk





Laporan sebelum ini
klik untuk baca


Mohd Sabu Tetap Saman Semula Utusan Malaysia

Posted: 08 Dec 2011 05:30 AM PST

Peguam mewakili Mohamad Sabu, Mohamed Hanipa Maidin sedang menimbang sama ada akan membuat rayuan atau memfailkan semula saman anak guamnya terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. berhubung isu serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor.

Ianya ekoran saman tersebut dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana ketiadaan butir-butir yang mencukupi berhubung penerbitan yang didakwa berunsur fitnah bagi menyokong tuntutan saman itu.

Hanipa berkata, rayuan atau memfail semula boleh dibuat kerana saman tersebut dibatalkan kerana masalah teknikal, bukan merit kes.

"Kita mempunyai dua pilihan samaada nak buat rayuan atau nak fail semula kerana saman ini dibatalkan kerana hakim kata ada masalah prosedur,"
kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam, Hakim Datuk John Louis O'hara berkata, Mohamad perlu mengesahkan butiran penerbitan yang mencukupi dalam samannya seperti yang diperlukan di bawah undang-undang.

Katanya, kenyataan sokongan itu merupakan satu keperluan serta membentuk prasyarat yang dikehendaki di bawah Aturan 78 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dalam writ saman fitnah.

Hanipa berkata, beliau menunggu kata putus daripada Mohamad untuk tindakan seterusnya.

"Saya sedang berbincang dengan Mohamad Sabu dan menunggu kata putus daripada beliau samaada nak buat rayuan atau nak fail semula," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Keputusan hakim semalam dibuat ketika membenarkan permohonan yang difailkan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan penerbit akhbar tersebut untuk membatalkan saman dan pernyataan tuntutan Mohamad.

Utusan Melayu dan Aziz yang diwakili dua peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Mohd. Hafarizam Harun pada 27 Oktober lalu telah memfailkan permohonan membatalkan saman Mohamad terhadap mereka yang dinamakan sebagai pihak defendan.

Mohamad, 57, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu selaku plaintif memfailkan saman tersebut pada 14 September lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, pihak defendan dengan niat jahat telah menerbitkan satu artikel pada 27 Ogos lalu dan dua bahan terbitan pada keesokan harinya yang berbaur fitnah.

Penerbitan ketiga-tiga artikel terbabit adalah berhubung isu serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor.

Mohamad mendakwa, penyiaran bahan-bahan tersebut telah secara tidak langsung menggambarkan bahawa beliau penyokong pengganas komunis, telah terkeluar daripada ajaran Islam kerana menyokong komunis dan mengiktiraf Muhammad Indera. -HD



Tony Pua Bidas Hipokrisi Najib Mansuh 29,000 Jawatan

Posted: 08 Dec 2011 03:30 AM PST

Tony Pua: Mansuh 29,000 jawatan ekoran laksana SBPA bukti hipokrasi Najib

KUALA LUMPUR, 8 Dis — DAP hari ini menuduh Datuk Seri Najib Razak memperlihatkan hipokrasi "teramat tinggi" sedangkan pentadbirannya semalam mengumumkan mengenai pemansuhan 29,000 jawatan, di bawah pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mulai Januari 2012, hanya beberapa hari selepas perdana menteri menyerang Pakatan Rakyat kononnya mahu membuang separuh kakitangan awam.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, perkembangan terbaru ini menunjukkan presiden Umno dan pemimpin-pemimpin partinya adalah oportunis politik, yang hanya mahu menggambarkan Pakatan Rakyat sebagai parti antiperkhidmatan awam.

Pemimpin-pemimpin Umno melakukan serangan bertubi-tubi ke atas perikatan itu sejak Pua mengesyorkan idea mengurangkan tenaga kerja sektor awam yang kini telah mencecah 1.4 juta orang, bulan lalu.

"Najib telah membuktikan dirinya (pemimpin yang) bersikap hipokrit tahap tertinggi,"
kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Malah, Pua mendakwa Najib sanggup mencetuskan sentimen perkauman di kalangan orang Melayu dengan menuduh pembangkang mahu mengurangkan saiz perkhidmatan awam sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memulakan langkah ke arah itu.

Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah memberi jaminan SBPA akan membantu mengawal bilangan kakitangan kerajaan dan bukannya bertujuan mengurangkan tenaga kerja semasa.

Sambil berkata sekitar 29,000 jawatan dimansuhkan di bawah SBPA, kata beliau, sistem saraan baru ini yang diperkenalkan untuk menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM), pemegang jawatan-jawatan yang dimansuhkan akan ditempatkan di skim dan gred lain mengikut keperluan semasa.


Saiz tenaga kerja semasa dianggarkan 1.4 juta orang dengan penduduk Malaysia adalah 28 juta orang.

"Bermakna ia tidak sampai 10 peratus," katanya merujuk kepada nisbah tersebut.

"Sukar hendak mengatakan bahawa saiz tenaga kerja sektor awam kita terlalu besar atau terlalu kecil. Kita tidak boleh membuat perbandingan antara satu negara dengan negara lain.

"Dan, saya tidak mengatakan sama ada tenaga kerja perkhidmatan kita terlalu besar ataupun kecil... sehingga kami menyelesaikan kajian berdasarkan enam strategi merealisasikan inisiatif perkhidmatan awam yang kejat iaitu kawalan saiz perkhidmatan awam atau 'right-sizing', kajian pertindihan fungsi antara agensi, penjajaran fungsi utama perkhidmatan, perkhidmatan yang boleh diserah urus ('outsourcing'), perekayasaan proses kerja ('business process reengineering') dan kajian semakan skim perkhidmatan.

Abu Bakar juga berkata beliau tidak boleh memberi jaminan saiz tenaga kerja semasa akan kekal sama sepanjang masa pada masa depan jika diambil kira kemungkinan akan ada pertambahan atau pengecilan kementerian.

Saiz tenaga kerja pernah dikurangkan daripada 1.2 juta orang sehingga sekitar 800,000 ekoran dasar penswastaan pada 1990-an iaitu ketika pentadbiran Dr Mahathir, tetapi ia meningkat kepada 1.4 juta sekarang.

Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Umno minggu lalu, Najib sambil berkata orang Melayu akan hilang kuasa dan hak mendakwa, "ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung."

"Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa. Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200,000 orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.

"Tidak cukup dengan itu, mahu ditamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia yang mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta. Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?"
kata presiden Umno itu.

Sebelum ini kepimpinan Pakatan Rakyat berkata pengurangan tenaga kerja awam bukan dasar mereka, sebaliknya akan mengurangkan kos dengan menjadikan perkhidmatan awam lebih cekap, yang majoritinya orang Melayu.

Dalam kenyataan hari ini, Pua berkata Pakatan Rakyat tidak pernah mengesyorkan untuk mengecilkan saiz sektor awam dan beliau hanya mengesyorkan persaraan awal dan membuang penjawat yang melanggar disiplin dan peraturan seperti mereka yang membeli binokular RM1,940 pada harga RM56,350.

Sehubungan itu wakil rakyat penggal pertama ini menekankan matlamat Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi juga mahukan kerajaan yang bersaiz kecil dan pengurangan tenaga kerja dan pemfokusan semula.

"Umno yang membunuh perkhidmatan awam hari ini, tetapi tanpa rasa malu mendakwa bahawa Pakatan Rakyat dan diri saya sebagai rasis," katanya lagi. -TMI

Tiada ulasan: