Selasa, 27 Disember 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Aziz Bari mungkin bertanding di Sabak Bernam

Posted: 27 Dec 2011 02:15 AM PST

Lim Hong Siang


Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdul Aziz Bari mungkin bertanding di kawasan parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum akan datang, seandainya terdapat permintaan dan sokongan agar beliau bertanding di situ.

MerdekaReview dimaklumkan sumber bahawa ada tanda-tanda Aziz Bari bertanding di kawasan parlimen tersebut, melihat kepada kekerapan beliau kembali ke kampungnya di situ kebelakangan ini. Ketika dihubungi MerdekaReview, Aziz Bari enggan mengulas panjang, tetapi berkata, "Kalau ada sokongan, kena fikirkanlah juga, untuk perubahan..."

Dalam PRU 11 pada tahun 2004, calon PKR Badrul Amin Bahron tewas kepada Mat Yasir Ikhsan dari UMNO dengan perbezaan 5,348 undi. Badrul Amin meraih 8,478 undi dari jumlah 30,862 orang pengundi, sementara Mat Yasir memenangi 13,826 undi. Bagaimanapun, undi majoriti dikurangkan sehingga 1,335 undi dalam PRU 12 pada 8 Mac 2008, Abdul Rahman Bakri dari UMNO menang dengan 12,055 undi berbanding Badrul Amin yang mendapat 10,720 undi. Daripada jumlah 31,381 orang pengundi, 81.25% adalah Melayu, 13.61% adalah Cina, 5.12% adalah India dan 0.02% lain-lain.

Menurut seorang sumber maklumat yang enggan mendedahkan identitinya, tinjauan mendapati kawasan Sabak Bernam mungkin ditembusi Pakatan Rakyat pada PRU akan datang. Sumber berkata, PKR sepatutnya telah menembusi kawasan itu dalam PRU 12 yang lalu, namun berlaku "politiking" dalaman sehingga calon PKR tewas tipis dengan perbezaan 1,335 undi. Meskipun mengakui bahawa Badrul Amin (gambar kanan) juga seorang pemimpin yang baik, namun sumber tersebut mendakwa bahawa "politiking" yang berlaku di PKR Cabang Sabak Bernam menyebabkan akar umbi gagal disatu-padukan.

Menurut sumber lagi, seandainya Aziz Bari direstui pimpinan tertinggi PKR untuk bertanding di Sabak Bernam, beliau yakin bahawa kemunculan Aziz Bari mampu "meneutralkan" keadaan yang sedia ada. Sumber yang dekat dengan parti komponen Pakatan Rakyat ini berkata, penampilan Aziz Bari mampu menyuntik keyakinan agar PR menawan kerusi Sabak Bernam.

Badrul Amin juga mantan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), terlibat dalam gerakan Reformasi sejak tahun 1998. Beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun, bersama Tian Chua, Hishamuddin Rais, Saari Sungib, Mohd.Ezam Mohd Nor dan lain-lain.

Aziz Bari mencetus kontroversi apabila mendakwa "tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan lazim", ketika ditemuramah Malaysiakini. Kenyataan pakar perlembagaan ini dibidas dalam Utusan Malaysia, malah ada yang membuat aduan polis terhadap Abdul Aziz Bari dan Malaysiakini. Ekoran daripada itu, Abdul Aziz Bari dan wartawan Malaysiakini disoal-siasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 17 Oktober 2011.

Jawatan Aziz Bari digantung, dan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada UIAM pada 19 Oktober 2011. Siswa-siswi dan orang awam bangkit mempertahankan Aziz Bari, mengutuk tindakan mencabul kebebasan akademik. Keputusan penggantungan tersebut ditarik balik kemudian lantaran desakan umum, namun Aziz Bari akhirnya memilih untuk meletak jawatan.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.

Perang mulut seharusnya buka mata pemimpin PAS bawahan

Posted: 27 Dec 2011 02:12 AM PST

Episod Hasan dan Nasharuddin membelasah PAS secara terbuka harus diambil iktibar oleh kepimpinan PAS di peringkat negeri, kawasan dan cawangan.



Perang mulut bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali seharusnya membuka mata kepimpinan PAS di peringkat pertengahan dan bawahan.

Jika dakwaan Hasan dan Mustafa dijadikan rujukan maka kemungkinan Hasan, Mustafa dan Nasharuddin pernah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Umno ada asasnya.

Pada mulanya Mustafa berkata Hasan dan Nasharuddin pernah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno di Hotel Le Meridien pada bulan Ramadhan lalu.

Bagaimanapun Mustafa enggan mengulas lanjut berhubung maklumat pertemuan tersebut.

Selepas 48 jam, Hasan pula dalam sidang media berkata sebenarnya Mustafa yang beberapa kali mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno.

Namun masing-masing tidak mahu mendedahkan maklumat terperinci tentang pertemuan-pertemuan tersebut.

Tetapi bagi mereka yang mengikuti politik tanahair dengan rapat terutama yang Pro-Pakatan Rakyat adalah tidak sukar untuk menjangka bahawa pertemuan tersebut mungkin bersangkut paut dengan agenda Kerajaan Perpaduan (Unity Government), gabungan Umno dan PAS.

FMT difahamkan asalnya Mustafa, Hasan dan Nasharuddin sememangnya merupakan amat akrab dan dikatakan mendukung agenda UG.

Desas desus berkata idea UG ini lahir dari Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din.

FMT juga difahamkan turut menyokong agenda UG ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk

Harun Taib; Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan At-Tantawi dan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun apabila berlaku bantahan dari dalam terutama sekali apabila Musyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta diadakan Muktamar Khas untuk membincangkan isu UG dan apabila Nik Aziz secara terbuka meminta Nasharuddin meninggalkan PAS jika sayang sangat kepada Umno, isu UG terus senyap.

Pertikaman lidah

Maka apabila berlaku pertikaman lidah dalam media apabila Mustafa menuduh Hasan dan Nasharuddin pernah berjumpa pemimpin Umno dan apabila Hasan memulangkan kata-kata, Mustafa lah yang sebenarnya pernah berjumpa pemimpin Umno maka segala dakwaan seorang blogger Pro PAS sejak tahun 2009 ada sedikit kebenarannya.

Pada 5 November 2009 seorang ahli PAS bernama Abdul Rahman Abdul Talib yang juga merupakan seorang blogger yang dikenali sebagai Tulang Besi dalam sebuah posting beliau berkata beliau telah menghantar email kepada Tuan Ibrahim (Naib Presiden ketika itu).

Beliau membuat aduan rasmi ke atas salah laku Nasharuddin berhubung pertemuan Nasharuddin (termasuk Hasan) dengan blogger- blogger termasuk blogger Umno.

Tulang Besi juga muat naik rakaman pertemuan tersebut yang dirakam secara rahsia di dalam blog beliau.

Namun sehingga hari ini isu tersebut disenyapkan oleh PAS dan apabila isu Hasan dan Nasharuddin mengeluarkan kenyataan yang seiring dengan kenyataan Umno menghentam PAS, maka sebenarnya ramai pemimpin PAS peringkat atasan yang tidak menyenangi idea UG ini tidak terkejut.

Selepas isu kritikan Hasan dan Nasharuddin terhadap PAS secara terbuka mendapat liputan meluas media arus perdana, ramai pemimpin PAS peringkat negeri, kawasan dan cawangan seperti baru terhantuk kepala.

Pemimpin PAS pro Umno?

Golongan pemimpin ini merupakan golongan yang tidak mempercayai kononnya ada kepimpinan PAS Pusat yang pro Umno selama ini.

Bagi mereka ini semua fitnah daripada blogger pro PAS dan mereka pernah mengecop blogger seperti Tulang Besi sebagai blogger Umno tetapi menyamar sebagai blogger pro PAS kerana sering melabelkan pemimpin pro UG ini sebagai pemimpin pro Umno untuk memecah belahkan PAS.

Kini segala usaha "coverline" yang dilakukan sebelum ini oleh kepimpinan PAS Pusat sudah terburai secara terbuka dek kerana kenyataan secara terbuka oleh Mustafa, Hasan dan Nasaruddin sendiri.

FMT merasa pelik kerana serangan Hasan dan Nasharuddin secara terbuka ke atas PAS selama seminggu itu merupakan satu kesalahan tatatertib yang besar.

Jika perkara yang sama dilakukan oleh seseorang pemimpin dari Umno, MCA, MIC, PKR atau DAP, sudah pasti pemimpin itu sudah dipanggil menghadap jawatankuasa disiplin. Tindakan tegas pasti menanti pemimpin tersebut dan paling minimum akan dikenakan tindakan digantung daripada jawatan dan tugasan parti.

Agak pelik juga apabila Mustafa mengetahui banyak pergerakan Hasan dan Nasharuddin berhubung pertemuan Hasan dan Nasharuddin dengan pemimpin Umno sebelum ini tetapi mengapa sebarang tindakan tidak diambil oleh beliau atau kepimpinan PAS Pusat?

Setakat hari ini tidak ada sebarang tindakan disiplin atau siasatan diadakan terhadap Hasan dan Nasharuddin.

Kenyataan Mustafa di FMT bahawa beliau tidak mahu memberi apa-apa kenyatan kerana Hasan dan Nasharuddin tidak lagi meyerang PAS tidak menjawab persoalan besar apakah benar Hasan dan Nasharuddin pernah berjumpa dengan pemimpin Umno.

Mustafa juga berkata "No komen, biar dia kata apa pun. Kalau dia nak bercakap, biarlah dia bercakap," katanya kepada FMT pada Sabtu lepas.

Perjumpaan empat mata Hasan dan Nasharuddin dengan Abdul Hadi nampak seperti tindakan formaliti untuk menutup pekung atau dalam bahasa pasar sebagai "coverline".

Rahsia besar

Kenyataan Mustafa di dalam temuramah di Harakah bahawa jika Hasan dedah kelemahan Mustafa maka Mustafa akan dedah kelemahan Hasan menunjukkan masing-masing menyimpan sesuatu rahsia yang besar.

Seorang pemimpin peringkat negeri yang tidak mahu nama dan negeri beliau disebut di dalam laporan ini berkata beliau pernah bertegang leher dengan beberapa pemimpin senegeri dengan beliau berhubung pemimpin atasan PAS yang seolah-olah cenderung kepada Umno (UG).

"Saya tidak setuju apabila PAS kawasan saya mencalonkan Nasharuddin untuk jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan Muktamar PAS

2011. Saya kata Nasharuddin bukanlah pemimpin yang dekat dengan ahli akar umbi dan saya kata Nasharuddin pro Umno (UG). Saya dan beberapa sahabat saya calonkan Mohamad Sabu.

"Namun Yang DiPertua Kawasan dan majoriti Ahli Jawatankuasa kawasan tidak mempercayai hujah saya. Bagi saya mereka ini wala'a (taat) yang keterlaluan kepada pemimpin dan tidak boleh membezakan "abnormal" yang berlaku di depan mata.

"Kalau anda ingat ketika itu ketika Muktamar PAS 2011 semakin hampir Nasharuddin sering mendapat liputan dalam Utusan Malaysia. Ada sahaja kenyataan positif tentang beliau disiarkan dalam Utusan Malaysia.

"Utusan Malaysia ketika itu seolah-olah berkempen untuk Nasharuddin. Saya kata apakah kepimpinan kawasan tidak nampak ini? Itu semua "clue" bahawa kepimpinan harus berfikir dua kali dan ada yang tidak kena dengan pemimpin seperti ini," kata beliau.

Beliau turut mengulas walaupun beliau berhujah atas dasar logik, akhirnya PAS kawasan tetap mencalonkan Nasharuddin kerana suara majoriti mengatasi suara minoriti.

"Bagaimanapun selepas kemelut berkaitan Nasharuddin meletus minggu lepas, saya tidak melepaskan peluang ini untuk bertanya kepimpinan dalam kawasan dan negeri saya yang sebelum ini membakul sampah pendapat saya.

"Hari ini mereka hanya mampu terkedu dan ada di antara mereka mengaku tersilap membuat pertimbangan sebelum ini.

"Saya berharap episod Hasan dan Nasharuddin membelasah PAS secara terbuka harus diambil iktibar oleh kepimpinan PAS di peringkat negeri, kawasan dan cawangan.

"Tidak semestinya menjadi pemimpin atasan mereka sentiasa betul dan kita sentiasa ikut kata mereka tanpa membuat sebarang pertimbangan menggunakan akal fikiran dan logik sendiri", tegas beliau lagi.

Mahkamah berdepan pelbagai isu perlembagaan

Posted: 27 Dec 2011 02:06 AM PST


MALAYSIA KINI

Badan kehakiman terus berdepan dalam menangani lebih banyak kes berhubung isu perlembagaan tahun ini terutama hak individu.

Awal bulan lepas, empat lelaki yang memilih kerjaya sebagai mak andam, mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi Seremban untuk mencabar perintah undang-undang Syariah yang menghalang mereka berpakaian seperti perempuan.

Mereka meminta Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai kepada mereka yang secara psikologi adalah wanita atau mempunyai kecelaruan identiti jantina.

Hakim Rosnaini Saub membuat keputusan itu atas pendapat bahawa permohonan itu membabitkan pelbagai isu perlembagaan.

Bagaimanapun tarikh pendengaran permohonan semakan kehakiman yang difailkan mereka belum ditetapkan.

Dalam permohonan itu, Muhamad Juzaili Mohd Khamis, 24, Shukor Jani, 25, Wan Fairol Wan Ismail, 27 dan Adam Shazrul Mohd Yusoff, 25, menamakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguatkuasa syariah, ketua pendakwa raya syariah dan kerajaan negeri sebagai responden.

Antara lain, Seksyen 66 didakwa menafikan hak mereka dari segi kebebasan melahirkan perasaan masing-masing dan enakmen itu menyebabkannya sukar bergerak dan ini merupakan satu pelanggaran hak mengikut Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan mengenai mobiliti.

Mereka juga mendakwa seksyen itu juga melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak kebebasan terutama dari segi kebebasan memilih.

azlanDi KUALA TERENGGANU, Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang menjalani pembedahan menukar jantina dua tahun lepas, gagal dalam permohonan untuk menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz dalam MyKad.

Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah berhubung penukaran status jantina dalam dokumen pengenalan diri dengan hanya berdasarkan pembedahan menukar jantina ekoran ketiadaan peruntukan yang membenarkan mahkamah berbuat demikian.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.

Mohd Ashraf, yang berasal dari Seberang Takir, memfailkan permohonan itu pada 25 Mei selepas menjalani pembedahan menukar jantina di Thailand keranamendakwa berdepan kesukaran untuk hidup secara normal sebagai seorang wanita, selain memudahkan beliau diterima masuk ke sebuah universiti tempatan.

Hakim Mohd Yazid juga memutuskaan bahawa Mohd Ashraf bukanlah wanita tulen walaupun beliau telah menjalani pembedahan menukar jantina.

Dua minggu selepas itu, Mohd Ashraf meninggal dunia akibat serangan jantung tidak stabil.

Satu lagi keputusan "mengejutkan" dibuat Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang melarang mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan dalam aktiviti politik sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim memutuskan seksyen itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan empat penuntut jurusan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang berdepan tindakan disiplin kerana didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil bagi Parlimen Hulu Selangor pada 24 April tahun lepas.

Sementara itu Hakim Datuk Wira Low Hop Bing, yang mengetuai panel itu menentang dan memutuskan bahawa larangan itu perlu bagi mengelakkan ideologi politik meresap di kalangan penuntut yang mudah terdedah, tertakluk kepada tekanan rakan sebaya dan mudah terpengaruh, yang akan menjejaskan peranan utama universiti dalam menyediakan pendidikan.

Bagaimanapun, Hakim Hishamuddin berpendapat seksyen itu tidak rasional kerana ia menghalang pembangunan pemikiran kritis dan asli penuntut institusi pengajian tinggi.

azlanHakim Albert pula berkata seksyen itu melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kebebasan bersuara dan ekspresi.

Selain itu, perbicaraan kes liwat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat liputan meluas media.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan sama ada Anwar bersalah atau sebaliknya pada 9 Jan depan bagi pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, tiga tahun lepas. Bernama

Banjir di 3 negeri tak berubah

Posted: 27 Dec 2011 02:05 AM PST

MALAYSIA KINI

Keadaan banjir di beberapa negeri tidak banyak berubah setakat 11 pagi ini dengan Johor kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi.

Di JOHOR BAHARU, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di tiga daerah ialah seramai 1,214 orang berbanding 1,236 orang petang semalam.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara, mereka ditempatkan di 18 pusat pemindahan iaitu lapan di Segamat, tujuh di Mersing dan tiga di Batu Pahat.

Jalan tanah merah menuju ke Kampung Orang Asli Peta di Taman Negara Endau Rompin masih ditenggelami air dan ditutup kepada semua kenderaan.

Perkampungan itu hanya boleh dihubungi melalui bot dan pengangkutan udara, kata portal itu.

Di ROMPIN, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan juga tidak banyak berubah apabila hanya enam orang dibenarkan balik sejak petang semalam, menjadikan jumlah yang masih berada di pusat berkenaan seramai 619 mangsa.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata kesemua mangsa kini ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir di daerah itu.

"Seramai 137 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sarang Tiong, SK Pianggu (430) dan Dewan Teluk Gading (52) setakat 9 pagi ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Di SANDAKAN, jumlah mangsa banjir di kampung Gum-Gum yang dipindahkan ke pusat pemindahan berkurangan kepada 194 orang pada 9 pagi ini berbanding 351 semalam.

Jurucakap Pusat Operasi Banjir Majlis Perbandaran Sandakan berkata kesemua 73 keluarga itu ditempatkan di Dewan Sri Gum-Gum dan tidak dibenarkan kembali ke rumah masing-masing kerana dikhuatiri paras air Sungai Gum-Gum meningkat pada bila-bila masa.

Sementara itu, beberapa sungai utama di Beluran kini berada pada paras berjaga-jaga.

Penolong pegawai daerahnya Roger Appolonius ketika dihubungi, berkata penduduk terutama yang tinggal berhampiran tebing sungai dinasihatkan segera berpindah ke kawasan selamat jika mendapati paras air meningkat secara mendadak.

Jalan raya di Km 1.5 Jalan SPSP 1 di daerah itu masih ditutup kepada semua jenis kenderaan sejak semalam akibat dinaiki air banjir. Bernama

Kalimullah lawan Chang: Nor Mohamed ketepi sapina

Posted: 27 Dec 2011 02:03 AM PST

MALAYSIA KINI

Bekas menteri kewangan kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tidak perlu memberi keterangan dalam saman yang dikemukakan Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan terhadap peguam Matthias Chang Wen Chieh.

Mahkamah Tinggi pada 20 Dis lalu membenarkan Nor Mohamed, yang kini menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengenepikan sapina supaya dia menjadi saksi untuk Chang dalam saman tersebut.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, peguam bagi pihak Chang, Vinod Kamalanathan, memberitahu pemberita di Kuala Lumpur hari ini bahawa Hakim Datuk Asmabi Mohamad membenarkan permohonan Nor Mohamed mengenepikan sapina setelah mendengar hujah kedua-dua pihak.

Vinod berkata mahkamah juga menetapkan 4 Januari sebagai tarikh untuk memutuskan permohonan sama (mengenepikan sapina) dibuat oleh Ketua Pemuda, Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan pekerja Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Pada 2 Disember lepas, mahkamah membenarkan permohonan pengasas Limkokwing University of Creative Technology, Tan Sri Lim Kok Wing untuk mengenepikan sapina terhadapnya bagi kes yang sama, manakala bekas pengarah South Peninsular Industries Bhd, Tan Sri Azman Hashim pula akan memberi keterangan setelah dia menarik balik permohonannya.

Keempat-empat mereka dan pekerja SC telah disapina sebagai saksi kepada Chang dalam perbicaraan saman sedang berjalan yang dikemukakan oleh Kalimullah, bekas timbalan pengerusi New Straits Times Press Bhd terhadapnya (Chang).

Pada 29 Jun 2006, Kalimullah memfailkan saman malu selepas Chang dikatakan mengeluarkan kenyataan terhadap pemohon, di satu sidang akhbar, yang beritanya disiarkan Singapore Straits Times melalui wakilnya di Malaysia, Leslie Lau.

Pemohon meminta bayaran gantirugi RM50 juta, kos, faedah dan injunksi bagi menghalang Chang daripada menerbitkan lagi kata-kata yang sama.

Kalimullah antara lain dalam samannya itu berkata kata-kata yang tersiar dalam tulisan berita tersebut membawa maksud bahawa dia seorang tidak jujur, tanpa kredibiliti, tidak boleh dipercayai, berperangai buruk dan pengkhianat kepada rakyat Malaysia.

Chang, yang dahulunya seorang setiausaha politik kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, juga telah mengemukakan saman balas terhadap Kalimullah pada 14 Julai 2006, yang antara lain menuntut gantirugi RM150 juta. Bernama

Rahsia pemberi maklumat dijamin, kata polis Kedah

Posted: 27 Dec 2011 02:02 AM PST

MALAYSIA KINI

Polis Kedah hari ini memberi jaminan identiti serta maklumat orang awam yang memberi butiran mengenai kegiatan jenayah tidak akan didedahkan.

Sehubungan itu, Ketua Polis negeri Datuk Ahmad Ibrahim meminta masyarakat di negeri tersebut meneruskan kerjasama baik dengan polis bagi memastikan usaha pembanterasan jenayah berjalan lancar.

"Saya yakin dengan kerjasama erat dan baik yang terjalin antara masyarakat dan pasukan polis, indeks jenayah dapat dikurangkan lagi," katanya ketika berucap merasmikan kempen cegah jenayah Polis Daerah Kubang Pasu, di Jitra hari ini.

Pada sidang media selepas itu, Ahmad berkata polis Kedah merancang beberapa pendekatan baru untuk dilaksanakan pada tahun 2012 bagi mengurangkan kegiatan jenayah.

Antaranya ialah menumpukan kepada kempen 'walkabout' pencegahan jenayah di kawasan kampung di luar bandar yang akan diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap tiga bulan.

Beliau juga berpuas hati kempen 'walkabout' yang diadakan di lima daerah tahun ini mendapat sambutan memberangsangkan dan mencapai matlamat. Bernama

Perhimpunan 16 jam pro-Adam Adli di UPSI

Posted: 27 Dec 2011 01:58 AM PST

MALAYSIA KINI

Sekumpulan mahasiswa akan mengadakan perhimpunan menuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggugurkan tuduhan terhadap penuntutnya Adam Adli Abdul Halim kerana menurunkan bendera Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab Razab berkata, mereka akan berkampung selama 16 jam di hadapan UPSI bermula 9 malam pada 31 Disember sehingga jam 1 petang keesokan harinya.

NONE"Malam itu kita namakan sebagai 'Malam Talkin untuk AUKU' (Akta Universiti dan Kolej Universiti... Tindakan kita duduk (di situ) sebagai simbolik.

"Akan ada juga ucapan daripada pimpinan pelajar termasuk Adam sendiri," kata Ahmad Syukri (kiri).

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad Syukri berkata, sepanjang tempoh tersebut pihaknya merancang beberapa aktiviti, antaranya meletakkan bunga di hadapan pintu masuk UPSI.

Pada 23 Disember lalu, Adam Adli menerima surat panggilan ke jawatankuasa disiplin UPSI dan berdepan dua pertuduhan, iaitu mencemarkan nama universiti serta memberi ancaman kepada ketenteraman awam.

Ia berikutan tindakannya menurunkan bendera Najib selepas SMM menyerahkan memorandum menuntut kebebasan akademik kepada Timbalan Menteri Pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan Suruhajaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

NONETindakan itu menimbulkan kemarahan pelbagai khususnya sekumpulan penyokong Umno.Pelajar tersebut juga berdepan pelbagai ancaman dan ugutan.

Sementara itu, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) pula dalam kenyataannya hari ini berkata, UPSI tidak mempunyai hak untuk menghalang Adam" (atas) menjalankan hak sivil sebagai warganegara".

"Ancaman apa yang dimaksudkan itu tidak pasti, yang kami tahu kedua-dua pertuduhan ini adalah tidak berasas, tidak berpelembagaan, tidak sah dan jelas serta tidak masuk akal.

"Tindakan Adam Adli ini sebenarnya dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bersuara yang merupakan undang-undang tertinggi dalam negara ini," katanya.

Siswa dakwa risalah lucah 'Anwar' disebar di UiTM

Posted: 27 Dec 2011 01:55 AM PST

Sekumpulan mahasiswa mendakwa terdapat risalah lucah diedarkan di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam memperlihatkan aksi meliwat lelaki yang dinamakan "Anwar" dan "Saifudin".

Dalam kenyataannya hari ini, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) mendakwa penyebaran risalah itu beredar pada Khamis dan Jumaat lalu dan kini sedang hangat diperkatakan.

NONEBagaimanapun tidak pasti siapakah Anwar dan Saifudin yang dimaksudkan dalam risalah itu.

Selain itu, menurut KAMI juga, terdapat juga risalah yang mendakwa timbalan presiden mereka Khalid Ismath sebagai "agen Syiah" disebarkan sehari sebelum itu di tempat sama.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai "melampau", KAMI mendakwa ia dilakukan oleh pihak yang kurang senang dengan tindakan mereka menyokong perjuangan menuntut kebebasan akademik.

Sehubungan itu, mereka berharap supaya bahagian hal ehwal pelajar UiTM menyiasat perkara itu kerana mendakwa setakat ini tiada sebarang tindakan diambil.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, jurucakap KAMI memberitahu, aduan berkenaan sudah dibuat beberapa mahasiswa fakulti undang-undang pada Jumaat lalu.

Pilihan pembaca: 10 berita terhangat 2011

Posted: 27 Dec 2011 01:52 AM PST


MALAYSIA KINI

Berbeza daripada tradisi Malaysiakini sejak sedekad lalu, kali ini pembaca diberi peluang untuk memilih topik berita terpenting sepanjang 2011.

Seramai 1,056 pembaca mengambil bahagian dalam tinjauan yang dijalankan pada minggu lalu.

Pembaca ini memilih tajuk yang diminati mereka daripada kesemua 21 topik yang disediakan Malaysiakini – dengan memberi nilai '0' untuk yang terendah dan '10' untuk tajuk yang paling diminati.

NONETidak hairanlah, perhimpunan BERSIH 2.0 pada Julai menjadi topik paling popular di kalangan pembaca untuk tahun ini.

Mengekor rapat di nombor dua ialah liputan berita untuk skandal dalam National Feedlot Corporation – hanya ketinggalan 91 undi di belakang berita nombor satu untuk 2011.

Kontroversi di sebalik cincin bernilai RM24 juta yang dikaitkan dengan isteri perdana menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor mencuri tempat di nombor tiga, lebih tinggi daripada minat yang ditunjukkan untuk tajuk berita berkaitan kegiatan aktivisme pelajar serta kempen untuk memansuhkan AUKU.

pengukir nama johor mat sabu 050911Liputan untuk pilihan raya negeri Sarawak pula, yang menyaksikan peningkatan penguasaan pembangkang di negeri itu, dipilih ke tempat lima oleh pembaca.

Liputan berhubung siasatan suruhanjaya diraja ke atas kematian Teoh Beng Hock dan kontroversi yang timbul daripada kenyataan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu berhubung Mat Indera pula meraih tempat keenam.

Liputan ke atas pertikaian yang ditimbulkan ke atas daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya pula meraih tempat ketujuh, diikuti dengan langkah tidak konsisten kerajaan berhubung dasar untuk mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Tidak terkecuali, liputan berhubung dakwaan mengenai usaha minoriti Kristian untuk mengambil alih negara.

TPM siasat dakwaan SU sulit disogok

Posted: 27 Dec 2011 01:49 AM PST

MALAYSIA KINI

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedang menyiasat dakwaan bahawa setiausaha sulitnya ada menerima sogokan.

Bercakap kepada pemberita di Shah Alam hari ini, Muhyiddin bagaimanapun berkata beliau tidak tahu menahu berhubung sebarang salah laku tetapi berjanji akan melihatnya secara mendalam.

"Saya hanya membacanya di blog. Saya, apa-apa pun akan teliti perkara ini.

"Kalau apa-apa pun perkara berkaitan dengan sesiapa pun, dengan jabatan saya pun, saya akan kaji," katanya.

NONEBeliau mengulas dakwaan seorang penulis blog Whistleblower 771 bahawa setiausaha sulit kanannya Mohd Shukor Abdul Manan (kanan) menerima lebih daripada RM100,000 sebulan.

Turut didakwa terlibat setiausaha sulit Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Husin.

Awang bagaimanapun menafikan berlakunya salah laku sebaliknya dana berkenaan untuk menggerakkan program kebajikan.

Pejabat MB Kelantan nafi kaitan sepanduk haram

Posted: 26 Dec 2011 08:52 PM PST

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Pejabat Menteri Besar Kelantan menafikan kaitan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan sepanduk haram di sekitar negeri itu yang menggunakan gambar menteri besar itu.

Sambil melahirkan rasa kesal, mereka dalam satu kenyataan hari ini mendakwa, tindakan pihak tertentu yang menggunakan gambar Tuan Guru itu merupakan cubaan mencemarkan imej dan nama baik beliau.

"Kami ingin memaklumkan bahawa YAB Tuan Guru Menteri Besar tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sepanduk ini.

"Pihak kami menganggap sepanduk ini merupakan satu usaha mencemarkan nama baik YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan," kenyataan itu dipetik.

Sepanduk yang bertulis "Rakyat Kelate Nok Royalti Minyok...Buke Nok Pitih RM500" dan "Puak-puak Kito Jange Gi Ambik Pitih RM500 tu, Itu Pitih Haram, Tok Tahu Mari Mano" dipercayai digantung pihak tertentu bagi menggambarkan penolakan PAS terhadap pemberian wang RM500 oleh pusat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sedangkan pendirian Tuan Guru Nik Aziz selama ini sangat jelas bahawa wang tersebut adalah wang rakyat malah rakyat diseru mengambilnya.

Pendirian Tuan Guru juga boleh dilihat melalui kata-katanya yang popular setiap kali pilihan raya iaitu "Bagi pitih ambik, bagi kain pakai, bagi gula kacau, tapi bila undi, pangkah bulan".

Justeru, pihak Pejabat Menteri Besar mahu pihak yang bertanggungjawab menurunkan sepanduk tersebut dengan kadar segera.

Tarikh bicara saman KPF, FGVH diketahui esok

Posted: 26 Dec 2011 08:51 PM PST

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Tarikh perbicaraan bagi saman pemula yang difailkan terhadap Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) oleh empat ahli KPF akan diketahui esok.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, pihaknya berharap Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh akan menetapkan tarikh perbicaraan sebelum 5 Januari kerana tujuan saman itu difailkan adalah untuk memohon injunksi mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada tarikh tersebut.

"Kami sangat-sangat berharap kes ini dapat dibicarakan segera sebelum 5 Januari bagi menghalang mesyuarat itu kerana kedudukan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF sangat diragui," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Selain menghalang mesyuarat agung KPF diadakan, saman pemula yang difailkan Jumaat lalu turut memhon injuksi bagi menghalang penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia (BSKL) dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding.

Ia difailkan oleh Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya dari Felda Jengka 15, Pahang.

Menurut Mazlan juga, Anak akan membuat bantahan kedua kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rabu ini berhubung status Isa sebagai Pengerusi Felda.

Ini kerana katanya, timbul kekeliruan apabila SKM melalui suratnya selepas bantahan pertama Oktober lalu menyatakan bahawa Isa belum sah sebagai Pengerusi Felda.

Namun Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri dalam suratnya menyatakan sebaliknya.

"Timbul kekeliruan dan kecelaruan dalam perkara ini. Apa status Isa sebenaranya?

"Sebab itu jugalah kita nak halang mesyuarat KPF diadakan kerana ia akan dipengerusikan oleh Isa sedangkan statusnya masih ragu-ragu," jelas Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Anak bergabung dengan 11 NGO

Sementara itu, Mazlan berkata, Anak bersama 11 badan bukan kerajaan (NGO) bersepakat untuk bergabung bagi menangani isu penyenaraian FGVH ke Bursa Saham.

"Selepas mengadakan mesyuarat dengan 11 NGO, kami membuat ketetapan isu penyenaraian ini perlu ditangani melalui kombinasi badan-badan bukan kerajaan seperti isu juga isu PPSMI, Bersih dan lain-lain.

"Kita memerlukan pendekatan yang serupa bagi mengukuhkan gerakan melalui NGO dan dalam masa terdekat kita akan adakan sidang media bersama ketua-ketua NGO dan kita yakin dalam tempoh sebulan boleh gabungkan 30 NGO," katanya.

Tegasnya juga, gabungan ini tidak teragak-agak menjadikan demonstrasi sebagai langkah terakhir sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertegas mahu melakukan penyenaraian FGVH.

"Sekiranya pm masih bertegas untuk penyenaraian kita terpaksa guna cara jalanan iaitu menyerahkan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong memohon campur tangan dan kita jangka demonstrasi pada bulan Februari," katanya lagi.

Selain itu ujar Mazlan, beliau akan bertemu dengan veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bagi membincangkan perkara ini.

"Saya mendapat maklum balas beberapa tokoh antaranya Tengku Razaleigh yang merupakan salah seorang yang terlibat bersama Tun Abdul Razak mengasaskan Felda.

"Beliau antara orang yang terasa apabila Felda ingin disenaraikan ke BSKL kerana menurutnya ialah institusi perkhidmatan kepada rakyat yang harus ditangani mengiikut kaedah berbeza daripada syarikat korporat yang lain," katanya.

Laporan polis, SPRM terhadap Awang Adek

Posted: 26 Dec 2011 08:50 PM PST

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan hari ini membuat laporan polis berhubung Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek menerima sejumlah wang dari pihak tertentu menerusi tiga keping cek.

Dakwaan itu dibuat berikutan sebuah lama blog yang dikenali thewhistleblower 711 di alamat http://thewhistlower711.blogspot.com.

Artikel berkenaan memuatkan Awang Adek dikatakan telah menerima sejumlah wang ke dalam akaun peribadi beliau yang merupakan sumbangan seseorang.

Tiga akaun cek yang berjumlah keseluruhannya RM100,000 masing-masing bernombor 45128662, 98634780 dan 994648024 telah dimuatkan dalam blog tersebut.

Laporan polis berkenaan dibuat oleh Mohd Roshdi Zahari, 29, dari Kampung Tualan Salak, Jelawat, Bachok di IPD Kota Bharu, Pengkalan Chepa dekat sini kira-kira pukul 3.15 petang tadi.

Sebaik sahaja laporan polis berkenaan siap dibuat, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan pula dibuat.

Naib Ketua Pemuda PAS negeri, Hafiz Musa, ketika ditemui memberitahu sumbangan berkenaan begitu meragukan dan pihak berkenaan perlu menyatakannya secara jelas berhubung perkara itu.

BN kalah jika Ahmad Said kekal MB - Idris

Posted: 26 Dec 2011 08:49 PM PST

Zulkifli Sulong


KUALA TERENGGANU: Ketika yakin Terengganu akan kekal di bawah BN namun bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh bimbang BN akan kalah jika Datuk Seri Ahmad Said terus kekal sebagai Menteri Besar.

Perkara ini dinyatakan beliau kepada teman-teman rapat beliau dalam Umno.

"Kita masih dahului PAS tetapi kalau hok j**g**g tu masih jadi MB, kita kalah," kata Idris kepada teman-temannya dalam Umno.

Kenyataan ini diceritakan semula rakan-rakan Idris kepada pemimpin PAS, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa menceritakan hal ini dalam majlis makan malam PAS Dun Ladang baru-baru ini.

Kenyataan Idris membayangkan beliau masih menjadi faktor penting dalam politik Umno Terengganu.

Namun begitu, sikap beliau telah menyebabkannya terketepi dari arus utama politik Terengganu kerana tidak disenangi oleh pihak istana.

Walaupun dibawa ke pusat, ia juga tidak menyelesaikan masalah Idris. Beliau sekadar dilantik menjadi Pengerusi MARA sahaja.

Ahmad Said dilantik sebagai MB selepas pilihan raya umum 2008 lalu. Namun perpecahan dalam Umno Terengganu terus ketara.

Mereka berpecah kepada dua kumpulan. Satu dipimpin oleh Ahmad Said manakala satu lagi masih yakin dengan kepimpinan Idris.

Salah seorang penyokong Idris adalah Adun Alor Limbat, Alias Mohamad. Sejak sekian lama Alias tidak bergerak selaku Adun kerana pertentangannya dengan kumpulan Ahmad Said.

Kini, menurut sumber, Alias tidak tersenarai sebagai calon Umno dalam pilihan raya akan datang.

Beliau akan digantikan oleh Saiful Bahri Baharudin (gambar), Ketua Pemuda Umno Terengganu.

Namun ramai yakin pemilihan Saiful akan memudahkan laluan PAS untuk merampas kembali Dun ini.

Ini kerana Saiful lebih berminat untuk mendapat keuntungan dari projek pembangunan dari politik.

Pemilihan beliau sebagai Ketua Pemuda pula dibuat oleh Khairy Jamaludin bukannya akar umbi Umno Terengganu.

Hasilnya, nama bekas Adun Umno di situ, Yusof Musa naik kembali. Alias sedar mengenai hal ini dan mula bergerak.

Namun beliau juga mula sedar, Idris Jusoh sudah tidak ada tempat dalam politik Terengganu.

"Orang-orang Idris kini mula mendekati Ahmad Said kerana sedar idris tidak akan naik semula di Terengganu," kata satu sumber dalam tinjauan Harakahdaily.

Sebelum ini, Harakahdaily pernah melaporkan Umno akan memilih Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Chek sebagai MB Terengganu selepas pilihan raya umum akan datang.

Beliau dilaporkan dipilih bagi mengimbangi pertembungan politik antara Idris dan Ahmad Said. Namun hubungan istimewa beliau dengan PAS dan Tengku Razaleigh Hamzah menyebabkan sesetengah pihak dalam Umno sangat bimbang dengan pendekatan ini.

"Pendek kata, politik Umno Terengganu belum jauh dari stabil dan PAS mempunyai mempunyai peluang yang ceraha untuk merampas kembali Terengganu," kata seorang pemimpin PAS.

Kenyataan beliau disokong oleh seorang bekas pemimpin PKR Terengganu.

"Bagi saya ciri-ciri untuk menang di Terengganu ada tetapi PAS dan Pakatan Rakyat perlukan 'bom' untuk menyedarkan rakyat tentang semua ini," kata beliau.

Risalah lucah hina Saifuddin di UiTM Shah Alam

Posted: 26 Dec 2011 08:47 PM PST

Harakahdaily


SHAH ALAM: Kumpulan Aktivis Mahasiswa (Kami) mendakwa wujud pihak tertentu menyebarkan risalah lucah di sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam sejak Khamis lalu.

Risalah tersebut memaparkan karikatur dua individu yang masing-masing dilabel sebagai Anwar dan Saifuddin dalam keadaan tidak senonoh.

Selain karikatur yang menjijikkan itu, terdapat juga tulisan berbunyi "Sibuk sangat nak baik dengan Pro M yang hina PM tu!".

Menurut Setiausaha Agungnya Khairul Naim, risalah itu dipercayai diedar pada Khamis dan Jumaat lalu oleh beberapa pihak tertentu yang kurang senang pihak yang memberi sokongan kepada Pro–Mahasiswa terhadap isu kebebasan akademik yang hangat diperkatakan sekarang.

"Kami tidak menuduh mana-mana pihak, tetapi tindakan menyebarkan risalah dan gambar ini adalah sesuatu yang melampau," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, tindakan tersebut dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan aman Pro-Aspirasi di perkarangan pejabat Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini bagi mendesak Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (gambar atas) meletakkan jawatan kerana memihak kepada Pro–Mahasiswa dalam penganjuran Perhimpunan Kebebasan Akademik di Kuala Lumpur.

"Kami berharap supaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar dapat menyiasat kes ini sedalam-dalamnya kerana dilaporkan tiada sebarang tindakan terhadap kes yang berlaku ini.

"Dulu apabila Mahasiswa mengadakan speaker's corner, kecoh satu kampus kerana Mahasiswa dikatakan menghuru-harakan kampus sehingga beberapa Mahasiswa ditahan oleh Polis Bantuan UiTM, tetapi mengapa apabila timbul kes ini pihak pentadbir mengambil pendirian berdiam diri?" katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan terus pertahankan Saifuddin walau apapun terjadi kerana yakin dengan perjuangannya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Pro–Aspirasi yang berdemo sebagai "meludah ke langit" kerana suatu ketika dulu mereka mengatakan bahawa Mahasiswa berdemonstrasi adalah tidak intelektual.

Siasat segera dakwaan Shahrizat - Pemuda Sabah

Posted: 26 Dec 2011 08:46 PM PST

Mohd Firdaus


KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mendesak Polis dan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera membersihkan kepimpinan negara daripada sebarang salah laku rasuah, korupsi dan salah guna kuasa.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, pendedahan terbaru yang dibuat oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil telah mengundang pelbagai andaian negatif rakyat terhadap integriti pemimpin kerajaan sedia ada.

"Jika benar dakwaan Shahrizat, polis dan SPRM perlu segera membuat siasatan rapi terhadap sebarang salahlaku tidak kira kepimpinan peringkat negara mahupun negeri.

"Sangat malang jika wujud pemimpin yang makan rasuah, hipokrit dalam memimpin, salah guna kuasa dan kedudukannya," jelasnya.

Beliau mengulas kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu pada 25 Disember lalu yang mempersoalkan "siapakah pemimpin Umno yang tiada masalah", yang dilihat seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Shahrizat berkata demikian bagi membela dirinya yang sedang ditekan ekoran skandal Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC).

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berpendapat, bukan Shahrizat sahaja yang salah dalam hal ini tetapi yang lebih bersalah adalah bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika projek itu diberikan, Tan Sri Muhyidin Yassin.

"Seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh beliau.

"Maklumlah, beliau sedang terpalit dengan 'projek lembu kondo' dan ramai rakan-rakannya yang mendesak beliau meletak jawatan. Takkan beliau seorang yang ada masalah," kata Lahirul lagi.

Sementara itu, rakyat juga ujarnya tidak perlu berasa senang hati dengan tindakan ke atas Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd Khir Toyo yang didapati bersalah baru-baru ini oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Baginya, itu hanya kes terpencil malah yakin banyak lagi kes yang lebih besar yang sepatutnya diambil tindakan.

"Banyak lagi skandal Menteri Besar, Ketua Menteri, Bekas Menteri dan sebagainya.

"Ini perlu dibersihkan dan dihadap ke muka pengadilan dengan kadar segera," ujarnya.

SLC gesa kerajaan wajibkan Lynas jalankan DEIA

Posted: 26 Dec 2011 08:44 PM PST

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Gabungan Hentikan Lynas (SLC) menggesa kerajaan mengundang Lynas supaya menjalankan Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) atas Lynas Advanced Material Plant (LAMP) bagi memenuhi kriteria terbaru yang ditetapkan oleh kerajaan.

SLC dalam satu kenyataan menyatakan, menurut ketetapan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang dipaparkan di laman web bertarikh 20 Jun 2011, aktiviti tambahan yang memerlukan DEIA adalah "kegiatan yang melibatkan bahan radioaktif dan menghasilkan sisa radioaktif.

"Jelas bahawa sisa buangan melalui proses Penapisan dan Penulenan Air (Water Leach Purification, WLP) dari LAMP adalah sisa buangan yang beradioaktif. Fakta ini juga dikenalpasti dan diperakui oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Parlimen pada 14 Nov 2011," ujar SLC dalam kenyataan itu.

SLC mengalu-alukan pengemaskinian terbaru JAS kerana ini membuktikan kerajaan mula mengambil berat atas pengendalian dan pengurusan sisa buangan radioaktif.

Walaupun masih terdapat banyak kelemahan dari segi undang-undang yang berkaitan dengan alam sekitar terutamanya dari sudut pemantauan dan penguatkuasaan, SLC menganggap langkah tersebut menunjukkan satu titik permulaan kerajaan ke arah pengurusan alam sekitar yang lebih mantap dan profesional.

SLC juga berharap kerajaan jangan memberikan alasan bahawa projek LAMP diluluskan sebelum ketetapan terbaru ini dan oleh itu boleh dikecualikan daripada DEIA.

Menurut SLC lagi, LAMP merupakan kilang pemprosesan tanah nadir terbesar di dunia dan bakal memproses sebanyak 64,000 tan tanah nadir mentah dari Mt. Weld Australia serta berupaya menghasilkan 22,000 tan tanah nadir setahun.

SLC juga ingin mengingatkan kerajaan bahawa Kajian Awal Kesan Alam Sekitar (PEIA) LAMP diluluskan dengan cepat sekali oleh kerajaan iaitu hanya mengambil masa 3 minggu sahaja.

Dari segi lokasi LAMP, jarak tapak tersebut hanya 2 km daripada kawasan penduduk terdekat, 4 km daripada pinggir pantai dan 25 km daripada Bandar Kuantan.

Lingkungan 30 km jejari daripada tapak LAMP akan merangkumi 700,000 penduduk iaitu lebih kurang 47% daripada jumlah penduduk Pahang.

Sementara itu, SLC juga menganggap bahawa DEIA dapat membantu LAMP memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang mana kemudian juga dipersetujui oleh kerajaan Malaysia.

Antaranya syarat ke-9 dan ke-10 menetapkan bahawa AELB dan Lynas harus mengerapkan komunikasi dengan pihak yang berminat dan terjejas.

Jelas, DEIA yang mewajibkan perundingan awam dapat membantu memenuhi syarat-syarat tersebut.

"Maka adalah menjadi satu kewajiban bagi sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab, profesional dan berorientasikan rakyat untuk memastikan pelaksanaan projek tersebut tidak menggadaikan keselamatan penduduk dan kelestarian alam sekitar," ujar SLC lagi.

Dengan itu, SLC menggesa kerajaan mengarahkan Lynas secepat mungkin supaya menjalankan DEIA bagi memulihkan keyakinan dan meningkatkan ketelusan projek tersebut.

Pilihan raya umum Mac depan?

Posted: 26 Dec 2011 08:43 PM PST

Harakahdaily


KUALA TERENGGANU: PAS menjangkakan pilihan raya umum ke 13 akan diadakan Mac tahun depan.

"Kali ini saya agak yakin berbanding dengan tarikh-tarikh sebelum ini," kata ahli politik veteran PAS yang juga Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali (gambar).

Beliau berkata demikian dalam satu majlis makan malam dekat sini baru-baru ini.

Beliau membuat andaian itu berdasarkan laporan media dan ramalan awal tentang status ekonomi negara.

"Bagi saya, Umno akan timbang dua perkara kali ini sebelum mengadakan pilihan raya iaitu keadaan dalam Pakatan Rakyat yang sedang diserang.

"Satu lagi, kedudukan ekonomi yang dijangka bermasalah tahun depan ekoran krisis ekonomi dunia khasnya di Amerika dan Eropah.

"Sebelum Malaysia terasa kesannya, baik buat pilihan raya dulu," kata Mustafa dalam ucapannya itu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua organisasi dalam PAS membuat persiapan yang terbaik untuk menghadapi pilihan raya kali ini.

"Najib sudah isytiharkan, ini adalah ibu kepada segala peperangan (mother of the batle), yang tidak pernah dirasai BN sebelum ini, jadi kita mesti membuat persiapan terbaik," katanya.

Mustafa bersetuju, ramai pemimpin dan Umno sangat terpengaruh dengan teori R.A.H.M.A.N yang menghasilkan Datuk Seri Najib perdana menteri di kalangan Umno yang terakhir.

Teori R.A.H.M.A.N adalah teori berdasarkan turutan perdana menteri Malaysia dari Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Husein, Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah dan kini Datuk Seri Najib.

Sehubungan itu, Mustafa meminta semua ahli PAS memberikan fokus sepenuhnya untuk memenangi pilihan raya kali ini khasnya di Terengganu.

Bagi beliau, Umno Terengganu sudah terlalu kekeringan idea dalam menghadapi PAS sehingga terpaksa menimbulkan kembali isu yang sudah berlangsung puluhan tahun lalu iaitu isu kafir mengkafir dan sembahyang dua iman.

Ia dibangkitkan dalam satu titah Tuanku Sultan Terengganu di sebuah masjid baru-baru ini yang antara lain kesal kerana masih ada pihak yang tidak bersembahyang di masjid kawasan masing-masing.

Namun isu ini dijawab dengan mudah oleh penduduk kariah masjid Pengadang Baru dekat sini.

Masjid Pengadang Baru adalah masjid kerajaan negeri tetapi jawatankuasa dan imannya di kuasai oleh pemimpin PAS tempatan.

Ekoran itu, ramai pemimpin Umno tempatan tidak sembahyang termasuk sembahyang Jumaat di masjid itu.

Antaranya adalah Pengerusi JKKK Pengadang Baru yang sembahyang di masjid lain iaitu Masjid Kubang Durian.

Ekoran itu, Mustafa merumuskan Umno sudah kekeringan idea untuk melawan PAS.

Oleh itu, pilihan raya ini disifatkan beliau sebagai masa terbaik untuk PAS merampas kembali Terengganu.

Putrajaya serah kontrak landasan berkembar Gemas-JB kepada firma dari China

Posted: 26 Dec 2011 08:42 PM PST


KUALA LUMPUR — Putrajaya telah bersetuju untuk menyerahkan kepada syarikat China, berkemungkinan besar Chinese Road and Bridge Corporation (CRBC) dan rakan kongsi tempatan Gamuda Bhd, untuk kontrak pembinaan landasan berkembar keretapi elektrik yang dianggarkan bernilai bilion ringgit — untuk laluan sepanjang 197 kilometer bagi Projek Laluan Elektrik Berkembar Gemas — Johor Bahru (EDTP) berbanding syarikat China Railway Construction Corporation (CRCC), menurut sumber.

The Malaysian Insider difahamkan, projek itu bernilai antara RM7 dan RM8 bilion selepas diletakkan di bawah semakan semula pertengahan penggal dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan.

Laluan Gemas-JB itu merupakan pakej laluan terakhir untuk EDTP selepas laluan Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas.

"Putrajaya telah bersetuju untuk memilih CRBC selepas beberapa saat akhir melobi," menurut sumber berkenaan kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, satu sumber lain menjelaskan, penganugerahan projek berkenaan bakal menyulitkan hubungan Putrajaya-Beijing kerana hanya CRCC yang mempunyai kelayakan untuk tender berkaitan pembinaan landasan keratapi di luar negara.

"Keputusan telah dibuat, dan akan diumumkan dalam masa terdekat," menurut sumber berkenaan.

Putrajaya dan Beijing mempunyai hubungan politik dan perniagaan yang akrab dengan China mengimport minyak kelapa sawit dan juga komoditi lain yang didagangkan di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean-China.

Bagaimanapun, Jambatan Pulau Pinang Kedua tidak melihatkan penurunan USD800 juta pinjaman mudah daripada Beijing, malahan Putrajaya turut menolak bidaan sebuah firma China untuk pembangunan semula tanah Penjara Pudu.

"Namun projek Gemas-Johor Bahru EDTP kebiasaannya akan melibatkan syarikat dari China,"menurut sumber berkenaan.

Projek berkenaan termasuk membina landasan lurus sejauh 200 km, termasuk stesen, depot, jambatan, dan sistem elektrik, isyarat dan komunikasi. Ia termasuk penjajaran semula antara seksyen Pulau Sebang, Melaka ke Gemas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha Julai lalu berkata lakaran laluan Gemas-Johor Bahru berada diperingkat akhir tetapi beliau enggan menyatakan sama ada tender berkenaan akan diserahkan kepada syarikat asing apabila siap menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, EDTP di kawasan utara dijangka siap menjelang hujung 2013 dan laluan ke Johor pada 2016.

Projek landasan keretapi berkembar menjadi minat yang besar terhadap Malaysia kerana ia merupakan sebahagian daripada laluan terbesar Trans-Asia antara Singapura dan China.

Pada May 2009, Global Rail Sdn Bhd, sebuah kontraktor kecil dan rakan kongsinya dari China, China Infraglobe menyerahkan kertas kerja kepada Putrajaya untuk membina dan menaik taraf laluan Gemas-Johor Bahru pada kos RM5 bilion.

The Business Times melaporkan, projek berkenaan di bawah pelan Inisiatif Pinjaman Persendirian (PFI) dan rancangan berkenaan diserahkan kepada Kementerian Kewangan pada Jun 2009 dengan bersyarat perjanjian hak galian di negeri Johor.

Menurut Kong pada Januari lalu, kerajaan berharap untuk melantik kontraktor pada tahun ini dan Malaysia masih lagi dalam perbincangan dengan CRCC tapi masih belum mendapat pengesahan lanjut.

Menurutnya lagi, dua kontraktor telah dilantik, iaitu perunding rekaan dan badan semakan bebas untuk memantau perjalanan projek berkenaan.

Pembinaan laluan sepanjang 197 km itu dianggarkan menelan belanja antara RM6 dan RM7 bilion, akan mengambil tiga tahun, menurut laporan akhbar.

Suami kepada bekas pegawai atasan Pelaburan Iskandar Berhad (IIB) dituduh rasuah

Posted: 26 Dec 2011 08:38 PM PST


KUALA LUMPUR — Suami kepada bekas sorang pegawai tertinggi Pelaburan Iskandar Berhad (IIB) hari ini didakwa atas kesalahan menerima sejumlah RMRM816,900 sebagai galakan untuk mendapatkan projek.

Mohd Amin Suhaimi, 52, dibicarakan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tiga kesalahan menerima rasuah daripada syarikat pembinaan Detect Engineering Sdn Bhd bagi mendapatkan tender projek pembinaan sekolah di Pulai.

Projek yang dipercayai terletak di Lot PTD Mukim Pulai dianggarkan bernilai RM40.8 juta.

Dia dituduh melakukan kesalahn di bawah Seksyen 16(a)(A) dan didakwa di bawah seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Selepas Dapat RM2.71b, Umno-BN Cuba Cetus Huru-Hara

Posted: 26 Dec 2011 08:33 PM PST

Oleh Naeem Raffi


SHAH ALAM : Demontrasi penduduk menuntut janji Adun dan Ahli Parlimen berhubung penyelesaian masalah banjir yang dialami mereka sejak sekian lama didakwa didalangi pihak berkepentingan yang sengaja ingin mencetuskan provokasi, jelas Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Pada 24 Disember lalu, Akhbar kawalan Umno, melaporkan sekurang-kurangnya 50 penduduk kampung Batu 5, Jalan Kota Kemuning menuntut janji Ahli Parlimen dan Adunnya segera menyelesaikan masalah banjir.

Tindakan penduduk tersebut ekoran peruntukan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor merangkap Perdana Menteri telah menyumbang RM2.71 bilion kepada Umno-BN untuk menawan kembali Selangor.

Mengulas lanjut perkara ini, Mariah berkata peruntukan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencetuskan onar dengan memburuk-burukan pentadbiran Pakatan rakyat Khususnya di negeri Selangor seperti apa yang berlaku dikawasannya.

"Selama tiga tahun (pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor) ini adalah pertama kali berlaku perkara seumpama ini di kawasan saya, rakyat tahu bahawa kita peka dengan sebarang aduan dan segera turun menyelesaikan masalah,"katanya.

"Ini jelas satu pembohongan sekirannya mereka katakan kami gagal turun padang, tiada sebarang aduan bagaimana pihak kami sedia maklum untuk turun melihat masalah penduduk,"katanya.

"Tidak pernah ada aduan dan rungutan, tiba-tiba muncul provokasi tuntut pihak kami kotakan janji. Bila saya semak kepada Ahli Majlis dan JKKK terbukti tiada sebarang aduan,"jelas Mariah ketika dihubungi TVSelangor.

Mengulas lanjut, Mariah pecaya apa yang berlaku ini berkait rapat dengan demam pilihanraya yang dijangka semakin dekat.

Mariah menambah, pihaknya percaya provokasi seperti ini bukan sahaja berlaku dikawasanya malah ia akan diteruskan ke kawasan lain di negeri Selangor sebagai usaha jahat memburuk-burukan pentadbiran Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu kejadian banjir berlaku di seluruh negara disebabkan musim tengkujuh.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato Seri Najib Abdul Razak menyeru kepada pemimpin Umno Selangor untuk bekerja keras bagi menawan negeri itu menerusi apa jua cara sekalipun.

Kenyataan tersebut dikuatkan lagi dengan pendedahan terbaru bahawa Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Selangor dengan memperuntukan RM2.71 bilion yang bertujuan mencetuskan ketegangan antara rakyat dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

MBSA Lancar Operasi Kesan Dan Tuntut Pesalah Trafik, Diskaun Kompaun 50 Peratus

Posted: 26 Dec 2011 08:31 PM PST

. Oleh Naeem Raffi


SHAH ALAM : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melancarkan Operasi Kesan dan Tuntut untuk mengesan Orang Kena Kompaun (OKK) yang masih gagal menjelaskan kompaun trafik dan tempat letak kereta dikawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Pegawai Pehubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata operasi ini bertujuan mengingatkan Orang Kena Kompaun (OKK) khususnya pesalah trafik yang tegar menjelaskan tunggakan kompaun mereka.

Menurut Shahrin, atas keperihatinan MBSA terhadap warga bandarayanya, OKK juga akan menikmati pengurangan bayaran kompaun.

"MBSA mengambil inisiatif ini untuk meringankan beban OKK dengan melanjutkan kempen pengurangan bayaran kompaun sehingga 31 Disember ini dengan pengurangan sebanyak 50 peratus,"katanya.

Bagi memudahkan OKK menjelaskan pembayaran kompaun kenderaan mereka, MBSA juga menyediakan kemudahan pembayaran atas talian 'on-line' menerusi laman sesawang rasmi MBSA di www.mbsa.gov.my.

Pembayaran juga boleh dilunaskan menerusi semua kaunter Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Hasil Dan Pelaburan di talian 03-5522 2882.

AMK nafi 500 anggota keluar parti

Posted: 26 Dec 2011 08:29 PM PST

Oleh: Ahmad Fadli

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda KEADILAN Gombak, Jafrien Muhammad menafikan berita kononnya 500 anggota AMK Hulu Kelang keluar parti dan menyertai Umno.

Menurutnya, individu yang kononnya bertindak sebagai jurucakap kumpulan 500 orang itu, Mohd Jefry Sallehuddin, tidak pernah menjadi ahli KEADILAN.


"Saya menafikan berita ini. Ia dusta dan tiada 500 ahli KEADILAN keluar parti.

"Jefry bukan ahli parti dan dakwaan kononnya beliau pernah ditahan di ISA dan masuk penjara sebanyak 16 kali adalah satu pembohongan," kata Jafrien.

Akhbar dalam talian MStar hari ini melaporkan 500 anggota AMK Hulu Kelang bertindak keluar parti dan menyertai Umno Gombak kononnya kecewa dengan KEADILAN yang tidak menepati janji.

Bercakap lanjut, Jafrien berkata Jefry sebelum ini hanya merupakan seorang sukarelawan parti dan selama ini juga beliau diketahui mempunyai perwatakan yang meragukan.

Jefry juga, katanya bukan penduduk asal Selangor tetapi berasal dari Sabah.

"Kami ada dengar akhir-akhir ini yang dia mendakwa boleh memberikan kad pengenalan kepada mana-mana pendatang asing yang mahu menyokong Barisan Nasional," kata Jafrien.

Justeru, beliau mencabar Jefry agar mengemukakan bukti jika benar dia berjaya membawa 500 ahli AMK ke dalam Umno Bahagian Gombak.

Bersih, bebas dan mesra rakyat kunci kejayaan Pulau Pinang

Posted: 26 Dec 2011 08:28 PM PST

Roketkini.com


GEORGE TOWN – Rakyat Malaysia di Pulau Pinang menyambut perayaan Krismas bersama kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan harapan pentadbiran mesra rakyat yang diamalkan dapat memastikan semua anak negeri hidup aman damai tanpa rasuah dan jenayah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, negeri pulau mutiara itu telah menikmati hasil daripada kerajaan yang bersih, bukan sahaja dibuktikan melalui pujian Ketua Audit Negara dan Transparecny International tetapi juga pelaksanaan tender terbuka dan perang melawan rasuah.

"Pulau Pinang telah mencatatkan lebihan bajet kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai sejak 2008.

"Lebihan bajet ini digunakan untuk program sosial dan pemberian tunai kepada warga emas, OKU, ibu tunggal, bayi dan pelajar. Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang menghapuskan miskin tegar pada 2009," katanya dalam mesej Krismas semalam.

Tambah beliau, bagi tahun depan, pendapatan minimum untuk keluarga miskin akan ditingkatkan kepada RM600 sebulan di mana kerajaan negeri akan menambah secara "top up" bagi semua keluarga yang berpendapatan kurang dari jumlah itu.

Menurutnya, usaha ini dapat membantu cita-cita kerajaan Pakatan Pulau Pinang untuk menjadi negeri pertama menghapuskan kemiskinan menjelang tahun 2015.

Guan Eng yang juga Adun Air Putih berkata, program pembangunan dan kemajuan sahaja tidak cukup jika tidak dilaksanakan usaha pemerintahan yang baik melalui reformasi institusi yang berasaskan kebebasan, keadilan, kebenaran dan demokrasi.

"Kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun secara aman dibenarkan di Pulau Pinang dengan usaha kerajaan negeri menyediakan Dataran Pidato yang pertama di Malaysia dan hampir setiap minggu pelbagai protes diadakan di jalan-jalan raya (yang mengkritik kerajaan negeri)," ujarnya.

Katanya, urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) telah memastikan kerajaan yang lebih sensitif kepada keperluan rakyat, mudah ditemui rakyat dan mampu menyampaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Budaya politik kurang ajar

Posted: 26 Dec 2011 08:25 PM PST

Oleh Fairuz Azhan

Semakin jelas bahawa para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa mereka yang semakin dicabar oleh rakyat prihatin.

Ini termasuk menyeleweng wang negara, memfitnah anak bawah umur Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa mencabul seorang gadis dan menghina rakyat Malaysia yang menolak politik mereka dengan menggelar mereka dengan pelbagai nama termasuk "bangsat".

Semasa Perhimpuan Agung UMNO baru-baru ini, seorang wakil Pemuda UMNO yang berketurunan India Muslim, atas nama Allah SWT dan Rasulullah SAW, telah menggelar warga Malaysia yang menyokong DAP sebagai "bangsat:.

Konco-konco UMNO di Pulau Pinang pula telah menghantar kek berbentuk najis kepada Guan Eng sempena hari lahir beliau. Begitu bangga sekali mereka yang kebanyakannya dari keturunan India Muslim dengan kelakuan tidak senonoh dan memalukan orang Melayu yang dahulunya terkenal dengan sifat sopan santun serta beradab mulia.

Malah, jika diingatkan semula, apabila segelintir warga Indonesia melemparkan najis ke bangunan kedutaan Malaysia di Jakarta tahun lalu, ramai rakyat Malaysia marah dengan perbuatan biadap itu. Apakah ia tidak menjadi peringatan buat kita semua?

Inilah politik samseng yang berasaskan ugutan, tekanan, membuat kacau bilau, fitnah terhadap orang yang tidak sealiran politik dengan mereka. Inilah 'kehebatan' kepimpinan UMNO dan konco-konco mereka. Apakah ini warisan perjuangan Melayu 1946?

Kedangkalan politik, kerendahan hati budi

Seolah-olah tiada daya intelektualisme untuk berhujah dan menggunakan akal untuk membuktikan bahawasanya mereka adalah pilihan yang lebih baik daripada alternatif yang ditawarkan pihak lawan.

Rakyat melihat dan menilai mana satu pihak yang memberikan alternatif yang lagi baik melalui wacana penyampaian ilmu yang baik, bukannya siapa paling samseng di Malaysia mahu pun siapa lagi banyak membuat fitnah dan dusta.

Anak-anak sekolah pun jijik dengan 'kematangan' wira-wira perkauman ini. Bagaimana mereka tangkis skandal yang benar-benar berlaku? Dengan memfitnah orang lain. Bagaimana mereka menjelaskan penyelewengan dan salah guna kuasa? Dengan menjadikannya isu perkauman.

Bagaimana mereka mahu membuktikan pentadbiran Pakatan Rakyat lemah dan tidak baik untuk rakyat? Dengan menghantar 'Mat Rempit' yang berusia 'bapak budak' untuk membuat demonstrasi sambil memakai t-shirt perkauman. Malah pengayuh beca juga dikatakan dibayar sedikit wang untuk berdemonstrasi menentang kerajaan Pakatan Pulau Pinang.

Semua itu dihebohkan oleh lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia. Apabila yang berdemo itu meminta maaf dan mengakui mereka dibayar oleh pihak-pihak perkauman, semua media kawalan BN diam membisu.

Mereka melayan rakyat seperti hamba yang dangkal otak. Apabila rakyat mendesak hak dan peluang untuk berhujah, dikusi, debat dan sebagainya, ia dibalas dengan intimidasi, fitnah dan budaya samseng.

Mahasiswa pun menjadi mangsa fitnah

Awal bulan ini, sekumpulan mahasiswa telah ditahan kerana berpidato di UiTM walau pun Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah diisytiharkan oleh Mahkamah sebagai tidak sah kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang lebih dikesali ialah sekumpulan mahasiswa pro-BN telah membuat kacau dan berlagak samseng di majlis tersebut. Bapa borek anak rintik, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Ramai orang UMNO, khususnya ahli-ahli veteran sudah sedar bahawa demokrasi dalam UMNO sudah lama mati di mana titik nokhtahnya bermula semenjak penubuhan UMNO Baru pada 1988.

Tetapi bagi rakyat, itu soal UMNO. Jika tidak suka dengan demokrasi dalam parti sendiri, itu soal parti tersebut sahaja. Tapi janganlah mendidik rakyat dengan sedemikian juga.

Kita ada Perlembagaan Persekutuan. Walau ada beberapa pindaaan yang menghalang hak dan kebebasan, yang penting adalah amalan mengikut perlembagaan asal yang membentuk negara kita yang merdeka lebih 54 tahun lalu. Ia adalah amanah dan tanggungjawab kerajaan yang diberikan oleh rakyat.

Rakyat yang mahu demokrasi perlu membuat pilihan

Sesungguhnya rakyat dahagakan sebuah demokrasi yang matang dan baik. Ia memberikan peluang yang adil untuk segenap lapisan masyarakat terlibat dalam isu membangunkan negara yang tercinta ini.

Janganlah kita menganggap demokrasi itu sebagai 'agama baru' untuk menghancurkan negara semata-mata kerana takut berhadapan dengan rakyat yang sudah celik, bijaksana dan prihatin tentang hak dan tanggungjawab.

Budaya samseng dan kurang ajar bukan sahaja tiada tempat di Malaysia, ia juga ditolak oleh semua ajaran agama dan ideologi politik yang bebas dan demokratik. Mengugut dan berselindung di sebalik undang-undang yang zalim hanya menonjolkan kedangkalan untuk berhujah dengan baik dalam ruang demokrasi.

Rakyat yang bosan dan meluat dengan budaya UMNO-BN ini, termasuk dari kalangan ahli-ahli parti-parti komponen mereka sendiri, mempunyai alternatif untuk memperbaiki keadaan yang semakin parah ini. Sesungguhnya kuasa itu di tangan rakyat. – Roketkini.com

Tiada ulasan: