Jumaat, 2 Disember 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pakatan dijangka menang lebih besar di Kedah

Posted: 02 Dec 2011 03:18 PM PST

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

http://flagspot.net/images/m/my-kd.gifSOALAN paling popular menjelang PRU-13 di Kedah ialah apakah PAS mampu pertahankan kerajaan?

Jawapannya ialah, jika pilihan raya diadakan sekarang, kedudukan PAS di Kedah adalah lebih baik dari Kelantan. Jika Kelantan dapat dipertahankan maka Kedah juga begitu. Itu bukan jawapan yang tepat tapi mana ada jawapan yang tepat terhadap persoalan yang belum berlaku.

Kedah berbeza dengan Selangor dan Pulau Pinang dari aspek kekuatan PAS berbanding Umno. PAS tidak kuat berbanding Umno di Pulau Pinang dan Selangor. Jika pilihan raya diadakan antara PAS dan Umno di kedua negeri tersebut maka Umno akan menang. Namun, kerana undi bukan Melayu memihak kepada Pakatan Rakyat, maka BN tidak dapat diselamatkan.

Kedah, Kelantan dan Terengganu mempunyai persamaan dari segi kekuatan asas PAS berbanding Umno. Jika terdapat perbezaan pun (sedikit kelebihan kepada Umno) tetapi ia tidaklah terlalu jurang. Kedah mempunyai kira-kira 24 peratus pengundi bukan Melayu, jadi jika pengundi bukan Melayu memberi sokongan padu kepada PAS maka PAS akan menang.

Sejak beberapa kali pilihan raya undi bukan Melayu, khususnya undi Cina adalah "undi blok." PRU12 mereka memilih PR (Pakatan Rakyat) dan sehingga kini trend itu belum berakhir, malah dilaporkan bertambah.

Kelantan tidak begitu, mereka mengharap sepenuhnya kekuatan undi Melayu. Sebab itu saya berteori, jika PAS boleh menang di Kelantan maka harapan di Kedah lebih cerah.

Walaupun ada kajian profesional yang dibuat terhadap pola sikap politik rakyat Kedah tetapi ia sukar dijadikan rujukan. Pertama, kerana trend terkini peratus golongan yang tidak membuat keputusan dari awal semakin bertambah.

Mereka kebanyakannya terdiri daripada golongan muda yang tidak taksub kepada mana-mana parti politik.

Kedua, perubahan sikap berlaku sangat pantas mutakhir ini. Ia macam pergerakan indeks bursa saham. Dalam masa sebulan, keputusan berbeza boleh diperolehi. Ketiga, kaji selidik rambang tidak akan menggambarkan realiti selepas pemilihan calon dibuat. Semua masih ingat PRU12 di mana BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan tumbang di lima negeri.

Sewaktu Pak Lah sebagai PM memilih tarikh pembubaran Parlimen, beliau tentu meneliti pelbagai keputusan dan analisis dari kaji selidik yang dijalankan.

Semua kumpulan penyelidik tersebut tentulah profesional.

Mustahil Pak Lah akan membubarkan Parlimen jika kajian yang dibuat menunjukkan BN akan kalah teruk. Maknanya Pak Lah telah membubarkan Parlimen sewaktu pelbagai petunjuk yang sampai kepadanya menunjukkan bahawa BN akan menang besar ataupun setidaktidaknya menang 2/3. Apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Sebuah badan penyelidikan profesional mendedahkan bahawa perubahan sikap rakyat berlaku dengan ketara 3 hari menjelang hari pembuangan undi. (Peningkatan sokongan untuk PR).

Kaji selidik rambang yang dibuat menunjukkan PAS masih mendahului sokongan rakyat. Tetapi ia tidak akan menggambarkan realiti selepas pemilihan calon dibuat kerana sikap pengundi mungkin lebih memihak kepada parti yang didukung sewaktu kaji selidik dibuat. Misalnya orang PAS akan sokong PAS dan orang Umno akan sokong BN. Namun apabila calon dikemukakan, sikap mereka boleh berubah selepas itu.

Hal ini berlaku dengan ketara dalam Umno dan akan terus berlaku dalam PRU13 nanti.

Individu yang tidak terpilih bersama kumpulannya akan melakukan sabotaj terhadap calon yang dipilih. Mereka tidak berniat untuk mengkhianati parti sebenarnya. Apa yang dilakukan ialah mempastikan saingan mereka kalah dan peluang untuk mereka menjadi calon di masa depan masih ada. Jika sekali saingan mereka terpilih jadi YB, maka akan berakar umbilah dia di situ sampai bila-bila.

Kajian dibuat menunjukkan PAS berpotensi menang di Kuah, Air Hangat, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kota Siputeh, Ayer Hitam, Pedu, Kuala Nerang, Bukit Lada, Sungai Tiang, Belantek, Jeneri dan Bayu. PR akan menang di Bukit Pinang, Derga, Anak Bukit, Pengkalan Kundor, Kubang Rotan, Alor Mengkudu, Kota Darul Aman, Bakar Bata, Tokai, Sungai Limau, Guar Chempedak, Gurun, Tanjung Dawai, Bukit Selambau, Pantai Merdeka, Bakar Arang, Sidam, Kupang, Kuala Ketil, Lunas, Merbau Pulas, Kulim dan Bandar Baharu.

Pola sokongan menunjukkan PR selesa di kerusi yang terdapat pengundi campuran. Maka tidak pelik kalau Pengerusi Umno kedah, Dato' Ahmad Bashah pun dijangka kalah di Bakar Bata yang mempunyai 30 peratus pengundi bukan Melayu.

Bukit Lada dan Ayer Hitam, PRU12 pun adalah kerusi yang dijangka dimenangi BN. Tapi mereka tewas juga. Percayalah siapa pun yang menjadi calon BN di kedua-dua kerusi tersebut akan menghadapi cabaran dari rakan-rakan separti mereka sendiri. Sebenarnya bagi BN, terdapat dua lagi kerusi yang bakal mengalami nasib yang sama iaitu Kota Siputeh dan Kuala Nerang, yang dimasukkan dalam kelompok BN.

Untuk kali ini, insya-Allah Bukit Lada dan Ayer Hitam kekal di tangan PAS manakala Kuala Nerang dan Kota Siputeh akan dirampas.

Terdapat dua kerusi di mana BN menang dengan sokongan pengundi Siam iaitu Pedu dan Sungai Tiang pada PRU12.

Perkembangan mutakhir menunjukkan pengundi Siam sudah berpaling tadah dari BN. Undi mereka adalah undi kelompok, ia meletakkan BN terus mengalami kesukaran.

Kedua kerusi tersebut juga boleh dimasukkan dalam kelompok PR.

Jika berlaku seperti diandaikan maka PR akan menang besar PRU13 nanti. Itu andaian di atas kertas. Realiti mungkin tidak semudah itu.

Apapun, akhirnya saya sangat percaya bahawa keputusan yang bakal ditentukan oleh Allah SWT adalah keputusan yang muktamad. PAS kalah teruk pada 2004 sewaktu "menjentik kerongkong" dengan slogan PAS Tawan Kedah 2004.

Sebaliknya menang besar pada 2008 sewaktu berusaha untuk menang dengan banyak, sambil mengharap pertolongan Allah SWT.

Untuk PRU13, insya-Allah PAS-PR boleh menang lagi besar jika terus menyerah diri dan mengharap pertolongan Allah SWT sambil bekerja lebih gigih. Jangan angkuh, jangan dabik dada dengan kekuatan kita kononnya yang akan menangkan kita. Kalah atau menang biarlah dengan restu dan redho Allah SWT. Itu dasar akidah dan keimanan kita.

>> Penulis adalah Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah

Kalau sudah lemah, apa sahaja digunakan untuk menang

Posted: 02 Dec 2011 03:15 PM PST

KEDAH LANIE


Kalau kita sudah lemah atau kurang sehat, kita akan bercakap seperti orang yang meroyan. Ia memang begitu. Kepada orang yang sedang demam panas selalunya dia akan meroyan dan bercakap tidak tentu buah butirnya. Begitu jugalah apa yang kita sedang lihat dalam Perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno dan Perhimpunan Umno sekarang ini.

Muhyiddin memulakan ucapan keras untuk membentuk bibit kebencian di antara rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Buat masa ini rakyat berbilang kaum di bawah-bawah ini bersatu dan tidak bermusuhan di antara satu dengan lain. Yang menaikkan semangat benci membenci di kalangan rakyat dan di antara kaum ini ialah pemimpin sendiri dan ini boleh kita lihat dari intipati dalam teks ucapan Timbalan Presiden Umno itu.

Kerja dan usaha memecah belahkan rakyat berbilang kaum itu diperkuatkan dengan beberapa cebisan ayat-ayat suci al Quran dalam beberapa surah di dalam kitab suci itu. Ayat-ayat Quran digunakan untuk memecahkan kesatuan di antara kaum yang wujud di antara kami di bawah ini. Selepas ini apabila keadaan tidak berubah dan sokongan masih tidak didapati, tidak tahulah ayat apa pula yang akan di gunakan. Saya rasa carut-mencarut pula akan menjadi senjata untuk memecah belahkan rakyat untuk mengambil kesempatan untuk mendapat kuasa lanjutan dari rakyat.

Katanya DAP itu rasis, PKR itu parti yang memperjuangkan tubuh badan individu dan PAS itu sudah jadi baruah DAP. Kita memahami kenapa Muhyiddin bercakap begitu. Ia adalah satu usaha untuk menyatukan orang Melayu di belakang Umno. Bagi Muhyiddin saya yakin beliau tidak lagi menaruh harapan kepada bangsa lain kerana bangsa lain terutamanya kaum cina, mempunyai pendirian yang tetap dan payah untuk di goyahkan.

Bagi Muhyiddin oleh kerana kegelabahan dan kegelisahan beliau, Timbalan Presiden Umno ini terlupa dengan apa yang dia kata semalam dan hari ini misalnya. Hari ini bercakap lain, besok dia akan bercakap perkara yang sama tetapi dalam mood yang bertentangan dengan apa yang beliau perkatakan pada hari sebelumnya.

Selalunya kalau kita kaji dari psikolojinya Muhyiddin sudah mula hilang keyakinan terhadap sokongan rakyat khususnya orang Melayu. Bagi Muhyiddin beliau boleh berkata apa sekali pun terhadap bukan Melayu kerana beliau merasakan beliau tidak boleh mengharapkan bangsa Cina untuk bersama beliau dan Umno. Kata-kata beliau begitu rasis, malahan lebih rasis dari Perkasa semasa berucap di Perhimpunan 3 sayap parti, Wanita, Puteri dan Pemuda.

Maka kita lihat apa yang di suarakan oleh Najib melalui slogan 1 Malaysia itu dilanggar secara "head-on" oleh Muhyiddin. Muhyiddin sudah kesuntukan akal. Sebagai Timbalan Perdana Menteri beliau merupakan pengganti kepada Najib jika ada apa-apa yang berlaku kepada kepimpinan Najib. Belum pun beliau mengambil alih beliau telah menunjukkan sikap tidak boleh "co-exist" dengan bangsa-bangsa lain di negara ini, bagaimana kah beliau boleh diterima oleh rakyat secara menyeluruh nanti?

Bagi saya sikap Muhyiddin itu merupakan sikap "mengecilkan padang" beliau sendiri. Beliau hanya mahukan orang Melayu untuk bersatu dan seolah-olah menolak kewujudan bangsa lain terutamanya bangsa Cina yang sudah berada empat keturunan di negara ini.

Bagaimanakah Muhyiddin boleh di terima sebagai pemimpin jika beliau hanya mahu menjadi pemimpin kepada bangsanya sendiri sahaja. Pada Muhyiddin bangsa lain semuanya anti Islam, komunis, jahat, dan semuanya yang tak elok. Hendak juga saya melihat jika Muhyiddin jadi PM dengan hanya menjaga orang Melayu. Bila bercakap seperti orang yang tidak berfikir langsung semata-mata kerana hendak menjaga "hardliners" dalam Umno.

Apakah agaknya sebab-sebab Muhyiddin menuduh DAP hendak jadikan negara ini sebagai sebuah republik? Saya percaya Muhyiddin menyebut ini kerana rasa terdesak di atas keruncingan sokongan orang ramai terhadap Umno dan BN pada hari ini. Kadang-kadang kita tidak boleh menyalahkan MCA dan Gerakkan menuduh yang kedua parti itu tersungkur kerana sikap pemimpin reputasi Umno yang menerajui BN itu. Umno kini tidak mempunyai "magnanimity" yang tinggi. Muhyiddin sepatutnya membaca dan menghayati isi kandungan perlembagaan parti itu betul-betul.

Sesungguhnya saya sudah percaya apa yang di katakan oleh Gerakkan dan MCA beberapa lama selepas kekalahan teruk dalam PRU 2008 yang Umnolah menyebabkan kedua parti itu jatuh merudum. Kaum-kaum khususnya kaum Cina beranggapan yang Gerakkan dan MCA itu hanya sebagai parti-parti yang telah di pariahkan oleh Umno sendiri. Maka tindakan bangsa cina tidak menyokong MCA dan Gerakkan itu adalah tepat bagi mereka kerana MCA dan Gerakkan itu sentiasa mengikuti kerenah buruk Umno sebagai parti tunjang kepada BN itu.

Dengan ucapan pedas Muhyiddin di Perhimpunan 3 sayap Umno yang baru lalu ini bangsa cina nampaknya lebih takut jika BN khususnya Umno, masih diberikan mandat kali ini. Apa yang di perlukan pada hari ini ialah seorang pemimpin Melayu yang di hormati oleh semua bangsa kerana pimpinan utama negara ini adalah moralnya hak orang Melayu.

Tetapi kalaulah pemimpin seperti Muhyiddin yang bakal mengambilalih kepimpinan Najib yang sedang di usahakan oleh setengah kumpulan dalam Umno sekarang ini sudah dibuai dengan sentimen rasisnya maka menjadikan Muhyddin sebagai pemimpin yang bakal menerajui pimpinan BN yang akan hanya mengambil tanggungjawab terhadap orang Melayu sahaja.

Itu cerita Muhyiddin. Bagaimana pula kalau kita belek-belek sedikit cerita Shahrizat, Ketua Wanita Umno, yang masuk parlimen melalui pintu belakang itu? Dalam Perhimpunan Wanita Sharizat secara jelas juga seorang yang tidak begitu "centre" sebagai seorang nombor satu dalam Wanita Umno. Menyingsing lengan bajunya di hadapan perwakilan dengan nada garang tidak bertempat. Ada di antara yang ada di dalam dewan persidangan memberi komen, "kenapa tidak sensing kainnya sekali?"

Kenapa memberikan reaksi marah hanya kepada Zuraida PKR sahaja kerana desakan Zuraida yang meminta beliau meletakkan jawatan? Kenapa tidak marah kepada Bung Mokhtar dan gengnya sekali kerana mereka dalam Umno sendiri meminta beliau meletakkan jawatan?

Saya di sini tidak berkeyakinan yang Umno mampu mengenepikan Shahrizat dalam PRU nanti kerana beliau adalah Ketua Wanita Umno. Jika beliau masih di calonkan maka ianya akan memberikan "effect" yang "negative" kepada BN di seluruh negara. Yang boleh mengenepikan beliau hanyalah beliau sendiri dengan berhenti secara sukarela dan tidak lagi menjadi calon dalam PRU nanti. Lagi pun Umno boleh melantik beliau sekali lagi melalui pintu belakang. Itu pun dengan syarat BN menang pilihanraya nanti.

Yang tidak akan dapat dinafikan oleh sesiapa ialah pendekatan Najib dan Muhyiddin sangat berbeza dan sentiasa bersalah-salahan. Najib dengan 1 Malaysia nya. Muhyiddin dengan rasis Melayunya. Muhyiddin yang rasis Melayu cuba hendak menuduh DAP sebagai rasis cina yang hanya di anggotai oleh kaum Cina. Tetapi apabila DAP hendak membawa orang Melayu untuk mengimbangi kaum-kaum yang berbilang dalam negara ini Muhyiddin kata Cina DAP melakukannya untuk mengumpan dan mengudakan orang Melayu dan orang Melayu yang menyertai parti itu di anggap sebagai pengkhianat bangsa dan negara pula.

Siapa yang pengkhianat? Jika menyertai DAP itu pengkhianat dan memberi ancaman kepada keselamatan negara kenapa tidak haramkan sahaja DAP itu? Tuduhan Muhyiddin ini begitu serius dan kepada siapa yang mahu hidup bersama secara aman mesti menolak Muhyiddin kerana jika beliau menerajui kepimpinan negara kehidupan kita di antara kaum akan porak peranda.

Sebagaimana yang saya tekankan sebelum ini pengkhianat ini ialah seseorang yang menjahanamkan negara dan keselamatan rakyatnya. Pengkhianat yang sebenarnya ialah perasuah kerana budaya rasuah akan menjahanamkan sistem pentadbiran negara dan membawa perpecahan kepada rakyat yang menghuninya. Rasuah lebih dahsyat akibatnya dari ancaman komunis dan dadah.

Mereka yang rasuah ini merupakan benar-benar pengkhianat terhadap negara kerana tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara jujur seperti yang di amanahkan oleh rakyat. Stigma rasuah ini merupakan stigma yang tidak dapat ditanggalkan dari Umno dan BN. Seperti yang saya sebutkan dalam posting yang lalu, Umno dan rasuah itu ibarat aur dengan tebing, saling menyandar di antara satu dengan yang lain, malahan keselamatan negara akan terancam jika rakyat tidak mahu menyingkirkan perasuah dari barisan kepimpinan negara.

Kritikan tentang rasuah ini sudah lebih satu dekad di persoalkan oleh rakyat tetapi nyata rasuah ini tidak dapat ditanggalkan dari Umno. Maka pimpinan Umno wajar berfikir, jangan tuduh seteru politik sembarangan kerana Umno sendiri itu tidak berkemampuan untuk membuat perubahan minda dengan mengaku rasuah itu adalah musuh nombor satu negara dan rakyat.

Pemimpin Umno boleh berucap bertempik-tempik di Dewan Merdeka dengan retorik dan janji-janji menggunung, tetapi rakyat tidak dapat melupakan isu rasuah yang terlalu menebal dengan Umno. Cubalah berusaha untuk bersatu tetapi rasuah tadi tidak akan membolehkan mereka bersatu di antara satu dengan lain dalam Umno dan BN.

Kalau Umno boleh bersatu, rakyat juga boleh bersatu untuk menolaknya. Sebenarnya rakyatlah yang sudah penat menangani isu perpaduan ini. Sudah nampak jelas rakyat mahu bersatu dalam erti kata yang sebenarnya tetapi nampaknya mereka lebih cenderung untuk bersatu di luar Umno dan BN. Sangat susah untuk bersatu dibawah Umno jika pemimpin-pemimpin mempunyai sikap seperti Muhyiddin Yassin. Beliau hanya inginkan orang Melayu sahaja bersatu sedangkan rakyat mahu bersatu bagi semua kaum yang hidup dalam negara ini.

Inilah bibit-bibit yang menyebabkan rakyat berbilang kaum sekarang menerima parti-parti berbilang kaum dan secara deras menolak parti-parti yang di anggotai oleh hanya satu kaum seperti Umno, MCA dan MIC. Perbezaan wadah dan keterampilan Najib dengan Muhyiddin ini akan memberi lebih sebab kenapa rakyat patut menyertai parti-parti berbilang kaum di negara ini.

Setiap parti yang terdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan menerima kandungan perlembagaan negara. Oleh kerana tuduhan pemimpin Umno yang parti-parti ini tidak menghormati perlembagaan negara inilah yang menyebabkan rakyat berpecah belah.Semua parti menghormati perlembagaan dan tuduhan Muhyiddin yang ada pihak tertentu hendak jadikan negara ini negara republik itu amat menyentuh perasaan rakyat kerana ianya adalah tuduhan yang amat jahat dan memalukan bangsa Melayu kita sendiri.

Itulah sebabnya pemimpin-pemimpin terdahulu pernah berkata yang kita mesti jauhkan pemimpin yang mempunyai sikap rendah diri dan mempunyai tahap "confidence" yang rendah untuk memimpin. Ugut mengugut, gertak menggertak dan memulas tangan rakyat adalah senjata akhir untuk terus berkuasa. Memaki hamun, mencarut dan menyinsing lengan macam Sharizat menjadi perkara biasa. Jangan menyinsing kain cukuplah.

Pemimpin seperti ini akan bertindak mengikut rasa hati mereka sahaja dan tidak bertindak mengikut keperluan bangsa-bangsa yang dipimpinnya. — aspanaliasnet.blogspot.com


Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA)

Posted: 02 Dec 2011 03:09 PM PST

Oleh Rozie Jumat

Keningau : Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), parti yang diketuai oleh mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim akan bertanding di kesemua kawasan Parlimen dan DUN Sabah pada pilihanraya umum akan datang.

Ketua Zon Pedalaman merangkap Penyelaras Parlimen P.180 Keningau, Thomas Anggan berkata Parti Kita telah bersedia di semua kawasan pedalaman iaitu Tenom, Pensiangan dan Keningau.

Mantan Wakil Rakyat Bingkor itu memberitahu, calon-calon yang berpotensi telah dikenal pasti oleh kepimpinan parti itu yang akan mencabar calon-calon lawan pada pilihanraya yang akan datang.

Dr. Asri Isi Borang Keahlian UMNO?

Posted: 02 Dec 2011 03:01 PM PST

Radhi Razak

alt


KUALA LUMPUR - Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menafikan dakwaan bahawa beliau bakal menyertai UMNO dalam masa terdekat ini susulan kehadirannya ke Perhimpunan Agung UMNO.

Beliau menjelaskan kehadirannya ke Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini hanya sebagai pemerhati luar dan menerima jemputan semata-mata.

"Tidak, tidak. Saya hanya hadir sebagai tetamu jemputan, mereka jemput saya hadir, hormati jemputan, lagipun secara kebetulan saya ada masa," kata beliau sambil menambah mahu kekal seperti sekarang di mana menjadi pemerhati dan penganalisis dari luar.

Saya pun sepatutnya hadir pada 27 November lalu atas jemputan PKR, tetapi saya tidak sempat. Dulu saya pernah hadir muktamar PAS. DAP pun pernah jemput saya dua tahun lalu, tetapi saya tidak sempat pergi," kata felo Pusat Pengajian Islam Oxford ini. Saya lebih suka berada seperti sekarang, menjadi pasukan ketiga, melihat dari luar."

Selaku tetamu Umno Asri mengambil bahagian dalam hampir kesemua acara utama dan sampingan sejak empat hari lalu.

Beliau pernah disebut-sebut akan menyertai Umno tahun lalu bersama sekumpulan ulama muda, tetapi akhirnya memberi kenyataan bahawa mahu kekal tidak menjadi ahli politk mana-mana parti.

RUU Perhimpunan Aman: Tangguh bahas di Senat, MCCBCHST gesa Najib

Posted: 02 Dec 2011 04:09 AM PST


KUALA LUMPUR— Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, diluluskan Selasa lalu di sebalik kontroversi dan bantahan, bercanggah dengan kebebasan berhimpun dan beragama dan tidak wajar dibawa ke Dewan Negara, tegas Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, majlis tersebut menegaskan peruntukan-peruntukan perundangan baru ini juga bercanggah dengan hak-hak diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Rang undang-undang yang disyorkan ini dengan jelas memberi polis dan Menteri Dalam Negeri lebih banyak kuasa dan bertujuan untuk mengekang ruang demokratik," kata kenyataan MCCBCHST yang ditandatangani Presidennya Daozhang Tan Hoe Chieow, timbalan Sardar Jagir Singh, tiga naib presiden Venerable Sing Kan, Rev Dr Thomas Philips dan Mohan Shan dan Setiausaha Agung Prematilaka KD Serisena.

Dalam kenyataan itu, keenam-enam pemimpin menegaskan, majlis tersebut risau kerana peruntukan rang undang-undang terbaru ini menggariskan tempat-tempat perhimpunan awam tidak boleh diadakan termask pekarangan rumah ibadat, hospital, stesen kereta api, terminal pengangkutan awam, tadika dan sekolah.

"Peruntukan yang dicadangkan dalam rang undang-undang ini bercanggah dengan semangat Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama," kata kenyataan mereka.

Tambah mereka, majlis juga menentang Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 kerana ia mengelirukan orang ramai yang tidak mengetahui sifat peruntukannya, yang antara lain mengharamkan kesemua bentuk demonstrasi termasuk perarakan aman kecuali ia mendapat kelulusan polis.

"Notis makluman 10 hari juga terlalu lama. Ia tidak mengiktiraf hak mengadakan perhimpunan dengan segera apabila wujud isu-isu penting dan terdesak," katanya lagi.

"Pengguguran syarat mendapatkan permit polis tidak benar kerana perhimpunan tidak boleh diteruskan jika polis membantah," kata kepimpinan majlis itu lagi.

"Mengenai pemakluman perhimpunan disyorkan, polis akan membalas dalam tempoh 10 hari dengan mengenakan syarat termasuk sama ada boleh diteruskan atau tidak.

"Oleh itu perhimpunan masih tertakluk kepada kelulusan polis," kata mereka.

Kenyataan mereka menambah, jika polis enggan memberi kebenaran, maka rayuan perlu dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri.

"Ini tidak boleh diterima. Rayuan sepatutnya dibuat di mahkamah," kata beliau.

Sambil menegaskan bahawa rang undang-undang ini menunjukkan Malaysia ketinggalan di belakang Myanmar, kepimpinan MCCBCHST menggesa kerajaan mendengar bantahan-bantahan yang dikemukakan.

"Kami sangat berharap ia tidak diluluskan dengan tergesa-gesa di Dewan Negara kita," katanya.

“Kami dah lali dengan tuduhan dan tohmahan Umno,” kata Salahuddin Ayub

Posted: 02 Dec 2011 04:05 AM PST




KUALA LUMPUR ― Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata Umno boleh terus melemparkan pelbagai tuduhan kepada parti Islam itu dan rakan komponen dalam Pakatan Rakyat sambil menyifatkan ia tidak memberi sebarang kesan terhadap parti perikatan itu.

Menurut Salahuddin (gambar), PAS-PKR-DAP akan terus bergerak ke hadapan tanpa mempedulikan segala tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan Umno.

"Apa yang membanggakan saya adalah perkara-perkara yang memberangsangkan untuk parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP...ini membuktikan Pakatan Rakyat benar-benar menjadi alternatif kepada rakyat dan saingan yang begitu hebat sekali bagi Umno.

"Jadi kita gembira dengan perkembangan ini dan kita akan terus bergerak ke hadapan, merangka strategi untuk kita lebih menawan hati rakyat...saya tidak peduli apa tuduhan mereka tapi apa yang penting kita kini berada di persada tanah air yang mana Umno begitu gerun untuk menjawab setiap isu yang kita bongkarkan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, Pakatan Rakyat telah berjaya menyaingi Umno dalam pelbagai aspek walaupun terdiri daripada tiga parti yang berbeza dasar perjuangan.

"Bila Pakatan Rakyat bergerak ke arah lebih dinamik ia menunjukkan kita lebih berbilang kaum, menunjukkan kita lebih toleransi dalam mendepani isu-isu masyarakat.

"...dan sebenarnya kita sudah masuk dalam gelanggang Umno dan gerakan kita ini mengancam Umno," katanya.

Barisan kepimpinan dan perwakilan Umno menjadikan Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2011 sebagai platform untuk mengecam Pakatan Rakyat habis-habisan.

Bagi PAS, Salahuddin berkata tohmahan dan tuduhan telah diterima parti itu lebih 50 tahun dan ia tidak akan merobohkan kepercayaan rakyat.

"Kita sudah lali, bagi PAS kita dah lalui lebih 50 tahun...kita sudah biasa," katanya.

NFC: Jingga 13 kecewa, dakwa konspirasi ‘bersihkan’ Shahrizat, keluarga

Posted: 02 Dec 2011 04:04 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR— Jingga 13 amat kesal dengan kenyataan polis semalam bahawa siasatan awal mendapati tiada unsur pecah amanah jenayah dalam kes melibatkan skandal Projek Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ia juga mendakwa wujud konspirasi mahu menyelamatkan Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno dan anggota Kabinet, dan keluarganya.

Pertubuhan tidak formal itu membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkenaan pembelian kondominium mewah di Bangsar menggunakan dana projek itu dan kemudian kes itu dipindahkan kepada polis.

Ketua Koodinator Jingga 13 Fariz Musa (gambar) berkata, kenyataan dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar semalam kelihatan tergesa-gesa dan terlalu 'pantas' sedangkan siasatan masih di peringkat awal.

"Kenyataan Datuk Seri Khalid Abu Bakar ternyata bertujuan untuk membersihkan Datuk Seri Sharizat Jalil dan ahli keluarganya dengan skandal yang melibatkan wang rakyat sejumlah RM13.8 juta yang secara jelas menyimpang daripada matlamat asal pelaksanaan projek lembu fidlot kebangsaan yang bukan sahaja gagal terhadap objektif asal, malah diseleweng dengan membeli kondominium mewah," kata beliau dalam satu kenyataan.

Pagi semalam, Khalid berkata tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam isu dana NFC dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan sambil memberi jaminan proses itu akan dilakukan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

"Siasatan polis setakat ini mendapati tiada elemen pecah amanah. Namun, kita masih menyiasat secara keseluruhannya kes ini termasuk ke mana wang atau dana NFC dibelanjakan.

"Kita sudah panggil 74 individu untuk diambil keterangan setakat ini," katanya.

Fariz yang juga pemimpin PKR berkata, kenyataan itu bermakna ia menjadi satu teladan dan rujukan kepada sesiapapun bahawa membeli apa jua dengan menggunakan wang rakyat bukan berasaskan matlamat dan tujuan asal sesebuah projek bukan satu kesalahan dan pecah amanah jenayah tetapi ianya adalah "halal".

"Jingga 13 telah menjangkakan lebih awal lagi apabila berlaku 'tarik tali' dalam aduan yang telah dibuat oleh Jingga 13 pada 10 November kepada pihak SPRM di mana pihak SPRM telah menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis.

"Malah sewaktu pihak Jingga 13 dipanggil untuk diambil keterangan dan soal siasat oleh pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM , mereka menyatakan tiada tercatat pembelian kondominium dalam akaun NFC," kata beliau.

Sedangkan katanya, Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang merupakan suami Shahrizat telah mengakui bahawa membeli dua unit kondominium One Menerung RM13.8 juta dan Jingga 13 juga turut membuat aduan kepada pihak polis pada 22 November lalu dengan merujuk kepada kenyataan oleh beliau.

"Satu pencanggahan yang ternyata membuktikan ada usaha dibuat bagi tujuan 'menyelamatkan' Datuk Seri Sharizat Jalil dan ahli keluarganya.

"Jingga 13 percaya bahawa ada satu konspirasi yang terancang dilaksanakan bagi tujuan untuk membersihkan imej, kredibiliti dan integriti Datuk Seri Sharizat Jalil yang juga merupakan Ketua Wanita Umno dalam suasana persidangan agung Umno yang sedang berlangsung sekarang dengan keluarnya kenyataan oleh Timbalan Ketua Polis Negara tersebut," katanya.

Oleh itu soal beliau, kenapa terlalu awal kenyataan tersebut dilakukan sedangkan masih belum "di akhir siasatan?"

"Jingga 13 yakin kenyataan Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara tersebut akan dipandang sinis dan prejudis oleh seluruh rakyat seolah-olah pihak polis yang merupakan badan penguasa undang-undang yang akan bertindak untuk 'menyelamat dan membersihkan' menteri dan kroni mereka dari didakwa dan dihadap ke muka pengadilan demi survival parti pemerintah Umno," katanya lagi.

Skandal NFC masih hantui Wanita, dakwa Shahrizat liabiliti Umno

Posted: 02 Dec 2011 03:53 AM PST




KUALA LUMPUR — Apabila Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menutup persidangan agung tahunan Wanita Umno kelmarin, kelihatan beliau berjaya mengetepikan kesalahan berkenaan kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) daripada diletakkan pada bahunya.

Bagaimanapun tepukan berdiri menyambut pendirian beliau ketika itu nampaknya tidak berkekalan. Kini wujud sentimen senyap yang sebaliknya, berkenaan dengan isu berkenaan yang dikaitkan dengan keluarga anggota Kabinet ini.

Bercakap kepada The Malaysian Insider selepas persidangan mereka, beberapa pemimpin Wanita Umno mengakui bahawa Shahrizat (gambar) sudah menjadi "liabiliti" kepada parti tersebut dan beliau keluar sebelum skandal NFC "menghancurkan kami semua."

Bagaimanapun menurut mereka, kebanyakan perwakilan akan merasa "amat takut" untuk bercakap mengenai ketua mereka bimbang boleh hilang jawatan dalam parti.

"Beliau (Shahrizat) menggunakan Wanita Umno untuk melindungi beliau tetapi isu (NFC) bukan isu Wanita (Umno) tetapi adalah bersifat peribadi melibatkan beliau dan keluarganya.

"Sebagai ahli Wanita Umno, saya sangat kecewa. Ramai daripada kami kecewa. Mengapa mengheret kami ke dalam isu ini?" kata seorang perwakilan Wanita Umno dari Perak.

Perwakilan itu menambah beliau sebenarnya terus duduk apabila lautan perwakilan bangun memberi tempukan kepada Shahrizat ketika berucap menutup persidangan.

Katanya, Shahrizat sepatutnya menjelaskan isu berkenaan kepada perwakilan berbanding memikat sokongan dengan hanya mendakwa skandal itu adalah taktik pembangkang mahu melemahkan Wanita Umno.

"Jangan lupa, orang yang pertama mendedahkan isu mengenai kelemahan NFC ialah Ketua Audit Negara, bukannya pembangkang. Jangan mengapa menyerang pembangkang untuk menutup kelemahan kita sendiri," kata beliau lagi.

Ketika berucap merasmikan persidangan tahunan pergerakannya kelmarin, Shahrizat berkata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga harus meletakkan jawatan sebagai presiden PKR ekoran tuduhan jenayah dihadapi suaminya jika beliau dipaksa berundur berhubung isu NFC.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini mencabar Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin agar mendesak peletakan jawatan oleh Dr Wan Azizah.

Shahrizat membuat cabaran itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Wanita di sini hari ini.

"Beliau (Zuraida) minta saya letak jawatan sebab suami saya terlibat dalam NFC. Beliau buat kerja beliau dan saya buat kerja saya. Saya tiada kaitan dengan itu. Mengapa minta saya letak jawatan?" kata Shahrizat di hadapan 944 perwakilan Pergerakan Wanita. "Jika itu polisi dan prinsip beliau, maka saya mencabar ketua Wanita PKR agar minta presiden PKR letak jawatan," katanya lagi.

"Hari ini saya mencabar semua (ahli Wanita PKR) agar minta peletakan jawatan Wan Azizah sebab suami beliau (Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang telah dihukum dan didakwa," katanya lagi.

Jelas Shahrizat, cabaran Zuraida itu umpama "gajah di depan hidung tak nampak, kuman di seberang laut nampak."

Shahrizat dalam ucapan dasarnya turut menyelar Zuraida dan mengingatkannya agar tidak mengambil kesempatan terhadap Wanita Umno.

"Tetapi kebanyakan ahli Wanita Umno tidak tahu isu berkenaan NFC. Itu sebabnya mereka bangun menyokong beliau. Mereka tidak tahu isu. Wanita Umno, mereka adalah begitu," kata perwakilan dari Perak.

Pemimpin kanan Wanita Umno ini juga menasihatkan The Malaysian Insider agar bertemu dengan perwakilan secara peribadi dan kebanyakannya, menurut beliau akan bersetuju bahawa Shahrizat perlu memikul tanggungjawab dalam isu NFC.

"Tolonglah, mereka faham. Dia suami kamu. Apa yang anda cakap, ia tiada kaitan dengan anda? Jika anda bukan menteri, adakah anda rasa boleh dapat projek ini?" katanya.

Apabila ditanya sama ada Shahrizat harus dianggap sebagai liabiliti kepada Umno sekarang, kedua-dua pemimpin ini sama-sama bersetuju.

"Sudah tentu. Ada yang sudah memberitahu perdana menteri, jangan adakan pilihan raya selepas Tahun Baru Cina sebab isu NFC ini tidak akan mati. Ia tidak akan dilupakan dalam tempoh satu atau dua bulan ini," katanya lagi.

"Ada yang terlalu risau," katanya.

Syor PSC perlu dilaksana pada PRU13

Posted: 02 Dec 2011 03:52 AM PST

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: PAS mahu kerajaan melaksanakan segala syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya di Dewan Rakyat hari ini pada PRU13 nanti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr. Mohd Hatta Ramli berkata, adalah sia-sia jika syor tersebut dibentang kepada kerajaan sekiranya ia dibakul sampahkan.

"Paling penting kita minta usul yang dibahaskan ini diguna pakai untuk pilihan raya umum ke-13.

"Kalau pilihan raya bulan depan, bulan depan lah syor ini dilaksanakan," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Krai kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mengulas 10 syor PSC yang dibentang di dewan rakyat hari ini.

Syor tersebut antara lain mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminda segera peraturan pilihan raya agar dakwat kekal boleh digunakan pada PRU akan datang.

Selain itu, beberapa syor turut dikemukakan untuk menambahbaik sistem pengundian awal, pengundi tidak hadir luar negara, pengundi luar kawasan, penukaran alamat pusat mengundi, pembersihan daftar pemilih, pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan, ketelusan proses mengundi, proses ulang kira kertas undi, penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan SPR.

Mengulas lanjut, Mohd Hatta yang juga salah seorang anggota PSC tersebut berkata, jika ia tidak dilaksana, bermakna reformasi pilihan raya yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya satu pembohongan.

"Kalau tidak dilaksana, maka kerja PSC yang dipilih oleh parlimen ini hanya sia-sia. Rakyat akan menilai ini semua.

"Kalau diluluskan tetapi tidak ada apa-apa tindakan, maknanya ini satu pembohongan kerajaan BN kepada rakyat," katanya.

Guru Kafa Pulau Pinang dapat lagi RM300

Posted: 02 Dec 2011 03:49 AM PST

Mohd Sabri Said

SEBERANG JAYA: Seramai 1,394 orang guru kelas agama dan fardu ain (Kafa) seluruh Pulau Pinang senyum lebar apabila mendapat lagi imbuhan RM300 seorang daripada Kerajaan Negeri.

Pemberian itu sekaligus melengkapkan janji bonus RM600 kepada guru-guru Kafa seperti yang dijanji Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Rakyat.

Ianya juga sebagai tanda penghargaan kepada tenaga dan pengorbanan warga pendidik yang yang telah mendidik anak-anak bangsa untuk menjadi insan yang berguna pada negara.

Bayaran awal RM300 sebelum ini dibayar sebelum menjelang Aidil Fitri lalu.

Untuk tujuan memberikan bonus itu, kerajaan negeri telah membelanjakan keseluruhan melebihi RM500 ribu.

Ramai guru mengucapkan terima kasih serta meluahkan rasa gembira kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Kata mereka, walaupun beliau bukan Islam namun tidak jemu-jemu memastikan para guru Kafa diberikan perhatian yang sewajarnya.

Semasa ditemuiada yang menggangap pemberian itu satu petanda bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat tetap mengutamakan pendidikan Islam berbanding di era Barisan Nasional (BN) yang menganak tirikan persekolahan yang berteraskan Islam.

Seorang guru Kafa dari Sungai Dua, Tasek Gelugor, Puan Fatimah Ismail memberitahu langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sekarang amat sesuai tambahan lagi di waktu penghujung tahun.

"Apa yang Kerajaan Negeri berikan kami ucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Banyak kami boleh gunakan terutamanya di penghujung tahun," ujarnya.

Upin dan Ipin lebih relevan dari Umno

Posted: 02 Dec 2011 03:44 AM PST

Harakahdaily


PARIT BUNTAR: Semangat rasis yang disemarakkan oleh Umno pada perhimpunan agungnya perlulah dibuang jauh-jauh kerana unsur itu tidak lebih dari mengundang kemusnahan terhadap negara.

"Saya melihat kegelabahan pemimpin Umno yang dipamirkan serta mendapat liputan meluas dari media pengampu adalah tidak lebih dari retorik dan lakonan pemimpin Umno di pentas politik negara yang diulang bekali-kali untuk selamatkan kuasa menjelang pilihanraya.

"Malah saya sangat terkejut dengan pemimpin wanitanya yang menyingsingkan lengannya semasa berucap," kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Dalam Perhimpunan Agung Umno, kata beliau hakikatnya mereka sedang menanam kebencian terhadap orang Cina dan DAP selepas sokongan kaum itu jelas tidak memihak kepada BN dan MCA.

Tambahnya, dalam masa yang sama sokongan orang India juga diharapkan kembali kepada BN dengan pelbagai cerita dan mengapi-apikan kononnya berlaku penghinaan kepada bangsa tersebut.

Sedangkan, soalnya siapakah yang sebenarnya yang menghina dan mengkhianati orang India apabila sekolah Tamil sudah hilang separuh jumlahnya selepas 54 tahun negara menyambut kemerdekaan.

Pada waktu sekarang, kata belia kegusaran Umno jelas menyerlah dan memuncak kerana mereka sudah hilang sokongan dari kaum Cina dan India, lalu gendang perkauman dipalu bagi mendapat sokongan orang Melayu.

"Itupun saya beranggapan bahawa orang Melayu tidak semudahnya akan menyokong Umno kerana jasa dan pejalanan serta realiti apa yang berlaku di negara kita telah melakarkan bahawa Umnolah pengkhianat sebenar kepada agama, bangsa dan negara," katanya lagi.

Melihat perkembangan tersebut, tambah beliau diharapkan semoga Umno cepat berkubur kerana mereka sudah tidak relevan lagi di persada politik tanah air.

"Jika kita boleh gambarkan di TV, sebenarnya rancangan kartun Upin Ipin lebih relevan berbanding Umno yang sudah ketandusan modal untuk berceloteh dengan kata-kata semangat mereka tidak lebih dari bahan yang berunsur mengarut," ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Katanya, Najib sudah palu gendang PRU13 dan menyatakan ia sudah semakin hampir, justeru ayuh pimpinan dan pendokong pakatan siap"tempur" untuk menyelamatkan negara dari pemimpin Umno yang sedang belakon bagi meraih sokongan rakyat demi kuasa yang sudah berada di hujung usianya.

Tegasnya, Putrajaya sudah pasti dalam genggaman Pakatan Rakyat jika usaha gigih secara berterusan dilakukan bagi menjatukan BN dan disulami dan disertakan bersama doa dan tawakkal kepada Allah SWT.

Pekan Kajang dilanda banjir kilat

Posted: 02 Dec 2011 03:39 AM PST

Harakahdaily

KAJANG: Hujan lebat beberapa jam sejak petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kajang di sini dilanda banjir kilat.

Paling terjejas teruk pekan Kajang yang dinaiki air sekaligus merosakkan barangan di dalam beberapa buah kedai.

Selain itu beberapa kenderaan juga turut terkandas ekoran air yang naik secara mendadak.

Kejadian banjir teruk di Kajang pernah berlaku pada tahun 2008.

Berikut antara gambar-gambar yang dirakam orang ramai beberapa minit lalu.

Khalid Samad: Keluar dewan bantahan paling keras

Posted: 02 Dec 2011 03:35 AM PST

Khalid Samad


Pada 26 November yang lalu saya telah selamat tiba ke tanah air dari Gaza dan Mesir pada jam 6 petang. Setelah pulang ke rumah berehat; pada keesokan harinya 27 November saya telah hadir ke majlis walimah di Sek 17 pada sebelah tengah hari, program semarak hijau di Selayang pada sebelah petang dan program Maal Hijrah di Masjid As-Solihin Sek 17 pada waktu malam. Pada hari Isnin 28 November pula saya sempat bersama dengan Dr.Rani untuk bersarapan dan pada waktu malam berkesempatan menghadiri Barbeque bersama unit Amal di Seksyen 19.

RANG UNDANG-UNDANG PERHIMPUNAN AMAN

Pada 29 November saya telah hadir ke Parlimen. Rang Undang-undang yang ingin dibahas adalah Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011. Amat jelas dari awal lagi, bahawa RUU ini bertujuan bukan untuk menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, tetapi sebaliknya bertujuan untuk menyulitkannya. Sedangkan gambaran yang diberi oleh pihak kerajaan ialah ianya bertujuan untuk menjamin hak rakyat untuk berhimpunan secara aman akan lebih terjamin! Seperti biasa, ianya indah khabar dari rupa!

RUU ini telah dibentang pada hari Khamis 24 November oleh PM di Parlimen. Ia telah menghasilkan berbagai respon negatif dari berbagai pihak, sehingga pada hari Selasa, awal pagi lagi diletakkan pindaan kepada RUU yang baru sahaja dibentang itu. Namun, malangnya, pindaannya terlalu bersifat kosmetik sambil mengekalkan semangat asalnya, iaitu untuk mengongkong hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan bersuara. Sehingga ada yang menyatakan peraturan ini adalah jauh lebih teruk dari Negara Myanmar, iaitu sebuah Negara yang diperintah junta tentera!

Ketidak ikhlasan pihak BN dalam membahas RUU ini jelas terbukti apabila masa yang diperuntukkan hanya sehingga jam 4 petang dan hanya 3 orang sahaja dari PR dibenarkan berhujjah, iaitu Anwar Ibrahim, Lim Guan ng dan Hadi Awang. Sedangkan, seperti yang disebut oleh wakil rakyat Gombak, RUU berhubung Kenaf pun diberikan tempoh selama 2 hari! Selain dari RUU Perhimpunan Aman 2011 ini, 5 lagi RUU hendak dibahas pada hari itu!

Jam 12.30 tengah hari kami telah keluar dari dewan untuk menyambut pihak Majlis Peguam yang berarak ke Parlimen untuk membantah RUU ini. Lebih dari seribu peguam telah menyertainya. 10 wakil dibenarkan masuk ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada pihak kerajaan membantah RUU berkenaan yang mengharamkan terus perarakan dan menyulitkan perhimpunan aman.

Pendirian PR adalah RUU perlu ditarik balik dan diserah kepada sebuah PSC (Parliament Select Committee) untuk dibahas dengan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan. Ini adalah kerana RUU ini digubal secara tergesa-gesa dan dengan niat yang jahat untuk mengongkong rakyat. Maka, setelah menyatakan pendirian ini, kami telah memutuskan untuk meninggalkan dewan kerana tidak bermakna untuk kita menyatakan ianya perlu ditarik balik dan dibahas di peringkat PSC tetapi kita terus membahasnya di dalam dewan! Sekiranya PR terus membahaskannya di dalam dewan, maka tindakan tersebut akan bercanggah dengan pendirian yang telah dibuat sendiri!

Ada yang menyatakan bahawa ahli parlimen PR perlu terus membahasnya dan menentangnya sehingga ke peringkat pengundian. Apabila kita keluar dewan dengan melakukan "walk-out" maka dianggap bahawa kita tidak menentangnya habis-habisan. Mereka yang bertanggapan sebegini mungkin tidak memahami bahawa "walk-out" merupakan bentuk bantahan yang paling keras yang boleh digunakan oleh Ahli Parlimen di dalam sebuah negara yang berpelembagaan. Ianya menunjukkan bahawa perbahasan isu dalam keadaan sedemikian sebagai sia-sia serta tidak bermakna kerana pihak kerajaan tidak mahu mendengar apa jua hujjah dan akan menggunakan majoriti mereka untuk memaksa RUU yang zalim itu untuk terus diluluskan.

Perancangan mereka jelas kelihatan apabila Ahli Parlimen BN mula kembali dari Perhimpunan UMNO di PWTC pada jam 3.30 petang. Mereka hadir di Perhimpunan UMNO, tidak dengar apa jua hujjah dan datang sebelum pukul 4 untuk mengundi menyokong RUU tersebut.

RANG UNDANG-UNDANG PERUMAHAN RAKYAT 1 MALAYSIA


Pada hari Rabu 30 November pula, RUU yang dibahas adalah RUU berhubung Perumahan Rakyat 1 Malaysia atau PR1MA. Sekali lagi ianya merupakan RUU yang indah khabar dari rupa. Kononnya ianya bertujuan untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat termasuk persoalan projek perumahan terbengkalai dan harga rumah yang meningkat jauh lebih tinggi dari apa yang mampu dibeli rakyat. Namun itu hanya suatu "mirage" atau jelmaan imej yang ingin ditonjolkan. Pada hakikatnya, ianya hanya RUU untuk menubuhkan satu lagi perbadanan tanpa adanya kaedah dan pendekatan penyelesaian masalah yang telah dikenal pasti.

Sedangkan badan-badan untuk menangani persoalan ini sudah sedia ada, seperti SPNB dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Yang tiada bukan satu perbadanan, tetapi yang tiada adalah hala tuju yang jelas dan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah. RUU ini kelihatan bertujuan untuk menipu rakyat, memberikan gambaran kerajaan perihatin sedangkan pada hakikatnya tiada apa yang dilakukan.

Ketua Pembangkang menyebut tentang suatu pakatan durjana atau dikenali sebagai "unholy alliance" yang terdiri dari pihak pemaju, bank dan pemimpin politik yang terus menindas rakyat demi kepentingan golongan yang berada. Dan inilah di antara faktor terutama mengapa masalah ini dihadapi oleh rakyat. Perbadanan baru ini tidak akan menghasilkan apa-apa perubahan selain dari perbelanjaan yang lebih kerana membayar gaji CEO dan kakitangan perbadanan ini. Penyelesaiannya terletak pada pemusnahan pakatan durjana ini sehingga kepentingan rakyat diutamakan.

Hakikat bahawa RUU ini merupakan suatu pembohongan di siang hari semakin terserlah apabila wakil rakyat Indera Mahkota menjelaskan bahawa tiada peruntukan dalam Bajet 2012 untuk pembinaan rumah "PR1MA" yang diwawar-wawarkan!

Amat jelas bahawa semua yang dilakukan BN dewasa ini adalah bertujuan untuk memulihkan imej UMNO/BN dalam menghadapi Pilihan Raya ke-13. Ini merupakan pengakuan yang jelas dan muktamad bahawa imej UMNO/BN sememangnya sudah teruk tercalar dan usaha demi usaha perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Namun, saya yakin insyaAllah penipuan UMNO/BN tidak akan berkesan dan rakyat terus menyedari wajah UMNO sebenar.

*Tulisan ini dipetik dari blog Khalid Samad (gambar kiri), wakil rakyat Shah Alam.

Harapan baru dalam struktur politik lama

Posted: 02 Dec 2011 03:27 AM PST

Ng Eng Kiat


"Hari ini, melalui kertas undi, anda telah mendengar suara hati anda dengan sepenuh tekad bahawa masa untuk perubahan sudah tiba.

Rakyat Malaysia telah bersuara. Ini adalah detik bersejarah, yang luar biasa dalam sejarah negara kita.

Hari ini lebaran baru telah dibuka. Rakyat telah mengundi dengan berani dan terbuka untuk melangkah ke satu era di mana kerajaan yang dibentuk mestilah bersifat terbuka dan mengiktiraf semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, dan budaya adalah satu rakyat yang bersatu....

Inilah harapan baru untuk Malaysia
!"

Demikianlah perutusan Anwar Ibrahim, (gambar kanan) pemimpin Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat, pada 9 Mac 2008, sehari selepas rakyat menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen dan menghilangkan kuasa memerintah di empat lagi negeri di Semenanjung Malaysia.

Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 sememangnya memberi harapan baru kerana munculnya sebuah gabungan baru yang diketuai Anwar sendiri. Kemampuan Anwar menyatukan semula PAS dan DAP mewakili penentangan yang bersepadu melawan kekuasaan UMNO-Barisan Nasional.

Kalau dahulu taktik pecah dan perintah sudah cukup untuk menghilangkan kepercayaan pengundi bukan-Islam terhadap PAS dan menyebabkan pengundi Melayu sangsi terhadap DAP, keputusan PRU pada tahun 2008 menunjukkan bahawa politik perkauman boleh dilawan dengan politik baru yang berasaskan keadilan sosial, demokrasi, dan hak asasi manusia.

PKR dianggap sebagai parti yang memperlihatkan lebih majmuk dan pelbagai, berbanding parti-parti politik berasaskan kaum dalam Barisan Nasional. Ditambah kebolehan PKR memujuk kedua-dua kelompok pengundi yang terasing daripada PAS dan DAP, harapan baru supaya kekuasaan mutlak Barisan Nasional dihentikan kelihatan muncul.

Bagi UMNO, penyebaran harapan untuk masyarakat Malaysia yang bebas daripada kongkongan pemikiran perkauman adalah ancaman terbesar kepada formula pecah dan perintah yang diwarisi zaman kolonial British. Berpuluh-piluh tahun formula ini diterima pakai sebagai suatu kelumrahan yang semulajadi dan tidak boleh dipersoalkan, kini dicabar kesedaran baru yang semakin berkembang.

Nasionalisme etnik hanya alasan untuk segolongan elit kekal berkuasa mutlak buat selama-lamanya. Maka, jelas bahawa harapan baru yang datang bersama politik baru pasca 2008 membentuk antitesis kepada ideologi "Melayu untuk Melayu, Cina untuk Cina, dan India untuk India" dalam kontrak sosial Barisan Nasional.

Namun, menjelang Pilihan Raya ke-13, adakah rakyat masih mengingati harapan ini? Lebih penting lagi, adakah PKR, PAS dan DAP masih melanggani pendekatan ini?

Dakwaan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin (gambar kanan) di Perhimpunan Agung UMNO hari kelmarin walaupun nampak lucu dan tidak logik sesungguhnya perlu diambil serius. Katanya, ada pihak yang 100 kali ganda lebih rasis daripada UMNO. Kenyataan yang bodoh sebodoh-bodohnya pun kadang-kala boleh mencetuskan peluang untuk kita merenung semula keadaan gerakan anti-Barisan Nasional.

Di Kongres PKR baru-baru ini, Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin mencabar UMNO untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menjamin jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang seseorang berbangsa Melayu. Anwar Ibrahim terpaksa menjelaskan bahawa cabaran itu sekadar cabaran kepada UMNO dan Pakatan Rakyat tidak akan menyokong sebarang pindaan dan mahu supaya kekal peruntukan Perlembagaan sedia ada. Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula memberi pendapat bahawa jawatan PM disandang orang Melayu adalah realitik politik dan tidak dipersoalkan.

Buat sejenak, saya terkilan dengan "cabaran" yang dilontar Shamsul (gambar kiri), tetapi saya terpaksa menerima hakikat bahawa setelah 48 tahun negara Malaysia dibentuk, rakyatnya masih terpisah oleh wacana politik yang terikat dengan struktur-struktur kuasa lama. Kejayaan British dan kemudiannya UMNO-Barisan Nasional memisahkan rakyat melalui identiti etnik masing-masing telah menghasilkan "realiti
politik" hari ini pada tahun 2011, iaitu orang Malaysia tidak mungkin menerima seorang Perdana Menteri bukan berbangsa Melayu.

Realiti ini adalah hasil projek bina negara UMNO-Barisan Nasional. Pembinaan bangsa Malaysia tidak pernah bermula dan gagal begitu sahaja. Merenung kembali perutusan Anwar 9 Mac 2008, di manakah harapan baru kita? Adakah cabaran Shamsul Iskandar kepada UMNO itu mewakili harapan baru rakyat? Kalau UMNO bicara pasal Melayu, Melayu dan Melayu, Shamsul dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain perlu bicara pasal Malaysia, Malaysia, dan Malaysia. Bukankah demikian harapan rakyat yang mahukan perubahan?

Sekiranya perubahan datang, realiti politik tanahair turut akan berubah. Pemimpin Pakatan Rakyat perlu beranikan diri untuk memimpin perubahan ini secara progresif dan bukan lagi terjerumus dalam realiti politik perkauman UMNO yang kolot.

Struktur kuasa lama yang berasaskan kaum, kabel kroni, dan kezaliman perlu digantikan dengan identiti bangsa Malaysia yang baru, iaitu tiada lagi orang Malaysia yang perlu dipinggirkan kerana identiti etniknya bukan majoriti. Perubahan ini boleh direalisasikan dan Malaysia baru boleh dibina sekiranya kita membebaskan rantai yang mengikat wacana kita kepada struktur kuasa lama dan percaya realiti politik yang baru boleh dilakarkan.

*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Berhimpun untuk kecam pemimpin Pakatan

Posted: 02 Dec 2011 03:25 AM PST

Kecaman demi kecaman ini sengaja dibuat untuk menyemarakkan lagi kebencian orang Umno dan rakyat terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat.



Perhimpunan Agung Umno 2011

KUALA LUMPUR: Saban tahun kecaman terhadap pemimpin dari parti gabungan Pakatan Rakyat merupakan agenda tetap bagi Perhimpunan Agung Umno dan sengaja ditimbulkan untuk menyemarakkan kebencian orang Umno dan rakyat terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan mereka.

Pada perhimpunan tahun ini juga, yang diadakan di tempat yang sama, iaitu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini sejak 29 November lalu sehingga esok, tidak terkecuali dan terlepas dari kecaman-kecaman yang dilontarkan oleh para pemimpin Umno.

Baik pemimpin utama, Wanita, Pemuda dan Puteri, mereka melontarkan kecaman dan yang menjadi sasaran utama ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Di kalangan mereka ini, para pemimpin Umno dari Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang paling lantang menghentam pemimpin-pemimpin Pakatan.

Umum sedar bahawa keempat-empat negeri tersebut diperintah oleh Pakatan Rakyat dan semuanya buruk belaka dan diluahkan dengan penuh perasaan benci dan menghina secara berlebihan.

Cacian dan makian yang bertali arus ini menjadi bahan ketawa dan mendapat tepukan gemuruh daripada para perwakilan. Mungkin kerana sebab ini lebih 5,000 perwakilan Umno dari seluruh negara sanggup hadir pada perhimpunan ini.

Bagaimanapun dalam tinjauan hari ini, ada ahli Umno yang tidak senang dengan tindakan keterlaluan pemimpin Umno memburuk- burukkan pemimpin Melayu dari Pakatan.

Seorang ahli Umno Negeri Sembilan berkata, tindakan keterlaluan boleh menimbulkan kebencian orang Melayu yang tidak berparti terhadap Umno.

Azman Ali berkata, kita boleh mengkritik pemimpin pembangkang (Pakatan) tetapi jangan melampaui batas.

"Jangan sampai orang Melayu anggap pemimpin Umno sudah hilang adab. Kalau jadi begini orang Melayu jadi meluat dengan Umno," katanya.

Ahmad Husin dari Pahang berkata, perhimpunan tahun ini sama seperti tahun sebelumnya. Setiap tahun perkara yang sama diulang-ulang hingga menyebabkan orang muak dan naik jelak dengan perhimpunan ini.

Sidang Parlimen ke-12 ditangguhkan

Posted: 02 Dec 2011 03:24 AM PST


MALAYSIA KINI
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-12 yang bersidang sejak 3 Okt lalu ditangguhkan hari ini ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Sepanjang persidangan berlangsung, Dewan Rakyat meluluskan sebanyak sembilan rang undang-undang baru iaitu Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011, Rang Undang-undang Perbekalan 2012, Rang Undang-undang Perhimpunan Awam 2011, Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) 2011, Rang Undang-undang Peranti Perubatan 2011, Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan 2011, Rang Undang-undang Perkongsian Liabiliti 2011, Rang Undang-undang Veteran 2011, dan Rang Undang-undang Perkhidmatan Pos 2011.

Dewan pada persidangan kali ini juga meluluskan beberapa Rang Undang-undang Pindaan iaitu Rang Undang-undang Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2011, Rang Undang-undang Polis (Pindaan) 2011, Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2010 (Pindaan) 2011, Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011, Rang Undang-undang Hak Cipta (Pindaan) 2010, Rang Undang-undang Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (Pindaan) 2011, Rang Undang-undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2011, Rang Undang-undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2011 dan Rang Undang-undang Perikanan (Pindaan) 2011.

Turut diluluskan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2011, Rang Undang-undang Keterangan (Pindaan) 2011, Rang Undang-undang Kewangan (No.2) 2011 dan Rang Undang-undang Standard Malaysia (Pindaan) 2011.

Selain itu, dewan juga meluluskan beberapa usul termasuk 10 usul dibentangkan hari ini oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Dewan juga meluluskan usul pemansuhan tiga proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada tahun 1966, 1969 dan 1977.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan usul itu pada 24 Nov lepas, berkata tiga proklamasi yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan itu dibatalkan selepas keadaan darurat dan ancaman keselamatan tidak lagi wujud.

Selain itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011 dan Rang Undang-undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011.- Bernama

Indeks jenayah P Pinang turun 20.1 peratus

Posted: 02 Dec 2011 03:18 AM PST

MALAYSIA KINI
Indeks jenayah Pulau Pinang berjaya mencatatkan penurunan sebanyak 20.1 peratus dalam tempoh Januari hingga November tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Zahruddin Abdullah.

Beliau berkata penurunan kadar jenayah itu melepasi sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) yang menetapkan penurunan 20 peratus.

"Jumlah kes-kes jenayah yang dilaporkan sehingga November tahun ini ialah 9,011 kes berbanding 11,281 kes pada tahun lepas," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Beliau berkata penurunan yang ketara berlaku pada jenayah ragut melibatkan 1,088 kes tahun ini berbanding 1,793 kes pada tahun lalu. Manakala jenayah pecah rumah mencatatkan penurunan sebanyak 445 kes berbanding 1,996 kes dilaporkan tahun lepas.

Walaubagaimanapun menurut Zahruddin kes samun motosikal mencatatkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tahun lepas.

"Tetapi kawalan sentiasa diperkemaskan dari semasa ke semasa. Pemilik motosikal perlu lebih berhati-hati kerana pencuri motosikal kini menaik taraf peralatan yang digunakan untuk memudahkan kerja-kerja merompak," katanya.

Antara kawasan yang menerima laporan kehilangan motosikal paling kerap adalah di Seberang Perai Timur dan Daerah Timur Laut.- Bernama

SPAD arah monorel Melaka dihentikan bagi kali kedua

Posted: 02 Dec 2011 03:04 AM PST

MALAYSIA KINI

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengeluarkan arahan kepada pengendali Monorel Melaka supaya menghentikan perkhidmatan itu dua hari lalu (30 Nov), untuk kali kedua dalam tempoh sebulan ekoran kerosakan teknikal pada sistem pengendalian automatik monorel itu.

Ketua Pegawai Operasi SPAD Azhar Ahmad berkata arahan itu dikeluarkan demi keselamatan penumpang yang terdiri daripada kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing.

melaka monorailBeliau berkata monorel itu beroperasi menggunakan sistem automatik walaupun mempunyai pemandu yang duduk di ruang pemandu.

"Pengendalian secara manual atau berpemandu hanya digunakan dalam keadaan kecemasan dan ketika ujian penyelenggaraan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada 1 Nov lalu operasi monorel itu terpaksa dihentikan apabila pintunya mengalami kerosakan sehingga dua pelancong Britain terpaksa diturunkan menggunakan tangga kecemasan pasukan bomba dan penyelamat.

"SPAD telah memberi kebenaran kepada Melaka Taming Sari menyambung semula operasi monorel pada 24 Nov setelah hampir semua syarat berkaitan tahap keselamatan yang ditetapkan dipatuhi," katanya.

Namun begitu, beliau berkata memandangkan Melaka Taming Sari Berhad, syarikat pengendali monorel itu belum mematuhi arahan SPAD supaya meletakkan cat termoplastik dipermukaan landasan bagi mengatasi masalah kegelinciran roda, monorel itu dirah untuk tidak beroperasi ketika hujan.

british tourist trapped at melaka monorailAzhar berkata disebabkan insiden kerosakan kerap terjadi maka pihak SPAD harus memikirkan tentang keselamatan serta mengambalikan keyakinan orang ramai untuk menaiki monorel itu.

"Maka SPAD telah mengarahkan Melaka Taming Sari supaya memberhentikan operasi Monorel Melaka dan menyarankan agar kerja pembaikan monorel itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak pembekal dari China," katanya.- Bernama

Isu lembu, Sharizat, Umno dan kuasa media baru

Posted: 02 Dec 2011 03:02 AM PST


Jasbant Singh

ULASAN Kritikan melulu yang diterima oleh Datuk Sharizat Abdul Jalil dan jawapan balasnya mengenai kemelut National Feedlot Corporation (NFC) dikhuatiri menenggelamkan pesanan yang jauh lebih penting untuk masa depan Umno.

NONEMesej itu disampaikan oleh Presiden Parti Datuk Seri Najib Razak sendiri, iaitu Umno harus peka kepada pemikiran baru pengundi dan menguasai media baru atau menempa tragedi pada pilihanraya umum akan datang.

Apakah dia pemikiran baru yang dimaksudkan? Apakah pula tuntutan baru pengundi yang berbeza sekarang dengan citarasa mereka sepuluh atau lima belas tahun yang lalu?

Dan, soalan cepumas – bagaimana semua ini berhubungkait dengan NFC – sebuah projek RM250 juta kerajaan yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat milik keluarga Sharizat semasa pentadbiran Tun Abdullah Badawi pada tahun 2007?

Jawapannya ialah, kebertanggungjawaban - pengembangan sumber maklumat menerusi alam siber menjadikan rakyat semakin lantang dalam menuntut kebertanggungjawaban dalam sesuatu isu yang melibatkan kepentingan nasional.

NONESkandal NFC bukan cetusan Pembangkang sungguhpun PKR yang memanjangkannya dengan melontar tuduhan salahguna wang secara bersiri sepanjang tiga minggu lalu.

Isu itu dibangkitkan oleh kerajaan sendiri – menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010. Justeru tidak ada pihak yang harus bingkas mencadangkan Kerajaan mahu "menutup" isu berkenaan.

Susulan pendedahan-pendedahan yang melibatkan pembelian kondominium, kereta mewah dan lain-lain dengan menggunakan wang Kerajaan, isu itu diserahkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun terma "dalam siasatan" tidak cukup untuk meredakan kemarahan rakyat. Begitu juga penjelasan ringkas Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar bahawa siasatan awal mendapati tidak ada unsur pecah amanah dikesan.

azlanWalaupun Khalid bercakap dari sudut undang-undang semata-mata, pengundi di kurun 21 tidak dapat menerima jawapan sebegitu kerana secara rasional wang Kerajaan harus dan hanya boleh digunakan untuk maksud yang ianya diberikan. Dalam kes ini untuk ternakan lembu semata-mata.

Kemampuan kerajaan untuk menangani pemikiran baru pengundi-pengundi sebeginilah yang menjadi cabaran kepada Najib dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13.

Dan cara menanganinya bukanlah secara konfrontasi tetapi dengan memahami dan menguasai media baru untuk menjelaskan pendirian Kerajaan yang disokong dengan tindakan dan langkah-langkah tegas dalam menangani sesuatu isu.

Media baru dalam bentuk blog, facebook, twitter dan lain-lain adalah capaian terbaru generasi muda dan pertengahan umur serta menjadi sumber maklumat yang mempunyai jaringan begitu luas.

azlanTidak dapat dinafikan Pembangkang telah jauh mendahului Umno dan lain-lain parti Kerajaan dalam menggunakan media baru untuk mencari kelebihan politik.

Mereka berjaya menggunakan media baru untuk menangkis pengaruh media arus perdana secara berkesan dan pada masa sama, membentuk dan menyebarkan persepsi bahawa Kerajaan yang ada sekarang adalah rasuah dan harus digantikan dengan apa cara sekali pun.

Di Malaysia hari ini amat janggal sekali untuk sebuah keluarga tidak memiliki sekurang-kurangnya sebuah komputer riba, atau telefon Blackberry mahupun I-phone. Hampir setiap orang memiliki Facebook dan akaun Twitter.

Semua ini menjadi medan pertempuran untuk meraih sokongan rakyat pada PRU ke 13 dan pilihanraya-pilihanraya akan datang.
Semua bentuk media baru ini memberikan maklumat kepada pelayar siber dalam sekelip mata. Maklumat yang dibaca menerusi skrin komputer riba atau telefon bimbit membentuk akal minda mereka semasa membuang undi.

azlanBerbalik kepada isu NFC, siapakah yang "menggoreng" Sharizat dan mahukan beliau meletak jawatan, sekaligus menolak penjelasannya bahawa beliau tidak terbabit dalam syarikat yang diuruskan oleh suami dan ahli keluarganya?

Tentunya tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas Sharizat, apabila tidak dijawab secara pantas dan berkesan, merebak bagaikan api menerusi portal-portal berita dan twitter serta facebook oleh pelbagai pihak.

Semua ini mencerna gelombang atau arus yang menuntut menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu meletak jawatan.

Anehnya tidak ada gelombang sebegitu yang menuntut Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail meletak jawatan sebagai presiden PKR kerana suaminya dibelit, malah didakwa dan dihukum atas salahlaku moral.

Jawapan kepada "kejanggalan" atau dwi-standard ini terletak kepada pihak mana yang lebih pintar menguasai media baru.

Kejanggalan ini yang dikupas oleh Najib dan terpulang kepada Umno untuk memikirkan strategi membetulkan ketidakseimbangan ini. MALAYSIA KINI


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis / penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Jasbant Singh adalah seorang wartawan dan editor yang berpengalaman luas. Pernah berkhidmat di TV3, stesen televisyen antrabangsa Al-Jazeera dan juga dengan TV Selangor.

Umno pilih tiga pendekatan lain bagi kekal berkuasa

Posted: 02 Dec 2011 02:54 AM PST

Kuek Ser Kuang Keng


Sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dianggap paling penting dalam sejarah Umno, tiga pemimpin utamanya menyampaikan ucapan dasar dengan berkobar-kobar, semuanya dengan tujuan menaikkan semangat perwakilan menjelang pemilihan itu.

NONEBagi presiden Umno, Datuk Najib Abdul Razak, beliau memilih kesederhanaan dan pendekatan untuk berdamai. Namun timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memilih tema "Ketuanan Melayu" dan menjadi orang Cina sebagai momokannya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengambil pendekatan lebih intelektual. Beliau menggesa ahli-ahli parti yang muda supaya lebih progresif dan liberal. Namun ini dijangka tidak dapat difahami oleh kebanyakan perwakilan.

Ketika ini, Umno cuba memperlihatkan parti itu sebagai terbuka tetapi pada masa yang sama berpegang kukuh terhadap konsep Melayu, meskipun Najib telah berulang-kali, khususnya sejak mengambil tampuk pentadbiran pada 2009 berkata Umno perlu melalui proses transformasi untuk kekal relevan.

NONERentak dan nada perbahasan pada perhimpunan kali ini ditetapkan oleh Muhyiddin Yassin yang pada malam Selasa lalu memalu gendang bahawa perpaduan Melayu hari ini menghadapi ancaman yang semakin menonjol daripada masyarakat Cina dan penganut Kristian.

Pada ucapannya beliau menggesa perwakilan supaya berjihad untuk agama, bangsa dan negara. Jihad untuk keadilan. Beliau juga menggambarkan parti DAP yang didominasi oleh masyarakat Cina sebagai "parti paling rasis" dan musuh utama Umno.

Serah kerusi tak diyakini menang kepada Umno

Posted: 02 Dec 2011 02:53 AM PST


Abdul Rahim Sabri
Perwakilan Umno Melaka mahu parti komponen BN menyerahkan semua kerusi yang mereka tidak yakin akan menang pada pilihan raya umum akan datang kepada Umno.

Dalam membahaskan usul ucapan dasar presiden, Datuk Hasnoor Sidang Hussein berkata, mereka yang tumbang pada pilihan raya 2008 dan tidak yakin mampu merampas kembali kerusi berkenaan perlu menyerahkannya kepada Umno untuk cuba ditawan semula.

"Umno banyak berkorban membenarkan parti komponen bertanding di kawasan majoriti Melayu, selain membiarkan mereka bertanding di kawasan majoriti Cina.

"Ini kerana orang Melayu dan Umno, dalam semangat BN sanggup berkorban. Namun jika mereka tidak yakin boleh menang kerusi itu pada pilihan raya akan datang, pulangkan lah kepada Umno," katanya.

Menurut Hasnoor, MCA dan Gerakan tidak boleh menang sesetengah kawasan di Pulau Pinang dan mereka mesti menyerahkan kerusi tersebut kepada Umno.

NONESementara itu, wakil Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir pula menyentuh mengenai persetujuan Umno Pulau Pinang untuk menerima calon luar sekiranya ada bahagian yang tidak mempunyai calon 'winnable candidate' bertanding pada pilihan raya umum akan datang

Bagaimanapun, beliau mengingat calon 'perdana menteri' itu supaya "menghormati" kepimpinan dan akar umbi bahagian dengan 'bagi salam bila masuk rumah orang'.

"Dia jadi calon di bahagian, mai datang mengepak, kata aku calon PM, dia mai, dia masuk, tak pernah jumpa ketua bahagian, ketua Pemuda, tak hormat Wanita," katanya sambil mendada dan mengangkat tangan seolah-olah menyekak pinggangnya.

"Dia bawa ketua Wanita, Pemuda dia masuk kampung... (Bagi) kursus dekat depa dulu di Janda Baik (tentang) apa itu Umno... Ni pakai coat, pakai tie masuk kampung, mampuih la," kata sambil disambut gelak ketawan perwakilan.

Sebelum itu, berucap membahaskan ucapan dasar presiden, Musa yang juga timbalan ketua Umno negeri berkata kekalahan BN di negeri itu perlu diambil iktibar oleh semua pihak.

Tegasnya, pucuk pimpinan tidak boleh menyalahkan kepimpinan bahagian susulan kekalahan calon Umno di Parlimen dan DUN pada pilihan raya umum lalu.

NONE"Jangan letak kesalahan itu pada bahagian. Pucuk pimpinan juga bertanggungjawab dengan kekalahan itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau juga menegaskan supaya pucuk pimpinan "mendengar rintihan" bahagian berhubung pemilihan calon dalam pilihan raya akan datang.

"Kita cakap rakyat didahulukan, jadi rakyat sahaja yang tahu siapa akan jadi calon mereka.

"Kita akui ada bahagian adalah masalah, ketepikan (dahulu), kita tidak cakap soal pemilihan (parti), kita cakap nak menang (untuk kuasai) Pulau Pinang," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar jawatankuasa displin pilihan raya ditubuhkan serta merta bagi mengambil tindakan terhadap ahli menjadi "pembelot" dalam pilihan raya.

"Kita hantar gambar, video, tapi tidak ambil tindakan... Kita nak menang pilihan raya, tapi tidak tegas dalam parti kita sendiri.

"Saya buat teguran ikhlas, sebab kita nak menang... Kami terseksa di Pulau Pinang," katanya.

NFC akan terus junamkan indeks rasuah, kata PAS

Posted: 02 Dec 2011 02:51 AM PST


Jimadie Shah Othman

Siasatan awal polis yang merumuskan bahawa tiada unsur pecah amanah dalam isu projek lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) akan terus menjunamkan indeks rasuah Malaysia di mata dunia, dakwa PAS.

NONEAhli Parlimen Kuala Selangor Dr Zulkefly Ahmad berkata, tindakan sebegitu bukan caranya untuk membaikpulih kedudukan berkenaan.

"Kalau begini caranya, kita akan terus merudum. Ketika kerajaan bercakap tentang demokrasi terbaik, masih ada yang dilindungi," katanya.

Bercakap pada sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata pengumuman timbalan ketua polis negara tentang hasil siasatan projek sensasi itu memberikan kejutan besar kepada mereka.

Hadir sama dalam sidang media itu timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.

Menurut laporan Tranparency International semalam, skor Malaysia jatuh lagi kepada 4.3 pada tahun ini.

Sementara itu, Mohamad ketika diajukan soalan yang sama, menyifatkan kenyataan yang dibuat Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar itu, sebagai "pelik".

"Ini kenyataan yang pelik. Saya hendak dengar SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) buat kenyataan yang sama," katanya ringkas.

NONESuruhanjaya itu sebelum ini dilaporkan mendapat aduan yang sama tetapi menyerahkannya kepada polis kerana mendapati kes itu bukan bawah bidangkuasanya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam isu dana NFC dengan pembelian kondominium mewah di ibu negara.

Khalid dilaporkan berkata siasatan polis setakat ini mendapati tiada elemen pecah amanah.

Namun, katanya, pihak polis masih menyiasat secara keseluruhannya kes ini termasuk ke mana wang atau dana NFC dibelanjakan.

Menurutnya, 74 individu telah sudah panggil untuk diambil keterangan setakat ini.

Calon 'winnable' cetuskan kebimbangan sabotaj

Posted: 02 Dec 2011 02:47 AM PST

Kuek Ser Kuang Keng


Kebimbangan ahli Umno yang kecewa kerana tidak terpilih sebagai calon mensabotaj parti menjadi tajuk panas pada perhimpunan agung Umno kali ini. Ia berikutan konsep calon boleh menang atau 'winnable candidate' yang ditimbulkan kali ini yang menandakan kriteria asas tidak lagi akan dijadikan panduan.

NONEDaripada ucapan perwakilan, adalah jelas perbalahan bagi menjadi calon pada peringkat bahagian mungkin disabotaj oleh mereka yang tidak dicalonkan dan penyokong mereka adalah satu kebimbangan bagi Umno.

Beberapa perwakilan menimbulkan perkara itu dan mahu kepimpinan parti bertindak bagi menyelesaikan masalah itu, termasuk membentuk sebuah jawatankuasa disiplin.

"Winnable Candidate - tidak ada masalah kita serah kepada presiden, tetapi Datuk Seri Presiden ambillah iktibar pilihan raya lalu, calon kalah jangan letak kesalahan kepada bahagian

"Kenapa kita tidak ambil tindakan, ini lebih dahsyat dari pembangkang, musuh dalam selimut, tubuh jawatankuasa disiplin PRU-13 serta merta," kata wakil Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir.

NONESesetengah perwakilan berpendapat kekalahan memalukan Umno pada 2008 adalah kerana dikhianiti di kalangan parti sendiri, khususnya di Kedah. Ini jelas kerana undi rosak adalah lebih tinggi daripada majoriti yang diterima oleh Pakatan.

Kebanyakan pemerhati politik juga berpendapat bekas perdana menteri dan juga presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang mengetuai kempen BN pada pilihan raya umum lalu telah menimbulkan kemarahan ramai pemimpin Umno dengan menyenaraikan calon-calon pilihannya.

PAS: Perhimpunan bukti agenda 'perkauman' Umno

Posted: 02 Dec 2011 02:40 AM PST


Jimadie Shah Othman

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini berkata, ucapan dan perbahasan dalam perhimpunan agung Umno yang sedang berlangsung menggambarkan agenda sebenar 'perkauman' parti pemerintah.

NONEMenyifatkannya salah satu daripada strategi '3R' atau racial (perkauman), religion (agama) dan royal (raja), Mohamad (tengah) berkata perhimpunan agung Umno yang sedang berlangsung di PWTC itu dijadikan medan menyerang bangsa dan agama lain di negara ini.

Ditanya wartawan, alasan kenapa DAP paling banyak diserang, berbanding PAS dan PKR, beliau menjawap: "Sebab PAS Melayu, sebab itu mereka serang DAP."

Berbeza dengan tahun-tahun lalu, perbahasan persidangan Umno yang sedang berlangsung dan sayap sebelumnya menyaksikan DAP paling banyak mendapat kritikan perwakilan.

NONEManakala PAS paling kurang dikritik kali ini. Kritikan langsung yang diterima parti itu cuma berkaitan dakwaan akan digantikan DAP, isu negara berkebajikan dan masalah perkhidmatan air Kelantan.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, Mohamad berkata parti lawan mereka Umno memainkan perkara itu kerana isu lama yang sering digunakan tidak lagi berkesan.

"Isu lain macam pembangunan mereka tak boleh dah.

"Gagal sebab negara yang pembangunan bagus macam Pulau Pinang dan Selangor kini sudah jatuh ke tangan kita," katanya.

NONEKatanya, pihaknya sudah menjangkakan isu tersebut akan ditimbulkan dan sentiasa bersedia menghadapinya.

Hadir sama dalam sidang media itu anggota parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, ditanya tentang dakwaan seorang perwakilan Umno semalam bahawa kegagalan kerajaan PAS-Umno di Perak pada 2008 ekoran wujudnya "baiah talak", Dr Dzulkefly berkata ia tiada kena mengena dan tidak relevan.

"Orang Umno ini tak faham. Mereka lontar saja untuk dijadikan isu," katanya lagi.

SPR sedia guna dakwa kekal jika dilulus Majlis Fatwa

Posted: 02 Dec 2011 02:38 AM PST


Hazlan Zakaria

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang tetapi akan menunggu kelulusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.

NONE"Setiausaha SPR Kamaruddin Ahmad Baria memaklumkan kepada kami bahawa mereka sedia menggunakan dakwat kekal dan sedang menunggu kelulusan terakhir daripada Majlis Fatwa Kebangsaan bagi memastikan bahan yang digunakan dalam dakwat itu mematuhi kehendak syariah," kata ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat ahli-ahli parlimen DAP bersama Kamaruddin selama hampir sejam di Puitrajaya hari ini.

Bagaimanapun, seorang lagi ahli parlimen DAP, Teresa Kok yang hadir bersama sidang media itu, berkata Kamaruddin memberitahu mereka bahawa cadangan membenarkan rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi sebagai pengundi tidak hadir masih dikaji dan tidak akan dikasanakan segera.

Kedua-dua syor penggunaan dakwat kekal dan membenarkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi adalah antara sepuluh cadangan yang dikemukakan dalam laporan awal yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi pembahruan sistem pilihan raya di negara ini di Dewan Rakyat, minggu ini.

NONEAgensi seperti SPR yang dinamakan dalam laporan itu diberikan tempoh dua minggu bagi melaksanakan cadangan berkenaan.

Sementara itu, mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, beliau bersetuju dengan cadangan dakwat kekal digunakan bagi mengelakkan tohmahan berlaku penyelewengan dalam pilih raya.

"Dunia Islam lain dah terima. Mereka juga ada ulama dan ilmuan agung. (Jadi) setuju sangat agar tohmahan dihilangkan dan setara keadilannya," katanya dalam sms ringkas kepada Malaysiakini.

Menurut beliau penggunaan dakwat kekal bukan sesuatu yang baru tetapi telah juga di beberapa negara, termasuk Bangladesh dan Indonesia.

Tiada ulasan: