BRIGED MP SEGAMBUT |
- Hadi tampil pertahan dasar PAS:hassan ali makin keseorangan
- Hasan akui ada persamaan dengan Zul Noordin
- HASSAN ALI SELINGKUHA DI BULAN PUASA?
- KALAU INI TERJADI DI NEGERI PAKATAN:MAMPUSLAH JADINYA ISU BESAR
- Hasan tak kisah jika digugur sebagai exco, calon
Hadi tampil pertahan dasar PAS:hassan ali makin keseorangan Posted: 22 Dec 2011 08:00 AM PST Selepas mendiamkan diri sejak tercetuskan isu kontroversi membabitkan bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali dan bekas timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Haji Awang tampil mempertahankan dasar-dasar PAS termasuk konsep negara kebajikan. Dalam kenyataannya itu, Hadi mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, bahawa parti itu telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan - kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam. Tegasnya, pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. "Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan," tambahnya. Menurutnya lagi, PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia. "Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan halatujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham," tambahnya. Berikut adalah kenyataan penuh Abdul Hadi: Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini. Firman Allah dalam Surah Attaubah ayat 122 : Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122) Sabda Rasulullah S.A.W. (Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya. Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah. Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf. Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khususnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam. Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam. Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga. Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan. Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpihak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walaupun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain. Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya. Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud : (Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya). Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walaupun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik. Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari'yyah. Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS. PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan - kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam. Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan. Perlu diingat, bahawa Umno yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah? Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walaupun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam. PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W. (Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia, laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad. PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia. Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham. |
Hasan akui ada persamaan dengan Zul Noordin Posted: 22 Dec 2011 06:30 AM PST Datuk Dr Hasan Ali (gambar) mengakui beliau ada perbincangan dengan Zulkifli Noordin dan mengakui ada persamaan antara mereka berdua. "Ada tempat-tempat bersama, keseirasan ada tapi dari segi detail tidak perlu diulas, secara besar memang ada persamaan. "Apa pun kalau perjuangan itu sama, maknanya ada nada, suara dan tempo yang sama, tidak fikir ada masalah untuk berbincang," kata Hasan Ali dalam Bual Bicara dengan Datuk Ahmad Talib, TV3 malam tadi. Zulkifli adalah anggota Parlimen PKR Kulim Bandar dan telah meninggal parti menjadi anggota Bebas. Beliau kini menjadi peluru utama Umno untuk menyerang PKR dan Pakatan Rakyat. Dalam sidang media sebelum ini, Hasan mempertikai konsep Negara Berkebajikan yang dikemukakan Presiden PAS dalam muktamar PAS yang lalu dan kini bakal menjadi panduan utama PAS. Ekoran itu, beliau diserang oleh pemimpin PAS di samping Pemuda dan Muslimat. Hasan dalam wawancara kali ini mempertikaikan komposisi kepimpinan PAS yang dikatakan lebih ramai profesional dari ulama tanpa menyebut badan tertinggi PAS adalah Majlis Syura Ulama yang semua anggotanya adalah ulamak. "Dulu majoriti pemimpin PAS adalah ulamak, sekarang majoritinya orang profesional, keadaan ini boleh mengubah parti, ulama tidak akan membawa PAS lari dari perjuangan dibanding dengan profesional, ada perubahan (shift), sebahagian ahli parti mahu PAS sama seperti 20 ,30 dan 50 tahun dulu," katanya. Bagi beliau, punca-punca yang menyebabkan anjakan berlaku dalam PAS, logiknya adalah orang nak kemenangan dan hanya boleh dicapai melalui bergabung. |
HASSAN ALI SELINGKUHA DI BULAN PUASA? Posted: 21 Dec 2011 11:08 PM PST Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali berkata dakwaannya bahawa Datuk Dr Hasan Ali telah terjatuh ke dalam perangkap Umno, disokong oleh "satu mesyuarat" pada bulan puasa Ogos. Katanya, beliau ingin bertanya kepada Hasan, apa yang beliau buat selepas solat terawih di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur, yang turut dihadiri bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan tiga orang lagi. "Saya mahu tahu apa yang telah dibincangkan? Projek ekonomi atau projek politik," soal Mustafa. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai mesyuarat tersebut walaupun berulang kali ditanya oleh pemberita. Sebaliknya Mustafa secara berseloroh berkata beliau bersedia tarik ballik soalan mengenai perkara itu jika "ia akan menyebabkan lebih banyak masalah". Ini, katanya, adalah untuk menjawab tuntutan Hasan supaya Mustafa membuktikan bahawa yang mereka kedua (Hasan dan Nasharuddin) telah jatuh ke dalam perangkap Umno kerana terus menerus menyerang parti Islam itu. |
KALAU INI TERJADI DI NEGERI PAKATAN:MAMPUSLAH JADINYA ISU BESAR Posted: 21 Dec 2011 08:00 PM PST Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang (UMP) menggesa supaya krisis air di kampus UMP Pekan ditangani dengan segera. Yang dipertuanya, Muhamad Fazli Abdul Halim berkata, krisis gangguan air semakin meruncing dan sudah berlarutan ke minggu kedua. Bagaimanapun, katanya, tidak nampak sebarang tanda-tanda yang krisis tersebut akan berakhir. Menurutnya, krisis ganguan air ini dikatakan berpunca daripada tekanan air yang rendah akibat UMP Kampus Pekan mempunyai kapasiti pelajar sekitar 2,000 orang dan terpaksa berkongsi sumber air dari tangki di Kuala Pahang yang turut sama disalurkan kepada masyarakat sekitarnya. "Situasi ini cukup menyeksa dan menyukarkan urusan harian mahasiswa yang dalam masa yang sama ditambah dengan tekanan peperiksaan akhir semesta yang bakal berkunjung tiba. "Krisis ini juga turut menjejaskan pihak pengusaha kafeteria yang secara langsung menggangu pengoperasian dan urusniaga mereka dan menambah kesengsaraan mahasiswa dalam mendapatkan makanan," katanya dalam satu kenyataan. Menurut Fazli, masalah ganguan air itu bukanlah perkara yang baru, tetapi turut berlaku dua tiga tahun lepas di Kampus Gambang. Katanya, tindakan segera amat diperlukan terutamanya oleh Jabatan Bekalan Air Pahang bagi mengatasi masalah yang dihadapi mahasiswa bagi memudahkan urusan pembelajaran mereka di universiti itu. Pohon bantuan PM Sehubungan itu, kata Fazli, mereka memohon agar kebajikan pelajar di situ diberi perhatian dan tumpuan yang sewajarnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Katanya, ia bertepatan dengan hasrat perdana menteri yang berazam untuk terus membangunkan Pekan, kawasan parlimennya, serta masyarakatnya dalam apa jua keadaan sepertimana ucapannya semasa Himpunan Anak-anak Pekan Bersama Perdana Menteri di PWTC pada 19 Disember lepas. Selain itu, sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat mahasiswa yang dikenali sebagai Gerakan Mahasiswa Penggesa Air Kampus (GEMPAK) UMP. Ia dianggotai Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan fakulti dan perwakilan kolej kediaman serta beberapa wakil mahasiswa yang terpilih, untuk menuntut penyelesaian segera krisis air di UMP Pekan oleh pihak yang berkaitan dan bertanggungjawab |
Hasan tak kisah jika digugur sebagai exco, calon Posted: 21 Dec 2011 06:12 PM PST Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata beliau tidak kisah jika digugurkan daripada jawatan tersebut serta tidak dipilih semula untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang kerana berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastuktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata: "Yang jelas adalah perjuangan saya mempertahankan Islam, bangsa Melayu dan institusi Raja-Raja." "Bagi saya ketiga-tiga ini merupakan landasan yang sangat penting dari dulu sampai sekarang," katanya dalam program Soal Jawab TV3 yang dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Datuk Ahmad A Talib yang disiarkan malam tadi. Menyentuh mengenai PAS, ADUN Gombak Setia itu berkata jawatankuasa pusat parti itu kini lebih ramai dianggotai oleh profesional iaitu sebanyak 65 peratus berbanding golongan ulama yang kini hanya 35 peratus. Untuk itu beliau berharap anggota parti dapat meletakkan kembali kedudukan ulama sebagai barisan kepimpinan parti. Ini adalah kerana golongan ulama dilihatnya mampu membawa PAS kembali ke landasan perjuangan berdasarkan prinsip Islam, katanya. Ditanya sama ada beliau akan meninggalkan PAS berikutan perubahan ini, Hasan berkata: "Saya akan bersama apa jua gerakan berunsur politik atau tidak yang dapat mempertahankan Islam, orang Melayu dan institusi Raja. - Bernama |
You are subscribed to email updates from BRIGED MP SEGAMBUT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan