Rabu, 21 Disember 2011

.

.


Susupan Petang

Posted: 21 Dec 2011 12:07 AM PST

Pemimpin Pas Bertelagah Patut Masuk Ke Dalam Dram
Terima Pengakuan Nasharudin Mat Isa


PERNYATAAN Nasharudin Mat Isa hari ini bahawa beliau tidak mempunyai niat sebesar zaharah pun untuk meninggalkan Pas hendaklah diterima dengan penuh keikhlasan oleh semua ahli dan penyokong Pas. Hendaknya pernyataan itu bukan saja menjawab tanggapan Mustapa Ali kepada Nasharudin bahawa bekas timbalan presiden Pas itu terperangkap dalam jerat Umno, tetapi pernyataan untuk semua orang juga.

Hari ini Nasharudin dalam kenyataan akhbar bagi menjawab tanggapan Mustapa Ali berkata dia tetap bersama Pas untuk menyampaikan risalah Islam. Rasanya semua orang lega penjelasan Nasharudin itu. Sebenarnya bila Nasharudin membuat kenyataan berasingan dengan Hasan Ali berhubung kemelut dan tuduh menuduh yang berlaku sekarang ini, menunjukkan bekas setiausaha agung Pas di era Mohd Fadzil Nor (Allahyarham) itu masih sayangkan Pas.

Mana-mana pemimpin Pas yang terbuku hati dengan sikap Nasharudin sebelum ini kerana beliau tidak menghadiri mesyuarat dan menerima perlantikan ketua lujnah antarabangsa hendaklah terima seadanya dan janganlah membuat pelbagai tuduhan lain lagi.

Anggapan ketidakhadiran Nasharudin pada mesyuarat jawatankuasa agung Pas itu sebagai satu keterkejutan beliau kerana kalah dalam perlawanan yang dijangka akan mudah dimenang olehnya.

Tentulah sebagai pemimpin muda yang sebelum ini menang menjulang, kemudian kalah dihina, merasa terkejut monyet bila tewas dalam perlawanan apa lagi lawannya orang yang dianggap canggung dengan perjuangan Pas yang berlandaskan Islam. Silap tanggap Nasharudin dan juga para penasihatnya telah meletakkan Nasharudin dalam keadaan serba salah. Nasharudin dalam hal ini kurang faham mengenai sepak terang politik. Di dalam politik sering saya katakan orang bodoh memerintah orang cerdik, begitu juga dalam konteks politik Pas sebab Pas juga menerima sistem yang sama dengan Umno.

Dengan pernyataan Nasharudin itu juga selepas ini jangan ada sesiapa yang 'cepelak' mulut lagi. Yang nyatanya Nasharudin masih ahli Pas dan setia dengan Pas. Pengakuan itu anggaplah bai'ah beliau. Dalam konteks yang berlaku sekarang ini tidak boleh menyamakan sikap, pendirian dan pembelaan diri Hasan Ali adalah sama dengan dirinya. Nasharudin lebih bersikap tawakus dan merendah diri dan jangan pakejkan Nasharudin dengan Hasan Ali walaupun mereka berkawan baik.

Apabila beliau menjawab terhadap tohmahan ke atas Mustapa Ali itu anggaplah itu adalah hak asasinya. Adalah tidak elok kalau dalam keadaan sekarang di mana Pas sedia untuk mengganti Umno tiba-tiba wujud kecelaruan dalam Pas. Pas dalam hal ini harus malu kepada DAP. Ironisnya apabila PKR selesai bertetak sesama sendiri Pas pula hendak 'berkelewang' sesama sendiri. Aduh... sakitnya.

Kepada Nasharudin secara peribadi saya mengucapkan terima kasih kerana masih tetap dapat mengeluarkan kenyataan yang lunak, sedarhana dan tetap menggambarkan seorang pemimpin dari jemaah Islam. Semoga beliau akan istiqamah dan tenang menghadapi apa-apa juga celaan dan ingatlah sabar itu separuh daripada iman. Kekuatan dan keulitan seseorang pejuang ialah apabila ia dapat menghadapi tribulasi ke atas dirinya oleh kawan sendiri dan bukan musuh.

Apa yang akan berlaku selepas ini jangan dibuat spekulasi yang sehinggakan akan dieksploitasikan oleh musuh. Pengakhiran babak yang berlaku dalam Pas kini hendaklah ditunggu bagaimana pengakhirannya pada saat dewan dibubar nanti. Saya yakin emosi orang-orang Pas termasuk yang bertelagah akan berubah bila parlimen dibubarkan.

Sebaik-baik untuk menenangkan kemelut yang berlaku sekarang ini, Pas Bachok di mana Nasharudin menjadi ahli Parlimen di situ patut mengambil inisiatif melegakan keadaan membuat pernyataan mereka masih mahukan Nasharudin mewakili mereka. Saya percaya kalau ada sikap dan sifat berkorban seperti ini segalanya akan dapat diatasi. Tentu ramai orang Kelantan yang tidak setuju dengan cadangan itu, tetapi bagi saya itulah sebaik- baiknya kalau kita ikhlas dan jujur hendak mengatasi masalah yang berlaku.

Apakah Pas Bachok mampu dan sanggup berbuat demikian. Sekali saya katakan hanya orang berjiwa besar dan berjiwa hamba kepada perjuangan sahaja boleh melakukan demikian. Bagi saya tidak ada sebab untuk Pas Bachok atau Pas Kelantan mahu menukarkan kerusi Bachok kepada orang lain. Saya tetap berkeyakinan dalam keadaan Awang Adek sedang diputar isu SPRM, Nasharudin mampu mengatasinya, dengan syarat Nasharudin akan terus berlunak selepas ini. Nasharudin juga perlu kembali kepada pangkuan para sahabat dan tidak menyisihkan diri kerana berbuat begitu menyebabkan syaitan banyak akan mencelah.

Adapun sdr Hasan Ali yang saya lihat sudah terlebih syok untuk mengadakan sidang akhbar sudah agak terlajak jauh. Betul yang tergelecah dari ril perjuangan ialah Pas, tetapi beliau dalam hendak membetulkan Pas itu terlajak jauh kerana lebih lajak dari laju. Hasan juga harus membuang sifat mazmumah yang merasakan dia hebat, bijak dan kaya dengan idea politik.

Sepatah sahaja saya nak kata di sini kalau Hasan ikhlas dan jujur hendak perbaiki Pas dengan keadaan yang ada hari ini dia harus tahu teknik yang betul untuk membaikinya.

Saya lihat hari ini - merujuk kepada isu Hasan, Saari Sungib dan Mustapa Ali itu Pas sebenarnya kemek di bahagian luar sahaja bukan dari bahagian dalam. Kalau ibarat dram ia kemek di luar. Jadi kalau ia kemek di luar cara membaikinya ialah masuk ke dalam dram dan ketuk dari dalam. Seberapa kuat nak ketuk dari dalam nah lakukanlan kerana ia tidak akan membingitkan ahli di luar.

Dengan apa yang Hasan buat mengetuk dram kemek dari luar ia tidak boleh menyempurnakan keadaan tetapi menambahkan lagi kekemekan dram berkenaan, dan yang 'rewelnya' juga ia menganggu ketenteraman orang lain.

Berdoalah semoga selepas ini kita semua insaf, tidak saling berbalas tembak lagi. Janganlah memberi modal kepada media penjilat buntut. Lepas ini jangan ada lagi kenyataan akhbar dari mana-mana pihak. Khabarnya besok setiausaha agung akan membuat kenyataan akhbar, elok berhentilah kalau kenyataan itu untuk membalas kenyataan Hasan, melainkan kalau untuk mendamaikan keadaan.

Dalam hal ini juga saya tertanya-tanya ke mana perginya sang presiden? Apakah kemelut yang berlaku kini tidak terlantas di telinganya. Kenapalah presiden diam membisu seolah apa yang berlaku tidak ada kena mengena dengan urusan dan tanggungjawabnya. Saya tenguk sikap presiden dalam hal ini tak ubah seperti badak tuli yang tidur tepi lebuhraya!

Sepatut sebagai presiden beliau harus bersuara dan memanggil pihak bertelagah duduk semeja dan selesaikan kekusutan yang berlaku. Mungkin Abdul Hadi juga perlu bermahasabah sejauh mana relevansi beliau menjadi seorang presiden parti politik yang sudah mulai hilang punca untuk berdamai dan kabur untuk mencari hadith-hadith persaudaraan.

Ingat pesan saya, kalau hendak baiki dram yang kemek di luar masuk ke dalam dan ketuk dari dalam. Bukan saja Mustapa, Hasan, Saari dan yang lain-lain Abdul Hadi juga kena masuk dan ketuklah dari dalam. Berdegung berdegang berdegung berdegang... tak mengapa. Belum sah tetapi ada berita mengatakan Ahmad Maslan tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya akan datang. [wm.kl.4:22 pm 21/12/11]

Susupan Tengahari

Posted: 20 Dec 2011 09:01 PM PST

Apa Khabar Awang Adek, Sihat Ke?

APA hal pula dengan bakal MB Kelantan yang tidak jadi, Awang Adek Hussein? Khabarnya Awang Adek ada terlibat dengan satu siasatan SPRM? Saya mendengar ceritanya malam tadi dari orang kuat Umno bahagian Bachok. Hairan juga kenapa orang Umno Bacho0k bercerita begitu hal Awang Adek Hussein. Apakah Awang Adek ada masalah dengan Umno Bachok?

Barang kali cerita itulah ada kena mengena dengan penjelasan Awang Adek hari ini yang mengakui dia memang ada menerima wang tunai menerusi akaun peribadinya. Katanya sumbangan itu untuk program sosial parti.

Betullah sumbangan untuk program parti. Kata Awang Adek sumbangan itu menerusi tiga akaun peribadinya. Wang itu diuruskan oleh seorang pegawai peribadinya dan dia tahu dari mana dan untuk apa. Beliau juga ada pegang transaksi dan dokumen wang berkenaan. Jadi halallah wang itu?

Baguslah begitu kalau semuanya ada bukti yang jelas. Cuma yang mungkin menjadi persoalan kenapa segala bukti itu hendak ditunjukkan kepada SPRM. Tidak bolehkan kalau Awang Adek tunjukkan kepada umum menjawab persoalan yang sedang rancak diperkatakan kini. Selagi Awang tidak tunjuk orang boleh membuat berbagai tanggapan buruk kepadanya dan akhirnya menjejaskan kredibilitinya sebagai pemimpin. Kalau benar wang sumbangan bentangkan kertas putih.

Pada saya elok kalau Awang Adek senaraikan syarikat atau individu yang memberi sumbangan kepadanya. Dengan penjelasan orang akan tahu apakah wang itu ada 'berjibuh" dengan apa-apa kelulusan projek oleh kementeriannya ataupun wang suka hati atau wang hasil pajakan kebun durian di Bachok? Berapa banyak kebun durian Awang Adek di Bachok dan Tok Bali? saya saya tanah Bachok dan Tok Bali tidak sesuai untuk durian?

Dari apa yang Awang Adek jeaskan itu dapatlah difahamkan kenapa kebanyakan pemimpin Umno bermewah membelanjakan wang rakyat. Rupanya bukan wang mereka sendiri tetapi wang yang dikutip dari pelbagai sumbangan. Yang menjadi soal pula kenapa orang yang menyumbang itu baik sangat. Saya rasa mereka tidak menjadi semurah itu kalau tidak ada apa-apa imbuhan dan balasannya. Lumrahnya ada ada ubi kerana ada batas.

Sumbangan itu tentulah tidak seperti mana kita menghulurkan derma kepada peminta sedekah di kedai-kedai mamak atau di tepi jalan. Kalau menerusi akaun itu pasti banyak jumlahnya. Bagi saya juga berani Awang Adek memberi nombor akaunnya untuk dimasukkan wang. Lain lain terimalah dalam bentuk cash kerana pemberian secara tunai tidak ada dokumen tranksasi. Atau pun bagi nombor akaun orang lain, atau pun transitkan wang itu ke beberapa akaun lain baru akhirnya dicashkan untuk program parti. Baru pihak berkuasa tidak dapat mengesannya kandati Tuhan mengetahui segala-galanya.

Masakan Awang Adek tidak belajar dengan mereka yang licit dan bijak melarikan wang menerusi tranksasi bank? Kalau Awang Adek nak tahu salah seorang mereka saya boleh tunjukkan. Lagi pun orang itu pernah mengaku dia mendapat biaya (projek) pilihan raya daripada Awang Adek. Nak tahu, tanyalah saya? Call saya secara peribadi akan saya cerita dari H sampai L.

Bila ada transksi menyebabkan mudah untuk pihak berkuasa seperti SPRM, polis dan sebagainya membuat semakan. Apa yang menimpa Awang Adek ini menyerabutkan dirinya. Pasti malam tidak dapat tidur atau pun tersintak kalau telefon berbunyi takut-takut panggilan dari pegawai SPRM minta datang memberi kenyataan.

Didoakan hendaknya tidak akan berlaku sesuatu yang buruk kepada bekas bakal MB itu. Dalam saat pilihan raya umum ke-13 kini berganjak mendekati rakyat, janganlah Awang Adek berbelit dengan masalah-masalah siasatan SPRM, buruk sangat jadinya. Janganlah Awang Adek tewas untuk kali ke empat dalam pilihan raya akan datang. [wm.kl.1:09 pm 21/12/11]

Catatan Rasa

Posted: 20 Dec 2011 06:00 PM PST

Hati Tersentuh Mendengar Kisah Subky

SEMALAM hampir separuh hari bersama Subky Abdul Latif tokoh wartawan yang boleh saya kelaskan sebagai salah seorang wartawan Melayu Islam di negara ini. Kalau A Samad Ismail (Allahyarham) dianggap sebagai bapa wartawan moden, Sabky adalah tokoh wartawan Islam.

Islam yang saya maksudkan bukan kerana dia menyertai Pas dan berjuang dalam Pas tetapi pendekatan serta elemen dakwah dan ideologi siasah yang diterapkan dalam tulisannya berbau haruman Islam.

Justeru kehebatannya tidak perlu diceritakan lagi. Bagi saya Subky adalah idola saya dalam penulis sejak alam remaja lagi. Di dalam buku-buku awal saya sekitar tahun 80-an, nama Subky Latif tidak pernah saya tinggakan dari disebutkan dalam buku.

Kebetulan semalam kami diajak untuk minum pagi dan membawa ke makan tengah hari oleh seorang ahli politik yang bapanya seorang tokoh Umno terkenal. Bersama kami dua orang pegawai tinggi dari sebuah institusi milik kerajaan. Jadi banyaklah cerita yang terkeluar dari pertemuan itu yang sangat berfaedah untuk kami selaku penulis.

Saya faham kenapa anak negarawa itu memanggil kami dan memanggil dua orang pegawai tinggi sebuah institusi kerajaan itu, ialah untuk mendengar cerita sebenar apa yang sedang bergolak dalam institusi berkenaan. "You dengar dari mulut orang yang tahu mengenainya, baru you puas," begitu kata anak negarawan dan tokoh itu. Terima kasih atas inisiatifnya mengaturkan pertemuan itu.

Mengenai Subky sebenarnya sudah lama saya mengenali dan berkawan dengan beliau namun tidak banyak cerita dalaman mengenai dirinya yang saya mengetahui. Ada beberapa kisah atau buku yang ditulisnya tersemen dalam ingatan saya. Tetapi saya tidak mengetahui akan liku-liku kehidupannya di luar buku atau isu yang dikupas. Kebanyakan isu yang ditulis dan dikupasnya ialah isu politik kerana itu dia juga sinonim dengan politik Malaysia.

Namun hari ini secara tidak langsung terdedah sesuatu tentang kehidupannya yang cukup mengharukan saya. Mungkin orang tidak terfikir dan percaya apa yang disebutkan ini. Kisah sayu ini tercetus apabila anak negarawan itu menceritakan mengenai kehidupannya yang hanya menerima pencen sebanyak RM5,000 sebulan yang mana jauh dari mencukupi untuk hidup di kota metopolitan seperti KL tetapi boleh hidup.

Beliau yakin dengan wang sebanyak itu boleh survive dia kerana ia mengambil pendekatan Islam.

Mendengar kata-kata itu menyebabkan Subky turut menceritakan perihal dirinya yang cukup menyentuh perasaan saya.

"Kalau hendak fikir soal hidup memang kita sukar untuk mempercayainya. Saya sendiri selepas saya tinggalkan Utusan (Utusan Melayu Sdn. Bhd), meninggalkan segala kesenangan, saya fikir hidup saya entah macama mana nanti. Tetapi tidak, rupanya Tuhan memberi rezeki cara lain...", katanya. Tegasnya sebenar hidup kita dalam jagaan Tuhan kalau kita mengingati-Nya.

"Bayangkanlah macam mana saya terus berada di rumah sewa yang dikenakan bayaran sebanyak RM500 sebulan. Rumah saya tidak dinaikkan kadar sewa walaupun rumah lain naik berberapa kali. Ini satu keanihan dan bentuk Tuhan membantu saya," ceritanya lagi.

Menurut Subky dia menyewa rumah dengan kadar RM500 sebulan dari mula anaknya belum sekolah sehinggalah anaknya keluar universiti. Begitu juga bagaimana rumah yang diduduki kini dibina secara beransur-ansur atas sebidang tanah.

"Waktu saya bina duit hanya ada RM20,000 sahaja, tetapi kontrektor yang membina rumah saya itu sedia untuk menerima RM20,000 dan menerima bayaran cara ansur. Mulanya saya bayar RM1,000 sebulan lepas itu bila tidak mampu saya minta kurangkan RM500, kontrektor itu juga bersetuju," ceritanya tenang.

Saya terdiam saat Subky menceritakan kisah hidupnya itu. Perasaan sebak tidak usah hendak diceritakan cuma saya tidak sempat mengalirkan air mata saja. Apa menyebabkan saya sebak kerana mengenangkan kepada liku-liku hidup yang saya tempoh sebelum ini. Demikianlah nasib manusia bernama penulis yang dianggap dengan berbagai tuduhan dan fitnah. Dan entah saya rasa lebih bertuah tatkala mendengari kisah beliau itu... kerana saya tidak tercabar seperti itu.

Bukan saja Subky mana-mana penulis yang ada prinsip dan maruah akan menempuh jalan seperti mana dilalui Subky. Mereka dilihat senang dan mewah menerusi catatan dan luuahan bahasa yang menarik dan segar tetapi apa yang terendam di lubuk hati tidak siapa yang tahu. Hanya penulis yang sedia mengadaikan prinsip dan maruah sahaja akan terkeluar dari ujian kegetiran hidup sebegitu.

Subky boleh disebut penulis buku politik terawal di negara ini, sebelum keluarnya nama-nama seperti Yahaya Ismail dan Syed Hussein Alattas. Berbeza Subky dengan dua orang penulis itu Subky memperluaskan skop perjuangan dengan menyertai Pas dan memegang jawatan penting dan ikut bertanding dalam pilihan raya atas tikit Pas. Manakala Yahaya tidak menjadi ahli mana-mana parti politik, Syed Hussein pula menjadi ahli Umno.

Di sini bukan ruang untuk mencerita perihal Subky dan kerjayanya, wartawan dan politikus. Cuma untuk pembaca blog Merah Tinta saya caangkan dapatkan Memoir Subky jilid pertama dibawa judul Anak Apak (Memoir Politik Kewartawanan) untuk mengenali Subky dari mula hingga akhir. Memoir ini baru diterbitkan dan kini sudah berada di pasaran.

Saya baru mendapatnya semalam dan belum membacanya lagi. Semasa saya bercuti di sebuah pulau sehari dua ini akan saya khatamkan buku ini dan akan cuba membuat ulasan dalam blog. Sara rasa setiap orang membeli memoir Subky ini tidak akan kecewa sebaliknya akan mengetahui banyak kisah-kisah atau pun kenangan hidup Subky yang belum terdedah kepada umum dan ceritanya akan menginsafkan kita serta dapat mengenai panorama sebuah kehidupan seorang penulis.

Kepada Uuataz Subky Latif tahniah atas penerbitan Memoir ini, dan insyaAllah ia akan terus merangsang saya untuk menyiapkan memoir seperti itu juga satu hari kelak. [wm.kl.10:17 am 21/12/11]

Tiada ulasan: