Khamis, 15 Disember 2011

.

.


Susupan Pagi

Posted: 14 Dec 2011 07:03 PM PST

Terengganu Tidak Cukup Wang?

TERENGGANU dikenali dengan negeri yang kaya raya. Wang royalti minyak tidak habis dimakan. Kerana terlalu banyak wang ada projek-projek yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat dilaksanakan dan masih diteruskan sampai ke hari ini tanpa pemantauan jitu. Walaupun kerajaan bekas MB pimpinan Idris Jusoh dikecam sebagai boros dan rakus tetapi kerajaan selepas Idris Jusoh dua kali lima sahaja.


Apakah Terengganu memerluan seorang pemimpin yang bukan saja tahu mengurus tetapi bijak mengurus wang rakyat. Tidak cukup untuk sesebuah negeri kalau pemimpinnya dikenali sebagai baik dan mesra rakyat, sampai masuk ke kandang kambing. Pemimpin bukan saja hanya perlu takut membeli kambing, tetapi lebih dari itu. Paling penting mengawal perbelanajan negeri dan meletakkan wang yang Allah berikan itu kepada kepentingan rakyat.

Saya tidak tahu apakah kerajaan UBN Terengganu hari ini pandai menguruskan kewangan. Telah meletakkan wang yang melimpah itu ke atas tempat sebenarnya. Ataupun wang itu digunakan untuk membuat projek yang sedap didengar saja seperti Monssoncup dan Pulau Warisan itu? Atau pun apakah wang itu digunakan untuk membangun projek yang boleh membawa kesejahtraan dunia dan akhirat?

Terbaru saya dengar ada sebuah jambatan akan di bina di kuala merentangi laut Cina selatan untuk menghubungi Seberang Takir. Nilainya banyak ratuan juga dengar khabar. Siapakah yang mendapat untung di sebalik pembinaan jambatan itu? Apakah rakyat atau kontrektor. Pembinaan khabarnya akan bermula pada tahun depan. Saya sedang mengumpul maklumat berhubung pembinaan jambatan yang berupa lebih untuk dijadikan legasi seseorang.

Rakyat Terengganu perlu memantau pembinaan jambatan baru itu supaya ia memberi kebaikan kepada rakyat. Jangan saja bina kemudian jadi gajah putih seperti beberapa pusat sukan yang dibina hanya untuk kegunaan sekejap saja kemudian runtuh dan timpa kepala rakyat sampai pecah bersembur. Kalau runtuh jambatan teruk sedikit... bukan setakat pecah rakyat boleh hanyut.

Berbalik kepada penggunaan wang tadi, saya ada singgah di pantai Batu Buruk. Hajat hati hendak lepaskan penat selepas jauh berjalan. Pantai biasanya memberi suasana yang tenang dan damai. Itu fikir saya. Sebaiknya apa diharapkan meleset sama sekali.

Tidak tergamak untuk saya katakan tempat yang saya singgah itu pantai yang terletak di tengah pusat bandar. Ia penuh dengan sampah sarap bergelimpangan. Apakah Terengganu tidak ada peruntukan untuk uruskan sampah di pantai ataupun sekali algi kewangan disalah gunakan. Atau pun kerajaan UBN Terengganu mengira sampah bukan masalah mereka, atau pun sudah mangli dengan sampai bersepah.

Harapnya kalau saya singgah sekali lagi di pantai Batu Buruk wajah pantai itu tidak menjadi buruk seperti mana yang saya tenguk hari itu. Wang banyak apa salah perbaharuilah wajah pantai anda agar senang mata memandang. Wajah pantai adalah gambaran samada wajah sesebuah kerajaan itu comot, lunyai atau pun bersih dan licin. [wm.kl.11:12 am 15/12/11]

Selepas Subuh

Posted: 13 Dec 2011 06:12 PM PST

Sudah Masakkah Pemikiran Pas Kelantan?

DI KELANTAN sudah tidak menjadi rahsia umum lagi dua tokoh pelapis Pas sebaya Husam Musa, 52 dan Takiyuddin Hassan, 50 akan dipindah bertanding ke kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Husam katanya akan diminta bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian, kerusi yang pernah disandangnya pada tahun 1999 - 2004.

Manakala Takiyuddin akan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu. Takiyuddin adalah Timbalan Yang Dipertua Pas Kota Bharu di mana ahli Parlimen kini, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah adalah Yang Dipertuanya.

Wan Rahim dikatakan sudah bersiap sedia untuk memberi laluan kepada muka baru di kerusi Parlimen Kota Bharu. Beliau kemungkinan besar akan menjadi penasihat politik Pas sepenuh masa.

Penghijrahan kedua mereka itu bukan di atas kehendak dan pilihan mereka. Tetapi sebagai ahli mereka khabarnya akur saja apa arahan parti. Tidak ada usaha dari mereka berdua untuk menghalang perpindahan itu mereka pasrah kepada parti.

Tidak jelas alasan atau sebab musabab kenapa mereka berdua perlu diletakkan di Pusat. Menurut cerita kalau Husam, ialah untuk memboleh beliau menjadi pemimpin pusat. Kedudukannya sebagai Naib Presiden Pas sesuai kalau beliau bermain angin di peringkat nasional. Tertakdir Pakatan Rakyat menang beliau akan dilantik menjadi menteri kanan. Alasan itu tidak lebih daripada satu ejekan semata-mata atau pun cuba memberi ikan besar kepada Husam sedang pancing belum ke air.

Begitu juga barang kali dengan Takiyuddin yang akhir-akhir ini bernyak bermain di Kuala Lumpur dengan jawatannya selaku Penolong Setiausaha.

Ingat kenapa Takiyuddin acap ke Kuala Lumpur ialah kerana tugas dan tanggungjawab. Selepas beliau tidak diperlukan untuk berkhidmat dalam Dewan Harian Kelantan - dipecat sebagai Setiausaha Badan Perhubungan dan sebelum itu sebagai ketua penerangan, maka beliau diminta oleh presiden agar membantu tugas-tugas Setiausaha Agung yang berlambak di pusat. Sebagai orang parti dan pekerja yang rajin Takiyuddin akur tanpa bantahan dan pencapaiannya di peringkat pusat agak menarik.

Itu sahajalah alasan kenapa kedua mereka dipindah. Tetapi atas sifat mereka orang politik, saya tetap yakin perpindahan itu ada agenda tertentu yang tidak sukar untuk ditafsirkan. Politik Kelantan hanya ada dalam telapak tangan saya. Dalam tilikan saya tidak ada sebab lain perpindahan itu, khasnya Husam kerana ingin meredakan politiking dalaman di Kelantan. Husam dijual sebagai tokoh bermasalah di Kelantan. Apa masalahnya? Kurang mesra alam, itu bukan sebab kalau beliau hendak dibawa ke pusat kerana kerajaan atau Pas Kelantan harus melihat bagaimana dia berfugsi sebagai striker di Kelantan.

Bagi saya itu hanya alasan semata-mata untuk mengasingkan beliau jauh dari pusat. Dalam firasat saya masalah yang ditimbulkan Husam di Kelantan teramat rendah kalau dibandingkan dengan bebanan atau pun risiko yang bakal di hadapi Pas tanpa beliau di Kelantan. Ia lebih parah lagi kalau Takiyuddin juga turut sama dianjak ke pusat. Kelantan akan banyak rugi dari untung kalau kedua tokoh ini dipindah ke pusat. Jika diumpamakan pemain bola Husam striker Takyuddin full-back.

Perlu diingat kedua mereka adalah Exco kanan dan menjadi pengimbang kepada Tok Guru Nik Aziz dalam kerajaan. Di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) mereka berdualah bertindak menjadi penasihat politik kepada kerajaan dan Menteri Besar. Banyak tugas-tugas atau urusan MB berhubung kerajaan baik di dalam dan di luar di dokong atau diperan oleh mereka berdua.

Misalnya perihal undang-undang Takiyuddin sebagai seorang peguam berpengalaman menjadi rujukan Pas dan juga kerajaan. Begitu juga Husam yang mahir dalam bidang ekonomi dan seseorang lulusan Ijazah Ekonomi berpengetahuan tahu serba sedikit mengenai ekonomi dan kewangan.

Mereka berdua juga merupakan Exco kanan berpengalaman bersama seorang lagi Exco Mohd Amar Nik Abdullah Arahad. Saya sering menganologikan mereka sebagai tiga tungku menegakkan dan mengukuhkan kedudukan Menteri Besar Nik Aziz selepas tiga tungku sebelum ini tumbang atau pun jatuh kerana dimakan ulat gonggok.

Mungkin sesetengah pihak merasa seronok bila mana Husam ke Kuala Lumpur. Kerana Husam tidak lagi dilihat sebagai penghalang kepada mereka. Husam tidak lagi akan berserabut dengan pelbagai idea ekonomi untuk menjana pendapatan rakyat dan negeri. Kalau sebelum ini mereka merasa 'semel' muka untuk berbuat sesuatu apabila Husam ada. Dengan tiadanya Husam mereka bebas dan tidak terikat dengan apa-apa halangan.

Kerja untuk membawa Husam ke Kuala Lumpur tidak menjadi kalau bukan atas kehendak Tok Guru Nik Aziz. Mungkin Tok Guru sudah dibayangkan dengan gambaran-gambaran indah untuk tujuan itu. Sebagai anak didiknya tidak mudah juga Nik Aziz untuk merelakan Husam. Suka tidak suka ataupun senang tidak senang Husam sudah banyak memberi kegembiraan kepada Tok Guru Nik Aziz. Husam pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar, setiausaha politik dan Exco. Siapa boleh nafikan jasa dan budi Husam baik kepada Kelantan dan Nik Aziz selama 20 tahun?

Justeru apakah tangkai yang digunakan untuk mempengaruhi Tok Guru supaya bersetuju Husam dipindah ke Kuala Lumpur? Kalau bukan kerana sesuatu alasan yang konkrit sukar untuk Tok Guru melakukannya. Tok Guru bukan jenis mudah mendengar kata dan hasutan orang. Dia kahsyaf.

Di sini ada juga yang menyendak ke lubang telinga saya kononnya perpindahan itu untuk tidak memalukan Husam nanti. Kononnya kalau Husam terus bertanding di Dun beliau tidak lagi akan dilantik menjadi Exco kerana ada halangan besar? Jadi untuk tidak memalukan Husam maka Husam perlu diselamatkan dari malu. Betulkah? Kenapa harus difikirkan sesuatu perkara yang masih kabur dan tidak jelas. Kalau Husam hendak malu dengan apa yang berlaku nanti biarlah dia malu sendiri. Sebaliknya dengan apa yang berlaku kini Husam boleh beranggapan perpindahan itu sengaja mahu menyusahkannya.

Sebenarnya dalam keadaan Kelantan hari ini tidak seselesa sebelum ini bukan perkara mudah hendak dicaturkan. Melakukan rombakan dan perpindahan seharusnya dikaji secara mendalam apakah kesan dan implikasinya. Janganlah membuat rombakan dan pertukaran itu kerana semata-mata kita ingin memenuhi kehendak kita sehinggakan menggadai kepentingan-kepentingan lainnya. Kepentingan parti dan jihad perlu diutamakan.

Buruk baik perlu difikir dan direnungi secara mendalam. Apakah kalau Husam dan Takiyuddin berada di luar Kelantan ia tidak boleh melemahkan kerajaan? Apakah dengan barisan Exco yang ada kini mampu untuk berdepan dengan kerenah para pegawai kerajaan kelak. Kalau berkebetulan Putrajaya dapat ditawan, mungkin ia tidak memberi masalah, tetapi apa kata kalau Kelantan menang tipis seperti tahun 2004, bagaimana kalau pegawai Kerajaan membuat perangai?

Bukan pelik kalau pegawai kerajaan tidak sedia mengikut kehendak arahan parti dan kerajaan. Pernah berlaku satu masa dulu para pegawai kerajaan tidak akur kepada keputusan kerajaan. Saki baki Umno masih ada dalam meja para pegawai kerajaan Kelantan. Dalam kes-kes seperti inilah ia memerlukan seorang Exco yang bijak melayani atau sedia untuk berdepan dengan pegawai kerajaan dengan segala macam fakta dan hujah. Dalam hal ini saya kira Takiyuddin dan Husam adalah tokohnya.

Saya tidak mahu perkecilkan kebolehan wakil rakyat atau anggota Exco lain. Tetapi mereka masih mentah dan belum ada kekuatan dari segi pengalaman dan pengaruh di kalangan pegawai kerajaan seperti Husam dan Takiyuddin. Mereka sebenarnya belum bertempur dan tidak pernah berasap kepala memikir kerenah pegawai kerajaan. Apa yang dibimbangkan bila mereka tidak ada takut tokoh-tokoh muda yang ada tidak berdaya untuk menghadapi masalah bakal dicetuskan nanti. Mungkin Mohd Amar cukup pengalaman tetapi apakah mampu kalau beliau berseorangan, untuk mengandar sesuatu yang berat tidak boleh bersendirian.

Bukan itu saja mereka berdua juga diperlukan untuk berdepan dengan kemaraan Umno yang semakin ghairah untuk menawan Kelantan. Saya percaya Mustapa Mohamed tidak gerun dengan tokoh-tokoh muda lain tetapi mereka begitu tercabar dengan penampilan dan tektikal politik kedua tokoh ini.

Kesimpulan Pas Kelantan perlu memikir semasak-masaknya untuk membawa Husam dan Takiyuddin ke pusat. Fikir dengan hati dan jangan melakukan perpindahan itu kerana dendam atau pun perasaan marah. Utamanya kesejahtraan parti dan kerajaan dan jangan ianya dilakukan semata-mata kerana ingin melakukannya kerana kita ada sedikit perasaan terkilan dengan mereka. Kalaupun tidak keduanya dikekalkan saya berharap sangat salah seorang perlu dikekalkan di Kelantan untuk terus menyambung perjuangan Tok Guru. [wm.kl.10:41 am 15/12/11]

Tiada ulasan: