Makan Durian, Dan Kisah Nordin Razak Tidak Jadi Tanding SUDAH kerap bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
Datuk Nordin Razak mempela saya untuk ke dusunnya di Hulu Langat, Selangor. Kebetulan setiap kali pada tarikh yang dijak itu ada-ada saja halangannya. Sabtu lalu sampailah saya ke dusun beliau yang memang permai, indah dan menyegarkan mata memandang itu.
Sebenarnya kalau ikutk
an hukum biasa dusun itu tidak sesuai dinamakan dusun seperti lazimnya. Ia lebih tepat kalau dikatan Taman Dusun. Dusun orang kaya raya katakan tentulah lebih tersusun, sistmetik dan kemas dari dusun biasa. Nama lagi Taman Dusun yang gunanya bukan sangat untuk mengutip hasil melainkan untuk dijadikan kawasan perihatan.
Memang dusun itu sesuai untuk dijadikan tempat berihat dan menenangkan fikiran di hujung minggu. Patutlah beriya benar Nordin mengajak saya melawat dan mengudang kekawan mengunjungi dusunnya itu.
Selalunya di dusun itulah diadakan majlis keramaian secara santai di kalangan anak-anak Kelantan khasnya yang bergabung dalam Persatuan Pakatan Kelantan Darulnaim (Pakatan), di mana waktu ini Nordin adalah presidennya. Antara majlis yang difahamkan pernah diadakan di situ termasuklah pertemuan hari raya, sambutan bulan Asyura, maulid Nabi dan sebagainya.
Bukan itu saja di sini juga dijadikan tempat pertemuan dan penyelarasan pengundi-penundi luar Kelantan bagi pihak Umno. Memang sesuai kalau acara seperti itu diadakan kerana ia terselindung dan agak tertusuk dari dunia luar. Kerja politik harus dilakukan di tempat terlindung secara sulit!
Bukan itu saja di dusun itu juga disediakan kemudian asas lain untuk berhimpun. Sebuah lapangan hampir seluas padang bola disediakan. Di situ saja boleh memuatkan 500 orang hadirin. Sebuah dewan mini juga disediakan untuk upacara nyayian dan pementasan atau deklamasi puisi. Nordin juga terkenal sebagai seorang seniman dan budayawan.
Selain itu terdapat juga sebuah kolam di mana di dalamnya ada berbagai jenis species ikan termasuk keli, paten dan baung. Sesiapa kaki pancing boleh memancing dan kalau hendak gulai di situ pun boleh. Di satu sudut di tempatkan pula sebuah bangunan kecil yang dijadikan geleri menempatkan segala macam cenderamata dan juga gambar-gambar lama Nordin semasa di DBKL dan juga gambar sekitar penglibatan beliau dalam NGO dan sebagainya.
Memasuki ke geleri ini dapat mengetahui wajah sebenar Nordin dalam kehidupan ini. Dia rupanya bukan saja sebagai seorang pegawai kerajaan tetapi mencakupi jauh dari itu. Beliau juga seorang pejuang dan mempunyai keprihatinan tinggi kepada bangsa.
Apapun faokus utama ke dusun itu ialah untuk melihat alam sekitar dan juga kesuburan pokok-pokok durian dan pelbagai pokok lain yang terdapat di situ. Menurut perkiraan rawak saya terdapat lebih 100 jenis pokok durian dengan berbagai jenis yang bermutu tinggi di samping pokok lain menangis, rambutan, pulasan dan lain-lain.
Jadi bagi mereka yang pernah ke situ tentu akan mengulanginya untuk beberapa kali. Sebabnya, bukan saja dapat mengecapi suasana alam sekitar, hutan malar yang segar dan teratur tetapi turut juga dapat memakan buah-buhan yang ditanam.
Jadi apabila Ketua PKR Cabang Pasir Mas,
Dr Wan Suhaimi Wan Daud menelefon mengajak saya ke Hulu Langat ke dusun Nordin saya tidak menolak walaupun kesihatan tidak berapa melegakakan. Apa lagi bila disebut durian di kebun itu sedang berguguran tambah menarik minat. "Marilah Haji, Datuk Nordin ajak makan durian," begitulah tutur Wan Suhaimi memancing naluri saja.
Saya ke dusun Nordin bukan saja untuk makan, selain memenuhi pelawaannya juga untuk melihat keindahan dan kesegaran dusun berkenaan yang menjadi buah mulut dan cakapk kawan-kawan itu.
Menjadi kebiasaan pegawai besar kerajaan sesudah bersara akan masuk hutan, membuat dusun untuk dijadikan kawasan perihatan hujung minggu bersama sanak keluarga. Dusun seperti ini adalah ruang pelarian bagi mereka setelah berpuluh tahun berkhidmat dengan kerajaan.
Boleh dikatakan semua bekas-bekas pengarah di jabatan atau kementerian memiliki dusun sebegitu. Perwujduan kebun atau ruang pelarian begitu juga mungkin kerana setengah mereka sudah tidak betah atau serasi lagi dengan urbanisasi yang tidak mengikut hukum alam dan membonsankan hati dan perasaan. Maka hendak tidak hendak mereka yang berada terpaksa mereka ruang pelarian tersendiri.
Ruang perlarian Nordin bukan luas sangat tetapi cukup lumayan. Kebanyaknnya diisi dengan pokok durian dari berbagai jenis yang ternama. Memang seisapa pun akan senang ke dusun itu. Kesenangan itu bukan saja suasana dan panorama dusun dan ruang perlarian itu tetapi indah dan kemas ia ditokok oleh kerendahan dan keramahan budi Nordin dan isterinya serta anak beranaknya.
Betapa tidak, tengah hari itu belum lagi duduk molek kami sudah di hidang dengan durian D24. Tidak habis tiga biji yang dikopek untuk kami berdua. Isteri Datuk Nordin, pula menyediakan pulut bersantan di makan dengan durian. Puas kami menolak tetapi dipaksa untuk makan. Selepas kena sepinggang perut kenyang 'bunyeh'.
Cerita durian dan dusun sekejap sahaja ia bertukar ke topik lain. Biasalah kalau berjumpa dengan Nordin dia suka bercakap dan bercerita mengenai pengalamannya dan kisah-kisah hidupnya baik di zaman menjadi pegawai tinggi kerajaan dan kisah dialam persekolahan dan universiti ketika berjuang bahasa Melayu dengan Anwar Ibrahim.
Nordin dikenali sebagai seorang pegawai kerajaan berjiwa Melayu. Semasa beliau menjadi Ketua Pengarah DBKL banyak pelan pembangunan Kuala Lumpur dilakukan untuk memastikan kuasa Melayu kekal di bandar dan seberapa ramai orang Melayu boleh mencari makan di tengah-tengah Kuala Lumpur. Atas keberanian dan sikap 'gedebe' beliau membela Melayu itulah maka orang Melayu sedikit sebanyak ikut sama dapat mencari makan di tengah bandaraya kosmopolitan itu.
Saya bercadang akan mengunjunginya sekali lagi dan mahu mendengar lebih banyak cerita beliau semasa di DBKL dulu. Semasa menjadi wartawan tahun 80-an saya banyak mendengar kehebatannya tentang Nordin ini, tentang keberaniannya melanggar birokrasi semata-mata untuk membantu orang Melayu. Kehebatan Nordin ini memang membanggakan saya sebagai orang Kelantan dan juga orang Melayu. Nantilah...
Yang paling mengejutkan saya pada kunjungan pertama itu ialah cerita beliau yang dua kali tidak jadi bertanding dalam pilihan raya di Kelantan. Saya pernah mendengar ceritanya tetapi tidak mengetahui apakah sebab dan punca-puncanya dan versinya berbagai-bagainya.
Tetapi setelah mendengar sendiri dari ceritanya baru saya faham duduk perkara sebenarnya. Nordin memang tidak berminat dalam politik dan tidak pernah bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat. Tahun 2004 apabila parlimen dibubarkan dan pertama kali pilihan raya diadakan semasa Abdullah Badawi jadi PM, beliau diminta untuk bertanding.
Tahun 2004 itu beliau sudah pun bersiap sedia untuk menjadi calon dan sudah pun berada di Kota Bharu untuk proses penamaan calon. Malangnya saat namanya hendak diumumkan tiba-tiba saja namanya tercicir menyebabkan segala harapan itu terburai.
"Saya tidak kisah sebenarnya, tetapi kerana diminta saya ikut. Apa yang saya terkilan sedikit pembatalan nama saya itu tidak diberitahu oleh orang yang sepatut berbuat begitu dan ini saya anggap pemimpin itu tidak ada batu peler," begitu kata Nordin dengan stailnya sambil ketawa melucu bercampur geram.
Begitu juga pada tahun 2008 sekali algi beliau dicalonkan untuk bertanding kali ini di kerusi Parlimen Bachok. Tetapi entah macam mana tiba-tiba watikah yang sudah pun tertera namanya dipotong dan dimasukan nama orang lain.
"Jadi dua kali saya lepas. Tak mengapa saya memang pun tak berapa berminat politik ini. Tetapi apa yang nak saya bagi tahu begitulah dunia politik kita jangan mudah mempercayai sesuatu yang disuakan kepada kita, sebab politik apa saja boleh berlaku," ujarnya penuh keinsafan.
Kunjungan yang pendak itu banyak memberi saya pengalaman dan mengenalkan saya hati budi seorang Nordin Razak. Beliau memang kelihatan agak keras dan tegas tetapi mempunyai sifat diplomasi yang tinggi. Satu cerita lagi yang boleh dijadikan iktibar dan dikongsi bersama mengenainya ialah bagaimana dalam tragedi 13 Mei 1969 beliau adalah antara watak kecil yang turut menghidupkan tragedi itu. Kisah ini dramatik bila mana dia terkepong dalam tragedi itu dan menyaksi sendiri bagaimana berlaku pembunuhan.
Saya akan cerita kemudian, bila ada masa.
Terima kaih kepada Datuk Nordin dan Datin kerana sebagai buah tangan ke atas kunjungan itu dihulurkan lapan buah durian D25 yang sangat lazat dan puas memakannya.
[wm.kl.12:13t/hari 12/12/11]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan