Blog-list Malaysia |
- 'Datuk Lembu' Hanyalah Kambing Hitam Untuk Selamatkan Emak Dan Bapak Lembu..
- Mustafa Ali Yang Selalu Jumpa UMNO - Hasan Ali
- Lagi Kelentong Lagi Mengarut Si Hasan Ali Nie..
- PRU13 - Kedah, Pulau Pinang, Selangor di Ambang Bahaya
- Isa sepatutnya jadi peneroka dulu, baru jadi pengerusi koperasi
- Panas: Datuk Zaid Ibrahim Dedah Penyelewengan Pembeliaan Kapal Peronda Tentera Oleh Kerajaan
- Shahrizat: Beritahu saya pemimpin UMNO mana yang tiada masalah?
- "Sebelum berangan-angan menang, PAS kena banyak berubah,"
- SPRM rampas komputer, dokumen dalam serbuan terhadap pejabat NFC
'Datuk Lembu' Hanyalah Kambing Hitam Untuk Selamatkan Emak Dan Bapak Lembu.. Posted: 23 Dec 2011 11:52 PM PST 'Datuk NFC' hanya dijadikan kambing hitam- Rafizi KUALA LUMPUR 23 Dis: Tindakan polis menahan seorang datuk berhubung siasatan skandal National Feedlot Corporation (NFC), hanya untuk dijadikan kambing hitam dalam kes berkenaan. Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, ini kerana berdasarkan rekod pendedahan beliau bersama pimpinan KEADILAN mendapati tiada individu seperti yang dimaksudkan. "Apa yang kita dedah sebenarnya ia berkait penglibatan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. "Kita melihat kewujudan secara tiba-tiba Datuk berusia 45 tahun ini hanyalah kambing hitam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk mengalih isu sebenar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU)," katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini. Menurutnya, dua isu utama yang didedah sebelum ini sudah cukup untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat skandal itu Pertama, katanya, pemalsuan dokumen yang diguna NFC sebagai taktik untuk mengeluarkan dana sebanyak RM250 juta. Kedua, pengeluaran sebanyak RM80,000 setiap bulan dari dana itu untuk pakej pelancongan yang ditawarkan syarikat Impian Global Network Services (IGNS), sejak Januari hingga Julai 2010. "Dua pendedahan ini sudah cukup untuk SPRM siasat tetapi mereka tidak berbuat demikian," kata Rafizi. Beliau turut mengaitkan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Toyo atas tuduhan rasuah, juga sebagai satu lagi usaha mengaburi mata rakyat menjelang PRU akan datang. "Kalau mengikut skrip biasa Umno, mereka yang disiasat ini akan disabit bersalah namun kes akan digugur atau mereka dilepaskan selepas PRU. "Sebab itu, saya merayu dan mengajak rakyat, jika enggan kes seumpama ini berulang, ayuh, bulatkan tekad dan kukuhkan sesungguhnya dalam hati untuk mengundi setiap calon Pakatan Rakyat pada PRU kali ini," katanya. Hari ini, portal media melaporkan usahawan berpangkat datuk dan dipercayai memiliki beberapa syarikat, ditahan polis kerana pembabitannya dengan NFC. Lelaki itu ditahan ketika berada di jabatan itu pada Rabu kononnya kerana cubaan untuk menyogok pegawai polis. Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyerbu pejabat NFC di Shah Alam dan merampas beberapa dokumen berkaitan. Pada masa sama, Mahkamah Tinggi Shah Alam pula menjatuhkan hukuman penjara selama setahun ke atas Khir Toyo atas tuduhan rasuah. Bagaimanapun, ia bukan keputusan muktamad kerana Khir masih mampu melepaskan dirinya daripada tuduhan itu, sekiranya beliau dibebaskan diperingkat Mahkamah Rayuan kelak. Dipetik dari keadilandaily |
Mustafa Ali Yang Selalu Jumpa UMNO - Hasan Ali Posted: 23 Dec 2011 11:32 PM PST KUALA LUMPUR, 24 Dis — Datuk Dr Hasan Ali menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dibuat Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bahawa beliau ada mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak yang dikaitkan dengan Umno. Menurut Hasan, bekas pesuruhjaya PAS Selangor dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya merupakan fitnah dan palsu. Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana dakwaan itu dibuat oleh setiausaha agung kepada parti yang berteraskan Islam. "Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai pertemuan saya dengan mereka (Umno) sama ada pimpinan Umno peringkat bawahan, pertengahan atau atasan seperti yang dinyatakan (Mustafa). "Sekali lagi Mustafa Ali (gambar) terperangkap dengan prasangka buruk dan api fitnah sesama Muslim. Sebagai setiausaha agung sebuah parti yang berteraskan Islam, tuduhan-tuduhan liar dan serkap jarang seperti itu tidak selayaknya keluar dari mulut seorang setiausaha agung yang berwibawa," katanya pada sidang media di kediamannya di sini. Mustafa sebelum ini mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Hasan dengan agenda Umno. Mustafa berkata ia merujuk kepada satu pertemuan antara Hasan, bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan tiga individu lain di sebuah hotel di ibu negara pada bulan Ramadan lepas. Dalam sidang media itu, Hasan yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor mendedahkan individu yang kerap mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno adalah Mustafa. "Malah terdapat permohonan daripada setiausaha agung sendiri untuk bertemu dengan seorang pemimpin tertinggi Umno yang sehingga kini setakat saya maklum belum dapat diadakan," katanya. Enggan mengulas lanjut mengenai pendedahan itu, Hasan berkata kepimpinan tertinggi PAS sepatutnya menjalankan siasatan mengenai perkara itu. "Saya hendak berhenti setakat itu seperti mana Datuk Mustafa a Ali berhenti dari menuduh saya bertemu dengan pemimpin Umno di Hotel Meridien dan 'stop-short' di situ. "Kalau misalnya, nak tanya lebih lanjut, saya pulangkan kepada pimpinan (PAS) untuk buat siasatan lanjut. Kalau nak siasat pertemuan saya, siasatan sama juga harus dilakukan kepada pertemuan setiausaha agung dan pemimpin Umno," katanya. |
Lagi Kelentong Lagi Mengarut Si Hasan Ali Nie.. Posted: 23 Dec 2011 11:22 PM PST 'Media arus perdana beri saya lebih liputan dari Harakah' Exco kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali membidas Harakah, dengan berkata media arus perdana memberi lebih banyak liputan kepadanya berbanding akhbar partinya sendiri. Jika dibuat analisis kandungan dalam Harakah di talian dan versi cetak, Dr Hasan bertanya berapa banyak ruang yang beliau dapat, termasuk ketika beliau menjadi pesuruhjaya PAS Selangor? Kadang-kadang, katanya, beliau mendapati Harakah memberi liputan kepada parti-parti komponen Pakatan Rakyat dan bukannya ahli partinya sendiri. Dr Hasan menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar di kediamannya di Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya hari ini. Dr Hasan, yang baru-baru ini ditemuramah oleh media berkaitan Umno TV3 dan Berita Minggu, mengulas gesaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya jangan menggunakan "media Umno" bagi mengelak memberi mereka ruang untuk menyerang PAS. |
PRU13 - Kedah, Pulau Pinang, Selangor di Ambang Bahaya Posted: 23 Dec 2011 08:22 PM PST BERDASARKAN maklumat dalaman mengenai perkembangan terkini adalah difahamkan yang PR berada di ambang kekalahan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dalam PRU akan datang. Justeru, sebagai penyokong setia PR, penulis merasakan tidak ada faedahnya untuk turut meniupkan semangat palsu agar rakyat terus dibuai retorik konon PR masih kuat sepertimana yang dimainkan oleh pemimpin tertentu kita. Realitinya, terlihat jelas kini akan perubahan sikap pengundi terutama kaum Melayu dan India akibat tidak puas hati dengan DAP. Bukan rahsia bahawa amat sukar bagi kita membendung persepsi terhadap DAP sebagai chauvinis dan rasis kerana pemimpin DAP sendiri kerap kali 'tersasul' dan membuka pekung sendiri. Walaupun ia adalah kesilapan individu dan bukan parti, tetapi rakyat tidak melihatnya begitu. Akibatnya, PAS dan PKR terpaksa melakukan 'damage control' bagi pihak DAP. Namun, kerosakan telah pun berlaku dan PR tidak mampu mengekang masalah kehilangan sokongan Melayu dan India kerana sikap beberapa pemimpin DAP. Walaupun PR yakin mendapat sekurang-kurangnya 70% undi kaum Cina tetapi itu bukanlah jaminan bahawa PR akan dengan mudah dapat mengekalkan negeri-negeri yang telah ditawan di sebalik keghairahan ingin menawan negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan, Johor dan Perlis. PR perlu sedar bahawa BN telah melancarkan strategi yang begitu halus terutamanya untuk menawan kembali Pulau Pinang dan Selangor dengan majoriti mudah iaitu dengan perbezaan hanya 2 kerusi. BN juga begitu agresif memindahkan pengundi ke kawasan tertentu bagi membolehkan mereka menguasai beberapa kerusi DUN yang diwakili oleh MCA dan Gerakan. BN nampaknya cukup sedar bahawa tanpa pemindahan pengundi mereka tidak mungkin akan menang di kawasan majoriti bukan Melayu dan itulah yang mereka lakukan di Pulau Pinang apabila MCA dan Gerakan masing-masing hanya mensasarkan kemenangan 3 kerusi sahaja manakala UMNO mensasarkan 15 kerusi bagi membolehkan BN membentuk kerajaan. Di Kedah pula, UMNO begitu bersemangat dan yakin akan menang besar apabila tersebar cerita bahawa Dato' Mukhriz Mahathir akan dinobatkan sebagai Menteri Besar yang baru. Tun Mahathir juga dikatakan akan 'all out' membantu BN pada PRU nanti bagi memastikan kemenangan di Kedah. Ini pastinya akan menjadi faktor peningkatan sokongan secara drastik kepada BN. Aktiviti BN di 3 negeri ini boleh dilihat dengan jelas, namun apa yang berlaku di Kelantan juga tidak boleh dipandang sebelah mata. Dikhabarkan BN hanya memerlukan 5 kerusi DUN bagi mendapat majoriti mudah dan melihat dari perkembangan di Kelantan akhir-akhir ini, perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Pastinya ramai yang menyangkal dan tidak mahu menerima pendapat dari pemerhatian penulis. Itu adalah hak masing-masing. Namun, adalah lebih elok jika PR tidak terus leka dan bertindak segera menangani perkara ini supaya tidak berputih mata gara-gara syok sendiri. |
Isa sepatutnya jadi peneroka dulu, baru jadi pengerusi koperasi Posted: 23 Dec 2011 06:17 PM PST FELDA tidak akan sama lagi seperti dahulu. Perpecahan yang nyata berlaku di FELDA, samada di kalangan peneroka dan pegawai-pegawai serta kakitangan-kakitangan perbadanan yang tertua negara itu. Kalau dahulu Felda merupakan satu perbadanan yang terurus dengan agak baik tetapi sekarang oleh kerana wujud elemen pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan politik peribadi ke atas Felda ini maka unsur-unsur perpecahan dalam tanah rancangan ini sedang bertambah teruk dan menakutkan. Felda sejak tertubuhnya adalah di bawah Kementerian Tanah dan Wilayah dan dengan tekun serta kerja tidak mengenal penat lelah oleh mereka yang bertanggungjawab maka Felda telah maju dan menjadi di antara perbadanan yang paling kaya samada dalam bentuk tunai dan asetnya. Kalau perbadanan ini mula di tadbir oleh pelaksana yang jujur seperti Tan Sri Taib Andak perbadanan ini telah berkembang di bawah kelolaan Raja Tan Sri Alias Ali sehingga Felda terkenal di seluruh dunia sebagai tanah rancangan yang paling tersusun dan ditadbir dengan baik serta beretika di bawah pimpinan Raja Tan Sri Alias Raja Ali selama 3 dekad beliau berada di sana. Politik tidak begitu masuk campur dalam hal Felda selama ini. Kalau ada pun politik di dalamnya ianya terbatas kepada mempastikan yang matlamat asal penubuhan Felda itu di capai mengikut kehendak dasar-dasar yang di kepilkan dengan penubuhannya itu. Kerjasama semua pihak, pengurusan dari ibu pejabat sehingga pejabat pentadbiran wilayah-wilayahnya sehinggalah kepada individu-individu peneroka serta pengorbanan mereka semua telah menjadikan Felda sebagai perbadan yang paling baik pentadbirannya. Kebaikkan pentadbiran perbadanan ini tentulah di sebabkan perbadanan ini di ketuai oleh pelaksana yang sangat komited terhadap tanggungjawab yang di amanahkan oleh pimpinan Melayu negara. Komitmen Raja Tan Sri Alias dalam membina Felda sehingga sampai ketahap ini memang menjadi contoh kepada semua pihak. Nama Raja Tan Sri Alias di Felda itu terpahat sehinggakan ism pelaksana dasar kerajaan ini tidak akan mudah dilupakan oleh pegawai dan kakitangan Felda serta peneroka keseluruhannya. Apabila Raja Tan Sri Alias bersara Felda masih utuh kerana ism dan sistem tadbiran di bawah Raja Tan Sri Alias itu sangat berkesan dan 'follow through' dengan sistem Raja TS Alias itu terus menjadi asas pembangunan Felda sehingga orang politik mengetuai Lembaga Pengarah perbadanan itu bernama Tan Sri Yusuf Nor. Tan Sri Yusuf Nor tidak mencuba-cuba untuk menggali dan menganjak cara Raja TS Alias di dalam perbadanan itu maka tidak adalah masalah besar berlaku di bawah pengerusinya TS Yusuf Nor itu. Felda telah begitu berjaya sehinggakan ada pihak yang begitu cair air liurnya kerana kekayaan perbadanan ini hasil dari penat jerih ratusan ribu peneroka yang berada di bawah paying Felda itu. Dengan senyap-senyap Felda dipandang oleh setengah pihak sebagai perbadan yang boleh di kudakan untuk kepentingan politik setengah pihak. Maka Felda telah dipindahkan dari Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah kepada Jabatan Perdana Menteri dan duduk di bawah dagu Najib Tun Razak sejak beliau masih menjadi Timbalan Perdana Menteri sehinggalah sekarang. Sejak perpindahan Felda dari Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah kepada pentadbiran Najib Razak inilah Felda mula di hinggapi penyakit yang berbagai-bagai. Sejak di bawah tadbiran Najib ini Felda telah menjadi tempat pelahap-pelahap negara mengambil kesempatan dan peneroka-peneroka rancangan tanah ini. Sebelum ini peneroka dan rakyat tidak berapa menyedari apa yang telah dilakukan kepada mereka, Sekarang mereka telah celek dan mulalah anak-anak generasi Felda ini terutamanya mengambil langkah melakukan tentangan terhadap pihak berkuasa kerana tindakkan unilateral kerajaan persekutuan dalam menentukan corak Felda menghadapi masa depan yang kian mencabar. Hasrat peneroka untuk Najib memberikan ummph yang lebih terhadap Felda nyata meleset. Najib mula memperbetulkan apa yang kurang betul tetapi beliau melakukan pembetulan itu dengan cara ibarat tikus membaiki labu. Penggubal dasar yang tidak tahu apa dan bertanggungjawab dengan sepenuhnya terhadap peneroka-peneroka yang jumlahnya ratusan ribu keluarga itu. Beberapa ketika dahulu selepas Felda di bawa ke bawah jabatan Najib, peneroka telah mempersoalkan wang 'reserve' Felda yang berjumlah RM4,08 billion telah mengecil sehingga menjadi RM200 juta. Sampai sekarang isu itu belum terjawab. Sekarang timbul isu yang berlegar dikeliling Isa Samad, pengerusi baru Felda. Sekarang pengerusi Felda sedang berperang dengan peneroka dalam isu pengerusi koperasi Felda kerana Isa telah mengambil alih jawatan pengerusi koperasi Felda dari pengurus besar Felda Dato Zulkifli Wahab. Mengikut undang-undang koperasi itu, pengerusinya adalah secara automatik dipegang oleh pengurus besar Felda atau seorang peneroka yang setidak-tidaknya telah menjadi peneroka selama 2 tahun. Kedua-dua syarat ini membuatkan Isa tidak layak menjadi pengerusinya .Isa hanya pengerusi Lembaga Jemaah Felda dan bukannya peneroka atau pun pengurus besar Felda. Kenapa undang-undang ini dilanggar. Kenapa tidak mengikut prosedure yang betul. Kalaulah Isa hendak juga menjadi pengerusi koperasi itu, Isa sepatutnya memilih untuk menjadi peneroka dahulu. Isa sepatutnya masuklah ke tanah rancangan dan jadilah peneroka selama dua tahun dahulu dan apabila sudah cukup dua tahun jadi peneroka barulah Najib boleh lantik beliau menjadi pengerusi koperasi Felda itu. Isa boleh jadi peneroka di Negeri Sembilan. Di Negeri Sembilan ada dua wilayah Felda. Isa boleh pilih mana-mana rancangan tanah Felda di NS. Isa boleh jadi peneroka di Pasoh satu hingga Pasoh empat. Atau pun Felda Serting atau pun Felda Palong. Cukup dua tahun Isa boleh bertanding menjadi pengerusi koperasi Felda. Ikut undang-undang kerana undang-undang itu di gubal oleh law-makers negara. Isa mesti ingat, tugasnya hanyalah di peringkat Lembaga Pengarah sahaja. Tugas beliau ialah untuk menjadi penjaga dasar dan pelaksanaan Felda berjalan dengan betul, bukannya untuk membuat kekecuhan. Jangan bersikap sombong; hendak melutut orang itu dan orang sana. Jangan garang dan bisa mulut tak bertempat. Ingat kuasa rakyat kekal di negara ini. Kuasa ahli politik seperti beliau itu hanya sementara sahaja. Hanya kita berharap tindakkan peneroka mengambil tindakkan mahkamah pada 4 hb Jan 2012 nanti akan memberikan penyelesaian terhadap isu ini. Isa mesti faham, kita hidup mesti ikut undang-undang. Kita mesti mentadbir dengan kepala, jangan mentadbir dengan kaki, menendang orang di mana-mana dia pergi. Isa masih tidak belajar dari kesilapan dan kesalahan yang lalu. Aspan Alias |
Panas: Datuk Zaid Ibrahim Dedah Penyelewengan Pembeliaan Kapal Peronda Tentera Oleh Kerajaan Posted: 23 Dec 2011 04:50 PM PST KUALA LUMPUR, 24 Dis - Ketua parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim (foto) mendedahkan butiran pembelian enam kapal peronda tentera oleh kerajaan yang didakwa dibuat melalui orang tengah yang mengaut jutaan ringgit daripada urusniaga tersebut. Menurut Zaid, tiga ejen berkenaan dibayar sejumlah RM11.36 juta untuk "bantuan teknikal" berhubung pembelian kapal tentera berkenaan daripada firma Perancis, DCNS. "Mengapa tentera laut tidak dapat menentukan apa yang diperlukan oleh mereka, dan bukannya perunding ini? Lainlah ianya perlu untuk menyalurkan wang rasuah," katanya ketika ditemui di Tropicana, Damansara semalam. Zaid yang enggan mendedahkan sumber maklumat itu mendakwa, firma perunding itu menerima bayaran dalam matawang euro melalui akaun di Singapura daripada 2010 hingga April 2011. Menurut satu invois bertarikh 25 Oktober 2010, salah satu daripada firma berkenaan didakwa menerima 935,000 euro sebagai bayaran "perkhidmatan teknikal." Dokumen itu menyenaraikan perkhidmatan berkenaan, termasuk konfigurasi infrastruktur, kejuruteraan dan penilaian sistem serta rundingan komersil untuk projek "Second Generation Patrol Vessel." Invois daripada sebuah syarikat yang didakwa berpengkalan di Paris itu dialamatkan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, yang memenangi kontrak bagi enam kapal berkenaan. Bayaran berkenaan didakwa telah dibuat dalam dua bahagian, masing-masing pada 28 Oktober dan 1 November tahun lalu. Berdasarkan dokumen tersebut, syarikat yang sama didakwa telah mengeluarkan invois untuk perkhidmatan sama pada 3 November 2010 untuk jumlah 986,000 euro dan dibayar pada bulan tersebut. Satu lagi syarikat, Setaria Holdings Limited, didakwa turut menghantar invois berjumlah 850,000 euro kepada Boustead Naval Shipyard. Syarikat yang dikatakan b erpengkalan di Brussels itu juga didakwa mengeluarkan dua lagi invois kepada Boustead Naval Shipyard untuk bayaran berjumlah 832,000 euro dan 725,000 euro. Dipetik dari Pahangdaily |
Shahrizat: Beritahu saya pemimpin UMNO mana yang tiada masalah? Posted: 23 Dec 2011 07:09 AM PST Disebalik tanda bahawa UMNO sedang berantakan disebabkan skandal rasuah dan pertelingkahan dalaman dikalangan pemimpin tingginya, Suruhanjaya Pencegah Rasuah telah mengumumkan bahawa satu pasukan khas akan dibentuk untuk menyiasat dakwaan bahawa keluarga Menteri UMNO Shahrizat Jalil telah menyalahgunakan dana awam berjumlah RM250 juta yang diperuntukkan bagi projek ternakan lembu NFC untuk kegunaan peribadi dan juga harta mewah. Walaubagaimanapun, tanpa fokus kepada kemarahan rakyat, semua mata tertumpu pada drama yang sedang dimainkan UMNO. Walaupun Shahrizat telah membayangkan kesediaan beliau untuk meletak jawatan, adalah mustahil beliau akan membenarkan dirinya dipijak atau dijadikan kambing hitam oleh rakan-rakan parti politiknya. Mata juga sedang tertumpu pada hakikat bahawa Najib yang sedang disiasat oleh kerajaan Perancis disebabkan dakwaan memakan rasuah bernilai RM570 juta daripada pembuat senjata gergasi DCN akan mampu untuk menangani isu NFC. Najib juga ialah presiden UMNO. "Beritahu saya, pemimpin UMNO yang mana tiada masalah?" merupakan jawapan pantas Shahrizat apabila diminta memberi komen mengenai sama ada beliau akan bertindakbalas terhadap seruan untuk meletak jawatan seperti yang di laporkan oleh suratkahabr Sin Chew beberapa hari lepas. Sandiwara UMNO-SPRM Sememangnya rakyat berasa curiga kerana MACC telah sebelum ini telah menyerahkan kes itu kepada polis walaupun telah menerima laporan daripada ketua pembangkang, Anwar Ibrahim. Kredibiliti pentadbiran Najib telah hilang apabila timblan ketua Polis Khalid Bakar telah mengumumkan bahawa tiada unsure pecah amanah semasa perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini. Sering mendapat jolokan Pak Turut untuk kerajaan UMNO, Khalid telah dituduh sebagai cuba menyelamatkan parti itu daripada malu. "Kita telah bertindak dengan mengikut prosedur apabila mengumpul fakta dan kenyataan sejak isu itu dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negera. Kebanyakkan isu yang ditimbulkan pada laporan terhadap NFC telahpun kita ambil tindakan." Ujar Pengarah SPRM Mustafar Ali dalam kenyataan beliau yang di siarkan pada Khamis. SPRM juga pantas menyatakan bahawa ia tidak dapat mendedahkan fakta terperinci seperti yang termaktub dalam Seksyen 29(4) Akta Pencegah rasuah Malaysia 2009. "Kami telah memanggil pihak-pihak yang terbabit untuk memberi kerjasama kepada kami dan tidak mempolitikkan isu –isu yang boleh menjejaskan siasatan kami." Ujar Mustafar lagi. Mengambilkira tona defensive kenyataan tersebut, adalah jelas kepada pemerhati bahawa SPRM tidak akan beriya-iya menyiasat NFC atau Feedlot Kebangsaan, sebuah projek yang bertujuan untuk meningkatkan bekalan daging lembu tempatan kepada 40% pemakanan dan pada harga yang berpatutan. Projek itu telah dianugerahkan kepada suami Shahrizat, Salleh Ismail dan anak-anak beliau pada 2006. Semasa itu, Muhyiddin memang portfolio Menteri Pertanian. Khairy Jamaluddin, menantu kepda Perdana Meteri ketika itu, Abdulah Badawi juga memainkan peranan penting dalam meluluskan projek itu kepada keluarga Shahrizat. Bertanggungjawablah dan selamatkan kami, rakan-rakan beritahu Shahrizat Ini dipercayai sebagai drama terbaru yang dimainkan UMNO untuk menyeru Shahrizat meletak jawatan dalam cabinet dan bertanggungjawab sebelum pilihanraya diadakan pada tahun depan. Tiada siapa yang menyangka aka nada perubahan besar pada sikap pemimpin tertinggi UMNO yang sudah dikenali dengan rekod rasuah mereka- ini termasuk juga Shahrizat. "Shahrizat dan juga UMNO sememangnya tidak malu. Isunya adalah kenapa pinjaman sebegitu diberikan kepada keluarga beliau sedangkan beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kabinet. Mustahil mereka mendapat pinjaman itu sekiranya dia bukan menteri. Beliau dan keluarga beliau telah menidakkan hak rakyat Malaysia yang susah dan rajin daripada faedah pinjaman itu (bekalan daging murah kepada rakyat Malaysia)," beritahu timbalan Presiden PKR N Surendran kepada Malaysia Chronicle. "Shahrizat juga tidak patut dipersalahkan seorang diri. UMNO lah yang harus lebih dipersalahkan. Disebabkan amalan politik mereka yang sering memberi makan kroni dan keluarga mereka daripada wang rakyat. " Mangsa legasi rasuah Mahathir? Mereka yang menyeru beliau letak jawatan sebelum beliau "dihalau" termasuk bekas perdana Menteri Mahathir Mohamad juga dikenali sebagai pemimpin yang mengembangkan sistem feudal dalam politik di mana pemimpin elit memegang segala aspek ekonomi dan politik negara. Dalam laporan "Global Financial Integrity" baru-baru ini, Malaysia disenaraikan di tempat ke 4 paling banyak mengamalkan rasuah di dunia. Kita sudah kehilangan USD338 billion (RM1.08 trilion) dalam pengaliran wang haram pada dekad pertama untuk abad ini. GFI juga menyatakan bahawa kenaikkan Malaysia ini "seiring dengan bebapa negara Asian." Ada Januari lepas, telah dilaporkan RM930 billion telah keluar daripada Malaysia dari 200 hingga 2008 dan meningkat ke RM218 setahun daripada jumlah asal RM 71 billion pada masa itu. Laporan ini sepatutnya menimbulkan kesedaran kepada pemimpin dunia bahawa ada keperluan untuk melakukan sesuatu demi menghapuskan pengeluaran haram ini," ujar pengerusi GFI Raymond Baker dalam satu sidang akhbar. Semasa laporan itu dikeluarkan, tidak hairanlah pemimpin UMNO yang pertama meragui laporan itu adalah Mukhriz Mahathir yang tinggal di Washington dan juga merupakan anak bongsu bekas PM itu. Sekarang, Mahathir yang berusia 86 tahu dan telah memerintah Malaysia selama 22 tahun dikenali sebagai pemimpin yang banyak membazirkan wang cukai rakyat. Malaysia Chronicle |
"Sebelum berangan-angan menang, PAS kena banyak berubah," Posted: 23 Dec 2011 06:18 AM PST Selama ini saya cuba mengelak jika diundang ke majlis-majlis yang diadakan jauh di luar Kuala Lumpur. Keuzuran memang membataskan pergerakan. Stamina berbaki wajar dimanfaatkan untuk membereskan tugasan di pejabat. Apa pun, menjelang PRU13, yang dianggap "ibu segala pilihan raya", realiti politik di lapangan harus dijengah. Situasi sebenar yang bergolak, terutama di kawasan tumpuan PAS, perlu didekati. Harakah pula wajar menjadi medium ampuh untuk melaksanakan misi penting, sekurang-kurangnya sebagai penyebar informasi, dan berupaya menyanggah tohmahan serta propaganda songsang Umno-BN. Justeru, apabila rakan sekerja, Suhaimi Embong, yang juga Pengarah Jabatan IT PAS Pusat, menyampaikan undangan untuk mengisi slot dalam pertemuan Jentera Penerangan PAS Terengganu bersama Ketua Pengarang Harakah di Markas Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai, 17 Oktober lalu, saya melihatnya sebagai kesempatan terbaik untuk menyelami pergolakan politik di sana. PAS Terengganu pernah berkuasa pada 1959, tetapi usianya hanya setahun tiga bulan. (Tentunya ada keistimewaan tersendiri sehingga rakyat negeri itu, bersama jiran mereka di Kelantan, bersedia memilih PAS dalam piliohan raya pertama selepas negara merdeka). 40 tahun kemudian, pada 1999, peluang kedua diperolehi, dengan kemenangan lebih gemilang, atas nama Barisan Alternatif. Tempohnya juga tidak lama, sekadar sepenggal. Ketika negara digemparkan dengan tsunami politik, Mac 2008, Terengganu agak terlindung. Memang penambahan kerusi Dun meningkat sekali ganda berbanding 2004, tetapi ia masih jauh daripada target untuk kembali memayungi pemerintahan. Ada pihak mendakwa rekod pentadbiran PAS semasa era 1999-2004 turut menyumbang kesan negatif kepada persepsi pengundi, selain senarai daftar pemilih yang meragukan. Meskipun kunjungan saya Sabtu lalu lebih bertujuan mendapatkan respons terhadap kandungan dan persembahan Harakah (sememangnya banyak penambahbaikan perlu segera dilakukan), dan mengutip pandangan langsung tentang situasi politik mutakhir daripada aktivis akar umbi, saya sempat menekankan kepentingan politik negeri Darul Iman itu dalam konteks PAS, terutama pada kacamata masyarakat Melayu. Dalam suasana PAS difitnah tidak lagi mewakili aspirasi kelompok Islam di negara ini, Terengganu yang mempunyai penduduk majoriti Melayu -- hatta melebihi komposisi di Kelantan -- harus menjadi negeri yang diperintah Parti Islam. "Politik adalah bilangan", justeru, kekuatan sesebuah parti itu diukur melalui kemenangannya dalam pilihan raya, bukan setakat idealisme perjuangan dan kesetiaan ahli-ahlinya. "Dalam PRU13 nanti, kalaupun ditakdirkan kalah di negeri lain, PAS wajib pertahan Kelantan sebagai asas kekuatannya dalam masyarakat Melayu. Tetapi, tentunya PAS juga perlu kekal terajui Kedah dan melakukan come back di Terengganu," kata seorang pemerhati politik, yang kemudiannya saya ungkapkan kembali. Saya cukup bimbang sekiranya Terengganu sekali lagi tertinggal dalam PRU13 nanti. Rata-rata berpandangan bahawa pengundi bukan Melayu, terutama Cina, akan tetap menyokong Pakatan, malah mungkin dalam skala lebih besar. Ini memberi kelebihan kepada pembangkang di Pantai Barat, khususnya di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan tidak mustahil di Negeri Sembilan, yang melorongkan laluan ke selatan. ("Saya yakin Pakatan boleh tebus kembali Perak, tetapi saya masih ragui sikap majoriti pengundi Melayu di negeri itu. Ya, Nizar Jamaluddin telah disepakati oleh PAS, DAP dan KeADILan sebagai MB Perak jika Pakatan mengulangi kemenangan, tetapi untuk menjadikan negeri itu stabil politiknya dan kebal daripada serangan tohmahan perkauman Umno, PAS harus memiliki jumlah kerusi yang berganda banyaknya berbanding 2008," pandangan seorang pensyarah sains politik). Trend mengundi itu juga satu kelegaan buat PAS Kedah kerana bilangan pengundi bukan Melayunya agak signifikan, berbanding Terengganu. Sebelum ini, dengan kekuatan asas PAS-Umno yang agak seimbang dalam masyarakat Muslim, maka pengundi Cina dan India, termasuk Siam, menjadi faktor penentu. Semasa PRU13, kemenangan calon PAS lebih awal diketahui daripada kawasan di selatan Kedah, yang selama ini menjadi kawasan kelabu disebabkan kehadiran pengundi bukan Melayu. Di atas kertas, jika pengundi Melayu tidak dapat diyakinkan oleh PAS untuk bersama-sama melakukan perubahan, tentunya Terengganu sekali lagi bernasib malang. Dan mungkin tohmahan bahawa masyarakat Islam telah meragui kewibawaan PAS sebagai komponen penting Pakatan agak sukar ditepis. Dengan itu, misi rakan-rakan di Terengganu menjadi lebih mencabar, sekali gus bertambah penting. Seolah-olah, dari satu sisi, jatuh-bangun PAS di Terengganu bakal mempengaruhi persepsi rakyat seluruhnya terhadap kemampuan PAS. Asas sokongan masyarakat Melayu mesti dimantapkan lagi dan salah petunjuknya adalah di Terengganu. Dengan itu, saya cuba menyampaikan mesej bahawa cabaran jentera penerangan PAS Terengganu menjadi berlipat kali ganda pentingnya. Kemenangan di Terengganu mampu menjawab pelbagai keraguan dan Selama ini Terengganu diakui berjaya membekalkan begitu ramai pemimpin PAS bertaraf nasional, untuk menduduki jawatan-jawatan strategik, termasuk Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Dewan Ulama Pusat, dan sebelum ini Ketua Muslimat Pusat dan Ketua Pemuda Pusat. Semasa memerintah 1999-2004, anggota Exco Kerajaan Negerinya juga lebih dikenali berbanding Kelantan. Saya ditanya soalan paling sukar, tentang ramuan kemenangan Terengganu. Ada peserta yang mengimbau senario gemilang 1999, dengan mengaitkannya dengan kemelut dalaman Umno yang cukup parah di peringkat pusat dan begitu kritikal di Terengganu: Faktor Anwar Ibrahim dan Wan Mokhtar Ahmad. Asas kekuatan PAS memang teruji di Terengganu walaupun diakui pada beberapa kawasan Umno lebih ke hadapan. 12 tahun lalu, Wan Mokhtar dan regunya dianggap terlalu lama memerintah. Ini mencetuskan rasa tidak senang di kalangan Umno sendiri. Kini, parti itu tidak sunyi daripada masalah dalaman. Sejak hari pertama lagi, wibawa MB Ahmad Said dipersoal secara terbuka. Soalnya, apakah krisis atau pertembungan dalaman Umno itu memberikan bonus buat PAS? Atau, mampukah PAS memanfaatkan situasi meruncing itu untuk mendekatkan rakyat dengannya? Saya perhatikan ada peserta yang menggelengkan kepala dengan pertanyaan itu. "Umno negeri mana yang berpecah teruk seperti di Terengganu ini? Tak ada, di sini, mereka boleh berbalah di depan publik termasuk semasa sidang Dun. Yang pertikai prestasi Ahmad Said adalah Adun Umno sendiri. Tapi, apakah kita diberi laluan mudah dengan percakaran sesama sendiri itu. Saya rasa tidak," kata seorang rakan seusai majlis. Ada juga yang membangkitkan begitu banyak projek bermasalah di Terengganu seperti stadium runtuh, lebuh raya tidak siap dan sebagainya. "Apakah rakyat terkesan dengan gejala menjolok mata itu?" seorang aktivis penerangan parti. Saya turut menimbulkan persoalan: "Maklumat dan data lebih mudah diakses, termasuk rakyat di ceruk-ceruk kampung. Masalahnya, apakah fakta yang mereka baca itu dapat mengubah persepsi terhadap kerajaan BN? Informasi yang sama, tetapi sampai kepada khalayak yang berbeda, mungkin menghasilkan impak yang berlainan." "Kami lebih terasa dengan bebanan kos barangan keperluan harian. Harga di sini mungkin lebih mahal daripada Kuala Lumpur," keluhan seorang rakan lama yang berhijrah ke Kuala Terengganu. "Tetapi aku tak yakin rakyat dapat mengaitkannya dengan begitu banyak pembaziran dan rasuah BN. Hasil mahsul negeri banyak tapi rakyatnya tetap miskin," sambungnya. Tiga hari sebelum ke KT, saya menelefon beberapa rakan untuk mendapatkan pandangan terhadap politik Terengganu. "Sebelum berangan-angan menang, PAS kena banyak berubah," kata seorang tenaga akademik terkemuka. "Maaf, rekod memerintah PAS banyak kelemahannya. Pelikkan apabila rakyat tidak merindui untuk kembali ke zaman itu, zaman yang dilihat Islam didaulatkan dan banyak perubahan dibuat. Ahmad Said tidak perlukan slogan atau projek besar seperti zaman Idris Jusoh untuk raih sokongan. Tapi terus terang saya katakan politik Ahmad Said lagi berbisa, ia lebih merakyat, beri bantuan langsung kepada sasaran," tambahnya. "Jadi, yang penting calon. You kena tekankan hal ini. Bukan saja soal strategi penting, tapi lebih mustahak perhubungan awam pemimpin parti. Dahulu, orang selalu kata ada jurang besar di antara PAS dengan rakyat, apatah lagi penyokong Umno, saya harap sekarang tidak lagi, contohilah Kelantan," katanya menyampaikan pesanan. Semasa sesi soal jawab, peserta pertama menimbulkan masalah dalaman parti membabitkan kepemimpinan tertinggi yang terdedah kepada media. Kebetulan isu membabitkan Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharudin Mat Isa tengah bergelegak. Beliau jelas bimbang hal itu boleh merencatkan komitmen petugas di peringkat bawahan. Persepsi negatif terhadap PAS juga disentuh. "Jangan pandang mudah dakwaan bodoh seperti DAP ganti PAS atau PAS penyokong komunis. Kita harus ada jawapan atau rasional yang memuaskan untuk semua persoalan, termasuk yang nampak bodoh," kata seorang daripadanya. Sudah tentu Harakah dituntut lebih berketrampilan terutama menyediakan penjelasan dalam bentuk yang mudah terhadap isu-isu yang dikitar semula Umno. Maklumat semata-mata tidak mencukupi jika ia tidak berupaya menyanggah tohmahan berterusan. "Memang dalam Harakah ada banyak info termasuk pendedahan siri skandal dan penyelewengan pemimpin Umno. Tetapi kadang-kadang ia berubah terlalu pantas tanpa sempat membekas kepada pembaca. Sedangkan isu-isu asas yang menjadi serangan Umno kepada kita tidak dapat dijawab dengan baik." Persoalan seumpama itu menyedarkan saya bahawa banyak lagi yang perlu diperbaiki. Selagi gong belum dipalu, gendang perang belum dipukul, segalanya terbuka kepada usaha penambahbaikan, termasuk Harakah, apatah lagi persiapan menghadapi PRU13 yang lain Oleh Ahmad Lutfi Othman |
SPRM rampas komputer, dokumen dalam serbuan terhadap pejabat NFC Posted: 23 Dec 2011 03:56 AM PST Anggota SPRM yang diketuai oleh Pegawai Operasi SPRM Putrajaya, Supritendan Wan Abdul Rahman Wan Mohd Salleh, dilihat memasuki pejabat berkenaan kira-kira jam 2.55 petang hari ini dan meninggalkan pejabat berkenaan pada jam 5 petang. KUALA LUMPUR, 23 Dis — Lapan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) merampas dokumen dan satu unit CPU komputer dalam serbuan di ibu pejabat Pusat Fidlot Nasional, National Feedlot Corporation (NFC) di Solaris Mont Kiara hari ini yang dikaitkan dengan penyelewengan dana kerajaan untuk projek ternakan lembu berkenaan. Pegawai Operasi SPRM Putrajaya, Supritendan Wan Abdul Rahman Wan Mohd Salleh, dilihat bersama dua dari lapan anggotanya menyerbu pejabat NFC di Solaris Mont Kiara. — Foto oleh Choo Choy May Menurut Wan Abdul Rahman, pihaknya telah mengambil keterangan daripada kesemua pekerja NFC dan mereka telah memberikan kerjasama yang baik. "Kami telah mengambil keterangan daripada pekerja di syarikat ini (NFC) dan mereka memberikan kerjasama yang baik," katanya yang juga merupakan ketua siasatan untuk NFC. Dalam serbuan tersebut, SPRM telah merampas satu unit CPU dan empat sampul surat putih berisi dokumen penting yang berkaitan dengan siasatan skandal NFC. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut dokumen yang dirampas pihaknya. NFC merupakan syarikat yang bertanggungjawab menguruskan pusat ternakan lembu NFC yang terletak di Gemas, Negeri Sembilan. Skandal NFC tercetus apabila Laporan Tahunan Ketua Audit Negara mengesahkan terdapat penyelewengan dalam dana kerajaan sejumlah RM250 juta berhubung projek berkenaan. Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail, suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang juga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil (gambar), turut dikaitkan dengan skandal tersebut. Serbuan hari ini dikaitkan dengan pengumuman SPRM semalam bahawa pihaknya akan menyiasat kes penyelewengan dana kerajaan oleh NFC, bertentangan dengan kenyataan badan tersebut sebelum ini yang menyerahkan siasatan kepada pihak polis atas dakwaan terdapat kes pecah amanah. SPRM turut mengesahkan pihaknya telah menahan reman seorang individu berpangkat "Datuk" semalam untuk disoal siasat berkaitan skandal tersebut. Pakatan Rakyat telah menggunakan isu ini dan pemimpinnya menuntut Shahrizat untuk meletak jawatan atas penyelewengan yang berlaku. Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin telah menggesa Shahrizat mepaskan jawatan sebagai menteri dan Ketua Wanita Umno demi menjaga nama baik wanita ketika Kongres PKR di Johor bulan lalu. Selain itu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan pemimpin daripada Umno termasuk Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar dan beberapa ketua cawangan Umno turut membuat gesaan yang sama terhadap Shahrizat demi menjaga nama baik parti. |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan