Khamis, 8 Disember 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Khalid nafi Datuk Paduka iktiraf Hasan Ali ‘kahwinkan’ PAS-Umno

Posted: 08 Dec 2011 12:21 AM PST

PAS menolak tanggapan bahawa pengurniaan pingat Datuk Paduka Mahkota Selangor kepada Datuk Dr Hasan Ali sempena sambutan hari keputeraan Sultan Selangor minggu ini bertujuan menghargai usaha beliau "mengahwinkan" parti Islam itu dengan Umno.

"Ia hanya satu anugerah, berdasarkan tafsiran saya, satu pengiktirafan diberi untuk mewakili parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad pada sidang media di sini hari ini.

Khalid yang juga Ketua PAS Shah Alam dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat berkata, Sultan Selangor telah bertindak dengan adil dan mengurniakan pingat yang sama kepada seorang pemimpin dari setiap komponen Pakatan Rakyat.


"Saya fikir Sultan Selangor telah bertindak dengan adil di mana pada tahun pertama, baginda memberi pingat Datuk Seri kepada (Menteri Besar) Tan Sri Khalid Ibrahim mewakili PKR dan satu pengiktirafan ke atas kepimpinan PKR di Selangor.

"Ketika tahun kedua, baginda menganugerahkan pingat Datuk kepada (Speaker) Teng Chang Kim selaku wakil DAP, sebagai parti komponen kedua terbesar dalam Pakatan Rakyat dan tahun ini, tahun ketiga pentadbiran, kami diberikan gelaran Datuk Mahkota, kepada Datuk Dr Hasan Ali, sebagai bekas pesuruhjaya PAS negeri yang juga Exco kanan (dalam pentadbiran negeri)," kata Ahli Parlimen Shah Alam ini.

Semalam, akhbar milik Umno menulis Hasan (gambar), yang akan menerima pingat Datuk Paduka sempena keputeraan Sultan Selangor hujung minggu ini perlu memainkan peranan "melakukan perkahwinan" antara PAS-Umno.

Pandangan ini diberikan susulan Perhimpunan Agung Umno minggu lalu yang mengisytiharkan PAS sama sekali tidak boleh menggantikan Umno dalam arena politik negara ini dalam menjaga hak dan kepentingan orang Melayu selepas selama tiga tahun mempelawa parti Islam mengadakan kerjasama politik.

Nama Hasan, Exco Kerajaan Negeri Selangor, sudah lama muncul sebagai antara orang "penting" dalam mewujudkan kerajaan perpaduan Umno-PAS ekoran keputusan pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun PAS telah menolak kerajaan perpaduan dalam tiga muktamar lalu dengan Hasan, antara orang, menjadi sasaran kritikan.

Beliau seringkali didakwa sebagai pro idea kerajaan perpaduan Umno-PAS.

"Di Selangor Faktor Dr Hasan amat penting sekali. Pengikutnya di dalam PAS (yang sehaluan dengan beliau) amat besar sekali. Pengaruhnya di kalangan penjawat awam Melayu dalam kerajaan Selangor juga amat besar sekali," kata Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan dalam kolum mingguannya semalam.

Kata penulis itu, kedua-dua faktor itu memberi kelebihan kepada Hasan, yang digugurkan sebagai ketua PAS Selangor Jun lalu, untuk melakukan perubahan.

Beliau digantikan oleh Dr Abd Rani Osman iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Meru.

"Dr Hasan berupaya melakukan perkahwinan itu demi menegakkan kesucian agama Islam dan keutuhan umat Melayu di Selangor," katanya dengan memetik titah Sultan Selangor ketika mengadakan kunjungan ke kompleks percetakan Kumpulan Utusan di Bangi awal minggu ini.

Utusan terus jadi batu api pecahkan PAS

Posted: 07 Dec 2011 09:50 PM PST

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Akhbar Umno, Utusan Malaysia didakwa terus cuba menjadi batu api untuk memecah belahkan PAS dengan melaga-lagakan antara kepimpinan parti Islam itu.

(Tulisan Zaini dalam akhbar Umno, Utusan Malaysia)

Terbaru, akhbar bahasa Melayu itu sekali lagi memainkan isu kerjasama PAS dan Umno yang telah dikuburkan PAS sebelum ini.

Malah tulisan editor kanan akhbar milik Umno itu, Datuk Zaini Hassan cuba menjadikan pemimpin PAS Selangor pula sebagai kambing hitam.


Sambil menyelar tindakan Utusan itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ridhuan Mohd Nor berkata, Zaini seolah-olah kekeringan idea sehingga cuba memainkan api permusuhan antara pemimpin PAS agar mereka bertelagah dan berprasangka buruk antara satu sama lain.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia menjelaskan, bahawa PAS tidak sudi 'berkahwin' dengan UMNO yang hanya tahu memperalatkan Islam demi survival politik mereka.

"Umat Islam masih menyimpan kemarahan ekoran keceluparan Presiden MCA yang mempertikai hukum Islam dalam Forum Hudud yang baru dilangsungkan beberapa hari lalu di Wisma MCA, malah wakil Umno turut sama mempertikai hukum Islam dengan pelbagai persepsi yang negatif terhadap hukum Islam itu," katanya.

Selain itu, rakyat pula masih tidak boleh melupakan bagaimana tindakan rakus pemimpin Umno BN meluluskan Rang undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang menyekat kebebasan rakyat bersuara dan berhimpun, Akta Pekerja yang menindas golongan pekerja dan Akta Perbadanan Kampung Baru yang meminggirkan nasib orang Melayu di Kuala Lumpur.

"Bagaimana dalam keadan begini, Umno masih mahu berbaik dengan PAS. Tangan kanan mahu berjabat, tangan kiri pula menikam perut," soalnya.

Mengulas lanjut, beliau juga membangkitkan sikap pemimpin Umno ketika Perhimpunan Agung parti itu yang dijadikan medan menghentam PAS dan Pakatan Rakyat sesuka hati.

"Seolah-olah PAS dan Pakatan Rakyat adalah parti yang penuh noda dan dosa yang perlu dibuang oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Dalam keadaan demikian, mahu disuruh PAS berbaik dengan Umno pula," soalnya lagi.

Sementara itu beliau sekali lagi menegaskan bahawa PAS akan tetap kekal bersama Pakatan Rakyat melakar perubahan bersama dengan rakyat Malaysia dalam PRU ke 13.

"Usah lagi bermimpi untuk 'berkahwin' dengan PAS, kerana PAS tidak ingin bersahabat dengan Umno yang semakin tenat dimamah usia," tegasnya.

Majlis Fatwa Sahkan PRU-13 Boleh Guna Dakwat Kekal

Posted: 07 Dec 2011 08:42 PM PST

KUALA LUMPUR,— Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat dakwat kekal yang pernah diuji dan diluluskan bagi pilihan raya umum 2008 boleh digunakan ketika pilihan raya umum ke-13 jika kandungan bahannya masih sama.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, selagi dakwat itu menggunakan bahan sama seperti pernah diuji, ia boleh digunakan kerana kandungannya mematuhi syarak dan tidak menimbulkan sebarang kemudaratan atau masalah kepada umat Islam melakukan ibadat.

Semalam, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum kali ini kini hanya memerlukan kelulusan Majlis Fatwa Kebangsaan dari segi kandungan dalam bahan tersebut kelak.


Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Wan Ahmad berkata, seiring dengan keputusan jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang memutuskan untuk menggunakannya, dakwat kekal yang akan dibeli akan dikemukakan kepada majlis itu untuk penilaian dan ujian tentang kandungannya supaya ia tidak bertentangan dengan Islam.

"Bagaimanapun, jika jenis dakwat yang akan digunakan nanti (pilihan raya umum ke-13) berbeza dengan dakwat yang sudah diputus dan diuji sebelum ini (pilihan raya umum ke-12), maka ia perlu dianalisis terlebih dulu Jabatan Kimia sebelum diserah kepada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Majlis Fatwa bagi diputuskan sama ada ia boleh digunakan atau tidak kerana dikhuatiri mengandungi bahan terlarang," katan Abdul Shukor dipetik Berita Harian hari ini.

Keputusan penggunaan dakwat kekal diputuskan oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen minggu lalu.

Dakwat kekal yang dicadangkan untuk digunakan ketika pilihan raya umum ke-12 telah diuji dan keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 2007 mendapati dakwat itu tidak mengandungi bahan najis diharamkan syarak, tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan serta tidak menghalang air sampai ke kulit apabila digunakan.

Uji kaji dijalankan Jabatan Kimia Malaysia juga mendapati dakwat kekal itu yang mengandungi alkohol etanol juga tidak menimbul masalah ibadat bagi orang Islam.

Bagaimanapun, dakwat itu dilupuskan menerusi proses pembakaran pada November 2009 berikutan faktor keselamatan dan perundangan.

Difahamkan kerajaan mengimort dakwat hitam bernilai hampir RM2.4 juta dari India. Negara berkenaan menggunakan dakwat kekal sejak 1951 dan memperoleh bekalan dari Mysore Paints dan Varnishes Ltd (MPVL), milik kerajaan negeri Karnataka sejak 1959. Penggunaan dakwat itu dikatakan cukup berkesan bagi mengelak pengundian berganda.

Walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan memberi kelulusan untuk digunakan tetapi penggunaannya telah dibatalkan beberapa hari sebelum hari pengundian.

PBB 'Amat Kecewa' Dengan RUU Perhimpunan Aman Malaysia

Posted: 07 Dec 2011 08:26 PM PST

RUU Perhimpunan Aman jadi sasaran pelapor khas PBB

Kumpulan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengingatkan bahawa rang undang-undang baru itu bukan sahaja menghadkan hak berhimpun secara aman, termasuk demonstrasi jalanan, tetapi juga akses bersyarat kepada pihak media di perhimpunan awam.

Pelapor khas PBB, Maina Kiai menyuarakan rasa "amat kecewanya" kerana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atau masyarakat sivil, tidak dirujuk dalam merangka rang undang-undang tersebut.

Maina (kanan) berkata rang undang-undang itu mengandungi takrif yang kabur mengenai perhimpunan dan juga sekatan dan syarat-syarat perhimpunan, yang menurutnya telah memberikan "kuasa berlebihan" kepada pegawai penguatkuasa undang-undang dan menteri dalam negeri.


"Banyak sekatan ini adalah tidak wajar mengikut undang-undang antarabangsa. Ia juga memberi budi bicara kepada pihak polis untuk membuat apa saja bentuk rakaman perhimpunan," kata Maina yang merupakan pelapor khas PBB mengenai hak kebebasan berhimpun secara aman dan berpersatuan.

Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 November dan ia diluluskan secara tergesa-gesa dengan beberapa pindaan, dalam tempoh kurang daripada dua minggu - pada 29 November.


Ia diluluskan walaupun ahli parlimen pembangkang bertindak keluar
dewan selepas membahaskan rang undang-undang tersebut, dan juga bantahan oleh lebih 1,000 peguam pada hari yang sama.

Rang undang-undang itu juga termasuk larangan ke atas bukan warganegara dan warganegara di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman.

Malaysia adalah ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB sehingga 2013.


Seorang lagi pelapor khas bagi hak kebebasan untuk bersuara,
Margaret Sekaggya (kiri), berkata beliau memandang berat peruntukan melarang warganegara di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun.

"Penyertaan politik dan sosial melalui protes secara aman, bukan sahaja merupakan satu pengalaman pendidikan untuk kanak-kanak, belia dan pelajar, tetapi juga satu pelaburan kepada masyarakat secara keseluruhannya," tegasnya.

Manakala pelapor khas bagi hak kebebasan bersuara, Frank La Rue, menggesa kerajaan Malaysia menimbang semula secara serius rang undang-undang itu.

"Keupayaan semua individu untuk bersuara secara bebas, termasuk dalam bentuk perhimpunan aman, merupakan satu ujian kepada tahap demokrasi di mana-mana negara."

Fracois Crepeau, pelapor khas hak asasi manusia bagi pendatang,
juga menggesa supaya rang undang-undang itu segera dikaji semula.

"Setiap orang berhak terhadap kebebasan berhimpun dan berpersatuan, tanpa sebarang apa jua pembezaan, termasuk kewarganegaraan," kata Crepeau.

Kesemua pakar tersebut melaporkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Geneva, dalam kapasiti bebas dan tidak dibayar.

Julai lalu, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB menyuarakan kebimbangannya terhadap penggunaan kuasa yang berlebihan terhadap peserta perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.

Malaysiakini

Taib Mahmud Buat Negeri Sabah Macam Dia Yang Punya..

Posted: 07 Dec 2011 07:06 PM PST

(Borneo Post) - Malaysian Civil Liberty's Movement (MCLM) chairman Harris Fadilah Mohd Ibrahim received an 'unwelcome' treatment from the state government upon his arrival at the Kota Kinabalu International Airport (KKIA) Terminal 2 here yesterday.

Harris, a Malaysian blogger and believed to be a close friend of Malaysian blogger Raja Petra, was prevented from entering Sabah upon his arrival on AirAsia flight AK 5106 at 3.10pm at the KKIA Terminal 2.

It was learnt that upon arrival, Harris was immediately taken to the airport Immigration office by an immigration officer and was served with a notice.


Speaking to reporters through a handphone of one of Sabah Progressive Party (SAPP) members, Harris said the notice was addressed to him, dated December 7, on behalf of the Sabah Immigration director.

"I have just been handed a notice of refusal of entry into the state of Sabah, dated today and address to me on behalf of the Immigration Sabah director.

"The notice says that the reason that I have been barred is that pursuant to Section 65 (1) (a) of the Immigration Act 1959/63, the state authority has directed that no pass be issued to me to enter the state of Sabah as such part required under Section 66 for me to enter the state.

"The reason for my refusal to enter Sabah today is because the state authority has directed that no pass be issued to me," he said through the handphone.

According to Harris, the officer who spoke and handed the notice to him claimed that the instruction came from the Immigration Department and they do not know the reason why he was refused a pass to enter.

"They also did not explain to me what the section is about, only that I have been refused to enter the state of Sabah," he added.

In a disappointed voice, Harris asked why he, as a Malaysian was barred and prevented from entering another state in Malaysia?

"Why a Malaysian cannot enter Malaysia?"

"Why is the Sabah government afraid of? Why are they afraid of one person from Peninsular Malaysia that they have to refuse me from entering Sabah?" he asked.

It was learnt that Harris was invited by SAPP members to exchange and learn about the struggle of MCLM.

Harris also said that this was the first time he had been barred from entering Sabah and twice being barred from entering Sarawak, during the Sarawak state election.

"The reason I flew into Sabah is to deliver a message to the people of Sabah and now we will show the Sabah government that with technology, we can deliver our message to the people without me being physically present," he said.

Harris was then deported back to Kuala Lumpur on the next flight at 4.20pm the same day.

Meanwhile, SAPP deputy president and Likas assemblyman Datuk Liew Teck Chan with about 15 SAPP members were earlier, at the KKIA Terminal 2 to great and welcome Harris.

After learning that Harris was prevented from entering the state, SAPP members then staged a five-minute peaceful protest in front of the arrival hall at Terminal 2 before they dispersed peacefully.

According to Liew, the party had invited Harris to gain more understanding of the MCLM's movement in regards to politics and economy.

"He, Harris, has been in the United Kingdom for some time, so we want to learn from him as he is well knowledgeable," said Liew.

MToday

Mansuh 29,000 jawatan ekoran laksana SBPA bukti hipokrasi Najib

Posted: 07 Dec 2011 06:32 PM PST

KUALA LUMPUR, 8 Dis — DAP hari ini menuduh Datuk Seri Najib Razak memperlihatkan hipokrasi "teramat tinggi" sedangkan pentadbirannya semalam mengumumkan mengenai pemansuhan 29,000 jawatan, di bawah pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mulai Januari 2012, hanya beberapa hari selepas perdana menteri menyerang Pakatan Rakyat kononnya mahu membuang separuh kakitangan awam.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, perkembangan terbaru ini menunjukkan presiden Umno dan pemimpin-pemimpin partinya adalah oportunis politik, yang hanya mahu menggambarkan Pakatan Rakyat sebagai parti antiperkhidmatan awam.

Pemimpin-pemimpin Umno melakukan serangan bertubi-tubi ke atas perikatan itu sejak Pua mengesyorkan idea mengurangkan tenaga kerja sektor awam yang kini telah mencecah 1.4 juta orang, bulan lalu.


"Najib telah membuktikan dirinya (pemimpin yang) bersikap hipokrit tahap tertinggi," kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Malah, Pua mendakwa Najib sanggup mencetuskan sentimen perkauman di kalangan orang Melayu dengan menuduh pembangkang mahu mengurangkan saiz perkhidmatan awam sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memulakan langkah ke arah itu.

Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah memberi jaminan SBPA akan membantu mengawal bilangan kakitangan kerajaan dan bukannya bertujuan mengurangkan tenaga kerja semasa.

Sambil berkata sekitar 29,000 jawatan dimansuhkan di bawah SBPA, kata beliau, sistem saraan baru ini yang diperkenalkan untuk menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM), pemegang jawatan-jawatan yang dimansuhkan akan ditempatkan di skim dan gred lain mengikut keperluan semasa.

Saiz tenaga kerja semasa dianggarkan 1.4 juta orang dengan penduduk Malaysia adalah 28 juta orang.

"Bermakna ia tidak sampai 10 peratus," katanya merujuk kepada nisbah tersebut.

"Sukar hendak mengatakan bahawa saiz tenaga kerja sektor awam kita terlalu besar atau terlalu kecil. Kita tidak boleh membuat perbandingan antara satu negara dengan negara lain.

"Dan, saya tidak mengatakan sama ada tenaga kerja perkhidmatan kita terlalu besar ataupun kecil... sehingga kami menyelesaikan kajian berdasarkan enam strategi merealisasikan inisiatif perkhidmatan awam yang kejat iaitu kawalan saiz perkhidmatan awam atau 'right-sizing', kajian pertindihan fungsi antara agensi, penjajaran fungsi utama perkhidmatan, perkhidmatan yang boleh diserah urus ('outsourcing'), perekayasaan proses kerja ('business process reengineering') dan kajian semakan skim perkhidmatan.

Abu Bakar juga berkata beliau tidak boleh memberi jaminan saiz tenaga kerja semasa akan kekal sama sepanjang masa pada masa depan jika diambil kira kemungkinan akan ada pertambahan atau pengecilan kementerian.

Saiz tenaga kerja pernah dikurangkan daripada 1.2 juta orang sehingga sekitar 800,000 ekoran dasar penswastaan pada 1990-an iaitu ketika pentadbiran Dr Mahathir, tetapi ia meningkat kepada 1.4 juta sekarang.

Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Umno minggu lalu, Najib sambil berkata orang Melayu akan hilang kuasa dan hak mendakwa, "ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung."

"Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa. Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200,000 orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.

"Tidak cukup dengan itu, mahu ditamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia yang mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta. Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?" kata presiden Umno itu.

Sebelum ini kepimpinan Pakatan Rakyat berkata pengurangan tenaga kerja awam bukan dasar mereka, sebaliknya akan mengurangkan kos dengan menjadikan perkhidmatan awam lebih cekap, yang majoritinya orang Melayu.

Dalam kenyataan hari ini, Pua berkata Pakatan Rakyat tidak pernah mengesyorkan untuk mengecilkan saiz sektor awam dan beliau hanya mengesyorkan persaraan awal dan membuang penjawat yang melanggar disiplin dan peraturan seperti mereka yang membeli binokular RM1,940 pada harga RM56,350.

Sehubungan itu wakil rakyat penggal pertama ini menekankan matlamat Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi juga mahukan kerajaan yang bersaiz kecil dan pengurangan tenaga kerja dan pemfokusan semula.

"Umno yang membunuh perkhidmatan awam hari ini, tetapi tanpa rasa malu mendakwa bahawa Pakatan Rakyat dan diri saya sebagai rasis," katanya lagi.

AMK gesa Pakatan usah terima Kita

Posted: 07 Dec 2011 04:40 PM PST

PETALING JAYA: AMK PKR menyifatkan keputusan parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) tidak menyertai pilihan raya umum akan datang sebagai ikhlas dan matang.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozen Azen Mat Razip, dalam satu kenyataan media hari ini, mahu Pakatan Rakyat menolak jika Kita mahu menyertainya di saat-saat akhir.

"AMK berpandangan ianya perlulah ditangguhkan kerana bimbang berlakunya insiden dan tuduhan sabotaj dari dalam terhadap kelancaran gerak kerja jentera dan kempen Pakatan.


"Sekiranya ada pengumuman terbaru dan di saat akhir dicadangkan agar parti Kita bergabung dan bertanding sebagai salah satu komponen Pakatan atau mana-mana ahli Kita ingin kebebasan demokrasi bertanding sebagai calon Bebas apabila Parlimen dibubarkan kelak bagi menjalankan PRU 13, ianya perlu ditangguhkan," katanya.

Katanya, AMK bersetuju dengan prinsip asas Datuk Zaid Ibrahim menunjukkan solidariti bahawa Kita secara terbuka ingin turut membuat penolakan total terhadap corak fasisme dan authoritarian Umno-Barisan Nasional.

Menurutnya, AMK percaya kemungkinan faktor-faktor real politik seperti persediaan jentera yang belum cukup, calon boleh menang, manifesto yang belum cukup mantap dan menarik, strategi tidak mapan dan berhasil, pengalaman yang kurang serta persaingan sengit adalah di antara punca pengumuman itu dibuat.

Semalam Zaid mengumumkan Kita tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Orang Umno yang kelaparan, termasuk Raja Nong Chik mula mengerumuni Shahrizat

Posted: 07 Dec 2011 06:22 AM PST

Perlahan-lahan tetapi pasti, mereka yang kelaparan dalam Umno sedang mengerumuni Ketua Wanita, Shahrizat Jalil dan berkemungkinan besar, beliau akan diminta untuk meletak jawatan tidak lama selepas gagal melenyapkan api skandal NFC yang bernilai RM250 juta itu.

Pada mulanya, pemimpin Umno yang diketuai Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin telah melancarkan agenda mempertahankan beliau selepas skandal itu dibongkar oleh PKR. Keluarga beliau dikatakan menggunakan dana kewangan projek tersebut untuk membeli 2 unit kondo di Bangsar, sebuah kereta Mercedes mewah CLS350 CGI, tanah bernilai 3 juta di Putrajaya dan memberi diskaun berjuta ringgit kepada firma yang dimiliki keluarganya.

Sekarang, secara senyap-senyap, sebuah barisan telah dibentuk dan meminta beliau meletak jawatan daripada parti dan jawatan dalam kerajaan supaya tidak menarik Umno dalam skandal itu. Terdapat juga beberapa orang penting yang menyuarakan dengan lantang mengenai itu dan terbaru, Menteri Wilayah Persekutuan, Raja Nong Chik juga telah meminta kepimpinan Umno untuk menentukan nasib Shahrizat dan tidak membiarkan beliau mengekalkan jawatan.


"Biarkan kepimpinan tinggi yang memutuskan mengenai jawatan beliau," beritahu Nong Chik kepada pemberita pada hari Selasa , tetapi menegaskan siasatan harus diselesaikan terlebih dahulu.

Calon Umno di Lembah Pantai pasti kalah

Menteri Wilayah Persekutuan itu dikatakan terkesan dengan kejatuhan Shahrizat kerana beliau yang akan bertanding melawan Nurul Izzah Anwar di Lembah Pantai yang merupakan kubu kuat Shahrizat sebelum beliau tewas pada piliharaya 2008.

Kritik mengatakan bahawa peluang untuk Raja Nong Chik menang adalah sangat tipis sekiranya Shahrizat kekal dengan semua jawatan tanpa mengambil kira perasaan orang awam terhadap NFC.

"Terdapat kemarahan yang ketara terhadap Shahrizat kerana Najib dan rakan-rakannya seperti tidak ambil peduli tentang kesalahan yang dilakukan beliau. Ini adalah tindakan paling bodoh Umno terutamanya apabila indeks rasuah juga menjunam." Beritahu pemerhati Umno kepada Malaysia Chronicle.

"Mereka cuba menyelamatkan maruah mereka tetapi adakah ia berbaloi? Sebaiknya, mereka menjauhkan diri daripada Shahrizat dari mula sehinggalah dapat dibuktikan beliau tidak bersalah. Tetapi mereka semuanya ada bahagian dalam perkara ini. Khairy yang memberikan projek itu kepada keluarga Shahrizat, Muhyiddin merupakan Menteri Pertanian ketika itu yang meluluskan projek itu dan Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri yang mengawasi perkara tersebut."

Rekod rasuah paling buruk dibawah Najib


Beliau merujuk kepada Indeks Persepsi Rasuah daripada TransparencyInternational di mana Malaysia yang berada di tangga ke 37 pada tahun 2003 telah jatuh ke tangga 60 dan ini merupakan yang terburuk dicapai semenjak 3 tahun berturut-turut.

PM Najib Razak yang mengambil alih daripada Abdullah Badawi pada tahun 2009 telah mengenepikan perkara ini tetapi ada juga yang menggesa beliau untuk bertanggungjawab ke atas kejatuhan indeks tersebut yang akan semestinya memberi kesan kepada pelaburan di Malaysia.

"Adalah sangat mengejutkan yang tidak seorang pun Najib atau Muhyiddin memberi maklumbalas terhadap laporan antarabangsa terburuk yang pernah kita dapat semejak 32 bulan pemerintahan Najib," penasihat DAP dan juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata dalam kenyataan yang dibuat beliau.

"Dan tidak seorang pun pemimpin Umno atau delegasi di perhimpunan agung Umno itu menyuarakan kebimbangan mengenai rasuah atau indeks tersebut. Mereka Cuma menyatakan sokongan terhadap Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam skandal NFC beliau yang berjumlah RM300 juta itu!"

Mereka yang bersuara dan mereka yang berdiam diri


Secara senyap-senyap, ada di antara delegasi wanita yang menyuarakan ketidakpuasan hati atas pertunjukkan yang dibuat oleh penyokong Shahrizat. Suami dan anak-anak beliau telah dianugerahkan projek itu pada tahun 2006 dan Shahrizat menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dengan NFC. "Itu keluarga saya" kata beliau.

Tindakan polis yang menyoal keluarganya dan bukan dia juga telah dengan pantas menyatakan bahawa siasatan tidak menunjukkan sebarang elemen pecah amanah walaupun perkara seperti penyalahgunaan kuasa dan membuat keputusan diluar bidang kuasa. Polis sememangnya dikenali berada dibawah telunjuk Umno.

"Siapa kenal beliau dari Adam?" seorang delegasi Umno memberitahu Malaysian Insider merujuk kepada suami Shahrizat, Salleh Ismail yang telah mendapat kontrak bernilai RM250 juta dalam penternakan lembu NFC.

"Tolonglah.. mereka pasti faham. Itu suami kamu jadi bagaimana kamu boleh cakap yang ia tiada kena mengena dengan kamu. Kalau kamu bukan menteri, agaknya boleh tak suami kamu dapat projek itu?"

Pada hari Isnin, Bung telah sekali lagi membuat kenyataan meminta Shahrizat meletak jawatan.

"Sekiranya ada sedikit keretakan dalam Umno, ia dapat melumpuhkan dan menghuru-harakan parti dalam pilihanraya


Sama ada tindakan saya ini dilihat sebagai kepentingan diri, ia terpulang kepada orang ramai untuk menilai,"kata Bung Mokhtar.

"Saya tidak mengharapkan pandangan saya ini akan dipersetujui oleh semua dalam parti. Semua orang mempunyai pandangan yang berbeza jadi akan ada maklumbalas, tetapi saya telah ucapkan apa yang saya mahu ucapkan."

Mereka yang berdiam diri dalam isu ini termasuklah parti komponen BN iaitu MCA,

Gerakan dan Perkasa yang takut akan berbeza pendapat dengan Umno sekiranya mereka bersuara.

Tetapi, dengan berdiam diri, Malaysia tidak akan dapat lepas daripada sumpahan rasuah kata pengkritik.

Malaysia Chronicle

'Roboh tembok penjara': Azmin dipanggil polis

Posted: 07 Dec 2011 04:46 AM PST

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Dipercayai berkaitan dengan kenyataan "PKR akan merobohkan tembok penjara jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan", Azmin Ali telah diminta hadir memberi keterangannya kepada polis.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR itu dilaporkan mendapat panggilan telefon kira-kira jam 1.20 petang tadi dari seorang pegawai polis yang meminta beliau menghadirkan diri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Difahamkan, Azmin kini dalam perjalanan ke Sarawak untuk program Ceramah Perdana yang dianjurkan bersama pimpinan Pakatan Rakyat negeri itu serta menghadiri inkuiri awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung reformasi pilihan raya.

Pegawai Khas kepada Azmin, Hilman Idham berkata pihak polis tidak memberikan sebab kenapa Ahli parlimen Gombak itu perlu hadir memberi keterangan.


Beliau juga memaklumkan, Azmin masih belum membuat sebarang keputusan dan berkemungkinan akan memanggil pihak polis tersebut mengambil keterangan di Kuala Lumpur.

Semasa berucap di Kongres Nasional PKR di Johor, 25 November lalu, Azmin dilaporkan berkata PKR akan "merobohkan tembok penjara" jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Namun pada program Rapat Rakyat di Shah Alam Ahad lalu, Azmin turut membuat penjelasan terhadap kenyataan kontroversinya itu.

Katanya, 'tembok penjara' yang dimaksudkannya dalam ucapan di Johor itu adalah 'segala halangan' yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu untuk memenjarakan Anwar yang juga ketua umum PKR.

harakahdaily

Usaha temukan Najib-Anwar di pentas forum 15 Dis

Posted: 07 Dec 2011 03:36 AM PST

Sekumpulan mahasiswa hari ini menghantar surat jemputan rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berforum dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kebebasan akademik dan masa depan negara.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh telah menyatakan kesediaannya kepada pihak penganjur - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) - untuk menyertai forum tersebut.

Forum anjuran SMM itu, bertajuk "Merencana Masa Depan Negara" antaranya untuk mendapat penjelasan berhubung "keseriusan pimpinan kerajaan dan pembangkang mengenai kebebasan akademik" di negara ini.


Sehubungan itu, mereka berharap Najib dapat memenuhi undangan tersebut untuk menyemarakkan lagi "usaha membina negara yang lebih cemerlang seiring dengan dasar transformasi kerajaan".

"Kita nak tengok pandangan kerajaan dan pembangkang terhadap keseriusan mereka dalam memperjuangkan kebebasan akademik dan mahasiswa.

"Kita juga mahu melihat bagaimana kebebasan dapat membentuk suasana pelajar dan mahasiswa supaya (menjadi) lebih baik," kata pengerusinya Ahmad Syukri Ab Razab.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Ahmad Syukri berkata forum tersebut dijadual berlangsung pada 15 Disember ini di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur jam 8 malam.

Surat jemputan diserahkan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Malaysia (PMIUM) Mohd Safwan Anang Talib kepada pegawai khas perdana menteri Mohd Saiful Azhar di hadapan pejabat Jabatan Perdana Menteri kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Mohd Safwan diiringi kira-kira 40 aktivis SMM sewaktu penyerahan surat tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Syukri berkata pihaknya telah mendapat persetujuan lisan Anwar yang juga ketua umum PKR untuk "melapangkan masanya" menghadiri forum tersebut.

"Kita tunggu respon perdana menteri. Kalau beliau nak ganti orang lain, kita akan tanya persetujuan Datuk Seri Anwar (untuk teruskan) atau pembangkang menghantar calon lain.

"Kita tidak bagi masa kepada PM (untuk memberi maklum balas). Kita akan buat susulan," katanya.

Ahmad Syukri berkata sebelum ini pihaknya telah menghantar surat jemputan kepada Tun Dr Mahathir untuk menjadi panel forum tersebut.

Surat itu dihantar kira-kira sebulum lalu tetapi sehingga kini tidak mendapat maklum balas, katanya.

Forum itu akan dijalankan dalam empat pusingan termasuk soal jawab kedua-dua pemimpin dengan dua pemerhati bebas - ketua eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan dan bekas naib canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ibrahim Abu Shah.

Sebelum itu, kumpulan tersebut mengadakan perhimpunan aman di hadapan jabatan itu bagi membantah Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 diluluskan di Dewan Rakyat minggu lalu.

Mereka berkumpul di hadapan Masjid Putrajaya sebelum berarak ke pejabat perdana menteri.

Mereka turut menyerahkan memorandum bantahan bersama-sama dengan surat jemputan rasmi berkenaan kepada pegawai khas perdana menteri itu.

Tiada ulasan: