Jumaat, 25 November 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Anwar: ‘Umno jangan mimpi nak tawan negeri dipimpin Pakatan’

Posted: 25 Nov 2011 04:43 PM PST

Anwar: 'Umno jangan mimpi nak tawan negeri dipimpin Pakatan'

November 26, 2011
Anwar Ibrahim berucap pada Ceramah Perdana di Gelang Patah malam tadi. — Foto oleh Choo Choy May
JOHOR BARU, 26 Nov — Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) agar melupakan hasrat dan cita-cita untuk menawan negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) termasuk Selangor.

Kenyataan itu dikeluarkan Anwar pada Ceramah Perdana PKR di pejabat Angkatan Muda Keadilan cabang Gelang Patah malam tadi sempena kongres tahunannya di sini.

"Umno jangan mimpi nak tawan negeri-negeri Pakatan Rakyat, mustahil, ... Umno tidak akan berjaya untuk menawan kembali Selangor," tegasnya di hadapan 300 penyokong parti itu.

"Negeri-negeri PR sudah membuktikan kami mampu mentadbir dengan berhemah dan cekap, buktinya di Selangor, hasil pentadbiran yang cekap, kami mampu untuk memberikan air percuma kepada rakyat Selangor," katanya lagi.

Tambah Ketua Umum PKR ini, Johor juga tidak akan mampu menahan arus perubahan yang sedang melanda politik negara dewasa ini.

"Sekiranya pimpinan Umno-BN masih lagi mengamalkan corak pentadbiran sedia ada, mengabaikan hak dan kepentingan Melayu, tidak mustahil kami akan menawan negeri ini, walaupun ia kubu kuat Umno, ini sudah dibuktikan di Ijok.

"Dahulunya Ijok juga merupakan kubu kuat Umno, tapi kita lihat apa yang jadi? Bila rakyat bangkit menolak pemimpin yang korup, PR mampu menawan Ijok," katanya.

Namun begitu, Anwar juga memberikan teguran kepada pimpinan PR supaya tidak mengikuti sikap pemimpin Umno-BN yang menurutnya takbur, dan lupa diri.

"Ingat, pimpinan PR jangan jadi seperti pemimpin Umno-BN, jangan takbur riak, dan lupa diri apabila sudah memerintah, utamakan hak rakyat dan bukannya pentingkan diri sendiri," katanya memberi peringatan kepada pemimpin parti berkenaan.

Penasihat Ekonomi Selangor ini juga berjanji sekiranya parti pimpinannya berjaya menawan Putrajaya, tarif elektrik negara dan harga minyak akan diturunkan dalam masa seminggu pemerintahannya.

"Ini janji saya, sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya, harga tarif elektrik dan minyak akan saya turunkan.

"Umno-BN akan cakap saya hanya buat janji kosong, tidak berasas, negara boleh bankrup sekiranya saya laksanakan perkara ini, tapi mereka lupa, lapan tahun saya pegang jawatan Menteri Kewangan, bodohkah saya?" katanya mempersoalkan tuduhan kerajaan terhadapnya.

AMK : Bersihkan Pilihanraya Atau Bertempur Di Jalanraya

Posted: 25 Nov 2011 07:27 AM PST

JOHOR BAHRU, 25 NOV : Tunaikan 8 tuntutan Bersih, atau hadapi ledakan tunjuk perasaan di jalanraya.

Begitu kata dua Angkatan Muda Keadilan kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak, meskipun pihak rejim baru-baru ini mengemukakan pelan memperkenalkan akta anti-Artikel 10 Perlembagaan yang lebih keras.

"Kalau mereka terus menghimpit kita, mereka masih mahu menipu pada pilihanraya, hanya ada satu sahaja pilihan iaitu lupakan pilihanraya....kita gunakan jalan raya!," sahut Shamsul disambut sorakan dari para perwakilan Kongres AMK ke-8.

Tunjuk perasaan merupakan jalan terakhir sekiranya kerajaan masih lagi berdolak-dalik atau menolak cadangan reformasi sistem pilihanraya negara yang diusulkan Bersih 2.0

Pada 9 Julai lalu, sekatan polis di setiap laluan masuk ke ibu negara gagal menyekat 30,000 rakyat menyertai himpunan Bersih 2.0.

Perarakan tersebut tercetus sebagai tanda protes rakyat terhadap sistem pilihanraya yang didakwa pincang, dan alasan demi alasan yang diberi untuk tidak melaksanakan penambahbaikan.

Tunjuk perasaan turut meletus di beberapa lokasi penting seperti Dataran Maybank, KLCC dan Masjid Jamek Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya 1,600 orang ditahan, ramai lagi yang cedera akibat dipukul polis bersenjata dan satu kehilangan nyawa.

"Pilihanraya kali ini adalah detik penting bagi kita kerana ia adalah persimpangan untuk kita," kata Shamsul kepada perwakilan yang hadir.

"Adakah kita mahu membiarkan Umno-BN terus menjadi tuan dinegara ini?" tegasnya lagi.

Sementara itu, jentera Angkatan Muda diarah bersiap-sedia untuk kerahan segera ke lapangan menanti pengumuman pembubaran Parlimen.

"Untuk kita menang pada pilihanraya kali ini, pastikan jentera setiap cabang dan negeri kuat untuk pilihanraya. Kita masih percaya pada saluran pilihanraya," kata Shamsul.

AMK Kepada Najib : Buktikan Iltizam Kerajaan Mansuh AUKU

Posted: 25 Nov 2011 07:25 AM PST

JOHOR BAHRU, 25 NOV : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak harus membuktikan keikhlasan ikrarnya meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 dengan membenarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan kepada mahasiswa di Universiti Malaya.

Pindaan Seksyen 15 AUKU merupakan antara rangkaian janji yang diutarakan Najib dikala Malaysia bakal menghadapi pilihanraya umum ke-13.

Sebelum ini, ramai pihak melahirkan kehampaan apabila 13 individu ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri walaupun Najib telah berjanji akan memansuhkan akta tersebut.

"Saya akan buat permohonan kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak supaya membenarkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan di Universiti Malaya. Kita mahu lihat sama ada Perdana Menteri berani atau tidak," demikian desakan daripada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin.

AUKU merupakan undang-undang kontroversi yang menghalang pembabitan mahasiswa dengan mana-mana parti politik. Dalam pilihanraya kampus tahun ini, kumpulan mahasiswa pro-Pakatan menumpaskan mahasiswa pro-Barisan Nasional dan menawan badan perwakilan pelajar di beberapa universiti tempatan.

"Selepas Kongres ini, saya akan meminta rakan AMK di seluruh negara agar bergerak masuk ke dalam kampus. Kita akan bermula dengan universiti yang paling tua, iaitu Universiti Malaya,"

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar sempena pembukaan rasmi Kongres Angkatan Muda keadilan di Pulai Springs Resort di Pulai sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul melahirkan kebimbangan dengan sikap kerajaan memusuhi mahasiswa dan cendekiawan kritikal seperti penggantungan Prof Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa dan empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia yang didakwa di mahkamah kerana membuat tinjuan di pilihanraya kecil Hulu Selangor.

"Universiti tidak sekadar ladang ternakan ilmuwan muda yang taat membuta tuli kepada pemerintah," kata Shamsul.

"Seharusnya hujah dihadapi dengan hujah, bukan dengan kuasa. Betapa pemerintah tidak toleran dengan perbezaan," tambah beliau.

Mahasiswa UIA Adakan Demonstrasi Bantah Campurtangan Pihak Luar

Posted: 25 Nov 2011 07:23 AM PST

GOMBAK, 25 NOV : Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mendesak pihak luar supaya tidak campur tangan terhadap hal ehwal pentadbiran pusat pengajian itu ekoran beberapa insiden yang berlaku kebelakangan ini.

Bantahan secara aman itu disuarakan kira-kira 200 mahasiswa di perkarangan Masjid UIA selepas solat Jumaat di sini hari ini.

Penganjur protes itu mendakwa dalam tempoh kurang daripada 100 hari, telah berlaku sekurang-kurangnya empat peristiwa hitam yang mengecewakan dan menjatuhkan nama baik institusi tersebut pada pandangan umum.

Peristiwa tersebut adalah larangan Ustaz Azhar Idrus daripada berkuliah di dalam Masjid UIA, pembatalan penyertaan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA dalam panel program Hujah TV9, pengantungan tugasan Prof Dr Aziz Bari dan terkini, pembatalan secara ad-hoc program "In Person With" dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dibatalkan secara ad-hoc.

Setiausaha Agung Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Akram Ikrami Taib Azamudden yang mengetuai demonstrasi itu mengesa pentadbiran universiti supaya tidak menyekat pimpinan mahasiswa, sebaliknya memberi kebebasan kepada mereka untuk bersuara.

Menurutnya, keadilan perlu ditegakkan supaya keamanan dapat diwujudkan khususnya dalam membina sahsiah mahasiswa untuk membentuk jati diri yang kukuh dan bersikap daya saing.

"Sebagai contoh, kita tuntut salah satu dari empat perkara itu bila mana pihak pentadbiran mengekang Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) UIA, Profesor Dr Abdul Aziz Bari daripada muncul di kaca televisyen untuk rancangan Hujjah.

Bagi kita ia menyekat soal intelektual mahasiswa. Kenapa tidak dibuka ruang seluasnya, khususnya untuk dia (Aziz) bersuara kerana dia berada di kerusi itu atas pilihan rakyat dan mahasiswa UIA secara keseluruhannya," tegasnya.

Sementara itu, pemimpin pro-mahasiswa UIA, Nurul Farhan Omar berkata, pengrurusan universiti itu sudah sampai ke tahap yang membimbangkan sehingga tidak wujud lagi dasar ketelusan.

"Selepas ini pihak pentadbiran perlulah bersifat lebih telus dalam pengurusan dan kami mengharapkan tiada campur tangan kerana kami mendukung mahasiswa boleh berakademik, bersuara untuk apa yang mereka percayai dan mahasiswa perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk membesar sebagai individu yang bakal memimpin negara suatu hari nanti."

A.Samad Said :Kongres Di Johor Simbolik Perubahan Pilihanraya

Posted: 25 Nov 2011 07:19 AM PST



JOHOR BHARU, 25 NOV : Penganjuran Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Pemuda Keadilan kali ke-lapan di kubu kuat Umno ini disifatkan sebagai simbolik jelas bahawa negeri itu bakal ditakluki Pakatan Rakyat menerusi Pilihanraya Umum ke-13 akan datang, jelas Sasterawan Negara, A.Samad Said.

"Saya merasa aneh juga kenapa kongres ini dilakukan di Johor, setelah itu saya mula memahami ia adalah langkah simbolik.

"Sedia maklum Johor adalah akar kepada Umno, kehadiran Pakatan Rakyat khususnya Keadilan (PKR) adalah untuk mencabut akar itu,"katanya.

A.Samad Said ketika ditemui TVSelangor sejurus selepas mendeklamasikan sajak pada majlis perasmian kongres Nasional Wanita dan Angkatan Pemuda Keadilan di Pulai Springs Resort, disini hari ini.

Mengulas lanjut, A.Samad Said yang mesra dengan panggilan Pak Samad menzahirkan rasa senang hati diatas kesudian PKR menjemput dirinya.

A.Samad Said juga menyifatkan jolokan Sasterawan Rakyat yang diberikan oleh rata-rata pemimpin Pakatan Rakyat keapdanya adalah satu penghargaan buat dirinya.

"Saya merasa senang, setidak-tidaknya saya dapat mengikuti apa yang sedang berkembangan pada hari ini, ini juga jelas adalah satu kesungguhan untuk terus bergerak dan melakukan pertukaran pemerintahan,"katanya.

Tiada ulasan: