SIASAH |
Marina Mahathir gambaran realiti elit Melayu Posted: 08 Nov 2011 09:44 PM PST Sikap Marina Mahathir, anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap golongan gay yang dizahirkan ekoran tentangan terhadap Seksualiti Merdeka baru-baru ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Malah, pernyataan sikap itu menjelaskan satu realiti elit Melayu yang terbina hasil dominasi politik parti etnonasionalis Umno. Aktivis liberal yang juga pengulas sosio-politik ini dalam penulisannya telah memperlihatkan pandangan yang jauh lebih liberal sejak awal lagi, ketika aktivis liberal lain masih berhati-hati. Beliau menerbitkan buku himpunan tulisannya In Liberal Doses pada 1998, sekitar masa bermula perjuangan golongan liberal dengan lebih terbuka dan agresif. Sebagai anak pemimpin yang berpengaruh, Marina dengan berani mengutarakan pelbagai pandangan yang jelas sifat liberalnya, termasuk yang menyasarkan parti pemerintah Umno berhubung satu skandal pemimpinnya. Perbezaan sikap dan pandangan dunia Marina dengan parti bapanya telah kelihatan sejak awal. Mahathir agresif melahirkan sikap anti-Barat, meliputi isu politik hingga kepada perang budaya, tetapi Marina yang berpendirian liberal dan mesra dengan Barat menunjukkan sikap berbeza. Marina, hasil kedudukannya dalam elit kuasa yang dibina parti konservatif Umno, kini dapat menjalani kehidupannya seperti dilihat kini; memperjuangkan agenda liberal termasuk kebebasan gay dan memperlihatkan sokongan kepada agenda reformasi pilihan raya Bersih 2.0, yang kewujudannya sebahagian besar dapat dikaitkan dengan amalan pemerintah sejak pemerintahan bapanya. Hal yang sama berlaku di banyak negara membangun, seperti Indonesia, menyaksikan generasi kedua, anak pemimpin-pemimpin konservatif yang menguasai politik negara mengambil haluan liberal, pada masa sama mendapat manfaat yang banyak daripada kedudukan sebagai elit politik. Ini tidak dapat dielakkan ekoran mobiliti sosial yang meningkat, mengubah kehidupan elit tersebut menjadi lebih berpendidikan dan memperolehi rujukan yang lebih luas. Kelompok ini juga, yang sejumlah besarnya mendapat pendidikan di luar sistem persekolahan nasional, tidak dapat mengelakkan diri daripada menyertai satu lingkaran sosial yang lebih berada dan liberal, walaupun ada yang terus bersikap konservatif dalam politik. Realiti elit politik Melayu ini juga terkait dengan isu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, yang diperkenalkan dan dipaksakan oleh pentadbiran Mahathir dan mendapat sokongan sekelompok elit politik Melayu. Mereka sebahagian besarnya lebih selesa berbahasa Inggeris - malah mungkin juga Perancis - dan bergaul dengan elit yang gaya hidupnya tidak berbeza dengan mereka. Elit politik Melayu inilah yang akibat mobiliti sosial yang lebih pantas itu menikmati satu kehidupan yang berbeza dengan sebahagian besar rakyat yang menjadi mangsa dasar menyeleweng itu. Mereka bukan sahaja menikmati taraf ekonomi yang lebih tinggi, malah sebahagian besar turut memegang nilai dan pandangan hidup yang berbeza berbanding sejumlah besar rakyat Melayu Muslim. Elit yang beridentiti baharu ini juga tidak dapat dielakkan daripada mempunyai pengaruh terhadap parti Melayu dominan itu, seperti disaksikan dalam kes PPSMI. Malah, kalangan ini juga mampu untuk mengambil lebih banyak posisi-posisi penting dalam politik (parti Melayu Umno dan juga parti-parti lain) dan pentadbiran negara, menandakan masa depan yang lebih mencabar dalam usaha mempertahankan jati diri Melayu. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan