SIASAH |
PAS tentang kempen gay Seksualiti Merdeka Posted: 01 Nov 2011 07:06 PM PDT PAS mula menyuarakan tentangan terhadap kempen kebebasan seksual Seksualiti Merdeka, menegaskan lagi tentangan parti itu terhadap gaya hidup gay ketika isu protes konsert penyanyi gay Elton John masih panas. Sayap pemuda parti itu dalam satu kenyataan hari ini menegaskan penolakan terhadap gaya hidup itu dan menggesa agar isu itu tidak diperjuangkan di negara ini. Menurut ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, amalan itu bertentangan bukan sahaja dengan agama Islam malah juga agama lain dan norma masyarakat tempatan. "Kebebasan bukan bermakna manusia bebas melakukan apa sahaja sehingga bertentangan dengan fitrah dan agama. "Kalaupun seseorang tidak beragama sekalipun, akal yang masih dimiliki tidak mungkin membenarkan manusia melakukan apa sahaja di atas tiket kebebasan. Sebaliknya manusia mesti hidup berteraskan peraturan-peraturan tertentu yang mengikat komitmen dirinya agar tidak terbabas dari kebaikan dan kemuliaan," kata Nasrudin dalam kenyataan itu. Kenyataan tegas ini dilihat sebagai usaha PAS menangani implikasi yang tercetus ekoran penglibatan pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreneevasan dalam program itu. Beliau dijadual merasmikan program tahunan komuniti gay itu yang berlangsung sehingga pertengahan bulan ini dan diikuti tidak lama selepas itu oleh konsert Elton John. Sejak semalam, penentang PAS menjadikan isu penglibatan aktivis hak asasi Ambiga dalam program itu untuk mengecam PAS yang didakwa terkait sama dan mendiamkan diri dalam hal ini kerana menyentuh sekutunya. Isu ini dijangka akan terus mendapat perhatian musuh politik PAS dan parti-parti pembangkang. Blog-blog pro-Umno dan kumpulan propemerintah dijangka menjadikan isu ini untuk meningkatkan kempen negatif terhadap PAS. Ahli Parlimen bebas Zulkifli Noordin dalam tulisan di blognya semalam mengecam keras pembangkang dan turut mengaitkan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kecenderungan seksual itu. PAS menjadi penyokong utama himpunan Bersih kedua diketuai Ambiga di ibu negara Julai lalu tetapi menolak menyertai Himpunan Sejuta Umat di Shah Alam akhir bulan lalu, mencetuskan dakwaan PAS mengutamakan kepentingan politik berbanding hal lain yang menyentuh kepentingan agama. Sebelum ini, naib presiden parti itu Salahuddin Ayub dilapor mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa melarang penganjuran Seksualiti Merdeka, tindakan yang dilihat cuba mengalihkan tumpuan kepada pihak berkuasa agama. Salahuddin juga dilapor berkata gaya hidup itu bertentangan dengan semua agama dan memberitahu PAS akan mengadakan perbincangan dan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu itu. Isu kelompok ini, melibatkan lesbian, gay, biseksual dan transgender, menjadi salah satu isu hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh liberal di negara ini yang semakin berpengaruh dan lantang. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan