Ahad, 13 November 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Lynas: NGO Mahu 'Menteri Besar Pahang' Supaya Tidak 'Keluarkan Kenyataan' Yang Berbaur Rasis Serta 'Putar Belit Fakta Sebenar' Pasal Rare Earth

Posted: 13 Nov 2011 06:14 AM PST

KUANTAN, 13 Nov - Sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Anti-Lynas, Gabungan Hentikan Lynas (GHL) hari ini mahu Menteri Besar Pahang Dato' Sri Adnan Yaakob (foto) supaya tidak mengeluarkan kenyatan berbaur rasis dan cuba memutarbelikkan isu sebenar. Dalam kenyataan medianya, GHL menasihatkan Adnan supaya menghentikan kenyataannya yang bercanggah dari segi logik dan rasional tetapi bersifat rasis. "Dalam temuramah tersebut (dengan aktivis Australia Ryan Albrey pada 7 September lalu), Adnan tidak menolak kemungkinan bahawa orang Cina di Malaysia cuba bersuhabat dengan negara China untuk menggagalkan projek Lynas Advanced Material Plant (LAMP) supaya China boleh kekal memonopoli pasaran tanah jarang di dunia. "Ini merupakan satu tuduhan yang serius dan GHL harap Adnan dapat menunjukkan bukti atas dakwaan beliau. "Jika tidak, Adnan selaku menteri besar Pahang bukan sahaja tidak peka terhadap kesejahteraan dan keharmonian masyarakt majmuk di Malaysia, malah cuba mengaburi mata orang awam dengan andaian yang tidak berasas malah bersifat perkauman," petik kenyataan itu. Sehubungan itu, GHL berkata Adnan perlu berhenti menjadi jurujual kepada LAMP dengan kata-kata yang manis tetapi tidak masuk akal dan tidak membawa makna. "Apa yang rakyat harap adalah sikap pihak pemerintah yang akur dan mendengar kepada suara rakyat, tetapi bukan sikap politik yang dangkal dan jijik mainan pemimpin yang hanya mahu terus kekal berkuasa sahaja," petik kenyatan itu.



Sementara itu mereka juga menuntut MB Pahang itu memohon maaf di atas kesilapan beliau menyebut bahawa bahan di Bukit Merah adalah bukan tanah jarang (rare earth) semasa temuramah beliau dengan aktivis Australia Ryan Albrey baru-baru ini. GHL dalam kenyataan yang diedarkan kepada media menyebut, mereka amat terkilan dengan kenyataan Adnan dalam temuramah tersebut bahawa Asian Rare Earth (ARE) itu hanya merupakan nama syarikat tetapi tidak memproses tanah jarang. GHL mendakwa, kenyataan Adnan itu merupakan satu tuduhan palsu dan tidak berasas kerana ARE menghasilkan Yttrium daripada Monozite sementara Yttrium pula merupakan bahan mentah untuk menghasilkan tiub untuk televisyen. "Mengikut definasi International Union of Pure and Applied Chemistry (IUPAC), tanah jarang terdiri daripada 17 jenis bahan, iaitu 15 jenis Lanthanides, Scandium dan Yttrium. Maka jelas bahawa kilang ARE memang menghasilkan tanah jarang, mana pula juga telah mengaut keuntungan besar dengan menggadaikan nyawa dan keselamatan rakyat tempatan. "Peristiwa pahit Bukit Merah telah memberikan satu iktibar besar kepada Rakyat Malaysia supaya jangan mengulangi kesilapan yang sama. GHL menganggap mungkin Adnan tidak berapa memahami peristiwa Bukit Merah sehingga boleh melontarkan kenyataan yang tidak berasaskan fakta, membuat perbandingan yang meremeh-temehkan perjuangan penduduk, dan menyinggung perasaan mangsa dan keluarga mangsa di Bukit Merah. "Justeru, GHL menggesa Dato' Sri Adnan Yaakob meminta maaf kepada penduduk Bukit Merah atas kesilapan fakta beliau," kata kenyataan itu lagi.

Video eksklusif tentang isu Asia Rare Earth di Papan, Bukit Merah Perak

Jawatankuasa Gabungan Hentikan Lynas (GHL) pada sidang media hari ini
Sementara itu, GHL juga meminta Adnan supaya hentikan percakapan yang bercanggah dari segi logik dan rasional. Misalnya, Adnan berkata semua perkara yang dijalani dalam kehidupan seharian ada risiko. Akan tetapi, Adnan sengaja mengabaikan hakikat bahawa Projek LAMP merupakan risiko lebihan yang disuapkan kepada rakyat dan generasi yang akan datang tanpa persetujuan mereka. "Dalam temuramah tersebut, secara semberono Adnan juga berkata bahawa keadaan hartanah turun harga merupakan satu perkara yang baik dan menasihatkan siapa yang ada duit untuk membeli hartanah yang sedang turun sekarang. "GHL anggap kenyataan yang dibuat oleh Adnan ini hanya menunjukkan kelalaian dan kecetekan pandangan beliau terhadap Projek LAMP serta hak dan kepentingan rakyat justeru GHL meminta Adnan berhenti menjadi jurujual kepada LAMP dengan kata-kata yang manis tetapi tidak masuk akal dan tidak membawa makna. "Apa yang rakyat harap adalah sikap pihak pemerintah yang akur dan mendengar kepada suara rakyat, tetapi bukan sikap politik yang dangkal dan jijik mainan pemimpin yang hanya mahu terus kekal berkuasa sahaja," kenyataan tersebut dipetik.

Program Anjuran NGO "Save Malaysia Stop Lynas" Berjaya Juga Di Adakan Biar Pun Ada Gangguan !!

Posted: 13 Nov 2011 01:34 AM PST

KUANTAN, 13 Nov - Program "1311 Demi Keluarga Kita" yang dianjurkan oleh Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) di Taman Gelora hari ini berjaya biarpun mendapat berbagai gangguan oleh pihak kerajaan. Program yang bermula sekitar jam 7.30 pagi itu bagaimana pun tidak dapat disertai oleh lebih ramai rakyat kerana gangguan sekatan jalanraya yang dilakukan oleh pihak polis. Difahamkan polis mengadakan sekatan jalanraya dari semua arah laluan masuk ke lokasi bagi menghalang orang ramai hadir. Walau bagaimana pun kehadiran masih membanggakan dimana hampir 2,000 berjaya meloloskan diri untuk hadir, walau pun masing-masing terpaksa meletakkan kenderaan agak jauh dari lokasi. Hampir 100 orang anggota polis yang terdiri dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU), trafik, Cawangan Khas (SB) dan yang lainnya dilihat sejak awal lagi telah bersiap sedia mengawal keadaan disitu. Difahamkan juga, pada masa yang sama satu lagi program sukan yang melibarkan agensi kerajaan telah dianjurkan secara "ad hoc" di lokasi terbabit. Ia ditambah lagi dengan persembahan hiburan dan lain-lain acara yang berkaitan. Program berkenaan dipercayai untuk menganggu aktiviti SMSL di kawasan itu. Apapun, penganjur SMSL telah mengubah program ke kawasan padang tenis di lokasi terbabit. Pihak polis yang memantau juga telah mengarahkan penganjur tidak menggunakan alat pembesar suara dan lain-lain yang berkaitan. Anehnya bagi acara sukan anjuran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dilokasi yang sama pula mereka membiarkan dentuman alat pembesar suara dengan sewenang-wenangnya. Tiada halangan dan tiada sebarang tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap aktiviti terbabit. Apapun, program SMSL itu akhirnya berjaya diadakan tanpa sebarang adengan yang tidak diingini telah berlaku.




Sebagai tanda sokongan terhadap bantahan itu, mereka membawa beberapa 'pinata' iaitu objek yang diperbuat daripada cebisan kertas dan memukulnya secara simbolik. Menurut pengerusi penganjur bantahan itu, Tan Bun Teet, pihak polis sejak awal pagi memantau keadaan sekitar taman itu dan orang ramai yang hendak ke taman awam itu terpaksa mendaftarkan diri mereka. Selain itu, dakwanya, mereka juga diingatkan supaya tidaak menyertai perhimpunan haram itu. Walaupun, Tan mengakui, pihaknya tidak mempunyai permit, namun katanya, Taman Gelora adalah kawasan awam, di mana orang ramai tidak boleh dihalang daripada pergi ke sana.







[Ramai yang terkejut dengan tindakan pihak polis yang tergamak mengadakan sekatan jalanraya di ke semua laluan masuk ke Taman Gelora pagi tadi. Bukankah NGO terbabit hanya mengadakan himpunan aman dan tidak mengganggu sesiapa pun. Rakyat berhak menyokong atau membantah apa yang mereka fikir tidak menguntungkan mereka. Kerajaan pula berhak mempertahankan segala tindakan yang difikirkan menguntungkan mereka. Maka, sebagai sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini, tidak perlulah bertindak keterlalu hingga boleh mencetuskan satu keadaan yang huru-hara. Seolah-olah NGO terbabit mahu melakukan himpunan yang bertujuan untuk menyerang kerajaan. Jangan biarkan rakyat diperbodohkan dengan satu keadaan yang jelas mengelirukan ini. Sewajarnya kerajaan membuat satu tindakan yang lebih profesional seperti mengadakan kempen-kempen, ceramah-ceramah, promosi-promosi dan himpunan besar-besaran di stadium misalnya bagi membuktikan majoriti rakyat menyokong Lynas. Bukan dengan cara tekanan dan gangguan seperti ini. Memperbodohkan agensi kerajaan dengan mengadakan sukan di Taman Gelora untuk menganggu program NGO terbabit jelas satu tindakan tidak wajar. Malah, tindakan membawa pelatih PLKN ke situ dulu juga sesuatu yang melucukan. Persoalannya, kenapa takut berhadapan dengan risiko jika mereka merasa Lynas itu selamat?. Siapa yang bayar gaji anggota polis dan pihak yang "membuang masa" mengganggu program tersebut?. Bukankah dari duit rakyat. Jangan biarkan rakyat terus bangkit menentang dan menjatuhkan BN dalam pilihanraya umum akan datang bila mereka bosan dan benci dengan tindakan yang jelas tidak profesional ini].

Kemalangan, Ramai Yang Kecewa, Kerajaan Gagal Memperbaiki Jalan Lama Dari Kuantan Ke Maran!

Posted: 13 Nov 2011 12:24 AM PST

KUANTAN, 13 Nov - Orang ramai yang sering melalui Jalan Kuantan-Maran melalui jalan lama (Gambang) kecewa dengan kerajaan yang gagal, membaik pulih beberapa laluan berbahaya termasuk di Kilometer 47 yang menjadi lokasi kemalangan ngeri yang melibatkan dua mangsa rentung petang semalam. Difahamkan jalan di kawasan tersebut memang tidak stabil dan merbahaya kepada lalu lintas. Menurut laporan sudah beberapa kali pihak berkenaan menghantar laporan berkenaan kerosakkan jalan terbabit kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), namun sehingga kini ia masih tidak diperbaiki. Jalan terbabit dipercayai bermasalah kerana permukaannya yang tinggi rendah, ada depration dan keretakan serta "site table" yang teruk dari kawasan Semuji Resort ke Paya Bungor. Ramai yang menghantar komen kepada kami yang tidak terkejut dengan kejadian yang berlaku tempohari kerana memang mereka sudah menjangka sejak sekian lama. Malah, laluan terbabit langsung tidak diambil berat oleh pihak kerajaan. "Kami bayar road tau tapi kerajaan buat tak tau jer... JKR pun sama.. Dato' Pengarah JKR tu letak jawatan jer lar... Bayar saman berjuta ... mana pergi duitnyer .. repairlah jalan tu .. jangan buat bayar gaji .. kecewa betul kami dengan kerajaan sekarang .. baik tukar kerajaan baru jer lah .. Jom kita semua terutamanya saudara mara mangsa yang terkorban semalam .. insaflah... tukar kerajaan baru, tengok perubahan pula", kata seorang komentar. Sementara itu, satu lagi komentar yang kami terima berbunyi "Ketua Pegawai Bomba ... Ada Baca Blog ini (PDO)?. Nak tanya jer ... masa bawa tangki bomba yang penuh air tu (ke lokasi kejadian) ... ada rasa bergoyang ke?.. nak terbalik ke?, masa lalu kat KM42 hingga KM44 tu ... dekat dengan tempat kemalangan tu dah ada tak masuk Lorong Bertentangan untuk mengelak jalan yang rosak, tak stabil dan retak di situ?. Jawab biar ikhlas kat sini ... kita sama-sama rasai, JKR sama rasai, YB sama rasai tapi mereka ikut highway (LPT) sebab claim free", kata kenyataan itu.

Mangsa Rentung Kemalangan Petang Semalam Di Percayai Ialah Seorang Kontraktor Dari Temerloh

Posted: 12 Nov 2011 06:08 PM PST

TEMERLOH, 13 Nov - Mangsa kemalangan ngeri, yang melibatkan sebuah kenderaan Toyota Harrier yang rentung di KM47 Jalan Kuantan-Maran, dekat Kampung Gelugor petang semalam dipercayai ialah Mohd Saidi Md Sani, 45 yang merupakan seorang "kontraktor" terkenal di bandar ini. Menurut sumber, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Maran ke Kuantan bersama seorang wanita. Wanita terbabit Yuzihaliza Ya'kob, 32 turut rentung selepas kenderaan yang mereka naiki melanggar sebatang pokok akibat kemalangan itu. Kami belum dapat mengesahkan apakah kontraktor terbabit itu mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan UMNO peringkat negeri dan bahagian ini. Difahamkan, sahabat-sahabat dan saudara mara mangsa kini sedang berpusu-pusu ke rumah beliau yang terletak berhampiran Taman Gau Indah dekat sini. Isteri mangsa yang masih "trauma" dipercayai merupakan seorang kerani di sebuah sekolah rendah yang berdekatan.

Warta Pahang: 'Dua Rentung' Dalam Kemalangan Di KM 47 Jalan Kuantan-Maran Petang Semalam !!

Posted: 12 Nov 2011 10:06 AM PST

KUANTAN 13 Nov - Dua rentung apabila kenderaan dinaiki melanggar sebatang pokok sebelum terbakar di Kilometer 47 Jalan Kuantan-Maran dekat Kampung Gelugor di sini, semalam. Dalam kemalangan kira-kira 1 petang itu, kenderaan jenis Toyota Harrier yang dipandu oleh seorang wanita dan penumpang lelaki itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan. Pegawai Operasi Balai Bomba Taman Tas, Zurin Mamat berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian pada pukul 2.14 petang selepas 30 minit menerima panggilan berhubung kemalangan itu. Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, kereta itu telah terbakar keseluruhannya. "Kami mengambil masa kira-kira tiga minit bagi memadam api dan terpaksa memotong beberapa bahagian kereta berkenaan bagi mengeluarkan mayat yang tersepit," katanya ketika dihubungi. Beliau berkata, kedua-dua mayat yang rentung itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat. Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berkata, pihaknya belum mengenal pasti identiti kedua-dua mangsa dan siasatan masih dijalankan berhubung punca kemalangan tersebut.

[Pihak kami telah mendapat maklumat lebih awal tentang kemalangan ini. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Apapun, semoga semua pihak berhati-hati ketika memandu di jalanraya. Jangan memandu terlalu laju hingga boleh menyebabkan segala yang tidak diingini boleh berlaku. Ingatlah orang yang tersayang. Biarlah sampai lambat tetapi jangan tak sampai langsung. Kemalangan memang tidak dijangka, tetapi ia boleh berlaku jika ada pihak yang cuai tentang aspek keselamatan. Semoga semua pihak mengambil ikhtibar atas kejadian yang berlaku hendaknya].

Tiada ulasan: