Rabu, 2 November 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Panas: Perlantikan Datuk Nalakaruppan Sebagai Senator, Satu Lagi Penghinaan Kepada Pemimpin UMNO BN Yang 'Setia Pada Parti' Itu Sebenarnya !

Posted: 01 Nov 2011 10:59 PM PDT

Sungguh mengejutkan bila tersebar cerita sensasi bahawa "sahabat karib" dan rakan tenis Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk S.Nalakaruppan (foto) tiba-tiba dilantik ke jawatan Senator. Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), itu adalah antara tiga individu yang mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, hari ini. Nalakaruppan, 65, dilantik buat pertama kali bersama Bendahari MIC Datuk Jaspal Singh, 49, dan Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan, Chiew Lian Keng, 47. Ditemui pemberita kemudian, Nalakaruppan berkata, amanah yang diberikan itu akan digunakan sebaiknya bagi memastikan hak dan kebajikan rakyat di negara ini didahului. Persoalannya sekarang, atas kapasiti apa yang menyebabkan beliau dilantik ke jawatan setaraf "Menteri" itu?. Dengan perlantikkan ini, maka lengkaplah seorang lagi "pengkhianat kerajaan BN" yang diberi penghormatan setinggi itu. Sebelum ini, org kuat Anwar yang juga Ketua AMK Keadilan iaitu Ezam Md Noor. Nampaknya, kini sudah menjadi budaya baru dan "trend" sesiapa sahaja yang menentang dan kemudian kembali "menjilat ludah" akan diberi "layanan istimewa" seperti itu?. Jika ini keadaannya, maka tidak lama lagi ramai pemimpin UMNO BN pasti akan keluar parti itu, kemudian menentang kerajaan dan akhirnya masuk semula. Bagaimana perasaan pemimpin dan mereka yang sudah lama berjuang dan setia kepada parti?. Bayangkan, orang yang khianat dilayan sebegitu tetapi mereka sekian lama bersusah payah bersama parti dipinggirkan. Apakah budaya ini adil untuk mereka?. Malah, paling mengejutkan bila pemimpin khianat dan sanggup "bakar jambatan" seperti Rais Yatim, Shabery Chik yang khianat kepada UMNO dan bersama Semangat 46 dulu kini diangkat pula sebagai Menteri Kabinet Kerajaan Barisan Nasional. Bukankah ini satu penghinaan kepada mereka yang setia kepada parti sebenarnya. Apakah ia harus dibiarkan?.

[Jika inilah keadaannya, maka sepatutnya pemimpin UMNO BN perlu bangkit menyuarakan bantahan mereka. Maruah mereka dimalukan oleh pemimpin atasan dengan semudah itu. Bukankah mereka adalah pejuang sejati yang sepatutnya diberi penghormatan sedemikian rupa. Sebelum ini, ramai proksi kepada pemimpin itu sendiri telah diangkat ke kabinet dengan melantik mereka sebagai "Senator". Inilah yang berlaku kepada Raja Nong Chik, Jamil Khir Baharom, Mashitah Ibrahim dan ramai lagi. Bayangkan, mereka yang tidak dipilih oleh rakyat itu diangkat ke jawatan besar dalam kabinet Najib, sedangkan ramai lagi pemimpin berwibawa untuk dipilih. Jika amalan ini terus dibiarkan, maka akhirnya perjuangan yang dilakukan oleh mereka yang setia kepada parti terus akan diperlekehkan sedemikian rupa. Maka, kepada ahli dan pemimpin UMNO BN berfikirlan secara rasional apa yang berlaku ini. Apakah anda terus rela pemimpin anda dihina seperti ini agaknya. Lakukan perubahan sekarang jika tidak mahu maruah terus dipermainkan oleh pemimpin atasan. Maka fikir-fikirkanlah].

Setiausaha Kerajaan Negeri, Pahang Sedia Hadapi Banjir Yang Lebih Buruk Melanda Pada Tahun Ini

Posted: 01 Nov 2011 12:30 PM PDT

KUANTAN, 2 Nov - Pahang kini sudah pun bersiap untuk menghadapi bencana banjir yang dijangka lebih buruk berbanding tahun lepas berdasarkan musim tengkujuh yang dijangka melanda bermula bulan ini hingga Mac tahun depan. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail (foto) berkata Pahang diramal dilanda bencana itu bulan depan hingga Januari depan di mana air pasang besar akan berlaku pada 24 hingga 27 Dis ini. Justeru itu, katanya kerajaan negeri telah mengenal pasti 586 buah pusat pemindahan yang mampu menampung kira-kira 127,000 mangsa jika berlaku banjir. Selain itu, bekalan makanan juga akan dihantar bermula 10 Nov ini ke 105 buah pangkalan hadapan yang diwujudkan bagi menampung keperluan mangsa banjir yang terputus hubungan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Beliau berkata daerah yang dijangka dilanda banjir lebih teruk berbanding tahun lepas adalah Kuantan, Pekan dan Rompin. Beliau turut menasihatkan mana-mana badan bukan kerajaan atau swasta yang ingin hulurkan bantuan supaya menyalurkannya secara terus kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

[Rakyat Pahang yang mendiami kawasan-kawasan yangberisiko banjir diharap agar berhati-hati dan senantiasa berjaga-jaga mulai sekarang. Ini kerana, tanda-tanda ketibaan musim tengkujuh sudah mula kelihatan. Maka, mereka perlu bersedia menyelamatkan segala dokumen penting dan simpan ditempat yang tinggi mulai sekarang. Dikala, banjir melanda semua pihak perlu ketepikan soal perbezaan fahaman politik. Jangan dek kerana berlainan ideologi, masing-masing ego dan tidak mahu saling tolong menolong antara satu sama lain. Diharapkan, banjir di Pahang kali ini tidak sampai mengakibatkan nyawa terkorban. Beri fahaman kepada anak-anak masing-masing mulai sekarang supaya mereka faham risiko bermain air ketika banjir. Kami akan senantiasa melaporkan perkembangan terkini banjir di seluruh negeri dari masa ke semasa. Utamakanlah Keselamatan !].

Tiada ulasan: