Khamis, 24 November 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


*Kenyataan media oleh DSAI mengenai RUU Perhimpunann Awam

Posted: 24 Nov 2011 05:10 PM PST

Anwar: Undang-undang Perhimpunan Aman bertujuan menyekat pembangkang

Nov 25, 2011 12:12:48 am

Pakatan Rakyat menyokong pemansuhan tiga proklamasi darurat tetapi perkara ini adalah hanya satu perkara kecil yang seharusnya telah dilaksanakan lama dulu. Proklamasi-proklamasi yang terbabit termasuk:

(i) Proklamasi Darurat 1966 (P.U.(A)339A/1966) iaitu Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 14 September 1966 di Sarawak bertujuan untuk membolehkan Kerajaan menyelesaikan pertikaian politik di Sarawak;

(ii) Proklamasi Darurat 1969 (P.U.(A)145/1969) iaitu Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 Mei 1969 berikutan dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ; dan

(iii) Proklamasi Darurat 1977 (P.U.(A)358/1977) iaitu Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 8 November 1977 di Kelantan bertujuan untuk menyelesaikan pertikaian politik di negeri Kelantan;

2. Kita gembira kerana Perdana Menteri menerima cadangan-cadangan Pakatan Rakyat, khususnya setelah Rang Undang-Undang Pemansuhan Darurat yang dicadang Pakatan Rakyat ditolak Speaker Dewan Rakyat pada April 2011. Tambahan lagi, pendirian PM diwakili oleh Menteri Nazri Aziz begitu berbeza pada 16 Mac 2011 apabila dalam jawapan parlimen beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai tentang kesediaan memansuhkan serta merta pengisytiharan darurat:

"Pada pandangan kerajaan, Proklamasi Darurat pada tahun 1969 masih wajar dikekalkan atas sebab yang berikut:

(a) adalah wajar bagi kerajaan untuk mengekalkan Proklamasi Darurat pada tahun 1969 kerana jika tidak, undang-undang yang telah diperbuat semasa Proklamasi Darurat sedang berkuat kuasa akan terhenti berkuatkuasa mengikut Fasal (7) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan ini akan menimbulkan kesukaran kepada kerajaan untuk mengawal jenayah untuk isu-isu yang melibatkan ketenteraman awam; dan

(b) kemungkinan terdapat keperluan supaya undang-undang diperbuat dengan segera oleh YDPA semasa Parlimen tidak bersidang bagi menangani masalah berhubung dengan keselamatan Negara antaranya yang melibatkan ancaman pengganas serta keselamatan dan ketenteraman awam yang tidak diliputi di dalam undang-undang sedia ada.

Pun begitu, kami alu-alukan pemansuhan ini kerana menandakan suara rakyat tidak dapat dihadang oleh kerajaan lagi. Pemansuhan ini seharusnya membawa kepada kebebasan demokrasi yang lebih baik di Malaysia tetapi malangnya pemerintah tidak mengotakan janji mereka dengan memperkenalkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang menyekat kebebasan rakyat dan sekaligus melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

3. Pembangkang telah lama membawa usul untuk memansuhkan proklamasi darurat sejak lama dulu iaitu sejak 1979, malahan Pakatan Rakyat telah membawa usul untuk memperkenalkan Akta Pemansuhan Darurat untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac lepas tetapi yang melibatkan pemansuhan kesemua proklamasi darurat dan beberapa undang-undang serta peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan apabila diperkenalkan Proklamasi Darurat ini.

4. Pengenalan Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 sebenarnya merupakan tindakan untuk menghadkan pergerakan ahl-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam memberi penjelasan kepada rakyat mengenai pelbagai isu yang berkaitan dengan salahguna kuasa, rasuah dan salah pengurusan oleh pihak pemerintah.

5. Peruntukan di dalam Undang-Undang Perhimpuan Aman yang mana menetapkan denda sehingga RM20,000 jika didapati bersalah membolehkan kerajaan mengheret ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat ke muka pengadilan jika melakukan ceramah, penjelasan dan perhimpunan yang merupakan salah satu cara untuk Pakatan Rakyat terus memberi penjelasan kepada rakyat.

6. Undang-Undang Perhimpunan Aman ini merupakan satu cara untuk menghalang Pakatan Rakyat untuk memberi penjelasan kepada rakyat secara berterusan mengenai perkara yang berbangkit kerana permohonan untuk mengadakan perhimpunan yang merujuk kepada ceramah dan sesi dialog dengan rakyat memerlukan kelulusan 30 hari sebelum perhimpunan itu diadakan.

*Kenyataan media oleh Anwar Ibrahim (gambar kiri) selaku Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Malaysia

Akta Perhimpunan Aman : Sesiapa yang ditangkap semasa suatu perhimpunan boleh didenda RM20,000. Sempoi tak? Inilah dia transformasi Najib. Sempoi sekali.

Posted: 24 Nov 2011 05:08 AM PST

Menurut khabar dan spekulasi, Perdana Menteri Najib Razak dijangkakan membubarkan Parlimen dan meminta supaya Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan dalam masa beberapa bulan lagi. Pada pilihan raya yang akan datang ini, Najib buat julung kali memimpin Barisan Nasional dalam misi membentuk kerajaan. Secara langsung, pilihan raya ini adalah satu ujian sejauh manakah keyakinan rakyat terhadap pemerintahan Najib.

Najib mengambil alih tampuk kuasa sejak April 2009 selepas menggantikan Abdullah Ahmad Badawi yang terpaksa meletak jawatan - untuk bertanggungjawab ke atas prestasi terburuk BN dalam pilihan raya umum Malaysia pada 8 Mac 2008. Antara faktor yang dikatakan menyebabkan BN hilang majoriti 2/3 di parlimen di samping hilang kuasa di empat negeri adalah kegagalan Abdullah - atau lebih dikenali sebagai Pak Lah - melaksanakan janji-janji perubahan yang telah memberi harapan kepada rakyat semasa PRU ke-11 pada 2004.

Demokrasi jalanan turut menjadi faktor besar. Himpunan raksasa "BERSIH" yang menuntut pilihan raya bebas dan adil serta gerakan HINDRAF yang berjaya menyentuh hati komuniti kaum India antara peristiwa yang gemar dirujuk pemerhati politik dalam mengisahkan hari bersejarah 8 Mac 2008.

Tidak dinafikan juga, media alternatif yang bebas daripada kongkongan mutlak BN menyumbang terhadap pembentukan audiens baru yang lebih bersikap kritikal dan sedia menyoal setiap tindak tanduk kerajaan. BN tidak lagi mampu bergantung pada media massa arus perdana sahaja dan perkara ini turut dipersetujui Pak Lah yang mengakui "BN kalah perang siber".

Maka, sejurus penggantian Pak Lah, Perdana Menteri baru segera mendapatkan khidmat nasihat pelbagai firma konsultasi komunikasi dan media. Dalam jangka masa pendek Najib berkuasa, kerajaan Malaysia telah membelanjakan berjuta-juta ringgit atas kempen-kempen komunikasi - atau lebih tepat lagi, propaganda - yang dihasilkan syarikat-syarikat asing seperti APCO dan FBC. Baru-baru ini, FBC terpaksa menanggung malu selepas dipecat beberapa rangkaian media asing kerana dijumpai menerima bayaran daripada kerajaan Malaysia untuk menghasilkan program pro-kerajaan Malaysia.

Kempen "branding" atau penjenamaan seperti 1Malaysia dan pembentukan imej Najib sebagai seorang pemimpin yang "cool" atau sempoi terus menjadi agenda terpenting. Dengan kempen "perubahan" Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang dilaksanakan dengan jayanya, agenda "perubahan" dilihat menjadi suatu fenomena global. Tidak dinafikan, di Malaysia, sudah bertahun-tahun slogan "perubahan" menjadi asas kepada agenda parti-parti pembangkang. Maka, untuk Najib mempopularkan dirinya di samping dilihat peka terhadap "perubahan" yang dituntut, beliau tiada pilihan selain memulakan program-program yang bersifat "perubahan" atau sekurang-kurangnya memberi persepsi bahawa beliau mewakili "perubahan".

Namun, perkataan "perubahan" dan reformasi sesungguhnya sinonim dengan perjuangan parti-parti yang anti-BN. Oleh itu, "transformasi" menjadi slogan Najib. Tidak dinafikan, ramai di antara generasi pengundi muda yang membesar dengan ditemani siri kartun Transformers, yang turut dihidupkan semula dalam beberapa tahun yang lepas melalui siri filem wayang Hollywood. Namun, cukup sempoikah pakej "transformasi" yang dihadiahkan Najib? Adakah rakyat akan memberi undi kepada seseorang pemimpin hanya kerana beliau sempoi?

Najib sebelum ini sudah menghadapi pelbagai persoalan kredibiliti terutamanya apabila dikaitkan dalam kes pembunuhan seorang wanita Mongolia. Gaya hidup mewah yang dimiliki isterinya - Wanita Pertama Negara Malaysia yang pertama sekali - turut memberi persepsi bahawa Najib yang sempoi ini sebenarnya agak jauh dari realiti keperitan rakyat bawahan. Lagi teruk, semasa melancarkan program Menu Rakyat 1Malaysia, beliau digambarkan mengambil sepinggan nasi kandar yang nampak lumayan sekali siap dengan dua ketul kepak ayam walaupun harga makanannya disiarkan RM3 sahaja. Mungkinkah semua ini helah yang sempoi?

Cakap pasal helah, naik darah aku. Janji-janji yang dibuat Najib sempena Hari Malaysia telah mengalami transformasi - menjadi penipuan yang keji sekali. Beliau kata, negara Malaysia akan menjadi demokrasi terbagus di dunia. ISA akan dimansuhkan. Akhbar akan diberi lebih ruang kebebasan. Rakyat tidak akan dianiaya atas kepercayaan politik mereka. Sempoi gila.

Tapi, ISA digantikan dua akta baru yang akan mengekalkan penahanan tanpa bicara. Lagi, hari ini janji mansuh ISA, besok tahan 13 orang di bawah ISA. Hari ini nak jadi demokrasi terhebat, besok bentang rang undang-undang baru untuk mengharamkan perhimpunan jalanan. Di bawah Akta Perhimpunan Aman, denda untuk sesiapa yang menganjurkan perhimpunan tanpa memberitahu pihak polis ialah RM10,000. Manakala sesiapa yang ditangkap semasa suatu perhimpunan boleh didenda RM20,000. Sempoi tak? Inilah dia transformasi Najib. Sempoi sekali.

Sementara beliau berjanji untuk mendengar cadangan yang bakal dibuat Jawatankuasa Khas Parlimen untuk mengkaji tuntutan untuk mereformasikan sistem pilihanraya Malaysia, tiada jaminan bahawa Najib akan membenarkan Jawatankuasa tersebut menyelesaikan tugasnya sebelum membubarkan Parlimen sekaligus menutup Jawatankuasa itu juga. Jelas, pilihanraya yang akan datang tidak akan adil dan bersih tanpa berlakunya satu reformasi.

Adakah reformasi itu akan datang daripada Najib dan BN? Bagi saya, untuk reformasi berlaku, reformasi perlu bermula dari tangan setiap rakyat. Undi di tangan kita boleh memulakan reformasi untuk membersihkan tanahair kita daripada elemen-elemen yang nampak sempoi tapi bersifat kotor sebenarnya.

*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang. - Merdeka Review

Tiada ulasan: