Sabtu, 5 November 2011

labun KulupSakah...

labun KulupSakah...


aku ini ketam durjana

Posted: 04 Nov 2011 07:02 PM PDT

aku tidak sepandai kamu, sayang. aku tidak sempat memakai jubah hitam dan mengutip sehelai kertas dari gedung ilmu sebagai lesen untuk aku berkokok megah menunjuk cerdik aku 'drop school' ijazah, lari dari medan perang merebut sarjanamuda kerana anakku sakit waktu itu. aku tidak pandai, hanya mahir menolak kereta sorong anak aku dan mengelak lekuk-lekuk aspal.

aku hanya mahasiswa universiti kaki lima yang masih mengulang 'paper'. aku tak baca buku banyak~ tebal-tebal ditulis penuh akademik dan falsafah oleh tokoh-tokoh pengubah dunia. aku tak pernah menjadi panelis mana-mana forum untuk menggoncang dunia dengan teori-teoriku.
aku hanya menyanyi lagu-lagu damai untuk merangsang dua anak cerebral palsy benihku.
aku tak pegang jawatan penting mana-mana pertubuhan atau organisasi walau pernah juga tapi aku lari.
aku hanya pegang jawatan ketua keluarga untuk isi perut isteri, annisa dan an-nur.

tapi aku nampak perangkap yang dipasang musuh untuk kamu, sayang. Supaya kamu melatah. dan mereka akan tembak lalu bom kamu sehingga kamu tewas dan tak dipuja.

aku ada juga baca berpuluh atau ratus buku tapi aku masih gagal habiskan buku karangan tuhan. Al Quran disimpulkan di dalam 7 ayat Al Fatihah tapi aku gagal menguasai arti setiap ayatnya. tunjukkan jalan yang lurus, jalan yang engkau redhai bukan yang sesat (ihdinassirotalmustaqim......)
aku tak tahu jalan lurus yang macamana yang engkau suruh aku faham setiap kali aku berdiri di atas sejadah memeluk tubuh, memujimu dalam keadaan tegak, bongkok tunduk dan duduk.
aku tak tahu Al fatihah disimpulkan di dalam kalimah Bismillahirrahmanirrahim yang mengandungi 19 huruf. mengapa digunakan 'bismi' (dengan nama). kenapa hanya dengan nama saja? mana perginya 'diri' yang bernama? hilang. yang tinggal 19 huruf mewakili 19 sifat dari 20. satu lagi hilang untuk dikenali.
Awaluddin makrifatullah. Awal agama mengenalnya. Tapi berapa ramai yang belum kenal? Ah! Aku tak mahu tanya berapa ramai tak kenal. Aku hanya mahu cerita yang aku sendiri saja.
Aku tak tahu Bismillahirrahmanirrahim itu disimpan rahsianya di dalam titik huruf Ba di awal ejaan itu.
Titik itulah benih yang telah mengembara dari alam loh mahfuz sebelum berkata jadi maka jadilah (kun fayakun), sebelum ditajalli menjadi nur lagi.
aku tak tahu.

aku tak tahu. aku tak pandai. tapi aku nampak musuh mengintai kamu, sayang. dengarlah walaupun aku tiada ijazah dan tak baca banyak buku. aku hanya ketam durjana yang reti menyanyi.

aku si penolak kereta sorong anakku.