Selasa, 22 November 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


UMNO TERUS KETAGIH TIPU RAKYAT

Posted: 22 Nov 2011 09:36 AM PST


Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Akta baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mac tahun depan tetap mempunyai ciri-ciri penahanan tanpa bicara bagi menangani aktiviti militan dan keganasan yang mengancam negara.

Menurutnya lagi dua akta itu akan mempunyai persamaan dengan pendekatan dalam Akta Patriot Amerika Syarikat, Akta Pencegahan Keganasan United Kingdom dan Akta Antikeganasan Australia yang dikuatkuasakan di negara-negara yang terkenal dengan perjuangan hak asasi manusia itu.

Inilah masalah Umno. Mereka masih anggap rakyat negara ini hidup dalam zaman Raja Bersiung –yang mudah untuk ditipu. Umno tipu rakyat dengan permainan istilah. Nama ISA tidak lagi digunakan tapi dua Akta yang masih mempunyai roh dan jasad seperti ISA akan diperkenalkan untuk terus menerus menzalimi rakyat.

Untuk Umno dan Hishamuddin kita ingin mengatakan bahawa rakyat menentang ISA bukan kerana namanya. ISA ditentang kerana isi kandungan Akta tersebut. ISA ditentang kerana ia membenarkan seseorang itu ditahan tanpa bicara.

Penahanan tanpa bicara adalah mekanisme yang subur kepada penyalahgunaan kuasa. Penahanan tanpa bicara menutup rapat pintu Mahkamah sehingga keadilan tidak dibenarkan masuk. Penahanan tanpa bicara melanggar prinsip asas dalam undang-undang yang diterima secara universal iaitu seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah.

Bagaimana Kerajaaan boleh membuktikan seseorang itu bersalah jika orang itu tidak dibicarakan dan bagaimana seseorang itu boleh mencabar bahawa beliau tidak bersalah jika ia tidak dibenarkan untuk pergi ke Mahkamah untuk dibicarakan.

Apa guna ISA dimansuhkan jika roh ISA iaitu penahanan tanpa bicara diserap pula ke dalam dua Akta yang akan digubal oleh Umno nanti. Dalam bahasa Inggeris tindakan Umno ini dipanggil " old wine in a new bottle" ( arak yang lama di dalam botol yang baru" ). Maknanya dua Akta yang akan menggantikan ISA adalah benda yang sama yang dihiasi dengan "make up" yang baru bagi menutup wajah asalnya yang hodoh.

Hishamuddin menyatakan Akta yang akan menggantikan ISA nanti akan akan mempunyai persamaan dengan Akta Patriot Amerika Syarikat, Akta Pencegahan Keganasan United Kingdom dan Akta Antikeganasan.

Kita ingin menjawab begini. Mengapa kita harus meniru negara lain dalam menggubal undang-undang yang melanggar prinsip keadilan. Jika Umno ketagih ingin meniru Amerika sebagai contoh kenapa tidak tiru aspek positif demokrasi negara tersebut. Mengapa sebagai contoh Umno tidak tiru budaya perdebatan terbuka yang disiarkan secara terbuka di media massa calon-calon yang bertanding bagi merebut jawatan Presiden Amerika. Mengapa tiru benda yang tidak baik dan tidak tiru benda yang baik.

Keduanya adakah Umno dan Hishamuddin sedar bahawa Patriot Act di Amerika tidak digunakan ke atas rakyat Amerika. Ia hanya digunakan ke atas bukan warganegara Amerika khususnya orang Islam yang sering dilabel sebagai Pengganas oleh Amerika.

Hishamuddin juga menyatakan bahawa dua akta baru yang masih dikaji itu dijangka menerapkan beberapa perubahan seperti dalam soal tempoh tahanan, notis kepada keluarga yang ditahan dan keperluan untuk mereka membuat rayuan.

Ini muslihat halus Umno untuk mengelirukan rakyat. Nampak jelas Umno tidak faham atau sengaja tidak faham asas penentangan kepada ISA. Seperti yang kita katakan asas penentangan ISA adalah ia membenarkan penahanan tanpa bicara bukan kerana isu tempoh penahanan atau notis kepada keluarga. Ini bermakna jika pun Akta yang baru mungkin menghadkan tempoh tahanan atau keluarga tahanan wajib diberitahu sedangkan dalam masa yang sama Kerajaan masih boleh menahan seseorang tanpa bicara Akta baru tersebut tidak akan membawa apa-apa perubahan. Sebaliknya ia satu penipuan.

Hishamuddin menyatakan terdapat rakyat Malaysia yang ditahan oleh Amerika Syarikat di Guantanamo tanpa melalui perbicaraan oleh itu beliau menyatakan jangan bersikap pilih bulu dan hipokrit. Apalah malang rakyat Malaysia dapat Menteri seperti ini. Sejak bila pula kita setuju Amerika tahan orang tanpa bicara dan diletakkan di Guantanamo Bay ? Kerana kita tidak setuju Amerika dan Guantanamo Bay sebab itulah kita menentang ISA dan mana-mana Akta yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Bagi kita Guantanamo Bay dan Kem Kemunting adalah kembar siam yang berpuaka- kedua-duanya kita tentang !

RUU Himpunan Aman menyalahi Perlembagaan – Surendran

Posted: 22 Nov 2011 02:22 AM PST

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Himpunan Aman yang dibentangkan kerajaan Barisan Nasional bercanggah dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Demikian dinyatakan Naib Presiden KEADILAN, N Surendran dalam reaksi terhadap pembentangan rang undang-undang itu yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz di Parlimen pagi tadi.

"Rang undang-undang ini membuatkan hak rakyat untuk berhimpun tidak bermakna langsung, dan ia secara terang-terangan menyalahi Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan," kata Surendran.

Bercakap lanjut, Surendran berkata, butiran rang undang-undang itu menjelaskan niat sebenar perdana menteri, Datuk Seri Najib dan kerajaannya untuk menyukarkan rakyat berhimpun.

"(Jika ia diluluskan), kita lebih teruk berbanding peruntukan Akta Polis 1967," kata Surendran.
Menurutnya lagi, tidak ada sebab kerajaan perlu menghalang perhimpunan aman kerana tugas polis adalah menguruskan lalu lintas dan perkara yang perlu ketika sesuatu perhimpunan diadakan.

"Negara demokratik yang lain seperti UK, US, Australia, Kanada, Finland atau Afrika Selatan tidak mempunyai peruntukan undang-undang sedemikian rupa.

"Ia jelas tidak konsisten dengan norma dan amalan antarabangsa dan juga UDHR," kata Surendran.
Beliau dalam pada itu turut membidas syarat notis 30 hari yang perlu diberi kepada polis sebelum himpunan jalanan boleh diadakan.
Menurutnya, syarat itu tidak logik kerana jika sesuatu isu itu bersifat semasa dan menuntut perhatian segera, jangka masa 30 hari adalah terlalu lama untuk rakyat memberi maklum balas dan bertindak.

Beliau turut membidas Seksyen 8 rang undang-undang itu yang membolehkan Ketua Polis Negara "mengambil langkah-langkah yang diperlukan" sebagai membuka ruang kepada salah guna kuasa.

Denda RM20 ribu ke atas mereka yang mengambil bahagian juga dilihat sebagai tidak perlu dan keterlaluan, kata Surendran.

Beliau seterusnya mencadangkan agar Akta Polis dipinda untuk memansuhkan keperluan permit dan menggantikannya dengan makluman ringkas, seperti dipraktikkan di negara-negara lain.

Tok Guru Nik Aziz Bidas Utusan

Posted: 22 Nov 2011 12:52 AM PST

1. Saya telah ditanya pagi tadi selepas Mesyuarat Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) pagi tadi berkenaan laporan muka hadapan Mingguan Malaysia pada 20 November 2011 yang membawa tajuk "Air Kelantan Terkotor?". Saya pada mulanya beranggapan tidak perlu untuk memberikan respon terhadap laporan akhbar Utusan Malaysia (Keluaran hari Ahad: Mingguan Malaysia) yang sudah diketahui umum sebagai akhbar yang tidak bertanggungjawab terhadap fakta dan seringkali melanggar etika kewartawanan. Saya kira masih ramai yang belum lupa bagaimana Utusan Malaysia pernah memainkan isu "Kristian Agama Rasmi Negara" satu ketika dahulu yang terbukti kemudiannya sebagai satu pembohongan semata-mata.

2. Namun, dibimbangi isu yang dimainkan ini menimbulkan polemik yang berpanjangan, saya telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Kelantan Datuk Mejar ( B ) Md Anizam Abd Rahman untuk memberikan kenyataan menjelaskan perkara yang sebenar. Bagaimanapun, sebagai respon awal sebelum kenyataan lanjut dikeluarkan, saya ingin menarik perhatian terhadap beberapa fakta sebenar yang disorok dari pengetahuan umum oleh Utusan Malaysia.

3. Pertamanya, sukalah saya merujuk kepada surat yang dihantar oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) yang bertarikh 30 Oktober 2011 yang memaklumkan prestasi kurang memuaskan beberapa buah negeri seperti yang termaktub di dalam Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya.

4. Negeri-negeri yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan itu ialah Kelantan, Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Perlis. Berdasarkan lampiran yang diberikan, kandungan E-Coli yang terdapat di dalam air terawat yang dibekalkan oleh AKSB dinilai sebanyak 0.88%. Ia lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri Pahang (1.12%), Perak (0.90%), Perlis (1.21%) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.01%). Saya sedia maklum bahawa tahap yang dianggap tidak memuaskan ialah jika melebihi 4%, namun untuk dikatakan kandungan air terawat di Kelantan sebagai yang tertinggi E-Coli ialah satu tuduhan rambang yang berniat jahat.

5. Saya juga ingin melahirkan rasa hairan terhadap data yang dikemukakan oleh Utusan Malaysia yang dikatakan dirujuk kepada Panduan Industri Air Malaysia 2011 sedangkan data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 masih belum dikeluarkan dan hanya akan dikeluarkan kebiasaannya pada pertengahan tahun berikutnya iaitu sekitar bulan Jun 2011. Dari manakah Utusan Malaysia memperolehi maklumat yang masih belum dikeluarkan ini?

6. Hakikatnya apa yang disebut oleh Utusan Malaysia ini hanyalah satu lagi pembohongan yang jelas untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Kelantan. Jelas sekali, laporan ini tidak lain hanyalah merupakan satu usaha untuk menggunakan air Kelantan membersihkan najis lembu yang bernilai RM250 juta.

7. Nasihat saya, bertaqwalah kepada Allah SWT kerana apa yang ditulis akan disoal olehNya di akhirat kelak. Janganlah sampai fitnah yang ditabur ini menggerakkan tangan orang-orang yang dizalimi untuk melafazkan doa ke atas penabur-penabur fitnah. Ini kerana, doa orang yang dizalimi tidak akan ditolak oleh Allah SWT.

Sekian, terima kasih.

Yang Amat Berhormat Datuk Bentara Setia Menteri Besar Kelantan

Coli Umno Makan Diri

Posted: 22 Nov 2011 12:22 AM PST

Laporan Utusan Malaysia ini jelas sekali berniat jahat. Melalui dokumen yang didedahkan, Kelantan bukanlah satu-satunya negeri yang bekalan airnya tercemar oleh bakteria Ecoli, malah negeri lain juga begitu.

Satu dokumen laporan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, SPAN mendedahkan bahawa bekalan air di Negeri Perlis memiliki kadar pencemaran bakteria Ecoli yang paling tinggi dalam negara iaitu 1.21% diikuti Pahang (1.12%), Perak (0.90%), Kelantan (0.88%) dan Johor (0.55%).

Negeri Perdana Menteri, iaitu negeri Pahang sendiri memiliki pencemaran bakteri Ecoli dalam bekalan air yang lebih tinggi berbanding negeri Kelantan. Namun Utusan Malaysia hanya tahu melaporkan pencemaran di negeri Kelantan sahaja.

Bil Perhimpunan Aman haramkan protes jalanan

Posted: 21 Nov 2011 11:41 PM PST


Hazlan Zakaria

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman di Dewan Rakyat bagi menjamin kebebasan berhimpun.

Antara kandungan penting undang-undang yang dicadangkan itu:

(1) Notis awal 30 hari untuk berhimpun, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dtetapkan oleh menteri dalam negeri.

(2) Selepas memaklumkan, perhimpunan boleh diteruskan, kecuali terdapat bantahan daripada polis.

(3) Tiada protes jalanan dibenarkan.

(4) Tiada protes dalam 50 meter daripada kawasan yang dilarang, termasuk hospital, sekolah dan rumah ibadat.

(5) Seksyen 9(5) membenarkan polis mendenda penganjur sehingga RM10,000 sekiranya tiada notis awal mengadakan perhimpunan diserahkan kepada polis.

(6) Seksyen 21(3) membenarkan polis mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000;

(7) Individu bawah umur 21 tidak dibenar menganjurkan perhimpunan; dan

(8) Kanak-kanak bawah 15 tahun tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam perhimpunan, termasuk berkaitan kebudayaan dan acara keagamaan seperti perarakan kematian yang diluluskan oleh menteri dalam negeri.

Dijadual untuk bacaan kedua pada minggu depan, rang undang-undang itu dibentangkan serentak dengan rang undang-undang lain untuk meminda Akta Polis, yang antaranya menyaratkan permit polis diperoleh sebelum mengadakan perhimpunan.

Tiada ulasan: