Rabu, 30 November 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Lesen Perniagaan Siap 1 Jam Di Shah Alam

Posted: 30 Nov 2011 01:53 AM PST

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempertingkatkan lagi sistem penyampaian dengan memperkenalkan pengeluaran lesen perniagaan dalam tempoh satu jam dalam usaha menggalakkan lebih ramai pelabur dan penduduk untuk menjadi usahawan.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, pengeluaran lesen perniagaan dalam tempoh satu jam adalah inisiatif berterusan pihak MBSA yang sentiasa berusaha untuk memudahkan dan mempercepatkan proses kerja bagi memberi keselesaan kepada orang ramai.

Beliau berkata, pihak MBSA juga sudah mengenal pasti 80 jenis aktiviti perniagaan yang tidak berisiko seperti lesen perniagaan kedai dobi, kedai pakaian, kedai runcit dan kedai kasut.

"Sebagai salah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang penting di negeri Selangor, kita tidak perlu lagi beri alasan seperti, 'kami akan semak' atau 'Datuk Bandar sibuk' kepada masyarakat.

"Jawapan untuk setiap pertanyaan perlu diberikan serta-merta bagi memastikan setiap perkhidmatan yang diberikan cekap dan efisien," katanya pada Majlis Perhimpunan bersama Datuk Bandar kali ke-9 di Auditorium MBSA, semalam.

Mohd Jaafar berkata, Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan sudah mula melaksanakan pengeluaran lesen dalam tempoh satu jam berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Katanya, pemeriksaan premis akan diadakan selepas tempoh dua bulan lesen itu dikeluarkan bagi memastikan pemohon mematuhi syarat ditetapkan pihak MBSA.

"Jika dahulu, pemohon terpaksa menunggu sehingga sebulan untuk mendapatkan lesen perniagaan, tetapi sekarang semuanya akan dilaksanakan dalam tempoh satu jam," katanya. -HM

MBSA Lancar Pengeluaran Lesen Perniagaan Dalam Tempoh 1 Jam

SHAH ALAM, 29 NOV : Majoriti peniaga boleh memperoleh lesen perniagaan dalam tempoh satu jam menerusi inisiatif berterusan yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagaimanapun, pengeluaran lesen ini hanya melibatkan aktiviti perniagaan yang tidak berisiko serta premis perniagaan yang memiliki Sijil Layak Menduduki Bangunan (CF) atau Sijil Perakuan Siap dan Pemantauan (CCC).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, inisiatif MBSA ini akan mempermudahkan serta mempercepatkan proses kerja yang boleh memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada orang ramai.

Katanya, setakat ini pihak MBSA telah mengenalpasti 80 jenis aktiviti perniagaan yang tidak berisiko dan boleh dilesenkan dalam tempoh sejam. Antaranya ialah kedai pakaian, kedai gambar, kedai dobi, kedai runcit, kedai kasut dan kedai gunting rambut.

"Kita mestilah mempunyai sistem sokongan yang membolehkan kita melaksanakan tugas dengan pantas. Contohnya, kalau dahulu dalam masa satu minggu, tetapi kini dalam masa satu hari atau satu jam.

Sebagai contoh, melalui Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan, kita telah mula melaksanakan pengeluaran lesen dalam tempoh satu jam di mana pelaksanaan ini merupakan penambahbaikan dalam pengeluaran lesen-lesen perniagaan yang sebelum ini boleh diproses serta-merta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengeluaran Lesen dalam tempoh sejam di Auditorium MBSA, di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas premis akan diadakan dalam tempoh dua bulan selepas lesen itu dikeluarkan bagi memastikan pemohon mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan MBSA.

Beliau berkata, sekiranya peniaga gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, pihak MBSA akan mengeluarkan kompaun atau membatalkan lesen yang telah dikeluarkan.

Setakat ini sebanyak 64 permohonan telah diterima dan jumlah ini diharapkan akan terus bertambah.

"Setakat ini pemohon boleh mengemukakan permohonan di Ibu Pejabat MBSA. MBSA juga akan melebarkan cara permohonan atau pembaharuan lesen menerusi sistem online, pembukaan booth di pusat membeli belah dan sebagainya," katanya. -tvsnews





Ucapan Pemimpin UMNO Sendiri Jadi Bukti UMNO Kini Sedang Nazak

Posted: 30 Nov 2011 12:00 AM PST

Najib mahu Umno sedia hadapi PRU 'luar biasa'

KUALA LUMPUR, 29 Nov ― Datuk Seri Najib Razak mahu Umno mengutamakan perpaduan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang presiden parti itu melihat sebagai "sesuatu yang luar biasa" bagi perikatan yang mengepalai kerajaan pusat.

Najib yang juga Perdana Menteri mengarahkan pemimpin-pemimpin kanan parti pada satu taklimat di sini agar tidak memandang mudah atau mengambil ringan pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu katanya, pemimpin-pemimpin parti seharusnya bertindak agak luar biasa kali ini.

"Beliau telah meminta pemimpin-pemimpin peringkat bahagian dan akar umbi agar bekerja luar biasa sebab pilihan raya ini adalah sesuatu yang luar biasa... banyak cabaran dan beliau mahu kami utamakan perpaduan," kata Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata demikian pada sidang media bersama dua rakan sejawatannya Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal selepas taklimat presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa Najib juga telah mengarahkan pemimpin-pemimpin Umno agar menyelesaikan kesemua konflik dalaman bagi memastikan bahawa tiada sabotaj atau unsur menikam dari belakang apabila tibanya pilihan raya.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, mesej itu dikeluarkan di sebalik peringatan berkali-kali daripada Najib bahawa hanya calon-calon yang boleh menang akan mewakili Barisan Nasional (BN).

"Konflik mesti diselesaikan bagi memastikan kejayaan kita sama ada kerusi peringkat kerusi ataupun parlimen," kata beliau.

"Hanya ada satu pasukan iaitu Pasukan Umno," kata Zahid.

Ketika bercakap kepada pemberita kemudian, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, BN meletakkan sasaran untuk menawan balik empat negeri dikuasai Pakatan Rakyat sekarang iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. -TMI

Muhyiddin: PRU-13 tentukan jatuh bangun Melayu

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan anggota parti itu bahawa pilihan raya umum ke -13 adalah "ibu segala pilihan raya" yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu.

Bahkan beliau yang juga timbalan perdana menteri turut membangkitkan kebimbangan sama ada kuasa politik akan kekal pada parti itu atau terlepas ke tangan pihak lain.

"Saya mengambil sedikit masa untuk menyentuh tentang persoalan-persoalan yang berlegar di benak fikiran orang Melayu, tentang beberapa isu yang amat penting kepada kelangsungan mereka, supaya generasi muda dan sayap-sayap parti memahami apakah psikologi dan minda Melayu yang kita hadapi hari ini.

"Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihan raya umum ke-13 adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?

"Sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita? Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri? Jawapannya tentu sekali tidak," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ketiga-tiga sayap parti bersatu dan bersedia dengan kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.

'Jangan main belakang'

"Ketepikan perbezaan dan persengketaan. Lemparkan segala sifat tercela jauh ke lautan hitam. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Yakinlah, perjuangan ini adalah jihad untuk agama, bangsa dan negara. Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak.

"Percayalah, pilihan raya umum nanti mempunyai makna yang cukup dalam kepada kelangsungan kita. Pilihan raya ini adalah medan jihad dan saudara-saudari adalah para mujahid dan mujahidah," tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bertajuk "Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad" di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara malam ini.

Peringatan itu dilontarkan susulan wujudnya persepsi kuasa Melayu semakin goyah susulan kemerosotan sokongan Umno dalam pilihan raya umum lalu dan ekoran dakwaan "fitnah jahat" yang dilemparkan pada Umno.

Sementara itu, untuk mencapai kejayaan, Muhyiddin mengingatkan supaya tidak berlaku sabotaj dalam parti ekoran pemilihan calon pilihan raya.

"Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan 'mandikan' calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan.

"Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati," katanya. -mk


Ulasan GB

Kenyataan kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO di atas jelas membuktikan bahawa keadaan UMNO kini sedang kritikal, nazak yang amat sangat, yang jika dalam adegan Ahmad Nisfu, dalam keadaan "mintak nyawa".

Berlakon seperti 'wira-wira bangsa" sedangkan merekalah sebenarnya pengkhianat dan penjahanam bangsa selama ini.

Ucapan mereka itu sendiri memperakui bahawa UMNO kini diambang kehancuran. Gambaran jelas bahawa UMNO kini sukar malah, sudah tidak berupaya untuk diselamatkan.

Suasana huru-hara dan kelam-kabut kerana kapal UMNO sudah hampir karam. Juragan bertempik dan cuba menyalahkan orang lain.

Kemudian, sekalipun berselindung disebalik slogan 1Malaysia selama ini, perhimpunan UMNO kali ini membuktikan UMNO merupakan parti paling kuat rasismanya. Menjadikan perjuangan "kebangsaan" sebagai landasan "jihad" mereka.

Sedangkan Rasulullah saw telah bersabda:

"Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada Assabiyah, dan bukan daripada kalangan kami orang yang berperang atas dasar Assabiyah, dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati kerana Assabiyah" (Hadith Riwayat Abu Daud).

Lalu sahabat bertanya:

"Apakah yang dikatakan assabiyah itu Ya Rasulullah?"

Baginda menjawab:

"Assabiyah itu ialah bahawa kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman"

Jelas kepada kita, Islam telah lama menguburkan fahaman kebangsaan tetapi UMNO masih lagi memikul bangkai assabiyah sebagai dasar perjuangan mereka.

Mereka akan tetap kalah dan pasti akan kalah lantarannya.

[Rakaman CCTV] "Toyol" Curi Komputer Riba Di Pejabat Sekolah Agama

Posted: 29 Nov 2011 09:32 PM PST

Toyol' curi komputer riba

JOHOR BAHRU: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah sekolah agama di Taman Dahlia, di sini, membongkar aksi sekumpulan lima penjenayah cilik termasuk kanak-kanak berusia 10 dan 12 tahun yang memecah masuk pejabat sekolah berkenaan sebelum melarikan dua komputer riba.

Dalam kejadian jam 2.37 pagi semalam, lima penjenayah terbabit berusia 10 hingga 18 tahun dengan dua daripada mereka yang paling muda berusia 10 dan 12 tahun menggunakan susuk tubuh kecil untuk menyelit masuk melalui pintu berjeriji selepas gagal memecahkan mangga.

Kedua-dua mereka menyelongkar laci pejabat untuk mencari barang berharga dan berada di situ selama sejam tanpa menyedari gelagat mereka dirakam CCTV.

Ahli jawatankuasa badan kebajikan sekolah berkenaan, Mohammad Nick Abdullah, 43, berkata dia menyedari kejadian itu selepas melihat kesan umpil pada satu daripada pintu jeriji ketika ke sekolah untuk memeriksa rakaman CCTV pada jam 7.30 pagi semalam.



BUKTI...rakaman CCTV menunjukkan dua kanak-kanak yang menceroboh pejabat sekolah dan melarikan komputer riba.


SOROK...rakaman CCTV menunjukkan seorang kanak-kanak yang berselindung di sebalik pintu merangkak untuk mengelak wajahnya dirakam.


Ulasan GB

Demikian hebat. Usia sedemikian sudah mampu merompak, bagaimana bila mereka dewasa nanti agaknya? Jika usia sedemikian sudah berupaya pecah pejabat jenayah apa lagi yang tak boleh dilakukan oleh toyol-toyol berkenaan?

Berapa parahnya tahap jenayah di negara yang tidak mengamalkan undang-undang Islam sehingga "kanak-kanak" pun sudah boleh merompak dan mencuri.

Teruslah tolak hukum Tuhan, kelak Dia akan butkikan lagi lebih banyak jenayah rompakan yang "luarbiasa" tetapi begitu mudah berlaku seperti kisah di atas.

RUU Perhimpunan Aman Bertentangan Perlembagaan, PAS Bawa Ke Mahkamah Minggu Ini

Posted: 29 Nov 2011 07:50 PM PST

Kuala Lumpur: PAS memaklumkan tindakan untuk menghalang perlaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman 2011 di mahkamah akan dibuat selewat-lewatnya Jumaat ini.

Peguam PAS, Mohamed Hanipa Maidin menjelaskan pihaknya kini sedang giat menyiapkan dokumen berkaitan dan yakin ia boleh diselesaikan dalam minggu ini.

"Bagi membantah perlaksanaan RUU tersebut PAS akan mengemukakan bantahan perlaksanaan tersebut di mahkamah selewat-lewatnya Jumaat ini.

"Kita akan lawan habis-habisan agar perkara tersebut tidak menjadi undang-undang dan ditarik balik," jelasnya yang juga AJK PAS Pusat.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily semasa menyertai perarakan Majlis Peguam Malaysia bagi membantah RUU tersebut di parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau berpendapat bantahan aman hari ini merupakan suatu yang bersejarah kerana ia dilakukan oleh para peguam sendiri.

"Melihat kepada bantahan hari ini ia merupakan satu sejarah kerana tentangan dilakukan oleh para pengamal undang-undang sendiri dan secara jelas menunjukkan peguam juga membantah RUU yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita berharap kerajaan mendengar dan mengambil serius tentangan yang dilakukan ini kerana hak rakyat perlu didengari serta diambil perhatian, jangan dianiayai hak rakyat yang telah diberikan oleh Perlembagaan," sambungnya lagi.

PAS antara yang tegas membantah tindakan kerajaan membentangkan RUU itu yang dianggap cubaan menyekat hak rakyat.

Pada sidang media sebelum ini juga, Mohamed Hanipa berkata, tindakan mahkamah itu adalah berasas kerana kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal RUU mengikut pandangan mereka sahaja.

"Kuasa kerajaan di bawah Perlembagaan Negara. Jadi kalau mereka melangkaui perlembagaan, kita berhak mengambil tindakan mahkamah," katanya.

Ini kerana katanya, ada perkara dalam RUU yang akan dibahaskan minggu hadapan itu melanggar perkara 10 (1) (b) iaitu hak untuk berhimpun.

"Begitu juga kanak-kanak bawah 15 tahun tidak boleh menyertai himpunan, sedangkan kanak-kanak juga ialah rakyat. Contoh kalau ada sekolah dirobohkan dan kanak-kanak ini berhimpun, dalam rang undang-undang ini kata tak boleh tapi dalam perlembagaan boleh. Jadi rang undang-undang ini bercanggah dengan perlembagaan," jelas beliau. -HD



Muhyiddin Dan Kisah Serigala Yang Kata Anggur Itu Masam

Posted: 29 Nov 2011 06:00 PM PST

Selepas gagal pikat, Muhyiddin tegas PAS tak boleh ganti Umno

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PAS tidak boleh menggantikan Umno dalam memperjuangkan hak orang Melayu atas alasan "Umno tiada galang-ganti" walaupun sejak tiga lalu parti teras BN itu mempelawa agak ia membentuk kerjasama politik.

Sebelum ini Umno berulang kali mengajak PAS agar membentuk kerjasama politik dan kerajaan perpaduan termasuk menyertai Barisan Nasional (BN).

"Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS ganti Umno seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan Umno kerana Umno tiada galang-ganti.

"Yang sebenarnya berlaku ialah DAP ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja," kata Timbalan Presiden Umno ini ketika berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno di sini hari ini.

Muhyiddin mendakwa "DAP lah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?"

Sehubungan itu kata Muhyiddin, untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, PAS mengemukakan agenda Negara Berkebajikan.

"Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan. Malang bagi PAS kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka," kata beliau.

Dalam ucapannya, Muhyiddin seterusnya mengecam "walau apa pun, kita hendak bertanya kepada PAS... Negara Berkebajikan bagaimana yang mereka ingin wujudkan?"

"Yang kita tahu, bekalan air bersih pun tidak mampu mereka sediakan kepada rakyat Kelantan. Bukankah air adalah keperluan rakyat paling asas yang mesti dipenuhi oleh mana-mana kerajaan.

"Justeru, kita nak katakan kepada PAS, kalau bekalan air bersih pun tak dapat disediakan, janganlah simpan angan-angan hendak wujudkan Negara Berkebajikan. Selesaikan dahulu masalah air di Kelantan, kemudian barulah bercakap soal Negara Berkebajikan," katanya lagi.

Kata timbalan perdana menteri, sebenarnya PAS bukanlah beriya-iya benar hendak mewujudkan Negara Berkebajikan.

"Mereka sendiri pun tak faham apa maksud Negara Berkebajikan. Slogan Negara Berkebajikan hanyalah helah politik PAS untuk menutup kelemahan sendiri kerana tergadainya matlamat untuk mendirikan negara Islam.

"Apa yang penting bagi PAS, slogan Negara Berkebajikan boleh diterima oleh DAP," katanya lagi. -TMI

Ulasan GB

Apabila melihat gelagat Muhyiddin di atas, teringat kita tentang cerita zaman kanak-kanak dahulu tentang serigala dan anggur masam.

Sang serigala yang sangat kepingin memakan buah anggur telah terkial-kial melompat untuk mendapatkan buah anggur yang terlekat di atas pokok anggur tersebut.

Meskipun beberapa kali serigala malang itu cuba mendapatkan buah anggur tersebut tetapi usahanya gagal kerana lompatannya tidak cukup tinggi untuk mencapai anggur tersebut.

Akhirnya serigala malang tersebut dengan perasaan hampa berlalu pergi daripada pohon anggur tersebut sambil mengeluh saya bukan nak sangat makan anggur tersebut sebab anggur itu masam rasanya.

Anekdot di atas menjelaskan sikap Muhyiddin dan UMNO, tak dapat pikat PAS, berkatalah dia macam-macam mengenai PAS...




Kenyataan Rasis Ahmad Maslan Bakal Jatuhkan Najib & BN

Posted: 29 Nov 2011 03:19 PM PST

Politik meracau' Umno bakal jatuhkan Najib

Kenyataan terbaru Ketua Penerangan Umno bahawa Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah memperlihatkan sikap sebenar 'perkauman melampau' parti itu.

AJK PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata kenyataan Datuk Ahmad Mazlan itu juga menggambarkan Umno kini berada dalam keadaan 'meracau' dan diambang kehilangan kuasa.

"Kenyataan itu menggambarkan psikologi Umno yang berada dalam ketakutan ekoran diambang kehilangan kuasa.

"Mereka (Umno) masih belum jumpa strategi jelas, maka mereka meneruskan strategi lama dengan mencetuskan rasa takut (politic of fear) di kalangan rakyat dengan isu kuasa orang Melayu, agama dan sultan" katanya kepada Harakahdaily.

Dalam kenyataan pagi tadi, Datuk Ahmad Maslan dipetik berkata orang Melayu akan hilang segala hak dan kuasa mereka sekiranya Pakatan Rakyat memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahmad berkata, senario paling buruk berkenaan masa depan orang Melayu negara ini ialah apabila wujud "Parlimen tergantung" seperti di Australia, di mana Barisan Nasional tidak mampu melaksanakan agenda polisi-polisi ekoran hanya majoriti mudah.

"Bahasa Melayu akan hilang (kedudukan), kata selamat tinggal kepada Kesultanan Melayu, malah pembangkang DAP tidak akan hormati institusi diraja... mereka tidak pernah terima gelaran diraja meskipun mereka ditawarkan.

"Kata selamat tinggal kepada Islam sebab mereka (DAP) adalah ejen Kristian... dalam bercakap mengenai agenda Melayu, kita tidak boleh lari daripada ini," kata Ahmad pada satu forum parti sempena perhimpunan agung tahunan 2011.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly juga menyifatkan kenyataan Ahmad itu sebagai kegagalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk membawa transformasi politiknya kepada pemimpin Umno lain termasuk Ahmad.

Najib juga ujarnya masih tindak menentu dalam mencari strategi dan pendekatan untuk mempertahankan kuasanya.

"Mungkin juga ketua penerangan Umno ini mewakili suara majoriti ahli Umno dan suara Najib (yang mahu transformasi) hanya minoriti.

"Ini juga bukti 'banyak kepala' dalam Umno yang semakin bersimpang-siur dan bercelaru. Umno tetap Umno yakni parti berteraskan perjuangan perkauman Melayu sempit, Melayu Umno, masih ramai Melayu yang terpinggir, jurang miskin-kaya paling lebar dalam etnik Melayu di negara ini" kata Dr. Dzulkefly yang juga ahli parlimen Kuala Selangor.

Sementara itu juga, beliau menjangkakan perhimpunan agung Umno yang akan dirasmikan malam ini menjadi medan anggota parti itu membangkitkan isu perkauman.

Ianya memandangkan parti itu kini berada dalam keadaan terdesak selepas hilang sokongan bukan Melayu sejak tsunami politik 2008 lalu. -hd

Berita sebelum ini
klik untuk baca



[Video] Ribuan Berhimpun Bantah Bil Perhimpunan Aman

Posted: 29 Nov 2011 06:52 AM PST

Sekurang-kurangnya 500 peguam dan aktivis masyarakat menyertai perhimpunan membantah Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 di Parlimen, hari ini.

Perhimpunan 'Walk for Freedom to Walk' itu mula berkumpul di Taman Tasik Perdana seawal 11 pagi dan telah bergerak ke Parlimen jam 12.30 tengahari ini bagi menyerahkan kertas cadangan supaya kerajaan meminda rang undang-undang perhimpunan aman.

Perhimpunan ini tercetus apabila Kerajaan membentangkan rang undang-undang bagi mengawal jenis perhimpunan yang boleh diadakan.

Badan Bukan Kerajaan seperti Majlis Peguam dan Suaram telah mengecam Rang tersebut kerana ia dikatakan lebih mengongkong hak rakyat untuk berhimpun.

Mereka berkata rang itu bertentangan dengan prinsip demokrasi dan anti-artikel 10 perlembangaan.

Walaubagaimana pun Kerajaan Pusat tetap tegar untuk meluluskan rang tersebut dalam sidang Parlimen minggu ini.

Shahrezan Othman dari wakil majlis peguam berkata himpunan ini bukan atas dasar politik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat sebaliknya adalah untuk mewakili suara rakyat Malaysia.

Perarakan 'Walk for Freedom to Walk' yang menuju ke Parlimen bagaimanapun bertembung dengan sekumpulan lelaki yang hanya lingkungan 50 orang.

Kumpulan itu bertindak melemparkan kata-kata kesat seperti 'kami bantah seks bebas, kami tolak majlis peguam negara'

Pergerakan terhalang apabila polis dengan kekuatan jentera seramai hampir 30 anggota bertindak menghalang rombongan itu masuk ke laluan utama Parlimen.

Walaubagaimanapun hanya 10 wakil peguam sahaja dibenarkan masuk bagi menghantar kertas cadangan

Saksikan keratan video ''Walk for Freedom to Walk' dibawah. -tvsnews









RUU Perhimpunan Aman Diluluskan, Semakin Banyak Kerusi BN Akan Hilang

Posted: 29 Nov 2011 05:10 AM PST

Rang Undang-undang Perhimpunan Aman akhirnya diluluskan Dewan Rakyat selepas perbahasan kira-kira tiga jam oleh lima anggota parlimen.

Rang undang-undang itu - yang mengharamkan demonstrasi jalanan dan membenarkan perhimpunan lain dengan beberapa syarat ketat - lulus dengan undi suara ketika ketiadaan anggota Pakatan Rakyat yang keluar dewan sebelumnya.

Rang undang-undang itu dibahaskan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan P Kamalanathan (BN-Hulu Selangor).

Ahli parlimen Pakatan bertindak keluar dewan hari ini bagi membantah tindakan kerajaan yang enggan membawa rang undang-undang perhimpunan aman untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa terpilih.

Mereka juga membantah keputusan Yang dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang hanya membenarkan ahli parlimen kanan pembangkang untuk berbahas. -mk

Pembangkang keluar dewan bantah Bil Perhimpunan

Ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan hari ini bagi membantah tindakan kerajaan yang enggan membawa rang undang-undang perhimpunan aman untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa terpilih.

Ahli parlimen berkenaan juga bertindak demikian bagi membantah keputusan yang dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang hanya membenarkan ahli parlimen kanan pembangkang untuk berbahas.

Kumpulan berkenaan bertindak demikian pada kira-kira jam 3.15 petang ini selepas perbahasan oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng (DAP-Bagan).

Kumpulan wakil rakyat berkenaan juga tidak akan mengundi secara belah bahagi untuk menghalang rang undang-undang berkenaan daripada diluluskan petang ini.

Salah seorang daripada wakil rakyat itu berkata, ahli parlimen pembangkang juga bertindak demikian setelah memutuskan bahawa rang undang-undang berkenaan mengandungi banyak kecacatan dan tidak sepatutnya diluluskan.

Ahli parlimen PAS Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, sekurang-kurangnya undang-undang itu perlu dibawa ke jawatankuasa terpilih parlimen untuk disemak semula.

"Sebaliknya (kerajaan) hanya mahu bulldoze (rang undang-undang perhimpunan) dan bahas selama empat jam," katanya ketika ditemui Malaysiakini di bangunan parlimen.

Kumpulan ahli parlimen berkenaan bagaimanapun memasuki Dewan semula untuk menyertai perbahasan selepas rang undang-undang perhimpunan aman diluluskan untuk bacaan kali ketiga secara undian suara.

Rang undang-undang itu dilulus selepas dibahaskan oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), P Kamalanathan (BN-Hulu Selangor) dan juga penggulungan oleh menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz.

Dewan Rakyat turut meluluskan pindaan berhubung tempoh makluman untuk mengadakan perhimpunan dan juga tempoh bantahan serta tempoh rayuan keputusan yang menyekat perhimpunan. -mk



Ulasan GB

Dengan mengenepikan dan menafikan suara dari rakyat yang mebantah RUU Perhimpunan Aman, ia bererti BN mengundang kemarahan rakyat dan ia bakal diterjemahkan di dalam undi semasa pilihanraya umum nanti.

BN menyangka mereka menang, walhal hakikatnya meraka kalah dan akan terus dikalahkan oleh rakyat. Sama-sama kita tunggu jawapan rakyat di dalam PRU nanti.

Itu hukum kebenaran dan keadilan: menang tak dapat semua, kalah tak hilang semua!

UMNO Cuba Hendak Melembukan Semua Orang Melayu

Posted: 29 Nov 2011 02:45 AM PST

Umno dakwa Melayu akan hilang semua kuasa jika 'Parlimen gantung'

Orang Melayu akan hilang segala hak dan kuasa mereka sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang, dakwa Ketua Penerangan Umno hari ini.

Datuk Ahmad Maslan berkata, senario paling buruk berkenaan masa depan orang Melayu negara ini ialah apabila wujud "Parlimen tergantung" seperti di Australia, di mana Barisan Nasional tidak mampu melaksanakan agenda polisi-polisi ekoran hanya majoriti mudah.

"Jika wujud Parlimen tergantung macam di Australia, katakan 112 kerusi bagi kerajaan berbanding 110 bagi pembangkang, keadaan paling buruk akan berlaku.

"Bahasa Melayu akan hilang (kedudukan), kata selamat tinggal kepada Kesultanan Melayu, malah pembangkang DAP tidak akan hormati institusi diraja... mereka tidak pernah terima gelaran diraja meskipun mereka ditawarkan," kata beliau pada satu forum parti sempena perhimpunan agung tahunan 2011. -tmi

Ulasan GB

Kenyataan kKetua Penerangan UMNO di atas jelas membuktikan bahawa kini UMNO sedang cemas - sedang resah gelisah kerana nyawa UMNO semakin menipis...

Kita khabarkan kepada Ketua Penerangan UMNO itu bahawa Melayu di luar UMNO bukan bodoh macam lembu seperti Melayu dalam UMNO. Jangan cuba hendak heret semua orang Melayu untuk masuk kandang lembu UMNO - jangan cuba hendak memperbodohkan semua orang Melayu.

Segala apa yang berlaku adalah kerana tindakan UMNO selama ini yang telah begitu lama melembukan Melayu, menzalimi bangsa Melayu. Lantaran itu anda akan dihukum - dengan hukum kebenaran dan keadilan - lantaran kezaliman dan kekejaman kamu ke atas bangsa Melayu sendiri.

Bukti? Itu royalti minyak Kelantan, apa pasal sampai kini belum dibayar? Bukankah itu kezaliman UMNO yang amat nyata terhadap orang melayu sendiri?

Tiada ulasan: