Ahad, 20 November 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Menjawab Hujjah-hujjah Tokeh Lembu Feedlot

Posted: 20 Nov 2011 12:40 AM PST

Skandal NFC: Mampukah BN menanganinya?

Langkah sebaik-baiknya ialah mendakwa pihak yang terlibat, mendapatkan semula dana itu dan melantik usahawan berwibawa untuk mengendalikan projek ini.

Setelah hampir sebulan sunyi sepi, National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), yang menjadi sasaran dalam parlimen dan di luar parlimen, akhirnya membuka mulut.

Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, pengerusi NFC dan suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menganjurkan sidang akhbar pada 17 November lalu bagi mempertahankan NFC.

Beliau menjelaskan bahawa segala-galanya berjalan dengan baik, syarikat sedang menuju ke arah mencapai sasarannya dan tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Tetapi fakta-fakta beliau jauh dari meyakinkan. Malahan, ia hanya satu percubaan untuk menutup skandal, dengan beberapa penafian yang telah pun dibuat oleh para pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum beliau.


Sebelum kita pergi kepada subjek utama, mari kita sentuh dua isu. Pertama, sidang akhbar Salleh dibuat secara eksklusif kerana hanya membenarkan enam organisasi media sahaja, iaitu akhbar berbahasa Melayu dan saluran-saluran televisyen membuat liputannya.

Akhbar berbahasa Cina dan lain-lain diharamkan dari sidang akhbar itu. Jika NFC benar-benar ikhlas mahu menyatakan yang benar, mereka tidak harus bimbang kepada para wartawan selain dari media yang dikawal oleh BN, yang pada kebiasaannya dianggap perkakas propaganda BN?

Jelas kelihatan NFC tidak mempunyai keyakinan untuk menjawab soalan-soalan dari para pemberita dari media yang tidak dikawal oleh BN? Tidakkah ini jelas menunjukkan BN mahu rakyat membaca apa yang BN mahu mereka membacanya?

Pembelian kondo tidak boleh diterima

Kedua, Salleh mahu kita mempercayai bahawa pembelian dua unit kondominium mewah berjumlah RM14 juta itu adalah usaha menggunakan pinjaman mudah itu secara sah dengan menyatakan kedua-dua kondo ini memberi pulangan yang tinggi.

Beliau berkata, pulangan sewa dari sebuah kondo ialah RM70,000 tetapi tidak ada sesiapa yang mempercayainya.

Selain dari kredibilitinya tercabar, siapakah dia Salleh yang memikirkan dirinya membuat rakyat tidak keberatan untuk meminjamkan wang kepada keluarganya pada tempuh jangka panjang dengan kadar faedah 2% supaya mereka dapat meraih pulangan berlipat kali ganda hasil dari pelaburan dalam hartanah?

Alasannya bahawa ini (pembelian dua kondo) merupakan pelaburan sementara atas lebihan wang yang boleh digunakan kemudian nanti untuk projek lembu feedlot adalah tidak boleh diterima.

NFC tidak sepatutnya membuat permohonan dan kerajaan juga tidak sepatutnya memberi kebenaran untuk mengeluarkan wang yang banyak itu, yang tidak digunakan dari Akaun Pinjaman Khas. Pengeluaran wang dari akaun sepatutnya dikawal ketat dan diteliti
Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Atau, adakah NFC memberitahu kita bahawa mereka tidak menyediakan unjuran aliran tunai dan akaun untung rugi untuk projek ini ketika membentangkannya kepada kerajaan sebelum kontrak ini diperolehi?

Salah guna dana awam yang berlaku mencerminkan kegagalan kerajaan untuk melindungi dana awam, atau lebih buruk, terdapat konflik kepentingan berunsur jenayah (disebut rasuah) kerana memberi kontrak kepada kroni tanpa pertimbangan yang saksama melalui kertas kerja projek yang lengkap..

Sekarang, mari kita lihat kepada fakta-fakta yang dikemukakan oleh Salleh untuk menyokong dakwaannya bahawa projek ini berjalan dengan baik.

Projek 'berjaya' satu ilusi

Salleh berkata, ini merupakan tahun ketiga operasi dan masalah remeh temeh adalah dijangka. Salah. Anaknya sendiri, Wan Shahinur Izran, ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif berkata, ketika majlis menandatangani perjanjian kemudahan pinjaman RM250 juta itu pada 6 Disember 2007 bahawa "operasi dijangka bermula bulan Februari tahun depan." Maka empat tahun sudah berlalu sejak perjanjian itu.

Kata Salleh lagi, syarikatnya telah menternak 8,016 ekor lembu pada tahun 2010, "mengatasi sasaran 8,000 ekor lembu". Salah.

Kriteria yang harus dipertimbangkan ialah jumlah lembu yang disembelih, bukan "diternak", kerana projek ini adalah projek pembekalan daging lembu.

Jumlah lembu feedlot tidak boleh diukur dengan pengeluaran, kalau tidak, bilangan banyak lembu yang banyak yang tiba dari luar negeri dikira sebagai "pengeluaran".

Maka Ketua Audit Negara adalah betul dalam laporannya bahawa sebanyak 3,289 ekor lembu yang disembelih pada 2010 menyumbang hanya 41% dari sasaran, satu jumlah sasaran yang telah pun dikurangkan. Sasaran asal ialah 60,000 ekor lembu setahun seperti yang diumumkan oleh CEO Izran ketika majlis menandatangani perjanjian pinjaman itu.

Seterusnya Salleh berkata, "dari operasi tahun 2009, NFC masih belum mendapat pasaran dan tempat penyembelihan hanya diluluskan pada bulan April tahun tersebut, sijil halal diperolehi dua bulan kemudian dan Piawaian Kesihatan Veterinar, adalah wajib sebelum daging dapat dijual, dalam tahun 2010."

Salleh menambah, NFC perlu menghantar para pekerjanya untuk menjalani latihan untuk mendapatkan kepakaran bagi mengendalikan operasi ternakan lembu.

Perkataan yang disebut Salleh ini nampak seperti seorang yang amatur dalam bidang ini, merayu supaya kita memahami masalah ini akibat prestasinya yang mengecewakan.

Ini berbeza dengan ucapan Izran pada 2007 apabila beliau berkata, "kami ingin memainkan peranan penting untuk memimpin, struktur dan mentransformasi industri daging lembu bagi mencapai 40% keperluan negara."

Izran juga berkata, aktiviti-aktiviti syarikat termasuk "lembu feedlot dan pengeluaran makanan melalui kontrak dan perladangan satelit, penyembelihan, pemprosesan, pemasaran dan lain-lain aktiviti hiliran dan huluran."

Untuk perladangan kontrak, NFC akan "membantu pihak-pihak terpilih untuk mendapatkan pinjaman, untuk memula projek dan latihan lanjutan dalam bidang pengeluaran dan pentadbiran perniagaan termasuk menyediakan lembu, bahan pemakanan dan perkhidmatan veterinar. Skop aktiviti ini terdapat dalam laman web NFC.

Ekuiti yang cukup?

Maka amat jelas wujudnya jurang di antara realiti dan retorik dalam kisah NFC ini.

Salleh berkata, NFC hanya memulakan operasi pada 2009. Tetapi kenapa tidak pada 2008 memandangkan syarikatnya telah memperolehi pinjaman besar ini lebih awal?

Secara tidak langsung, operasi syarikat ini bergantung sepenuhnya kepada pinjaman mudah ini tanpa mempunyai ekuiti yang mencukupi dari para pemegang sahamnya. Jika ini benar-benar terjadi maka terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam penganugerahan projek ini.

Salleh memberitahu bahawa permintaan dalam pasaran menjadi penghalang hingga membantutkan perkembangan projek ini sehinggalah pada 2010. Tetapi bagaimana mungkin ini terjadi sedangkan negara kita telah mengimport 80% daging lembu dari luar negara?

Aduan serupa ini hanya mendedahkan kelemahan mereka untuk mengendalikan perniagaan ini.

Dengan mendawa pihak yang memberi projek melambatkan kelulusan-kelulusan yang diperlukan hanya sebagai alasan sahaja.

Hakikatnya, sukar untuk menolak kemungkinan berlakunya salah guna kuasa dalam pemberian projek ini, termasuk kecuaian jenayah (oleh pihak kerajaan) dan pecah amanah (pengendali projek) dalam menyalah guna dana awam.

Langkah yang sebaik-baiknya ialah dengan mendakwa pihak yang terlibat, mendapatkan semula dana itu dan melantik usahawan yang benar-benar berwibawa untuk mengendalikan projek ini.


Adakah kerajaan BN sanggup melakukannya, atau perkara yang sama, seperti biasa akan dibiarkan terus berlaku? -FMT

Khuatir BN Tak Dapat Undi Dari Kaum Guru, Muhyiddin Batal Projek Rintis Guru

Posted: 19 Nov 2011 11:02 PM PST

Ekoran bantahan keras kesatuan-kesatuan sekerja, Putrajaya membatalkan projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang dicadangkan untuk dilaksanakan di Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor mulai Januari depan.

Projek itu mendapat tentangan ketika Barisan Nasional membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka dipanggil dalam waktu terdekat.

Minggu lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan menggesa Putrajaya membatalkan sahaja projek perintis guru bertugas sembilan jam sehari atas alasan kajian itu satu tindakan membazir selain tidak mendapat maklum balas positif daripada kalangan tenaga pendidik.

Selain itu, NUTP juga mendakwa dasar baru tersebut tidak sesuai buat masa sekarang memandangkan kebanyakan sekolah kurang kemudahan selesa dan kondusif bagi guru.

Di bawah dasar baru ini, guru sebelah pagi dikehendaki berada di sekolah dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang manakala guru sebelah petang pula dikehendaki masuk sekolah 9.30 pagi dan bertugas sehngga 6.30 petang.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada kerajaan menilai dan meneliti terlebih dahulu hasil laporan kajian daripada projek yang dimulakan di Melaka.

"Kita tidak mahu perkara itu diteruskan secara perintis tanpa guru sendiri memahami tujuan di sebaliknya.

"Mungkin banyak pihak yang tidak faham apakah matlamatnya sehingga ada tanggapan bahawa ia menambah beban dan menyulitkan kerja guru atau tanggungjawab guru," kata beliau di Labuan, Sabah.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau telah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam tidak meneruskan kajian tersebut.

"Sebab itu, saya telah memaklumkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam agar kajian ini tidak diteruskan," katanya mengulas reaksi pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari diteruskan kerana menurut mereka ia amat membebankan kerja guru.

Beliau berkata tanggapan projek itu membebankan guru adalah tidak tepat kerana ia merupakan satu program yang dibuat untuk memantapkan profesion perguruan di negara ini yang diputuskan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Pengarah Pelajaran.

"Profesion perguruan ini ada keistimewaan... berlainan sedikit dengan perkhidmatan awam yang lain kerana dia guru, dia mengajar, dia mendidik dan membimbing dan masa sepenuhnya ditumpukan di bilik darjah, di luar darjah dan kawasan rumah kampung pun guru berperanan," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata rakyat dan juga guru tidak perlu risau kerana kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak terutama daripada kewajaran untuk meneruskan projek itu. -TMI

Ulasan GB

Pucat jugak Muhyiddin ya apabila menyedari dan mendapat makluman bahawa kaum guru akan menolak UMNO BN jika projek rintis guru bekerja 9 jam sehari diteruskan.


Bekas Pembantu Jururawat Didakwa Perdagangkan Bayi Perempuan

Posted: 19 Nov 2011 08:30 PM PST

Bekas pembantu jururawat di sebuah hospital swasta sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia dua bulan enam hari, tahun lepas.

Gulab Jan Abdul Jabir (gambar) dari Selayang Baru, Batu Caves di sini mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, Gulab, 49, didakwa memperdagangkan bayi berkenaan bagi tujuan eksploitasi di No 07-01 Pangsapuri Seroja, Jalan Rimbunan Raya, Laman Rimbunan Kepong, Sentul di sini pada 8.15 malam, 14 November 2010.

Wanita itu, yang ditangkap pada 14 Oktober lepas, didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Asyiqin Zulkifli menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, tetapi peguam K.Muthiah memohon anak guamnya diikat jamin RM10,000 kerana dia sebelum ini diberikan jaminan sama di mahkamah itu bagi kes serupa.

Mahkamah membenarkan Gulab diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pada 16 Jun lepas, Gulab mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan bagi tujuan sama pada 1 November 2010.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang doktor di sebuah hospital swasta mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membuat butiran palsu bagi pendaftaran bayi perempuan berusia dua bulan enam hari, pada 26 Jun hingga 21 September 2010.

Dr Mohammad Feizal Abdullah, 72, didakwa melakukan kesalahan itu di Hospital Taj, Jalan Ipoh, Sentul di sini, mengikut Seksyen 36 (a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam M. Manoharan dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes itu akan disebut semula pada 20 Disember ini. -BERNAMA

Kebun Jering Jadi Tempat Lelaki Warga Emas Lepaskan Nafsu Ke Atas Murid Tahun 6

Posted: 19 Nov 2011 07:30 PM PST

.ALOR GAJAH - Perubahan sikap yang berlaku ke atas ­seorang murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah dekat sini, mendedahkan perbuatan kejam seorang lelaki warga emas yang didakwa merogol kanak-kanak terbabit sejak empat tahun lalu.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Negeri (Operasi dan Risikan), Superintendan R Gunarajan berkata, kejadian itu berlaku sejak 2007 ketika mangsa berusia lapan tahun dan sedang bersekolah dalam Tahun Dua di sekolah terbabit sering diperkosa oleh suspek yang berusia 60 tahun sehingga penghujung 2010.

Menurutnya, difahamkan mangsa dirogol secara berterusan sejak 2007 dan perbuatan kejam itu disyaki dilakukan suspek berulang kali tidak mengira waktu sama ada di rumah atau di kebun jering berhampiran rumah mangsa di sebuah Felcra di daerah ini.

"Perubahan sikap mangsa itu disedari seorang guru kaunseling pada Selasa lalu yang melihat mangsa kemurungan sejak kebelaka ngan ini sebelum memujuk mangsa untuk menceritakan masalah yang dihadapi.

"Mangsa kemudiannya memaklumkan dia dirogol seorang lelaki yang juga jiran sebelah rumahnya ketika ketiadaan ibu bapanya di rumah," katanya.

Gunarajan berkata, selepas itu guru kaunseling itu menemui ibu bapa mangsa dan menceritakan kejadian yang berlaku sebelum diarahkan membuat laporan di balai polis berhampiran serta menjalani pemeriksaan di klinik.

"Mangsa yang dilihat sugul dan murung dibawa ke klinik kesihatan berdekatan untuk menjalani pemeriksaan dan hasil mendapati mangsa tidak mengandung," katanya.

Katanya, suspek yang berusia 60 tahun itu ditahan di rumahnya pada petang laporan dibuat kedua ibu bapa mangsa dan suspek kini ditahan reman sehingga 22 November ini bagi menjalankan siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan memperkosa gadis bawah umur dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Seksual dan Kanak-kanak Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) untuk siasatan lanjut," katanya. -SH

Harga Kelapa RM3 Sebiji Di Terengganu

Posted: 19 Nov 2011 05:00 PM PST

Kuala Terengganu - Ramai pengguna terutamanya suri rumah terkejut mendapati harga kelapa meningkat di antara RM2.50 hingga RM3 sebiji dan beberapa penjual mendakwa kenaikan itu kerana bekalan yang berkurangan.

Menurut mereka, harga kelapa mula meningkat sejak beberapa hari lalu dan santan segar pula dijual dengan harga RM9 satu kilogram.

Peniaga kedai runcit, Yusof Abdullah, 43, berkata, sebelum ini kelapa dijual antara RM1.20 dan RM2 sebiji, bergantung pada saiz dan dia terpaksa menjual dengan harga tinggi daripada biasa kerana kurang mendapat bekalan.

"Pembekal juga menjual dengan harga lebih tinggi berbanding biasa," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, penjual nasi dagang Fatimah Awang, 46, berkata, harga nasi dagang sekarang dijual RM2.50 sebungkus kerana kenaikan harga bahan asasnya termasuk kelapa.

"Sekarang susah hendak cari nasi dagang dengan harga rendah seperti dahulu terutama di bandar ini," katanya.

Katanya, kenaikan harga kelapa itu bukan sahaja melibatkan peniaga nasi dagang tetapi juga peniaga makanan yang lain.

Pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat kenaikan harga kelapa, sementara pengarahnya Hasan Jusoh meminta pemborong kelapa menghubungi bahagian operasi FAMA untuk mendapatkan bekalan jika perlu. -kosmo

Gejala Budak Pantai Di Pulau Tioman

Posted: 19 Nov 2011 04:12 PM PST

Pulau Tioman: Berwajah unik, muda, seksi, sasa dan mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, itulah kelebihan pekerja pantai khususnya golongan lelaki sekitar pulau ini hinggakan ada pelancong wanita yang cair dengan penampilan mereka.

Digelar beach boy atau budak pantai, kehadiran golongan itu nyata menjadi daya penarik kepada pelancong asing terutama wanita namun ada kalanya kurang disenangi penduduk setempat yang melihat ia ancaman kepada budaya dan sosio ekonomi masyarakat di situ.

Seorang budak pantai yang hanya mahu dikenali sebagai Aju, 20, berkata sejak tiga tahun terbabit dalam aktiviti pelancongan di pulau itu, sudah dua wanita meminta dia menjadi teman di bilik tidur mereka dan kedua-duanya pelancong asing.

"Sebelum ini saya hanya mendengar cerita rakan mengenai perkara itu namun selepas ia benar-benar berlaku depan mata, saya tidak dapat menolak, tambahan pula mereka yang meminta saya ke bilik.

"Apapun perkara itu sebenarnya berlaku kerana saya berada dalam keadaan antara sedar atau tidak kerana pengaruh alkohol, kami sebenarnya bertemu kali kedua di sebuah restoran yang menyediakan minuman keras. "Ia bukannya pesta atau majlis tertentu sebaliknya restoran biasa yang tiba-tiba menjadi seakan pesta apabila semakin ramai pengunjung tiba," katanya.

Ditanya mengapa dia mengunjungi restoran berkenaan, Aju berkata, dia hanya menemani pelanggan sebelum diajak minum bersama malah restoran itu sememangnya menjadi pilihan pelancong dari luar negara.

"Ia adalah tuntutan kerja dan pada masa sama ia memberi ruang untuk golongan seperti saya bergaul dengan masyarakat luar khususnya pelancong asing," katanya.

Seorang lagi budak pantai yang hanya mahu dikenali sebagai Din Lanun, 24, berkata kebanyakan pelancong yang sudi menjadi teman mereka biasanya mempunyai sebab atau agenda tersendiri kerana golongan itu biasanya membabitkan pelancong bajet atau backpacker.

"Mereka biasanya ingin tinggal lebih lama dan untuk menjimatkan wang, mereka sanggup bermalam di rumah atau hotel bersama budak pantai yang kebanyakannya akan membiayai sewa hotel dan makan minum sepanjang mereka menginap.

"Biasalah jika mereka memberikan sesuatu mestilah mereka hendakkan sesuatu, bak kata orang situasi menang-menang,
" katanya.

Sementara itu, orang lama yang pernah bertugas sebagai budak pantai di situ yang mahu dikenali Lan Tatu, 40-an, berkata amalan gaya hidup Barat dalam kalangan budak pantai tidak sehebat zamannya kerana pelbagai agensi kini memantau aktiviti golongan itu.

"Dulu aksi ghairah pasangan boleh dilihat di mana-mana termasuklah di bandar Tioman, iaitu Kampung Tekek, selain pelbagai pesta tari di tepi pantai namun kini aktiviti itu tidak lagi wujud di sini kerana ada agensi yang memantau.

"Memang masih ada pesta tari menari dengan minuman memabukkan terutama ketika musim kehadiran pelancong ramai (Mac-Ogos) tetapi ia diadakan di kawasan terpencil terutama di Salang (kampung).

"Kebanyakan budak kita hanyut kerana kedudukan kampung itu yang agak terlindung selain harga minuman keras yang murah berikutan status pulau sebagai pulau bebas cukai," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong, Deborah Ghinjo, 25, berkata tidak semua pelancong asing mengambil kesempatan dengan mencari teman semata-mata untuk menetap di sesuatu tempat secara percuma atau murah.

"Ia sebenarnya atas kehendak sendiri kerana ada kalanya seseorang itu akan tertarik dengan cara hidup atau penampilan seseorang yang jarang dilihat di tempat asalnya di Barat, adalah perkara biasa apabila perkenalan antara lelaki perempuan dibawa ke bilik tidur. "Itupun berlaku atas dasar suka sama suka dan bukannya atas kehendak satu pihak saja, apapun saya faham adat dan budaya hidup masyarakat sesebuah negara berbeza dan sebagai pelancong kita cuba memahami sebanyak mungkin perkara itu untuk mengelak kesulitan di masa depan," katanya. -HM


Ulasan GB

Apakah gejala yang terang-terangan mengundang kemurkaan Ilahi ini merupakan salah satu ciri status negara maju yang sering dicanangkan?


[Video] 25% Penduduk Brussels, Belgium Adalah Muslim

Posted: 19 Nov 2011 02:29 PM PST

Lebih dari 250 ribu penduduk Brussels yang memiliki akar Muslim, menurut sebuah penelitian yang dilakukan oleh Universiti Katolik Leuven di Belgium dan disiarkan oleh media Belgium Jumaat lalu. Jumlah ini bererti seperempat jumlah seluruh penduduk kota yang mencapai satu juta orang lebih.

Gambar: Kelihatan beberapa orang muslimah di sudut kota Brussels

Penelitian ini dilakukan oleh Felice Dasetto, seorang hli sosiologi dan profesor di universiti yang dianggap berkeahlian dalam isu-isu yang berkaitan dengan Muslim di Belgium.

Brussels adalah ibukota politik Kesatuan Eropah. Separuh dari penduduk Belgium, tinggal di kota ini.

Angka tersebut menempatkan Belgium di antara kota-kota Eropah lainnya dengan kehadiran Muslim yang besar seperti Birmingham di Britain, katanya dalam laporan penelitian.

Kehadiran Islam menjadi lebih terlihat di Brussels setelah beberapa masjid dan menara baru terbina. Selain itu, kini di kota itu mudah menemukan perempuan mengenakan jilbab dan organisasi Islam juga banyak muncul di kota itu. -kuna.net.kw



Kebenaran Terdedah: Pemberian "One-Off" RM100 Bermotifkan Politik!

Posted: 19 Nov 2011 07:40 AM PST

BN didakwa peralat bantuan RM100 untuk sekolah

Kerajaan didakwa memperalatkan cara penyerahan bantuan persekolahan RM100 untuk semua pelajar apabila mensyaratkan wakil rakyat atau pemimpin yang dipilih hadir membantu ketika penyampaiannya dibuat.

Pemimpin pembangkang juga berpendapat, tindakan itu sekali gus menunjukkan kerajaan tidak jujur menyalurkan bantuan dengan cuba mendapatkan political mileage atau pulangan politik.

"Ini menunjukkan bahawa duit tersebut bukan sangat bertujuan untuk membantu murid atau keluarga, tetapi lebih kepada kepentingan politik, (tunjukkan) yang beri itu Umno atau BN," kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Arahan itu dikesan melalui sepucuk surat daripada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Rosli Mohamed bertarikh 11 November lalu kepada pelbagai bahagian pengurusan sekolah, termasuk semua pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Kandungannya menyatakan, mesyuarat jemaah menteri pada 28 Oktober memutuskan, wakil rakyat atau "wakil terpilih kerajaan persekutuan" hendaklah membantu menyampaikan bantuan itu kerana ia "touch point" kerajaan kepada rakyat.

"Sehubungan itu, semua JPN hendaklah mengambil tindakan SEGERA terhadap keputusan tersebut dan memastikan pengagihan bantuan dianjurkan oleh pihak sekolah bagi mencapai hasrat kerajaan," surat itu dipetik.

Bantuan itu ekoran pengumuman bantuan persekolahan RM550 juta atau RM100 kepada setiap pelajar oleh Menteri kewangan Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lalu.

Langgar batasan

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata, arahan Dr Rosli itu jelas menunjukkan bagaimana ketua pentadbir kementerian tidak profesional, tidak amanah dan tidak jujur kerana "menjadikan kementerian sebagai alat politik".

"Penyampaian itu disampaikan oleh Umno dan BN dengan sendirinya membuktikan bahawa bantuan itu sendiri bukan bertujuan untuk meringankan beban rakyat, tetapi bertujuan mendapat habuan politik," katanya.

Dalam masa yang sama, kedua-dua pemimpin itu juga melihat tindakan Dr Rosli melanggar batasan seorang penjawat awam.

"Bagi saya benda begini serahkan pada sekolah. Macam tak ada kepercayaan. Apakah pegawai pendidikan tidak mewakili kerajaan? Saya tak kisah jika menteri pelajaran atau KSU, pengarah pelajaran negeri, guru besar... wakili kerajaan.

"Ini penghinaan. KSU beri imej tidak baik, macam tak ada kepercayaan pada sektor kerajaan," kata Mahfuz yang juga anggota parlimen Pokok Sena.

Manakala Saifuddin pula menyifatkan tindakan Dr Rosli itu terang-terang melangggar prinsip dan etika sebagai penjawat awam.

"Saya nasihatkan dia berhentilah bermain politik. Ia menyalahi prinsip penjawat awam tidak boleh memihak," kata anggota parlimen Machang itu. -mk


Wang bantuan sekolah RM100 diberi di pejabat Umno

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang juga ketua Wanita PKR hari ini mendedahkan wang bantuan RM100 kepada murid sekolah diberikan di pejabat Umno.

Zuraida mendakwa sebuah sekolah rendah di Ampang membawa pelajarnya ke pejabat Umno bahagian untuk mendapatkan wang bantuan terbabit.

Malah bantuan tersebut diberikan oleh Ketua Umno bahagian Datuk Ismail Kijo di bangunan Umno Ampang di Jalan Bukit Belacan.

"Saya dapat panggilan dari guru besar dan ibu bapa yang memberitahu murid-murid terpaksa dibawa ke bangunan Umno Ampang untuk menerima wang itu," kata Zuraida dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Tindakan itu disifatkan Zuraida sebagai petanda jelas Umno begitu terdesak untuk menipu rakyat bagi mendapatkan undi kerana ia sepatutnya disalurkan terus kepada sekolah dan tidak membabitkan campur tangan parti politik.

Diumum Najib

"Sepatutnya bantuan itu diserahkan oleh kakitangan kerajaan atau pun daripada Kementerian Pelajaran," katanya.

Wang bantuan persekolahan RM100 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 sepatutnya disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing dengan serta-merta.

Wang bantuan itu akan diagihkan kepada pelajar Tahun Satu hingga Tahun Lima dan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011.

Manakala bayaran bantuan kepada pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu sesi persekolahan 2012 akan dibayar pada Januari tahun depan. -FMT


Isu ISA: SUHAKAM Perlu Adukan Kepada Agong Tentang "Kebiadaban" Menteri KDN & KPN

Posted: 19 Nov 2011 06:30 AM PST

Suhakam gesa bebas 13, henti guna ISA hingga akta baru digubal

KUALA LUMPUR, 19 Nov — Suhakam melahirkan rasa amat kecewa dan terkejut dengan tindakan Putrajaya menahan 13 individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhubung dakwaan kegiatan gerakan militan di Sabah awal minggu ini ketika ia sedang dalam proses memansuhkan undang-undang tersebut.

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata, tindakan terbaru ini benar-benar mengejutkan dan sama sekali bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berani dan bersejarah untuk memansuhkan ISA serta pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia serta perseimbangan antara hak tersebut dengan peraturan undang-undang dalam sistem demokrasi berparlimen negara – yang telah lama dinanti-nantikan dan amat dialu-alukan dengan sepenuh hati oleh rakyat.

"Selaras dengan seruan yang telah dibuat sebelum ini agar undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan, suruhanjaya menggesa agar pihak berkuasa membebaskan kesemua mereka yang ditahan di bawah undang-undang tersebut dan memberikan hak mereka kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Katanya, Suhakam juga menyeru kerajaan supaya menghentikan penggubalan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan agar menangani isu berkaitan keganasan di bawah undang-undang lain yang sedia ada dan sementara pemansuhan ISA dibuat, tiada sebarang penangkapan akan dijalankan di bawah akta berkaitan.

Dalam kenyataan semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertahankan penahanan 13 anggota kumpulan militan di Sabah baru-baru ini menggunakan ISA atas alasan dibuat selepas polis mendapat maklumat risikan dari dalam dan luar negara.

Beberapa pihak menggesa agar kesemua 13 mereka dibebaskan.

Antaranya, Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling menggesa polis supaya menjelaskan kedudukan sebenar penahanan itu supaya tidak disalah tafsir dan menimbulkan sangkaan buruk.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan juga mempertikaikan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menjanjikan mahu memansuhkan ISA tetapi mereka ditahan.

Ismail berkata, soal keselamatan tidak harus dipermainkan kerana keselamatan negara adalah tanggungjawab utama polis iaitu bagi membendung apa sahaja boleh mengancam dan menggugat keselamatan negara.

Kelmarin, Ismail mengesahkan tujuh rakyat Malaysia dan enam warganegara asing ditahan di Sabah sejak Isnin lalu mengikut Seksyen 73 (1) ISA kerana disyaki ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah.

Identiti dan nama kumpulan militan itu tidak dinyatakan namun sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan.

Hishammuddin pula berkata kesemua enam warga Indonesia yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti militan akan diusir segera ke negara asal mereka.

Beliau berkata, tujuh warga tempatan yang turut ditahan bersama mereka akan didakwa di mahkamah sebaik siasatan selesai dan segala bukti dapat dikumpulkan.

Katanya, semua yang ditahan itu didapati mendapat latihan ketenteraan serta terbabit dalam penyeludupan senjata dan kegiatan mereka dikategorikan serius bukan saja oleh Malaysia tetapi juga pihak berkuasa Indonesia dan agensi lain di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak gunakan sewenang-wenangnya ISA. Ia akan terhad kepada isu keganasan jadi pengesahan pihak Indonesia itu sedikit sebanyak membantu membuktikan kewajaran tindakan kita," katanya.

September lalu, Najib mengumumkan ISA dimansuhkan dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan sebarang individu semata-mata kerana ideologi politik.

Bagaimanapun, dua akta baru bagi menggantikan ISA perlu dikuatkuasakan dahulu sebelum pemansuhan ISA boleh dilakukan. -TMI

Ulasan GB

SUHAKAM, yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong nampaknya tidak dihormati oleh Menteri KDN dan Ketua Polis Negara.

Ini bererti kedua-dua mereka tidak menghormati Yang Dipertua Agong.

SUHAKAM perlu lebih tegas dan pro-aktif bagi mempastikan kerajaan persekutuan menjunjung janji mereka untuk menghapuskan ISA.

Rakyat meminta SUHAKAM supaya mengadap ke bawah duli Yang Dipertuan Agong mengadukan "kebiadaban" menteri KDN dan juga KPN yang masih terus-terusan bertindak menggunakan ISA sedangkan mereka boleh menggunakan pelbagai akta lain. Langkah menggunakan semata-mata untuk kerja mudah tahan tanpa bicara.

[Video] Malaysia 1 Myanmar 0, Malaysia Mara ke Perlawanan Akhir [updated]

Posted: 19 Nov 2011 05:04 AM PST

Malaysia melangkah ke perlawanan akhir Sukan SEA ke 26 apabila berjaya mengalahkan Myanmar 1-0 di stadium Gelora Bung Karno Jakarta. Sekalipun jurulatih Ong Kim Swee tidak dapat bersama kerana digantung gara-gara membantah keputusan pengadil pada perlawanan akhir kumpulan A ketika menentang Indonesia tempohari.

Gol Malaysia dijaringkan oleh Ahmad Fakri Saarani pada minit ke 85. Malaysia akan menentang pemenang perlawanan separuh akhir di antara Indonesia dan Vietnam. Perlawanan akhir dijadualkan pada jam 8.30 malam hari isnin.


laporan zikrihusaini:

Line Up malaysia u23:

GK – Fahmi,
DEF – Mahali, Muslim, Fadhli, Asra
MID – Nazmi, Baddrol, Irfan, Fakri, Fandi
ST – Syahrul.

Dah nak bermula!!! Nampak ong kim swee kat tepat penyokong. Huhu, sabar jerla.

Separuh masa pertama

Minit ke 1: Dah mula, myanmar terus mengasak. Syahrul buang bola ketepi. Hantaran kedalam buat myanmar.

Minit ke 3: Ruginya. Hampir nak gol tadi. Syahrul Azwari, kemudian Irfan Fazail. Hadui. Keeper myanmar cepat bangun. Cekap!!

Minit ke 7: Malaysia diasak, serangan banyak dibuat dari gerakan disebelah kiri.

Minit ke 9: Myanmar dah 2 corner. Bahaya seyh. Malaysia ditekan. Kena mark betul-betul pemain myanmar nih.

Minit ke 12: Sepakan prcuma buat myanmar. Pemain malaysia dipersalahkan. KFC cemerlang!!

Minit ke 13: Hantaran dari siapa kurang pasti. Tandukkan kurang kemas.

Minit ke 16: Rentak macam slow sikit. Bola banyak passing dibawah dari malaysia.Fakri sha'rani macam tak berapa tak menjadi. Mungkin menunggu izzaq faris masuk 2nd half.

Minit ke 20: Syahrul Azwari dibengkes oleh pemain mynamar pemain no19. Siapa ntah. Kecederaan yang agak serius nih. Macam mana nak lari nanti.

Minit ke 22: Penguasaan myanmar, memang nampak sangat dah nih. Apa yang terjadi. Alamak sepakan percuma buat myanmar. Mudah buat KFC tangkap bola lencong itu.

Minit ke 24: Irfan fazail sepak kemana tuh. Mula mengasak malaysia. Bagus. Cuma masih tidak kemas lagi.

Minit ke 27: Syahrul Azwari tak dapat nak berlari laju, tengokkan jer hantaran irfan fazail. Lagipun peluang agak tipis kalau kejar bola tuh.

Minit ke 29: Rugi!! Fakri sha'rani sikit lagi. Tampanan dah nak kena kepala keeper myanmar.

Minit ke 31 : Siapa pemain malaysia injured. Nazmi injured tempat kaki dia kena masa lawan indonesia.

Minit ke 34: Adui banyak masa dibuang. Semua stok injured jer. Baik dari malaysia mahupun Myanmar. Mungkin kualiti padang. Entahla.

Minit ke 36: Offside. Fakri sha'rani sudah berada kawasan depan. Cepat sangat.

Minit ke 40: Myanmar mula mengasak disebelah kanan. Berjaya mencuri bola. Muslim ahmad berjaya menyelamatkan keadaan.

Minit ke 43: Nazmi membuat terjahan pemain Myanmar. Sepakan percuma buat mereka. Alamak, bahaya!! Pertahanan malaysia kental.

Minit ke 45: 2 minit masa tambahan. Apa pun tak boleh.Baddrol Bakhtiar dilayangkan kad kuning. Tamat perlawanan.

Ulasan masa pertama:

Permainan agak slow , dengan banyak yang injured. Malaysia macam terikut rentak myanmar. Meletakkan fakri seorang didepan memang tak boleh untuk menghasilkan gol. Pertahanan sudah mantap. Muslim cemerlang di bahagian pertahanan.

Mungkin separuh kedua, malaysia akan cuba tukar strategi. Perlu bantuan serangan bahagian diatas. Kelemahan myanmar dibahagian pertahan memang jelas sebenarnya. Harus lakukan sesuatu.

Separuh masa kedua!

Minit ke 45: Syahrul Azwari membuat hantaran lintang. Fakri , tak berapa kemas tanduk.

Minit ke 46: Syahrul Azwari sekali lagi, membuat gerakan seperti jaringannya ketika lawan indonesia. Tetapi sepakan terlalu lemah dan jauh. Sikit jer lagi tuh.

Minit ke 48: Tandangan sudut buat Myanmar, bahaya!! Kena betul-betul mark. Pertahanan bagus , membuat clearance yang kemas.

Minit ke 49: Cross yang lemah dari Fakri Sha'rani. Hadui. Mengecewakan.

Minit ke 53: Pemain no 15, myanmar ada mengalami kecederaan. Masa berjalan.

Minit ke 56: Apa nih fakri???? Hadui. fail lah. tingal tanduk sikit jer lagi. Pertukaran pemain dari myanmar yang cedera tadi.

Minit ke 58: Fandi othman, hadui cross yang sikit jer lagi.

Minit ke 59: Ruginya peluang depan gol tadi, fandi cross tapi tak sampai ke syahrul azwari.

Minit ke 61: Akhirnya malaysia dapat sepakan sudut pertama. Tapi takda kesudahan.

Minit ke 63: Fakri sha'rani agak fail. Dah bagi cantik dari Mahali.

Minit ke 64: Nasib baik, KFC cemerlang. Fuhhh… Bahaya, sepakan sudut yang ke 5 buat myanmar dan pertukaran pemain. Gurusamy IN, Nazmi OUT.

Minit ke 65: Bahaya pertahanan malaysia, sebelah kanan. Alamak sepakan percuma buat myanmar. Harap KFC dan pertahanan berjaga-jaga. Sepakan terkena pertahanan malaysia.

Minit ke 68: Cuak gak nih. Adui masih takda gol dari malaysia.

Minit ke 71: Izzaq faris masuk, Syahrul Azwari OUT. Harap menjadilah!!

Minit ke 72: Sepakan percuma buat malaysia, tetapi kurang menjadi. Izzaq kurang kedepan sedikit jer lagi.

Minit ke 74: Sepakan sudut buat malaysia. Harap gol!!!

Minit ke 75: Izzaq dipersalahkan. Sepakan percuma buat myanmar. Penyokong indonesia semakin mula membanjiri stadium bung karno. Agak tertekan.

Minit ke 77: Fandi membuat cross tepat ke izzaq, tetapi tidak tepat. Rugi!!!

Minit ke 80: Mana gol nih?? Fakri mengalami kecederaan. Cemas sungguh.

Minit ke 81: Izzaq faris tak jadi cross. Adui.. Kemana bola tuh??

Minit ke 85: Fakkkkri golllllllll 1-0 .Cantik seyh!!!

Minit ke 88: Izzaq faris terlepas peluang, cross dari fandi. Lambat sikit jer.

Minit ke 90: 3 minit masa tambahan. Bahaya!!! Myanmar membuat serangan!! Izzaq mengalami kecederaan yang agak seruis. Adui….. sepakan sudut, buat myanmar. Jaga-jaga orang wei.

Minit ke 92: Cepat wei bertahan semua. Pemain myanmar kena kad kuning. Captaion pun kena kad kuning.

Minit ke 93: Malaysia menang!!! 1-0 tahniah, bakal bertemu indonesia atau vietnam. Kita tunggu jerlah.


Maaf, video cuma dapat dirakam mengunakan hp murah GB. :(

Ops, di youtube dah ada yang lebih baik: saksikan:



Tiada ulasan: