Khamis, 17 November 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Najib Bohong, ISA Masih Terus Digunakan. 10 Aktivis PAS Sabah Ditahan Bawah ISA

Posted: 17 Nov 2011 12:30 AM PST

PM perlu malu ISA diguna lagi'

Penahanan terbaru sekumpulan lelaki bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disifatkan "mengesahkan kesangsian" rakyat terhadap pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan akta itu sebelum ini.

"Kini ia amat pasti bahawa pengumuman itu hanyalah untuk kepentingan politik Najib dan tidak serius dan jujur dalam memansuhkan akta zalim ini," kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh dan Penyelaras NGO hak asasi Suaram E Nalini.

Perdana menteri pada malam hari Malaysia mengumumkan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta akan mengkaji semula undang-undang lain bagi memastikannya memenuhi kehendak semasa.

Dalam kenyataan bersama Syed Ibrahim dan Nalini hari ini, mereka mempersoalkan sama ada Najib cuba memperdayakan rakyat Malaysia berhubung penangkapan pertama selepas pengumuman pemansuhan ISA pada 15 September lalu.

"PM perlu berasa malu atas penangkapan ini," kata mereka sambil menyifatkan tuduhan ke atas kumpulan lelaki itu masih tidak pasti.

Polis dilaporkan menggunakan ISA di Sabah kerana didakwa terbabit dengan kegiatan militan yang menggunakan Tawau sebagai tempat transit senjata dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang beroperasi dari Kalimantan.

Senaraikan nama, status

Bagaimanapun, memetik sumber, laporan Berita Harian dan The New Straits Times itu tidak sepakat sama ada 10 atau 11 orang ditahan bawah akta kontroversi itu.

GMI dan Suaram pula menyifatkan jumlah dilaporkan hanyalah angka "tidak rasmi" kerana sumber mereka memaklumkan kemungkinan 14 orang ditahan.

Kedua-dua NGO itu turut menyenaraikan nama invidividu yang didakwa ditahan, termasuk status pekerjaan mereka.

Menurut GMI dan Suaram, identiti mereka: Mohd Nazri Dollah (guru agama), Yusof Saripuddin (peniaga ayam) Muhd Adnan Umar dan Darto Bandu (guru tuisyen), Muhd Abduh Umar (pemandu lori), Faizal Hamma dan Joni @ Muadz (pengedar akhbar harian) dan Bakar Baba (guru).

Tiga lagi individu lain - dikenali Adwan, Azmi dan Suriadi - tidak dinyatakan nama penuh dan status pekerjaan mereka.

Pesuruhjaya polis Sabah Datuk Hamza Taib ketika dihubungi dilaporkan enggan mengulas penahanan tersebut kerana kes itu dikendalikan Bukit Aman. -mk

10 AKTIVIS PAS SABAH DI TAHAN DI BAWAH ISA

Oleh : MOHD AMINUDDIN ALING

MASYARAKAT seluruh Tawau tergempar dengan berita penangkapan 10 pendakwah dan aktivis Islam di Tawau pada hari Isnin 14 November 2011.

PAS Sabah mohon supaya pihak polis mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kedudukan sebenar supaya berita ini tidak disalah tafsir dan akan menimbulkan pelbagai sangkaan buruk terhadap setiap orang yang ditangkap.

Tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman bin Omar. Keluarga/Waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) AKDN 1960 (ISA).

Penangkapan tanpa waran, tanpa notis atau dimaklumkan dilakukan di hadapan isteri dan anak-anak terlalu tragis. Situasi ini dilakukan oleh pihak polis yang lengkap bersenjata dengan cara yang kasar bagai satu rompakan dan dirampas beberapa komputer riba (laptop) dan sejumlah wang tunai.

Baru sahaja Perdana Menteri menghebahkan dengan gahnya bahawa ISA akan dimansuhkan kini kelegaan rakyat dikejutkan dengan tangkapan ISA. Di manakah kesungguhan Perdana Menteri,? Jujurkah beliau semasa membuat kenyataan pamansuhan ISA? Kini AKTA ISA yang 'draconian' (mengerikan) itu menjelma kembali.




NOTIS....Notis tangkapan ini diserahkan kepada keluarga mangsa.


Antara yang ditangkap adalah pendakwah yang disegani di seluruh Tawau. Apakah tangkapan ini menunjukkan sikap 'bengis' kerajaan (UMNO-BN) terhadap kerja-kerja Islam? Masyarakat yang sakit moral kini sangat perlukan pendakwah kenapa mereka ditangkap. Anehnya pembawa punca keruntuhan akhlak dan moral dibiar berleluasa. tanpa tindakan yang proaktif.

PAS Sabah sangat dukacita dan kesal terhadap tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang akan menyebabkan porak-poranda kepada seluruh keluarga orang-orang yang ditahan dan sekali gus memberi kesan atau impak yang negatif terhadap masa hadapan anak-anak mereka.

PAS Sabah menuntut, supaya semua tahanan tersebut dibebaskan serta merta tanpa syarat.

(NOTA : Mohd. Aminuddin Aling ialah Pesuruhjaya PAS Sabah) -sabahkini


Rogol Gadis Bawah Umur Dalam Kontena

Posted: 16 Nov 2011 11:30 PM PST

Angkara terlalu mengikut nafsu, seorang duda kepada tiga anak sanggup menjadikan gadis bawah umur yang baru dikenali tiga minggu sebagai pemuas nafsu dengan merogolnya di dalam sebuah kontena di belakang sebuah stesen minyak di Paka, Dungun, 4 Julai lalu.

Bagaimanapun, natijah perbuatan terkutuk Jefri Hisham Devandass, 31, dari Kampung Teluk Menara, Manir, Kuala Terengganu itu terbalas setelah dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman dijatuhkan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin selepas tertuduh yang bekerja sebagai buruh mengaku bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 4 Julai lalu antara jam 8.45 malam sehingga jam 9 malam di dalam sebuah kontena di belakang sebuah stesen minyak di Paka, Dungun didakwa telah merogol seorang gadis bawah umur, 15 tahun 5 bulan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menarik tangan mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah dan memaksa masuk ke dalam kontena tersebut lalu bertindak membuka pakaian mangsa.

Sejurus berbuat demikian, tertuduh telah merogol mangsa di atas katil di dalam kontena tersebut kira-kira lima minit.

Mangsa berjaya melarikan diri selepas tertuduh beredar dari lokasi kejadian sebaik sahaja merogolnya dan terus membuat laporan polis di Balai Polis Dungun dengan ditemani ahli keluarganya.

Laporan perubatan turut mendapati ada kesan koyakan baru pada kemaluan mangsa. Rentetan laporan dibuat, tertuduh berjaya ditangkap pada 9 November lalu kira-kira jam 10.45 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kampung Kebor Air Manir, di sini. -SH

Bagaimana Wang Rampasan Dalam Simpanan Polis Boleh Hilang?

Posted: 16 Nov 2011 08:48 PM PST

Wang rampasan hilang dari IPD Shah Alam

KUALA LUMPUR: Sebahagian daripada AS$300,000 (RM950,000) wang tunai dirampas daripada tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyamun tiga pengurup wang asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 September lalu dilaporkan hilang dalam simpanan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah yang mengesahkan kehilangan itu, berkata selain wang tunai RM11,700, beg duit milik semua suspek turut dilaporkan hilang dari pejabat pegawai penyiasat kes yang terletak di bangunan lama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam.

"Kita menjalankan siasatan terhadap semua pegawai dan anggota kita yang mengendalikan kes berkenaan serta mereka yang bertanggungjawab untuk berada di pejabat penyimpanan bahan bukti siasatan kes," katanya ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga siasatan yang dijalankan pihaknya sendiri selesai.

Dalam kejadian 15 September lalu, polis menahan tiga pegawai kanan SPRM kerana dipercayai terbabit melakukan samun ke atas tiga penggurup wang asing selepas dipercayai bersubahat bersama dua lagi suspek awam.

Bagaimanapun, sehingga sekarang polis hanya berjaya merampas sebahagian wang tunai daripada ketiga-tiga suspek, manakala selebihnya dilaporkan berada dalam simpanan suspek awam yang masih diburu.

Ketiga-tiga pegawai SPRM terbabit didakwa ke Mahkamah Sesyen Sepang pada 7 Oktober lalu atas tuduhan bersubahat melakukan rompakan, penyamaran dan penipuan serta menyembunyikan rancangan rompakan terhadap tiga warga Singapura yang dalam proses membawa wang berkenaan keluar dari negara. -BH

Ulasan GB

Kecuaian? Konspirasi?

Sepatutnya Ketua Polis Selangor perlu letak jawatan kerana kegagalan menjalankan tugas dan tanggungjawab menjaga "bahan bukti".

Orang Asli 68 Kampung Berdemo Beri Amaran Kepada MB Negeri Sembilan

Posted: 16 Nov 2011 06:40 PM PST

300 Orang Asli bantah depan SUK NS

SEREMBAN: Lebih 300 Orang Asli dari seluruh Negeri Sembilan hari ini menyuarakan bantahan selama tiga jam di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini berhubung Dasar Baru Pemilikan Tanah Orang Asli.

Sejurus selepas itu, mereka menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membantah cadangan kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar baru itu.

Jurucakap 'Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Negeri Sembilan' (JKKOANS), Ezuli Langkap berkata pihaknya membantah cadangan itu dengan sekeras-kerasnya sepertimana dilaporkan akhbar Utusan Malaysia 22 September lalu.

"Kami juga kesal dengan kenyataan Menteri Besar yang mengatakan masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan adalah setinggan.

"Setiap keputusan yang dibuat tanpa merujuk dan berbincang dengan kami. Beliau langsung tidak sensitif kepada masyarakat kami.

Sebaliknya beliau telah memperlekehkan masyarakat kami yang merupakan masyarakat asal Negeri Sembilan dan Malaysia", kata Ezuli.

Tanah adat

Mengikut Ezuli, pelaksanaan Dasar Baru Pemilikan Tanah Orang Asli nanti akan menyebabkan mereka kehilangan hak turun-temurun ke atas tanah adat mereka.

"Semua tanah adat kami akan diambil alih kerajaan. Seterusnya kerajaan akan beri dua ekar tanah yang akan dimajukan samada oleh Felcra atau Risda.

"Selepas itu kami tak perlu lakukan apa-apa dan bayaran sebanyak RM1,500.00 dalam bentuk saham lot akan diberikan setiap bulan.

"Kami membantah langkah ini kerana dengan ini kami akan kehilangan hak ke atas tanah adat resam kami yang kami usahakan sejak zaman nenek moyang kami.

"Malah kami mampu mencari pendapatan melebihi dari apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri. Contohnya ketika ini ramai di antara kami menoreh getah, menjual petai dan akar kayu," jelas Ezuli.

Ezuli mendesak kerajaan negeri agar membatalkan dasar pemberimilikan tanah yang dicadangkan oleh kerajaan pusat.

Beliau menggesa supaya keseluruhan wilayah tanah adat mereka diiktiraf mengikut Artikel 26 dalam Undang-Undang Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDRIP) berkenaan dengan hak Orang Asal. -FMT

Dakwa dihina MB: Orang Asli 68 kampung berdemo

Kira-kira 100 Orang Asli daripada 68 perkampungan sekitar Negeri Sembilan berhimpun di bangunan setiausaha kerajaan negeri di Seremban bagi menuntut menteri besar memohon maaf kerana menyamakan kampung mereka dengan "setinggan".

Menamakan diri mereka Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Negeri Sembilan (JKKOANS), kumpulan itu mendakwa kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan pada 21 September lalu sebagai "menghina" dan "tidak sensitif".

"Mohamad Hasan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti ini kerana ia amat mengguris hati kami dan juga mendedahkan lagi kehidupan kami dan anak-anak kami kepada rasa tidak hormat masyarakat luar kepada kami," kata penyelaras JKKOANS Langkap Kessu.

Mohamad dilaporkan berkata, perkampungan Orang Asli sebelum ini dibina di atas tanah hutan simpan atas ihsan negeri dan secara tidak langsung bermakna "kampung setinggan" dan mereka tidak mempunyai hak ke atasnya.

Justeru, katanya, kerajaan negeri membuat kajian bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan mengenal pasti semua kampung Orang Asli untuk diberi hak milik tanah kepada pemilik rumah.

Langkap menyangkal kenyataan itu atas alasan nenek moyang mereka berkurun lama menduduki wilayah tanah adat itu, malah perkampungan mereka lebih awal daripada rizab hutan simpan.

Teriak, sorak 3 jam

Tambahnya, kenyataan Mohamad juga bercanggah dengan kebebasan asas yang termaktub dalam Perkara 5 (hak untuk hidup), Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang) dan Perkara 13 (hak kepada harta benda) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian bukan Orang Asli yang menceroboh rizab hutan simpan tetapi pihak-pihak yang berkenaan yang mencerobohi wilayah tanah adat kami," kata Langkap.

"Kami mengakui bahawa kami miskin dari segi wang ringgit namun demikian bukan bererti kerajaan negeri atau kerajaan pusat harus membuat sesuatu atas nama untuk membangunkan kami tanpa menghormati apakah pandangan dan keputusan kami dalam perkara itu."

Sebelum itu, Orang Asli yang menunggu Mohd Hasan menghadiri mesyuarat Exco lebih tiga jam berteriak, bersorak dan membawa banyak kain rentang.

Beberapa slogan - seperti "Jangan ganggu kami", Jangan menghina asal usul nenek moyang kami dengan perkataan setinggan" dan "Di mana nenek moyang kami dikuburkan, di situ wilayah tanah adat kami" - kelihatan dipamerkan.

Sementara itu, ketika menerima memorandum tersebut Mohd Hasan berkata kepada Langkap bahawa beliau akan membaca kandungannya terlebih dahulu. -mk


Saya Bahagia, Perbezaan 38 Tahun Tak Jadi Halangan - Noor Mahayu

Posted: 16 Nov 2011 05:04 PM PST

Pilihan saya tepat'

TANAH MERAH: "Saya bahagia. Walaupun hanya mengenali suami ketika diijabkabulkan Jumaat lalu, dia kelakar dan mudah bertolak ansur," akui Noor Mahayu Shamsuddin, 26, yang bertemu jodoh dengan warga emas berusia 64 tahun.

Menurutnya, dia tidak mengenali Mat Ibrahim, imam Masjid Mukim Bechah Laut di sini, sebelum ini kerana semuanya diuruskan keluarga.

"Semuanya keluarga yang aturkan dan saya hanya tahu bakal suami imam. Hanya dalam tempoh tiga minggu dirisik, saya selamat diijabkabulkan," katanya.

Menurut Noor Mahayu, keputusannya berkahwin dengan lelaki 38 tahun lebih tua daripadanya yang juga duda dibuat atas kerelaan sendiri, tanpa paksaan sesiapa.

"Nasihat ayah yang paling utama. Saya buat keputusan tepat (berkahwin dengan Mat) memandangkan dia mempunyai latar belakang agama yang baik dan perkahwinan ini juga sangat istimewa bagi saya.


"Saya hanya melihat wajah suami ketika dinikahkan dan baru sedar saya pernah melihatnya di hospital ketika menjaga arwah ibu yang ketika itu sakit, dua bulan lalu," katanya ketika ditemui bersama suaminya di Kampung Baru, Bechah Laut, semalam.

Noor Mahayu berkata, dia juga mahukan anak ramai seperti diinginkan suaminya bagi menyambung zuriat mereka.

Sebelum ini, anak bongsu daripada tujuh beradik itu pernah bekerja di syarikat swasta di Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang sakit saraf. Ibunya bagaimanapun meninggal dunia, dua bulan lalu.

Noor Mahayu turut berkorban menjaga bapanya yang cacat kaki akibat kencing manis.

"Selain menjaga ayah, kini saya turut menjaga suami tercinta," katanya ceria.

Semalam, muka depan Harian Metro melaporkan, perkahwinan Noor Mahayu dan Mat yang diibaratkan perkahwinan selebriti apabila bernikah pada tarikh istimewa iaitu 11 November lalu atau bersamaan 11.11.11.

Pasangan itu selamat dinikahkan jam 11 malam pada tarikh berkenaan di Batu 11 di sini, dengan wang hantaran RM5,011.

Majlis resepsi mereka diadakan kelmarin dengan diiringi 11 das tembakan senapang patah oleh penduduk kampung selain diarak dengan 60 kereta dan 40 motosikal, malah meriah dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu. -HM

Jodoh imam dengan gadis muda

TANAH MERAH - Perarakan 60 kereta dan 40 motosikal dengan 11 das tembakan ke udara mencipta kelainan sempena meraikan majlis perkahwinan Imam Bechah Laut bersama gadis yang 37 tahun lebih muda.

Mat Ibrahim, 64, berkata, jodoh pertemuan ditentukan ALLAH SWT dan perkahwinan keduanya itu akhirnya ditakdirkan bersama gadis 38 tahun lebih muda, Normahayu Shamsudin, 26.

Menurutnya, majlis akad nikah dilangsungkan pada tarikh 11.11.11 tepat jam 11 malam di Masjid Batu 11 dengan hantaran RM5,011.

"Kami tidak pernah berjumpa, cuma saya pernah menyatakan hasrat hati untuk mendirikan rumah tangga kepada rakan baik yang kemudiannya memperkenalkan saya kepada anak saudaranya.

"Perkongsian hidup bersama arwah isteri yang meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang awal Syawal lalu, selama 40 tahun tidak kurniakan dengan zuriat membuatkan saya tegar untuk menikah kali kedua dengan harapan impian untuk memiliki anak sendiri tercapai nanti," katanya kepada Sinar Harian pada majlis kesyukuran sempena meraikan majlis perkahwinannya yang dihadiri 1,000 penduduk sekitar.

Mat berkata, hasratnya itu pasti jadi kenyataan apabila mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati dengan restu kedua-dua keluarga.

"Walaupun sudah berumur, namun keluarga isteri dapat menerima saya seadanya dan merestui perhubungan ini.

"Selepas ini saya tidak lagi sunyi apabila sudah ada yang menemani setiap masa jika dulu hanya menumpang kasih anak saudara dan adik beradik," katanya. -SH


Isy.. Seluar Wak Satim Dah Terlondeh Lagi....

Posted: 16 Nov 2011 02:54 PM PST

Sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2012 hari ini menjadi gempar berikutan pendedahan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pelbagai salah guna kuasa Barisan Nasional Selangor membabitkan kehilangan jutaan ringgit yang turut melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Satim Diman.

Selain Satim, Abdul Khalid juga mendedahkan usaha pengambilan tanah oleh bekas menteri Besar Selangor, isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin politik setempat bagi mendapat beberapa lot tanah dikawasan elit.

Dalam sesi penggulungan itu, Khalid mendedahkan Ketua Pembangkang, Satim Diman telah membuat beberapa transaksi berhubung penjualan tanah di Science Park 2 semasa pentadbiran BN dulu.

Tanah tersebut merupakan tanah milik kerajaan negeri yang telah diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk tujuan pembangunan pendidikan sains.

Menurut Khalid, pemberian tanah tersebut bagaimanapun dijual oleh Satim dengan harga murah kepada Nikmat Inai Sdn Bhd, di mana Satim adalah salah seorang pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah.

"Belum selesai syarikat Satim membayar belian kepada PKPS, atas kuasa politik yang beliau pegang, tanah itu dijual kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga berlipat kali ganda.

"Inilah berjayanya Satim Diman menjadi orang tengah untuk mengaut untung atas angin atas dasar Bumiputera,"jelas Khalid.

Sidang DUN yang masuk hari kelima hari ini turut digemparkan dengan pendedahan Khalid berhubung tanah Revolusi Hijau di Alam Perdana yang melibatkan bekas Menteri Besar dan isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin politik setempat membolot beberapa lot tanah.

"Tanah ini telah menjual kepada Barisan Elit untuk taman penindustrian walaupun tanah itu masih berstatus pertanian.

"Meskipun Barisan Elit tidak boleh memulakan projek perindustrian, namun yang berkuasa adalah orang berkepentingan maka projek tersebut dijalankan sedangkan rakyat Selangor kerugian puluhan juta hasil bayaran premium," katanya.

Selain itu, ladang seluas 12,000 ekar di Sabah yang dikatakan dijual oleh PKPS pada 2006. Ladang ini djual RM8,000 seekar kepada syarikat Bumiputera.

Namun seperti juga kes Science Park 2, Khalid berkata, ladang ini dijual pula kepada Rimbunan Hijau, syarikat yang ada kaitan dengan parti komponen BN
.

Mengulas lanjut salahlaku pembangkang ini, Khalid menjelaskan Kerajaan Negeri pada akhirnya berjaya memaksa Barisan Elit Sdn Bhd membayar RM29 juta untuk menukar syarat dari pertanian kepada perindustrian.

"Tiga contoh ini menunjukkan Umno-BN sentiasa menggunakan isu Bumiputera dan memperjuangkan hak Melayu namun mereka adalah dalang yang menghakis hak kepentingan rakyat Selangor,"kata Khalid lagi.

Beliau yang juga Adun Ijok berkata sejak Mac 2008, kerajaan Pakatan Rakyat telah mengamalkan reformasi dalam pentadbirannya yang amat mementingkan ketelusan, kecekapan dan pertanggungjawaban serta bersih dari amalan rasuah dan kronisma.

Kesan dari reformasi ini, kata Khalid telah memberi keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding pentadbiran terdahulu, malah mampu mengembalikan hasil negeri untuk rakyat Selangor. -tvsnews

MB dedah penyelewengan pemimpin BN S'gor

Beliau menamakan tiga pemimpin sebagai contoh - Satim Diman, Dr Mohamad Khir Toyo dan isteri Noh Omar - terlibat dengan pelbagai bentuk salah guna kuasa.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan mengenai pelbagai salah guna kuasa oleh pimpinan Barisan Nasional (BN) yang didakwa membabitkan kehilangan jutaan ringgit.

Ketika sesi penggulungan Belanjawan 2012 di Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini semalam, beliau berkata Ketua Pembangkang, Datuk Mohammad Satim Diman telah membuat beberapa transaksi berhubung penjualan tanah di Science Park 2 semasa Selangor ditadbir BN.

Selain itu terdapat usaha pengambilan tanah oleh bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo; isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar serta pemimpin politik setempat bagi mendapat beberapa lot tanah di kawasan elit.

"Saya mengingatkan Ketua Pembangkang tentang transaksi jualan tanah di Science Park 2 di mana tanah kerajaan negeri telah diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPNS) dan dijual dengan harga murah kepada Nikmat Inai Sdn
Bhd di mana Satim adalah salah seorang pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

"Belum selesai syarikat Satim membuat bayaran belian kepada PKPNS, atas kuasa politik yang beliau pegang, tanah itu dijual kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga berlipat kali ganda.

Untung atas angin

"Inilah kejayaan Satim sebagai orang tengah untuk mengaut untung atas angin atas nama Bumiputera," sindir Khalid.

Menyentuh mengenai tanah Revolusi Hijau di Alam Perdana, tanah itu telah dijual kepada Barisan Elit Sdn Bhd untuk taman perindustrian walaupun tanah masih berstatus pertanian.

Menurut Khalid, tanah itu merupakan milik kerajaan negeri yang diberikan kepada PKPNS untuk tujuan pembangunan pendidikan sains.

"Meskipun Barisan Elit belum dibenarkan mengusahakan projek perindustrian, namun yang berkuasa adalah orang berkepentingan maka projek tersebut dijalankan sedangkan rakyat Selangor kerugian puluhan juta ringgit dalam bentuk bayaran premium," katanya.

Selain itu beliau berkata ladang seluas 12,000 ekar di Sabah turut dijual oleh PKPNS pada tahun 2006 dengan harga RM8,000 seekar kepada sebuah syarikat Bumiputera.

Katanya, ladang tersebut kemudiannya dijual pula kepada Rimbunan Hijau, syarikat yang mempunyai kaitan dengan parti komponen BN.

Khalid menjelaskan kerajaan negeri akhirnya berjaya memaksa Barisan Elit membayar RM29 juta untuk menukar syarat dari pertanian kepada perindustrian.

"Tiga contoh ini menunjukkan Umno-BN sentiasa menggunakan isu Bumiputera dan memperjuangkan hak Melayu namun mereka adalah dalang yang menghakis hak kepentingan rakyat Selangor," ujarnya.

Beliau turut menangkis dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang Abdul Shukor Idrus bahawa rezab negeri Selangor yang ditinggalkan oleh Khir Toyo berjumlah RM1.7 bilion.

Berdasarkan laporan kewangan pada 31 Mac 2008, rezab yang ditinggalkan mantan Menteri Besar itu hanyalah sebanyak RM689.51 juta. -FMT




Ulasan GB

Sebelum persidangan DUN Selangor bermula, Wak Satim Diman komain hebat buat kenyataan kononnya mahu "belasah" kerajaan PR Selangor sebab tak tunai janji pilihanraya katanya.

Alih-alih seluar Wak Satim pula yang terlondeh, satu demi satu, ibaratnya mula-mula seluar yang di luar lepas itu yang dalam pula.

Ia kerana nawaitu Wak Satim sendiri yang salah.. nak masuk perbahasan DUN semata-mata nak serang PR. Cukup tak baik hati Wak UMNO yang sorang ni. Bukan untuk membela rakyat di kawasannya.

Wak ni dah lama tak baca Al-Quran ni. Dengar sini Wak, GB nak mengingatkanmu, bahawa Allah sudah berfirman:


Sambil bersikap sombong di bumi dan berusaha merancangkan rencana jahat, dan tidak ditimpakan dengan rancangan yang jahat itu melainkan orang yang merancangkannya sendiri. Maka tiada yang mereka tunggu melainkan seperti berlakunya kebinasaan ke atas orang yang telah lalu. Kerana engkau tidak akan mendapati perubahan bagi Sunnatullah, dan engkau tidak akan mendapati Sunnatullah itu menyimpang. [Fatir: 43]


Sebelum ini GB ada ulas. Baca di:



Susu 1M'sia Ditarik Balik, Bukti Kebenaran Kualiti Produk KR1M Meragukan

Posted: 16 Nov 2011 07:25 AM PST

Susu 1M'sia ditarik balik, sos cili masih di pasaran

Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah menarik balik susu tepung jenama itu dari pasaran, sehari selepas dakwaan bahawa kandungannya melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Akta Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Dalam satu kenyataan di laman web hari ini, KR1M berkata produk itu telah dikeluarkan buat sementara waktu tetapi tidak memberikan sebarang sebab bagi berbuat demikian.

"Pembekal susu tepung KR1M telah dimaklumkan dan produk berkenaan telah dikeluarkan buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak," petik kenyataan itu.

Mengenai dakwaan sos cili jenama 1Malaysia yang didakwa mempunyai tahap raksa dan plumbum melebihi paras yang dibenarkan, pengendalinya menafikan perkara itu.

"Buat masa ini, ujian makmal dari pembekal menunjukkan bahawa formula produk itu mematuhi keperluan Akta Peraturan-Peraturan Makanan," petik kenyataan itu lagi. -mk

Susu formula 1Malaysia pula jadi sasaran Pua

Kandungan susu formula bayi yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985, dakwa ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Pua yang sebelum ini kerap kali membidas pengendali kedai itu, Mydin Mohamed Holdings Bhd, kali ini mendakwa 'susu membesar' 1Malaysia yang dijual itu mengandungi "lapan kali lebih banyak vitamin A daripada had yang dibenarkan".

"Kandungan vitamin A dalam susu itu adalah 6012 IU (unit antarabangsa) bagi setiap 100kcal atau 802 peratus di atas had maksimum yang dibenarkan,"
dakwanya, dengan mendasarkan perbandingan itu dengan had yang ditetapkan oleh Akta Peraturan Makanan.

Mydin, semalam telah membuat penjelasan berhubung beberapa dakwaan yang dibuat oleh Pua yang berkata produk di kedai berkenaan dijual pada harga lebih tinggi manakala kualitinya pula adalah rendah.

Pua berkata pengambilan vitamin A secara berlebihan boleh menyebabkan di 'Hypervitaminosis A', yang antara lain, boleh menyumbang kepada masalah hati, mengurangkan ketumpatan mineral tulang dan perubahan warna kulit.

Ditanya sama ada ia boleh menyebabkan keracunan, Pua berkata: "Nampak macam itu, tetapi saya bukan doktor. Awak boleh semak dengan seorang pengamal perubatan."

Ketika membandingkan formula susu 1Malaysia 300gm dengan Nespray 1 +, keluaran Nestlé, katanya, susu 1Malaysia kekurangan "nutrien utama" seperti yang disyaratkan oleh peraturan.

Beliau juga berkata 15 nutrien utama tidak terdapat dalam formula 1Malaysia itu: Asid lemak yang diperlukan; Vitamin D; Vitamin C; Vitamin B1; Vitamin B2; Nicotinamide; Vitamin B6; Asid Folic; Asid Pantothenic; Vitamin B12; Vitamin K1; Vitamin H; Vitamin E; Iodine dan Zink. -mk


Ulasan GB

Tadi, GB sudah ulas. Petikan:

Sepatutnya produk-produk yang berjenama 1Malaysia perlu menjalani ujian kualiti terlebih dahulu kemudian baru dipasarkan. Ini sudah terbalik. Ia dipasarkan kemudian diuji, itupun masih ada pihak penjual seperti Mydin yang mengampu menteri dan produk 1Malaysia tak tentu pasal kononnya ingin mendedahkan KEBENARAN!!!, sedangkan hakikatnya ialah KEPALSUAN!!!


Kedua, mengenai sos cili yang menurut Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) mendapati 3.64ppm plumbum dan 0.08ppm raksa atau merkuri sedangkan tahap yang dibenarkan untuk sos cili adalah 2ppm bagi plumbun manakala 0.05ppm untuk raksa.

Ia dinafikan oleh pembekalnya. Sedangkan yang menjalankan ujikaji yang membuktikan sos cili 1Malaysia itu merbahaya adalah sebuah makmal kepunyaan syarikat yang ditauliahkan di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) oleh Jabatan Standard Malaysia iaitu Unipeq Sdn Bhd, sebuah anak syarikat UKM.

Justeru itu, pembekal sos cili 1Malaysia PERLU menunjukkan bukti kajian makmal yang dikatakan COMPLY (mematuhi syarat)keperluan Akta Peraturan-Peraturan Makanan. Jika tiada bukti, maka pengguna dan rakyat BERHAK dengan menggunakan kaedah perundangan "caveat emptor" (let the buyers beware) untuk memboikot produk berkenaan kerana sudah ada kajian yang sahih bahawa produk itu MERBAHAYA.

Laporan sebelum ini,
klik untuk baca



Muhyiddin Terlibat Luluskan Projek Lembu Feedlot, Perlu Letak Jawatan Sama

Posted: 16 Nov 2011 04:57 AM PST

Petaling Jaya: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Jingga 13 hari ini mendesak Tmbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin segera meletakkan jawatan kerana turut bertanggungjawab dalam skandal pembelian kondominium mewah oleh National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd.

Ketua Koordinator Jingga 13 Fariz Musa berkata tindakan Muhyiddin yang membela Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberi gambaran bahawa seolah-olah Ketua Wanita Umno itu tidak bersalah apabila melibatkan wang rakyat sebanyak RM250 juta, yang sebenarnya dikhianati dan diselewengkan tanpa rasa bersalah oleh ahli keluarga beliau.

Turut menyokong kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin yang mahu Shahrizat meletakkan jawatan, Fariz berkata kenyataan Muhyiddin dan juga mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menafikan penglibatan Shahrizat itu dilihat begitu dangkal.

"Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail (suami Shahrizat) dan ahli keluarganya tidak akan memperolehi projek ini sekiranya mereka bukan ahli keluarga Shahrizat malah beliau juga turut merasai sama manfaat daripada projek tersebut.

"Beliau juga selaku menteri kerajaan gagal dalam menasihati ahli keluarga sendiri sehingga melibatkan penyelewengan dan berlakunya aktiviti pecah amanah yang melibatkan wang rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan pandangan Abdullah yang mahu Salleh sebagai Pengerusi Eksekutif NFC itu memberi penjelasan kepada ahli parlimen mengenai isu ini, namun dalam masa yang sama turut mendesak kes ini dibawa ke muka pengadilan kerana melibatkan jenayah pecah amanah.

"Kami mahu Muhyiddin meletakkan jawatan dengan segera kerana projek ini diluluskan oleh beliau serta termasuk meluluskan pinjaman RM250 juta dan beliau tahu kepada siapa projek tersebut diluluskan dan ternyata skandal NFC ini adalah satu bukti "projek nepotisme dan kronisme" yang dilakukan oleh pentadbiran Umno-Barisan Nasional.

NFC yang dilantik kerajaan sebagai integrator projek ternakan lembu kebangsaan dengan modal dana berjumlah RM250 juta, didakwa menggunakan dana tersebut untuk membeli kondominium mewah One Menerung bernilai RM9.8 juta di Bangsar.

Malah anak syarikat NFC, National Meat Livestocks Corporation (NMLC) yang membeli kondominium tersebut berhutang dengan NFC juga didakwa ditubuhkan dan dimiliki oleh pengurusan tertinggi NFC iaitu ahli keluarga Shahrizat. -FMT

NFC: Shahrizat tak perlu letak jawatan, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA, 15 Nov - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak terlibat secara langsung dalam Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), projek kontroversial yang diuruskan oleh anggota keluarganya, dan tidak perlu meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet dan parti.

Beliau mengulas demikian ekoran kenyataan pelbagai termasuk desakan wakil rakyat Umno-BN dari Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin semalam di Dewan Rakyat agar mereka yang bertanggungjawab dalam skandal NFC wajar meletakkan jawatan.

"Beliau (Bung Moktar) tidak mengatakan Shahrizat secara langsung terlibat sebab ini adalah soal bisnes yang dikendalikan oleh keluarganya, tetapi beliau tidak terlibat," kata Muhyiddin kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun katanya, gesaan timbalan pengerusi BBC-BN itu agar Shahrizat meletakkan jawatan adalah sesuatu yang tidak perlu di kalangan "orang sendiri."

"Ini sudah dijawab di Parlimen oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Datuk Seri Noh Omar) dan telah dibincang dan diperjelaskan dengan mendalam lebih sejam dan seharusnya disambut dengan baik.

"Sama ada betul (untuk meminta agar letak jawatan)Datuk Bung Moktar dengan sendirinya boleh fikir," katanya lagi.

Muhyiddin juga berkata syarikat yang terlibat seharusnya datang dengan penjelasan mereka sendiri dalam isu ini.

Kata beliau, ia akan membolehkan syarikat terbabit menjelaskan apa yang berlaku sebagaimana ditekankan oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya.

"Terserah kepada mereka," katanya.-TMI


152,182 Anak Luar Nikah Dalam 2 Tahun, Kegagalan UMNO Didik Rakyat

Posted: 16 Nov 2011 03:20 AM PST

Kuala Lumpur - Seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan Kementerian Pemba­ngunan Wanita, Ke­luarga dan Masyarakat dari 2008 hingga 2010.

Timbalan Menterinya, Heng Seai Kie berkata, dari pada jumlah itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan 41,490 orang, diikuti Selangor (18,983) dan Sarawak (17,570).

Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), telah menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara bagi mengintegrasikan pendidikan kesihatan reproductive dan sosial.

"Program itu melibatkan 64,000 remaja mengenai pendidikan dan risiko yang terpaksa ditempuhi kerana tindakan mereka," katanya semasa menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Mohd Jidin ingin tahu jumlah anak luar nikah direkodkan sejak 2008, punca masalah dan inisiatif kementerian membendung gejala itu.

Seai Kie (gambar) berkata, enam pusat remaja ditubuhkan untuk golongan sasar berumur antara 13 dan 24 tahun, bagi memberi maklumat berkaitan isu psikososial termasuk menyediakan khidmat kaunseling dan kemahiran hidup.

"Program outreach yang dilakukan di sekolah dan komuniti setempat itu berjaya mendekati 257,147 remaja, melalui 4,698 program dari November 2005 hingga September 2011," katanya.

Timbalan Menteri Ke­sihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula memberitahu dewan bahawa 24,813 orang, dimasukkan ke hospital kerajaan kerana masalah berkaitan mental tahun lalu.

"Setakat ini, kita ada empat institusi mental di seluruh negara, 42 hospital kerajaan yang menyediakan perkhidmatan rawatan mental dan 124 pakar dalam bidang tersebut," katanya kepada soalan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pas-Pengkalan Chepa).

Rosnah berkata, usaha sedang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran awam serta kepekaan masyarakat untuk mengenal pasti tanda-tanda awal dan mereka yang berpotensi mendapat rawatan awal. - Bernama


Anak luar nikah: Umno tidak relevan didik rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Umno telah gagal untuk mendidik rakyat ke arah hidup yang lebih seimbang dan tidak bermoral, kata Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din.

Katanya, Umno sentiasa mendakwa bahawa hanya mereka yang boleh menjaga umat Islam di negara ini tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Ini, katanya membuktikan kegagalan Umno untuk melaksanakan amanah mentadbir generasi muda di negara ini.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas media hari ini yang melaporkan bahawa seramai 152,182 anak luar nikah atau anak tak sah taraf direkodkan antara tahun 2008 dan 2010 yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.

"Apa yang berlaku adalah kerana dasar pendidikan kita yang gagal dalam mengeluarkan insan yang mampu merubah masyarakat, kementerian yang terbabit diseru melihat kepada angka ini dengan serius.

"Kita percaya seluruh rakyat Malaysia mahukan dasar pendidikan yang lebih 'bermakna' dalam kehidupan mereka dan bukan hanya mnegejar kecermelangan akademik sahaja semata-mata" kata beliau lagi," katanya.

Tambahnya, Umno tidak serius menangani masalah sosial, pandangan para ulamak tidak menjadi keutamaan dalam membuat keputusan, konsert-konsert yang tidak bermoral masih berleluasa, rakyat dihidangkan dengan kehidupan yang melangkaui batasan tanpa pemantauan yang sewajarnya melalui media massa sama ada surat khabar atau televisyen.

"Inilah akibat apabila Islam tidak dijadikan asas utama dalam perjuangan, media arus utama terutamanya televisyen dan pembikinan filem lebih cenderung menghidangkan pengisian-pengisian yang tidak sepatutnya, rakyat menjadi lalai untuk mengenali tujuan manusia dicipta oleh Allah s.w.t di atas muka bumi ini," ujar beliau lagi. -HD


Tiada ulasan: