Sabtu, 5 November 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Keluarga Mangsa Pemuda Ditembak Mati Oleh Polis Mahu Siasatan Lanjut Dilakukan

Posted: 05 Nov 2011 12:35 AM PDT

Keluarga mangsa tembakan, Khatir Oli Fakir Mohamad, 21, menghantar satu memorandum ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bagi menuntut siasatan lanjut selepas mangsa meninggal dunia 15 September lalu.

Dalam kejadian itu, Khatir Oli ditembak mati seorang anggota polis apabila didakwa cuba menyerang anggota terbabit dengan sebilah parang.

Dalam insiden yang sama, tiga lelaki lain juga ditahan ketika cuba menyamun sebuah kelab malam di Jalan Mustapha Al Bakri.

Anggota polis berusia 30-an yang terbabit mengalami kecederaan di muka dan badan kemuadiannya dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Laporan media mengatakan anggota polis itu menolong seorang wanita di kelab malam tersebut setelah mendengar jeritan meminta tolong.

Anggota polis itu mendapati wanita tersebut disamun empat lelaki masing-masing bersenjatakan parang.

Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang hadir pada majlis penyerahan memorandum berkenaan mahu hasil siasatan kes didedahkan kepada umum.

Menurut beliau, siasatan ini bagi mengelakkan kes-kes seperti ini tidak berulang memandangkan sebelum ini terdapat beberapa kes yang melibatkan anggota polis melepaskan tembakan seperti yang berlaku dalam kes Aminulrasyid Amzah di Shah Alam.

"Kita simpati dengan keluarga Khatir Oli, khususnya isteri dan anak kecil supaya kita berkehendakan satu keadilan, kenapa dia ditembak. Cerita yang kita dengar dari saksi-saksi yang ada tidak seperti yang dibuat oleh ketua polis.

"Dalam akhbar ketua polis kata dia perompak dan penjenayah. Adakah ini betul? Kita mahukan satu siasatan yang betul dibuat dan didedahkan kepada rakyat, mengapa dia ditembak pada jarak dekat.

"Untuk itu baru kita dapat keadilan. Sekarang ini pertuduhan itu belum ada siasatan. Jadi kita mahukan siasatan menyeluruh dan dedahkan," katanya. -tvsnews



Isu PPSMI: Mahathir "Berperang" Dengan Muhyiddin

Posted: 04 Nov 2011 11:11 PM PDT


PPSMI: Saya telah bincang dengan PM, kata Muhyiddin

Timbalan Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan untuk memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Muhyiddin, yang merupakan Menteri Pelajaran, berkata keputusan pemansuhan PPSMI yang diambil sebelum ini merupakan keputusan Kabinet yang dipengerusikan perdana menteri.

"Saya telah berbincang dengan perdana menteri (mengenai polemik PPSMI) sebelum beliau berangkat ke Mekah.

"Saya tidak ada kuasa (memansuhkan PPSMI). Keputusan juga tidak dibuat oleh Kementerian Pelajaran sahaja, lebih-lebih lagi ia satu polemik dan banyak pihak terlibat," katanya dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bahawa Perdana Menteri boleh mengubah Muhyiddin berhubung pemansuhan PPSMI.

Dr Mahathir telah memperkenalkan PPSMI pada tahun 2003.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Perdana Menteri turut mengemukakan pandangan-pandangan untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

"Beliau (perdana menteri) bertanya sama ada kandungan Kesusasteraan Inggeris dimasukkan lebih daripada apa yang ada sekarang," katanya.

Mengenai kenyataan Tun Mahathir yang berharap rakyat tidak marah berikutan keputusan pemansuhan PPSMi dan terus menyokong Barisan Nasional (BN), Muhyiddin berkata: "Saya pun berharap begitu".

Beliau berkata ibu bapa tidak perlu risau kerana anak-anak yang terlibat dalam PPSMI tidak terjejas dan tiada apa-apa yang tergendala berikutan peralihan penggunaan bahasa dan ia tidak membangkitkan masalah kepada rakyat.

"Saya fikir Tun (Mahathir) pun faham. Dia penyokong kuat BN. Kita buat keputusan bukan kerana kita suka-suka membuat keputusan tetapi saya percaya rakyat sedia terima (keputusan), terutamanya ibu bapa di mana lebih 5.3 juta pelajar terlibat dalam sistem sekarang," katanya. - Bernama


Dr M berkata Najib masih boleh selamatkan PPSMI

LANGKAWI, 4 Nov — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih boleh menghalang timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dasar yang diperkenalkan oleh pentadbirannya.

Dr Mahathir, yang masih dilihat sebagai pemimpin yang berpengaruh dalam Umno selepas berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun berkata, Najib boleh berbuat demikian demi negara.

Beliau berkata demikian di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin berkata keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI muktamad.

Mengulas desakan beberapa pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Muhyiddin berkata, tidak akan diadakan sebarang perbincangan lagi memandangkan kerajaan sudah pun memutuskan bagi memansuhkan dasar itu pada 2009.

"Ia sudah pun diputuskan oleh Kabinet pada 2009 selepas dibincangkan di banyak peringakt, telah diluluskan di Parlimen, malah disokong oleh pembangkang. Tiada reaksi negatif ketika itu. Saya tidak tahu mengapa ia dibawa kembali," kata beliau lagi.

"Kemungkinan mereka (pihak yang mendesak) sudah ketinggalan zaman," kata beliau sambil menegaskan kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan satu kumpulan kecil.

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan PPSMI harus dihormati dan diterima baik semua pihak.

Beliau dijangka mengumumkan perkembangan penting berkaitan dasar itu petang ini.

PAGE sebelum ini mendesak kerajaan agar mengekalkan PPSMI dengan mendakwa bahawa ramai kalangan ibu bapa mahu supaya PPSMI terus dikekalkan atau memberi pilihan kepada ibu bapa yang masih mahu mengekalkan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bagi anak-anak mereka.

PAGE juga menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya kelmarin.

Muhyiddin juga percaya dasar MBMMBI yang dilaksanakan mulai tahun ini bagi murid Tahun 1 melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu itu akan membuahkan hasil dalam tempoh beberapa tahun akan datang. -TMI


[Hairan] Najib Perlu Diberikan Kawalan Keselamatan Di Mekah?

Posted: 04 Nov 2011 09:19 PM PDT

Agak mengejutkan apabila PM, DS Mohd Najib Tun Razak terpaksa diberikan kawalan keselamatan sewaktu menunaikan hajinya di Mekah.

Ia memberikan pelbagai persepsi yang menghairankan seolah-olah Mekah sudah menjadi tempat yang tidak selamat dan kedua sudah ada "kasta" di dalam Islam yang membezakan seorang pemimpin negara dengan rakyat terbanyak, sekaligus mencemarkan ibadah haji yang sepatutnya menyamaratakan semua manusia tanpa mengira pangkat, kedudukan, harta dan sumpamanya.

Berikut dipetik dari blog Tinta Hijau Dari Kaki Bukit:

Presiden Iran Mahmud Ahmadinejad :





Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak :







Presiden Iran :

Beliau juga dikawal oleh tentera Arab Saudi tapi tidaklah sampai 23 pengawal tentera yang berpegangan tangan seperti Najib.Beliau lebih bebas bergerak bersama jamaah haji serata dunia.

Inilah falsafah haji sebenar, tiada kaya, meskin, hamba, bangsawan, orang putih atau hitam, mereka semua tiada beza disisi Allah...

Perdana Menteri Malaysia :

Ketika Najib dan Rosmah mengerjakan ibadah haji. Seramai 23 orang askar Arab Saudi diperlukan untuk mengepong mereka bagi memastikan tiada jemaah haji lain yang dapat datang menghampiri dan berasak-asak dengan mereka.

Fadhilat ditinggalkan, hanya kerja haji yang dibuat. Antara tujuan mengerjakan ibadah haji adalah merasai pengorbanan, keperitan, kesusahan para anbiya' terdahulu dengan tidak membezakan pangkat, darjat, kuasa, harta dan sebagainya.

Kesimpulan :

biarpun berisiko tinggi diapa-apakan oleh musuhnya, Presiden Iran ini hanya menerima kawalan keselamatan minimum semasa menunaikan haji. .Itu Presiden Iran, orang yang banyak musuh di dunia ini.

Apa hal pula dengan Najib yang sudah tentunya tidak bermusuh dengan AS atau Israel? Namun, apabila melihat puluhan pasukan keselamatan Saudi mengawalnya sambil berpegangan tangan, 1Malaysia (kecuali pencacai) berasa pelik dan hairan.


Anggota Polis Dituduh Merogol Pelajar Tkn 5 Dalam Balai Polis

Posted: 04 Nov 2011 06:56 PM PDT

Petaling Jaya - Seorang anggota polis berpangkat konstabel diarah membela diri di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap dua tuduhan merogol dan memaksa seorang gadis berusia 17 tahun melakukan seks oral di Balai Polis Putra Height, Subang Jaya tiga tahun lalu.

Gambar: Jamil diarah membela diri atas tuduh merogol gadis di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam.

Hakim Hayatul Akmal Abd. Aziz memutuskan demikian terhadap tertuduh Jamil Abdul Sah, 30, selepas mahkamah dapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Sehubungan itu, beliau menetapkan 20 Disember depan untuk tertuduh membela diri terhadap tuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, anggota polis itu didakwa merogol pelajar tingkatan lima itu di antara pukul 6 pagi dan 7 pagi, 18 Jun 2008 di Bilik Maklumat, Balai Polis Putra Height di sini.

Bapa kepada dua orang anak itu turut dituduh memaksa pelajar berkenaan melakukan seks oral di bilik sama dan pada waktu tersebut.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377B kanun yang sama, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 20 tahun juga sebatan jika sabit kesalahan. -kosmo

Ulasan GB

Apabila hudud dipinggir dan dihinakan, maka Tuhan buktikan pelaksana undang-undang pun bisa merogol...

Semakin banyak kita temui kisah polis merompak, mengugut, membunuh, merogol dan melakukan hal-hal mengejutkan yang menyebabkan jenayah terus berleluasa kerana ia dilakukan oleh orang yang ada pistol...

Dalam balai polis pun boleh berlaku kejadian rogol. Apakah ini juga bererti perempuan jangan dekati balai polis?

Atau semua balai polis perlu letak signboard besar-besar, "KAMI JAMIN TIADA PEROGOL & PENJENAYAH DISINI!" supaya orangramai berani ke Balai Polis?

[Dedah] UMNO Dalang Perobohan Rumah Penduduk Pantai Jerejak P.Pinang

Posted: 04 Nov 2011 05:23 PM PDT

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan pemimpin Umno adalah dalang di sebalik perobohan rumah penduduk kampung di Pantai Jerjak, Bayan Lepas.

Guan Eng pada sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang menegaskan, kerajaan negeri setakat ini tidak pernah merobohkan sebarang rumah tanpa memberikan pampasan yang sewajarnya.

Kenyataan ini sekaligus menafikan fitnah pihak pembangkang Pulau Pinang dan tindakan mereka yang sering memfitnah kerajaan Pulau Pinang sebagai anti-Melayu.

"Saya selalu difitnah anti-Islam oleh Umno dan anti-bukan Islam oleh Gerakan kerana menambah peruntukkan kepada majlis agama. Dengan ini, yang anti sebenarnya di sini tidak lain tidak bukan Umno sendiri.

"Tindakan ini tidak memberikan apa-apa kepada rakyat termasuk orang Melayu sendiri malah menunjukkan keangkuhan umno sendiri dalam usaha menangani isu kemiskinan.

"Kerajaan Pakatan Rakyat berpendapat, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan oleh sesebuah parti yang dipimpin oleh pemimpin Umno terutamanya rumah yang diroboh dihuni oleh mereka yang berumur 70 tahun.

"Kerajaan negeri akan cuba membantu mangsa dan tidak membenarkan sebarang permohonan syarikat pembangunan pemaju sehingga mangsa tidak diberikan sebarang pampasan yang sewajarnya dan ini prinsip perjuangan Pakatan Rakyat," katanya.

Ujar beliau, selama ini pihak kerajaan negeri akan berunding dengan semua pihak terutamanya pemaju sebelum membuat apa-apa keputusan terutamanya membabitkan perobohan mana-mana kawasan.

"Kita selalu berusaha untuk berunding. Biasanya pemaju sedia berunding seperti yang disebutkan tadi. Hanya mereka yang mempunyai kuasa sahaja tidak ingin berunding iaitu khususnya yang ada kuasa tidak lain tidak bukan yang menjadi pemimpin Umno. Itulah yang mereka rakus, angkuh dan tidak mahu berunding.

"Selalu kerajaan negeri dipersalahkan. Selalu saya sendiri yang kena. Semuanya tiada kaitan dengan kerajaan negeri dan kita lihat yang akhirnya buat perobohan adalah seorang pemimpin. Kita lihat di sini, yang roboh rumah kampung melayu adalah UMNO dan bukanlah kerajaan negeri,
" katanya.

Beliau percaya, rakyat Pulau Pinang akan tahu siapa yang sebenarnya merobohkan kampung Melayu adalah pemaju Umno sendiri. -tvsnews

Pemaju Roboh Rumah Pusaka

INILAH rumah pusaka Ghazali Ibrahim di Kampung Sungai Nibong Kechil,
George Town sebelum dirobohkan.

GEORGE TOWN – Gara-gara gagal mendapat persetujuan, enam beradik terpaksa berputih mata apabila rumah pusaka milik keluarga yang berusia 80 tahun di Kampung Sungai Nibong Kechil dekat Jalan Tun Dr. Awang di sini diroboh pemaju semalam.

Operasi meroboh dijalankan berikutan notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau ke atas penghuni rumah tersebut ketika ini, Ghazali Ibrahim, 63, pada 14 Oktober lalu.

Rumah tersebut terpaksa dirobohkan kerana tanah tersebut kini diambil alih oleh Koperasi Tunas Muda Berhad untuk memajukan projek perumahan.

Rumah Ghazali paling akhir dirobohkan kerana rumah penghuni lain yang dibina di atas tanah yang sama sudah dirobohkan beberapa bulan lalu.

Peguam Koperasi Tunas Muda Berhad, Syamsul Jamil berkata, tindakan mengusir penghuni dan meroboh rumah tersebut sepatutnya berkuat kuasa Ogos lalu tetapi ditangguhkan atas budi bicara pihak mahkamah dan pemaju.

Menurut beliau, pemilik rumah tersebut pernah ditawarkan pampasan sebagaimana ditetapkan oleh mahkamah tetapi ditolak.

RUMAH pusaka Ghazali dirobohkan dengan jentolak dalam masa yang singkat.

Kosmo! difahamkan pemaju menawarkan pampasan berjumlah RM42,000 kepada Ghazali.

"Operasi hari ini (semalam) adalah mengikut perintah mahkamah dan tindakan meroboh terpaksa diteruskan," kata Syamsul kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, adik Ghazali, Abd. Laziz, 61, berkata, dia kecewa kerana semua adik-beradik gagal mempertahankan rumah tersebut.

"Sekiranya abang saya (Ghazali) berbincang secara baik dengan pemaju, sudah tentu kami mendapat hak masing-masing (pampasan) yang setimpal.

"Sikap dia yang enggan berbincang dengan kami adik-beradik menjadikan masalah ini bertambah rumit sedangkan pemaju ada menawarkan sejumlah pampasan kepada pemilik rumah yang tanah mereka diambil," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin memberitahu, pihaknya berharap pemilik tanah dan pemaju masih dapat mempertimbangkan pampasan yang setimpal kepada keluarga tersebut. -kosmo



Ulasan GB

Siasatan terhadap latarbelakang pemaju iaitu Koperasi Tunas Muda Berhad yang bertindak merobohkan rumah di Georgetown tersebut untuk memajukan projek perumahan menunjukkan ia sebuah koperasi yang telah diasaskan di dalam tahun 1963 oleh beberapa pemimpin tempatan dengan sokongan UMNO Tanjung Ara.




Kes Hassan Ali: Pena Subky Latif Masih Tajam Rupanya!

Posted: 04 Nov 2011 10:12 AM PDT

Kes Hasan Ali tak perlu dipolemik oleh Subky Latif

KEHADIRAN Dr Hassan Ali, Exco Kerajaan Selangor dalam HIMPUNAN sejuta ummat di Stadium Shah Alam 22 Oktober lalu telah menjadi pertikaian panas dalam media.

Yang terjadi demikian ialah kerana partinya, PAS membuat keputusan tidak menyertai himpunan memprotes gejala murtad yang dianjurkan oleh beberapa NGO Islam.

Kerajaan Selangor yang dia adalah Exconya menyatakan tidak terlibat lalu menyerahkan kepada rakyat sama ada menyertainya atau berkecuali.

Lalu tiada mana-mana pemimpin PAS menjenguk ke stadium itu kecualilah Dr. Hassan. Demekian juga tidak diketahui mana-mana pimpinan kerajaan negeri hadir kecuali Dr. Hassan.

Dr. Hassan adalah pakar motivasi yang ulung. Sebelum bidang motivasi itu dikenali umum, maka Dr. Hassan sudah terjun ke situ. Ada dipercayai puluh ribu orang mendapat manfaat didikan dan latihan minda dari khidmatnya itu. Tidak terhingga bilangan orang yang telah terbuka mindanya setelah mendapat asuhan daripada kursus motivasi yang dianjurnya.

Jika sekalin yang kurang terbuka minda dari khidmatnya, maka tentulah sebagai pemecah kebekuan minda semua orang, lebih terbuka mindanya dari semua orang.

Tiada sebarang kesalahannya kepada partinya dan kerajaan yang didukungnya dengan kehadirannya itu. Partinya membuat keputusan tidak serta kerana menghormati penganjur tidak mahu ada penglibatan politik dalam himpunan itu, tetapi parti itu tidak melarang sesiapa menyertainya.

Jika pemimpinnya seperti Dato' Dr. Haron Din, atau Mohamad Sabu atau Mustafa Ali hendak pergi, maka mereka boleh pergi, bukan mewakili parti, tetapi atas nama diri sendiri. Bagaimana pun mereka menggunakan kelonggaran yang diberi oleh partinya.

Yang diketahui pergi Dr. Hassan. Tidaklah dia salah apabila dia menggunakan kelonggaran yang ada itu.

Kerajaan Negeri Selangor juga tidak melarang mana Exco dan kaki tangan kerajaan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri atau Penasihat Undang-Undang. Mereka boleh pergi dan boleh tidak pergi. Maka tiada exco yang dilihat kecuali Dr. Hassan. Kerana tidak larangan dari kerajaan, tiadalah salah bagi Dr. Hassan.

Dr. Hassan adalah pakar motivasi, pemecah segala fikiran yang buntu, pembuka saluran kepada pemikiran yang sempit. Jika dia boleh selesaikan semua masalah orang yang tersimpul, maka tentulah dia amat tahu apa yang dibuatnya.

Justeru itu kehadiran Dr. Hassan ke himpunan tidak wajar menjadi topik polemik mana-mana pihak kerana tindakannya tidak bercanggah dengan mana undang-undang dan prinsip demokrasi.

Partinya dan kerajaannya juga tidak membuat peraturan yang melarangnya hadir di majlis itu.

Hassan memiliki kelebihan dan keistimewaan dari lain-lain orang politik termasuk Dr. Mahathir. Orang lain payah pisahkan politiknya bila menyertai mana-mana kegiatan yang bebas politik. Kalau Dr. Mahathir dan isteri singgah ke mana-mana gerai di pasar malam atau Najib jenguk pondok India miskin, tanpa sebarang motif politik, tetapi orang kata adalah politiknya.

Kalau Tok Guru Nik Aziz singgah sembahayang sunat di mana-mana surau, lalu orang surau melihatnya minta beliau bagi sedikit tazkirah. Tetapi ia katakan berpolitik juga.

Payah bagi mereka hendak menyangkutkan baju politik di luar dinding.

Tetapi Dr. Hassan boleh sangkut jeket politik di luar pagar stadium untuk menyertai protes anti murtad itu dan tidak sesiapa melihat dia membawa sebarang makna politik.


Orang yang hadir tidak terasa dia orang politik dan yang tidak pergi yang melihat gambar hadir juga tidak terasa dia orang politik. Mungkin orang lebih melihatnya sebagai pakar mativasi.

Dalam polemik kehadirannya itu dia telah menyatakan pendiriannya tentang mengapa dia hadir walau pun partinya membuat keputusan tidak hadir. Kenyataannya itu langsung tidak berbau politik dan tiada sebarang kesan politik. Dia sangat berjaya membebaskan diri dari ikatan politik. Itulah agaknya dia jadi orang politik pembangkang yang sangat disenangi oleh Prof. Zainal Kling.

Saya teringat mula-mula Dr. Hassan Ali mula-mula menyertai PAS. Tak sampai beberapa tahun dia hendak bertanding Naib Presiden. Dia tanya pandangan saya.

Kata saya, 'Masuklah! Tiada undang-undang yang melarang dan demokrasi dalam PAS tidak menyekat.'

Dia menang. Dia kata pada saya, 'Orang cepat naik, cepat juga turun...!'

Saya gelak saja. Apa yang dia kata itu, macam dia meramalkan dirinya. -HD

Ulasan GB

Membaca tajuk dan beberapa perenggan pertama, GB semacam tak percaya tulisan di atas adalah dari seorang penulis yang GB amat kenal iaitu Sdra. Subky Latif. Walaupun Subky tak pernah kenal siapa GB walaupun GB pernah sekali-sekala menggantikan tempatnya sebagai penulis tamu di WATAN puluhan tahun dahulu.

Sebagai seorang yang tidak sekadar membaca yang tersurat, GB mencari apa yang tersirat di sebalik tulisan seorang penulis veteran dan bekas Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan di atas dan akhirnya GB dapat tersenyum juga.

Pertama, satu sindirin yang kemas dan tajam di perenggan ini:

Kalau Tok Guru Nik Aziz singgah sembahayang sunat di mana-mana surau, lalu orang surau melihatnya minta beliau bagi sedikit tazkirah. Tetapi ia katakan berpolitik juga.

Payah bagi mereka hendak menyangkutkan baju politik di luar dinding.

Tetapi Dr. Hassan boleh sangkut jeket politik di luar pagar stadium untuk menyertai protes anti murtad itu dan tidak sesiapa melihat dia membawa sebarang makna politik.


Tinggi ya mertabat Hassan Ali berbanding dengan TG Nik Aziz!

Kedua, entah kesilapan menaip oleh beliau atau editor harakahdaily tak perasan.. di perenggan ini ada semacam lelucon terselit:

Orang yang hadir tidak terasa dia orang politik dan yang tidak pergi yang melihat gambar hadir juga tidak terasa dia orang politik. Mungkin orang lebih melihatnya sebagai pakar mativasi.

Kemungkinan ia typo, tetapi hakikatnya, itulah yang tertulis di harakahdaily. Kalau ia typo, maka Allah s.w.t. jua yang menyebabkan penulis atau jurutaipnya disilap sebegitu.

Ketiga, ayat penulis veteran ini penuh makna dan sinis. Al-maklum penulis veteran, yang pernah menulis teks ucapan perbahasan Ahli Parlimen tunggal PAS satu ketika dulu, Nik Abdullah Arshad, ayahanda kepada Nik Amar yang sekarang ini ahli exco PAS Kelantan. Perhatikan perenggan ini:

Dia sangat berjaya membebaskan diri dari ikatan politik. Itulah agaknya dia jadi orang politik pembangkang yang sangat disenangi oleh Prof. Zainal Kling.

Masing-masing terutama ahli PAS kenal siapa dan apa "fikrah" Prof Zainal Kling. Ramai menggelarkan Prof itu sebagai professor kangkung, walaupun GB tidaklah sampai mengelar orang ke tahap itu. Sebab GB sentiasa bertemu dengan orang-orang yang dicapkan sebagai professor kangkung ini. Kebanyakan yang menjadi kangkung ini kerana kedudukan kerana pangkat kerana belum dapat hidayah.

Dan apabila Subky menyatakan Dr. Hassan Ali dikatakan disenangi oleh Prof Zainal Kling, maka fahamilah kita apa yang hendak disampaikan oleh Subky.

Sekangkungkah mereka berdua?

Keeempat di beberapa perenggan terakhir GB semakin senyum lebar.

Saya teringat mula-mula Dr. Hassan Ali mula-mula menyertai PAS. Tak sampai beberapa tahun dia hendak bertanding Naib Presiden. Dia tanya pandangan saya.

Kata saya, 'Masuklah! Tiada undang-undang yang melarang dan demokrasi dalam PAS tidak menyekat.'

Dia menang. Dia kata pada saya, 'Orang cepat naik, cepat juga turun...!'

Saya gelak saja. Apa yang dia kata itu, macam dia meramalkan dirinya.


Sekalipun usia Subky sudah agak lanjut, namun pena beliau masih tajam lagi rupa-rupaya.

Dan GB yakin Subky bukan jenis orang yang "berkecuali" kerana beliau tidak pernah bersetuju dengan sebarang "dasar berkecuali". Seingat GB, di dalam satu forum dengan Tan Sri Ainuddin bin Abdul Wahid (bekas Naib Canselor UTM) mengenai dasar berkecuali Malaysia, Subky menyatakan bahawa dasar berkecuali ialah dasar orang yang tak tahu nak buat apa-apa!

Begitu juga dengan kes Dr. Hassan Ali, Subky sepastinya tidak berkecuali sekalipun tajuknya menyatakan isu Hasan Ali tak perlu dipolemikkan kerana, orang awam dah tahu tentangnya, jadi buat apa berpolemik lagi?: cepat naik cepat turunnya, tak begitu? Bukankah itu hukum kebenaran?

Hanya jauhari yang mengenal mutu manikam. Hanya jauhari dapat melihat pena Subky yang semakin tajam.

Sudahlah Meniru Pakatan, Tak Betul Pula Pelaksanaan…

Posted: 04 Nov 2011 07:33 AM PDT

Petaling Jaya, 3 Nov – Kerajaan Barisan Nasional yang cuba menjadi juara rakyat dengan meniru Bajet 2012 Pakatan Rakyat dilihat lebih membawa kerugian, malah mungkin membankrapkan negara.

Ianya dilihat sebagai satu lagi projek pembaziran oleh kerajaan BN apabila mengumumkan akan menambah 2,000 pekerja tambahan untuk menguruskan permohonan bantuan RM500 kepada keluarga yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM3,000.

Adun DAP Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, keputusan kerajaan yang memperuntukkan RM1.8 bilion untuk menjalankan program itu menjelaskan maksud sebenar mereka yang tergesa-gesa mengejar populariti.

Menurutnya, kos mengurus untuk membantu orang miskin lebih tinggi daripada jumlah dan nilai yang akan diterima oleh orang miskin, dan semuanya ini bakal ditanggung oleh pembayar cukai.

Beliau berkata, kos tinggi yang terpaksa kerajaan persekutuan tanggung, iaitu sebanyak RM36 juta setahun jika gaji purata ialah sebanyak RM1,500 sebulan untuk 2,000 pekerja tambahan ini.

"Satu ketika dahulu, kerajaan persekutuan yang didalangi BN mengkritik hebat dasar Pakatan Rakyat kerana dikatakan akan menjadikan kerajaan bankrap.

"Kalau dasar Pakatan akan membankrapkan kerajaan, mengapakah BN pula melaksanakannya sekarang?


"Malah kerajaan persekutuan di bawah UMNO pula dilihat cuba menggunakan duit kerajaan untuk memperkayakan ahli-ahli mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor, berbanding Belanjawan 2012 Pakatan, peruntukan RM1.8 bilion oleh kerajaan persekutuan langsung tidak memperuntukkan satu sen pun untuk menampung perbelanjaan emolumen.

Justeru beliau mempersoalkan sama ada kerajaan BN sedar akan banyak kepincangan mereka sendiri, sehinggakan perlu mengupah 2,000 pekerja tambahan dan kos tersebut akan dimasukkan dalam Bajet Tambahan.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni kelmarin bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu mengupah seramai 2,000 pekerja tambahan untuk menguruskan program tersebut.

"Mengapakah kerajaan persekutuan tidak menggunakan tenaga kakitangan sedia ada untuk melaksanakan dasar ini?

"Adakah kerajaan persekutuan akan mengambil ahli-ahli UMNO untuk menjalankan program ini dan sekaligus menjadikan dasar ini alat pancing undi?

"Jikalau ini ialah apa yang berlaku sebenarnya, maka ini menunjukkan kerajaan persekutuan tidak merancang program ini sebaik-baiknya daripada permulaaan," katanya. – Roketkini

Mat Salleh Melihat Gelagat Penonton M'sia Dengan Penuh Kehairanan

Posted: 04 Nov 2011 06:09 AM PDT

Daripada ruangan pembaca mstar:

SAUDARA PENGARANG,

SAYA mengambil masa lebih kurang seminggu untuk menulis perihal perkara ini kerana menghormati mendiang Marco Simoncelli yang meninggal dunia dalam kemalangan ngeri dalam perlumbaan MotoGP Malaysia di Litar Sepang 23 Oktober yang lalu.

Saya adalah sebahagian daripada beribu peminat MotoGP yang berada di tempat duduk utama ketika kejadian itu berlaku.

Kami dapat menyaksikan dengan jelas kemalangan yang berlaku itu menerusi paparan skrin besar yang terletak di atas bangunan paddock bertentangan dengan tempat duduk utama.

Namun begitu apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah gelagat sebahagian besar penonton di tempat duduk utama yang memperlihatkan sisi buruk mereka kepada bukan sahaja para tetamu luar yang turut hadir menyaksikan perlumbaan tersebut tetapi juga kepada anggota-anggota pasukan yang mengambil bahagian dalam perlumbaan itu.

Lebih kurang sejam selepas skrin besar di hadapan tempat duduk utama menyiarkan kenyataan ringkas bahawa perlumbaan dibatalkan, para penonton telah bertindak membaling apa sahaja yang ada di tangan mereka - botol air mineral, payung, air kotak dan juga bungkusan makanan di atas trek sambil melaung-laungkan kata-kata maki ke arah anggota-anggota pasukan yang bertanding.

Gelagat mereka ini telah mencetuskan kehairanan kepada para anggota pasukan yang berada di paddock kerana keputusan untuk menghentikan perlumbaan adalah keputusan pihak penganjur dan pemegang lesen perlumbaan.

Mereka melihat gelagat rakyat Malaysia sambil mengeleng-geleng kepala tanda kecewa seolah-olah rakyat Malaysia tidak memahami mengenai protokol perlumbaan apabila sesuatu kemalangan besar berlaku.

Adalah menjadi amalan bahawa perlumbaan akan dibatalkan jika berlakunya kemalangan besar yang mengancam nyawa pelumba. Kita telah menyaksikan peristiwa ini berulang-ulang kali tetapi malangnya penonton Malaysia memilih untuk memperlihatkan sikap tidak bertamaddun mereka dengan bertindak membaling botol ke atas trek malah menghamburkan kata-kata makian ke arah pelumba dan pasukan mereka.

Mereka tidak bersalah apa-apa di atas keputusan untuk membatalkan perlumbaan.

Ya, memanglah amat malang wang yang dibayar untuk membeli tiket MotoGP ini tidak kelihatan berbaloi jika dibandingkan dengan hanya sempat menyaksikan dua pusingan perlumbaan sahaja.

Tetapi perlumbaan yang mengorbankan pelumba dari Itali itu sememangnya patut dihentikan.

Jika ada sekali pun kelemahan di pihak penganjur yang boleh diambil iktibar agar kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi ialah mereka tidak mengumumkan mengapakah perlumbaan itu terpaksa dibatalkan.

Satu-satunya pengumuman yang dibuat pada hari itu ialah "Perlumbaan Dibatalkan". Itu sahaja. Tiada sebab tiada alasan yang diberi.

Ada yang mengatakan, pengumuman mengenai punca pembatalan perlumbaan memang tidak patut diumumkan selagi pasukan perubatantidak mengesahkan status kecederaan Marco atau keluarganya perlu dimaklumkan terlebih dahulu.

Tetapi orang Malaysia tidak faham akan semua ini. Yang mereka tahu ialah mereka telah membayar wang yang banyak untuk membeli tiket bagi menonton perlumbaan 500cc tetapi kenapa tiba-tiba dibatalkan.

Jadi akhirnya mereka mengamuk dengan melakukan sesuatu yang akhirnya memalukan imej negara dan sukan moto negara.

Saya perhatikan ramai mat salleh yang takut melihat gelagat barbarik penonton Malaysia dengan segera meninggalkan litar Sepang. Saya kurang pasti, apakah insiden yang menakutkan ini akan membawa mereka kembali ke sini tahun hadapan.

MAT LAN MAT DIN
Klang, Selangor


Ribut Melanda Kuala Kedah

Posted: 04 Nov 2011 04:20 AM PDT

Alor Setar: Kira-kira 100 keluarga terpaksa menyambut Aidiladha Ahad ini di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bersatu di sini, selepas rumah mereka rosak teruk dipukul ribut, petang semalam.

Kejadian jam 3.30 petang di kawasan perumahan itu menyebabkan sebahagian rumah mangsa tidak selamat didiami.

Selain rumah, beberapa cermin kenderaan turut pecah akibat dihempap serpihan objek yang diterbangkan angin kencang, manakala ada kabel elektrik terputus menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong sementara bekalan untuk tujuan keselamatan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Gambar: SITI ZAHARAH ZAKARIA membersihkan cermin keretanya yang pecah di Taman Bersatu, Alor Setar semalam.

Difahamkan, kejadian ribut itu adalah yang pertama berlaku dan disifatkan terburuk oleh penduduk setempat sejak kawasan perumahan berkenaan didiami mereka lebih 20 tahun lalu.

Mangsa, Noraini Don, 48, berkata ketika kejadian beliau bersama anak lelakinya sedang berehat di dalam bilik, manakala suaminya, Md Reza Md Said tidur di ruang tamu sebelum sebahagian bumbung rumah mereka diterbangkan angin manakala siling ruang tamu tiba-tiba runtuh.


"Pada mulanya hujan lebat dan lima minit kemudian ribut kencang memukul bahagian atas rumah kami sehingga menyebabkan siling di ruang tamu runtuh.

"Mujur ketika itu, suami sempat menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi dentuman di bahagian bumbung rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Gambar: SHAMIR AZRIMI membetulkan atap bumbung rumahnya yang diterbangkan angin di Taman Bersatu, semalam.

Noraini berkata, kejadian itu sekali gus menyebabkan ruang tamu rumahnya musnah termasuk sebahagian dinding runtuh selepas dipukul angin kencang.

"Saya sedih kerana kejadian berlaku ketika beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Aidiladha dan kami pula terpaksa memikirkan usaha untuk membaiki rumah yang rosak ini," katanya.

Seorang lagi mangsa, Sepiah Mahmud, 65, berkata ketika kejadian beliau berada di tingkat atas rumah sedang berzikir sementara menunggu solat Asar sebelum dikejutkan dengan bunyi deruan angin kencang yang meranapkan bumbung rumahnya.

"Keadaan ketika itu sangat menakutkan, saya dengar bunyi angin yang kuat melayangkan bumbung rumah, saya memohon supaya Allah melindungi kami selain terus berzikir sebelum meminta suami melaungkan Azan," katanya. -BH

Amukan ribut

ALOR SETAR: "Mak cik tak henti-henti beristighfar kerana ingatkan tsunami berlaku. Angin kencang dan kuat ranapkan banyak rumah, tetapi mujurlah tak ada yang cedera atau maut."

Begitu kata Supiah Mahmud, 65, seorang daripada kira-kira 500 mangsa membabitkan 100 keluarga yang rumah mereka rosak teruk dalam kejadian ribut di Taman Bersatu, Kuala Kedah dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, bumbung lebih 100 rumah terbabit diterbangkan angin manakala beberapa kenderaan mengalami kerosakan.

Supiah berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di tingkat atas rumahnya sebelum terkejut selepas mendengar bunyi deruan angin begitu kuat.

"Mak cik tak senang duduk, mulut mak cik tak henti-henti beristighfar kerana terlalu takut dengan bunyi angin serta ribut yang sangat kuat," katanya yang ditemui di rumahnya di sini, semalam. -HM


Tiada ulasan: