Khamis, 3 November 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Banjir Di Kamboja Ganggu Eksport Daging Tikus

Posted: 03 Nov 2011 01:15 AM PDT

Banjir terburuk yang melanda Kamboja selama satu dekad, membuat perdagangan daging tikus negara tersebut mengalami kerugian. Kerana, banjir juga menenggelamkan tikus-tikus yang berpotensi untuk dieksport ke Vietnam.

Gambar: Seorang kanak-kanak di kota Battambang, Kamboja, memakan daging tikus

"Setiap tahunnya Kamboja mengeksport 17 ton daging tikus ke Vietnam. Tahun ini persediaan daging tikus menurun secara drastik kerana banjir menenggelamkan banyak tikus," kata Perdana Menteri Kamboja Hun Sen, seperti dikutip dari MSN, Khamis 3 November 2011.

Tidak disebutkan seberapa besar industri penjualan daging tikus di Vietnam. Namun, daging tikus dikenali sebagai makanan yang murah dan lazat di negara tersebut. Hal ini menjadikan Vietnam pengeksport tikus hidup terbesar dari kampung-kampung di perbatasan Kamboja.

Ketua Pemeriksaan Perbatasan Chrey Thom, Ros Sothea, mengatakan masih belum mengetahui statistik penjualan daging tikus tahun ini. Namun, beliau yakin daging tikus yang berhasil dijual ke Vietnam tahun ini jumlahnya susut dengan drastik.

"Hampir tak ada tikus yang dapat dieksport ke Vietnam kerana banjir menenggelamkan kesemuanya. Padahal tahun lalu, banyak sekali tikus yang berhasil dieksport," kata Sothea.

Kamboja menjadi salah satu negara delta sungai Mekong di Asia yang mengalami bencana banjir. Sekurang-kurangnya 247 orang di Kamboja tewas dan sepersepuluh kawasan sawah rosak pada bencana banjir terburuk sejak tahun 2000 tersebut. -vivanews

Bukti NKRA Gagal: Persepsi Rasuah, Malaysia Di Kedudukan Terendah Global

Posted: 03 Nov 2011 12:37 AM PDT


Malaysia merekodkan kedudukan rendah daripada purata global dalam kajian syarikat-syarikat setempat yang memberi rasuah ketika menjalankan perniagaan di luar negara, demikian menurut laporan Transparency International (TI) hari ini.

Indeks Pemberi Rasuah (BPI) TI 2011 menunjukkan Malaysia merekodkan paras 7.6 daripada 10 mata, dengan mata 10 menunjukkan persepsi bahawa syarikat-syarikat dari sesebuah negara tidak mungkin mengamalkan rasuah apabila mengadakan perniagaan di luar negara manakala sifar pula menggambarkan kedudukan sebaliknya.

Paras dicatatkan oleh Malaysia rendah daripada purat global 7.8 daripada 28 negara yang disenaraikan dalam indeks itu.

Malaysia diletakkan di paras 15 bersama Hong Kong, Itali dan Afrika Selatan.

BPI menyenaraikan 28 negara ekonomi terbesar dunia yang berkemungkinan mempunyai syarikat-syarikat memberi rasuah ketika menjalankan bisnes di luar negara.

Indeks itu adalah berdasarkan pandangan melibatkan lebih 3,000 eksekutif perniagaan.

Senarai negara dan wilayah yang disenaraikan dalam BPI 2011 merangkumi pelbagai bahagian dunia dan mewakili 80 peratus jumlah aliran keluar barangan, perkhidmatan dan pelaburan.

Syarikat-syarikat dari Belanda dan Switzerland dilihat sebagai mempunyai syarikat yang sangat kecil memberi rasuah ketika berada di luar negara manakala syarikat-syarikat dari Rusia dan China pula sebaliknya.

"Malaysia kelihatan terumbang-ambing sekitar atau di bawah paras purata (global). Ini menunjukkan masih ada ruang untuk penambahbaikan," kata Presiden TI Malaysia Datuk Paul Low.

Kata beliau, syarikat-syarikat multinasional Malaysia berada di kedudukan berisiko tinggi ditangkap dan ditahan bagi rasuah ekoran tindakan negara-negara luar memperketatkan undang-undang antirasuah. -TMI

[Waspada] Kerana Mahu Badan Lansing, Gadis Dungun Menderita Kulit Melecur

Posted: 02 Nov 2011 11:35 PM PDT

Sura Gate (Dungun): Impian seorang gadis sunti untuk memiliki badan langsing lebur apabila sebahagian daripada kulitnya hampir melecur dipercayai kesan penggunaan alat kosmetik selepas melalui beberapa siri rawatan di sebuah pusat kecantikan di sini.

Lebih mendukacitakan, wang untuk membiayai kos rawatan terbabit berjumlah RM1,030 turut hangus, biarpun dia dikatakan gagal mendapat faedah daripada rawatan diterima.

Menceritakan pengala­man­ pahit itu, mangsa, Noor Aishah Azmi, 22, berkata, dia terpedaya dengan iklan yang ditawarkan di pusat kecantikan itu, yang mendakwa dapat melangsingkan badan, sebelum mendaftar untuk mendapatkan rawatan di pusat kecantikan yang beroperasi di Pusat Niaga Sura Gate itu.

Aishah berkata, dia membuat pembayaran secara beransur-ansur dan selepas lima kali menerima rawatan, dia sudah menjelaskan wang RM1,030 seperti yang dipersetujui.

Namun selepas kali terakhir mengikuti rawatan itu, kulitnya menggelupas dan terasa pedih, sebelum melecur serta melekat pada seluar.

Aishah berkata, dia juga turut mengalami muntah-muntah, sengal badan selain bengkak pada paha.

"Apabila saya memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan pusat kecantikan tersebut dan memohon wang saya dikembalikan, mereka tidak mahu bertanggung jawab dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

"Akhirnya saya membuat satu laporan polis di Balai Polis Dungun pada 17 Oktober lalu agar kes saya ini mendapat pembelaan daripada pihak berwajib," katanya.
Menurut Aishah, dia juga sudah melantik peguam dan bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas pusat kecantikan itu, selain membuat tuntutan ganti rugi pelbagai. -SH

Ancaman Baru Banjir Thailand: 50 Maut Kena Renjatan Elektrik

Posted: 02 Nov 2011 09:34 PM PDT

Bangkok: Banjir dilaporkan semakin buruk di ibu negara Thailand berikutan lebih banyak kawasan tenggelam manakala jalan raya tidak dapat dilalui.

Lebih 50 penduduk dilaporkan maut akibat terkena renjatan elektrik sewaktu memindahkan barangan mereka ketika meredah banjir.

Ketua Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Pornthep Siriwanarangsan melahirkan kebimbangannya berikutan semakin ramai penduduk yang terbunuh terkena renjatan elektrik.

Beliau berkata, walaupun angka rasmi kematian akibat terkena renjatan elektrik ketika banjir masih lagi 17, lawatan beliau ke penempatan dan pertemuan dengan penduduk terjejas mendapati jumlahnya 50 kes.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengarahkan penduduk berpindah dari kawasan Bang Phai, berikutan banjir semakin buruk. Bang Phai berada di daerah Bang Khae di Bangkok.

BMA menyenaraikan kawasan daerah Bang Chan di daerah Klong Sam Wa di Bangkok sebagai kawasan dalam pemerhatian.
Gabenor Bangkok, MR Sukhumbhand Paribatra turut bimbang mengenai zon barat di ibu negara itu.

"Sistem saliran air di sana tidak baik seperti di zon timur," katanya.

Kawasan yang dilanda banjir, Bang Khae dan Thawee Watthana adalah antara daerah di zon barat.

"Paras banjir kini melebihi satu meter," kata Samart Khemthong, seorang daripada mangsa di sana. Kampungnya, Sakunthip berada berhampiran dengan terusan Thawee Watthana.

Katanya 30 daripada 350 keluarga berkhemah di luar perkampungan mereka bagi menghalang harta benda mereka dicuri.

"Kami sangat memerlukan sebuah bot sekarang ini," kata Samart.

Sanya Sheenimit, yang mengetuai Jabatan Saliran dan Pengairan BMA berkata bahawa pegawai BMA menggunakan bot di kawasan barat yang dilanda banjir.

"Kami sudah memasang lebih banyak pam dan meletakkan penghadang air," katanya.

Sukhumbhand berkata, banjir menjadi ancaman di zon timur Bangkok selepas kerajaan mengarahkan pintu air di terusan Klong Sam Wa dialihkan.

"Lebih banyak tempat di zon timur termasuk kawasan perindustrian Bang Chan berisiko dilanda banjir," katanya. – Agensi

Banjir di barat Bangkok semakin buruk

Kawasan di barat Bangkok sekali lagi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga peringkat tinggi berikutan keadaan banjir di kawasan itu semakin buruk ekoran Sungai Chao Phraya melimpah dan kerosakan pada dinding tebatan banjir.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata paras air adalah satu meter lebih tinggi daripada dinding tebatan banjir di situ.

Beliau berkata pihak berkuasa juga mengesan kerosakan di 11 tempat pada dinding tebatan banjir dan kerja-kerja membaik pulih keseluruhan kerosakan itu dijangka siap pada 10 Nov.

Banjir di beberapa daerah di barat Bangkok iaitu Thawi Wattana, Taling Chan dan Bang Phlad telah merebak ke Bang Kae dan Thon Buri, semalam.

Pengarah Pusat Operasi Bantuan Banjir Plodprasop Suraswadi yang juga Menteri Sains dan Teknologi hari ini memberi amaran bahawa keseluruhan barat Bangkok boleh dilanda banjir dalam tempoh 15 hingga 20 hari kerana terdapat kira-kira tiga bilion meter padu air banjir di kawasan itu.

Yingluck berkata pihak berkuasa berdepan masalah untuk mengalirkan keluar air banjir di kawasan barat Bangkok akibat terusan yang tersumbat dan sempit.

Dalam langkah yang mengejutkan, Yingluck semalam mengubah keputusannya Selasa lalu mengenai menaikkan paras di pintu air sluis di Klong Sam Wa.

"Kami akan kurangkan pembukaan pintu air," katanya tanpa menyatakan secara spesifik paras baru dan alasan berbuat demikian.

Dua hari lalu, beliau mengarahkan Dewan Bandaraya menaikkan pintu air kepada satu meter daripada 80sm ekoran bantahan keras penduduk di situ.

Pada awalnya, penduduk di daerah Klong Sam Wa di timur Bangkok mendesak pihak berkuasa membuka pintu air daripada 0.6 meter kepada 1.5 meter kerana kawasan mereka telah ditenggelami banjir kira-kira tiga bulan.

Mereka mengadakan protes di pintu air sluis itu pada Isnin dan bersetuju dengan paras 0.8 meter selepas berunding dengan pihak Dewan Bandaraya pada Isnin.

Bagaimanapun, penduduk mengadakan satu lagi protes Selasa lalu dan mendesak paras dinaikkan kepada 1.5 meter, mendorong campur tangan daripada Perdana Menteri yang mengarahkannya dinaikkan lagi kepada 1 meter.

Beberapa penduduk malahan merosakkan pintu air itu dalam protes semalam yang dikawal oleh kira-kira 200 anggota polis.
Tindakan Yingluck itu telah dikritik oleh pentadbiran Bangkok Metropolitan dan pembangkang.

Timbalan Gabenor Bangkok Thirachon Manomaipiboon berkata menaikkan pintu air sluis itu kepada 1 meter akan mendedahkan seluruh Bangkok kepada ancaman banjir walaupun 19 daerah lain di tengah kota Bangkok terselamat daripada bencana alam itu buat masa ini.

Parti Demokrat menyelar tindakan Yingluck kerana kerajaan tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan semasa mengendalikan krisis banjir.

Jurucakap parti pembangkang itu, Chavanond Intarakomalyasut mahu kerajaan melaksanakan dekri darurat bagi memudahkan usaha kerajaan menangani banjir serta mengawal penunjuk perasaan.

Konfrontasi antara pihak berkuasa dan penduduk mengenai isu pintu air sluis turut dilaporkan berlaku di wilayah-wilayah lain tetapi situasi keseluruhannya adalah terkawal.

Dalam kes tertentu, pekerja telah meminta perlindungan polis semasa membaik pulih dinding tebatan banjir dan pintu air sluis dan dalam satu kes, tembakan amaran dilepaskan di udara oleh seorang penduduk yang cuba menghalang pekerja menjalankan kerja mereka.

Kira-kira satu pertiga daripada negara ini masih ditenggelami banjir dengan 2.1 juta orang dari lebih 10,000 kampung di 26 wilayah terjejas oleh banjir yang melanda negara ini secara berperingkat bermula 25 Julai. Angka kematian meningkat kepada 427 orang hari ini. - Bernama


Mufti Tegur Khairul Fahmi: Elak Perkara Yang Datangkan Syubhah

Posted: 02 Nov 2011 07:51 PM PDT

Elak majlis hidang arak

KOTA BHARU: Biarpun mendakwa dirinya tidak mengambil minuman keras tetapi penjaga gol sensasi negara, Khairul Fahmi Che Mat, 22, atau lebih dikenali sebagai Apek, perlu mengelak daripada mengunjungi tempat berkenaan kerana tindakannya ke situ turut dikira bersubahat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed, berkata orang Islam wajar mengelak menghadiri majlis yang menyediakan benda haram seperti arak.

"Perumpamaannya mudah dan diibaratkan seperti kita ke tempat menjual minyak wangi. Badan kita sudah tentu berbau harum kerana minyak wangi dan begitu jugalah situasinya jika berada di majlis yang menyediakan minuman keras.

"Dalam isu ini, penjaga kol itu seharusnya mengelak daripada menghadiri majlis berkenaan kerana memang ada benda terlarang (haram) disediakan dan boleh bersubahat berada dalam keramaian yang menyediakannya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohamad Shukri berkata orang Islam yang tidak mengetahui majlis dihadiri itu menyediakan minuman keras tidak dikira bersubahat, tetapi dianggap sebaliknya jika perkara itu diketahuinya terlebih dulu. -hm

Lagi Kes Pensyarah Perkosa Pelajar

Posted: 02 Nov 2011 05:45 PM PDT

Pensyarah hati syaitan

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan kolej swasta diheret dari sebuah tempat letak kereta di Sentul di sini, sebelum dirogol pensyarahnya sendiri, pagi kelmarin. Gambar fail.

Sebelum kejadian, pensyarah berusia lingkungan 40-an berkenaan memperdaya mangsa berjumpa di pejabatnya di sebuah kolej swasta di ibu kota dengan alasan berbincang mengenai pelajaran, jam 9 pagi.

Sebaik mangsa tiba di biliknya, lelaki terbabit mengugut akan menggagalkan pelajar itu dalam peperiksaan pada setiap semester jika enggan keluar bersarapan dengannya.

Sumber polis berkata, mangsa yang bimbang dengan ugutan berkenaan terpaksa akur, namun sebaik masuk ke dalam kereta, pensyarah itu membawa pelajar itu ke rumahnya di Sentul. "Ketika dalam perjalanan, telefon bimbit mangsa dirampas dan sejurus tiba di kawasan letak kereta di kediamannya, pensyarah itu mengheret mangsa hingga ke rumahnya.

"Sebaik masuk ke dalam rumah, mangsa dipukul dan dua tangannya diikat. Baju mangsa dikoyak sebelum dia dirogol pensyarah itu," katanya.

Menurutnya, sebelum meninggalkan pelajar itu bersendirian, pensyarah berkenaan membasahkan pakaian mangsa dipercayai bagi mengelakkannya melarikan diri.

"Biarpun pakaiannya basah, mangsa tetap memakai semula pakaiannya sebelum cuba meloloskan diri namun gagal disebabkan pintu berkunci.

"Lelaki itu mengugut membunuh mangsa jika menceritakan kejadian itu kepada sesiapa," katanya.

Sumber itu berkata, lelaki terbabit menghantar mangsa ke stesen transit aliran ringan (LRT) di Jalan Tun Razak, di sini, sebelum sekali lagi mengugut membunuh mangsa sekiranya mendedahkan kejadian itu kepada orang lain.

Katanya, mangsa menghubungi kakaknya sebelum menceritakan kejadian berkenaan.

Mangsa yang ditemani kakaknya membuat laporan di Balai Polis Sentul di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, sehingga kini masih belum ada tangkapan dibuat namun usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan.

Ini kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu membabitkan pensyarah melakukan jenayah seksual terhadap penuntut wanita masing-masing.

Pada 29 0ktober lalu, Harian Metro melaporkan perbuatan seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia lingkungan 50-an yang mencabul pelajar perempuan di bilik universiti berkenaan
.

Pensyarah terbabit didakwa memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan. -hm

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Gambar Wanita Separuh Bogel Pada Iklan Yang Diedar Di rumah

Posted: 02 Nov 2011 03:06 PM PDT

Seremban: Seorang suri rumah terkejut apabila melihat gambar wanita separuh bogel dipaparkan pada iklan sebuah syarikat penjagaan diri dalam katalog yang diedarkan di sekitar kawasan kediamannya di bandar ini, baru-baru ini.

Hasnidah (bukan nama sebenar), 29, berkata, keadaan itu disedarinya semasa sedang membelek-belek katalog berkenaan di rumahnya.


"Syarikat penjagaan diri dan penerbit katalog sepatutnya bersikap lebih peka terhadap sensitiviti orang ramai terutamanya kaum wanita dan orang Islam," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, lebih dikesali, katalog terbabit diedarkan secara terbuka kepada orang ramai dan sesiapa sahaja boleh memperolehinya dengan mudah termasuk kanak-kanak.

Kata Hasnidah, syarikat berkenaan sepatutnya memikirkan kaedah-kaedah lain untuk mempromosi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

"Iklan sebegini kelihatan seperti merendahkan martabat kaum wanita dengan menganggap mereka sebagai pelaris produk sahaja.

"Sehubungan itu, saya berharap pihak berkaitan memantau dan mengambil tindakan agar gambar yang menjolok mata ini tidak dipaparkan lagi dalam katalog berkenaan," katanya. -SH

>

Guna FBC Tak Langgar Undang-undang Tapi Bangang Guna Syarikat Yang Nak Muflis

Posted: 02 Nov 2011 10:06 AM PDT

Nazri: Guna FBC tak langar mana-mana undang-undang

Sekiranya FBC Media yang berpangkalan di UK dan digunakan oleh kerajaan untuk kerja-kerja komunikasi melakukan apa-apa kesalahan atau melanggar mana-mana undang-undang, ia tidak membabit unsur-unsur jenayah.

"FBC ini dia mempunyai masalah melanggari peraturan di negara dia, saya difahamkan dia lebih rupai conflict of interest, ada perkara patut diisytiharkan, gagal diisytiharkan.

"Perkara-perkara dituntut untuk diisytiharkan di United Kingdom. Lebih merupakan melanggar peraturan United Kingdom, tak ada kena mengena dengan perkara yang boleh dianggap jenayah yang boleh menjejaskan penggunaan kita terhadap FBC sebagai agensi untuk membantu kita," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat semasa sesi soalan hari ini.

Menjawab soalan daripada Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai), Nazri berkata kontrak tiga tahun kerajaan dengan FBC Media yang dilantik sebagai perunding komunikasi bagi tempoh 2007-2010, dengan kos 19.6 juta Euro, berjaya memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan negara-negara barat.

"Oleh kerana kita gunakan FBC, kita lihat tahap penerimaan negara-negara Barat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak ada meningkat," kata Nazri.

Rancangan FBC yang memaparkan Malaysia juga menyaksikan berita mengenai negara ini mendapat tempat di media-media negara Barat. -mk

Guna FBC Media RM84 juta, k'jaan nafi peranan kementerian

KUALA LUMPUR 2 Nov: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli mempertikaikan peranan Kementerian Luar Negeri mahupun kedutaan luar negara dalam usaha menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Beliau mempersoalkan jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung tindakan kerajaan menggunakan syarikat media asing bagi menonjolkan imej Malaysia.

"Adakah terdapat kekurangan kepada mereka yang telah dilantik untuk mewakili negara di luar sebagai kedutaan, Matrade dan juga Kementerian Luar sehinggakan kita terpaksa melantik media asing sebagai konsultan bagi menaikkan imej negara ini?

"Kita melihat lantikan media asing itu bukan mendatangkan kebaikan tetapi sebaliknya telah menjatuhkan imej negara di persada antarabangsa apatah lagi FactBased Communication (FBC) Media yang berada di United Kingdom itu telah dikenakan tindakan kerana salah laku yang dilakukan oleh mereka," katanya.

Sebelum itu, Nazri menjelaskan kerajaan melantik FBC Media sebagai konsultan untuk menaikkan imej Malaysia dan juga Perdana Menteri di peringkat antarabangsa, lapor Harakah Daily.

Nazri juga memberitahu kontrak selama setahun itu disambung sebanyak dua kali dan tamat pada 2010 dengan kos perbelanjaan selama tiga tahun sebanyak Euro 19.6 juta (RM84 juta).

Dr Hatta yang merujuk jawapan Nazri itu berkata, jika dilihat secara menyeluruh ia mengambarkan satu usaha yang baik tetapi hakikatnya mendatangkan kesan buruk kepada negara.

"Kita melihat apa yang dilakukan oleh FBC Media itu melanggar etika kewartawanan dan juga penyiaran di United Kingdom sehinggakan British Broadcasting Corporation (BBC) telah mengambil tindakan kepada FBC Media," tambahnya lagi.

Beliau juga memberitahu FBC Media sekarang sudah hampir bankrap. (rujuk laporan di bawah)

Katanya, pihak-pihak lain juga tidak lagi mahu menggunakan khidmat mereka sebagai konsultan yang mana lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan kepada sesebuah negara -KD


FBC hadapi kemungkinan muflis

Penerbit kandungan televisyen London FactBased Communications (FBC Media), yang menerbitkan program bagi menggilap imej ahli politik Malaysia baru-baru ini, kini dilapor menghadapi kemungkinan muflis.

FBC Media dan syarikat induknya FBC Group kini sedang disusun semula bawah pentadbiran Hillier Hopkins Corporate Recovery, lapor media United Kingdom The Independent.

"Pada akhirnya, jika terdapat wang untuk pemiutang, ia akan dibayar melalui dividen," pentadbir David Butler dilaporkan sebagai berkata.

Harian itu melaporkan Hillier Hopkins sebagai berkata, ia kini cuba mewujudkan keadaan "sejauh mana aset syarikat untuk memaksimumkan segala potensi pulangan kepada bekas pekerja dan lain-lain pemiutang".

Pentadbir itu menambah bahawa keadaan sekitar insolvensi juga akan disiasat. -mk


Jamil Khir Selewengkan Wang Zakat Keluarkan Buku Burukkan PAS

Posted: 02 Nov 2011 09:00 AM PDT

Kuala Lumpur 2 Nov: Ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar menuntut penjelasan segera Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kerana menyeleweng wang zakat untuk tujuan politik.

Gambar: Mahfuz menunjukkan surat arahan Jamil kepada Yayasan Taqwa untuk membayar sebuah syarikat yang membekal buku bertajuk ' Bukti Pas bukan parti Islam'

Mahfuz menunjukkan surat arahan Jamil kepada Yayasan Taqwa untuk membayar sebuah syarikat yang membekal buku bertajuk ' Bukti Pas bukan parti Islam'.

"Berdasarkan satu surat, katanya, menteri itu didakwa mengarah Yayasan Taqwa membayar kepada sebuah syarikat yang membekal buku bertajuk 'Bukti Pas bukan parti Islam' kepada sekumpulan imam dan bilal.

Yayasan Taqwa ialah badan yang berada di bawah kementerian Jamil Khir yang menerima dan mengagih wang zakat.


Buku itu pula diberi kepada sekumpulan bilal dan imam masjid dalam sebuah program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau difahamkan, kandungan buku itu turut diulas dengan memburukkan Pas.

"Kita tiada masalah jika diserang, tetapi isunya ialah, mengapa serang Pas guna wang zakat?.

"Miskin sangatkah Umno sampai wang zakat pun diseleweng untuk tujuan politik umno,"
katanya dalam sidang media di parlimen hari ni.

Petikan surat itu berbunyi 'sukacita dimaklumkan bahawa YB Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Bin Baharom, Menteri di JPM telah bersetuju untuk membeli buku itu sebanyak 250 unit,'

'Mohon kerjasama tuan untuk membuat pembayaran ke syarikat itu,' kenyataan surat itu dipetik dan ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Jamil Khir, Leftenan Kolonel Ab Jabar Mohamad Aris.

Beliau difahamkan, kursus yang sudah tiga kali diadakan itu turut dihadiri pegawai tertinggi polis Bukit Aman dalam setiap siri.

Manakala ucapan penutup disampaikan oleh bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kesemua bilal dan imam dari seluruh Kedah itu dibawa ke sebuah dewan di Bangi untuk mengikuti kursus berkenaan.

"Kursus itu kata peserta tidak lebih kepada brainwash untuk mereka dan mebmuruk-burukkan Pas atas nama program Jakim," kata Mahfuz yang turut mengedar salinan surat itu kepada media.

Jamil sebelum ini didakwa menggunakan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM32 ribu bagi membiayai yuran guaman beliau dan Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali dalam isu qazaf yang difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. -KD

Lagi Murid Keracunan Selepas Minum Susu Kotak 1Malaysia

Posted: 02 Nov 2011 07:45 AM PDT

Kuala Nerang: Seramai 24 murid Sekolah Kebangsaan Seri Bakti, Padang Terap di sini yang mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah dipercayai keracunan makanan dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang, hari ini.

Kejadian membabitkan 16 murid perempuan dan lapan lelaki dari Tahun Dua hingga Tahun Lima yang mengadu mengalami simptom itu selepas minum susu kotak di sekolah mereka pagi ini.

Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Lat berkata, sehingga 1.30 tengah hari tadi, lapan orang iaitu empat lelaki dan empat perempuan masih ditahan di wad, manakala yang lain sudah dibenarkan pulang.

"Keadaan lapan murid terbabit adalah stabil," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, mereka mula mengalamai keadaan itu kira-kira 9.15 pagi, iaitu selepas sejam setengah meminum susu kotak berkenaan.

"Jabatan Pelajaran masih menyiasat kejadian itu, manakala susu yang dibekalkan pula masih baru dan belum sampai tarikh luput," katanya.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat, ketika dihubungi, berkata pihaknya sudah mengambil sampel susu tersebut untuk ujian.

"Kita tidak menolak keracunan dialami pelajar terbabit berpunca dari susu kotak yang mereka minum. Kebanyakan pelajar itu mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah," katanya. - BERNAMA

Ulasan GB

Kenapa tak mahu sebut susu yang dibekalkan itu sebenarnya adalah susu kotak 1Malaysia? Takut Malu? Takut rahsia terbongkar mengenai susu yang rendah mutunya itu yang dibekalkan kepada pelajar luarbandar?

Sebelum ini pernah dilaporkan lebih 50 orang murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kwang Hwa dan 20 murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kong Min di Pahang muntah-muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas meminum susu sekolah "1Malaysia". Sekarang di Kedah pula.

Laporan dibawah:

Kerajaan 1 Malaysia Hadiahkan Muntah, Sakit Perut Serta Cirit Birit Melalui Susu 1 Malaysia

KUANTAN, 20 Mei - Pendedahan Pahang Daily Online (PDO) berkaitan lebih 50 orang murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kwang Hwa dan 20 murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kong Min dekat sini muntah-muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas meminum susu sekolah "1Malaysia" pada 18 Mei lalu benar-benar telah mengejut semua pihak terutamanya Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP).

Khabarnya semalam, rombongan JPNP telah membuat tinjauan ke sekolah terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang insiden ini. Malah, mereka terkejut kerana ia didedahkan di blog ini sedangkan pihak media sebenarnya masih belum dapat menghidu kejadian pada hari itu. Paling mendukacitakan, terdapat maklumat mengatakan pihak JPNP cuba menyiasat siapakah "guru" yang telah menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak kami. Mereka sepatutnya menyelesaikan masalah yang mengganggu para pelajar itu, sebaliknya mereka pula cuba untuk menyiasat pemberi maklumat yang berkenaan. Soalnya, kenapa mereka mahu menjejaki pemberi maklumat sedangkan pokok utamanya ialah menyelesaikan masalah yang berlaku. Kami tidak teragak-agak akan mendedahkan nama-nama pengawai terbabit jika mereka terus menekan pihak sekolah mendedahkan siapakah yang memberikan maklumat berkenaan insiden itu. Kami cuba menyiasat rahsia besar disebalik isu susu sekolah 1Malaysia yang menjadi kontroversi ini.

Projek Susu Di Bolot Kroni Najib Serta Muhyiddin

Difahamkan pada dasarnya projek susu sekolah adalah projek yang mulia dan dilaksanakan hampir di seluruh dunia. Iran adalah negara yang mengeluarkan perbelanjaan tertinggi di dunia untuk menjayakan projek susu sekolah ini. Kejayaan projek susu sekolah di China dan Thailand umpamanya telah melahirkan generasi muda yang lebih tinggi dan tegap, begitu juga di Eropah dan Amerika.

Berkaitan projek susu sekolah di Malaysia sebenarnya projek itu lebih kepada untuk mengkayakan kroni UMNO BN sebenarnya, tetapi mereka menggunakan alasan yang murni iaitu untuk melahirkan generasi muda yang lebih sihat dan cergas.

Adalah dipercayai syarikat yang dapat kontrak membekal susu sekolah di Pahang ini sememangnya adalah kroni kepada Perdana Menteri, Najib Razak itu sendiri. Semua ini memang satu projek untuk memperkayakan kroni-kroni beliau sebenarnya. Justeru itu kualiti susu yang diimport dari Korea ini adalah meragukan, kerana harga yang diterima mereka adalah lebih murah berbanding susu yang dibekalkan dari Sabah dan kawasan lain di negara kita. Bayangkan susu yang dimport dari Korea lebih murah dari susu tempatan?. Sungguh tidak masuk dek akal dan pasti ada sesuatu yang tidak betul berkaitan kualiti susu dari Korea ini sebenarnya.

Besar kemungkinan susu yang dibeli dari Korea sudah hampir tamat tempoh dibekalkan oleh syarikat terbabit (yang dapat projek susu 1Malaysia). Kerana dipercayai pihak syarikat berkenaan telah pergi ke seluruh kilang susu di Malaysia untuk mendapat harga yang paling murah tetapi tiada syarikat di Malaysia yang sanggup membekalkannya. Lantaran itulah mereka terpaksa import susu dari Korea yang kualitinya diragui.


Najib dan Muhyiddin gembira lancarkan projek susu sekolah 1Malaysia
Rupanya kroni masing-masing yang mendapat untung besar dari projek itu


[Difahamkan, syarikat yang membekalkan susu terbabit diberikan peruntukan sehingga mencecah RM700 juta ringgit oleh kerajaan untuk melaksanakan projek susu 1Malaysia ini.

Bukankah jumlahnya itu sungguh besar dan tidak sewajarnya pembaziran wang rakyat dibuat sebegitu rupa. Malah, terdapat sumber mengatakan projek tersebut sebenarnya dimonopoli oleh kroni pemimpin tertinggi UMNO sendiri iaitu bagi wilayah selatan kroni TPM Muhyiddin Yassin, bagi negeri Pahang dan wilayah tengah pula diberikan kepada kroni PM Najib Razak. Sementara itu bagi wilayah Trengganu dan Kelantan ianya diberikan kepada sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu sendiri.

Maknanya pembekalan susu di Kelantan dan Trengganu dilihat agak telus kerana ia bukan tender yang diberikan kepada individu. Soalnya, jika benar dakwaan itu maka wajarlah ia ditamatkan serta merta kerana jelas sekali mereka sanggup menipu rakyat dalam hal ini. Lebih mengejutkan susu tersebut juga tidak mempunyai tanda halal JAKIM yang telah disahkan sebenarnya ]. -PDO


[Video] Pesawat Boeing 767 Air Poland Mendarat Cemas Tanpa Roda

Posted: 02 Nov 2011 05:41 AM PDT

PPesawat Boeing 767 milik syarikat penerbangan Poland, LOT, mengalami masalah ketika melakukan pendaratan cemas di Bandar Warsaw, Poland, pada 1 November 2011 waktu tempatan. Namun, juruterbang berjaya mendaratkan pesawat itu tanpa roda dengan selamatnya.

Pesawat ini baru saja menempuh perjalanan dari Bandar Newark di New Jersey, Amerika Syarikat dengan membawa 230 penumpang. Semuanya selamat.

Ketika pendaratan, terjadi gesekan antara bahagian bawah pesawat dengan landasan. Ia menimbulkan sedikit percikan api. Namun, tidak menimbulkan masalah yang serius.

Sebaik sahaja setelah pesawat berhenti, pasukan penyelamat segera mendekatinya. Kelihatan pasukan pemadam kebakaran segera menyembur pesawat dan sekelilingnya dengan air bagi menghindari terjadinya kebakaran.

Menurut penyelidikan sementara, pesawat mengalami kerosakan sistem hidroliknya, yang berfungsi mengoperasikan sirip sayap dan roda. Sistem alternatif juga hanya mampu mengaktifkan sirip sayap dan tidak pada roda. -vivanews



Daratkan Pesawat Tanpa Roda, Pilot Dipuji

Ibarat adegan dalam sebuah filem, pilot sebuah syarikat penerbangan Poland secara dramatis berhasil mendaratkan pesawat Boeing 767 berpenumpang 231 orang menggunakan lambung pesawat kerana roda pesawat tidak dapat berfungsi. Namun, pendaratan berlangsung baik dan tak ada seorangpun tercedera dalam pendaratan darurat tersebut.

Menurut pejabat berita Reuters, peristiwa ini terjadi di Bandar Warsaw, Poland pada Selasa 1 November 2011 waktu setempat. Pesawat milik syarikat LOT ini menempuh perjalanan dari Bandar Newark di New Jersey, Amerika Syarikat, menuju Warsaw.

Juruterbang Tadeusz Wrona mulai merasa ada yang tidak kena pada sistem hidrolik pesawatnya setengah jam setelah berlepas dari landasan. Ia berkali-kali memberitahukan para penumpang mengenai hal ini lewat awak pesawat, dan ketika itulah para penumpang mulai panik.

"Saya mulai menangis, dan pemuda di sebelah saya juga. Saya fikir saya akan segera mati," kata Krystyna Dabrowska, salah seorang penumpang. "Suasana sempat hening. Banyak sekali yang lalu mulai menangis," tambah Hubert Waz.

Kaya Pengalaman

Sesuai dengan prosedur, pilot harus menunda pendaratan selama sejam. Selama penundaan itu pilot memutar-mutarkan pesawat sekeliling kota sambil membuang semua sisa bahan bakar agar ketika mendarat darurat, pesawat tidak berisiko terbakar.

"Saya berdoa semoga pilot tidak kehilangan kendaliannya kerana kami mulai berputar-putar. Mengerikan sekali! Kami para penumpang berhutang segalanya pada pilot kerana usahanya yang cemerlang," kata seorang penumpang, Teresa Kowalik.

Pilot Wrona yang berusia 50an akhirnya mampu mendaratkan pesawat dengan sempurna. JamRekod perkhidmatan terbangnya yang tinggi sebagai pilot senior syarikat LOT yang ahli dalam hal peluncuran membuatnya mampu melakukan hal itu.

"Pendaratannya berlangsung sangat sempurna seolah-olah pesawat mendarat dengan roda. Kami baru menyadari pesawat mendarat darurat setelah keluar dan melihat kepulan asap serta percikan api dari badan pesawat," puji Andrzjec Pinno.

Penumpang dikeluarkan menggunakan pintu darurat dan dibawa ke pusat perubatan selama beberapa jam, sebagaimana disiarkan dari Washington Post. Setelahnya, mereka baru diperkenankan berkumpul dengan para sanak famili yang sudah menunggu kehadiran mereka dengan cemas di bandar.

Aksi heroik pilot Wrona dan awak pesawat menerima pujian dari Presiden Polandia, Bronislaw Komorowski, yang merancang memberi penghargaan pada para awak pesawat setelah berbincang dengan pilot melalui sambungan telefon.

"Untuk semua yang turut terlibat, saya mengucapkan terima kasih yang sebanyak-banyaknya," kata Komorowski.




Bila Polis Khianati Tanggungjawabnya, Bencana Besar Kepada Negara

Posted: 02 Nov 2011 04:20 AM PDT

Selepas aduan 'dicabul', pengadu pula didakwa

Tujuh tahun yang lalu, seorang pengurus akaun membuat aduan bahawa dirinya dicabuli oleh 11 anggota polis tetapi mendakwa langsung tidak dimaklumkan berhubung sebarang siasatan.

Namun, kira-kira tengah malam, semalam, pihak polis akhirnya bertindak - tetapi sebaliknya wanita itu pula ditahan.

Beliau terpaksa bermalam di lokap polis sementara menunggu dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan menghalang polis daripada melaksanakan tugas.

Wong Bee Fong, 39, dikatakan menghalang tugas L/Kpl Mohd Faudzi Abdul Aziz di ibu pejabat Pasukan Gerakan Awam di Batu 9, Cheras, kira-kira jam 2.30 pagi pada 13 Ogos, 2004.

Beliau minta dibicarakan di Mahkamah Majistret Kajang di Putrajaya.

Bee Fong didakwa mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman tiga bulan penjara atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut peguam, Keppy Wong beliau dibenarkan ikat jamin RM2,000 yang dibayar oleh majikannya.

"Apa yang terjadi kepada negara hari ini? Mereka (polis) boleh memaklumkan kepada beliau mengenai pertuduhan berkenaan tetapi sebaliknya menangkap beliau di tengah-tengah malam," katanya kepada Malaysiakini.

"Sudahlah dirinya dicabul kehormatannya, sekarang beliau terpaksa meringkuk di lokap pula."

Bee Fong mendakwa bahawa beliau ditahan semasa sekatan jalan oleh polis di Taman Connaught, Kuala Lumpur kerana disyaki memandu ketika dalam keadaan mabuk.

Selepas berunding, dakwanya, beliau meminta anggota polis untuk mengembalikan lesen memandunya dan mengeluarkan saman.

Bagaimanapun, anggota polis berkenaan didakwa enggan berbuat demikian dan sebaliknya meminta rasuah sebanyak RM3,000.

Beliau kemudiannya memandu ke arah balai polis Batu 9 balai di Cheras, tetapi berkata sebuah kereta Proton Wira berwarna perang mengekorinya dan memaksanya mengubah haluan ke bangunan Pasukan Gerakan Awam.

Semasa Bee Fong keluar dari keretanya, 11 anggota polis didakwa menghampiri dirinya dan mula meraba tubuhnya. -mk



Guru dakwa polis abai 15 laporan 'serangan'

Sejak bulan Februari lalu, seorang guru di Sungai Nibong, Pulau Pinang, telah membuat tidak kurang daripada 15 laporan polis yang mendakwa bahawa bekas teman lelaki beliau menyerangnya secara fizikal, tetapi dakwanya, pihak berkuasa gagal bertindak.

Dakwanya, serangan bermula selepas dia berpisah dengan lelaki itu. Ini termasuk dipukul, cuba dicekik dan juga cubaan untuk membakar rambutnya.

Guru, berusia 29 tahun itu juga mendakwa dia ditipu sebanyak RM15,000 sebelum menamatkan hubungan selama enam tahun mereka.

Laporan terakhir dibuat di balai polis Jelutong pada 16 Ogos lalu dan dia juga telah menyerahkan kepada pihak polis sesalinan gambar lelaki itu dan ugutan yang dihantar menerusi mesej teks telefon bimbit.

Dalam satu mesej teks, katanya, bekas teman lelakinya menulis: "B ****, jika awak tidak tarik balik laporan atau terus buat laporan, awak akan berakhir di penjara. Tidak lama lagi periksa kereta awak, awak akan ditangkap kerana memiliki dadah."

"(Polis) tidak menyoal dia ... Saya telah hilang kepercayaan (terhadap mereka)," katanya selepas membawa masalahn itu kepada peguam dan juga ADUN Batu Uban S Raveentharan.

Pada sidang akhbar hari ini di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Raveentharan berkata guru itu bimbangkan keselamatan dirinya.

Integriti polis

Ini kerana lelaki itu dikatakan mampu mengetahui dengan serta-merta setiap kali laporan polis dibuat ke atas dirinya.

Sebaik sahaja dia keluar dari balai polis, dia akan menerima mesej teks yang menyatakan, "Ini adalah nombor laporan polis, apa yang awak mahu lakukan sekarang?"

"Mengapa boleh ada kebocoran di balai polis ...? Siapakah ejen yang menjual maklumat kepada penyerang? Integriti polis kini dipersoalkan," kata Raveentharan.

"Selepas 15 laporan polis, mengapa tiada tangkapan dibuat? Sama ada pihak polis tidak tahu melakukan tanggungjawab atau mereka tidak mahu untuk menangkapnya."

Raveentharan seterusnya mendakwa suspek berkenaan dipercayai mempunyai pengaruh yang kuat kerana mampu menghalang polis daripada mengambil tindakan.

Sambil memberikan contoh, katanya seorang pegawai polis dari Farlim telah bersetuju untuk membantu pengadu.

Peguam juga diancam

Tetapi selepas beliau berjumpa dengan guru itu di balai polis, katanya: "Di luar balai ini, saya hanya rakyat biasa, saya juga takut dengan keselamatan saya."

Raveentharan mendakwa dirinya sendiri juga telah menerima ancaman kerana mewakili guru itu.

"Dia letakkan notis pada cermin kereta saya dan mengancam nyawa anak saya yang berusia 11 tahun," katanya.

"Dia juga tahu sekolah dan kelas di mana anak saya sedang belajar."

Ketika dihubungi, ketua polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaacub (kiri) dalam satu mesej teks berkata bahawa beliau sedang berada di luar negara, tetapi akan mengkaji perkara itu apabila kembali minggu depan.

Pada masa yang sama, katanya, usaha-usaha sedang dijalankan bagi memastikan bahawa guru itu dilindungi. -mk

Tiada ulasan: