DIALOG RAKYAT |
- RUU Perhimpunan Aman: Perubahan yang lebih mengukuhkan cengkaman
- Janji ditransformasi menjadi penipuan yang keji
- Pelajar swasta juga dapat bantuan RM100, kata Puad
- MB S’gor: Tiada lobi, komisen untuk lulus projek
- Pakatan lulus 149,000 hak milik tanah 11 bulan memerintah Perak
- Cabaran PKR menjelang PRU-13
- Zahid: Jangan sabotaj calon seperti p'raya lalu
- Kebanyakan sekolah guna BM ajar sains, matematik
- Saksi nampak gas pemedih ditembak ke hospital
- 'Fahaman Wahabi tak sesuai diamal di Malaysia'
- DUN Perak kecoh, ADUN DAP diarah keluar
- Pakatan tuntut Bil Perhimpunan Aman ditarik
- Kementerian Kesihatan arah sos tiram 1M'sia ditarik
- Mahkamah benar 72 pembeli kondo saman pemaju
- Rakyat M'sia dinasihat elakkan Dataran Tahrir, Mesir
- Najib terima pecacai siber kaki fitnah, petanda PRU kotor, penuh penipuan
- Perhidmatan bas di lima negeri ditamatkan, berpuluh ribu orang dijangka terkandas
- LZS Juga Sumbang Ke Negeri Luar Selangor
- 100 Pesawah Tuntut Noh Omar Letak Jawatan
- Jawatan Kosong di Malaysia Banyak Tapi Ramai Pemohon Yang Tidak layak?
- LAGU KEBANGSAAN DIEJEK PUN SALAH PEMBANGKANG JUGA? BEBAL PUNYA MENTERI
RUU Perhimpunan Aman: Perubahan yang lebih mengukuhkan cengkaman Posted: 23 Nov 2011 06:14 AM PST Rakyat semakin keliru dan kian sangsi terhadap komitmen kerajaan UMNO dan BN dalam membawa agenda transformasi. Segalanya dilihat sebagai "lakonan strategik" di layar politik tanahair setelah satu demi satu komitmen UMNO dan BN terungkai dalam usaha janji mereka kononnya mahu melakukan perubahan di dalam negara tercinta. |
Janji ditransformasi menjadi penipuan yang keji Posted: 23 Nov 2011 06:10 AM PST Menurut khabar dan spekulasi, Perdana Menteri Najib Razak dijangkakan membubarkan Parlimen dan meminta supaya Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan dalam masa beberapa bulan lagi. Pada pilihan raya yang akan datang ini, Najib buat julung kali memimpin Barisan Nasional dalam misi membentuk kerajaan. Secara langsung, pilihan raya ini adalah satu ujian sejauh manakah keyakinan rakyat terhadap pemerintahan Najib. *Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang. |
Pelajar swasta juga dapat bantuan RM100, kata Puad Posted: 23 Nov 2011 06:09 AM PST "Jadi, kita beri keadilan kepada semua yang bersekolah. Kita prihatin kepada masalah rakyat," katanya. BATU PAHAT: Kerajaan bersetuju meluaskan bantuan persekolahan RM100 setiap seorang kepada 500,000 pelajar sekolah swasta di seluruh negara membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi menghadapi persekolahan tahun depan. Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata peruntukan kepada pelajar sekolah swasta sama ada sekolah agama rakyat atau sekolah swasta Cina itu diputuskan memandangkan kerajaan tidak mahu pelajar terbabit merasakan diri mereka terpinggir. "Kita memikirkan mereka juga akan berhadapan dengan sesi persekolahan yang memerlukan bantuan pakaian sekolah dan sebagainya. Mereka ini juga menghadapi masalah yang sama seperti pelajar sekolah kerajaan. "Jadi, kita beri keadilan kepada semua yang bersekolah. Kita prihatin kepada masalah rakyat," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat dengan penduduk kawasan peti undi Kampung Kluang, Rengit, di sini, malam tadi. Terdahulu berucap pada majlis tersebut beliau meminta semua rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya terus mengekalkan semangat perpaduan seperti yang dicetuskan oleh pasukan bola sepak Harimau Muda yang berjaya mengekalkan pingat emas dalam pertandingan akhir bola sepak Sukan SEA ke-26. Pada majlis yang dihadiri oleh lebih 1,000 orang penduduk itu, Mohd Puad yang juga anggota majlis tertinggi Umno turut menyampaikan bantuan kerusi roda kepada tujuh orang kurang upaya (OKU), bantuan cermin mata dan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik. Bernama |
MB S’gor: Tiada lobi, komisen untuk lulus projek Posted: 23 Nov 2011 06:07 AM PST Abdul Khalid sebaliknya berkata, beliau akan memberi sokongan penuh kepada projek pelaburan itu sekiranya ia baik dan menguntungkan semua pihak. PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pelabur dalam mahupun luar negara tidak perlu melobi atau membayar komisen kepada pihak tertentu bagi mendapatkan kelulusan projek pelaburan di negeri itu. Abdul Khalid sebaliknya berkata, beliau akan memberi sokongan penuh kepada projek pelaburan itu sekiranya ia baik dan menguntungkan semua pihak. "Jika pelaburan ini menguntungkan kerajaan negeri juga akan mendapat untung seterusnya mampu meningkatkan ekonomi negeri yang mana hasilnya disalurkan semula kepada rakyat. "Kerajaan negeri akan membuat yang terbaik untuk memastikan pelabur dapat menjalankan perniagaan dengan mudah tanpa banyak karenah birokrasi. "Saya juga memberi jaminan bahawa perniagaan di Negeri Selangor adalah bersih kerana kami mengamalkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab,"katanya. Beliau berkata demikian ketika menganjurkan makan tengahari bersama pelabur-pelabur Jepun yang menghadiri Seminar Pelaburan Malaysia anjuran Malaysia-Japan Commerce Association (Majeca) di Tokyo, semalam. Katanya,kerajaan negeri amat menghargai sokongan pelabur Jepun yang menjadi pelabur terbesar di negeri ini dengan jumlah pelaburan hampir RM1.2 bilion setakat Ogos lalu. Dalam tempoh Januari hingga Ogos 2011, sebanyak 18 projek dari negara Jepun telah diluluskan di negeri itu yang menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan. Sepanjang lawatan selama dua hari ke Jepun, Abdul Khalid melawat Ibu Pejabat Sony Corporation dan mengadakan perjumpaan singkat dengan Naib Presiden Kanannya, Tsugie Miyashita. Beliau juga mengadakan perjumpaan dengan wakil syarikat Toyota untuk membincangkan rancangan syarikat pengeluar kereta itu membuka kilang di Rawang selain bertemu dengan wakil syarikat Nomura. Lawatan tersebut yang pertama ke Jepun sejak Abdul Khalid dilantik menjadi Menteri Besar pada 2008. Turut menyertai lawatan kerja ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC), Datuk Mohd Jabar Ahmad Kembali dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Atan. |
Pakatan lulus 149,000 hak milik tanah 11 bulan memerintah Perak Posted: 23 Nov 2011 06:01 AM PST Bekas MB menolak kenyataan Exco BN yang mengatakan Pakatan hanya meluluskan 1,092 hak milik IPOH: Kerajaan Pakatan Rakyat meluluskan 149, 000 hak milik tanah untuk kampung tersusun dan kampung baru selama 10 bulan memerintah Perak, kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin. Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak sempat memberikannya kepada rakyat kerana berlakunya rampasan kerajaan negeri pada akhir Januari 2009. Dalam sidang DUN hari ini Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri Datuk Ramly Zahari berkata, Pakatan Rakyat hanya meluluskan 1,092 hak milik sepanjang memerintah. Mengulas kenyataan ini, Nizar yang juga Adun Pasir Panjang berkata, mungkin 1,092 hak milik tanah itu adalah tanah yang diterima rakyat. Bernama hari ini melapurkan, selama 11 bulan mentadbir negeri Perak, kerajaan pimpinan pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)-PAS hanya meluluskan 1,092 hak milik tanah kepada rakyat berbanding sejumlah 3,047 hak milik sepanjang 2009 oleh Barisan Nasional (BN) apabila mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Februari tahun itu. Ramly berkata pada 2010, jumlah hak milik yang diluluskan adalah sebanyak 6,715. Beliau berkata kerajaan negeri mempertimbangkan semua permohonan bagi mendapatkan hak milik tanah tertentu walaupun terdapat permohonan bertindih iaitu lebih daripada satu pemohonan terhadap sesebuah kawasan tanah. Terdahulu semasa menjawab soalan Ramli Tusin (PAS-Gunung Semanggol), Ramly berkata semua permohonan itu dipertimbangkan tanpa mengira batasan agama, kaum atau ideologi politik serta diluluskan selepas dibuat saringan temuduga dan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Tanah Daerah. |
Posted: 23 Nov 2011 05:57 AM PST TVS NEWS 'Demi Rakyat' adalah tema utama Kongres Keadilan ke-8 yang akan berlangsung pada 25-27 November depan di Johor Bharu. Tema ini juga akan menjadi manifesto Pakatan Rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang. Menurut Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Johor dipilih bukan sekadar untuk melengkapkan giliran negeri-negeri tetapi disebabkan negeri tersebut merupakan kubu kuat Umno. "Kalau roboh kubu kuat (Umno), maknanya (peluang) di negeri-negeri lain akan jadi lebih cerah." jelas Saifuddin ketika sidang media baru-baru ini. Sementera menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli parti itu memerlukan penambahan 15 kerusi tambahan selain mempertahankan 31 kerusi yang dikuasai semasa PRU-12 pada 2008 lalu. Secara keseluruhannya pada PRU-13 nanti PKR akan bertanding di 46 kerusi parlimen diseluruh negara.
Sebagai sebuah parti politik yang diasas berdasarkan masyarakat pelbagai kaum, PKR dilihat sebagai sebuah parti yang paling relevan dengan tuntutan semasa dan masa depan. Impian untuk mewujudkan sebuah parti berbilang kaum merupakan impian setiap perdana menteri sebelum ini tetapi gagal dilaksanakan. Ini disebabkan kemunculan parti-parti yang diwakili pemimpin tersebut diasas berdasarkan kaum-kaum tertentu. Kemunculan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menggabungkan parti-parti pembangkang dalam sebuah entiti parti politik amat mengejudkan pemimpin-pemimpin Umno/BN. Berasaskan komposisi politik semasa, parti politik yang berjaya menggabungan pelbagai kaum akan dilihat sebagai parti yang paling berjaya mendominasi kerajaan dimasa depan. Diatas alasan asas inilah seluruh rakyat negara ini dapat menyaksikan fitnah dan tohmahan yang bertali arus di kenakan kepada Anwar. Matlamat serangan tersebut semata-mata untuk memberikan imej buruk terhadap Anwar dan parti yang di pimpinnya. Penglibatan Anwar dalam pelbagai gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa atau kronisme ketika beliau berada dalam kerajaan tidak dapat dibuktikan secara berfakta. Justeru tidak ada jalan lain bagi musuh-musuh Anwar selain fitnah dengan pelbagai kes yang membabitkan isu moral. Tujuan isu tersebut direka cipta bagi menghilangkan kredibiliti Anwar dimata rakyat. Sistem Dua Parti Kewujudan gabungan Pakatan Rakyat (PR) selepas PRU-12 telah membuka lambaran baru kepada landskap politik negara. Sebelum ini PRU akan disertai pelbagai parti. BN yang diwakili 14 komponen parti terus unggul menjuarai setiap PRU. Gabungan tiga parti pembangkang terbesar PKR,PAS dan DAP membentuk PR ternyata mencabar keegoan BN yang selama ini mendabik dada dengan penguasaan mereka dalam kerajaan. Kata-kata " Hanya BN sahaja yang mampu memerintah negara dan memberi kemakmuran kepada seluruh rakyat" yang sering di ucapkan oleh pemimpin-pemimpin BN sudah dianggap sumbang. Manakala Anwar pula telah diberi pengiktirafan oleh kepimpinan PAS dan DAP sebagai bakal perdana menteri sekiranya PR menguasai Putrajaya. Ketokohan Ketua Umum PKR itu bukan sekadar kekuatan mental dan bakat kepimpinan beliau malah beliau dianggap sebagai penyatu kepada komponen pembangkang. Cabaran kepada PKR Sebagai sebuah organisasi politik yang mana pemimpinnya merupakan tokoh berwibawa serta bakal memimpin negara, PKR memerlukan mekanisma pengurusan dan strategi yang berkesan bagi memastikan kemenangan besar dalam PRU-13. Kepimpinan parti perlu mengenal pasti setiap kelemahan yang ada terutamanya melibatkan jentera parti disemua peringkat dalam menghadapi PRU akan datang. Begitu juga dengan saluran media terhad yang sedia ada perlu dimaksimakan sehingga seluruh pelusuk negara mendapat maklumat secukupnya. Kejayaan pemerintahan negeri-negeri yang dikuasai PR dalam pengurusan dan pentadbiran berhemah seharusnya disebarkan seluas mungkin termasuk di Sabah dan Sarawak. Ini adalah antar aset yang harus diberikan kepada rakyat supaya rakyat dapat membuat penilaian dan perbandingan berhubung kemampuan PR sekiranya menguasai kerajaan. Pemilihan calon Selepas tamat PRU 12 dan PKR berjaya menguasai 31 kerusi parlimen. Setelah itu menyaksikan beberapa MP PKR seperti Zaharin Hashim (Bayan Baru), Gobalakrisnan (Padang Serai), Isu lompat parti dikalangan pemimpin-pemimpin PKR telah memberi imej yang kurang baik berhubung jati diri perjuangan pemimpin-pemimpin di peringkat atasan. Berdasarkan isu tersebut akan memberikan persepsi yang buruk terhadap PKR. Parti juga perlu banyak bermuhasabah mencari jalan penyelesai berhubung calon-calon yang akan di pilih. Bukan setakat itu persepsi parti-parti komponen lain terhadap calon-calon PKR yang akan menyertai PRU juga perlu dipertimbangan. Parti-parti komponen PR seperti PAS dan DAP mungkin masih menaruh kebimbangan terhadap calon-calon dari PKR berdasarkan pengalaman 'lompat parti' yang turut mencemar nama baik parti-parti komponen lain. Revolosi dalam AMK dan wanita Memandangkan Kongres kali ini merupakan kongres yang kelapan justeru ahli-ahli serta seluruh rakyat perlu melihat suatu progres yang sihat dan menyeluruh dalam setiap lapisan dalam parti. Sejauh manakah penglibatan pelbagi kaum dalam kepimpinan PKR yang selama ini dianggap sebagi sebuah parti yang diwakili oleh keahlian dari pelbagai kaum perlu diketengahkan. Apakah jentera dan kepimpinan pemuda dan wanita berjaya menarik minat golongan muda dan profesional. Berdasarkan kajian mendapati 70% pengundi terdiri dari golongan ini yang berusia 21 -40 tahun. Dalam ertikata lain nya golongan muda ini merupakan penentu kepada kerajaan selepas PRU-13 nanti. Persoalannya apakah langkah dan tindakan yang telah diambil oleh kedua-dua sayap parti ini bagi memastikan generasi muda ini dan seterusnya memastikan kemenangan mutlak dalam PRU-13 nanti. Menurut bancian oleh UMR baru-baru ini juga mendapati wanita berusia antara 20 -30 tahun juga lebih berminat menyertai BN berbanding PR juga harus disambut sebagai cabaran yang memerlukan tindakan serta merta. Untuk itu jentera pemuda dan wanita harus memulakan jentera gerak kerja untuk mengumpul seramai mungkin ahli hingga menembusi kubu kuat Umno/BN diseluruh pelusuk. Data-data ini harus dikumpul secara berfakta dan bukannya berdasarkan persepsi dan retorik untuk menyedapkan hati pemimpin atasan. Dilema Orang melayu Walaupun sejak kebelakangan ini Umno/BN menggunakan pelbagai propoganda dan serangan media bagi menghidup persepsi rakyat terhadap PKR sebagai perti yang tidak membela nasib orang melayu perlu dilihat sebagai positif. Ini memandangkan pengundi melayu merupakan penentu kepada penguasaan PR ke Putrajaya. Umno telah bertindak berpatah arang berkerat rotan untuk hanya memberi fokes kepada pengundi melayu. Ini bukan disebabkan isu melayu sebagai agenda perjuangan parti tersebut tetapi melihat isu tersebut bagi menyelamatkan BN dari mengalami kekalahan lebih teruk. Kurangnya agenda dan untuk memartabatkan isu-isu orang melayu seperti isu PPSMI, isu Islam seperti hudud,hak keistimewaan orang melayu, institusi sultan dan raja-raja dan tanah rezab melayu telah diambil kesempatan oleh Umno untuk melebelkan PKR sebagi parti yang hanya mementingkan kaum-kaum lain. Dalam masa yang sama PKR juga dianggap sebagai parti yang takut memperjuangkan isu-isu melayu kerana terpaksa menjaga sentimen kaum-kaum lain. Akhirnya PKR terjerat dan setiap pemimpinnya terpaksa 'menolak' isu tersebut kepada PAS bagi menangani isu berkaitan orang melayu. Walau apa pun kongres ke-8 kali ini merupakan landasan bagi memastikan segala kelemahan dan kelebihan yang ada agar dapat diseimbangkan. Fokas untuk menghadapi PRU-13 bukan merupakan perkara mudah sebagaimana pepatah menyatakan usaha mempertahan lebih sukar dari usaha menguasai sesuatu keadaan. Justeru untuk menang dan berkuasa memerlukan strategi dan kaedah yang memerlukan pengorbanan sebuah pasukan yang mantap. Maka seharusnya kongres ke-8 yang akan disertai oleh 2,534 perwakilan dan 1,055 pemerhati berdaftar ini perlu menganggap usaha pemantapan pasukan bagi menghadapi sebuah medan peperangan yang besar serta bagi survival parti dimasa depan Maka pengorbanan tersebut perlu disertakan dengan tindakan dan bukan sekadar bersemangat berkongres tetapi layu dimedan sebenar perjuangan. Peperangan itu adalah untuk menang dan menguasai Putrajaya selepas PRU-13 nanti Selamat berkongres dan selamat berjuang kepada semua perwakilan. |
Zahid: Jangan sabotaj calon seperti p'raya lalu Posted: 23 Nov 2011 05:55 AM PST MALAYSIA KINI Unsur sabotaj seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lepas perlu dihentikan bagi memastikan calon yang ditampilkan Umno untuk bertanding pada pilihan raya ke-13 menang, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Sambil menegaskan Umno perlu berada dalam keadaan "cacat sifar" sebelum pilihan raya umum, beliau berkata perbuatan sabotaj boleh dihindari sekiranya setiap anggota Umno bersatu padu dengan segera menyelesaikan setiap permasalahan di peringkat cawangan dan bahagian. Bercakap dalam sidang media khas menjelang Perhimpunan Agung Umno 2011, yang akan diadakan minggu depan, di ibunegara hari ini, Ahmad Zahid berkata memegang jawatan tinggi di mana-mana peringkat bukan jaminan bagi individu itu dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang. "Namun yang agak menggusarkan kepimpinan atasan adalah permasalahan dari segi kepimpinan di peringkat bahagian yang istilah politiknya dipanggil warlord (hulubalang) yang mahu terus memberikan penekanan bahawa mereka telah mengasah pedang begitu lama... hendak tajamkan (memperkukuhkan) kuasa dan mencengkam pengaruh di kawasan masing-masing, maka akan berlakulah masalah 'intra-party'. "Kalau tiada tentera di belakang, hanya kita sebagai jeneral (sahaja) yang ada pedang yang tajam, kita akan kalah dalam perang. Oleh sebab itu kita perlu mempunyai bala tentera yang berada di belakang dan mendapat sokongan semua," katanya. Ahmad Zahid, yang juga menteri pertahanan, berkata perkara itu adalah antara mesej penting yang akan disampaikan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2011, yang bermula Selasa depan. "Ini memandangkan pengalaman kita pada pilihan raya umum ke-12 memperlihatkan bahawa permasalahan dalaman yang tidak diselesaikan menjadi penyumbang utama kepada kekalahan banyak calon Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya. Katanya satu kajian akademik mendapati pemilihan calon yang baik mampu menyumbang sebanyak 31 peratus kemenangan parti manakala jika permasalahan dalaman dapat diselesaikan, ia boleh menyumbang lebih daripada 50 peratus. Naib Presiden Umno itu menegaskan selain perlu memberi sokongan padu pada calon yang dipilih pucuk pimpinan, anggota parti hendaklah melupakan segala kepentingan peribadi bagi memberi kemenangan kepada calon. "Saya hampir pasti Presiden dan Timbalan Presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tentunya akan memberi penekanan bahawa kita tidak boleh berkompromi dengan aspek kekalahan mana-mana calon hanya disebabkan oleh masalah yang tidak dirungkaikan di peringkat bahagian," katanya. Ahmad Zahid berkata anggota parti juga perlu melipatgandakan usaha untuk menawan negeri yang dikuasai pembangkang - Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang - serta kembali menguasai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Mengenai Perhimpunan Agung Umno, beliau berharap para perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan menekankan tentang perpaduan, usaha-usaha yang dijalankan kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) bagi difahami anggota parti dan sekaligus dapat menerangkan kepada kumpulan sasar iaitu pengundi baru. Kepada soalan mengenai pengaruh yang dimainkan media baru seperti blog, Twitter dan Facebook, Ahmad Zahid berkata pada pilihan raya umum yang lepas, media baru itu dilihat penyumbang terhadap penolakan rakyat terhadap calon BN. "Media sosial telah menjadi satu faktor yang menyumbang kepada hakisan pengaruh politik kerana media sosial adalah satu pengantara media yang dianggap cukup berwibawa sehingga meminggirkan media arus perdana. "Pihak antagonistik mengambil peluang kredibiliti media sosial tetapi selepas berada di khalayak lebih lima tahun, banyak maklumat dalam media sosial tidak mencapai tahap kredibiliti dan tidak berdasarkan fakta tetapi lebih kepada spekulatif, imaginatif dan hentam keromo menyebabkan kredibiliti pengamal media sosial menurun," katanya. Beliau berkata inisiatif Perdana Menteri mewujudkan blog serta mempunyai akaun Twitter serta Facebook adalah tepat bagi menarik sokongan rakyat termasuk golongan belia yang mudah terdedah dengan pelbagai maklumat tidak tepat di Internet. Menyentuh hasrat pembangkang untuk mengadakan pilihan raya secara berasingan dengan pilihan raya umum, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata ia adalah sesuatu yang baik. "Ini kerana ia akan memberi kelebihan kepada BN. Apabila semua pilihan raya di setiap negeri selesai, kita akan memberi tumpuan penuh kepada negeri yang dikuasai pembangkang dan sekaligus merampas semula negeri tersebut. "Saya tidak fikir mereka akan menang kerana kebanyakan janji mereka dalam manifesto 2008 gagal ditunaikan dan rakyat tidak boleh lagi dibutakan dengan janji retorik mereka," katanya. - Bernama |
Kebanyakan sekolah guna BM ajar sains, matematik Posted: 23 Nov 2011 05:50 AM PST MALAYSIA KINI Kebanyakan sekolah rendah dan menengah kembali menggunakan Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi. Beliau berkata hanya lima peratus daripada 7,495 jumlah bilik darjah sekolah rendah dan kurang sembilan peratus daripada 21,092 sekolah menengah yang masih menggunakan Bahasa Inggeris bagi Sains dan Matematik. "Meskipun ada pihak yang mempersoalkan tempoh yang begitu panjang terhadap pendekatan 'soft landing' melalui dasar Memartabat Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), hakikatnya kebanyakan sekolah telah pun kembali menggunakan Bahasa Melayu. "Sebelum melaksanakan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran itu, kita gunakan pendekatan 'soft landing' di mana tempoh bagi sekolah rendah sehingga 2016 manakala sekolah menengah sehingga 2021," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini. Beliau berkata demikian bagi menajwab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) mengenai pihak yang masih ingin mengekalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Menjawab soalan Datin Linda Tsen Thau Lin (BN-Batu Sapi) berhubung keputusan kerajaan mengenai penggunaan Bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains, beliau berkata guru-guru sekolah rendah atau menengah boleh mengajar kedua-dua mata pelajaran itu sama ada dalam Bahasa Melayu atau Inggeris atau dwi-bahasa. "Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik boleh diajar dalam bahasa Melayu sepenuhnya atau Bahasa Inggeris sepenuhnya atau dwi bahasa di semua sekolah rendah dan menengah kecuali Tahun Satu sehingga kohort terakhir. "Namun ia bergantung kepada kesesuaian murid-murid di sekolah itu sendiri dari segi penguasaan bahasa mereka tetapi kementerian tetap memutuskan secara muktamad untuk kekal dengan pemansuhan PPSMI dan tidak bercadang untuk melaksanakannya semula seperti yang dituntut beberapa pihak sebelum ini," katanya. Mengenai Surat Pekeliling baru berhubung pemansuhan PPSMI dan kertas soalan yang hanya akan diberikan dalam bahasa Melayu, Mohd Puad berkata Pekeliling baru bertarikh 4 November 2011 telah dikeluarkan. "Dengan itu surat Pekeliling lama secara sendirinya terbatal dan di dalam surat pekeliling baru termaktub dengan jelas bahawa soalan peperiksaan mestilah dibuat dalam dwi bahasa," katanya bagi menjawab soalan Che Uda Che Nik (PAS-Sik).- Bernama |
Saksi nampak gas pemedih ditembak ke hospital Posted: 23 Nov 2011 04:28 AM PST Hafiz Yatim Yap Jee Kit (kiri), yang berkhidmat sebagai pembantu kepada exco Selangor, Elizabeth Wong juga mendakwa dirinya didera secara fizikal dan dicerca oleh pihak polis semasa ditangkap. Katanya, pada hari kejadian, petang 9 Julai itu, beliau berjalan dari Brickfields untuk menuju ke Menara Maybank dengan memakai kemeja T kuning BERSIH 2.0. Menurutnya, dalam perjalanan itu, beliau juga melihat ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah ditangkap ketika cuba berunding bagi pihak lebih 5,000 orang supaya pihak berkuasa membenarkan mereka melepasi sekatan polis. "Terdapat ramai anggota polis pada hari itu dengan juga anggota dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Kami hanya berkumpul di sana sambil melaungkan beberapa slogan apabila polis memberi amaran dan melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air di Jalan Pudu. "Sivarasa dan beberapa ahli politik lain yang cuba untuk berunding dengan pihak polis supaya orang ramai ridak dihalang tetapi sebaliknya, beliau pula ditangkap," katanya. Akibat terkena gas pemedih mata, sebahagian daripada mereka mengambil keputusan untuk berlindung di dalam kawasan Hospital Tung Shin Hospital dan katanya, ketika itu, melepaskan tembakan meriam air ke arah orang ramai. "Saya dapat lihat ini dengan jelas dan beberapa daripada kami berlari mencari perlindungan ke Hospital Bersalin Cina yang terletahan bersebelahan. "Polis kemudian melepaskan tembakan beberapa kanister gas pemedih mata ke arah tempat letak kereta Hospital Bersalin Cina dan mulu meluru ke arah orang ramai. Keterangan Yap pada hari kelima siasatan awam ini, bercanggah dengan kenyataan pihak berkuasa yang mempertahankan bahawa tiada gas pemedih mata dilepaskan di Hospital Tung Shin. Pihak polis dan juga Kementerian Kesihatan pada mulanya menafikan bahawa tembakan meriam air dilepaskan ke perkarangan hospital. Namun, bukti-bukti, khususnya gambar dan rakaman video yang tersebar di Internet memaksa pihak berkuasa menukar pendirian mereka. |
'Fahaman Wahabi tak sesuai diamal di Malaysia' Posted: 23 Nov 2011 04:26 AM PST MALAYSIA KINI Kerajaan berpendirian bahawa fahaman Muhammad Abdul Wahab (Wahabi) tidak sesat namun ia tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau berkata kerajaan memandang berat terhadap kekeliruan dan perselisihan faham yang timbul berhubung isu ini tetapi setakat ini ia masih terkawal. "Kumpulan yang menyokong pegangan Muhammad Abdul Wahab ini tidak terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah, namun apa yang mesti diatasi dan ditangani adalah isu-isu kontroversi yang bersangkut dengan masalah furu'iyyah (cabang) yang cuba dibangkitkan mereka," katanya ketika menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. Mohd Nor ingin tahu sejauh manakah fahaman Wahabi meresap dalam kalangan masyarakat. Jamil Khir berkata keputusan itu berdasarkan hasil beberapa perbincangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Ia juga turut dibincangkan dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kali ke-14 tahun 2000 dan kali ke-20 pada tahun 2002 serta kali ke-23 pada 2003, katanya. Beliau berkata kesemua keputusan itu adalah untuk menyekat penularan isu atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan dan boleh menggugat perpaduan umat islam di Malaysia. Kepada soalan tambahan Nasharudin Mat Isa (Pas-Bachok) tentang aspek ancaman yang boleh dilihat dari gerakan Wahabi, Jamil Khir berkata situasi yang berlaku hari ini adalah khilaf yang diperbesarkan sehingga menimbulkan sensitiviti umat. "Keadaan ini sekali gus menimbulkan pandangan berbeza kepada kelompok masyarakat. Justeru, demi menjaga kesejahteraan rakyat, kerajaan memberi pendekatan bahawa Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan akidah dalam konteks negara Malaysia dan Mazhab Syafie menjadi pegangan," katanya.- Bernama |
DUN Perak kecoh, ADUN DAP diarah keluar Posted: 23 Nov 2011 04:14 AM PST MALAYSIA KINI Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang memasuki hari ketiga hari ini panas dan kecoh apabila pihak kerajaan dan pembangkang bertegang leher gara-gara wakil rakyat pembangkang menggunakan kata-kata "pelacur politik" dan "katak" semasa perbahasan. |
Pakatan tuntut Bil Perhimpunan Aman ditarik Posted: 23 Nov 2011 04:11 AM PST MALAYSIA KINI Pakatan Rakyat hari ini menuntut agar rang undang-undang Perhimpunan Aman yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama ditarik balik. "Ini jelas menunjukkan kongkongan pihak pemerintah terhadap rakyat, sama seperti di negara-negara ekstrim Arab dan Myanmar. "Rang undang-undang ini juga jelas bercanggah dengan kenyataan asal Datuk Najib yang kononnya mahu menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik di dunia. "Ucapan beliau pada sambutan Hari Malaysia amat lunak, namun tindakannya cukup menekan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di pejabatnya di Parlimen hari ini. Justeru, kata Anwar yang juga ketua pembangkang, dalam usaha membantah akta itu, beliau dan ahli-ahli parlimen Pakatan akan menimbulkan bantahan mereka pada persidangan Dewan Rakyat secara berterusan. Bagi naib presiden PAS, Salahuddin Ayub, undang-undang baru itu tidak praktikal kerana penganjur perhimpunan perlu memohon 30 hari lebih awal untuk berhimpun. Turut hadir pada sidang media itu adalah setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali; naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar; ketua pengarah pilihan raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, timbalan presiden PKR, Azmin Ali dan setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail. |
Kementerian Kesihatan arah sos tiram 1M'sia ditarik Posted: 23 Nov 2011 04:07 AM PST MALAYSIA KINI "Kami telah maklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan produk itu dari pasaran. "Produk itu mesti ditarik balik segera," kata menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada wartawan pada sidang akhbar di lobi parlimen hari ini. Jelasnya, ujian makmal oleh Jabatan Kesihatan, kementerian itu mendapati sos tiram 1Malaysia yang dijual di kedai-kedai KR1M di seluruh negara, mencatatkan kandungan protein yang rendah daripada keperluan yang disyaratkan oleh undang-undang. Sos tiram itu adalah satu daripada tujuh barangan yang didakwa oleh ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, mencabuli Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985. Pua sebelum ini berkata pada label sos tiram keluaran Lee Kum Kee dan Tesco menyatakan bahan bahan yang digunakan adalah dari ekstrak tiram. Bagaiamapun, katanya, sos jenama 1Malaysia pula menyatakan ia diperbuat daripada perisa tiram. |
Mahkamah benar 72 pembeli kondo saman pemaju Posted: 22 Nov 2011 03:54 PM PST MALAYSIA KINI Pembeli kondominium boleh menyaman pemaju kerana melanggar kontrak tanpa perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pembiaya mereka, demikian putus Mahkamah Rayuan, semalam. Datuk Wira Low Hop Bing yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 merupakan undang-undang sosial yang perlu ditafsirkan secara liberal untuk pembeli rumah. Beliau berkata Seksyen 22(C)(1) akta itu memberikan hak kepada pembeli rumah untuk memulakan tindakan undang-undang atas namanya sendiri terhadap pemaju perumahan atau mana-mana orang berkenaan dengan apa-apa perkara yang berbangkit daripada perjanjian jual beli antara pembeli rumah dan pemaju, melainkan jika perjanjian itu menyatakan niat sebaliknya iaitu bahawa dia perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pembiaya sebelum boleh menggunakan haknya untuk mengemukakan saman. Low berkata Mahkamah Rayuan berpendapat seorang pembeli rumah itu perlu mendapatkan kebenaran daripada pembiaya untuk memulakan tindakan undang-undang sekiranya perjanjian jual beli menyatakan sedemikian. Bagaimanapun, beliau berkata dalam kes ini, mahkamah tidak dapat mencari apa-apa niat yang dinyatakan dalam perjanjian yang memerlukan persetujuan tersebut dan dengan itu, kebenaran bertulis tidak diperlukan. Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu ketika membenarkan 72 pembeli kondominium menghidupkan semula saman mereka terhadap syarikat pemaju Debir Desa Development Sdn Bhd dan 13 defendan lain, serta mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan. Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Linton Albert itu, turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Nov lalu, yang menolak saman berkenaan selepas membenarkan bantahan awal defendan yang mendakwa pembeli tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan saman kerana mereka tidak mendapat persetujuan bertulis daripada pembiaya untuk berbuat demikian. Semua plaintif merupakan pembeli 57 unit kondominium Medan Putra di Bandar Menjalara, Kepong. Mereka antara 93 pembeli yang menyaman Debir Desa Development dan 13 lagi pada Januari 2003 kerana melanggar terma dalam perjanjian jual beli. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memutuskan 21 pembeli lain boleh menyaman defendan kerana mereka telah mendapat kebenaran bertulis penuh atau bersyarat daripada pembiaya masing-masing. Dalam penyataan tuntutan, pembeli mendakwa terdapat banyak retakan di bahagian luar dan dalam lantai, dinding, balkoni, tangga dan rasuk kondominium mereka. Defendan pula mendakwa kondominium itu dibina mengikut terma dalam perjanjian jual beli. Pembeli kondominium diwakili peguam Datuk Harpal Singh Grewal dan Harwinder Kaur manakala defendan oleh Christopher Foo, Mark Labroy dan SY Hiew.- Bernama |
Rakyat M'sia dinasihat elakkan Dataran Tahrir, Mesir Posted: 22 Nov 2011 03:53 PM PST MALAYSIA KINI Rakyat Malaysia yang bercadang melawat Mesir dan yang sedang berada di negara itu dinasihatkan agar tidak berkunjung atau melalui Dataran Tahrir di Kaherah dan kawasan berhampiran, terutama pada hari Jumaat. Kementerian Luar, dalam satu kenyataan, turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengelak lokasi 'panas' lain di negara tersebut. Rakyat Malaysia juga diseru sentiasa berhati-hati dalam soal keselamatan diri dan peka serta mematuhi sebarang arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa Mesir. Selain itu, Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia di Mesir untuk berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, yang boleh dihubungi di talian +00-202-37610013/19/68/73 atau e-mel malcairo@kln.gov.my. Mesir kini dilanda kekacauan apabila beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir sejak Jumaat bagi menuntut junta tentera Mesir mengembalikan kuasa kepada pemerintahan awam. Lebih 30 orang maut manakala lebih seribu lagi cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.- Bernama |
Najib terima pecacai siber kaki fitnah, petanda PRU kotor, penuh penipuan Posted: 22 Nov 2011 03:49 PM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR – Apabila Datuk Seri Najib Razak secara rasminya mengiktiraf pencacai siber kaki fitnah pro-UMNO, ia jelas membuktikan Barisan Nasional terlibat dalam kempen politik kotor yang penuh dengan fitnah dan penipuan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri akhirnya mengakui BN bukan sahaja memaafkan tindakan keji pecacai siber pro-BN, malah menggalakkan mereka meneruskan kerja-kerja kotor itu. "Najib menyokong pencacai siber yang telah menyebarkan fitnah dan penipuan liar bukan sahaja terhadap Pakatan Rakyat, malah termasuk pemimpin-pemimpinnya dan kanak-kanak yang tidak berdosa," katanya dalam satu kenyataan. Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian sebagai mengulas pelancaran Sukalerawan Media Sosial 1Malaysia (myVO1CE) oleh Najib yang ditubuhkan bagi menerangkan dan mempertahankan dasar kerajaan BN melalui internet kelmarin. Guan Eng adalah antara mangsa utama yang kerap difitnah, dikecam dan diserang tanpa sebarang bukti oleh para pemimpin UMNO dan BN serta blogger upahan mereka. Malah sejak mengambil alih pentadbiran negeri sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas PRU 2008, beliau menjadi mangsa fitnah lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia, hampir setiap hari dengan disokong oleh media umum termasuk TV dan radio kawalan UMNO-BN. Dalam fitnah terbaru terhadap Guan Eng bulan lalu, anak lelakinya yang masih bersekolah menjadi mangsa oleh pencacai siber UMNO-BN. Mereka memfitnah anak lelakinya mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan sekolahnya, walhal perkara itu telah dibuktikan bohong dan tidak berlaku, malah dinafikan sendiri oleh pengetua sekolah itu. "Seorang pemimpin UMNO Pulau Pinang Dr Novandri Hasan Bari adalah blogger yang terlibat menyiarkan fitnah terhadap anak lelaki saya… Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang turut mengikut sama dengan kata-kata kotor dan memalukan terhadap anak saya itu, juga hadir ketika pelancaran 'tentera siber' oleh Najib itu," katanya. Beliau meramalkan PRU ke-13 nanti akan menjadi yang paling kotor dalam sejarah berasaskan sejarah dan sifat semula jadi pecacai siber UMNO-BN yang tidak berhati perut dan bersikap keji itu yang akan menjadi 'tentera siber' Najib. |
Perhidmatan bas di lima negeri ditamatkan, berpuluh ribu orang dijangka terkandas Posted: 22 Nov 2011 03:42 PM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR– Berpuluh ribu orang akan terkandas jika masalah perkhidmatan bas berhenti-henti di Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang yang telah dan sedang dalam proses untuk ditamatkan, tidak ditangani segera oleh kerajaan. Pengumuman menamatkan perkhidmatan itu telah dibuat oleh syarikat Konsortium Transnasional Berhad-Cityliner. Persatuan syarikat-syarikat bas, iaitu Pan Malaysian Bus Operators Association, juga telah memberi amaran bahawa 17 syarikat bas berhenti-henti akan memansuhkan 80 jalur perjalanan melibatkan 400 buah bas. "Krisis ini jika tidak ditangani dengan segara akan mengakibatkan berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia terkandas dan mengalami kesulitan yang tidak terhingga," kata Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera Liew Chin Tong. Beliau berkata krisis perkhidmatan bas sebenarnya bukan saja melibatkan sektor bas berhenti-henti sahaja kerana bas jarak jauh yang kerap kali terlibat dalam kemalangan dan syarikat-syarikatnya yang mengalami masalah kewangan juga menghadapi kesulitan yang perlu ditangani dengan segera sebelum berlaku sebarang tragedy. "Oleh itu, saya menggesa Dewan Rakyat supaya mendesak Jemaah Menteri menggubalkan dasar baru untuk perkhidmatan bas secara umum dan menyelesaikan krisis penamatan perkhidmatan bas berhenti-henti," tambahnya. Bagaimana pun, Liew kecewa kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam telah menolak usul khas beliau untuk membahaskan krisis penamatan perkhidmatan bas berhenti-henti di Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Pahang. "Yang Dipertua Dewan Rakyat menolak usul saya dengan alasan bahawa pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang mengambil langkah-langkah segera dengan mengadakan rundingan dengan pihak pengusaha bas yang memberhentikan perkhidmatan bas. "Saya merasa kecewa terhadap keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana tidak memberi peluang kepada wakil rakyat membahaskan perkara ini yang berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendaki disegerakan," katanya. |
LZS Juga Sumbang Ke Negeri Luar Selangor Posted: 22 Nov 2011 03:35 PM PST Oleh Hafizan Taib SHAH ALAM : Penyaluran dana zakat dilakukan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di luar Selangor adalah bukti keprihatinan Selangor dalam usaha membantu menangani permasalahan ummah yang berlaku di dalam negara ini. Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, bantuan zakat ke luar negeri Selangor dikenali sebagai Program Selangor Prihatin dan telah mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS. Malah, katanya, sebahagian kecil bantuan turut disalurkan kepada negara-negara jiran dan Islam yang umat Islamnya lemah dan memerlukan pembelaan. Bagaimanapun, jelasnya, LZS sentiasa mengutamakan kepentingan umat Islam di Selangor sebelum menyalurkan dana zakat ke luar negeri ini. "Program ini menumpukan kepada usaha membasmi kemiskinan di kalangan asnaf fakir dan miskin menerusi agenda pembangunan pendidikan dan ekonomi. Ia baru dilaksanakan pada tahun ini dan bermula dengan negeri Perlis. Bantuan ini turut akan disalurkan kepada negeri-negeri lain iaitu negeri Kedah, Kelantan dan Perak secara berperingkat dalam tempoh lima tahun," katanya dalam sidang media di Dewan MTES, Bangunan SUK di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa d kepaan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Marzuki Hussin. Selain program itu, menurutnya, LZS turut menyalurkan bantuan dari masa ke semasa terutama ke negeri yang menghadapi bencana alam seperti banjir di mana sehingga kini negeri yang menerima bantuan itu adalah Kedah, Perlis, Johor dan Pahang. Katanya, bantuan dari masa ke semasa dalam bentuk pembelaan institusi masjid dan pendidikan di negara jiran Malaysia dan negara Islam lain turut diberikan kepada Palestin, Kemboja, Acheh, Thailand, Indonesia dan Myanmar. "LZS tidak menafikan keperluan asnaf di Selangor dan masih menumpukan perhatian sepenuhnya kepada mereka dengan pelbagai bentuk bantuan disalurkan. Sehingga Oktober lalu, LZS telah menagihkan zakat sebanyak RM228 juta dan sebanyak RM71.6 juta kepada asnaf fakir dan miskin," katanya. |
100 Pesawah Tuntut Noh Omar Letak Jawatan Posted: 22 Nov 2011 03:28 PM PST Oleh Mohd Ezli Mashut SEKINCHAN : Hampir 100 petani dan pesawah di sekitar Sekinchan, Sungai Burung dan Sungai Panjang menuntut Menteri Pertanian, Industri Dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar untuk segera meletak jawatan sebagai menteri. Tuntutan itu ekoran kegagalan beliau membela nasib kaum petani dan pesawah di daerah tersebut serta tidak mengendahkan nasib para pesawah untuk menambah subsidi padi. Hari ini bertempat di Site B Sekinchan hampir 100 petani berkumpul sambil memegang kain rentang melaungkan slogan "hidup petani" , " naik subsidi RM50 seratus Kilo" dan " Noh Omar letak jawatan". ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim yang turut sama menyertai perhimpunan aman itu berkata kerjaan pusat tidak mengamalkan unsur monopoli dalam urusan penjualan padi yang mengakibatkan kerugiaan kepada pendapatan pesawah. " Kita minta supaya harga padi diapungkan untuk penjualan secara bebas,kita tidak mahu Beras Nasional (BERNAS) memonopoli pasaran,kita mahu harga padi dibeli kepada sesiapa yang menawarkan pada harga yang tinggi,harga itu perlu diapungkan supaya pasaran dijual pada harga bebas. Menurut Ng, nasib para pesawah perlukan perhatian dan pembelaan kerana golongan ini hanya menuai dua kali setahun sebagai sumber pendapatan tahunan mereka. Katanya tekanan ini semakin mendesak disebabkan kebanyakan para petani hidup dalam keadaan tersepit dan kesusahan angkara kos saraan hidup yang semakin tinggi. Sehubungan itu beliau meminta agar kerajaan pusat menyemak harga subsidi padi yang tidak pernah dinaikkan sejak 20 tahun lepas. "Harga di paras RM24.81 untuk seratus kilogram sejak 20 tahun yang lalu,kita minta yang berhormat semak harga supaya dinaikkan kepada RM50.00. Katanya dengan kenaikan harga subsidi ini akan membolehkan petani menikmati secara terus subsidi tersebut serta mengelak dari penglibatan 'orang tengah' yang cuba mengambil kesempatan sebagimana berlaku sekarang. Dalam pada itu Ng juga menggesa agar Noh meletak jawatan ekoran laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mendapati berlaku ketirisan wang RM110 juta oleh kementerian dibawah jagaan Noh. Wang tersebut sepatutnya diberi kepada pesawah untuk skim peningkatan hasil padi. "Dibawah skim ini, insentif akan diberikan kepada mereka berjaya peningkatan hasil, contohnya pada musim yang pertama 5 tan,musim kedua 7 tan , dan musim ketiga 7 tan, maknanya sudah ada peningkatan sebanyak 2 tan, dan 2 tan itu akan dibayar dengan insentif ini iaitu 1 tan sebanyak RM650 dan 2 tan sebanyak RM1,300. "Maknanya bantuan kepada golongan petani hilang,oleh yang demikian petani hari ini berdiri di sini, menyatakan rasa tidak puas hati, ke mana duit ini pergi dan Noh Omar perlu menjawab ke mana lesapnya wang RM110 juta.Dan jika Noh Omar tidak boleh menjawab kita mendesak agar beliau meletak jawatan kerana gagal membela hak petani," tegas beliau. |
Jawatan Kosong di Malaysia Banyak Tapi Ramai Pemohon Yang Tidak layak? Posted: 22 Nov 2011 03:21 PM PST Berapa di antara anda-anda di sendiri pernah memohon mana-mana jawatan kosong melalui laman Jobstreet? Baru-baru ini pihak Jobstreet mendedahkan salah satu puncanya mengapa pemohon dilihat sukar mendapat pekerjaan walaupun mereka mengatakan begitu banyak jawatan kosong di Malaysia. Apa sebabnya?
Kami agak bersetuju dengan pendapat ini ramai yang dilihat masih kurang ada kebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris. Tetapi… tidak perlu menjadi fasih, sekurang-kurangnya ada keyakinan semasa berkomunikasi. Ini kerana kemahiran akan terus datang jika terus dipraktikkan. Suka atau tidak, kami teringat kata-kata Tun Mahathir sebelum ini :
Bagi kami, kalau kami yang menemuduga pemohon sesuatu jawatan kosong yang ditawarkan tidak fasih tetapi masih ada lagi keyakinan dan cuba sedaya upaya untuk bercakap, kami bagi plus point. Daripada sudut tersebut sahaja sudah menggambarkan karakter pemohon tersebut. Realitinya di sini, kepentingan Bahasa Inggeris memang banyak, bahasa ekonomi, bahasa sains,bahasa kejuruteraan, bahasa matematik dan juga bahasa perubatan. Terasa seperti di negara luar bukan? Memang itulah yang berlaku.
Bab pengalaman pula, banyak yang merungut jawatan kosong yang ditawarkan sekarang ini, kebanyakannya memerlukan pengalaman. Sebenarnya, tengok level jawatan kosong itu juga. Kalau nak senior position, semestinya memerlukan pengalaman. Jikalau memohon setakat level exec biasa, tidak perlu pengalaman pun tak mengapa. Boleh dipertingkatkan kemudiannya daripada segi kemahiran dan pengalaman, janji orang itu ada usaha nak belajar. Sekarang ini pun GLC ada buat Management Apprentices Programme(MAP). Yang tiada kerja, boleh memohonnya. Sekurang-kurangnya dapat sedikit pendedahan & pengalaman. Kalau bagus, bos suka boleh diserap masuk kerja terus. Sekarang makin ramai graduan yang ada. Berlambak di luar sana. Jadi, kriteria yg diletakkan memang tinggi. Akhirnya berlakunya 'persaingan hebat antara satu sama lain". Best among the best. Jadi apa yang pointnya di sini. Kena ada kelainan pada diri sendiri, selain keputusan baik, mampu berkomunikasi dengan baik tetapi boleh multitasking. Jadi, adakah kegagalan ramai pemohon jawatan kosong di Malaysia hanya bersandarkan kepada faktor kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris semata? P/S : Sebarang iklan jawatan kosong tidak dibenarkan bagi ruangan perbincangan di bawah PPP/S : Jika anda merupakan seorang penemuduga, apa kriteria yang biasa anda perlukan untuk mengisi beberapa jawatan kosong di syarikat anda? Apakah antara sebab anda menolak calon? Diharap dengan perkongsian anda ini dapat membantu ramai anak muda yang masih tercari-cari lagi peluang pekerjaan |
LAGU KEBANGSAAN DIEJEK PUN SALAH PEMBANGKANG JUGA? BEBAL PUNYA MENTERI Posted: 22 Nov 2011 03:18 PM PST Oleh: WFAUZDIN NS BETUL juga kata orang, bukan semua yang jadi Menteri atau Timbalan Menteri itu cerdik. Kadangkala terlebih bengap dari orang bodoh pun ada. Contohnya, macam Timbalan Menteri Sukan, Datuk Razali Ibrahim. Sebenarnya ramai lagi, tetapi untuk mahu menceritakan tentang maruah negara kita `dipersendakan' di Indonesia sepanjang Sukan Sea sekarang elok kita lihat apa kata Timbalan Menteri yang bengap ini. Timbalan Menteri Sukan, Datuk Razali Ibrahim, hari ini, menyalahkan pemimpin-pemimpin pembangkang berhubung layanan buruk yang diterima pasukan Malaysia oleh peminat sukan Indonesia pada Sukan SEA ke-26 yang sedang berlaku di Jakarta. Beliau berkata demikian sewaktu penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Bekalan 2012, kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini. Kita mahu beritahu Razali, jika beliau mahu `ampu atau jerk' Najib sekalipun jangan sampai `jerk' terbalik kereta dibuatnya. Memalukan Umno saja dapat Timbalan Menteri sebengap itu. Apa hujah beliau untuk sabitkan penyokong Indonesia marah sangat kepada Malaysia? Pasal pemimpin Pembangkang selalu cerita pasal rasuah pemimpin kamu di negara luar? Cuba sebut, di negara mana yang tidak tahu pasal rasuah pemimpin Umno? Negara mana yang tidak tahu pasal pembunuhan Altantuya? Pasal sekatan hak asasi dan bersuara, negara mana yang tidak tahu? Semua negara tahu. Tetapi, bila kita ke negara seperti Singapore, Thailand, Negara-Negara Eropah di dalam beberapa acara sukan, adakah rakyat di sana melakukan seperti yang dilakukan di Indonesia? Jadi, apa masalahnya di Indonesia sampai begitu sekali? Razali ini terlupakah isu sebenar di antara negara kita dengan negara jiran tersebut? Isu kononnya negara kita dituduh menceroboh wilayah mereka? Mengapa kita tidak boleh selesaikan secara diplomatik dengan mereka secara harmoni? Selagi ada prasangka buruk terhadap negara kita di dalam isu tersebut, ertinya kita gagal dalam hubungan diplomatik. Itu belum kira isu berapa ramai warga mereka yang bekerja di negara kita membawa cerita mereka dianiayai. Apa kena mengena dengan Pembangkang di dalam isu ini? Kalaulah kerana Pembangkang, di setiap negara luar sana kita akan dilayan seperti di Indonesia. Tetapi itu tidak berlaku sedangkan negara di luar sana juga terdedah dengan segala kemungkaran pemimpin negara ini. Ini bukti menunjukkan bahawa kerajaan kita lemah untuk mengatasi beberapa isu sensitif dengan Indonesia. Kelemahan mereka ini mahu dibebankan kepada Pembangkang. /wfauzdin.blogspot.com |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan