Jumaat, 18 November 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


‘Rakyat meluat perlu terima RM100 bantuan sekolah melalui BN’

Posted: 18 Nov 2011 03:27 PM PST

Oleh: Masdar Wahid


KUALA LUMPUR: Arahan Kementerian Pelajaran agar pemberian RM100 untuk pelajar sekolah mestilah dihadiri pemimpin BN semakin menguatkan kebencian rakyat terhadap kerajaan Umno BN.

Pengarah Biro Pendidikan KEADILAN, Abbas Awang berkata, rakyat tahu bahawa wang itu datangnya daripada duit cukai mereka sedangkan pemimpin BN pula cuba berlakon seolah-olah wang itu datang daripada poket mereka sendiri.

"Umno terkenal dengan imej rasuahnya dan begitu juga dengan pemimpin mereka, sebab itu wajah pemimpin Umno BN ini mudah dilupakan rakyat.

"Maka arahan ini bertujuan memperingati kembali rakyat terhadap wajah pemimpin Umno, walaupun hakikatnya, rakyat cukup meluat dengan Umno," katanya kepada Keadilandaily.com.

Menurutnya lagi, jika kerajaan ikhlas dan tidak mempolitikkan pemberian wang itu, Ahli Parlimen atau Adun Pakatan Rakyat di kawasan ditadbir mereka juga perlu dijemput ke sekolah untuk berbuat demikian dan bukannya diagihkan oleh pemimpin BN setempat.

Sehubungan itu, beliau mendesak arahan itu ditarik balik serta-merta kerana ia jelas bersifat politik demi kepentingan Umno.

Beliau mengulas surat arahan dari Kementerian Pelajaran bertajuk 'Surat makluman tambahan mengenai penyerahan bantuan khas awal persekolahan RM100 kepada murid' bertarikh 11 November 2011.

"Mesyuarat susulan Jemaah Menteri Bil. 11/2011 pada 28 Oktober 2011 memutuskan supaya pimpinan wakil-wakil rakyat, termasuk Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau 'wakil rakyat yang terpilih' dari Kerajaan Persekutuan hadir menyampaikan bantuan tersebut kepada ibu bapa murid," isi surat itu dipetik dan ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Rosli Mohamed.

Ini bukan kali pertama pentadbiran Najib mempolitikan isu pendidikan di negara ini.

Sebelum ini, berkali-kali pemimpin parti itu mengadakan program yang jelas bertujuan politik di kawasan sekolah dengan pemimpin Umno berucap dan menyerang Pakatan Rakyat.

Namun, pada masa sama, pimpinan Pakatan Rakyat kekal dihalang memasuki sekolah walaupun atas nama wakil rakyat di kawasan itu atau atas jemputan rasmi dari sekolah berkenaan.

Pada pilihan raya kecil Hulu Selangor misalnya, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terang-terangan meminta guru di sekolah itu menyokong calon BN yang bertanding.

Pada pilihan raya kecil Tenang pula, Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran didapati berkempen kepada guru-guru yang mengundi di Tenang untuk mengundi Barisan Nasional.

Parlimen Jerman: Fitnah II cubaan Najib singkir lawan politik

Posted: 18 Nov 2011 03:26 PM PST

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Parlimen Jerman menyifatkan perbicaraan Fitnah II yang sedang berlangsung sebagai satu cubaan BN untuk menyingkirkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyifatkannya sebagai "proses menyingkirkan seteru politik", kumpulan itu yang datang daripada Asean Parliamentary Group untuk Parlimen Jerman berkata perbicaraan Fitnah II bertujuan merencatkan momentum reformasi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum.

"Kami memerhati dengan teliti perbicaraan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang akan selesai dalam bulan Disember.

"Sewaktu lawatan kami ke Malaysia pada awal 2011, keraguan kami terbukti benar yang perbicaraan itu mungkin merupakan proses menyingkirkan seteru politik," kata Dr Thomas Gambke, ketua Asean Parliamnetary Group itu dalam kenyataannya.

Justeru, mereka menuntut Najib dan pentadbirannya berlaku adil kepada Anwar di samping tidak memanipulasi proses pilihan raya untuk terus berpaut pada tampuk kuasa.

"Kami merayu kepada kerajaan Malaysia untuk menghormati matlamat reformasi demokratik sistem pilihan raya, yang diketuai Anwar Ibrahim.

"Langkah untuk mencegah penipuan pilihan raya perlu diperkenalkan bersama akses lebih meluas untuk media buat parti pembangkang yang kini mentadbir lima negeri di Malaysia.

"Perbicaraan bersifat politik terhadap Anwar akan hanya merosakkan imej antarabangsa Malaysia," kata mereka dalam kenyataan media.

Kenyataan itu dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang baru sahaja selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Bali semalam.

Asean Parliamentary Group (Brunei, Indonesia, Cambodia, Laos, Malaysia, Myanmar, Philippines, Singapore, Thailand, Vietnam) itu diketuai Dr Thomas Gambke (Alliance 90/The Greens), dan Timbalan Pengerusinya adalah Dr Michael Fuchs (CDU / CSU), Holger Ortel (SPD), Dr. hc Jürgen Koppelin (FDP) dan Caren Lay (the Left.)

Kuda kepang simbolik Johor sebagai tuan rumah Kongres

Posted: 18 Nov 2011 03:24 PM PST

Nabihah Hamid



KUALA LUMPUR 18 Nov: Kongres Nasional KEADILAN kelapan bakal berlangsung di Pulai, Johor selama tiga hari daripada 25 hingga 27 November ini menampilkan logo kuda kepang – logo yang berlainan daripada sebelum-sebelumnya.

Logo tersebut menggunakan kuda kepang berlatar-belakangkan bendera Johor sebagai simbolik ia dilangsungkan di negeri itu.

Kuda Kepang merupakan tarian tradisional yang sinonim negeri itu turut digunakan bagi menarik minat penduduk di Johor.

Dikenali sebagai tarian pahlawan berkuda yang berasal dari Jawa, Indonesia – kuda kepang merupakan salah satu permainan rakyat di Indonesia dan Malaysia, khususnya di negeri Johor, dan biasa dimainkan di majlis keramaian.


Logo tersebut menggunakan warna rasmi bendera parti KEADILAN iaitu biru yang melambangkan keadilan, merah, keberanian rakyat serta dan putih yang melambangkan bersih.

Idea logo tersebut diilhamkan sendiri oleh Sekretariat Kongres KEADILAN bersama Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution.

Sementara itu, Ketua Cabang KEADILAN Parit Sulong, Hasmi Hashim berkata pilihan Johor bagi Kongres kelapan membuktikan KEADILAN menunjukkan usaha dan komitmen untuk menawan negeri tersebut.


"Ini pertama kali kongress ini dibuat dan mengikut pengalaman, di mana negeri kita adakan kongres, negeri itu kemudiannya akan jatuh kepada Pakatan Rakyat seperti sebelum ini di Pulau Pinang dan Kedah."

"Memang orang kata ini kebetulan namun kita dapat lihat seolah-olah ada keajaiban politik yang berlaku namun KEADILAN perlu berhati-hati dalam memilih calon kelak."

Bercakap tentang logo, Hasmi berkata kuda kepang sememangnya satu pilihan tepat untuk menonjolkan negeri yang tidak asing lagi dengan tarian tradisional itu.

KEADILAN kesal ibu bapa dipaksa ke pejabat Umno kutip RM100

Posted: 18 Nov 2011 03:22 PM PST

Ahmad Fadli



PETALING JAYA: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin mendedahkan sekumpulan murid dari kawasan Parlimen Ampang dipaksa ke pejabat Umno untuk menerima bantuan persekolahan RM100

"Saya dapat panggilan dari guru besar dan ibu bapa yang memberitahu murid-murid terpaksa dibawa ke bangunan Umno Ampang untuk menerima wang itu," katanya.

Kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku walaupun KeadilanDaily sebelum ini mendedahkan surat pekeliling Kementerian Pendidikan mensyaratkan pentadbir sekolah menjemput pemimpin BN setempat untuk penyampaian bantuan RM100 itu.

Zuraida berkata, sumbangan itu sepatutnya disalur terus kepada sekolah, sebaliknya ia disampaikan Ketua Bahagian Umno Ampang, Ismail Kijo di bangunan Umno Ampang, Jalan Bukit Belacan.

Menyifatkan perbuatan sebagai petanda Umno terdesak untuk menipu rakyat bagi mendapatkan undi, beliau mendapat maklumat murid-murid itu dari Sekolah Rendah Kebangsaan Ampang.

"Umno terdesak dan hilang punca. Mereka cuba untuk tunjuk baik tetapi nampaknya strategi itu memakan diri," katanya.

DiGi mahu tawarkan SMS Gmail

Posted: 18 Nov 2011 03:21 PM PST

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- DiGi Telecommunications Sdn Bhd mengumumkan perkongsian strategik dengan Google bagi menawarkan Perkhidmatan Pesanan Ringkas Gmail (SMS) berkuat kuasa hari ini.

DiGi adalah syarikat telekomunikasi (telco) pertama di Malaysia yang akan menawarkan SMS Gmail dan perkongsian itu adalah salah satu daripada banyak cara inovatif yang disandarkan DiGi bagi menyampaikan janjinya "Internet Untuk Semua" yang memudahkan rakyat Malaysia mengakses kuasa Internet.

Ketua Internet Mudah Alih dan Pengiklanan Digi Praveen Rajan berkata perkongsian itu memperkasakan syarikat itu untuk menawarkan opsyen SMS kepada jutaan pengguna Gmail di nagara ini.

Ia akan turut mengembangkan dengan meluas komuniti sembang (chat) masing-masing, melalui sembang masa sebenar melalui SMS, tanpa mengira sebarang jenis peranti mudah alih, katanya di dalam satu kenyataan .

Sementara itu, Ketua Negara Google Malaysia Sajith Sivanandan berkata SMS telah menjadi cara biasa komunikasi mudah alih di Malaysia dan ramai rakyat negara ini masih bergantung kepada bukan telefon pintar masing-masing.

SMS Gmail menjadikan komunikasi segera antara Gmail dan telefon mudah alih melalui SMS, katanya, sambil menyatakan ia membawa perkhidmatan Gmail kepada bukan telefon pintar seperti SMS Gmail Google dan orang ramai boleh menghantar pesanan teks percuma secara langsung dari akaun Gmail masing-masing untuk menjawab dan respons akan muncul seperti jawapan bersembang.

Bagi pelanggan DiGi, perkhidmatan itu disediakan percuma tanpa memerlukan langganan, manakala pesanan sembang melalui SMS dari telefon mudah alih masing-masing dikenakan bayaran RM0.10 bagi setiap SMS.-- BERNAMA

Umno P.Pinang Sifatkan Keputusan Dr Koh Sebagai Transformasi

Posted: 18 Nov 2011 03:17 PM PST

MALAYSIA CHRONICLE


NIBONG TEBAL-Umno Pulau Pinang menyifatkan keputusan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 adalah satu transformasi parti dan memberi peluang kepada muka baru dalam Gerakan untuk menjadi calon.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata keputusan Koh itu juga di luar jangkaan kerana ia dibuat ketika beliau menjadi presiden parti.

"Umno Pulau Pinang menghormati keputusan Tan Sri Dr Koh kerana berani membuat keputusan itu dan saya percaya tindakan itu akan memberi peluang kepada pemimpin muda dalam Gerakan," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis penyerahan wang RM100 di Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata rakyat terutama penduduk di Pulau Pinang harus membuka mata dengan keputusan Koh kerana beliau telah banyak berjasa kepada negeri itu semasa kepimpinannya sebagai Ketua Menteri.

"Dr Koh sangat berjasa kepada rakyat Pulau Pinang kerana sejak 18 tahun lepas pelbagai kemajuan dibuat untuk negeri ini dan penduduk juga harus memberi peluang kepada pemimpin muda dalam Gerakan untuk meneruskan kepimpinan parti itu," katanya.- BERNAMA

Nama Maximus mungkin hebat, tapi belum setanding Ambiga

Posted: 18 Nov 2011 03:14 PM PST

Ismail Dahlan, Malaysia Chronicle


Apakah sebenarnya yang bermain di minda Maximus Ongkili apabila dia memaksa Ambiga Sreenivasan, pengerusi Bersih untuk tampil dihadapan persidangan Jawatankuasa Terpilih Parlimen?

Maximus telah terdahulu menegaskan bahawa Ambiga tidak boleh mewakili Bersih atas sebab ia merupakan organisasi tidak berdaftar. Maximus mungkin belum sedar bahawa sekarang, BN sudah tiada upaya untuk mengharamkan mana-mana pertubuhan hanya kerana kejumudan agenda parti itu. Tiada siapa pun peduli pendapat Hishamuddin Hussein tentang apa yang haram atau halal.

Dalam pada itu, Ambiga menegaskan bahawa beliau sememangnya mewakili Bersih dan Maximus terpaksa membenarkannya untuk berhujah. Pilihan lain adalah Ambiga berserta Bersih meninggalkan mereka dan ini akan memalukan jawatankuasa pimpinan Maximus. Tanpa kerjasama Bersih, dan jika diperlekehkan Bersih, PSC hanyalah sekumpulan MP BN yang tidak berguna.

Ini menunjukkan pengaruh Bersih dikalangan rakyat Malaysia, sememangnya BN tidak mampu lagi untuk bersemuka dengan Bersih secara terbuka.

Percubaan yang sinis

Lebih kurang dua jam, Ambiga berserta beberapa orang yang lain dibenarkan berhujah. Namun, ini belum tentu akan membuahkan apa-apa hasil. BN sememangnya boleh mengadakan pilihanraya pada bila-bila masa dan PSC tidak mungkin ada lagi selepas Parlimen dibubarkan. Andainya PSC boleh menjalankan kerja dalam masa 6 bulan, masih ada lagi isu kritikal iaitu mengimplimentasikan cadangan.

Jawatankuasa Pilihanraya yang sememangnya agensi BN tidak boleh diharapkan untuk melaksanakan reformasi yang membolehkan pilihanraya bebas dan adil diadakan. Jika pilihanraya kita adil dan bebas, sudah lama BN pasti jatuh tersungkur.

Sememangnya sesuatu yang agak sinis, PSC untuk reformasi pilihanraya adalah cubaan untuk BN menunjukkan yang mereka bersungguh-sungguh untuk melaksanakan perubahan. Namun demikian, mereka akan tetap melangsungkan pilihanraya sebelum PSC menyelesaikan tugas mereka.

Sehingga kini, Najib masih enggan melaksanakan pilihanraya selepas PSC menyelesaikan tugas. Namun, Najib juga yang menubuhkan jawatankuasa itu. Jadi, mengapakah Najib menubuhkan PSC tetapi enggan membiarkan mereka membereskan tugas? Jawapan nya sudah pasti untuk mengalih perhatian sekaligus memperbodohkan pengundi.

Sibodoh turut serta

Antara yang menjadi ahli jawatankuasa PSC adalah P Kamalanathan, pemenang pilihanraya terkotor dalam sejarah Malaysia itu sendiri. Mungkin namanya diletakkan didalam JK tersebut pada awalnya sebagai gurauan sahaja tetapi kemudian terlupa dikeluarkan semula.

Bukan sahaja dikenali rakan sekolah sebagai si bodoh, sehinggakan ijazahnya juga diragui. Hanya orang kurang siuman sahaja yang boleh mengeluarkan senarai untuk menggesa pilihanraya adil dan bebas dan menujukan ia kepada komiti yang bakal dinilainya dari segi permintaan yang sama.

Apa yang lebih memalukan, dia telah meniru bulat-bulat dari 8 tuntutan Bersih. Namun begitu, hanya satu sahaja yang boleh dibanggakannya iaitu pemenang anugerah tweet paling membosankan dan menjengkelkan didalam senarai "Newsmakers".

Cubaan menyekat pengundi luar negara

Pada masa yang sama, MCA, sayap BN yang lumpuh diketuai oleh si pemimpin rosak akhlak Chua Soi Lek telah menyarankan agar rakyat Malaysia diluar Negara dilarang daripada mengundi.

Agak pelik bagi MCA, sebuah parti yang mewakili kaum Cina di Malaysia untuk mencadangkan agar rakyat di luar Negara tidak boleh mengundi. Ini kerana, sebahagian besar jumlah mereka terdiri dari kaum Cina sendiri.

MCA tahu bahawa orang Cina diluar Negara tidak akan mengundi calon parti BN. Ini sama seperti orang Cina yang berada didalam Malaysia. MCA sememangnya hanya boleh bergantung harap kepada undi orang Melayu yang menyokong UMNO. Mereka sudah sepatutnya bertukar haluan untuk menjaga kepentingan orang Melayu UMNO yang sudah semestinya mengundi mereka.

Pilihanraya paling korup dan kotor

Malaysia tidak akan pernah menyaksikan pilihanraya yang adil dan bebas dibawah pemerintahan BN. Pada tahun 2008, pilihanraya yang adil dan bebas sudah semestinya telah menguburkan BN. Mereka masih berkuasa dengan adanya pengundi hantu, pengundi pos tipu, undi paksa (kakitangan beruniform) dan di Sabah dan Sarawak, pembelian undi.

Kita boleh menyimpulkan bahawa kerajaan BN di Malaysia merupakan kerajaan haram, iaitu didirikan tanpa mandat rakyat. Seperti lintah yang besar, BN melekat pada Malaysia dan menyedut dengan gelojoh sumber kekayaan ekonomi dan institusi disini.

BN tidak akan puas sehinggalah ia menjadikan Negara ini seperti padang jarak padang tekukur dengan titisan petroleum terakhir, tanah diracuni projek seperti Lynas, hutang yang tidak diurus dengan betul, matawang yang tiada harga dan rakyatnya papa kedana.

Sandiwara sinis PSC untuk mereformasikan pilihanraya akan terus ditayangkan sehingga Najib atau Muhyiddin (jika dia menang dalam konflik kuasa untuk menewaskan Najib), membubarkan Parlimen (berserta PSC) dan mengumumkan pilihanraya umum ke-13.

Sehingga saat itu, kita bolehlah menyaksikan pilihanraya yang paling kotor dan korup di dalam sejarah Malaysia, ditajakan khas oleh penyangak Barisan Nasional.Malaysia Chronicle

PRU: SPR patut ingatkan Najib

Posted: 18 Nov 2011 03:12 PM PST

Subky Latif


REAKSI Timbalan Pengerusi SPR terhadap kemungkinan Pulau Pinang dan lain-lain negeri Pakatan Rakyat tidak mengadakan PRU serentak dengan PRU 13 ialah ia akan melibatkan perbelanjaan yang lebih besar. Ia akan tambah membebankan kewangan negara.

Lalu dia memuji kerajaan PAS Kelantan kerana tidak pernah mengadakan pilihan raya negeri yang berlainan dengan PRU.

Kesedaran SPR tentang beban kewangan dan beban kerja yang bertambah bagi SPR kerana mengendalikan satu lagi pilihan negeri pula adalah sikap prihatin yang munasabah. Adalah wajar jika pilihan raya iu diadakan serentak.

Tetapi pandangan SPR itu tidak wajar dituju atau disalahkan kepada kerajaan Pulau Pinang saja. Ia wajar diingatkan sama kepada Perdana Menteri yang ada kuasa bagi mengadakan pilihan raya bila-bila yang dia suka.

Zaman bagi Perdana Menteri membuli parti-parti minoriti sudah berakhir. Tidak wajar lagi Perdana Menteri boleh menggunakan kuasa mutlaknya tanpa memikirkan keselasaan pihak lain.

Kerajaan Pulau Pinang tidak sengaja mahu membebankan kerja SPR dan bukan ia tidak sedar akan kesan kewangannya, tetapi ia hanya diadakan di waktu yang berbeza kiranya Perdana Menteri tidak mengambil kira waktu matang penggal pilihan raya itu.

Tempoh matanya lima tahun. Maka waktu yang terbaik ialah masuk tahun terakhir atau lebih tepat menjelang tamat tempoh penggalnya. Kecuali berlaku kejadian yang yang tidak diduga seperti rampas kuasa di Perak dua tahun lalu, maka munasabah pilihan raya tergempar diadakan bagi menentukan supaya yang berkuasa ialah pihak majoriti yang ditentukan rakyat.

Tetapi setiap Perdana Menteri yang sombong tidak pernah memikirkan keselesa orang lain. Justeru dia diberi kuasa, maka dia suka menggunakan kuasanya.

Kerajaan PAS Kelantan di bawah pimpinan Dato Asri dulu dan yang dipimpin oleh ulama sejak 21 tahun dulu tidak pernah tidak serentak dengan PRU ialah ia cukup tenaga dan keupayaan untuk mencabar kuasa Perdana Menteri.

Jika ia mengadakan pilihan raya bersendirian sedang ia bukan parti yang disokong oleh kerajaan pusat, ia tidak terdaya untuk menghadapi tumpuan serangan kerajaan pusat dan tenaga parti BN yang dikerah dari seluruh negara.

Sama ada Kelantan suka atau tidak suka, ia terpaksa terima hakikat keupayaannya. Dengan pilihan raya serentak, ia dapat mengurangkan kesan tekanan musuh politik.

Tetapi dalam suasana Pakatan Rakyat berkuasa di empat buah negeri dan ia mempunyai sokongan yang menggalakkan di beberapa negeri yang dikuasai BN, maka ia mampu bersaing dengan penyokong Perdana Menteri.

Malah tindakan yang demikian adalah bagi mencabar Perdana Menteri yang sombong supaya tidak bongkak dengan kuasa sendiri. Kuasa itu adalah sepatutnya diguna seadilnya, bukan untuk membuli seteru politik yang tidak kuat.

Tentang SPR terpaksa menghadapi beban kerja bertambah, ia adalah tanggungjawab yang SPR terpaksa pikul. Ia ditubuhkan untuk menguruskan pilihan raya, maka ia mestikan bersedia menghadapinya dalam apa keadaan sekali pun.

Sekarang SPR jangan bangkit soal kewangan sebagai bahan propaganda UMNO dan Perdana Menteri. Individu di SPR sebagai rakyat boleh menimbulkannya betapa bertambah beban yang bakal ditanggung rakyat. Tetapi ia tidak ditumpukan pihak yang mencabar saja. Ia juga perlu ditujukan kepada pemegang kuasa supaya tidak lagi bersikap zalim terhadap pelanggan SPR yang lain.

SPR wajar menjadi penasihat yang baik kepada Perdana Menteri. Ingatkan dia beban dan risiko yang bakal dihadapi kira PM terus berbangga dan sombong dengan kuasa mutlak yang ada padanya.

Perdana Menteri tidak lagi boleh sesuka hati untuk mengadakan pilihan raya mengejut. Dia mesti meninjau pandangan pelanggan SPR yang lain yang ada kuasa dalam perkara itu.

Jika Perdana Menteri juga prihatin tentang kewangan negara, maka ia mesti adil dalam menggunakan kuasa dan haknya.

Tabung Serambi Mekah terima derma RM5 juta

Posted: 18 Nov 2011 03:10 PM PST

Rizal Tahir


KOTA BHARU: Tabung Amanah Serambi Mekah mencipta sejarah baru sejak penubuhannya hampir 21 tahun lalu apabila menerima sumbangan derma peribadi sebanyak RM5 juta.

Dengan sumbangan tersebut, tabung berkenaan berjaya mengutip sebanyak RM6 juta bermula Januari tahun ini.

Bagaimanapun seorang penderma luar Kelantan itu tidak ingin dikenali identitinya disebut 'hamba Allah' pada majlis kutipan derma akaun Amanah Kebajikan (Tabung Serambi Mekah) ke-21 di sini tengah hari tadi.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz ketika ditemui tidak menafikan ianya sejarah tersendiri bagi Tabung Serambi Mekah dengan sumbangan derma peribadi yang tertinggi sejak ianya ditubuhkan 21 tahun lalu.

"Perkembangan ini berlaku kerana kesedaran ajaran Islam yang murni menerapkan rasa tanggungjawab dan keinsafan terhadap penderma.

"Hasil didikan golongan alim ulama dan sebagainya berhubung tanggungjawab sebagai umat Islam, mereka akan menunaikan tanggungjawab itu," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada dermawan tersebut serta penderma lain termasuk agensi-agensi kerajaan, swasta dan sebagainya kerana sudi menderma.

Katanya, dengan sumbangan tersebut ianya dapat membantu mangsa-mangsa ribut, kebakaran, banjir dan bencana alam lain.

Beliau berharap ianya menjadi suntikan motivasi kepada masyarakat untuk turut menunaikan tanggungjawab itu.

Antara agensi kerajaan negeri yang menderma, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sejumlah RM405,000, PMBK (RM100,000) dan lain-lain.

Turut menyumbang syarikat-syarikat swasta, pejabat tanah jajahan dan majlis daerah seluruh Kelantan di samping sumbangan individu.

Turut berucap pada majlis itu anggota Exco kerajaan negeri yang mewakili Timbalan Menteri Besar, Dr Muhammad Fadzli Hassan.

Perluas perkhidmatan kesihatan percuma

Posted: 18 Nov 2011 03:09 PM PST

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan pengumuman kerajaan untuk memberikan pengecualian terhadap pesakit miskin yang tidak mampu untuk membayar caj perubatan yang diterima di hospital-hospital kerajaan daripada membayarnya.

"DPPWP menganggap usaha ini merupakan sesuatu yang positif bagi membantu golongan miskin untuk terus mendapatkan perkhidmatan rawatan secara percuma," kata timbalan ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Kenyataannya, kata beliau perkhidmatan kesihatan merupakan suatu yang asas dalam sesebuah negara.

Menurutnya, selain pendidikan, kesihatan merupakan keperluan asas yang tidak boleh dielakkan bagi setiap rakyat.

Tambahnya, tiada sesiapa memilih untuk sakit dan berpenyakit, tetapi ia adalah suatu hakikat yang perlu dihadapi oleh segelintir rakyat.

Namun demikian, ujarnya dalam keadaan kemelut hidup yang semakin menghimpit, golongan miskin sudah pasti tidak akan mampu mendapatkan rawatan kesihatan di hospital-hospital kerajaan atau swasta jika mereka sakit.

"Selalunya golongan miskin terpaksa memilih pilihan lain untuk mendapatkan rawatan kesihatan lanjut seperti rawatan tradisional yang sudah tentu tidak sebaik rawatan biasa di hospital," ujarnya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, ujarnya tawaran kesihatan percuma untuk golongan miskin pasti akan membantu mereka 'menyambung nyawa' dan mengurangkan risiko penyakit.

Menurutnya, DPPWP berpendapat, kerajaan perlu meluaskan perkhidmatan kesihatan percuma untuk semua rakyat di hospital-hospital kerajaan tanpa mengira latar belakang mereka.

Beliau berkata, ramai lagi rakyat yang menderita penyakit tetapi tidak mampu untuk menjalani rawatan bukan kerana kemiskinan, tetapi kerana kos rawatan yang terlalu mahal untuk ditanggung.

Katanya, bagi golongan yang berkemampuan pula mereka boleh memilih untuk ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan lebih selesa dan kondusif.

"DPPWP mengharapkan, rawatan kesihatan percuma dipermudahkan urusannya agar perkhidmatan ini mampu dinikmati oleh setiap lapisan rakyat

"DPPWP percaya perkhidmatan kesihatan percuma adalah suatu bentuk kebajikan yang boleh membantu rakyat dalam menjalani kehidupan seharian.

Ini juga, kata beliau menepati hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat di negara ini hidup dalam keadaan sihat serta menjadi negara yang memberikan khidmat kesihatan antara terbaik di dunia.

Program serahan RM100 jadi medan politik Umno

Posted: 18 Nov 2011 03:08 PM PST

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Majlis penyerahan bantuan sekolah RM100 kepada pelajar yang sedang rancak berlangsung didakwa telah menjadi medan Umno berpolitik.

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata, perkara itu jelas dapat dilihat apabila pemimpin Umno setempat turut dilibatkan dalam program itu.

"Di sini persoalan timbul apakah kewajarannya pemimpin Umno dilibatkan sama dalam pengagihan wang tersebut sedangkan pihak sekolah mempunyai cukup guru dan kaki tangan untuk mengelolakan agihan wang tersebut.

"Ibu bapa terpaksa mendengar ucapan dari pemimpin BN yang menggunakan kesempatan itu untuk berkempen sebelum wang RM100 diagihkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Adun Titi Serong berkata, perkara tersebut turut berlaku di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (China) di mana ibu bapa dihidangkan dengan ceramah politik.

Menurutnya lagi, urusan agihan wang tersebut sepatutnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah sekiranya bantuan RM100 tersebut adalah dengan niat untuk membantu pelajar.

"Bagi saya ia jelas menyusahkan ibu bapa, bukan itu sahaja, masa mereka terbuang begitu sahaja untuk menunggu kehadiran pemimpin BN cuma kerana wang RM100," jelasnya lagi.

Secara jelasnya kata Khalil Idaham, penglibatan orang politik dalam agihan itu membuktikan bahawa sumbangan tersebut punya niat tersembunyi sebagaimana yang dikatakan oleh banyak pihak.

"Saya berharap agar kerja jahat dan kesempatan yang diambil untuk berkempen sebelum agihan wang kepada ibu bapa tidak dapat mengubah minda warga Malaysia untuk terus menilai BN dalam PRU13 tidak lama lagi.

"Rakyat Malaysia jangan lupa terhadap kerakusan pemimpin BN yang telah menyapu bersih wang rakyat, antaranya skandal-skandal seperti isu PKFZ yang bernilai RM12.5 bilion, pembelian koc keretapi RM500 juta, pemberian kontrak kepada kroni RM500 juta, projek lembu Feedlot kepada Sharizat Jalil bernilai RM250 juta, penyelewengan projek Facebook (Pelancongan) RM1.8 juta," katanya.

Tidak tepat: Tarik balik Laporan Ketua Audit

Posted: 18 Nov 2011 03:02 PM PST

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa bertindak supaya laporan Ketua Audit Negara ditarik balik kerana suami Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan laporan itu kurang tepat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan, laporan Ketua Audit Negara mestilah tepat kerana ia berkaitan dengan pengurusan kewangan negara dan jika laporan itu kurang tepat, ia tidak memberikan gambaran yang sebenarnya dan akan mengelirukan semua pihak.

"Jika laporan Ketua Audit Negara kurang tepat, ahli-ahli Parlimen bercakap berdasarkan fakta yang mengelirukan, rakyat mendapat maklumat mengelirukan dan kerajaan juga menjadi mangsa kerana dikritik berdasarkan maklumat mengelirukan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz berkata, dari segi pentadbiran kewangan, negara tidak boleh disogokkan dengan laporan yang kurang tepat berkaitan pengurusan kewangan negara dan oleh kerana suami seorang menteri kabinet sendiri yang menyatakan laporan Ketua Audit Negara kurang tepat, kerajaan mesti bertindak pantas untuk membolehkan Ketua Audit Negara menarik balik laporan itu dan membetulkannya untuk dibentangkan semula.

"Yang menyatakan laporan Ketua Audit Negara itu kurang tepat bukan taraf pemeriksa kira-kira Umno cawangan, tetapi suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.

Menurut Mahfuz, tindakan pantas untuk membolehkan Ketua Audit Negara menarik balik laporannya itu amat tepat untuk dilakukan memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memperlihatkan keyakinan yang luar biasa besar terhadap projek Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang dikendalikan oleh suami Shahrizat itu.

Mahfuz juga meminta suami Shahrizat yang juga Pengerusi Eksekutif NFC mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Audit Negara kerana menyifatkan projek yang dianugerahkan kepadanya itu 'kacau-bilau' dan juga gagal menjalankan program keusahawanan seperti yang dikehendaki oleh kerajaan.

"Sudah ada peguam yang ramai orang dakwa ada taktik boleh menang kes, takut apa nak ambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Audit Negara?" kata beliau.

Dalam sidang akhbarnya semalam, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail berkata Laporan Ketua Audit Negara yang menyebut bahawa projek penuh kontroversi itu hanya mencapai 41 peratus daripada jumlah daging yang disasarkan adalah kurang tepat.

Malah, suami Shahrizat itu juga mendakwa pelaburan kondominium di Bangsar bernilai RM6.9 juta seunit menggunakan wang pinjaman projek lembu itu adalah keputusan perniagaan bijak.

Dr Mohamad Salleh malah dilaporkan mendakwa pihaknya berjaya menyewakan kondominium di One Menerung, Bangsa itu dengan nilai RM70,000 sebulan.

Dakwaan itu bagaimanpun ditolak oleh pakar-pakar hartanah yang menyatakan nilai tertinggi yang boleh dijana dari sewaan kondominium itu hanya setakat RM24,000 sahaja sebulan.

Sidang akhbar suami Ketua Wanita Umno itu turut dihadiri Penasihat Undang-Undang NFC, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Fidlot: Rafizi hantar surat ajak Khairy debat

Posted: 18 Nov 2011 02:58 PM PST

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini mengutus surat jemputan kepada Ktua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berdebat berhubung isu skandal National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd.

Dalam surat yang salinannya dihantar kepada Harakahdaily hari ini, beliau menyatakan tarikh cadangan debat tersebut dibuat pada 12 Disember ini.

"Mengambil kira kekangan jadual kerja seperti yang saudara suarakan di dalam media, saya mencadangkan supaya debat tersebut diadakan pada hari Isnin 12 Disember 2011," kandungan surat itu dipetik.

Beliau melalui surat tersebut juga mencadangkan supaya perkara-perkara lain seperti tempat dan format debat dipersetujui bersama setelah tarikh debat dimuktamadkan

"Saya percaya saudara seorang pemimpin Umno yang berjiwa besar dan memiliki kekuatan intelek yang mengkagumkan.

"Kesudian saudara untuk membahaskan isu-isu rakyat seperti penyelewengan wang rakyat melalui NFC akan dikenang orang muda selama-lamanya," ujar Rafizi.

Khairy Jamaluddin beberapa hari lalu memaklumkan beliau bersedia untuk bertemu Rafizi dalam debat berhubung dakwaan penyelewengan RM250 juta oleh NFC iaitu syarikat milik anggota keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau ini memberitahu bahawa "saya sentiasa bersedia untuk berdebat dengan sesiapa pun."

"Pada dasarnya saya bersedia. Tetapi soalannya adalah masa," kata beliau dengan merujuk kepada perhimpunan agung tahunan partinya akhir bulan ini.

Sebelum ini, Rafizi telah mencabar Khairy agar berdebat dengannya sambil mendakwa Ahli Parlimen Rembau itu sebahagian daripada "Budak Tingkat Empat" — yang merujuk kepada pengaruhnya ke atas Pejabat Perdana Menteri ketika era pentadbiran Tun Abdullah.

Pentadbiran Abdullah meluluskan Pusat Fidlot Kebangsaan pada 2006.

Minggu lalu Khairy mempertahankan projek itu dengan merujuk kepada pembelian hartanah kondominum hampir RM10 juta di Bangsar menggunakan wang projek tersebut.

Khairy menyifatkan pembelian itu sebagai pelaburan yang selamat.

Isteri tahanan ISA ke Parlimen bantah Najib

Posted: 18 Nov 2011 02:53 PM PST

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: PAS bercadang membawa isteri-isteri tahanan terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Ahli Parlimen PAS dan pihaknya akan berbincang dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk memudahkan urusan membawa mereka dari Sabah.

"Saya sudah menghubungi Ahli Parlimen PAS dan kita akan bekerjasama dengan GMI untuk membawa isteri-isteri tahanan sementara sidang Parlimen masih berbaki dua minggu," kata beliau ketika menghubungi Harakahdaily.

Mazlan berkata, selain Najib, pihaknya juga mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerima memorandum bantahan tersebut kerana mereka mungkir janji terhadap rakyat Malaysia.

Menyifatkan penahanan tersebut sebagai bercanggah dengan pengumuman Najib pada sambutan Hari Malaysia 16 September lalu, beliau menuntut Najib memberi penjelasan berhubung penahanan tersebut.

"Kita minta Perdana Menteri jelaskan mengenai perkara ini kerana tindakan ini jelas menunjukkan sikap hipokrit mereka," katanya.

PAS tegasnya mengulangi pendirian mahu tahanan dibicarakan di mahkamah jika benar dakwaan mereka terlibat dengan kumpulan militan.

"Apa yang malang, isteri mereka tidak tahu kenapa suami mereka ditangkap.

"Saya ulangi bagi pihak PAS kalau mereka ditahan kerana menggerakkan kumpulan militan seperti didakwa, bawa ke mahkamah," tegasnya.

Pada 14 November lalu, seramai 13 orang ditahan di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA), 7 daripadanya ialah warganegara Malaysia.

Tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman Omar.

Nik Aziz: PAS tubuh panel khas pilih calon PRU-13

Posted: 18 Nov 2011 02:49 PM PST

THE MALAYSIAN INSIDER


Nik Aziz berkata wakil rakyat dengan prestasi kurang cemerlang tidak akan dipilih semula. — Foto fail


KOTA BARU — PAS telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 bila-bila masa tetapi mahu berhati-hati dalam soal pemilihan calon yang bakal bertanding, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata pihaknya berhati-hati dalam hal ini dan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menilai prestasi seseorang calon.

"PAS tidak ada masalah dalam pemilihan calon, kerana kita mempunyai ramai calon berkelayakan cuma pemilihan perlu dibuat melalui jawatankuasa khas yang dibentuk dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat tertinggi parti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di dataran ilmu hari ini.

Dipetik Bernama Online, Mursyidul Am PAS berkata apa yang pasti wakil rakyat yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang ketika diberi peluang menjadi calon dalam pilihan raya lepas, tidak akan dipilih lagi kali ini.

PAS memerintah Kelantan sejak 1990.

Parti Islam itu membentuk kerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Sukan SEA: Malaysia capai sasaran minimum 40 emas

Posted: 18 Nov 2011 02:47 PM PST

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

JAKARTA ― Kontinjen Malaysia mencapai sasaran minimum 40 pingat emas pada temasya Sukan SEA Ke-26 di Palembang dan Jakarta menerusi Alex Yoong dalam acara luncur air kategori keseluruhan lelaki individu di Kompleks Sukan Jakabaring di Palembang, Indonesia hari ini.

Sebelum datang ke Indonesia, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan sasaran awal Malaysia antara 40 dan 45 pingat.

Hari ini, bekas pemandu Formula One Malaysia itu memukau penonton dengan kemahiran cemerlang beliau di venue luncur air di Kompleks Sukan di Jakabaring.

"Saya gembira menjadi sebahagian daripadanya (pungutan pingat Malaysia). Ini sesuatu yang membanggakan saya. Sebenarnya, saya tidak menjangkakan saya masih boleh memenangi pingat bagi negara saya dalam acara ini," kata Yoong, 35, yang kali terakhir memenangi pingat perak pada Sukan SEA Jakarta pada 1997.

Yoong berkata beliau baru memulakan latihan bagi Sukan SEA tahun ini sejak lima bulan lepas dan tidak menyangka masih mampu menyumbangkan pingat bagi Malaysia.

Dalam acara hari ini, beliau memperoleh mata tertinggi 1,000 masing-masing dalam slalom dan tricks, manakala dalam acara jumping, beliau sekadar mencatat 777.20 mata.

Pingat perak dan gangsa dimenangi atlet Indonesia, Muhammad Zahidi dan Fajar Eka Samudra masing-masing dengan 2,484.87 dan 1,366.39 mata.

"Saya sangkakan saya bermula dengan sangat sederhana dalam slalom berbanding acara slalom individu semalam, Bagaimanapun, acara tricks adalah faktor utama kepada kejayaan saya hari ini," katanya.

Beliau kerap beraksi dalam acara luncur air dari 1990 hingga 1995 dan kemudian berhenti pada tahun berikutnya untuk memberi tumpuan kepada perlumbaan F1.

Bernama Online melaporkan bahawa Philippa, adik perempuan Yoong memenangi pingat emas keduanya dalam luncur air selepas menguasai kategori keseluruhan wanita.

Beliau meraih markah tertinggi dalam acara slalom dengan 1,000 mata, manakala bagi acara tricks dan jumping, beliau memperoleh 966.94 dan 532.85 mata bagi jumlah keseluruhan 2,499.79 mata.

Wakil Indonesia Gritiya Endhar Pupul membawa pulang pingat perak dengan 1,916.92 mata manakala Christina Sasha dari Singapura memenangi gangsa dengan 1,024.14 mata.

Atlet luncur air Malaysia menyumbang empat pingat emas, tiga perak dan satu gangsa kepada kutipan pingat negara.

IGP, Hishammuddin pertahan guna ISA tahan 13 militan

Posted: 18 Nov 2011 02:43 PM PST

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR ― Penahanan 13 anggota kumpulan militan di Sabah baru-baru ini menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibuat selepas polis mendapat maklumat risikan dari dalam dan luar negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

"Saya bertindak atas maklumat risikan bukan dalam negara sahaja, (malah) dari serata dunia. Ini (isu keselamatan) berhubung kait dengan rantau lain.

"Ini bukan isu main-main.

"Saya terpaksa bertindak ikut kekuatan undang-undang yang masih relevan di negara kita dan saya telah memberi penjelasan kepada Menteri Dalam Negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat Polis Diraja Malaysia untuk perwakilan asing di Maktab PDRM Cheras di sini.

Dipetil Bernama Online, beliau (gambar) diminta mengulas mengenai kenyataan Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling, yang menggesa polis supaya menjelaskan kedudukan sebenar penahanan itu supaya tidak disalah tafsir dan menimbulkan sangkaan buruk.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan juga mempertikaikan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menjanjikan mahu memansuhkan ISA tetapi mereka ditahan.

Ismail berkata, soal keselamatan tidak harus dipermainkan kerana keselamatan negara adalah tanggungjawab utama polis iaitu bagi membendung apa sahaja boleh mengancam dan menggugat keselamatan negara.

"Kita buat (tindakan ini) demi keselamatan negara. Kita tidak boleh tunggu sehingga sesuatu itu berlaku. Nasihat saya kepada sesiapa juga, jangan putar belitkan," katanya.

Ismail semalam mengesahkan tujuh rakyat Malaysia dan enam warganegara asing ditahan di Sabah sejak Isnin lalu mengikut Seksyen 73 (1) ISA kerana disyaki ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah.

Identiti dan nama kumpulan militan itu tidak dinyatakan namun sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan.

Laporan media menyebut kumpulan militan berkenaan menggunakan Tawau sebagai lokasi transit untuk pengumpulan senjata yang diperoleh dari selatan Filipina.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula kesemua enam warga Indonesia yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti militan akan diusir segera ke negara asal mereka.

Beliau berkata, tujuh warga tempatan yang turut ditahan bersama mereka akan didakwa di mahkamah sebaik siasatan selesai dan segala bukti dapat dikumpulkan.

Katanya, semua yang ditahan itu didapati mendapat latihan ketenteraan serta terbabit dalam penyeludupan senjata dan kegiatan mereka dikategorikan serius bukan saja oleh Malaysia tetapi juga pihak berkuasa Indonesia dan agensi lain di peringkat antarabangsa.

"Buat masa ini, semua mereka ditahan di bawah ISA kerana akta itu masih boleh digunakan untuk membendung kegiatan keganasan sehinggalah akta baru digubal pada Mac tahun depan," katanya.

Menyatakan bahawa beliau sebelum ini sudah dimaklumkan mengenai kegiatan kumpulan itu oleh pihak Indonesia, Hishammuddin mengingatkan semua pihak supaya tidak cuba mempolitikkannya kerana ia menyentuh secara langsung keselamatan dan kedudukan negara.

"Kita tidak gunakan sewenang-wenangnya ISA. Ia akan terhad kepada isu keganasan jadi pengesahan pihak Indonesia itu sedikit sebanyak membantu membuktikan kewajaran tindakan kita," katanya.

Walaupun negara tidak dijadikan sasaran, Hishammuddin berkata beliau tidak mahu melihat Malaysia dijadikan negara transit atau tempat menyimpan senjata atau dijadikan tempat latihan untuk merancang aktiviti keganasan di rantau ini.

Tiga belas individu yang ditahan di Tawau, Sabah sejak Isnin lalu itu disyaki terbabit dalam kegiatan subversif, termasuk cubaan menghidupkan kegiatan militan yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat.

September lalu, Najib mengumumkan ISA dimansuhkan dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan sebarang individu semata-mata kerana ideologi politik.

Bagaimanapun, dua akta baru bagi menggantikan ISA perlu dikuatkuasakan dahulu sebelum pemansuhan ISA boleh dilakukan.

Skandal ‘lembu’ lambang transformasi Najib

Posted: 18 Nov 2011 02:55 AM PST

Skandal NFC ini memperlihatkan kebiasaan sikap rakus dan tamak BN apabila berdepan dengan dana awam.



Mengikut piawaian Barisan Nasional (BN), skandal National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) tidak sebesar mana, kerana hanya melibatkan kurang dari RM300 juta dana awam.

Namun perdebatan hangat yang berterusan tentang skandal ini membolehkan kita menilai tahap tadbir urus negara ini. Dan yang lebih mustahak sama ada terdapat anjakan paradigma di kalangan pemimpin BN di bawah program transformasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Skandal NFC ini memperlihatkan kebiasaan sikap rakus dan tamak BN apabila berdepan dengan dana awam. Sejumlah besar dana awam diberi kepada syarikat-syarikat kroni yang tidak kompeten yang merampok wang dan seterusnya menemui kegagalan untuk mengendalikan projek seperti yang diharapkan.

Respon daripada para pemimpin BN, dari perdana menteri ke bawah, tidak berasas melainkan hanya mencari pelbagai alasan dan percubaan untuk menutup skandal ini.

Budaya ketelusan dan kebertanggungjawaban nampak begitu asing bagi manusia seperti mereka ini meskipun beratus juta wang pembayar cukai dicurahkan begitu sahaja, ibarat 'menuang air di daun keladi', bagi mengembar gembur pelan transformasi Najib untuk negara ini.

NFC diberi tanggungjawab untuk "mentranformasi industri ternakan dan daging lembu supaya muncul sebagai pengeluar daging halal bertaraf antarabangsa", menurut Bernama yang melaporkan majlis menandatangani perjanjian pinjaman mudah RM250 juta pada 6 Disember 2007.

Sasaran pengeluaran ialah sebanyak 60,000 ekor lembu bagi Fasa 1 dari ladang lembu di Gemas. Operasi dijadual bermula Februari 2008.

NFC kacau bilau

Empat tahun kemudian, Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut situasi projek NFC berada dalam keadaan kacau bilau. Jumlah lembu yang mampu disembelih hanya 5,742 sehingga November tahun lalu. Walaupun sasarannya dikurangkan kepada 8,000 ekor lembu setahun, projek itu masih dianggap gagal.

Lebih memburukkan lagi keadaan apabila adanya laporan mengenai salah guna dana awam seperti RM9.8 juta digunakan untuk membeli kondominium mewah dan lebih RM800,000 dibelanjakan untuk keraian dan elaun perjalanan dalam tahun 2009 walaupun syarikat itu mengalami kerugian sebanyak RM7 juta dalam tahun 2008 dan RM11 juta pada 2009.

Kelihatannya, NFC akan menerima nasib malang seperti projek mega Barisan Nasional yang lain – Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Perwaja dan lain-lain.

Siapa yang memiliki NFC? Keluarga Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita Umno.

Suaminya, Mohamad Salleh Ismail, adalah pengerusi dan tiga anak mereka adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengarah- pengarah eksekutif syarikat itu.

Lebih malang, anggota keluarga Shahrizat langsung tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang ternakan lembu dan pengeluaran daging lembu.

Umtuk makluman, terdapat lebih 300 ladang feedlot di negara ini dan banyak syarikat yang terbukti berjaya dalam industri penawaran daging lembu ini.

Dengan ramainya bilangan rakyat kita yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini, bukankah lebih baik kita amanahkan sahaja kepada para usahawan yang lebih berkelayakan dari anggota keluarga Shahrizat?

Dan lebih melucukan apabila diperhatikan bahawa mereka yang sibuk membela NFC dan Shahrizat adalah personaliti tertinggi Umno seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ketua Pemuda Umno dan terkini, mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pemimpin Umno bela Shahrizat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Parlimen pada 11 November lalu, tidak ada apa yang salah dan sedikit masa lagi pengeluarannya akan meningkat kepada 12,000 ekor lembu dari 6,000 ekor lembu sebelumnya.

Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang memulakan projek ini ketika beliau menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata dalam satu sidang media pada 29 Oktober lalu bahawa beliau "tidak nampak apa yang pelik dan satu kesalahan" dengan projek itu. Beliau kemudian menyerahkan kepada penggantinya Datuk Seri Noh Omar untuk menjawab soalan-soalan berikutnya.

Noh menafikan wujudnya penyelewengan dalam pemberian projek itu dan menyifatkannya sebagai satu "kejayaan", dengan memberi berbagai alasan walaupun pengeluaran lembu dan daging lembu adalah rendah.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula, walaupun tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, kelihatan pelik kerana secara tiba-tiba beliau muncul sebagai juara, sebagai pembela yang paling lantang bersuara.

Selain itu, Pak Lah juga timbul untuk menyelamatkan Shahrizat. Pada 15 November, beliau berkata, Shahrizat tidak perlu meletak jawatan kerana beliau bukan CEO dan tidak terlibat. Pak Lah menyuarakan pandangannya kerana ramai yang meminta Shahrizat melepaskan jawatannya sebagai menteri.

Tetapi agak menghairankan, tidak ada sesiapa pun yang mendesak supaya kedua-dua menteri ini (Muhyiddin dan Noh Omar) didakwa.

Muhyiddin kerana memberi projek ini kepada syarikat yang tidak layak dan Noh Omar kerana gagal mengawal-selia pelaksanaan projek ini.

Berhubung badan pemantau rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang selama ini membisu walau pun sudah tiga minggu skandal ini muncul, hanya baru-baru ini menyerahkannya kepada pihak polis dengan alasan bahawa ini kes polis, bukan SPRM.

Adakah pihak polis akan melakukan sesuatu? Tekaan anda adalah serupa dengan saya. Inilah yang dikatakan transformasi Najib!

Senarai 420,000 nama pengundi meragukan dalam kajian

Posted: 18 Nov 2011 02:48 AM PST

Senarai nama tersebut boleh dilihat di laman sesawang SPR


PETALING JAYA: PAS Johor akan mengkaji senarai 420,000 nama pengundi yang meragukan seperti didakwa oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Senarai nama tersebut boleh dilihat di laman sesawang SPR.

"Kita akan buat kajian terhadap senarai itu," kata Ketua Penerangan PAS Johor Suhaizan Kayat ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa PAS telah pun membuat pembentangan berkenaan isu pengundi hantu kepada Jawatan Kuasa Khas Parlimen mengenai Penambahbaikan Pilihanraya.

"Antara lain kita juga telah mengetengahkan isu mengenai 240 orang asing yang didaftar sebagai pengundi di Kajang," kata Suhaizan.

Pengundi hantu

PAS telah mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa tersebut pada hari Sabtu lepas.

PAS merupakan antara pihak – pihak yang tampil ke depan untuk membongkar isu pengundi hantu dalam pilihan raya.

Pembongkaran kewujudan pengundi hantu bertambah rancak sejak Gabungan Pilihanraya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) telah mengadakan perarakan besar di Kuala lumpur pada 11 Julai lalu.

PAS telah turut sama menyertai perarakan tersebut bersama parti komponen Pakatan Rakyat – DAP dan PKR.

Rompakan US$300k di KLIA: Tertuduh utama didakwa

Posted: 18 Nov 2011 02:46 AM PST

MALAYSIA KINI
Seorang ahli perniagaan yang merupakan tertuduh utama dalam kes rompakan melibatkan USD300,000 (RM953,580) milik tiga warga Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sept lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

T Sritharan, 32, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan utama dan tiga pertuduhan alternatif yang dikemukakan.

Bagi tiga pertuduhan utama, Sritharan didakwa dengan seorang lagi yang masih bebas D Nagarajan, melakukan rompakan berkumpulan ke atas Hameed Saadik Batcha, Abd Rahman Maricar dan Zakkariya Mohamed Shatik, sebanyak USD100,000 setiap seorang.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tandas lelaki, bersebelahan Restoran Deli France, Tingkat 1, Bangunan Satellite, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 11.25 malam, 15 Sept lalu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga lagi pertuduhan utama, Sritharan didakwa menipu ketiga-tiga warga Singapura itu dengan memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Bangunan Satellite, KLIA, pukul 11 malam, pada tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi tiga pertuduhan alternatif pula, Sritharan didakwa menyamar dirinya sebagai pegawai SPRM kepada ketiga-tiga lelaki itu pada masa dan tempat yang sama, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga denda.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaacob membenarkan Sritharan dibebaskan dengan ikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah selain tidak dibenarkan ke Sabah dan Sarawak dan melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Beliau menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan semula kes itu.

Beliau juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Hanim Mohd Tajuddin supaya kes Sritharan dibicarakan bersama-sama dengan kes tiga pegawai SPRM yang telah didakwa di mahkamah pada 7 Okt lepas yang melibatkan transaksi yang sama.

Terdahulu, Nadia Hanim menawarkan supaya Sritharan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM100,000 kerana beliau merupakan tertuduh utama dalam kes jenayah terancang yang melibatkan jumlah yang banyak iaitu dengan mengambil USD100,000 masing-masing daripada tiga mangsa.

Beliau juga memohon pasport anatarabangsa Sritaharan diserahkan ke mahkamah, tidak boleh ke Sabah dan Sarawak dan melapor diri di balai polis berdekatan.

"Ini kerana, terdapat risiko yang tinggi untuk Sritharan melarikan diri," katanya yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi.

Beliau berkata Sritharan menyerahkan dirinya pada 8 Nov lalu dan telah mengambil masa hampir dua bulan untuk berbuat demikian selepas ketiga-tiga pegawai SPRM ditangkap pada 19 Sept lalus.

Peguam R Vijayan yang mewakili Sritharan berhujah bahawa tujuan jaminan adalah bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan memohon jumlah itu diturunkan kepada RM30,000 sama seperti jumlah jaminan yang ditetapkan kepada tiga pegawai SPRM itu.

Beliau berkata tiada perbezaan antara anak guamnya yang sudah berkahwin dan mempunyai anak itu dengan tiga penjawat awam berkenaan. Bernama

Kedah pula bakal perkenal hukum hudud

Posted: 18 Nov 2011 02:45 AM PST


MALAYSIA KINI

Kerajaan Kedah akan menunggu Kelantan melaksanakan undang-undang hudud terlebih dahulu sebelum melaksanakannya, Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah diberitahu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi Negeri Datuk Mohamed Taulan Rasul berkata mereka mahu melihat kejayaan pelaksanaan undang-undang itu di Kelantan yang telah diluluskan di negeri itu.

"Kelantan dah luluskan Enakmen Jenayah Syariah dan menunggu kebenaran kerajaan pusat. Kerajaan pusat masih belum memberi kebenaran," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih atas titah ucapan Sultan Kedah ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah dan Rang Undang-Undang Peruntukan 2012 oleh Kerajaan Negeri di Alor Setar, semalam.

Beliau berkata undang-undang Islam adalah satu kewajipan terhadap umatnya dan perkara itu tidak sepatutnya dipermainkan oleh mana-mana pihak.

"Apa yang berlaku di Kelantan adalah masalah pelaksanaan. Kalau Kelantan boleh melaksanakannya, ia boleh berjalan dengan baik," katanya.- Bernama

Kes projek lembu kini disiasat JSJK Bukit Aman

Posted: 18 Nov 2011 02:44 AM PST


MALAYSIA KINI

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman telah memulakan siasatan termasuk kemungkinan wujudnya elemen pecah amanah atau penipuan berhubung pembelian kondominium mewah bernilai RM9.8 juta, yang dikatakan menggunakan wang Pusat Fidlot Nasional (NFC).

NONEKetua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, yang mengesahkan perkara itu hari ini, berkata antara lain pasukan siasatan akan memanggil mana-mana individu yang terlibat dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

"Kita baru dapat laporan daripada SPRM semalam. Pengarah JSJK Datuk Syed Ismail Syed Azizan dan pasukannya sedang meneliti laporan...(tengok) apa kesalahan dia... CBT (pecah amanah), penipuan dan sebagainya. Siasatan awal telah kita mulakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perwakilan asing di Malaysia, di Maktab PDRM Cheras di Kuala Lumpur.

Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini mendapati NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya selain wujud dakwaan pembelian kondominium mewah di Bangsar yang dikatakan menggunakan wang NFC.

NONESuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merujuk kepada polis berhubung laporan pembelian kondominium itu dan mengklasifikasikannya sebagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan bukannya di bawah bidang kuasa SPRM seperti yang termaktub dalam Akta SPRM (ASPRM 2009).- Bernama

ISA: 'Flip flop' berulang, kata Pemuda PAS

Posted: 18 Nov 2011 02:37 AM PST


MALAYSIA KINI

Tindakan terkini kerajaan terus menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) walaupun perdana menteri telah mengumumkan pemansuhannya menunjukkan sikap flip flop atau berdolak dalik, kata Pemuda PAS.

NONEKetuanya Nasrudin Hassan berkata, tindakan itu sama seperti cara kerajaan menangani isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan reformasi sistem pilihan raya.

"Ia bukan sahaja satu bukti bahawa kerajaan Umno dan BN tidak serius dan jujur menghapuskan akta zalim itu tetapi juga terus mendera dan membuli rakyat sendiri.

"Selayaknya kerajaan tidak lagi menggunakan ISA setelah komitmen untuk memansuhkannya telah dipertegaskan oleh perdana menteri sendiri," katanya.

Polis semalam mengesahkan menangkap tujuh warganegara Malaysia dan enam warganegara asing di Sabah mengikut bawah ISA antara 14 hingga 16 November kerana didakwa cuba menghidupkan kembali gerakan militan.

Perdana menteri pada malam hari Malaysia mengumumkan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta akan mengkaji semula undang-undang lain bagi memastikannya memenuhi kehendak semasa.

Amnesty: Tangkapan ISA lawak bagi 'reformasi' Najib

Posted: 18 Nov 2011 02:35 AM PST


MALAYSIA KINI

Amnesty International hari ini berkata penahanan 13 orang di Tawau, Sabah mengikut Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 menjadikan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini, untuk memansuhkan undang-undang zalim itu sebagai satu lawak.

amnesty international"Kerajaan Malaysia menjadikan rancangannya untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai satu lawak apabila terus menggunakannya untuk menahan rakyat sekali lagi," kata Sam Zarifi, pengarah Amnesty International, Asia.

"Janji untuk menghapuskan tahanan ISA tidak mencukupi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib mesti membuktikan beliau mahu menamatkan amalan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Jika polis Malaysia mempunyai bukti untuk mengesyaki 13 tahanan itu melakukan kesalahan jenayah, dakwa mereka ataupun lepaskan sahaja mereka.

"Menahan seseorang tanpa dakwaan atau dibicarakan, terang-terangan menunjukkan tidak menghormati kedaulatan undang-undang."

NONESemalam Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (kiri) berkata, tujuh warganegara Malaysia dan enam warganegara asing di Sabah ditahan mengikut ISA kerana didakwa cuba menghidupkan kembali gerakan militan di negeri itu.

Najib semasa perutusan Hari Malaysia pada 16 September lalu mengumumkan pentadbirannya akan melakukan "reformasi" ke atas beberapa undang-undang yang berbentuk menindas, termasuk ISA.

Bagaimanapun pengkritiknya ragu-ragu dengan keikhlasan pengumuman itu dan berkata ia adalah semata-mata helah untuk mendapatkan sokongan pada pilihan raya umum akan datang.

Nik Aziz: Wakil rakyat PAS tak beri khidmat digugur

Posted: 18 Nov 2011 02:33 AM PST

MALAYSIA KINI

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata PAS telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum bila-bila masa dan berhati-hati dalam soal pemilihan calon yang bakal bertanding.

NONENik Abdul Aziz (kanan) yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan berkata pihaknya berhati-hati dalam hal ini dan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menilai prestasi seseorang calon.

"PAS tidak ada masalah dalam pemilihan calon, kerana kita mempunyai ramai calon berkelayakan cuma pemilihan perlu dibuat melalui jawatankuasa khas yang dibentuk dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat tertinggi parti," katanya dipetik Bernama selepas menyampaikan kuliah Jumaat di dataran ilmu di Kota Baharu hari ini.

Beliau berkata apa yang pasti wakil rakyat yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang ketika diberi peluang menjadi calon dalam pilihan raya lalu, tidak akan dipilih lagi kali ini.

Sementara itu, Utusan Online melaporkan Nik Aziz berkata wakil rakyat PAS yang tidak memberi khidmat sepatutnya kepada rakyat dan parti, tidak akan diberi peluang untuk bertanding semula dalam pilihan raya umum akan datang.

"Prestasi calon akan dinilai oleh jawatankuasa kawasan dan mereka akan membawa laporan itu kepada jawatankuasa khusus yang mana saya sendiri menjadi pengerusi.

"Kalau prestasi merudum kita akan buang dan secara lojiknya mereka tidak akan dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya," katanya.

Tiada ulasan: