Jumaat, 18 November 2011

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Injil solar: Kenyataan Hasan Ali hina umat Islam, kata Asri

Posted: 17 Nov 2011 07:29 PM PST

November 18, 2011
Asri berkata kenyataan Hasan "amat tidak wajar bagi seorang Exco kerajaan yang hidup di zaman teknologi." — Foto fail
KUALA LUMPUR, 18 Nov — Kenyataan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali bahawa umat Islam boleh murtad disebabkan sebaran agama Kristian menggunakan kitab Injil berteknologi canggih adalah satu penghinaan ke atas Muslim, tegas bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Jika benar laporan media, saya rasa kenyataan itu satu penghinaan kepada masyarakat Islam di Malaysia dan boleh menjadi satu tindakan kempen tidak langsung tentang 'the power of reading the Bible' seperti yang ditonjolkan oleh sesetengah pihak," kata beliau dalam satu kenyataan dihantar kepada The Malaysian Insider hari ini.

Felow Pusat Pengajian Islam Oxford ini berkata di Malaysia, al-Quran dikumandangkan menerusi pembesar suara, TV, radio, majlis-majlis kerajaan dan lain-lain, tetapi tidak pula dihebohkan bukan Muslim menganut Islam kerana terdengar bacaan al-Quran setiap hari.

Sebaliknya kata beliau, tiba-tiba dihebohkan kononnya ada yang masuk Kristian kerana mendapat alat kecil yang membaca kitab Injil — "solar-powered talking bible".

"Alangkah hinanya umat Islam dan agamanya. Seakan-akan orang Islam yang sekian lama mendengar al-Quran, terus berubah kerana terdengar atau mendengar bacaan Injil. Tindakan ini seakan kuasa ataupun pengaruh kitab Injil mengatasi al-Quran," kata beliau lagi.

Bateri injil tersebut dikatakan mampu dicas semula mengguna kuasa solar.
Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan memetik jawapan bertulis Hasan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Umno kerusi Sungai Burong Datuk Mohamad Shamsudin Lias bahawa ada sesetengah gereja di negara ini cuba memurtadkan umat Islam dengan alat-alat canggih seperti kitab Injil menggunakan kuasa solar.

Hasan berkata penganjut Kristian Evangelis menggunakan peralatan canggih seperti kitab Injil menggunakan kuasa solar untuk memurtadkan umat Islam di Selangor.

Pengerusi jawatankuasa yang mengetuai hal ehwal agama Islam ini berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah mengesan mubaligh Kristian kini menyebarkan kepercayaan mereka menggunakan alat-alat canggih, selain mengadakan kumpulan-kumpulan kebajikan menyediakan wang tunai dan bantuan kewangan lain kepada golongan ibu tunggal dan miskin.

Ia merupakan pendedahan terbaru di sebalik kontroversi berkaitan Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya dan Jais awal Ogos lalu.

Dalam reaksinya, Asri berkata, "bagi saya, maaf terpaksa katakan bahawa kenyataan itu juga sesuatu yang amat tidak wajar bagi seorang Exco kerajaan yang hidup di zaman teknologi."

"Hari ini segala bacaan sama ada al-Quran ataupun Injil boleh didapati di Internet. Pelbagai peralatan, sama ada komputer ataupun selainnya boleh melakukan 'download' semua bacaan ini. Tidak perlu untuk bersembunyi mendapat atau mendengarnya," katanya lagi.

Asri menambah, beliau berpendapat bahawa kenyataan Hasan tanpa disedari boleh menjadi kempen mendengar kitab Injil yang sebelum ini tidak ramai yang mengambil kisah.

"Itu pun bukan satu kesalahan. Dunia tidak tertutup. Setiap yang mendengar dan menilai akan dapat menemui kebenaran yang hakiki.

"Peranan golongan agama di era ini, bukan menghalang tetapi berhujah dan menerangkan apa yang diyakini secara matang," katanya lagi.

Kata Asri lagi, jika benar seperti yang didakwa, ada pihak Kristian yang menyebarkan alatan itu secara percuma dan bantuan lain lagi kepada saudara-saudara Muslim, "maka saya mencadangkan beliau kena mengerahkan Jais membuat kerja yang lebih bermanfaat dengan menyebarkan secara percuma alatan yang sama atau lebih canggih yang mengandungi ayat al-Quran dan terjemahannya."

"Juga mengandungi ucapan-ucapan dakwah kepada Islam secara hikmah dan bijaksana. Jais boleh pastikan dulu alat itu 'mendapat tauliah' supaya alat itu tidak ditangkap atau dirampas," katanya yang akhir 2009 dikenakan tuduhan oleh Jais berhubung isu menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.- Malaysianinsider

Wahai Hasan Ali, anjing polis lebih pandai buat kerja mengesan ...

Posted: 17 Nov 2011 06:05 PM PST

Exco Agama selangor, Dr Hasan Ali mendedahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengesan lapan cara yang dilakukan oleh pihak Kristian bagi mendakyahkan orang Islam:

1) Menubuhkan pelbagai pertubuhan kebajikan atau persatuan bagi tujuan memberi bantuan berbentuk kewangan terhadap mereka yang mempunyai kesempitan hidup seperti ibu tunggal, orang miskin, warga emas dan lain-lain.

Selain wang tunai, tarikan lain termasuk pemberian keperluan harian, modal perniagaan dan pelbagai lagi.

2) Menggunakan sejenis radio rakaman menggunakan tenaga solar yang dimuatkan dengan cerita-cerita Kristian atau disebut 'Solar Powered Handheld Talking Bible'.

3) Tawaran hiburan

4) Khidmat Nasihat

5) Kelas dan lain-lain.

Menurut Hasan bagi mencegah orang Islam daripada murtad, JAIS akan memperkenalkan enam tindakan dan langkah pencegahan.

Ini termasuk menguatkuasakan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di kalangan Orang Islam) 1988 terhadap mana-mana individu, persatuan atau pertubuhan yang mendakyah agama selain Islam kepada orang Islam.

Komen : Saya hanya dapat membutirkan lima (5) perkara yang Hasan Ali sebutkan dalam kenyataannya di sini. Kita tidak tahu apa pula (6) tindakan dan pencegahan yang bakal diambil selain menggunakan enakmen yang beliau sebutkan.

Tetapi kalau diteliti (5) perkara yang pihak Kristian gunakan itu, orang Islam hari ini memang sudah tewas dalam menanganinya.

Saya hanya ingin mengulas ringkas dari apa yang Hasan Ali sebutkan itu.Nak ulas panjang bukan pandai sangat.Cuba nak mandai-mandai sahaja.

Pertama : Berapa banyak pertubuhan atau persatuan Ngo Islam yang orang Melayu tubuhkan tetapi pekak badak semuanya untuk membantu kalangan orang Islam yang kesempitan. Hanya terpekik melolong macam kena rasuk jembalang konon mahu mempertahankan Islam tapi hampeh! Kebanyakannya hanya sibuk berdemonstrasi.Contoh yang terbaik macam perangai PERKASA dan yang terbaru Pertubuhan Islam Gabungan Amal yang berdemo kerana menuntut litar lumba dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Alangkah lebih baiknya kalau pihak Jabatan Agama menggunakan khidmat pertubuhan-pertubuhan Ngo Islam ini dalam usaha menyalurkan bantuan kepada ummat Islam yang memerlukan bantuan sebagaimana pihak Kristian lakukan?

Kedua : Lihat betapa majunya pihak sana - menyediakan 'Solar Powered Handheld Talking Bible'. Mampukah JAIS melakukan perkara yang sama? Sorrylah, untuk keluarkan 'Qur'an Terjemahan' secara percuma untuk orang ramai pun macam menunggu anjing tumbuh misai!

Ketiga : Hiburan? Cukuplah sekadar saya katakan , kita bersekongkol dengan mereka.Asyik cerita hantu dan kepercayaan tahayol yang di hidangkan kepada masyarakat.

Keempat : Khidmat Nasihat – lupakanlah, kalau persoalan tauliah lebih diutamakan.Menyusahkan orang macam Bob Lokman.Dia hanya mahu menceritakan tentang pengalaman hidupnya yang pernah dilaluinya - hanyut dalam dunia hiburan supaya menjadi teladan.Tetapi diburu JAIS macam penjenayah ! Waima Rasulullah pernah berpesan yang maksudnya, sampaikan dari ku walaupun satu ayat!

Kelima : Kelas – sama macam diatas!

Pihak Jabatan Agama, tidak perlu menguatkuasakan Enakmen Agama Bukan Islam jika bertindak dengan ikhlas dan mempergunakan wang zakat dengan amanahnya.Jangan hanya pandai mengesan sebab anjing polis lebih terlatih buat kerja kesan mengesan ini.Yang penting ialah tindakan dan pencegahan yang berkesan!

Tiada ulasan: