Isnin, 28 November 2011

.

.


Politik Penyu

Posted: 27 Nov 2011 05:41 PM PST

Pemimpin Van C Twenty
Naungi Politik Pas Terengganu

ANTARA soalan yang kerap diajukan kepada saya ialah, apakah Pas berjaya merampas Terengganu dari tangan UBN dalam pilihan raya ke-13 nanti. Jawaban mudah saya, setakat ini saya tidak nampak apa-apa tanda yang Terengganu akan dapat balik kepada Pas. Mungkin jawaban itu tidak menyenangkan tetapi itulah jawaban saya secara jujur dan tanpa bias.

Kenapa saya berkata demikian? Biasanya kalau bumi akan disirami hujan, maka akan ada tanda-tanda atau bunga hujan dilangit. Awam akan gelap berarak perlahan kemudian cepat, kemudian perlahan dan ia berhenti (beradu) itu tanda-tanda bunga hujan. Selepas awan bertompok kehitaman hujan akan turun dengan lebatnya.

Dalam pemerhatian saya politik Terengganu dalam konteks Pas tidak ada tanda-tanda "hujan" akan turun atau dalam kata direct Pas akan berjaya merampas Terengganu dalam pilihan raya ke-13 kelak.

Namun para pemimpin Pas tidak pernah diam terus menggerak minda dan fizikal berusaha untuk menawan Terengganu. Tetapi gerakan dan kerja keras itu tidak akan memberi guna kalau ia tidak disertai dengan perancangan dan startegi yang ideal dan mampan. Mungkin kalau niat baik apa yang dapat pahala di akhirat saja.

Yang Dipertua Pas Kemaman, Hanafiah Mat beberapa kali mengajak saya turun ke kawasannya, melihat perubahan atau mood rakyat di situ. Beliau tidak menceritakan apa yang berlaku tetapi mahu saya saksi sendiri. "Anta turunlah ke Memaman dan buat penilaian sikit". Saya tidak kesempatan untuk memenuhi pelawaan Hanaifah itu. Manakala Cikgu Hussein Speaker pula turut mengajak saya turun ke Terengganu bukan untuk melihat gerak kerja Pas tetapi melihat perusahaan burung walidnya.

Sewaktu dalam perjalanan ke Kuala Berang Jumaat lalu sesampai di Kemaman saya menghubungi Hanafiah harap-harap boleh singgah dan meninjau suasana di Kemaman. Sayangnya beliau berada di sebuah kampung sedang bergotong royong membangunkan rumah orang miskin. Saya faham kalau Hanafiah beriya mengajak saya ke Kemaman. Tetapi apakah perkembangan dan mood di Kemaman itu melambangkan perkembangan dan mood di seluruh Terengganu, di Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan lainnya?

Abu Bakar Chik (Datuk Ustaz) juga sering melemparkan pertanyaan sama; "macam mana enta fikir Terengganu boleh tawan semula ke tidak". Bakar Chik mahu pandangan luar yang bebas dan tidak ada kepentingan. Pemimpin veteran ini pada saya agak terbuka dan seorang yang rajin berusaha untuk membangunkan semula tiang-tiang panji Pas di Terengganu yang dirobohkan UBN. Tetapi cukupkah kalau beliau seorang bekerja keras berputar macam Ibnu Batutah tanpa ada kerjasama dan gerakan bersepadu dengan mereka yang lain khasnya jenerasi muda?

Kepada saya Bakar Chik ada keistimewaan dan berjiwa besar. Walaupun kadang-kadang apa yang saya kata dan tulis memedihkan lidahnya tetapi ditelan juga. Satu masa saya kritik Presiden Pas Abdul Hadi Awang, saya tahu Bakar Chik tersinggung, tetapi ditelan juga. Inilah sikap pemimpin yang kita mahu sedia menerima pandangan dari luar kerangka pemikiran dan agendanya boleh mengasingkan antara hubungan peribadi sebagai guru dan ustaz dengan hubungan kepimpinan yang perlu dikritik.

Dalam impian untuk kembali memerintah Terengganu pemimpin negeri itu meletakkan beberapa faktor. Antaranya ialah perpecahan dalam kepimpinan Terengganu yang parah dikala ini. Umno Terengganu kini ada dua kumpulan, kumpulan Idris Jusoh dan kumpulan Ahmad Said. Kumpulan ex MB dengan kumpulan MB.

Dua kumpulan ini tidak mungkin bercantum kekal. Kalau bercantum pun sementara, dendam antara kedua kumpulan ini menebal. 12 orang pemimpin yang menyokong Idris dan berada dalam Dewan selamanya tidak akan akur kepada Mat Said. Mereka inilah dikatakan bakal menjadi pendesak agar Mat Said selepas ini tidak menjadi MB lagi. Usaha itu termasuklah kalau tidak ada cara mereka akan memastikan Umno kalah demi Mat Said tidak akan jadi MB.

Pas mengharapkan perbalahan itu sebagai advantage untuk mereka. Namun bagi saya perbelahan ini tidak menjadi bekas kepada Pas. Ia bukan nilai tambah yang boleh diambil kira dan dijadikan bahan dagangan komersil. Dalam politik, Pas Terengganu kena ada kekuatan dan wisdomnya sendiri. Kena ada modal sendiri dan bukan menumpang modal angin. Kalau kebetulan hakikat itu berlaku ia adalah bonos buat Pas yang sengaja dilakukan Tuhan untuk memberi peluang kepada Pas memerintah Terengganu sekali lagi.

Kalau mengharapkan kepada peprecahan Umno itu modal angin namanya. Dak rak cetung .. kata anak beranak saya di Kuala Berang. Saya juga sudah ada waris di Terengganu, jadi Mat Said jangan pakai hentam saja ikut sedap tuduh saya cuba memfitnahnya dalam surat 'kerbau' Utusan Malaysia!

Apakah modal dan kekuatan Pas? Hampir tidak ada lansung. Tidak ada gerakan yang mengorbit ke dataran yang dapat dilihat oleh umum. Tindakan atau program Pas Terenggan tidak boleh dijadikan satu marcu tanda untuk melihat Pas negeri itu sudah bangkit. Kalau ada pun setakat himpunan dan ceramah, tetapi tidak ada prgoram sosial. Idea atau gagasan pemimpin Pas Terengganu tidak menjadi fenomena yang akan merubahkan landskap politik negeri Penyu itu. Penyu tidak akan menjinaki Pas dengan pendekatan yang diambil waktu ini.

Cuma dalam pengamatan saya kalau ada sedikit fenomena yang memihak kepada Pas ialah kehadiran Ustaz Azhar Idrus sebagai penceramah bebas yang popular ketika ini. Anak-anak muda begitu berminat dengan cara penyampaian dan dakwah politik Azhar. Saya kira tokoh paling menjadi perhatian di Terengganu ketika ini ialah Azhar Idrus. Tetapi sejauh mana Pas memanfaat atau pun mengutip hasil dari pendekatan yang diambil Azhar untuk kepentingan Pas dan Islam.

Begitu juga kritikan terhadap pentadbiran Mat Said tidak dilakukan sepenuhnya. Malahan tidak kedengaran langsung yang keluar dari mulut pemimpin Pas. Kenapa? Yang dikirik Pas Terengganu ialah pelbagai bentuk pembangunan yang dibawa oleh Idris Jusoh. Apakah Pas Terengganu belum kabar lagi yang menjadi MB dan ketua Umno kini bukan Idris Jusoh lagi tetapi Mat Said.

Menghairankan kenapa Pas tidak menyerang Mat Sais? Pas seolah terkaku dan hilang akal untuk mencari punca bagaimana hendak serang Mat Said. Apakah kerana Mat Said dikatakan MB yang dilantik oleh Sultan Terengganu maka Pas jadi malu alah? Pas takut untuk mengkritik Mat Said, begitukah. Adalah kurang cerdik kalau Pas membuat sifir congak begitu. Pas harus asingkan antara Mat Said dengan Sultan. Mat Said tidak ada kena mengena dengan sultan dia dilantik kebetulan kerana tidak ada tokoh macam kepala lain selepas Idris Jusoh ditolak.

Jika itulah yang menjadi punca kenapa Pas enggan mengkritik Mat Said, bermakna Mat Said kini seolah-olah sudah berjaya meletakkan istana sebagai tembok perlindungan. Kalau ituah perasaan yang ada ternyata ia silap kerana Pas sengaja membiarkan Mat Said gemuk dalam kandang eksekutifnya.

Pas Terengganu kini umapama perahu yang teroleng oleng sendiri di tengah laut dan mengharapkan tipuan angin. Tidak ada enjin dan pendayun yang kuat. Ada sedikit layar itu pun ia sudah carik dan robek. Kalau kebelutan angin berhembus kuat maka ia akan menggelusur kuatlah perahu Pas. Kalau ada gelombang maka cepat ia akan menggelosor ke tepian. Kalau tidak ada angin dan gelombang maka bahtra hijau itu akan terus teroleng-oleng kehilangan destinasi di tengah lautan membiru.

Gelombang itulah yang saya maksudkan boleh membantu Pas. Apakah gelombang yang Pas cipta di Terengganu? Kalau Umno semasa hendak rampas Terengganu dulu mencipta gelombang biru maka Pas perlu mencipta gelombang hijau. Gelombang hijau ini bukan sahaja setakat berhimpun tetapi kena kreatif melakukan tindakan politik, desakan politik dan membuka jalan-jalan baru dalam politik. Salah satunya ialah menyerang pentadbiran Mat Said. Mat Said bukan MB yang perfect. Dedahkan penyelewengan dilakukan di zaman pentadbir Mat Said?

Dua orang rakan bloger yang berada dekat dengan politik Terengganu yang sempat minum bersama saya, membilang akan kelemahan-kelemahan Pas dan kekuatan-kekuatan Umno kepada saya. Apa yang dibilang dipihak Pas ialah mengenai kepimpinan dalam Pas. Menurut mereka sudah sampai masanya Pas Terengganu menyalin pemimpin veteran yang sudah tidak mengancam lagi kepada pemimpin muda yang lebih dinamik dan progresif dan kaya dengan idea dan wawasan.

Saya bersetuju 100 peratus dengan pandangan mereka itu kerana itulah juga yang bermain dalam benak saya bila menoleh ke Terengganu. Selagi Pas Terengganu dipimpin oleh golongan veteran maka perubahan dinamik tidak akan berlaku. Walaupun sudah ada peralihan di peringkat Pesuruhjaya dan Dewan Harian tetapi ia tidak mencukupi.

Saya melihat pemimpin veteran masih menaungi Pas Terengganu menyebabkan beberapa kerat pemimpin muda yang datang dari berbagai profesional tidak dapat memancu idea mereka sepenuhnya. Suara dan pandangan mereka ditenggelami oleh ketohohan pemimpin muda yang sudah tidak mempunyai banyak 'reng' politik itu. Suara dan idea orang muda tersekat kerana hendak bersuara bimbang dikatakan melanggar adat?

Naungan ini sudah tidak perlu lagi. Zaman mereka sudah pun berakhir. Bukan bermakna mereka tidak penting dan pendekatan mereka sebelum ini; menterbiah, usrah dan mengajar di surau tidak berkesan, berkesan. Tetapi zaman atau era itu sudah berubah. Zaman sekarang zaman IT di mana manusia boleh mendapat dan menerima maklumat di mana saja dan dalam masa terpantas.

Justeru Pas Terengganu memerlukan pendekatan baru yang kontemporari dan memenuhi selera semasa. Pas kena ingat jenerasi duduk mencangkung atas padang dalam hujan mendengar pembacaan sirah Rasulullah yang digumpal dengan poitik ekstrem sudah berakhir atau kurang menarik lagi. Sikap menerima seadanya pemimpin yang tidak reti dan bersalaman dengan orang kerana dia ulama sudah berubah. Rakyat mahukan pemimpin yang mesra rakyat dan tahu mengurus diri.

Wahid Enduk yang kini menjadi pesuruhjaya menggantikan Harun Taib tidak berjaya membawa perubahan atau melakukan proses penyalinan kepimpinan seperti diharapkan. Orang-orang lama yang tidak kepuasan memenang jawatan kerana kalah seperti Mustapa Ali, Abdul Hadi Awang, Hussein Awang, Abu Bakar Abdullah, Bakar Chik dan beberapa kerat yang lain seharusnya sudah berundur. Mereka adakalanya bukan saja setakat perlu insaf tetapi kena bertaubat!

Mustapa walaupun tidak ada kena mengena dengan Terengganu tetapi statusnya sebagai Setiausaha Agung Pas masih lagi dilihat memonitor Pas Terengganu. Wahid Enduk tidak akan pandai-pandai membuat keputusan sendiri atau tidak rujuk kepada Mustapa Ali. Umum juga cukup faham apa hubungan dan peranan Mustafa dengan Abdul Hadi Awang. Kalau Abdul Hadi faham akan kapasitinya dia perlu berundur secara terhormat tanpa disengjah serban dari belakang.

Langkah terbaik dalam pilihan raya ini semua pemimpin veteran yang saya sifatkan Pemimpin Van C Twenty tidak perlu bertanding lagi. Harun Taib, Abdul Hadi Awang, Mustapa Ali, Bakar Chik, Hussein Awang dan Abu Bakar Abdullah dan Wan Mustalib Embong jangan bertanding lagi. Lepaskan kepada pemain muda kalau pun tidak menang sekurang-kurangnya memberi pengalaman untuk mereka demi membuat persediaan di masa akan datang.

Pemimpin Van C Twenty ini masih boleh berperanan kepada parti dengan menjadi penasihat dalam semua aspek dan sesekali hadir dalam majlis sebagai membaca doa. Mereka semua harus menjadi Ayutullah kepada Pas Terengganu bukanya sebagai penentu hala tuju Pas lagi.

Jawatan dalam parti bukan alasan untuk mereka bertanding dalam pilihan raya. Misalnya kerana mereka ahli jawatankuasa agung, setiausaha atau presiden... tidak bermakna mereka perlu bertanding. Jawatan itu bukan diperlembagakan mereka harus bertanding. Jawatan adalah untuk memimpin... bertanding bukan mutlak dalam memimpin. Mempastikan Pas menang adalah salah satu tanggungjawab dan tugas memimpin yang utama.

Itulah yang antara lain saya bilang kepada dua bloger di hadapan pantai Batu Buruk pada petang itu. Mereka menyetujui dan mereka juga sudah nampak akan masalah di Terengganu. Masalah Umno banyak wang dan Pas tidak punya wang bukan penghalang dan bukan penitik segala-galanya. Dulu pun Pas sudah tidak mempunyai wang dan Umno banyak wang. Tetapi kenapa Pas boleh menang? Dua kali Pas menafikan kerajaan UBN di Terengganu. Peluang yang pernah Allah berikan itu perlu difikir dan dijadikan iktibar.

Ertinya Pas sudah ada track record di Terengganu menjadi kerajaan sebanyak dua kali. Kemenangan boleh dicapai apabila kerja mencapai kemenangan itu disusun dan ia disertai dengan niat ikhlas. Kepada saya kalau bertanding untuk jadi MB, menteri dan Exco ia bukan ikhlas itu adalah tamak haloba.

Tegasnya kalau pemimpin yang menjadi tauke dan menaungi Pas Terengganu tadi tidak sedia berkorban, ibarat kata bulan akan terus sambang di Terengganu kalau pun tidak gerhana pernuh dan dacing akan terus menimbang dalam kesengitannya. Yang malang dan menjadi mangsa kegelapan dan kesengetan timbangan ialah rakyat Terengganu termasuk anak menantu saya di Kuala Berang. Bersambung. [wm.kl.10:29 28/11/11]

Catatan Rasa

Posted: 27 Nov 2011 04:44 PM PST

Johor Sudah Dirobek Oleh PKR

UNTUK kali kedua sejak PKR ditubuhkan saya tidak sempat menghadirkan diri untuk melihat kongres tahunannya. Satu kerugian juga buat saya. Tetapi apa boleh buat kerana majlis menyambut menantu di Kuala Berang sudah ditetapkan, saya tidak dapat membatalkannya. Kalau boleh dikirimkan anak saya ke Kuala Berang kepada isteri dan rombongan, saya pasti lakukan... tetapi ia bukan sesuatu yang baik.

Sepanjang perjalanan ke Kuala Berang dan semasa bermalam di Kuala Terengganu saya terkenang-kenangkan kepada kongres berkenaan. Apa menyebabkan saya jadi terkilan sangat kerana ia diadakan di Johor, di negeri yang dianggap sebagai kubu Umno.

Kejayaan PKR mengadakan kongres di negeri Johor kepada saya satu kejayaan besar dan sesuatu yang dipuji ke atas ilham berkenaan. Bahawa parti pembangkang (Pakatan Rakyat) sudah berjaya menembusi kubu Umno. Kekayaan itu adalah rintisan awal untuk PR terus mengelodak di Johor.

Mungkin ada pihak mengatakan ianya biasa saja dan tidak memberi impak. Iya... hanya mereka yang berfikir atau merasakan dirinya kuat saja tidak akan dapat merasai kocakan ombak kecil. Tetapi apakah mereka sedar ombak kecil itulah melahirkan ombak besar dan gelombang apabila ia bersatu.

Apakah selepas berakhir kongres itu ia membentuk satu momentum baru kepada suasana politik di Johor? Rakyat Johor mulai melihat akan kesungguhan PKR untuk menawan negeri berkenaan. Bagi ahli PKR khasnya dan PR amnya perlu berbangga dengan usaha PKR itu. Kerja membawa kongres ke Johor adalah kerja yang wajar dipuji dan perlu dicontohi. Saya kira pihak Umno menerusi instrument tertentu cuba mengagalkannya... tetapi apabila ia berjaya diadakan ini bermakna usaha Umno untuk menahan PKR dari memasuki daerahnya gagal.

Dengan apa yang berlaku Umno Johor tentu akan jadi lebih kecut perut kalau selepas ini tiba-tiba Pas pula membawa muktamar merka ke negeri jiran Singapura itu. Harus diingat Pas kini sudah ada dua kerusi di Johor. Kerusi itu dianggap sebagai benih yang akan menumbuh dan membesarkan Pas. Saya cukup yakin selepas ini Umno Johor tidak akan duduk diam akan berusaha untuk membendung atau menjahit bajunya yang sudah bekah kini termasuk menggunakan bantuan pihak-pihak yang tidak sewajar dilakukan.

Sejak 63 tahun Umno wujud belum ada mana-mana parti pembakang yang berani atau boleh mengadakan kongres dan mesyuarat di negeri itu. Johor adalah kubu Umno, dan Umno dianggap parti di raja di negeri berkenaan. Bukan apa kononnya penubuhanya dibuat di istana Johor. Apabila PKR berjaya mengadakan kongres ia seperti pembuka penyelak kubu Umno. Dengan apa dilakukan PKR itu jangan hairan kalau selepas ini Johor bukan lagi menjadi "darul Umno".

Kejayaan PKR itu sebenarnya cukup penting dan memberi suntikan semangat buat PR. Hari ini dengan berlangsungnya kongres itu, ahli atau penyokong PKR tidak lagi merasakan Johor sebagai halangan buat mereka. Selalunya bidang telus kelindan maka akan teluslah benang.

Memerhati dari kejauhan.

Dari kejauhan saya mendapat maklumat kongres berkenaan berjaya dan dianggap sebagai terbaik. Mungkin edah pilihan raya umum ke 13 sudah sampai menyebabkan kongres itu membiru dan lebih 'belengah'. Mereka yang sebelum ini kurang berminat mungkin jadi tertarik untuk hadir bagi melihat sejauh mana kibar bendera parti mereka melampai Tambak Johor. Di celah itu tentu ada juga yang bermimpi untuk menjadi calon maka perlu mempamirkan wajah di situ.

Lebih 3,000 perwakilan dan termasuk pemerhati yang hadir. Paling menarik katanya persidangan diikuti oleh perwakilan dari hari pertama sampai ke hari terakhir. Jarang belaku keadaan ini di mana selalunya pemerhati dan juga perwakilan akan memberi tumpuan pada perasmian dan penggulungan saja. Tetapi tidak pada kongres. Kali ini tumpuan diberikan sepanjang masa persidangan. Nampaknya ahli dan penyokong benar-benar mengambil manfaat dari event itu.

Kemunculan beberapa pembahas baru dari kalangan orang muda memberi suntikan semangat dan keyakinan. Kualiti perbahasan menjelaskan bahawa mereka sedia untuk diasah dan didik menjadi pemimpin PKR. Kesedaran politik dari kalangan anak mudah ini satu tarikan dan lonjakan semangat baru. kini tidak timbul lagi PKR kekurangan pemimpin berwibawa setelah beberapa orang pemimpinnya yang sebelum ini dikatakan berkualiti sebenarnya tidak lebih dari golongan pencacai tahi saja.

Melihat kepada ada segugus anak muda yang serius dan komited PKR tidak kasih untuk memilih calon dari kalangan yang jujur dan setia kepada parti. Seharusnya Anwar Ibrahim membuat pilihan bijak terhadap calon PKR untuk tidak mengulang peristiwa lampau. Saranannya agar mengnyahkan pengkhianat parti patut disambut dan kerja mengena pasti perlu dilakukan sebelum nama mereka tercalon.

Dalam bak calon ini tidak mengapa kalau calon yang dipilih itu tidak mencapai tahap profesional sepenuhnya. Yang penting mereka yang setia kepada perjuangan yang sanggup berhempas pulas untuk meneruskan api refomasi. Tidak ada guna kalau Anwar mengambil kalangan profesional khususnya dari kroni tetapi mereka hanya sekerat jalan sahaja.

Saya juga merasakan untuk pilihan raya kali ini sudah sampai tokoh-tokoh reformis yang sebeum ini menjadi pendolor PKR peru turun ke gelanggang sendiri bertanding sebab mereka ada keulitan dan semangat revolusionar yang boleh menyemarakkan lagi pilihan raya. Mungkin Anwar boleh memikirkan ini.

Hendaknya untuk PKR ledakan semangat yang dicapai di kongres itu akan terus dipupuk dan segala resolusi dan cadangan tindakan diteruskan sehingga sampai ke saat pembubaran parlimen. Jadikanlah kongres itu adalah tamparan awal ke muka Umno dan cetusan untuk merombak mitos di kaangan sesetengah orang Johor bahawa hanya Umno menjadi "Tuhan" kepada mereka. [wm.kl.9:10 am 28/11/11]

Pesanan Malam

Posted: 27 Nov 2011 07:10 AM PST

Esok Kita Kembali Berblog

Sepanjang perjalanan tadi terfikir sesampai di rumah untuk terus mengisi blog setakat yang terdaya. Banyak cerita dan bahan untuk dikongsi bersama penjenguk setia blog ini. Sepanjang perjalanan ke Kuala Berang kemudian berakhir di Rantau Panjang semalam dan bersambung hari ini dari Pasir Puteh menerusi Kuala Krai, Gua Musang dan berakhir di rumah telah menghimpunkan pelbagai peristiwa dan maklumat.

Apa yang ada dalam kepala sudah mahu meledak dan pasti kalau tidak diluah serba sedikit membuatkan saya tidak akan lena tidur.

Di Kuala Berang tidak ada apa, melainkan majlis sambut menantu oleh besan saya. Kenduri stail kampung cukup meriah dan menyeronokkan. Biarlah tidak ada muzik, karaoke dan sebagainya tetapi suasana majlis cukup menyenangkan. Sesuai dengan jiwa saya orang kampung.

Paling bahagia ialah kesediaan kawan-kawan untuk sama menyertai rombongan 'menghantar menantu'. Dalam saat seperti itulah nilai dan harga persahabatan cukup tinggi. Nilai dan erti persahabatan kadang kala mengatasi nilai dan erti perhubungan darah daging.

Iya sahabat kita boleh herdik, mereka akan diam dan akur kepada kehendak kita. Darah daging sendiri belum tentu lagi. Dan darang daging juga boleh membusuk sepanjang zaman. Siapa kata cincang air tidak akan putus? Hanya yang tidak tamak, tidak ego dan mempunyai sikap toleransi tinggi serta ada nilai kejujuran dan ketelusan saja yang tidak putus dan kekal ke liang lahad.

Terima kasih kepada kawan dan sahabat yang telah meluangkan masa dan saya telah menyusahkan mereka; sdr Ramli Abdul Halim dan isteri barunya Norsita Abdul Rahim, Sdr Ahmad Fauzi Ibrahim dan isterinya Sharifah, sdr Sobree Shafii dan isteri Kak Ani, sdr Zainal Isa bersama isteri Nor Maskah serta anak-anak.

Sdr Mustapa dan isteri Hasmah dan anak menantu (satu-satu kelurag terdekat saya - sepupu), Idarosmawati dan suami, Yb Wan Hassan Semerak, sdr Rushdan Mustafa, Reduan dan isteri, Hj Ariffahami Abdul Rahman, sdr Nizam bersama isteri dan anak-anak. Terima kasih dan terima kasih dan terima kasih dari saya isteri dan keluarga.

Tiga hari dua malam dan perjalanan sejauh 1,500 km banyak pemandangan dan panorama politik masuk dan menyinggai birai benak saya. Bertemu dengan sumber dan rakan bloger pula memberi input yang tidak boleh dibeli di mana-mana. InsyaAllah esok saya akan cuba mengisi blog ini dengan cerita dan berita, ulasan dan analisa saya terhadap beberapa isu yang saya kira menarik termasuk juga tentang kongres Keadilan di Johor.

Yang paling menarik ialah cerita di Terengganu.... apakah Mat Said telah menghantarkan surat tuntutan untuk menyaman saya seperti mana diwar-warkan? Dan cerita di Kota Bharu... untuk pertama kali saya ngomong menerusi telefon dengan Tok Guru Nik Aziz. Tunggu esok salam dan selamat malam. Catatan: Dipostkan beberapa keping sekitar kenduri di Kuala Berang. [wm.kl.11:18 pm 27/11/11]



Tiada ulasan: