Anak Sungai Derhaka |
- Muhyiddin mahu ahli Umno jihad pertahan kuasa Melayu..
- Bil Perhimpunan Aman akhirnya berjaya diluluskan...
- Ahmad Maslan macam Hitler, ‘lidah bercabang’ dan... bodoh?
- Akta Himpunan : Najib jadikan Zimbabwe, Myanmar sebagai rujukan?
- Gambar : Ribuan Peguam dan orang ramai berhimpun bantah akta Perhimpunan
- PANAS!! Najib arahkan fitnah disebar untuk burukkan PR?
- Faktor ekonomi mungkin paksa Najib panggil PRU-13 awal
- Video Ucapan DSAI di Kongres Nasional Tahunan ke 8
Muhyiddin mahu ahli Umno jihad pertahan kuasa Melayu.. Posted: 29 Nov 2011 06:39 AM PST Teks ucapan Muhyiddin dibawah laporan ini.. macam mana boleh ada dalam e-mail aku entahlah... Ni pantun Muhyiddin buat semua Ahli PKR.. nampak bodoh sikit pantun ni.. hisap rokok dalam kelambu? nak mampus jadi abu.. cuba lah.. Hisap rokok dalam kelambu, Terbit asap menjadi abu PKR umpama golok kayu Tetak tak lut gadai pun tak laku. Ni pula kenyataan kononnya untuk membakar semangat ahli UMNO dari Muhyiddin.. nampak bodoh sikit.. yang aku highlight merah tu.. "Dengarlah semua! Ke mana kamu semua dapat lari? Lihat apa yang menanti kamu. Lautan di belakang dan musuh di hadapan. Pada diri kamu semua hanya tinggal keikhlasan dan kesabaran ... Musuh di hadapan sedang menanti dengan pasukan tentera dan peralatan yang lengkap ... Ingat, perlindungan daripada pihak musuh hanyalah pedang-pedang di tangan kamu. Sekiranya pasukan kita lambat mencapai kemenangan, peluang keemasan untuk terus hidup akan hilang. Ketakutan yang melanda pihak musuh berganti menjadi berani untuk menentang pihak kita. Oleh itu, berjuanglah bersungguh-sungguh bagi mempertahankan nyawa kamu". KUALA LUMPUR, 29 Nov ― Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa ahli-ahli Umno berjihad untuk mempertahankan kuasa orang Melayu dengan mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 yang menurunya merupakan "ibu segala pilihan raya." Susulan tsunami politik tiga tahun lalu, Timbalan Presiden Umno ini menegaskan pilihan raya umum ke-13 akan menentukan jatuh bangun umat Melayu dan kelangsungan mereka. "Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihan raya umum ke-13 adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?" kata beliau berucap merasmikan secara serentak Persidangan Tahunan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno malam ini. Ucapannya disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen tempatan. Dalam ucapan bertemakan "Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad", Muhyiddin yang timbalan perdana menteri bertanya perwakilan ketiga-tiga sayap, "sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita?" "Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri? Jawapannya tentu sekali tidak," kata beliau. Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ini yang Umno merupakan parti terasnya berkata, perjuangan Umno sekarang jihad untuk agama, bangsa dan negara. "Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak. Percayalah, pilihan raya umum nanti mempunyai makna yang cukup dalam kepada kelangsungan kita. Pilihan raya ini adalah medan jihad dan saudara-saudari adalah para mujahid dan mujahidah," katanya merujuk kepada perwakilan ketiga-tiga sayap itu. Laporan diatas dipetik dari The Malaysian Insider, berikut pula adalah teks ucapan Muhyiddin sepenuhnya.. ************************************** TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN TIMBALAN PRESIDEN UMNO "MENUNJANGI SURVIVAL BANGSA: SUATU JIHAD" DI MAJLIS PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2011 Assalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia. YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil Ketua Pergerakan Wanita YB Sdr. Khairy Jamaluddin Ketua Pergerakan Pemuda YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin Ketua Pergerakan Puteri YB Naib-Naib Presiden UMNO YB Setiausaha Agung UMNO Ahli-Ahli Majlis Tertinggi Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Saudara-saudari sidang perwakilan dan para pemerhati sekalian. 1. Marilah kita dahului dengan sembah tahmid ke hadrat Allah S.W.T. dan selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama berhimpun pada malam yang bersejarah ini untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi tahun 2011. 2. Perhimpunan tiga sayap penting parti UMNO ini adalah kemuncak manifestasi suara akar umbi umat Melayu yang mahu melihat perjuangan bangsa diperkasa, kesucian agama dibela, kedaulatan pertiwi dipertahan dan keutuhan parti UMNO sebagai gerakan pembela umat Melayu yang tiada galang-ganti ini diperkukuh dan diperteguhkan. Inilah perhimpunan terbesar umat Melayu yang mengangkat suara keramat rakyat dari segenap ceruk desa dan kota, dari segenap lapisan warga, untuk dijadikan suluhan, panduan dan sempadan dalam melayari bahtera di samudera perjuangan meninggikan agama, memartabatkan bangsa, mendaulatkan nusa dan menobatkan siasah parti UMNO yang tercinta. Kesatuan kita ini ibarat kata pepatah Melayu: Bulat Air kerana Pembetung Bulat Manusia kerana Muafakat Kata seia kata sepakat Setuju sependirian setuju sependapat Kata dibulati kata bertepati Janji termeteri, kejayaan dinikmati 3. Maka dalam semangat Maal Hijrah, marilah kita perkukuhkan kesatuan hati sesama kita, marilah kita semarakkan muafakat yang membawa berkat, supaya terpancar darinya sinar azimat yang menyuluh lorong-lorong perjuangan kita. Demikianlah ajaran junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. yang membentuk kesatuan Ansar dan Muhajirin, yang mendamaikan permusuhan 'Auz dan Khazraj. 4. Sesungguhnya, harapan umat Melayu terhadap UMNO tinggi menggunung. Sebagai parti yang tertubuh atas semangat kental perjuangan, UMNO memikul amanah besar untuk terus membela kesucian agama, menjulang maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara. Di atas jemala UMNO, terhimpun sejuta harapan dan cita-cita umat Melayu yang mahu melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah, bermartabat dan merdeka jiwanya. Kuasa Politik Melayu Goyah, Fitnah Terhadap UMNO Saudara dan Saudari Sekalian, 5. Langit tidak selalunya cerah, laut tidak selalunya tenang. Tsunami politik yang melanda ketika Pilihanraya Umum 2008 dilihat oleh banyak pihak sebagai titik mula perubahan lanskap politik yang ketara di negara kita. Barisan Nasional kehilangan majoriti dua per tiga di Parlimen. Kedudukan UMNO dan parti-parti komponen BN tidak sekuat dahulu. Kuasa politik Melayu semakin goyah. 6. Tidak semena-mena timbul persepsi bahawa UMNO tidak lagi mampu untuk membela nasib orang Melayu. Malah, pelbagai tuduhan liar dilempar kepada UMNO. Ada yang kata UMNO tidak berbuat apa-apa untuk orang Melayu selama 54 tahun memerintah; UMNO parti rasis; UMNO pemuflis negara; UMNO anti-demokrasi; malah ada yang mengatakan UMNO adalah ibu segala kejahatan. Na'uzubillahi min zalik. 7. Segala fitnah terhadap UMNO ini ibarat api yang memamah setiap helaian jasa dan bakti UMNO. Malah, dalam zaman fitnah yang menggila ini, pemimpin nombor satu kita tidak terkecuali daripada menerima percikan api fitnah. Hinggakan keheningan mengerjakan ibadah haji pun diganggu oleh kilang-kilang fitnah yang bekerja lebih masa. Kepada YAB Presiden, usah resah, usah gelisah, usah gundah, usah gulana. Teruskan perjuangan. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, ke lautan sama direnangi. La takhaf wa la tahzan innallāha ma'ana. 8. Sesungguhnya, percikan api fitnah mereka menyambar dan merebak ke segenap sudut kehidupan, menyemarak sentimen kebencian. Matlamat penyebar fitnah jahat ini amat jelas - hilangkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin utama UMNO dan meruntuhkan harapan orang Melayu terhadap parti keramat ini. Tujuan mereka tidak lain hanya mahu merampas kuasa politik. Tembelang Pembangkang 9. Pada masa yang sama, parti-parti pembangkang mengambil kesempatan atas hakisan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2008 untuk menunjukkan tembelang mereka yang sebenar. Parti DAP tanpa segan silu membuat kenyataan demi kenyataan menghina Islam dan orang Melayu. Daripada soal kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, segala-galanya cuba dipertikai dan dirobek satu demi satu oleh parti DAP. 10. Kemenangan DAP di Pulau Pinang dan kejayaannya mendominasi kerajaan pembangkang di Selangor, dan sebelum itu di Perak, seolah-olah memberikan lesen paling besar kepada parti paling rasis ini untuk menyerlahkan sikap cauvinis melampau. Mereka langsung tidak menghormati institusi Raja-raja Melayu, menghina pegawai-pegawai kerajaan yang majoritinya berbangsa Melayu, mencerca pasukan keselamatan dengan penghinaan yang keterlaluan, mempertikai institusi penguatkuasaan, menjatuhkan wibawa institusi kehakiman dan memperkuda sekalangan orang Melayu dengan tujuan mendapatkan kuasa bagi diri mereka sendiri. 11. Tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan semakin jelas kelihatan. Masakan tidak, mereka berani mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dipilih secara langsung dalam pilihanraya tanpa perlu dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong. Apa maknanya ini? Maknanya, sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembangaan yang kita amalkan selama ini sudah tidak sesuai lagi dengan tembolok mereka untuk melahap kuasa. 12. Ketika umat Islam bangkit bersatu mempertahankan akidah umat daripada diruntuhkan oleh kumpulan yang berniat jahat, DAP dan konco-konconya, bertubi-tubi mempersenda umat Islam. Semakin nyaring suara umat Islam membela kesucian agama, semakin ghairah mereka menjalankan dakyah jahat ke atas umat Islam atas nama kebebasan beragama. Agenda mereka yang sebenar ialah ingin melihat perpecahan di kalangan umat Islam dan melaga-lagakan umat Islam dengan bukan Islam. 13. Parti DAP ini tidak pernah melihat apa-apa kebaikan yang ada pada orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, walaupun ia mendakwa ia parti demokratik pelbagai kaum, ironinya dari dahulu hingga sekarang DAP hanya dipimpin oleh kelompok tertentu daripada satu kaum sahaja. Atau lebih tepat lagi, dari keluarga tertentu dalam kelompok tertentu dari kaum tertentu sahaja. Namun kita yakin dan percaya DAP tidak mewakili keseluruhan suara kaum itu. 14. Hari ini kita dengar DAP sedang giat memancing orang Melayu untuk menyertai parti itu. Mereka ditawarkan jawatan dalam parti dan dijanjikan menjadi calon dalam pilihan raya. Jika menang, mereka berpeluang dilantik sebagai ahli Exco atau Menteri Besar di negeri-negeri tertentu. Ganjarannya tampak sungguh lumayan. 15. Namun, orang Melayu mesti berwaspada. Jangan sampai terpedaya dengan muslihat jahat DAP. Tujuan sebenar parti paling rasis ini bukanlah untuk memberi kuasa kepada orang Melayu, jauh sekali menyerahkan kepimpinan parti itu kepada orang Melayu. DAP hanya mahukan si Melayu yang malang ini menjadi kuda tunggangan yang kerjanya sekadar menjaga kepentingan cauvinis DAP. Orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat bangsa. Janganlah jadi pembelot seperti Si Kitol. Janganlah jadi seperti tikus membaiki labu. Janganlah jadi seperti Pak Kaduk, menang sorak, kampung tergadai. Janganlah sudah terhantuk, baru terngadah. Jangan sampai nasi menjadi bubur. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. DAP sudah pasti bukanlah parti untuk orang Melayu dan Bumiputera. 16. Begitulah juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). PKR ini ketandusan agenda untuk orang Melayu dan Islam. PKR sebuah parti ultraliberal yang tiada asas moral dalam perjuangannya. Jika tidak, masakan orang yang sedang dibelenggu krisis kredibiliti yang serius terus diangkat memimpin parti itu secara tidak demokratik. Mana mungkin kedudukan agama, bangsa dan negara boleh dijaga oleh PKR jika yang diangkat menjadi pemimpin pun bergelumang dengan masalah kredibiliti. 17. Ringkasnya, PKR sebuah parti yang amat tenat. Hampir kesemua pengasas parti ini telah meninggalkan parti dan menyokong UMNO. Sudahlah tiada matlamat perjuangan yang jelas, retak dalam parti itu juga sedang menunggu belah. Masing-masing sedang menilik nasib Ketua Umum mereka. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Yang mahu terus timbul, mereka menggunakan pelbagai cara untuk menyucikan Ketua Umum mereka. Yang petah berceramah menggunakan pentas Islam untuk menjaja pelbagai konsep fikah – daripada fiqh maqasid kepada qazaf – semata-mata untuk membela Ketua Umum mereka. Bagi yang berfikiran ultraliberal, mereka mengambil kesempatan atas kemelut moral yang berlaku untuk mewajarkan pelbagai amalan yang bertentangan dengan budaya masyarakat Timur atas nama kebebasan. Mutakhir ini, pemikiran pluralisme agama yang amat mengelirukan umat Islam juga cuba dimurnikan oleh golongan ini semata-mata untuk mewajarkan pemikiran Ketua Umum mereka yang semakin bercelaru. 18. Walaupun satu pihak dalam PKR menggunakan hujah agama manakala satu pihak lagi menggunakan hujah ultraliberal melampau, matlamat mereka cuma satu, iaitu mempertahankan Ketua Umum mereka. Dari satu segi, PKR dulu, kini dan selamanya tidak pernah berganjak daripada tujuan penubuhannya, iaitu mempertahankan seorang individu. Untuk itu syabas kita ucapkan kepada PKR, walaupun sebenarnya: Hisap rokok dalam kelambu, Terbit asap menjadi abu PKR umpama golok kayu Tetak tak lut gadai pun tak laku. 19. Lain pula halnya dengan PAS. Suatu ketika dahulu, PAS begitu komited dengan agenda mendirikan negara Islam. Bagi mereka, Islam adalah ghayah atau matlamat dan PAS adalah wasilah atau alat untuk mencapai matlamat. Mereka begitu komited sehinggakan sanggup menuduh sesiapa sahaja yang tidak menyokong perjuangan parti itu sebagai kafir. Malah, UMNO dikatakan parti taghut kerana tidak menyokong agenda negara Islam acuan PAS. Akibatnya, umat Islam berpecah dan berbalah sesama sendiri lantaran fatwa songsang PAS. Saudara dan Saudari Sekalian, 20. Mutakhir ini, tak semena-mena PAS sudah tidak lagi memperkatakan tentang matlamat menubuhkan negara Islam. Tatkala sekali-sekala terpacul perkataan negara Islam dari mulut pemimpin PAS, berpakat-pakat pemimpin PKR dan DAP mengecam PAS. Bagi mereka, negara Islam bukanlah matlamat pakatan politik yang mereka bentuk. 21. Anehnya, PAS tidak pula mengatakan PKR dan DAP sebagai parti taghut. Jauh panggang dari api, PAS sebaliknya mengangkat kedua-dua parti itu sebagai rakan sekongkol dan sekedudukan mereka. Negara Islam sudah tidak ada lagi dalam kamus politik PAS. Ternyata, tsunami politik yang melanda dalam pilihan raya umum lalu telah menghanyutkan istilah negara Islam dari kamus politik PAS. Bagi PAS, dalam menghadapi lanskap politik baharu ini, sokongan DAP dan PKR lebih penting berbanding mempertahankan prinsip perjuangannya sendiri. 22. Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS Ganti UMNO seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan UMNO kerana UMNO tiada galang-ganti. Yang sebenarnya berlaku ialah DAP Ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja. Pemimpin DAP menyebut dua tiga patah ayat al-Qur'an walaupun salah, PAS mempertahankan. Pemimpin DAP menggelar dirinya Khalifah Umar Abdul Aziz, PAS memberi pengiktirafan. Pemimpin DAP berceramah, penyokong PAS bertakbir. Tetapi apabila PAS menyebut tentang Negara Islam, pemimpin DAP lah yang pertama sekali mengecam PAS. Dan apabila dikecam, PAS diam seribu bahasa. Apa maknanya ini? Maknanya, DAP lah yang memberi definisi kepada Islam yang dianuti oleh PAS. DAP lah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS? 23. Untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, PAS mengemukakan agenda Negara Berkebajikan. Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan. Malang bagi PAS kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka. 24. Walau apa pun, kita hendak bertanya kepada PAS. Negara Berkebajikan bagaimana yang mereka ingin wujudkan? Yang kita tahu, bekalan air bersih pun tidak mampu mereka sediakan kepada rakyat Kelantan. Bukankah air adalah keperluan rakyat paling asas yang mesti dipenuhi oleh mana-mana kerajaan. Justeru, kita nak katakan kepada PAS, kalau bekalan air bersih pun tak dapat disediakan, janganlah simpan angan-angan hendak wujudkan Negara Berkebajikan. Selesaikan dahulu masalah air di Kelantan, kemudian barulah bercakap soal Negara Berkebajikan. 25. Sebenarnya PAS bukanlah beriya-iya benar hendak mewujudkan Negara Berkebajikan. Mereka sendiri pun tak faham apa maksud Negara Berkebajikan. Slogan Negara Berkebajikan hanyalah helah politik PAS untuk menutup kelemahan sendiri kerana tergadainya matlamat untuk mendirikan negara Islam. Apa yang penting bagi PAS, slogan Negara Berkebajikan boleh diterima oleh DAP. Keresahan Melayu Saudara dan Saudari Sekalian, 26. Perkembangan mutakhir ini semakin meresahkan orang Melayu. Mereka tertanya-tanya apakah nasib masa depan umat Melayu di tanah air sendiri. Terbangunkah ekonomi Melayu dan Bumiputera jika apa sahaja usaha untuk membantu mereka dianggap sebagai rasis dan berpilih kasih? Apakah orang Melayu dan Bumiputera akan mendapat bahagian yang adil dalam pengagihan kekayaan? Wujudkah peluang-peluang ekonomi untuk orang Melayu dan Bumiputera dalam dunia yang semakin kompetitif? 27. Bagaimana dengan peluang pendidikan untuk anak-anak Melayu dan Bumiputera? Masihkah boleh mereka bergantung harap kepada biasiswa daripada kerajaan? Apakah ada ruang untuk mereka membangunkan potensi diri dalam rancangan pembangunan modal insan negara? Bagaimana pula dengan peluang-peluang pekerjaan untuk mereka? Selain itu, apakah kedudukan istimewa agama Islam akan terus terjamin? Terbelakah agama Islam jika serangan bertubi-tubi kepada institusi-institusi Islam berterusan? Terpeliharakah kesucian Islam jika parti seperti DAP lebih berpengaruh mentakrifkan Islam? 28. Seterusnya, orang Melayu bertanya, akan kekalkah kuasa politik Melayu jika pembangkang terus melakukan serangan demi serangan terhadap institusi-institusi Melayu? Mampukah UMNO untuk membela nasib umat Melayu? Mampukah UMNO untuk terus bersuara mewakili mereka seperti dahulu? Mampukah UMNO untuk terus memenuhi harapan orang Melayu? Atau adakah UMNO akan terus terperangkap dalam psikologi politik pasca-tsunami 2008 yang meresahkan orang Melayu? UMNO Adalah Jawapan Kepada Keresahan Melayu 29. Sebenarnya, jawapan kepada persoalan-persoalan ini ada pada kita semua. Sebagai ahli UMNO, sebagai pemimpin UMNO, kita semua memikul amanah besar untuk terus membela agama, bangsa dan negara yang menjadi asas dan matlamat perjuangan UMNO. 30. Hakikatnya, UMNO telah bangkit daripada rempuhan tsunami 2008. Kita tidak pernah menyerah kalah kepada tujahan kuasa politik pembangkang yang ingin merobek segenap sudut perjuangan UMNO dalam membela orang Melayu. Ketika umat Melayu resah memikirkan apakah ada pembelaan terhadap mereka dalam sektor ekonomi, kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO tanpa rasa apologetik telah menubuhkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Presiden selaku Perdana Menteri. MTAB bertanggungjawab untuk memastikan penyertaan orang Melayu dan Bumiputera dalam sektor ekonomi terus diperkasa. Lantaran itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) juga ditubuhkan untuk menyelaraskan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi yang semakin kompetitif. 31. Terkini, YAB Perdana Menteri telah pun melancarkan Program Transformasi Ekonomi Bumiputera dengan memberi tumpuan kepada tiga fokus strategik iaitu, (i) pengukuhan pendidikan serta pembinaan keupayaan Bumiputera; (ii) pembaharuan instrumen dasar dan rasionalisasi sistem penyampaian; dan (iii) penumpuan kepada pemerolehan, penciptaan dan pembangunan perniagaan berskala besar. Tiga fokus strategik ini diharapkan dapat melonjakkan pencapaian Bumiputera dalam bidang ekonomi. Selain itu, penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi akan terus dipertingkatkan melalui pelbagai projek pemula di bawah Program Transformasi Ekonomi dan juga melalui Program Transformasi Luar Bandar. Semua ini adalah kesinambungan daripada usaha-usaha yang telah dilakukan UMNO selama ini dalam perjuangan mengangkat martabat ekonomi Bumiputera. 32. Begitu juga ketika orang Melayu resah memikirkan sama ada pendidikan anak-anak mereka akan terus terbela, pemimpin UMNO tegas mempertahankan hak pelajar Melayu dan Bumiputera yang berkelayakan untuk mendapatkan biasiswa dan lain-lain bantuan pendidikan daripada kerajaan. Terbaru, kita telah menubuhkan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk membantu anak-anak Bumiputera mendapatkan pembiayaan pendidikan. Dengan dana sebanyak 500 juta ringgit, kita mensasarkan 12,000 pelajar Melayu dan Bumiputera akan menerima manfaat dalam tempoh 5 tahun akan datang. Semua ini adalah manifestasi komitmen UMNO untuk memastikan anak-anak Melayu dan Bumiputera yang cemerlang dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan berjaya dalam kehidupan. 33. Yakinilah, sebagai parti yang bertanggungjawab, UMNO akan terus membela hak anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk mendapatkan segala bantuan pendidikan yang layak bagi diri mereka. Pada masa yang sama, atas dasar keadilan, kita juga tidak menafikan hak anak-anak kaum-kaum lain untuk mendapat kemudahan yang sama. Inilah prinsip al-'adl wal ihsan yang ditekankan dalam agama kita. 34. UMNO juga akan terus mempertahankan institusi-institusi agama dari terus dipersenda dan diperleceh. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama akan dijunjung. Kewibawaan institusi mahkamah syariah, agensi penguatkuasa agama dan undang-undang Islam akan terus dibela. Pendidikan Islam akan diperkasakan lagi. Kerajaan Pusat komited untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri dari segi pembangunan infrastruktur, kurikulum, latihan guru dan sebagainya. Bantuan akan diberikan kepada semua sekolah agama melangkaui batas ideologi politik. Ini adalah keikhlasan UMNO untuk memastikan pendidikan Islam terus bermartabat di negara kita. 35. Fokus kepada pendidikan Islam adalah selari dengan pendekatan wasatiyyah UMNO, iaitu sederhana dan berimbang, dalam melakukan lonjakan terhadap Islam dan hubungannya dengan pembangunan dan ketamadunan. Al Quran memberikan asas tentang ummatan wasata sebagai strategi terbaik membangunkan Islam, bukannya pendekatan ekstrem yang hanya terpancar dengan retorik dan kenyataan-kenyataan yang umum sifatnya dan tidak memberi kesan kepada pembangunan institusi dan sistem. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah ayat 143: وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬اۗ Yang bermaksud: Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. 36. Dengan pendekatan wasatiyyah ini kita seimbangkan pembangunan rohani dan pembangunan fizikal, antara tuntutan fardhu 'ain dan fardhu kifayah. Kedua-duanya adalah dituntut oleh Islam. Dalam konteks ini, Islam harus diberi makna yang luas. Ianya bukan sahaja satu sistem kepercayaan, tetapi juga cara hidup yang mencakupi segenap segi kehidupan. Al-Quran dalam Surah Al-Asr menyebutkan إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ yang memberi maksud orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang melakukan amal soleh. Ertinya, syi'ar Islam tidak hanya terpancar melalui amalan ritual semata-mata, tetapi juga melalui amal soleh dan pembangunan yang membawa kesejahteraan hidup manusia. 37. Inilah komitmen UMNO. Kita mengambil pendekatan seimbang dan bijaksana supaya umat Melayu diperkasa dan Islam dimartabat. Ini jugalah tekad politik UMNO dalam memastikan umat Melayu semakin maju dan berwibawa dalam segala bidang dan lapangan. 38. Namun sebagai parti tunjang di dalam Barisan Nasional, UMNO telah membuktikan komitmen mensejahterakan rakyat merentasi batas kaum. Dengan konsep perkongsian kuasa, UMNO telah membuktikan keikhlasannya memimpin dalam kepelbagaian bangsa dan kelainan agama. Sebagai contoh, sewaktu kita memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru, walaupun kita dikritik hebat, hakikatnya limpahan nikmat turut sama dikongsi oleh semua kaum. UMNO tetap sedar bahawa bagi meneruskan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara, realiti landskap politik negara yang majmuk sifatnya mesti dipelihara. Jangan kita tanamkan kebencian kepada kaum-kaum lain. Jangan kita lemparkan kehinaan kepada agama-agama lain. Jangan kita titipkan prasangka kepada budaya-budaya lain. Kita bukan rasis seperti DAP. Pilihanraya Umum Ke-13 Saudara dan Saudari Sekalian, 39. Saya mengambil sedikit masa untuk menyentuh tentang persoalan-persoalan yang berlegar di benak fikiran orang Melayu, tentang beberapa isu yang amat penting kepada kelangsungan mereka, supaya generasi muda dan sayap-sayap parti memahami apakah psikologi dan minda Melayu yang kita hadapi hari ini. Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihanraya umum ke-13 adalah ibu segala pilihanraya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain? 40. Sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita? Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri?Jawapannya tentu sekali tidak. 41. Ayuh, gerakkan seluruh kekuatan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO untuk menjadi benteng parti. Datuk Seri Shahrizat, Pergerakan Wanita adalah srikandi UMNO. Pengaruh wanita amat kuat dalam masyarakat. Setiap undi wanita amat penting kepada UMNO. Perkukuhkan gerakerja Jalinan Rakyat. Perhebatkan aktiviti Skuad Sayang dengan pendekatan yang tersusun dan teratur. Kajian sikap mesti tepat, penyelarasan dan kerjasama dengan kepimpinan bahagian mesti mantap. 42. Saudara Khairy, andalah panglima perang paling muda dalam UMNO. Gerakkan barisan pemudamu, jadilah benteng UMNO yang kukuh. Turun ke akar umbi, dekati dan selamilah aspirasi generasi seangkatan denganmu. Persiapkan hulubalang pemuda untuk bertarung dalam peperangan yang paling perit dalam sejarah parti kita. Bersedialah dengan kekuatan mental dan fizikal. Biar putih tulang, jangan putih mata! 43. Landskap politik kini adalah milik orang muda. UMNO komited untuk memberikan keyakinan, kepercayaan dan ruang kepada generasi muda. Kepada pemimpin-pemimpin UMNO, berilah laluan kepada generasi muda untuk sama-sama mencurahkan bakti kepada parti. Bimbinglah mereka. UMNO tidak akan menjadi parti yang kekal selama-lamanya tanpa dokongan orang muda. 44. Datuk Rosnah, Puteri adalah permata UMNO. Pimpinlah Puteri dengan kesatuan hati dan matlamat. Dalam kelembutan Puteri, serlahkan peranan anda untuk membawa golongan wanita muda ke pangkuan UMNO. Bingkaslah untuk menarik sokongan rakyat kepada parti. Perhebatkan program Puteri di segenap peringkat. Kembalikan kegemilangan Puteri sebagai sayap tempat bernaung remaja dan wanita muda untuk bersama-sama mencorak hala tuju Negara. Laksanakan peranan anda dengan berkesan supaya parti kita menjadi lebih kuat. 45. Atas segalanya, kitalah yang menentukan kekuatan parti kita. Jika kita bersatu hati (wahdatul qalb), bersatu minda (wahdatul fikr), bersatu amal (wahdatul amal) dan bersatu matlamat (wahdatul hadf) parti kita akan kuat. Ketepikan perbezaan dan persengketaan. Lemparkan segala sifat tercela jauh ke lautan hitam. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Yakinlah, perjuangan ini adalah jihad untuk agama, bangsa dan negara. Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak. Percayalah, pilihanraya umum nanti mempunyai makna yang cukup dalam kepada kelangsungan kita. Pilihanraya ini adalah medan jihad dan saudara-saudari adalah para mujahid dan mujahidah. 46. Calon adalah senjata parti untuk menang. Berilah sepenuh keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya. Yang penting, calon kita mesti berkaliber, berpendidikan, berwibawa, berjiwa rakyat, bersih, jujur, amanah, tinggi moralnya dan diterima oleh rakyat. Akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan. Berilah sokongan padu kepada setiap calon. Gerakkan jentera untuk membantu mereka. 47. Tumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan pemimpin. Marilah kita bersatu menjayakan agenda transformasi yang dibawa oleh YAB Presiden. Pendekatan berani YAB Presiden dalam memperkenalkan transformasi politik, dalam menunjangi perubahan, perlu disambut oleh segenap lapisan ahli-ahli UMNO. 48. Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan 'mandikan' calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihanraya. Ingat, pilihanraya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihanraya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti. 49. Sebagai sebuah organisasi, UMNO tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan. UMNO bukanlah malaikat. Kita insaf dan sedar. Kita sentiasa mengorak langkah melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan. 50. Dalam perjuangan ini, UMNO tidak boleh bersendirian. Ajaklah, serulah, panggillah, pujuklah seluruh umat Melayu untuk bersama kita. Raih setiap sokongan dan keyakinan seluruh persatuan Melayu, gabungan Melayu, badan-badan ekonomi, sosial, pendidikan, agama, belia, budaya untuk bersama kita di bawah panji UMNO dalam mempertahankan survival umat Melayu. UMNO melihat seluruh organisasi Melayu sebagai pejuang. Mereka ada sumbangan dan peranan yang besar. Ajaklah penyokong pembangkang yang sudah hilang kepercayaan kepada perjuangan parti mereka yang sia-sia untuk bersama-sama kita. Demi kelangsungan umat Melayu, marilah kita bersatu. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Ali Imran Ayat 103: وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَاۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ Yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya. 51. Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah ke seluruh 222 Parlimen, 576 Dewan Undangan Negeri dan 7470 Pusat Daerah Mengundi. Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ianya akan menentukan kemenangan kita. 52. Beri tumpuan kepada masalah rakyat. Rasai denyut nadi mereka. Dengar rintihan dan keluhan mereka. Bantulah mereka. Kita adalah mata, telinga dan suara rakyat. Paling utama, kita mesti bertanggungjawab. Lunaskan tanggungjawab moral kita sebagai pejuang UMNO dengan membantu rakyat. 53. Membujur lalu melintang patah, jangan hanya dilaungkan tapi buktikan kita tidak rela membiarkan pembangkang terus menghina perjuangan parti kita. Kita tidak akan berganjak walau seinci daripada memastikan rakyat tidak diperdaya dan diperalatkan. Patah sayap bertongkat paruh, Patah paruh bertongkat siku, Patah siku bertongkat dagu, Patah dagu bertongkat kuku. 54. Medan perang di hadapan kita. Kita tiada banyak pilihan. Maralah ke hadapan dengan semangat kental Tariq bin Ziyad, panglima muda yang menakluki Andalusia. Ketika menyeberangi Selat Gibraltar dengan bilangan tentera yang kecil, Tariq berkata kepada tenteranya: "Dengarlah semua! Ke mana kamu semua dapat lari? Lihat apa yang menanti kamu. Lautan di belakang dan musuh di hadapan. Pada diri kamu semua hanya tinggal keikhlasan dan kesabaran ... Musuh di hadapan sedang menanti dengan pasukan tentera dan peralatan yang lengkap ... Ingat, perlindungan daripada pihak musuh hanyalah pedang-pedang di tangan kamu. Sekiranya pasukan kita lambat mencapai kemenangan, peluang keemasan untuk terus hidup akan hilang. Ketakutan yang melanda pihak musuh berganti menjadi berani untuk menentang pihak kita. Oleh itu, berjuanglah bersungguh-sungguh bagi mempertahankan nyawa kamu". 55. Ayuhlah srikandi UMNO! Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah permata UMNO! Rapatkan saf perjuangan parti! Berdiri teguhlah di belakang YAB Presiden parti. Bangkitlah pertahankan kelangsungan umat Melayu! Bangunlah menjulang panji perjuangan! Maralah tewaskan musuhmu di hadapan. Pastikan kemenangan milik kita! |
Bil Perhimpunan Aman akhirnya berjaya diluluskan... Posted: 29 Nov 2011 03:12 AM PST Rang Undang-undang Perhimpunan Aman akhirnya diluluskan Dewan Rakyat selepas perbahasan kira-kira tiga empat jam oleh enam anggota parlimen. Rang undang-undang itu - yang mengharamkan demonstrasi jalanan dan membenarkan perhimpunan lain dengan beberapa syarat ketat - lulus dengan undi suara ketika ketiadaan anggota Pakatan Rakyat yang keluar dewan sebelumnya. Rang undang-undang itu dibahaskan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan P Kamalanathan (BN-Hulu Selangor). Ia kemudiannya diikui penggulungan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz. Ahli parlimen Pakatan bertindak keluar dewan hari ini bagi membantah tindakan kerajaan yang enggan membawa rang undang-undang perhimpunan aman untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa terpilih. Mereka juga membantah keputusan Yang dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang hanya membenarkan ahli parlimen kanan pembangkang untuk berbahas. Pada 24 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan rang undang-undangi tu di Parlimen yang didakwanya meliputi hak bukan sahaja kepada penganjur dan peserta untuk menyertai perhimpunan secara aman tanpa senjata malah turut mengambil kira kepentingan awam dan masyarakat setempat. Rang undang-undang berkenaan dibacakan untuk kali kedua selepas dibentang untuk bacaan kali pertama pada 24 November lalu. Bagaimanapun, bil itu menerima bantahan daripada pelbagai pihak dan dikatakan mencabuli semangat sebenar perhimpunan aman. Ia dikatakan lebih teruk daripada Seksyen 27 Akta Polis. Antaranya, didakwa mengenakan sekatan yang terlalu banyak dan memberi terlalu banyak kuasa budi bicara kepada pihak polis. Selain itu, rang undang-undang itu juga memperuntukan denda RM20,000 terhadap peserta perhimpunan berbanding RM2,000 dalam Akta Polis, jika sabit kesalahan. Jumaah lalu, Kabinet bersetuju untuk melakukan enam pindaan terhadap rang undang-undang itu selepas mendapat bantahan beberapa pihak termasuk pembangkang dan masyarakat sivil. Malaysiakini |
Ahmad Maslan macam Hitler, ‘lidah bercabang’ dan... bodoh? Posted: 29 Nov 2011 01:01 AM PST KUALA LUMPUR, 29 Nov — Pakatan Rakyat menyifatkan Umno kini bertindak seolah-olah macam Hilter dan "lidah bercabang" apabila Ketua Penerangannya mendakwa orang Melayu akan hilang segala kuasa jika perikatan tiga tahun itu memenangi jika banyak kerusi dalam pilihan raya umum ke-13. Dalam kenyaatan pagi tadi, Datuk Ahmad Maslan dipetik berkata orang Melayu akan hilang segala hak dan kuasa mereka sekiranya Pakatan Rakyat memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang. Justeru, Setiausaja Agung DAP Lim Guan Eng memberitahu The Malaysian Insider, kenyataan dibuat oleh pemimpin Umno itu berbaur hasutan dan boleh mencetuskan ketegangan kaum. "Ini serupa dengan (kenyataan) Hitler mengenai ancaman orang Yahudi dan musuh-musuh dalaman (di Jerman)," kata Lim (gambar) yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dengan merujuk kepda Adolf Hitler yang mengetuai Jerman ketika era Perang Dunia Kedua. Ahmad berkata, senario paling buruk berkenaan masa depan orang Melayu negara ini ialah apabila wujud "Parlimen tergantung" seperti di Australia, di mana Barisan Nasional tidak mampu melaksanakan agenda polisi-polisi ekoran hanya majoriti mudah. "Jika wujud Parlimen tergantung macam di Australia, katakan 112 kerusi bagi kerajaan berbanding 110 bagi pembangkang, keadaan paling buruk akan berlaku. "Bahasa Melayu akan hilang (kedudukan), kata selamat tinggal kepada Kesultanan Melayu, malah pembangkang DAP tidak akan hormati institusi diraja... mereka tidak pernah terima gelaran diraja meskipun mereka ditawarkan," kata beliau pada satu forum parti sempena perhimpunan agung tahunan 2011. "Kata selamat tinggal kepada Islam sebab mereka (DAP) adalah ejen Kristian... dalam bercakap mengenai agenda Melayu, kita tidak boleh lari daripada ini," kata Ahmad. Mengulas kenyataan itu, Lim mendakwa Umno seolah-olah mahu memainkan peranan McCarthy yang baru, merujuk kepada bekas senator Amerika Syarikat Joseph McCarthy, pemimpin antikomunis pada era 1950-an. Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menegaskan kenyataan Ahmad pagi tadi menunjukkan Umno masih dibayangi agenda rasis dan meneruskan budaya menyebarkan ketakutan di kalangan orang Melayu menjelang pilihan raya umum ke-13. "Kami akan bekerja keras untuk mendapatkan majoriti di Parlimen," kata beliau. Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kenyataan Ahmad yang juga timbalan menteri dalam kerajaan Datuk Seri Najib Razak sangat jelas mahu terus mengumpan PAS selepas berkali-kali gagal menawan parti Islam itu. "Ini yang dikatakan kenyataan lidah bercadang. Bagaimana mereka hendak kata hendak mengenai kedudukan MCA, MIC dan Gerakan (dalam Barisan Nasional)?" kata beliau dengan menyifatkannya sebagai pendirian ketika menghampiri garisan akhir. Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini berkata parti pemerintah peringkat pusat ini sudah keliru dengan aspirasi progresif seperti Datuk Seri Najib Razak, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah. "Saya sudah pasti mereka (Khairy dan Saifuddin) sedang menyumpah beliau sekarang," kata beliau. Bekas Menteri Besari Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, yang kerajaan negeri pimpinannya tumbang dua tahun lalu berkata, kenyataan Ahmad itu sebenarnya mahu mencetuskan kebimbangan di kalangan orang Melayu meskipun Lim sudah pun mengatakan bahawa mustahil bagi "seorang Cina menjadi perdana menteri." The Malaysian Insider |
Akta Himpunan : Najib jadikan Zimbabwe, Myanmar sebagai rujukan? Posted: 29 Nov 2011 12:11 AM PST KUALA LUMPUR, 29 Nov: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merujuk kepada Zimbabwe dan Myanmar berhubung himpunan aman tanpa senjata. Menurutnya, di ambang Hari Malaysia yang ke-48 pada 15 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis untuk menyelaraskannya dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan rakyat untuk 'berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata', dan supaya mematuhi norma-norma antarabangsa. "Malangnya, tidak disangka bahawa negara-negara 'antarabangsa' yang dirujuk beliau merupakan negara-negara Zimbabwe dan Myanmar," katanya. Namun sekarang, kata beliau nampaknya negara Myanmar pun sudah menjadi sebuah negara demokratik yang lebih bebas jika dibandingkan dengan Malaysia. "Rang Undang-Undang yang baru diluluskan oleh Parlimen Myanmar hanya memerlukan pemberitahuan awal kepada pihak polis selama 5 hari, manakala Rang Undang-Undang yang dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini memerlukan pemberitahuan yang jauh lagi awal," ujarnya yang juga ahli Parlimen Bagan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perhimpunan Awam di Dewan Rakyat, petang ini. Katanya, sungguhpun Perdana Menteri mengumumkan pindaan akan dibuat agar notis pemberitahuan dipendekkan daripada 30 hari kepada 10 hari, ia jauh lebih panjang daripada apa yang diamalkan daripada sebuah negara berkuku besi seperti Myanmar. "Adakah Malaysia kini lebih teruk daripada Myanmar?" soalnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Ini, tegasnya jelas membuktikan bahawa Program Transformasi Politik yang diuar-uarkan adalah satu penipuan semata-mata. Dalam ucapannya tempoh hari, ujarnya Perdana Menteri telah menyatakan bahawa rang undang-undang itu akan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan tanpa bersenjata, tetapi hakikatnya ia adalah satu cubaan untuk meningkatkan kawalan dan larangan ke atas hak rakyat untuk berhimpun secara aman. Beliau berkata, jelas juga bahawa rang undang-undang yang dicadangkan intu telah mengambil petikan-petikan yang berbunyi merdu daripada undang-undang negara demokratik lain seperti Queensland dan United Kingdom, dan telah memutar-belitkannya kepada alat untuk menindas rakyat. Justeru, beliau ingin bertanyakan sama ada rang undang-undang itu diciplak daripada model Queensland Peaceful Assembly Act 1992 dan sekiranya ya, mengapa tidak mengikuti keseluruhannya yang berteraskan hak asasi manusia. "Sebaliknya yang baik tidak diikuti iaitu rang undang-undang ini telah ambil yang keruh, buang yang jernih pula," ujarnya lagi. Justeru, beliau menegaskan DAP dan PR menentang Rang Undang-undang Perhimpunan "Haram" yang akan mengharamkan hak berhimpun, memberikan kuasa mutlak kepada polis yang memihak kepada BN untuk membenarkannya atau tidak dan menghakis lagi hak asasi manusia di Malaysia. "Jangan cemarkan imej negara Malaysia dengan meluluskan Rang Undang-undang ini. Rang undang-undang ini tidak boleh diselamatkan dengan apa-apa pembetulan atau pindaan, dan harus ditarik balik dengan serta merta dan digubal semula," katanya. Harakahdaily |
Gambar : Ribuan Peguam dan orang ramai berhimpun bantah akta Perhimpunan Posted: 28 Nov 2011 09:12 PM PST Peguam-peguam di seluruh negara yang berada di bawah naungan Majlis Peguam Malaysia sedang berhimpun di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur bagi meluahkan bantahan terhadap penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2011. Rang undang-undang yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini untuk bacaan kali kedua dijangka akan diundi pada malam ini. Sambil menyifatkan rang undang-undang itu akan merampas hak rakyat yang dijamin oleh perlembagaan, presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee berkata peguam di seluruh negara tidak sepatutnya hanya menyaksikan kebebasan rakyat disekat tanpa membuat sebarang tindakan. Justeru, Majlis Peguam Malaysia telah mengerahkan anggotanya supaya berkumpul di Kelab Taman Perdana Diraja dan akan berjalan kaki menuju ke Parlimen sebagai menunjukkan bantahan mereka meskipun bersetuju membuat beberapa pindaan kecil. Perarakan yang dinamakan 'Walk for Freedom', akan menyaksikan peguam-peguam berjalan sejauh kira-kira dua kilometer menuju ke bangunan Parlimen bermula jam 11.30 pagi ini. Sebuah lagi kumpulan pendesak 'Occupy' juga dilapor akan berhimpun selama tiga hari berturut-turut di hadapan bangunan Parlimen bagi menunjukkan bantahan yang sama. Laporan penuh sila baca di SINI, lagi gambar sila lihat di SINI |
PANAS!! Najib arahkan fitnah disebar untuk burukkan PR? Posted: 28 Nov 2011 07:51 PM PST 'Mencipta dan menyebarkan fitnah yang boleh diterima oleh pengundi dengan cara mencipta persepsi negatif terhadap pembangkang'.. ini yang tertulis sebagai antara perancangan yang terdapat dalam buku Panduan Gerakerja Pilihanraya Umum ke 13 UMNO, sila klik image dibawah untuk paparan lebih jelas.. Oleh kerana Presiden UMNO ialah Najib, maka sebagai Presiden, Najib bertanggungjawab atas arahan ini.. Selama ini Umno didakwa telah menggunakan taktik kejam untuk menipu, menyebarkan fitnah dan menanam perasaan takut di kalangan orang Melayu serta menggunakan ugutan. Ia dikatakan sengaja dibuat dengan tujuan untuk mengaburkan mata rakyat daripada skandal-skandal kewangan dan rasuah yang telah mengakibatkan kehilangan beratus-ratus bilion ringgit. Sebagai bukti menyokong dakwaan tersebut, Anwar Ibrahim mendedahkan Buku Panduan Pilihanraya Umum yang 'Sulit', kononnya telah dikeluarkan oleh Umno secara rasminya kepada jentera pilihanraya mereka. Dalam kandungan buku tersebut, diberikan arahan rasmi supaya menyebarkan fitnah seberapa banyak yang boleh untuk menyakinkan pengundi terutamanya orang-orang Melayu. Pendedahan ini dibuat semasa Kongres Tahunan Keadilan baru-baru ini, sewaktu Anwar Ibrahim menyampaikan ucapannya. Anwar menjelaskan, menyatakan buku panduan tersebut telah diterima dari seorang ahli Umno yang menyokong Keadilan. Ahli Umno tersebut menyatakan ramai lagi ahli Umno yang sudah muak dan benci dengan Umno, tetapi terpaksa menunjukkan sokongan atas sebab-sebab tertentu. Menurut Anwar Ibrahim lagi, buat sekarang ini buku panduan tersebut telah diserahkan kepada YB Azmin Ali untuk tindakan selanjutnya. Sumber : Utara News |
Faktor ekonomi mungkin paksa Najib panggil PRU-13 awal Posted: 28 Nov 2011 07:27 PM PST KUALA LUMPUR, 29 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemungkinan akan dipaksa untuk memanggil pilihan raya umum ke-13 awal tahun depan bagi mengurangkan kesan ke atas kedudukan politik parti pimpinannya ekoran ramalan kemerosotan persekitaran ekonomi, kata firma Nomura dalam laporannya mengenai prospek 2012 Malaysia. Ketika spekulasi menyebut Najib akan memanggil pilihan raya umum dalam tempoh enam bulan akan datang, mandat semasa kerajaan pusat hanya akan berakhir April 2013. Kebanyakan parti mengatakan bahawa sudah bersedia ke arah pilihan raya umum. Parti teras Barisan Nasional pimpinan Najib (gambar) mengadakan perhimpunan tahunannya bermula hari ini, dengan fokus ke atas persiapan menghadapi pilihan raya umum. Firma penyelidikan Jepun itu menambah, pertambahan pengundi baru sejak pilihan raya umum 2008 bermakna akan wujud persaingan sengit dalam mendapatkan sokongan. "Detikan jam bergerak dengan cepat. Spekulasi memuncak bahawa pilihan raya akan datang boleh diadakan dalam beberapa bulan lagi," kata laporan itu. Firma itu menambah, selaku ekonomi berorientasikan eksport ketiga utama di Asia selepas Hong Kong dan Singapura, Malaysia terdedah kepada kesan kemungkinan kelembapan di China. "Dalam senario sedemikian, Malaysia akan berakhir dengan kedudukan mudah terjejas," katanya sambil menambah, tiga enjin pertumbuhan iaitu ekonomi sektor awam dan swasta, eksport pengeluaran dan sumber-sumber komoditi kemungkinan akan berada di kedudukan yang lebih lemah. Bagaimanapun kerajaan mempertahankan bahawa ekonomi akan kekal tidak mudah luntur meskipun wujudnya masalah fiskal di negara-negara maju di Eropah. Laporan Nomura juga berkata, dengan pengundi-pengundi layak meningkat sebanyak 1.9 juta kepada 16.3 juta pada akhir suku pertama tahun dan peningkatan pengundi-pengundi layak boleh mencecah 3.2 juta pada suku pertama 2013. "Dengan mengambil kira 2.58 juta tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum 2008, kami menganggarkan bahawa bilangan mereka sebenarnya mengundi boleh mencecah 9.43 juta, satu bilangan yang signifikan, yang pada pandangan kami kemungkinan akan meningkatkan saingan memandangkan perikatan yang memerintah hanya menang dengan majoriti 384,688 undi pada 2008," kata laporan itu. Nomura juga menyebut kemungkinan bukan semua pengundi yang layak akan mendaftar sebagai pengundi dalam pilihan raya umum ke-13. The Malaysian Insider |
Video Ucapan DSAI di Kongres Nasional Tahunan ke 8 Posted: 28 Nov 2011 04:14 PM PST Ucapan DS Anwar Ibrahim di Kongres Nasional Tahunan KeAdilan yang ke 8 di Johor baru-baru ini.. Part 1 of 4 Part 2 of 4 Part 3 of 4 Part 4 of 4 Sila lihat di SINI |
You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan