Ahad, 27 November 2011

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Anwar: RUU Perhimpunan Aman sangat lemah, Najib patut batal saja

Posted: 26 Nov 2011 09:53 PM PST

November 27, 2011

    Myanmar telah meluluskan undang-undang baru baru-baru ini yang membenarkan protes jalanan dan syarat-syarat yang jauh lebih kecil berbanding Rang Undang-undang Perhimpunan Aman dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di bawah transformasi politik beliau.
JOHOR BARU, 27 Nov — Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Barisan Nasional (BN) tidak meneruskan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang digubal dengan begitu lemah sehingga memburukkan lagi kebebasan rakyat negara ini.

Ketua Pembangkang itu mendakwa pentadbiran Najib kini mahu rang undang-undang itu dibahaskan dengan hanya melakukan pindaan ke atas tujuh peruntukan, dalam beberapa hari selepas dibentangkan di Parlimen.

Ketika ditemui The Malaysian Insider di sini, Anwar (gambar) berkata, rang undang-undang itu sewajarnya ditarik balik manakala Seksyen 27 Akta Polis, yang memerlukan permit polis untuk mengadakan perhimpunan awam, dimansuh tanpa membawa sebarang akta baru.

"(Perkembangan) ini membuktikan ia (Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011) bukan satu perundangan yang digubal dengan baik. Sekarang mereka cuba meneruskan perbahasan dengan membawa pindaan.

"Anda tidak boleh berbuat demikian dan memutuskan pindaan dalam waktu yang singkat begitu sahaja," kata Ketua Umum PKR ini merujuk kepada kenyaatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz semalam bahawa Kabinet telah bersetuju untuk membawa beberapa pindaan di peringkat jawatankuasa ketika dibahaskan di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menambah, "tidak ada keperluan untuk mengawal selia demonstrasi" di negara ini.

"Sudah ada undang-undang untuk menjamin keselamatan awam, jadi mansuhkan saja Seksyen 27," katanya lagi.

Dalam kenyataannya semalam, Nazri berkata Kabinet telah memberi lampu hijau untuk meminda tujuh peruntukan dalam Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011.

Keputusan itu diambil dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, kata Nazri sambil menambah, "di mana kita telah memaklumkan kepada Pejabat Peguam negara iaitu rang undang-undang ini apabila dibahas hendaklah diberikan juga kesempatan membuat pindaan . . . pemindaan setelah bacaan kali pertama dibuat dan dilihat dan dikaji oleh ahli-ahli Parlimen dan kalau sekiranya perlu ada pindaan yang dibuat maka ini hendaklah diberikan . . . pejabat Peguam Negara akur dengan kehendak jemaah menteri."

Rang undang-undang itu yang digubal ekoran keputusan pentadbiran Najib memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis mendapat kritikan banyak pihak termasuk pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan.

Katanya, salah satu pindaan yang dipersetujui ialah penganjur perhimpunan awam perlu memberi notis 10 kepada polis berbanding 30 hari yang diperuntukkan dalam rang undang-undang terbaru ini.

Selain itu di bawah pindaan yang disyorkan pihak penganjur akan dimaklumkan keputusan oleh polis dalam masa 24 jam berbanding 48 jam diperuntukkan dalam Seksyen 12(1).

Kritikan mendakwa rang undang-undang itu mengekang teruk kebebasan rakyat dan lebih teruk berbanding dengan persekitaran semasa.

Perubahan pendirian pentadbiran Najib itu, secara tiba-tiba dipercayai akibat tekanan pelbagai, diambil empat hari selepas ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Tekanan dan kecaman berhubung rang undang-undang itu meningkat dan pengamal-pengamal perundangan dijangka mengadakan protes berkenaan minggu ini.

Selasa ini, Majlis Peguam bercadang untuk mengadakan kempen Walk for Freedom 2011 membantah rang undang-undang itu dan menyerahkan memorandum syor pindaan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Pihaknya mahu syor pindaan itu dibincangkan di jawatankuasa pilihan khas Parlimen, idea yang turut dibangkitkan oleh Persatuan Hak Asasi Manusia (Proham).

Kelmarin, Suhakam mengemukakan 11 syor kepada pentadbiran Najib agar meminda peruntukan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman termasuk mengkaji semula tempoh notis wajib 30 hari atas alasan ia tidak praktikal dengan tujuan perundangan baru itu.

Malah Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menegaskan kebebasan rakyat di Malaysia kini lebih terhad ekoran undang-undang baru perhimpunan aman berbanding di Myanmar, negara Asean yang pernah mempamerkan rekod hak asasi manusia paling buruk.

Ambiga berkata, Myanmar telah meluluskan undang-undang baru baru-baru ini yang membenarkan protes jalanan dan syarat-syarat yang jauh lebih kecil berbanding Rang Undang-undang Perhimpunan Aman dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di bawah transformasi politik beliau.-Malaysianinsider

Kelantan Bukan Negeri Republik

Posted: 26 Nov 2011 04:59 PM PST


olehIdris ahmad

Isu air di Kelantan, seolah-olah Kelantan bukan sebuah negeri yang terdapat di Malaysia. Pada hal Kelantan masih lagi di dalam peta Malaysia. Ia bukan sebuah negeri yang terpisah daripada Malaysia atau sebuah republik. Malahan banyak hasil yang kerajaan pungut di bumi Kelantan tetapi di bawa kepada kerajaan pusat. Contohnya bayaran pasport antarabangsa, stem, cukai kastam, cukai pendapatan, saman trafik yang di pungut daripada bumi Kelantan.

Nampaknya otak pemimpin BN hanya pandai ambil tetapi tidak pandai memberi. Ketika hendak ambil hasil mereka teringat Kelantan, ketika hendak memberi mereka lupa Kelantan. Malah selama 13 tahun Kelantan diketepikan dari mendapat sebarang peruntukan atau pinjaman bagi meningkat bekalan air. Hanya pada pada 2011 pinjaman mudah di bawah RMK 8 sebanyak RM36 juta baru diberi kepada Kelantan de ngan kontraktor dan kerja-kerja pembinaan dilantik dan dilaksanakan kerajaan pusat.

Kenapa perlu ugut rakyat, jika BN menang masalah air di Kelantan selesai?. Kenapa tidak dibantu sekarang? Hormatlah keputusan rakyat Kelantan yang telah memilih Pas. Apakah Umno sudah kehabisan modal pilihanraya di Kelantan, hanya modal air sahaja yang ada. Pada hal di negeri yang BN perintah masalah air masih tidak selesai seperti d Sarawak dan Sabah.

Pemimpin Umno Kelantan khususnya cemburu melihat pencapaian kerajaan Kelantan samaada dari segi pembangunan dunia dan agama. Ketika negeri BN mengalami masalah untuk mengatasi kemiskinan Kelantan berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada nombor dua pada tahun 1990 kepada nombor enam. Percayalah jika Umno memerintah Kelantan, maka kadar kemiskinan akan naik balik ke tempat asal, seperti di Terengganu setelah turun nombor empat zaman Pas memerintah kemudian naik kemba li di tempat kedua pada tahun 2004.

Walaupun dikekang dengan kewangan, Kelantan tetap menunaikan hutang lapok yang ditinggal oleh kerajaan BN sebanyak RM718 juta. Setakat 2010 telah melunaskan sebanyak RM220 juta, sekarang berbaki hanya RM498 juta. Kelantan tetap menunaikan tanggunjawab kepada rakyat dengan membuat pinjaman RM5 juta bagi membina telaga jejari sebagi alternatif membekal air bersih.

Kenapa pemimpin Umno terlalu busuk hati sehingga sanggup mendera Kelantan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi. Tuan Guru Nik Aziz menjadi Menteri Besar dilantik melalui proses demokrasi, bukan revolusi. Nampaknya pemimpin Umno hanya boleh menerima demokrasi apabila Umno sahaja yang perlu menang, lain daripada Umno maka keputusan rakyat tidak perlu dihormati.

Pemimpin pusat sudah banyak mencabul demokrasi sejak Pas menang di Kelantan pada tahun 1990. Bermula dengan penubuhan Pegawai Persekutuan, penghulu persekutuan, memberi amaran kepada pegawai persekutuan jangan terlibat dengan program negeri seperti yang pernah diarahkan kepada pegawai pertanian yang bekerja di negeri Pakatan Rakyat, terakhir wang royalti tidak diberi kepada Kelantan.

Sebenarnya ini cara politik zaman batu, yang tidak layak memerintah di zaman langit terbuka. Pas yakin bahawa rakat Kelantan yang berjiwa merdeka tidak rela negeri mereka diperlakukan demikian rupa oleh orang sebangsa dan senegeri dengan mereka yang berada di peringkat pusat, insyaAllah mereka akan ajar sikap pemimpin seperti begini di dalam pilihanraya akan datang.

Tiada ulasan: