Sabtu, 5 November 2011

Addin

Addin


Siapa Majlis Homoseksual?

Posted: 05 Nov 2011 07:00 PM PDT

Pakatan Rakyat sebagai sebuah organisasi yang bakal menjadi pemerintah di negara ini menggantikan Barisan Nasional (BN) memang memerlukan sokongan yang banyak dari pelbagai pihak di negara ini. Termasuk di dalam senarai itu ialah sokongan dari NGO-NGO dan badan-badan professional seperti Majlis Peguam Malaysia. 

Perlu diakui, peranan penting Majlis Peguam dalam memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Pakatan Rakyat memang penting, dalam masa yang sama menjadi perisai kepada tindakan undang-undang dari pihak pemerintah yang ada kala dilihat mahu menekan Pakatan Rakyat.

Sebagai contoh dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir 2009, peranan Majlis Peguam dalam mendedahkan salah laku calon BN yang merupakan bekas peguam, Rohaizat Othman adalah antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan calon Pakatan Rakyat, Mohd Salleh Man dari PAS.

Memang Majlis Peguam banyak berjasa bagaimanapun dalam masa yang sama Majlis Peguam juga perlu mengelakkan diri daripada mendedahkan Pakatan Rakyat dan kepimpinannya kepada satu keadaan yang boleh menjauhkan sokongan rakyat akibat dari salah faham melalui aktivit-aktiviti anjurannya.

Dalam contoh penganjuran Seksualiti Merdeka ini, walaupun niat dan hasrat penganjuran itu memang berniat baik tapi hasrat itu perlulah diterjermahkan dalam bentuk yang lebih baik supaya rakyat boleh menerima program tersebut dengan baik dan berlapang dada.

Yang penulis ingin tekankan ialah aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang penganjuran program. Dengan penganjuran program itu sendiri bersifat kontroversi, pengisiannya perlulah dijalankan dengan lebih berhati-hati dan mengelak dari mencetus salah faham yang lebih teruk.

Antara yang pada pandangan penulis tidak sesuai ialah persembahan Shelah The Drag Queen, poster-poster yang kelihatan menggalakkan percintaan sesama jenis dan sebagainya. Perbincangan dan bengkel-bengkel yang diadakan itu adalah patut diteruskan kerana ia bersifat akedemik lebih dari polemik apatah lagi politik.

Walaupun maksud persembahan dan penayangan poster bermaksud untuk membuka minda masyarakat tapi ia terbukti tidak sesuai dengan keadaan minda masyarakat di Malaysia. Dalam cubaan mengubah pandangan rakyat Malaysia kepada golongan LGBT, persembahan yang bersifat erotik seperti itu bukanlah satu permulaan yang baik.

Begitu juga apabila menjawab salah faham yang dicetus beberapa pihak, kenapa daripada berbelas penganjur yang bersama-sama menjayakan program tersebut, hanya Majlis Peguam yang kelihatan lebih vokal? Sehinggakan ada beberapa pihak melihat Majlis Peguam lebih membela nasib golongan LGBT daripada pengamal profession guaman itu sendiri.

Sudah ada cakap-cakap nakal yang menyifatkan Majlis Peguam sebagai Majlis Homoseksual!!! Dengan politik Malaysia didominasi oleh politik persepsi dibanding dengan fakta, Majlis Peguam perlu lebih bijak dalam menganjurkan program yang kontroversi seperti ini.

Sebagai rakan Pakatan Rakyat, sebarang tindakan kurang bijak Majlis Peguam boleh menjejaskan imej Pakatan Rakyat dimata rakyat dan ini sudah tentu tidak baik untuk persediaan kita dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Apa Yang Di Pakai Kat Leher Najib Ni?

Posted: 05 Nov 2011 08:47 AM PDT


Paparan muka depan Utusan Malaysia hari ini memaparkan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri, mengerjakan tawaf di Baitullah dengan memakai sesuatu yang berupa kalung dilehernya.

Adakah ianya tangkal? Mudah-mudahan tidak lah.. Dalam kepercayaan tahyul masyarakat Melayu, tangkal selalunya dikaitkan dengan usaha untuk menghalau hantu iaitu sebagai 'pendinding' atau untuk mengelak/menyembuhkan penyakit atau untuk memberi kekuatan atau kelebihan kepada sipemakai, misalnya, kekebalan.

Pejabat Perdana Menteri Menafikan

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri ketika dihubungi Mynewshub.my menjelaskan Najib tidak ada memakai kalung mahupun tangkal sepanjang mengerjakan ibadat haji. Sebaliknya, tali yang tergantung di leher Perdana Menteri itu merupakan tali yang diikat pada buku panduan haji yang biasa dipakai oleh jemaah haji dari Malaysia dan seluruh dunia.

"Buku panduan haji yang siap ada dengan tali ini banyak dijual di Malaysia. "Mereka yang pernah menunaikan haji atau umrah biasa menggantung buku ini di leher terutama ketika mengerjakan tawaf dan saei," kata seorang pegawai di pejabat tersebut.

Justeru pegawai berkenaan berharap, orang ramai tidak terpengaruh dengan tuduhan liar bahawa tali yang tergantung di leher Najib adalah tangkal seperti yang didakwa oleh sebuah portal milik pembangkang.

Beliau juga meminta orang ramai mendoakan Najib dan rombongan yang sedang mengerjakan salah satu Rukun Islam di Mekah dan jangan mudah terpengaruh dengan sebarang dakyah atau fitnah yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab./mynewshub.my



Pemimpin Umno BN Duduk Istana, Rakyat Hanya Dapat Rumah Cincai..

Posted: 05 Nov 2011 06:00 AM PDT

Merujuk perkara di atas, saya Richard Bin Simon, nombor kad pengenalan 781015-12-5143 merupakan salah seorang penerima bantuan rumah PPRT kawasan Kemabong, Tenom bagi Tahun 2011. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur dan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional, khususnya BN Kemabong, Tenom kerana telah meluluskan permohonan bantuan rumah PPRT saya.

Terasa sangat gembira kerana saya dan keluarga saya bakal mempunyai rumah sendiri. Namun tujuan saya menulis surat aduan ini adalah untuk menyatakan rasa tidak puas hati saya dan keluarga tentang keadaan rumah bantuan PPRT yang telah siap dibina, tetapi tidak mematuhi kualiti dan spesifikasi yang ditetapkan.

Rasa tidak puas hati juga dilemparkan terhadap kontraktor yang telah diluluskan kerana membuat kerja sambil lewa. Disebabkan tarikh siap yang ditetapkan telah tamat, pihak kontraktor telah mengarahkan pekerja-pekerjanya bekerja lebih masa hingga lewat malam sehingga rumah PPRT yang dibina sangat tidak teratur atau 'Cincai'. Kekukuhan rumah yang dibina juga sangat diragui dan kualitinya amat rendah.


Saya difahamkan pihak kontraktor mendapat kontrak tiga buah rumah PPRT untuk disiapkan iaitu dua buah rumah di Kampung Masanoi dan sebuah lagi saya sendiri (Kampung Mailo). Pada mulanya, barang-barang bagi menyiapkan rumah saya telah dihantar ke tempat saya tetapi pihak kontraktor mengambil balik barang-barang yang ada untuk dibawa ke tempat lain pula.

Apabila dikembalikan semula, barang-barang tersebut telah bertukar. Contohnya seperti mangkuk tandas yang mulanya mangkuk tandas duduk telah ditukarkan kepada mangkuk tandas mencangkung. Saya juga ada beberapa kali melaporkan kepada juruteknik daerah yang bertanggungjawab memeriksa spesifikasi dan kualiti rumah PPRT yang dibina. Mereka (Juruteknik) ada datang memantau rumah saya dan mengesahkan ukuran rumah yang sepatutnya untuk PPRT adalah tidak tepat.

Mereka (Juruteknik) telah membuat pemantauan sebanyak 5 kali. Pihak kontraktor telah dimaklumkan oleh juruteknik berkenaan spesifikasi yang tidak tepat tetapi pihak kontraktor 'Seperti mencurah air di daun keladi'. Tidak mendengar nasihat yang diberikan oleh pihak juruteknik. Bersama ini saya lampirkan gambar-gambar sebelum dan selepas rumah bantuan PPRT saya siap dibina.

Saya juga memohon agar pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Pegawai Kemajuan Negeri Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pegawai Daerah Tenom turun padang bagi melihat sendiri keadaan rumah bantuan PPRT saya yang dibina dan menyiasat lesen kontraktor serta kontraktor yang terlibat kerana saya khuatiri berlakunya penyelewengan untuk mengaut keuntungan yang banyak sehinggakan golongan malang seperti saya mendapat padahnya.

Bagi mengelakkan perkara sama berlaku kepada penerima bantuan rumah PPRT yang lain, saya mohon agar penyiasatan segera dilakukan dalam masa terdekat ini. Rumah bantuan PPRT yang saya terima bukanlah untuk tempat tinggal sementara tetapi untuk selama-lamanya bersama keluarga. Namun sekiranya kualiti dan kekukuhan rumah tidak terjamin, saya bimbang akan keselamatan ahli keluarga saya sekiranya berlaku bencana alam seperti angin kencang dan hujan lebat.

Pihak SPRM juga perlu terlibat sama dalam membanteras kontraktor yang hanya mahu mengaut keuntungan lebih berbanding membina rumah mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Rasuah mungkin ada kaitannya dengan kontraktor yang terlibat. Harap disiasat oleh pihak SPRM. Segala kerjasama daripada semua pihak yang terlibat amatlah diharapkan./sabahkini

Cuba Lihat.. Polis Ni Buat Apa?

Posted: 05 Nov 2011 12:41 AM PDT

Hampir 20 anggota polis 'menyerbu' Pejabat PAS Kalabakan sebagai usaha menghalang orang ramai daripada mendengar penjelasan mengenai penjualan pulau-pulau Sabah oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Lahirul Latigu. Menurut Naib Ketua Pemudanya, Noryusri Ahmad, kejadian ini merupakan situasi pertama yang berlaku di Tawau sepanjang sejarah penganjuran ceramah umum, termasuk yang melibatkan tokoh politik PAS dari semenanjung yang hadir berceramah di situ.

"Ramai pimpinan PAS dari semenanjung datang ke sini, termasuk Mohamad Sabu pernah ceramah di Tawaupun tidak berlaku seperti malam ini. Dulu yang datang hanya 2-3 orang sahaja termasuk Cawangan Khas. Tapi malam ini umpama satu batalion datang menakut-nakutkan orang ramai yang mahu mendengar isu pulau," dakwanya.

Sementara itu, Lahirul yang dalam ucapan ceramahnya kepada orang ramai yang hadir menegaskan, kehadiran anggota polis yang begitu ramai bukanlah penyebab utama halangan untuk beliau dari terus mengadakan 'road show' ke seluruh pelusuk negeri Sabah bagi memberi kefahaman dan maklumat berhubung isu tersebut; termasuklah mengenai isu tanah rakyat Sabah yang gagal ditangani oleh kerajaan Sabah sehingga ke hari ini.

"Datanglah berapa puluh ribu sekalipun, saya sama sekali tidak berganjak untuk menoleh ke belakang membelakangi hak rakyat Sabah," tegasnya. Beliau juga mendakwa, Ketua Menteri Sabah sebagai Menteri yang 'pengecut' kerana tidak berani menyahut cabaran Pemuda PAS berhubung isu tersebut yang sudah melepasi tempohnya.

"Musa Aman terpaksa menggunakan polis sebagai usaha terdesak beliau mengekang dari maklumat ini sampai kepada rakyat." Beliau sebelum ini mengasak Musa Aman untuk turut berada di lapangan politik Sabah sebagai 'anak tempatan' yang bertindak sebagai penjaga amanah dan menghalang dari khazanah negeri tergadai bukan mendiamkan dirinya.


Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan turut bertindak menghalau keluar tiga anggota polis yang menyamar sebagai orang awam daripada menyertai majlis penerangan tersebut. "Malam ini, kebanyakan Mat Rempit serta penjenayah bersenang-lenang merempit dan merompak apabila polis yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan awam bertindak mengawasi perjalanan ceramah PAS," sinisnya semasa berucap menyampaikan ceramahnya.

Walaupun kehadiran polis seramai itu, namun ianya tidak menggentarkan hampir 100 orang yang datang dari Semporna, Tawau serta Kalabakan. Jumlah tersebut bagaimanapun dijangka meningkat setelah kebanyakan darinya terpaksa berpatah balik apabila mengetahui kehadiran polis yang begitu ramai.

Isu penjualan pulau Sabah kini tersebar luas setelah kenyataan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Datuk Osman Jamal yang mengakui terdapatnya pulau-pulau yang ingin dijual.

Penjualan pulau-pulau ini, bagaimanapun mendapat bantahan serius oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang menjalankan pelbagai usaha menghalang penjualan pulau tersebut termasuklah menghantar memorandum bantahan serta yang terbaru melancarkan kempen 'Selamatkan Pulau Sabah'; dengan mengutip tandatangan rakyat sebagai tanda sokongan bantahan yang mensasarkan 100,000 tandatangan untuk diserahkan kepada Musa Aman; serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibahaskan di Parlimen.

Lahirul bersama Ketua Penerangan dan rombongan kini dalam rangka lawatan kerja pilihanraya dan Penerangan Pemuda PAS ke kawasan Kudat, Lahad Datu, Kota Kinabatangan, Sandakan, Semporna dan Kalabakan termasuk melawat beberapa buah pulau yang diiklankan untuk dijual./sabahkini


Ahli Parlimen BN Di Tuduh Terima Rasuah Setengah Juta?

Posted: 04 Nov 2011 05:51 PM PDT

Tidak siapa menyangka Ahli Parlimen Silam yang menggelarkan dirinya sebagai 'Duta Keamanan PBB' yang kini berstatus 'DR' Haji Salleh Kalbi didakwa telah menerima rasuah RM500,000, tidak termasuk sebuah kereta Honda Accord daripada kontraktor IGM Enterprise sebagai imbalan kerana berjanji untuk melobi tiga projek jalan raya di parlimen Silam.

"Fang Choi Ming ada menghubungi saya mengadu bahawa Salleh enggan mengembalikan kereta Honda Accord yang digunakan isterinya dan wang RM500,000 yang telah diambilnya kerana bimbang Salleh akan mengganggu perniagaan beliau dan meminta saya melaporkan isu ini kepada SPRM," kata Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Citra Masadi yang juga seorang kontraktor dan pernah diganggu Salleh kerana enggan memberikan rasuah.

Menurut Citra, Fang memberitahu beliau, Salleh tidak bersungguh-sungguh membantunya dan sering mengelak setiap kali cuba ditemui. Sehubungan itu, Citra telah membuat laporan polis di Balai Polis Tawau melalui laporan yang bernombor KNK/RPT/2447/2011 yang isi kandungannya seperti berikut;

"PADA lebih kurang jam 7.45 malam, saya datang ke balai polis untuk membuat laporan ke atas Ahli Parlimen Silam, YB Haji Salleh Kalbi kerana telah menggunakan lambang jata persekutuan yang dikhaskan untuk Ahli Parlimen sahaja; malangnya lambang tersebut juga boleh digunapakai oleh kenderaan milik IGM Enterprise Sdn.Bhd seperti yang disiarkan dalam portal sabahkini.net dan saya juga difahamkan IGM Enterprise Sdn.Bhd telah merasuah YB Salleh Kalbi sebanyak RM500,000 beserta sebuah Honda Accord untuk mendapatkan projek membina Jalan Ulu Teburi, Jalan Putatan Baru dan Jalan Opak-Mensuli.

Bagaimanapun IGM Enterprise Sdn.Bhd telah gagal mendapatkan projek tersebut dan pihak IGM Enterprise Sdn.Bhd telah memaklumkan kepada saya bahawa mereka takut membuat laporan polis kerana YB Salleh Kalbi mempunyai kuasa di Lahad Datu. Tujuan laporan ini dibuat agar pihak SPRM menjalankan siasatan serta mengambil tindakan ke atas YB Salleh Kalbi. Sekian laporan saya." Dalam pada itu, Salleh Kalbi yang dihubungi enggan menjawab panggilan telefon sekalipun telah dihubungi beberapa kali./sabahkini

Tiada ulasan: